Jumaat, 12 Januari 2018

Pakatan sasar tokoh besar BN dalam PRU14 namun belum putuskan calon


Pakatan sasar tokoh besar BN dalam PRU14 namun belum putuskan calon
Pakatan mensasarkan kerusi dipegang Perdana Menteri Najib Razak di Pekan dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di kerusi Marang. 
NAJIB Razak dan kawan barunya, Abdul Hadi Awang akan berhadapan dengan cabaran dari Pakatan Harapan (PH) di kerusi masing-masing dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti namun bukan daripada tokoh besar.
Keempat-empat parti dalam PH memikul tugas penting untuk melawan tokoh besar Barisan Nasional (BN) termasuk kerusi Pekan yang dimenangi Najib hanya dengan 241 undi dalam PRU 1999 lalu.
Bersatu akan meletakkan calonnya melawan perdana menteri di kerusi itu manakala calon PKR akan menentang timbalan perdana menteri, Zahid Hamidi di Bagan Datoh.
Amanah pula akan meletakkan calonnya melawan presiden PAS Abdul Hadi Awang di Marang manakala calon DAP akan berdepan presiden MCA, Liow Tiong Lai di Bentong.
"Ini kata sepakat yang telah kita capai dalam perundingan kerusi baru-baru ini. Kita akan ambil seorang satu," kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.
Sehingga kini, PH belum menentukan calon yang akan bertanding tetapi kerusi yang akan ditandingi oleh setiap parti sudahpun ditetapkan.
Dalam pengumuman di Konvensyen PH Ahad lepas, Bersatu akan bertanding di 52 kerusi parlimen di Semenanjung sahaja, PKR (51), DAP (35) manakala Amanah (27).
Di Marang, calon Amanah yang disebut-sebut akan bertanding melawan Hadi adalah anak saudara kepada presiden PAS tersebut, Miqdad Zakaria.
Ketika ditanya, pengerusi PH Terengganu yang juga Pengerusi Amanah negeri, Raja Bahrin Shah bagaimanapun enggan mengesahkan perkara itu buat masa ini.
Katanya, Amanah Terengganu telahpun mengenalpasti tokoh muda untuk diketengahkan sebagai calon dan ia akan diumumkan apabila sampai masanya nanti.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata,semua parti dalam Pakatan Harapan akan memikul tugas bersama untuk melawan tokoh besar Barisan Nasional termasuk kerusi Pekan dimenangi Najib Razak dengan 241 undi pada PRU 1999 lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2018.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata,semua parti 
dalam Pakatan Harapan akan memikul tugas bersama untuk melawan
 tokoh besar Barisan Nasional termasuk kerusi Pekan dimenangi Najib 
Razak dengan 241 undi pada PRU 1999 lalu.
Namun, kata Raja Bahrin, beliau juga mendapat maklumat kemungkinan presiden PAS itu tidak akan bertanding mempertahankan kerusinya dalam pilihan raya kali ini.
"Jika beliau tidak bertanding, besar kemungkinan anak beliau, Khalil Abdul Hadi akan dicalonkan.
"Bagaimanapun, kita bersedia untuk meletak calon kita di Marang," kata Raja Bahrin.
Khalil yang merupakan ketua Pemuda PAS pusat belum pernah menjadi calon mana-mana pilihan raya.

Dalam pilihan raya umum ke 13 lalu, Hadi menewaskan calon BN, Yahya Khatib Mohamad dengan majoriti 5,124 undi di kerusi Marang.
Di Pekan, Bersatu yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad akan meletakkan calonnya melawan Najib.
Antara pemimpin politik yang berminat untuk bertanding di kerusi tersebut ialah bekas ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Nor yang berazam untuk menewaskan Najib di situ.
Pemimpin akar umbi Bersatu di Pekan, Abdul Rahman Mohd Nor turut menyatakan kesediaan untuk bertanding di situ sejak Mac tahun lalu.
Antara halangan utama calon PH di Pekan adalah lapan peti undi dalam kawasan Felda yang memberi majoriti kepada Najib dalam PRU13. Pengundi Felda dijangka bertambah lagi dalam pilihan raya kali ini.
Dalam PRU13, calon PKR hanya mendapat kira-kira 35% daripada undi yang dikira di lapan peti undi ini, iaitu 3,507 undi berbanding 9,838 undi diraih Najib.
Oleh itu, Bersatu meletakkan calon di kerusi ini dengan sandaran bahawa Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad akan dapat memecah penguasaan BN di kawasan Felda.
Najib memenangi kerusi ini dengan 51,278 undi, lebih 35,613 undi berbanding 15,665 undi yang diraih calon PKR, Mohd Fariz Abd Talib.
Di Bentong, DAP dijangka akan meletakkan calon lamanya, Wong Tack bagi melawan Presiden MCA, Liow Tiong Lai sekali lagi.
Dalam PRU13, Wong kalah tipis dengan majoriti 379 undi sahaja. Menurut sumber DAP, Wong dijangka akan dikekalkan di situ "kecuali ada perubahan di saat akhir."
DAP juga berdepan dengan pengundi Felda yang menyumbangkan 17% atau 10,986 undi yang dikira untuk kerusi ini dalam PRU13.
Daripada jumlah itu, DAP hanya mendapat 3,326 undi dari lapan peti undi Felda berbanding calon BN yang mendapat 7,660 undi.
Menurut sumber, Presiden MCA itu telah memberikan khidmat yang sangat baik kepada pengundi Felda.
"Mereka ibarat anak emas buat Liow Tiong Lai kerana merekalah penyelamat beliau dalam PRU13 lalu," kata penganalisis politik, Hisommuddin Bakar.
Di Bagan Datoh, calon PKR akan melawan Zahid Hamidi sekali lagi. Dalam PRU13, calon PKR Madhi Hassan tewas di tangan Zahid dengan majoriti 2,108 undi.
Menurut sumber, PKR bakal meletakkan calon baharu bagi menentang Zahid dan nama Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Mat Shuhaimi Shafie, ADUN Sri Muda, Selangor ada disebut untuk dijadikan taruhan.

1 ulasan:

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA