Jumaat, 5 Januari 2018

Dr M: Mufti sanggup isytihar ajaran Arqam sesat tapi bisu Amanat Hadi

Amanat Hadi menyebabkan perpecahan dan sehingga hari ini ada yang percaya orang Umno yang tidak menyertai PAS adalah kafir.

PETALING JAYA: Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan kritikan terhadap mufti yang membisu dalam isu “Amanat Hadi”.
Ini kerana kegagalan para mufti menangkis secara berkesan perbuatan politik Hadi menyebabkan amanat itu telah memesongkan agama orang Islam, katanya.
“Oleh kerana mufti tidak memberi pendapat tentang pengkafiran ini, walaupun sanggup menafikan ajaran sesat Arqam Ashaari, Ayah Pin dan beberapa tokoh lain maka ramai orang Islam percaya dan taksub dengan dakwaan Hadi dan PAS.
“Sehingga ke hari ini mufti tidak menolak dakwaan PAS dan Hadi. Di Terengganu masih ada orang Islam yang percaya bahawa orang Umno dan orang lain yang tidak menyertai PAS adalah kafir,” katanya dalam satu surat kepada Utusan hari ini.
Bekas perdana menteri itu mengingatkan Amanat Hadi meninggalkan kesan yang besar pada masyarakat, sehinggakan sesetengah pihak mendakwa ibu bapa sendiri sebagai kafir dan berkahwin sekali lagi.
“Ada yang tolak makan sembelihan orang Umno sebagai haram, sembahyang berasingan imam, mendirikan masjid sendiri dan bermacam-macam lagi kerana kononnya kerajaan Malaysia kafir dan orang yang tidak sertai PAS kafir,” katanya.
“Semua ini dilaporkan oleh Utusan dahulu,” tambahnya.
Beliau menjawab laporan Utusan di mana akhbar itu melaporkan bekas perdana menteri itu menggelarkan para mufti sebagai kafir.
Dr Mahathir dalam suratnya menjelaskan ucapannya 30 Disember tahun lepas di mesyuarat agung tahunan pertama PBBM di Shah Alam, dan berharap Utusan memasukkan penjelasannya dalam akhbar terbitan mereka.
“Apa yang saya kata ialah jika mufti tidak menolak dakwaan PAS dan amanat Hadi, bahawa orang Islam yang bekerjasama dengan orang kafir menjadi kafir, maka mufti juga akan jadi kafir kerana mereka tidak menyatakan penolakan mereka.
“Hakikatnya ialah jika orang bukan PAS termasuk saya dianggap kafir, maka mufti juga boleh dikatakan kafir kerana tidak menyertai PAS. Jika amanat Hadi diterima, mufti bekerja dan menjadi pegawai dalam kerajaan dalam kerajaan kafir. Benarkah?”

Hadi semasa menjawab Dr Mahathir 31 Disember lalu berkata mufti berdiam diri pada masa itu kerana ia lebih selamat.
Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Mohd Zainul Abidin berkata Majlis Fatwa Kebangsaan sudah melaksanakan tugas apabila mengisytiharkan Amanat Hadi sesat, manakala Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata mufti selaku pemimpin agama tidak mahu terlibat dalam politik kerana tidak mahu dituduh tidak berkecuali.
Dr Mahathir terima mufti tidak harus terlibat dalam politik, namun mufti mempunyai tanggungjawab untuk membetulkan keadaan akibat perbuatan Hadi.
“Apabila agama diperalatkan untuk politik dengan mengelirukan orang Islam, amatlah penting dan menjadi tanggungjawab mufti memberi penjelasan sama ada pendapat orang politik itu benar-benar berasas kepada Islam.”

3 ulasan:

  1. Allah Maha adil lagi bijaksana. Setiap fitnah dan tuduhan palsu akan kembali menimpa yang menuduh akhirnya jadi kenyataan,

    Sibuk sangat mengkafir orang lain mengikut nafsu sendiri akhirnya di akhir umur si Hadi kuat Sembang ini yang jadi kafir yang menjilat ludah sendiri. Taubatlah wahai PAS .

    BalasPadam
  2. Hadi ni perosak PAS. PAS sebenarnya hanya sebuah parti politik bukan agama. Tolak PAS bukan bererti tolak Islam.

    Pas di bawah Hadi dah jadi Parti Telur Ayam. Rosak Pas kerana kepimpinan yang lemah.

    Ketiadaan TGNA menyebabkan PAS hilang halatuju.

    Hadi dengan Amanatnya: HADI MESTI MOHON MAAF KEPADA ORANG ISLAM.

    BalasPadam
  3. Hidup Tun. Hadi kami TOLAK.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA