Khamis, 11 Januari 2018

Zahid: BN tak takut ugutan pemandu teksi mahu undi PH pada PRU14

Timbalan perdana menteri berkata, kerajaan sedang mencari jalan membantu pemandu teksi dan tidak memihak kepada perkhidmatan perkongsian kenderaan e-hailing yang semakin mendapat sambutan pengguna.
zahid-teksiPUTRAJAYA: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak gentar dengan ugutan persatuan teksi mahu menyokong pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan perdana menteri berkata, kerajaan sedang mencari jalan membantu pemandu teksi dan tidak memihak kepada perkhidmatan perkongsian kenderaan e-hailing yang semakin mendapat sambutan pengguna.
“Saya akan minta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri untuk bertemu dengan pemandu teksi.
“Tidak perlu ugutan, kita (BN) tidak akan pernah takut dengan sebarang ugutan,” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri hari ini.
Beliau mengulas ugutan Pengasas dan Penasihat Perkhidmatan Big Blue Taxi, Datuk Shamsubahrin Ismail akan mengundi Pakatan Harapan (PH) pada PRU14, jika kerajaan terus menyokong dan gagal menyelesaikan isu syarikat e-hailing seperti Uber dan Grab yang menjejaskan pendapatan pemandu teksi.
“Industri teksi akan beri sokongan penuh kepada PH pada pilihan raya akan datang jika kerajaan tidak ikhlas, jujur dan telus melihat industri teksi ini dengan sewajarnya.
“Hentikan segala drama kerana kami tahu pilihan raya semakin hampir, jadilah pemimpin sebenar dengan menunaikan janji pada pilihan raya lalu untuk tidak mengkhianati periuk nasi pemandu teksi.”
Pada 27 Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengawal selia syarikat e-hailing seperti Uber dan Grab.
Dengan lulusnya pindaan itu, syarikat e-hailing wajib memiliki lesen perniagaan perantara dan mematuhi syarat ditetapkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA