Rabu, 10 Januari 2018

PRU14: Mengapa benarkan lebih ramai penjawat awam sebagai pengundi pos...!


Mengapa benarkan lebih ramai penjawat awam sebagai pengundi pos, soal Bersih
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata langkah Suruhanjaya Pilihan Raya menambah kategori pengundi pos hanya akan menambah kecurigaan yang kerajaan sedang berusaha memastikan kemenangan pilihan raya berpihak kepada parti pemerintah Barisan Nasional. 
BADAN pemantau pilihan raya Bersih 2.0 mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memasukkan lebih ramai penjawat awam yang layak untuk mengundi pos sebagai percubaan menaikkan undi bagi kerajaan pemerintah.
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata langkah SPR itu hanya akan menambah kecurigaan para pengkritik yang kerajaan sedang berusaha memastikan kemenangan pilihan raya berpihak kepada parti pemerintah Barisan Nasional (BN).
"Saya fikir ia sangat jelas ... peraturan SPR adalah seperti mengalihkan tiang gol, dan sekarang mereka memperkenalkan kategori baru, pengundi pos.
"Mengapa tidak memperkenalkannya pada pilihan raya umum sebelum ini?" soalnya pada sidang akhbar di ibu pejabat Bersih 2.0 di Petaling Jaya hari ini.
SPR mewartakan penjawat awam yang berada di Jabatan Penjara; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Jabatan Penguatkuasaan Maritim; pekerja kesihatan kerajaan; sukarelawan polis; Jabatan Pertahanan Awam Malaysia; Jabatan Imigresen; Agensi Pengurusan Bencana Negara; dan Jabatan Pendaftaran Negara yang layak untuk mendaftar sebagai pengundi pos pada Oktober dan Disember tahun lepas.
Sebelum ini, hanya tentera, polis dan pasangan mereka, pengamal media dan rakyat Malaysia yang berada di luar negara layak didaftarkan sebagai pengundi pos.
"Kami juga khuatir mengenai kemungkinan manipulasi pilihan raya dengan menggunakan undi pos bagi mengubah keputusan pilihan raya agar berpihak kepada BN.
"Pada masa ini, tidak ada keyakinan awam terhadap SPR menjalankan pilihan raya," kata Maria.
Bersih menuntut agar SPR menghapuskan undi pos domestik dan memberi tumpuan kepada mengundi awal.
Pengundi mempunyai pilihan untuk memohon undi pos dan undi awal.
"Tanpa proses untuk memastikan kerahsiaan para pengundi, hak memilih, begitu juga dokumentasi dan akses kepada pemerhati pilihan raya, SPR tidak boleh melaksanakan undi pos (untuk penjawat awam).
"Kami sudah mengemukakan memorandum kepada SPR sebelum menyatakan undi awal sepatutnya dilakukan sehari sebelum hari mengundi - undi pada hari yang sama dan dikira pada hari yang sama."
Bersih memberi SPR tempoh seminggu untuk menjawab tuntutannya, katanya, sambil menambah pegawai polis dan tentera tidak boleh dibenarkan mengundi di berek.
"Pegawai polis dan pegawai tentera tidak sepatutnya mengundi di berek dan pasangan mereka tidak sepatutnya menjadi pengundi pos.
Parti politik tidak mempunyai akses ke berek untuk memantau pengundian, katanya.

1 ulasan:

  1. Sbb selepas PRU 14 nnt kita nk poskan umno/bn ke kubur dan kemudian ke muzium.....hihihihi

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA