Rabu, 3 Januari 2018

Dr M: Saya berani junjung al-Quran tak pecat ketua hakim Salleh Abbas

Bekas perdana menteri itu menuding jari ke arah peguam negara ketika itu, Abu Talib Othman yang menggunakan namanya untuk melindungi Yang di-Pertuan Agong ke-8, Sultan Iskandar Sultan Ismail atas pemecatan Salleh Abbas.
mahathir-talk-1PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau berani bersumpah menggunakan al-Quran tidak terbabit dalam pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas pada 1988.
Sebaliknya, bekas perdana menteri itu menuding jari ke arah peguam negara ketika itu, Tan Sri Abu Talib Othman yang menggunakan namanya untuk melindungi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-8, Sultan Iskandar Sultan Ismail susulan pemecatan itu.
“Peristiwa pemecatan Tun Salleh bukan kerana saya. Malangnya untuk selamatkan nama YDPA. Peguam negara pada masa itu guna nama saya, konon saya suruh.
“Saya tidak campur tangan langsung, kemudian baru saya tahu konon dia (peguam negara) kata saya suruh. saya berani junjung Quran masuk dalam masjid dan bersumpah bahawa saya tidak suruh,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan Salleh dipecat kerana menyuarakan rasa tidak puas hati ekoran pencemaran bunyi yang berpunca daripada pengubahsuaian di kediaman persendirian Sultan Johor itu.
“Surat dihantar oleh Salleh kepada YDPA, dia buat aduan sebab rumahnya berhampiran rumah persendirian YDPA dan masa itu ada penambahbaikan di rumah Agong. Akibat bunyi bising, jadi Salleh tulis surat kepada YDPA untuk hentikan bising.
“…surat itu juga dihantar kepada semua raja. YDPA amat murka, minta saya buang Salleh, saya kata tidak boleh. Kalau nak buang, kena guna tribunal.
“YDPA kata buat tribunal, saya hanya buat apa YDPA iktirafkan, saya sendiri tak boleh buat,” katanya yang memimpin negara mulai 1981 hingga 2003.
Salleh kemudiannya dihadapkan ke Tribunal Kehakiman sebelum dipecat atas dakwaan salah laku pada 1988.
Tahun lalu, Dr Mahathir dilapor menyalahkan Abu Talib kerana menggunakan namanya untuk memecat Salleh disebabkan Agong marah dengan aduan bunyi bising akibat pengubahsuaian di kediaman Sultan Johor itu.
Anak Sultan Iskandar, Tunku Abdul Majid Idris Sultan Iskandar bagaimanapun mendakwa Dr Mahathir “menggunakan” nama Agong untuk menyingkirkan Salleh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA