Rabu, 10 Januari 2018

UMNO gentar gandingan Mahathir – Azizah mampu tewaskan BN pada PRU14

Gandingan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datin Seri Dr Wan Azizah sebagai calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) merupakan satu keputusan berani menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kata Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Pencalonan itu kata beliau memberi nafas baru kepada HARAPAN selain kejutan besar kepada Barisan Nasional (BN) dan pengkritik yang sebelum ini beranggapan parti-parti komponen HARAPAN gagal mencapai konsensus dalam isu pelantikan Perdana Menteri.
“Pengumuman ini menutup mulut dan membuktikan kepada pengkritik-pengkritik yang sebelum ni kata HARAPAN tidak boleh capai konsensus, tidak boleh buat keputusan – ternyata mereka salah,” katanya ditemui Roketkini.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, pemilihan Mahathir dan Wan Azizah itu juga telah berjaya menggentarkan UMNO-BN yang selama ini sering mendakwa kononnya Lim Kit Siang akan menjadi Perdana Menteri jika HARAPAN berjaya mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
“Ia juga telah menyebabkan UMNO-BN begitu takut. (Selepas diumumkan) pemimpin-pemimpin BN melompat-lompat membantai keputusan ini, membantai Tun Mahathir dengan mengatakan beliau calon kitar semula dan sebagainya.
“Bagi kita, itu jelas menunjukkan mereka bimbang. Mereka bimbang bahawa sekarang HARAPAN dipimpin oleh Tun Dr Mahathir,” kata Anthony.
Mengulas mengenai suara sebilangan pihak dalam HARAPAN yang tidak bersetuju dengan pencalonan tersebut, Anthony menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang dikeluarkan hanya akan menguntungkan BN.
Perbezaan pandangan terhadap sesuatu cadangan itu katanya adalah lumrah dalam mana-mana parti politik.
“Tak bersetuju tak apa. Tapi jangan buat kenyataan yang boleh dijadikan senjata untuk membunuh HARAPAN. Saya nak ingatkan bahawa suara mereka akan digunakan sebagai senjata politik oleh BN.
“BN akan gunakan suara yang tidak bersetuju ini sebagai senjata untuk menjayakan mereka, bunuh HARAPAN. Saya nak nasihatkan supaya jangan sampai suara mereka dipergunakan oleh BN,” tegas beliau.

Semua pimpinan dan penyokong HARAPAN tegasnya perlu memahami strategi yang diambil secara berani dan tidak boleh menoleh ke belakang.
“Keputusan sudah dibuat, jalan terus dan fokus untuk menang PRU14. Kita yakin, ini merupakan strategi kemenangan yang terbaik,” katanya.
Menurutnya, apa yang terpenting saat ini ialah menghormati keputusan yang telah disetujui bersama pucuk pimpinan tertinggi HARAPAN.
“Kalau terus tidak boleh menghormati keputusan kepimpinan, akhirnya yang berjaya – yang gembira ialah Najib.
“Jadi pilihan di depan kita. Kalau nak tunggu semua bersetuju baru nak buat keputusan ini, sampai kiamat pun tak boleh buat keputusan,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA