Jumaat, 12 Januari 2018

PRU14: DAP sah beri laluan kepada Amanah tanding Ayer Hitam


DAP sah beri laluan kepada Amanah tanding Ayer Hitam
Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata perkara itu telah dijelaskan kepada ahli parti yang menerima keputusan ini dengan hati terbuka.
DAP mengesahkan bahawa kerusi Parlimen Ayer Hitam akan ditandingi calon parti Amanah dalam  Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata tindakan ini merupakan satu percaturan taktikal dari Pakatan Harapan (PH) untuk mengukuhkan peluangnya merampas kerusi tersebut dari Barisan Nasional (BN).
“Di Ayer Hitam, yang diperuntukkan untuk DAP, kita akan letakkan calon dari Amanah. Keputusan ini mengukuhkan kedudukan kita di Ayer Hitam dengan mengembleng tenaga dari kesemua komponen di bawah bendera PH.
“Ini satu keputusan taktikal yang akan menguatkan cabaran yang kita berikan kepada BN di sana,” kata Liew dalam satu sidang media di Pekan Nanas, Pontian hari ini.
Ahli Parlimen Kluang itu berkata perkara ini telah dijelaskan kepada ahli parti yang menerima keputusan ini dengan hati terbuka.
“Mereka menerima keputusan ini dan melihat kepada gambaran yang lebih besar dan faham ini keputusan taktikal,” katanya lagi.
Liew mengesahkan spekulasi yang bertiup kencang sebelum ini bahawa parti itu akan memberi laluan kepada calon Amanah bertanding di kerusi Ayer Hitam.
Walhal parti itu dilaporkan sudahpun mengorbankan peluang untuk bertanding di dua kerusi Parlimen – Tanjung Piai dan Alor Gajah – semata-mata untuk bertanding di Ayer Hitam, yang merupakan salah satu kubu kuat BN di Johor.
Mengulas lanjut, Liew berkata berkata kejayaan PH membentuk muafakat dalam pembahagian kerusi di Semenanjung Malaysia minggu lepas meningkatkan peluang blok pembangkang tersebut menang di Ayer Hitam dan Tanjung Piai.
Menurutnya, Tanjung Piai, Ayer Hitam dan kerusi Parlimen Titiwangsa merupakan antara kerusi-kerusi terakhir yang dimuktamadkan dalam rundingan agihan kerusi PH.
“Keputusan minggu lepas penting untuk PH Johor. Hari ini (Pengerusi dan calon Perdana Menteri PH) Dr Mahathir (Mohamad) akan melawat Tanjung Piai.
“Ini rancangan di saat akhir kerana sekarang Ayer Hitam juga dianggap kerusi panas.  Sebelum ini dua kawasan ini (Tanjung Piai dan Ayer Hitam) dianggap kawasan putih BN. Tapi lepas Konvensyen PH minggu lepas, BN boleh kalah di dua kawasan ini.
Chin Tong bagaimanapun berkata bukan mudah untuk PH menang di dua kawasan tersebut namun kesepakatan ditunjukkan komponen PH menjelmakan harapan bagi mereka merampas dua kerusi tersebut dari BN.
“Di Ayer Hitam misalnya, kita akan menentang dengan orang nombor dua (Timbalan Presiden) MCA (Wee Ka Siong), yang juga nombor satu dalam Johor (Pengerusi MCA negeri).

“Ini dua kawasan kuat BN. Kalau mereka nak kalah, dua kerusi ini merupakan yang terakhir mereka akan kalah namun kini dua kerusi ini bukan lagi kawasan putih BN tapi sudah kelabu,” katanya lagi.
Dalam PRU13, Wee mempertahankan kerusi Ayer Hitam dengan majoriti 7,310 undi manakala seorang lagi pemimpin MCA, Wee Jack Seng turut mempertahankan kerusi Tanjung Piai dengan majoriti 5,457 undi.
Chin Tong turut mengulas kajian oleh badan pemikir Singapura, Yusof Ishak Institute (ISEAS) yang mendapati BN masih mendapat sokongan dari 48.4% orang Melayu kerana golongan itu takut kepada DAP.
Katanya, kajian itu tidak menunjukkan sentimen tersirat dan sikap sebenar pengundi semasa pilihan raya.
Katanya ramai pengundi Melayu menunjukkan mereka menyokong BN ketika kajian dijalankan sebelum PRU13, namun kemudiannya menunjukkan sikap berbeza di peti undi.
“Kita jangan tengok yang tersirat sahaja kena juga ambil yang tersirat. Kalau sebelum pilihan raya 2013, sekitar 70% orang Melayu menyokong BN tapi kini sokongan itu telah menjunam 20% dan ini sangat bahaya untuk BN.
“Situasi kini, saya berpendapat orang Melayu sekarang sama dengan sikap orang Cina dan India sebelum PRU12 dahulu yang enggan menyatakan sokongan mereka pada parti mana tetapi dalam hati mereka marahkan kerajaan,” katanya.
Kaji selidik dijalankan ISEAS tersebut dijalankan melalui panggilan telefon di kalangan 1,100 responden Melayu di Johor  antara Mei dan Jun 2017.
Menurut pengkaji kajian tersebut Wan Saiful Wan Jan, 85% orang Melayu Johor tidak berpihak kepada DAP.
"Kekuatan semasa DAP di negeri ini masih menimbulkan rasa takut di kalangan pengundi Melayu luar bandar di sana.
“Mereka melihat undi untuk Bersatu sebagai undi untuk DAP kerana kedua-duanya berada dalam gabungan yang sama," kata Wan Saiful seperti dipetik dalam kajian diterbitkan ISEAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA