Isnin, 19 Mac 2018

Skandal Scorpene: 10,000 poster akan disebar peringatkan rakyat


Skandal Scorpene: 10,000 poster akan disebar peringatkan rakyat
Kapal selam Scorpene pertama yang dinamakan KD Tunku Abdul Rahman yang tiba pada 2009. Pembelian dua kapal selam jenis Scorpene ini menjadi skandal hangat di luar Malaysia sehingga ke hari ini, namun di Malaysia, ianya seolah tidak 'wujud.' Malah, ada sesetengah rakyat yang tidak tahu menahu langsung mengenai skandal ini yang turut melibatkan individu penting negara, selain skandal paling hangat iaitu 1MDB. 
10,000 poster berfakta tentang skandal kapal selam Scorpene akan diedarkan dengan matlamat mengingatkan orang ramai tentang skandal besar Malaysia pada 2008.
Pengarah kumpulan anti-rasuah C4 yang meneraju kempen itu, Cynthia Gabriels berkata, tujuan penyebaran itu adalah untuk mengingatkan kembali skandal yang sudah hampir dilupai itu.
Skandal itu merupakan antara isu hangat ketika Pilihan Raya Umum ke-13 dan kini, warga Malaysia seakan sudah terlupa kerana banyak lagi skandal yang berlaku, katanya.
“Paling utama sekali, isu itu tidak selesai lagi. Mudah cakap, tiada siapa yang mengangkat isu ini.
“Ini yang buatkan kami rasa sangat kecewa sebab kita terpaksa bergantung dengan bidang kuasa asing untuk memberitahu rakyat Malaysia yang tindakan sudah diambil di luar sana, bukan di sini,” kata Gabriel dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Turut hadir ahli Parlimen PKR Subang R Sivarasa dan ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok.
Pada 2008, skandal itu mula timbul dan membunga berikutan pembelian dua kapal selam daripada syarikat kapal Perancis DCNS melalui kejasama dengan Thales International Asia (Thales) pada 2002. Dianggarkan kos keseluruhan yang ditanggung kerajaan menggunakan wang rakyat Malaysia dalam lingkungan RM5 bilion (nilai ketika waktu itu).
Thales dan DCNS membayar RM570 juta dalam bentuk komisyen kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd yang dikawal rakan baik perdana menteri Najib Razak iaitu Abdul Razak Baginda.
Justeru, Sivarasa berkata, kaitan yang terang lagi bersuluh antara skandal Scorpene dan satu lagi skandal paling besar yang mengangkat nama Malaysia di persada dunia iaitu 1MDB adalah individu bernama Najib Razak.
“Seseorang ada berkait, yakni perdana menteri kita. Pada masa itu dia bukan PM lagi. Waktu itu dia Menteri Pertahanan yang memberi kuasa untuk membeli dua kapal salam yang menelan belanja RM5 bilion.
“Apa yang menjadi skandal kemudiannya sejak 2008 itu ialah kenyataan yang $114.9 juta Euro telah dibayar, dalam bentuk komisyen, tapi kita gelar ia sebagai rasuahlah. Badan kehakiman Perancis dan polis Perancis masih sedang menyiasat rasuah yang dibayar itu,” kata Sivarasa.
Tambahnya, lembaran fakta yang akan disebarkan itu menerangkan tentang kejadian yang berlaku disekitar skandal Scorpene selain watak-watak yang didakwa terlibat.

Poster berfakta itu terdapat dalam dua versi iaiatu bahasa Melayu dan Inggeris.
Seorang warga Malaysia dan tiga warga Perancis didakwa terlibat dalam kes itu.
Warga Malaysia yang disebut itu merujuk kepada Abdul Razak Baginda.
“Razak Baginda kata dia tidak didakwa. Ya, betul dalam konteks kehakiman Malaysia dia masih belum lagi didakwa,” kata Sivarasa.
Dalam pada itu, Gabriel berkata, walaupun kes Scorpene ini memakan masa enam tahun untuk sampai ke tahap siasatan sekarang, namun prosesnya itu boleh dikira agak pantas berbanding kes yang sama di Taiwan dan Pakistan.
Tambahnya lagi, siasatan sedang dilakukan terhadap sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong yang menurut Gabriel Razak Baginda ada kepentingan dalam syarikat itu.
Syarikat bernama Terasasi dimiliki Baginda, ayah kandung Razak Baginda.
“Satu perkara yang saya boleh ceritakan, fokus sekarang ini ditumpukan di Hong Kong di mana kebanyakan wang dicuci di situ. Kami jangka yang ianya masih belum tamat. Kami juga ramalkan beberapa orang akan dikaitkan lagi,” kata Gabriel.
“Ada lagi beberapa syarkat. Pihak berkuasa sedang memerhati rapat dari pelbagai sudut. Adakah dia pegawai kerajaan atau kawan Najib atau orang yang cuba nak cari pengaruh (menggunakan pengaruh untuk dapat rasuah). Pihak berkuasa perlu ada badan (penyiasatan) yang kuat untuk menarik dia ke kandang kehakiman,” kata Gabriel.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA