Rabu, 21 Mac 2018

Penganalisis ramal jumlah keluar mengundi PRU14 menurun


Penganalisis ramal jumlah keluar mengundi PRU14 menurun
Penganalisis meramalkan jumlah keluar mengundi akan jatuh disebabkan rakyat penat dan lelah dengan situasi politik semasa. Jika sesuatu tidak dilakukan untuk kembali menarik minat mereka, semua parti politik akan berdepan masalah.
PENGANALISIS politik meramalkan jumlah keluar mengundi akan menurun pada Pilihan Raya Umum ke-14 berbanding 2013.
Situasi ini diramalkan berlaku walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan sasaran untuk mengulangi rekod bersejarah 85% yang dicatat pada pilihan raya umum lalu.
Antara faktor utama jumlah rendah rakyat keluar mengundi adalah kelelahan politik terutama sekali dalam kalangan pengundi di luar kawasan dan pengundi muda.
Terdapat 14,968,304 pengundi berdaftar setakat suku terakhir 2017.
Pengurus Kajian Merdeka Centre for Opinion Research Tang Seng Keat meramalkan jumlah keluar mengundi hanya akan sekitar 75% hingga 78%.
Jumlah itu hanya tinggi sedikit berbanding 72.2% pada 2008, tahun yang dianggap mengubah landskap politik negara apabila Barisan Nasional hilang majoriti besar di Parlimen dan kehilangan empat buah negeri kepada pembangkang.
Selain sentimen kebangsaan, politik setempat dan kuasa jentera parti juga akan mempengaruhi jumlah pengundi keluar membuang undi, kata Tan.
“(Bagaimanapun) Anggaran yang lebih tepat hanya boleh dilakukan selepas parti politik dalam gerak kerja penuh pilihan raya. Johor nampaknya akan mempunyai kadar keluar mengundi yang lebih tinggi disebabkan pertembungan pemimpin utama MCA dan DAP di Ayer Hitam dan kawasan lain (di negeri itu),” katanya lagi.
Pengarah Pusat Pengajian Am Southern University College Dr Phoon Wing Keong juga bersetuju yang pertembungan antara pemimpin ternama di Johor boleh meningkatkan kadar keluar mengundi di negeri itu.
Katanya pengundi Cina yang cenderung menyokong pembangkang akan disuntik semangat untuk keluar mengundi jika mereka merasakan tsunami Melayu akan berlaku.
“Pertembungan antara Liew Chin Tong dari DAP dan Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong di Ayer Hitam, sebuah kawasan majoriti Melayu akan mencetuskan keterujaan dan menarik mereka untuk keluar mengundi,” kata Phoon.
Di Johor, pertembungan antara pemimpin utama DAP dan MCA terutama di kawasan Ayer Hitam bagaimanapun dijangka menarik ramai pengundi keluar. Negeri itu antara negeri yang dijangka mempunyai banyak pertandingan tiga penjuru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2018.
Di Johor, pertembungan antara pemimpin utama DAP dan MCA 
terutama di kawasan Ayer Hitam bagaimanapun dijangka menarik 
ramai pengundi keluar. Negeri itu antara negeri yang dijangka mempunyai 
banyak pertandingan tiga penjuru.
Di Kelantan pula, PAS perlu menggerakkan pengundi yang tinggal di luar negeri itu untuk pulang mengundi bagi memastikan parti Islam itu terus berkuasa.
“Biasanya orang tempatan cenderung undi BN, pengundi luar kawasan pula akan undi PAS,” kata Tan dari Merdeka Centre.
Di Terengganu, sabotaj dalaman antara kumpulan berbeza dalam Umno menyumbang kepada jumlah tinggi undi rosak di kawasan tertentu pada pilihan raya lepas.
Pengundi atas pagar dan luar kawasan
Tan menambah yang pembangkang perlu diingatkan tentang kegagalan mereka mendekati pengundi atas pagar pada 2004 sehingga menyebabkan mereka kalah teruk.
BN yang ketika itu diterajui oleh ketuanya yang baru dilantik, bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mencapai kejayaan besar apabila menang di 198 (90%) daripada 222 kerusi Parlimen dengan 64% undi popular.
“BN lebih banyak sumber selaku penyandang. Mereka akan sewa motosikal dan bas untuk bawa pengundi semasa pilihan raya, terutama sekali untuk pengundi tua yang cenderung menyokong BN,” kata Tan.

Pakatan Harapan perlu menggerakkan jentera mereka memujuk pengundi atas pagar, luar kawasan dan pengundi muda keluar membuang undi. Tiga kumpulan ini adalah antara yang paling berisiko tinggi tidak keluar mengundi kerana situasi politik semasa tidak menarik minat mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2018.
Pakatan Harapan perlu menggerakkan jentera mereka memujuk 
pengundi atas pagar, luar kawasan dan pengundi muda keluar 
membuang undi. Tiga kumpulan ini adalah antara yang paling 
berisiko tinggi tidak keluar mengundi kerana situasi politik semasa 
tidak menarik minat mereka.
Senario itu berubah pada 2008 dan 2013 apabila pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat (PR) berjaya menggunakan sentimen anti BN dan memujuk pengundi atas pagar untuk keluar memberikan undi kepada mereka.
Pada 2008, PR menang di lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga untuk BN di Dewan Rakyat dengan menang 82 kerusi. Bekas pakatan pembangkang itu semakin cemerlang pada 2013 apabila menang undi popular dan menakluk 89 kerusi Parlimen.
Tan mengatakan pembangkang perlu menyakinkan pengundi atas pagar ini untuk memberikan undi kepada mereka pada PRU14.
Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar pula mengatakan Pakatan Harapan (PH) perlu menyelesaikan rundingan bahagi kerusi terutama sekali di kawasan majoriti Melayu bagi meraih keyakinan pengundi atas pagar di kawasan luar bandar.
“Jumlah keluar mengundi pengundi bandar sudah tinggi, kecuali jumlah pengundi luar bandar yang keluar mengundi meningkat, jumlah keseluruhan keluar mengundi tidak akan berubah,” katanya.
Beliau menjangkakan kadar keluar mengundi akan jatuh kepada 75% jika pembangkang tidak berjaya memujuk pengundi muda antara 21 dan 39 tahun untuk keluar membuang undi.
“Ramai pengundi muda tinggal di luar kawasan. Jika mereka diberi semangat, dipujuk supaya balik kampung untuk mengundi, ia akan membantu menaikkan kadar keluar mengundi,” katanya.
Pensyarah Politik Universiti Tunku Abdul Rahman Liew Wui Chern pula menjangkakan kadar keluar mengundi hanyalah sekitar 70% disebabkan berita kemelut dalaman pembangkang yang menyebabkan pengundi lelah dan penat.
Katanya, PH boleh mencetuskan minat pengundi dan mewujudkan keyakinan dalam kalangan mereka dengan mengumumkan kabinet bayangan.
“Malah sudah ada gesaan untuk mereka umumkan kabinet bayangan sebelum pelancaran manifesto,” kata Liew.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA