Khamis, 11 Januari 2018

Tarikh mahkamah bertembung PRU14? Mungkin, kata Guan Eng

Ketua menteri Pulau Pinang bertegas pertuduhan rasuah terhadapnya bermotif politik.
lim-guan-eng-mengundi-pruGEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata tarikh baharu perbicaraan kes rasuahnya mungkin menjejaskan rancangan beliau dalam kempen pilihan raya kerana tarikh itu sama dengan ramalan tarikh pilihan raya umum ke-14.
Beliau baru-baru ini meramalkan PRU14 akan diadakan pada penghujung April atau awal Mei, “sebelum 16 Mei”.
Semalam, Mahkamah Tinggi menetapkan 23 tarikh mahkamah untuk perbicaraan kes rasuah Lim dan ahli perniagaan Phang Li Koon, antara 26 Mac dan 25 Mei.
Lim dan Phang mengaku tidak bersalah.
“Mungkin. Mungkin. Mungkin,” kata Lim pada pemberita hari ini.
“Saya juga terkejut mereka pinda pertuduhan. Mengapa kamu pinda pertuduhan?”
Ketika ditanya sama ada beliau khuatir dengan pertindihan tarikh tersebut, beliau menyerahkan perkara itu kepada rakyat.
“Ternyata kita semua jadi sasaran. Saya tahu saya sasaran politik,” tambahnya.
Lim merujuk kepada pindaan pada pertuduhan dalam kes rasuah itu, di mana pendakwaraya memberitahu pemberita hanya “perubahan kecil”.
Pemeriksaan oleh FMT mendapati “seorang penjawat awam” sudah diubah kepada “seorang pegawai badan awam”, manakala selebihnya sepertimana dalam pertuduhan pada 2016.
Ini merupakan pertuduhan pertama berkaitan dangan penukaran zon guna tanah.
Pada 30 Jun 2016, Lim didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dan isteri, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan oleh syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd untuk menukar tanah pertanian untuk tujuan perumahan.
Lim juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan untuk dirinya sebuah banglo daripada Phang pada harga RM2.8 juta, lebih rendah daripaa nilai pasaran RM4.7 juta pada 28 Julai 2015.
Sebelum perbicaraan bermula, pendakwaraya meminta Lim dan Phang memfailkan pembelaan masing-masing, tetapi mereka mencabar kesahan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Pada Mac, Hakim Hadhariah Syed Ismail membuang usul yang difailkan Lim dan Phang yang mahu Seksyen 62 diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan, tetapi ia diterbalikkan oleh Mahkamah Rayuan pada Ogos.
Mahkamah Persekutuan baru-baru ini membenarkan rayuan oleh SPRM, memutuskan Lim perlu menyerahkan keterangan pembelaan kepada pendakwaraya sebelum perbicaraan rasuah bermula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA