Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, beberapa pelan telah dirangka di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan bagi memastikan pengundi lebih peka bahawa gabungan itu terdiri daripada empat parti komponen iaitu Bersatu, Amanah, PKR dan DAP.
Dr Mujahid Yusof Rawa “Bertanding di atas satu logo seperti yang Harapan hasratkan sebelum ini adalah pelan terbaik untuk kita berhadapan dengan PRU14 kerana ia akan memudahkan para pengundi mengenali ke empat parti yang ada. Saya rasa kalau tercapai, sudah tentu ia menjadi mimpi ngeri kepada BN.
“Di sebabkan itu, Harapan lebih bersedia dengan segala kemungkinan apatah lagi, kita tahu kita sedang berdepan dengan BN yang akan menggunakan pelbagai taktik kotor termasuklah menghalang kita menggunakan satu logo,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kelmarin, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Surayati Ibrahim membuat kenyataan, setakat 8 Januari, pihaknya menerima sebanyak 428 aduan terhadap Bersatu.
Peningkatan aduan terhadap Bersatu, selain kemelut dalaman parti itu menjadi punca ROS sehingga kini, tidak dapat meluluskan permohonan Harapan bertanding di bawah satu logo dan mengiktiraf gabungan tersebut.
Mengulas mengenai perkara itu, Mujahid bagaimanapun mengakui skeptikal dengan alasan ROS tersebut.
“Saya sendiri tidak tahu apakah jenis aduan yang diterima. Adakah ianya menjejaskan atau sekadar aduan biasa? Itu saya tak pasti.
“Jadi saya masih skeptikal dengan alasan yang diberikan, adakah wajar kegagalan logo Harapan itu hanya disebabkan aduan yang diterima itu,” katanya.
Jelasnya, Harapan tidak akan berdiam diri, malah sentiasa mencari pendekatan yang bersesuaian bagi mengatasi masalah tersebut.
“Setelah kami memahami kaedah dan cara BN, kami memang telah bersedia dengan pelan-pelan yang selanjutnya.
“Peringkat Majlis Presiden akan memutuskan pelan yang bersesuaian sebagai pilihan lain sekiranya permohonan untuk gunakan satu logo itu tidak diluluskan yang saya kira ia hanya sekadar tindakan sengaja yang dibuat oleh ROS,” katanya.