Rabu, 3 Januari 2018

PRU14: Undi Melayu penentu Pasir Gudang

UNDI Melayu bakal menentukan kedudukan kerusi Parlimen Pasir Gudang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas majoriti dimenangi Barisan Nasional (BN) menjunam teruk kerana peralihan besar-besaran pengundi Cina kepada pembangkang dalam PRU 2013.
Majoriti BN jatuh 94% pada PRU13, daripada 17,281 undi pada PRU 2008 kepada 935 undi lima tahun lalu. BN juga kalah di satu kerusi Dewan Undangan Negeri dalam kawasan parlimen itu, dalam pilihan raya yang disebut oleh Perdana Menteri Najib Razak sebagai "tsunami Cina" pada malam keputusan PRU13.
Pasir Gudang antara 40 kerusi campuran dimenangi BN yang dibidik oleh Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 nanti. Di semua kerusi itu, majoriti BN merosot antara PRU12 dan PRU13.
Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong percaya PH akan membentuk kerajaan persekutuan sekiranya blok pembangkang itu berjaya menang di 40 kerusi Parlimen tersebut, yang dimenangi Umno dengan majoriti rendah sekitar 8%.
Seperti semua kerusi bidikan PH itu, Pasir Gudang kawasan Parlimen campuran. Pada PRU13, daripada 101,041 pengundi yang berdaftar, 47% Melayu, Cina 38% dan India 11%.
Tsunami Cina itu menyebabkan BN kalah di DUN Johor Jaya, kerusi tradisi MCA, komponen partinya yang mewakili kaum tersebut.
Calon BN Tan Cher Puk, yang juga Adun Johor Jaya buat dua penggal kalah kepada calon DAP Liow Cai Tung. Liow menang dalam pertandingan tiga penjuru menentang seorang lagi calon bebas dengan majoriti 1,460 undi.
Ini peralihan undi kepada pembangkang yang cukup besar. Dalam PRU12, Tan yang juga Pengerusi MCA Pasir Gudang, mempertahankan kerusi Johor Jaya dengan majoriti 10,488 undi. Ketika itu lawan BN ialah dengan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Yang menyelamatkan BN di Pasir Gudang pada PRU13 ialah kemenangannya di DUN Permas.
Mohamed Khaled Nordin, kini menteri besar Johor, berpindah kerusi daripada Parlimen Pasir Gudang ke DUN Permas. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu menang dengan majoriti 5,752 menewaskan calon PAS.
Dengan majoriti itulah, yang lebih tinggi berbanding 2,081 pada PRU12, BN selamat di Pasir Gudang. Johor mendapat menteri besar baharu tetapi hampir hilang sebuah kerusi Parlimen.
Khaled adalah faktor yang fenomena di Pasir Gudang. BN hampir terlepas kerusi itu kerana calon yang diturunkan dari Umno, Normala Abdul Samad dilihat tidak setanding dengan Khaled, kata seorang sumber jentera BN di Pasir Gudang.
"Salah satu faktor yang menyebabkan kemerosotan undi ini mungkin kerana faktor calon juga kerana dalam PRU13, calon baharu yang diletakkan tidak sepopular dan dikenali pengundi berbanding Khaled," kata sumber kepada The Malaysian Insight, dengan syarat identitinya dirahsiakan.
Ketika PRU14 dijangka akan diadakan pada suku pertama 2018, soal calonlah juga kini yang menjadi perhatian di Pasir Gudang.
Siapa calon?
PH sehingga ini belum memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi antara empat parti komponennya di Johor, termasuk di Pasir Gudang, yang kini dituntut oleh PKR dan Bersatu.
Seorang pimpinan PH Johor, yang bercakap kepada The Malaysian Insight dengan syarat identitinya tidak didedahkan berkata PKR tidak semestinya akan diberikan kerusi Pasir Gudang pada PRU14 walaupun ia kerusi tradisinya.
"Pembahagian kerusi masih belum selesai semuanya di Johor dan Majlis Presiden (PH) masih belum memuktamadkan rundingan. Memang ada pertindihan antara PKR dan Bersatu untuk kerusi Pasir Gudang dan kedua-dua parti menuntutnya tetapi kami yakin ia akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat," kata sumber itu.
The Malaysian Insight difahamkan PKR mengemukakan nama pengerusinya di Johor, Hassan Karim, manakala Bersatu mahu ketua bahagiannya di Pasir Gudang, Hashim Yusoff bertanding.
Spekulasi turut bertiup kencang yang BN akan menggugurkan Normala dan Khaled akan balik ke kerusi Parlimen Pasir Gudang.
"Spekulasi itu memang bertiup kencang ketika ini tapi keputusan terserah kepada pucuk pimpinan. Kalau kita turun ke bawah bersama rakyat, tidak kira Melayu, Cina atau India akan menyatakan sokongan mereka kepada Khaled sebab hubungan Khaled dengan pengundi di sini kekal akrab walaupun dia sudah menjadi menteri besar.
"Sikap Khaled sendiri buat dia disenangi rakyat. Peramah dan mudah didekati. Kalau ikut suara daripada rakyat, memang mereka mahukan Khaled kembali menjadi ahli Parlimen," kata seorang lagi sumber BN.
Khaled adalah ahli Parlimen Pasir Gudang sejak kerusi itu diwujudkan melalui persempadanan semula pada 2003, yang mengeluarkan kawasan itu dari kawasan Parlimen Johor Bahru. Khaled juga adalah ahli Parlimen Johor Bahru selama tiga penggal, menang PRU 1990, 1995 dan 1999.
Namun, beberapa pimpinan PH yakin rekod baik BN di Pasir Gudang akan berakhir kali ini.
"PRU13 dulu kita sudah nampak rakyat mula menolak BN dan kini dengan dengan bebanan ekonomi yang dihadapi rakyat, kita yakin menang di Pasir Gudang.
"Tapi kita tidak boleh terlalu yakin. Kita mesti buat persiapan rapi menjelang 100 hari terakhir sebelum pilihan raya," kata Hassan.
Sokongan Cina kukuh, Melayu jadi penentu
Seorang lagi pemimpin PH tempatan berkata isu kemiskinan bandar di kalangan masyarakat Melayu Pasir Gudang juga akan menjadi faktor dalam memilih kerajaan baharu nanti.
“Pasir Gudang memang sebuah bandar tetapi pendapatan masyarakatnya tidaklah sebegitu tinggi. Ditambah pula dengan GST lagi, memang menjejaskan ekonomi  masyarakat di sini,” kata Ketua Pemuda Bersatu Pasir Gudang Mohd Najib Sayuti.
Najib berkata dengan sokongan masyarakat Cina masih kukuh bersama pembangkang, undi orang Melayu akan menentukan pemenang kerusi Parlimen Pasir Gudang nanti.
Menurutnya, skandal tanah di Johor awal tahun ini yang menyaksikan seorang exco kerajaan negeri didakwa di mahkamah, selain skandal terbaharu melibatkan Felda juga menjadi peluru tambahan buat PH untuk meyakinkan masyarakat menyokong mereka.

“Undi Melayu akan menjadi penentu, termasuk pengundi atas pagar dan ahli Umno yang tidak lagi boleh percayakan pucuk kepimpinan parti. Mereka ini akan mengundi dan memenangkan PH nanti.
“Walaupun Pasir Gudang ini memang tiada Felda, tetapi majoriti penduduk di sini ialah perantau dan ramai juga sebenarnya anak peneroka (Felda). Mereka inilah akan jadi ejen kita bila pulang ke kampung dan maklumkan kepada warga Felda tentang maklumat dan penyelewengan berlaku dalam negara kita.
“Walaupun Khaled menunjukkan prestasi baik dahulu di Pasir Gudang tetapi pimpinan utama Umno yang buatkan ramai tidak berpuas hati dan keluar untuk menyertai Bersatu kerana Umno memang sudah tak relevan di sini,” katanya lagi.
MCA tetap optimis
Adun Johor Jaya, Liow Cai Tung pula berkata faktor kelembapan ekonomi sejak 10 tahun lalu membuatkan rakyat semakin hilang kepercayaan kepada BN.
"Ini dibuktikan rakyat melalui kertas undi mereka. Ramai juga rakyat Pasir Gudang yang sanggup meredah perjalanan jauh untuk bekerja di Singapura kerana nilai matawang negara itu yang lebih tinggi berbanding ringgit," kata Liow kepada The Malaysian Insight.
MCA Pasir Gudang bagaimanapun berpendapat sebaliknya dan yakin akan dapat merampas semula Johor Jaya daripada DAP, sekali gus mengukuhkan kedudukan BN di Pasir Gudang.
Walaupun kalah dalam pilihan raya lepas, Tan Cher Puk yang masih mengetuai MCA Pasir Gudang berkata pihaknya tidak menghentikan khidmat kepada penduduk untuk membuktikan MCA tidak berkhidmat secara bermusim.   
"Dalam empat tahun setengah ini, rakyat setempat dapat lihat siapa yang benar-benar layak dan komited untuk membantu mereka.
"BN di Pasir Gudang, di bawah pimpinan Khaled kini bergerak secara sepasukan, semua jentera parti komponen bergerak secara bersama untuk BN.
"Dulu MCA bergerak sendiri dan Umno dengan kerjanya sendiri. Jadi BN sekarang lebih bersatu jika dibandingkan dengan dulu," kata Tan apabila dihubungi The Malaysian Insight. 
Tambah beliau, BN Pasir Gudang kerap mengadakan pertemuan membincangkan isu rakyat untuk dicari penyelesaiannya bersama-sama.
Tan juga mengulangi naratif yang dilaungkan oleh BN bahawa pengundi Melayu akan menolak PH kerana sedar sikap sebenar DAP yang bermuka-muka demi kepentingan sendiri.
Pengundi Cina pula katanya akan menolak hubungan baharu antara DAP dan bekas musuh politik parti itu, Dr Mahathir Mohamad yang kini mempengerusikan PH dan Bersatu.
MCA dijangka akan mempertaruhkan Tan sekali lagi sebagai harapan menawan semula kerusi DUN Johor Jaya daripada DAP. Presiden MCA Liow Tiong Lai sebelum ini berkata Tan calon paling layak kerana dedikasinya membantu masyarakat setempat.
"Biarpun tewas dahulu, beliau terus memberi perkhidmatan yang terbaik dengan bersungguh-sungguh menyelesaikan pelbagai isu tempatan. Saya kagum dengan komitmen beliau yang memahami isu setempat di kawasan Johor Jaya," kata Liow dalam satu program parti di Pasir Gudang dua minggu lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA