Sabtu, 13 Januari 2018

SUDAH SAMPAI MASANYA LENYAPKAN LABEL ‘ANTI-MUSLIM’ PADA DAP

APABILA aktivitis yang menjadi ahli politik, Edry Faizal Yusof memutuskan untuk menyertai DAP, beliau menyedari akan berdepan tentangan dengan kepercayaan dipegang masyarakat Melayu yang parti pembangkang akan menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.
“Bergabung dengan DAP adalah isu yang sama sekali berbeza bagi orang Melayu … ia tidak seperti apabila anda memilih untuk menyertai PAS atau PKR,” kata pemuda berusia 33 tahun itu kepada The Malaysian Insight.
“Ia sama seperti anda menukar agama; anda menjadi murtad.”
Edry menyertai DAP pada 2012, setelah melakukan penyelidikan ekstensif mengenai ideologi politiknya, yang meyakinkannya parti itu melampaui segala retorik.
“Itulah sebabnya saya terkejut apabila orang kata DAP mahu membentuk negara Kristian. Kerana sejak saya menjadi ahli parti, tiada perbincangan mengenai perkara ini. Malah idea membentuk negara Kristian itu sendiri tidak masuk akal.”
Ketika beliau bersedia menerima kecaman daripada rakan-rakan dan keluarganya apabila mengumumkan keputusannya menyertai parti itu, Edry berkata beliau bernasib baik kerana ibu bapanya menyokong dan mempercayai keputusannya.
Tetapi tidak semua rakan seperjuangannya yang berbangsa Melayu menerima pengertian yang diperolehinya daripada keluarga mereka.
“Selepas saya menyertai DAP, beberapa rakan saya mengikuti jejak langkah saya terpaksa menggunakan alamat saya kerana tidak mahu surat dihantar ke rumah mereka.
“Terdapat satu kes di mana rakan saya dihukum selama seminggu kerana keluarga menerima surat itu.
“Itu reaksi biasa, tetapi ibu bapa saya percaya keputusan saya,” katanya.
Hari ini, ahli Majlis Perbandaran Selayang itu berkata label “anti-Muslim” yang diberi kepada parti selama beberapa dekad perlahan-lahan terhakis di kalangan orang Melayu.
Kebanyakan perubahan dalam pemikiran adalah kerana terdapat lebih ramai orang Melayu secara terbuka menjadi ahli DAP.
Parti itu juga secara aktif pergi ke bawah untuk mencuba dan menghilangkan prasangka kaum dan agama yang disebarkan oleh lawan politik DAP, kata Edry.
“Saya banyak belajar sejak menyertai parti, program yang diadakan parti sentiasa berorientasikan polisi, kami membincangkan cara menyelesaikan masalah seperti isu mobiliti sosial, pengangkutan awam,” katanya.
“Kami adalah parti berasaskan polisi, kami mencari cara untuk menyelesaikan masalah.”
Edry Faizal Yusof mungkin diturunkan sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Januari, 2018.
Edry Faizal Yusof mungkin diturunkan sebagai calon untuk 
bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Penyanyi rap, aktivis, ahli politik
Kesedaran politik dan aktivisme sering menarik minat Edry, yang fasih bertutur dalam bahasa Cina.
Ketika berusia 18 tahun, Edry membentuk kumpulan rap “5forty2” yang menyuntik mesej politik ke dalam lagu mereka.
“Semakin dewasa, cara kami melihat dunia turut berubah.
“Kami mula menyentuh isu-isu serius, seperti bagaimana media digunakan sebagai alat propaganda, konflik Palestin, pertarungan antara yang ditindas dan penindas … lagu-lagu kami adalah mengenai kebimbangan terhadap dunia,” katanya.

Edry kini bekerja sebagai penyelaras untuk Sekolah Demokrasi DAP. Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa DAP Selangor dan ketua Pemuda DAP (Dapsy) Subang, selain memegang peranan penyelaras bagi kawasan Taman Templer di Selayang, Selangor.
DAP secara tradisinya menurunkan penyelaras kawasan sebagai calon dalam pilihan raya umum, menyebarkan khabar angin yang graduan multimedia kreatif muda ini mungkin akan bertanding bagi kerusi DUN Taman Templer.
Pada 2013, penyandang Zaidy Abdul Talib daripada PAS memenangi Taman Templer dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Subahan Kamal dan calon bebas Roslan Basaruddin.
Kerusi DUN di bawah kerusi Parlimen Selayang, mempunyai 51% pengundi Melayu, diikuti oleh 35% Cina dan 13% India.
Edry berkata beliau sudah mempersiapkan diri untuk bertanding pada pilihan raya akan datang, yang perlu dibuat menjelang Jun, walaupun masih tidak pasti sama ada beliau akan dipilih sebagai salah seorang calon.
“Sejak awal ketika saya memutuskan untuk menyertai dengan parti, ia bertujuan untuk memberi sumbangan. Jadi, saya tidak kisah jika mereka tidak memilih saya.
“Jika mereka mahu saya bertanding untuk pilihan raya, saya akan melakukannya. Jika tidak, saya akan membantu dengan berkempen.
“Sebagai calon atau pengurus kempen, saya sudah bersedia,” katanya.
Beliau berkata walaupun mengutamakan tugasnya dalam politik, beliau masih berpeluang menyaksikan persembahan muzik sekali-sekala, sambil menambah kumpulannya akan menerbitkan lagu baru sebelum pilihan raya.
“Saya boleh menjadi rapper dan ahli politik pada masa yang sama,” katanya mengenai tugasnya yang pelbagai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA