Selasa, 2 Januari 2018

Penangan perhimpunan pertama PPBM


Dunia politik Malaysia tahun 2018 bermula dengan kesedaran rakyat bahawa mereka akan menghadapi pilihan raya umum paling menarik dalam sejarah hinggakan ia disebut sebagai “ibu bagi segala pilihan raya.”
mahathir-ppbmSama ada ia benar-benar akan menjadi demikian atau hanya cakap-cakap para peminat politik negara, tunggulah apabila akhirnya ia sampai kelak.
Ia boleh diadakan bila-bila masa, dari Januari sampailah Ogos.
Bagi penyokong Pakatan Harapan (PH), mereka menaruh harapan supaya berlaku perubahan di mana negara menjadi lebih demokratik, lebih amanah, lebih adil dan dapat meleraikan apa yang mereka sebut sebagai kleptokrasi.
Bagi penyokong Barisan Nasional (BN), mereka mahu mempertahankan kestabilan politik sedia ada. Ini kerana Malaysia tanpa BN adalah sesuatu yang tidak pasti, tidak menentu dan boleh menjadikan keadaan bertambah buruk.
Tetapi politik Malaysia pada 2017 diakhiri dengan Perhimpunan Tahunan Parti PPBM yang berlangsung pada 30 Disember, dengan kesan apa yang diucapkan di dalamnya diulas dan dibalas pada hari itu dan disambung pada hari berikutnya.
Ucapan Dr Mahathir
Laporan yang utama tersebar adalah mengenai kandungan ucapan utama Pengerusi PPBM yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ia merupakan ucapan dasar parti itu.
Ini adalah kali pertama beliau menyampaikan ucapan dasar perhimpunan sesebuah parti sejak beliau tidak lagi menjadi ketua mana-mana parti.
Paling akhir beliau menyampaikan ucapan dasar ialah dalam Perhimpunan Agung Umno pada 2003, ketika usianya 78 tahun.
Tentulah tidak ada sesiapa boleh menjangkakan bahawa 14 tahun kemudian, di penghujung 2017, pada usia 92 tahun, Dr Mahathir akan menyampaikan satu ucapan dasar perhimpunan agung sebuah parti.
Dulu beliau berucap sebagai presiden Umno dan pengerusi BN. Kali ini beliau berucap sebagai pengerusi PPBM dan juga PH.
Beliau disebut-sebut akan bertanding bagi kawasan parlimen dalam pilihan raya umum akan datang dan dicadangkan menjadi calon perdana menteri bagi PH jika menang, walaupun ia bersifat sementara, iaitu sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan ketua kerajaan itu.
Ucapan dasar dan perhimpunan tahunan PPBM tidak pernah dirancang untuk diadakan sebelum ini. PPBM mengadakan Persidangan Luar Biasa dan menjadualkan akan hanya mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan selepas pilihan raya umum 2018. Ini adalah kerana mereka mahu memberi tumpuan pada persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum itu.
Namun Pendaftar Pertubuhan (ROS) mahukan PPBM mematuhi perlembagaannya dengan mengadakan perhimpunan agung sebelum tahun 2017 berakhir.
Jika tidak, PPBM mungkin tidak dapat bertanding dalam pilihan raya umum itu. Maka atas akur pada arahan ROS, perhimpunan itu diadakan pada hari-hari terakhir berlalunya tahun 2017.
Maka, ucapan dasar Dr Mahathir itu adalah suatu yang tidak dijangkakan.
Bukan itu saja, kehadiran PPBM apatah lagi kesudian Dr Mahathir untuk terjun dalam politik tidak terfikir oleh para pemerhati ketika pilihan raya umum 2013. Pada masa itu, Dr Mahathir dan kebanyakan ahli PPBM adalah ahli dan penyokong Umno.
Ucapan dasar beliau sentiasa menjadi perhatian kerana ada saja perkara yang bersifat baharu dan provokatif muncul. Ia sudah tentu menjadi perhatian kepada rakyat Malaysia. Bagi mereka yang mengikuti ucapan dasarnya sepanjang menjadi presiden Umno selama 22 tahun, dari 1981 hingga 2003, tentulah dapat mengingati mereka.
Nostalgia 1982
Ucapan dasar dan ucapan penggulungan dalam Perhimpunan Agung Umno sentiasa dinantikan. Pada 1981, Dr Mahathir berusia 56 tahun.

Maka bagi banyak orang termasuk saya, mendengar suara Dr Mahathir yang tidak banyak berubah dalam Perhimpunan Agung PPBM ini mendatangkan rasa nostalgia kepada suatu ketika di mana beliau berada di podium Perhimpunan Agung Umno.
Penulis ini mendengar hampir kesemua ucapan dasar Dr Mahathir dari 1982 hingga 2003. Dari ketika Perhimpunan Agung Umno diadakan di Nirwana Ballroom, Hotel Hilton hinggalah di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Daripada Umno asal hingga menjadi Umno Baru, hinggalah kembali menjadi Umno saja.
Sama ada menjadi pemberita yang membuat liputan Perhimpunan Agung ataupun kemudiannya sebagai wartawan pemerhati politik.
Kesemua ucapan dasar Dr Mahathir dalam Perhimpunan Agung Umno telah dikumpulkan dan dibukukan sebagai dokumentasi sejarah. Maka ucapan dasar dalam perhimpunan PPBM ini membuka lembaran baharu sejarah.
Seperti ucapan-ucapan dahulu, kandungannya kali ini juga mengundang kontroversi.
Petikan pertamanya dalam ucapan dasar itu yang disiarkan dan menarik perhatian orang ramai ialah permohonan maafnya terhadap kesalahan pada masa lalu. Menurutnya, ia melakukan permohonan minta maaf itu selaras adat Melayu. Menurutnya, sebagai manusia biasa, tentulah beliau tidak terlepas daripada membuat kesilapan.
Dalam ucapan dasar itu, beliau bercakap mengenai banyak perkara yang setiap satunya menarik perhatian dan ulasan orang ramai, daripada pelbagai pihak kawan dan lawan.
Lebih-lebih lagi ketika di ambang pilihan raya umum ke-14. Ini kerana sudah ada pasukan laskar siber, ada yang sukarela, tidak kurang pula yang berbayar ditugaskan oleh PH dan BN untuk mencari perkara yang boleh dijadikan isu bagi memburukkan pihak lawan.
Kalaulah tidak ada perhimpunan ini, maka tidaklah ada ucapan dasar yang disampaikan oleh Dr Mahathir. Tanpa ucapan dasar ini, tiadalah berlaku ucapan memohon maaf. Beliau boleh menyatakan permohonan minta maaf pada bila-bila masa.
Maaf dan Anwar
Tetapi kesan daripada permohonan maaf dalam ucapan dasar adalah lebih bererti. Ia menjadikannya sebahagian daripada dasar PPBM itu. Ia juga menjadikan asas kepada hubungan dengan parti lain dalam PH khususnya PKR dan gerakan reformasi pada umumnya.
Di peringkat personaliti, ia boleh ditafsirkan sebagai permohonan maaf Dr Mahathir kepada Anwar.
Tetapi reformasi yang dilancarkan Anwar pada 1998 bukan semata-mata digerakkan oleh PKR. Pada mulanya, dari segi organisasi, ia digerakkan oleh Pergerakan Keadilan Sosial (Adil) dan ia disokong di peringkat parti politik oleh terutamanya ialah PAS diikuti dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan DAP.
Parti Keadilan Nasional belum ditubuhkan. Walaupun ketua Adil ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tetapi di peringkat parti politik, pemimpin yang menggerakkannya ialah presiden PAS, Datuk Fadzil Noor.
Rakyat yang turun berdemonstrasi adalah orang biasa yang tidak berparti tetapi penyokong BN serta ahli UMNO yang menyokong Anwar dan banyak lagi adalah ahli dan penyokong PAS.
Kini banyak juga penyokong aktivis Keadilan telah meninggalkan PKR, malah ada yang kembali pada BN. Penyokong PAS yang menyokong Reformasi kini banyak sudah berada dalam Amanah. PRM pun sudah bergabung dengan PKR dengan sebahagiannya mewujudkan semula parti lama. DAP tetap bersama Anwar.
Ini bermakna, tidaklah semua pendokong asal Reformasi berada dalam PKR atau PH.
Pelbagai tafsiran boleh dibuat terhadap permohonan maaf Dr Mahathir. Beliau tidak memperincikan kesalahannya. Tetapi di kalangan pembangkang, kesalahan Dr Mahathir dilihat bukan saja kerana beliau memecat Anwar tetapi juga berperanan kepada menjadikan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri sehingga menyebabkan PPBM ditubuhkan dan menyertai PH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA