Sabtu, 13 Januari 2018

PRU14: PSM akan guna logo sendiri, minta PH fahami keputusan dulu

S Arutchlevan berkata PSM menggunakan logo PKR pada pilihan raya umum lepas kerana ada persetujuan dengan Anwar Ibrahim.
Arutchelvan_psm_ndi_600
 Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru Pakatan Harapan menerima keputusan mereka untuk bertanding pilihan raya umum ke-14 menggunakan logo sendiri, dan fahami keputusan menggunakan logo parti lain pada pilihan raya umum lalu. Ahli Jawatankuasa Kuasa Pusat PSM, S Arutchelvan, berkata PSM terpaksa “meminjam” logo pada pilihan raya 1999, 2004 dan 2008 selepas kerajaan tidak membenarkan pendaftaran mereka.
“PSM memohon untuk didaftarkan sebagai parti politik pada 30 April 1998 tetapi hanya berjaya didaftarkan 10 tahun selepas itu iaitu pada Ogos 2008,” katanya.
Beliau berkata PSM kemudian menulis banyak surat untuk menjalin kerjasama dengan gabungan pembangkang Pakatan Rakyat, yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS, dan memohon untuk menyertai gabungan itu.
“Tetapi PR tidak respon dengan bersungguh-sungguh dan kedudukan kami terumbang ambing sehinggalah Parlimen dibubarkan pada 2013. Sebab itu PSM bukan ahli PR.
“Mereka dari Pakatan Harapan yang bersuara sekarang mesti faham sejarah hubungan antara PSM dan gabungan pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arutchelvan berkata PSM diberitahu PH bahawa mereka hanya boleh bertanding di 1 kerusi pada PRU14 dan mesti mengunakan logo PKR.
“Nanti jentera PH akan kata betapa baiknya hati mereka apabila membenarkan PSM bertanding satu kerusi pada pilihan raya umum akan datang tapi PSM angkuh meminta kerusi lagi,” katanya.
“Mereka akan tuduh kita ‘makan dedak Najib’ dan sebagainya, dan kerana menyebabkan pertandingan 3 penjuru,” tambahnya.
Beliau berkata PSM menggunakan logo PKR semasa mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput pada 2013 kerana perjanjian dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pemimpin PSM yag bermesyuarat dengan Anwar di ibu pejabat PKR pada 13 April 2013 diminta memastikan calon-calon mereka menandakan kertas undi masing-masing dengan logo PKR untuk pilihan raya pada Mei.
Beliau mendakwa Anwar berkata calon yang berjaya boleh menggunakan logo PSM dan mengangkat sumpah sebagai calon PSM.
Arutchelvan berkata PSM diwakili dirinya sendiri, Adun Kota Damansara ketika itu Mohd Nasir Hashim dan Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar Devaraj.
PKR ‘u-turn’ kerana Semenyih
Beliau berkata pemimpin PSM memberitahu mesyuarat itu bahawa parti mereka mahu mempertahankan 2 kerusi, dan sekali lagi bertanding di DUN Semenyih dan Jelapang sepertimana pada pilihan raya 2008.

“Anwar bagaimanapun hanya boleh beri 3 kerusi bawah PKR dan meminta PSM berunding dengan DAP mengenai Jelapang.
“Dalam mesyuarat itu, Anwar jelas berkata dan merayu PSM menggunakan logo PKR dan selepas itu kami boleh gunakan logo kami,” katanya.
“Saya harap (naib presiden) Xavier Jayakumar dan Tian Chua yang berada di mesyuarat itu boleh mengesahkan peristiwa-peristiwa ini,” tambahnya.
“Malangnya, walaupun Anwar Ibrahim sudah berjanji, kami dinafikan kerusi Semenyih kerana (timbalan presiden) Azmin Ali tidak bersetuju dengan keputusan Anwar,” dakwanya.
Nasir dan Jeyakumar kemudian bertanding di kawasan mereka bawah lambang PKR, tetapi hanya Jeyakumar berjaya mempertahankan Sungai Siput.
Nasir tewas di Kota Damansara, begitu juga Arutchelvan dan M Sarasvathy yang bertanding bawah PSM di Semenyih dan Jelapang. Selain Barisan Nasional, Kota Damansara ditandingi PAS, Semenyih ditandingi PKR dan Jelapang ditandingi DAP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA