Sabtu, 13 Januari 2018

Dr M: Menang bola pun mahu cuti, tapi gaji nak lebih

Bapa pemodenan Malaysia mengkritik orang Melayu yang mempunyai kebolehan setanding orang Eropah, Cina dan Jepun tetapi mengamalkan budaya yang menghalang kemajuan.
mahathirmeeting
CYBERJAYA: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik orang Melayu yang mempunyai kebolehan setanding orang Eropah, Cina dan Jepun tetapi mengamalkan budaya yang menghalang kemajuan.
Beliau membidas sikap orang Melayu yang tiada komitmen yang tinggi sewaktu melakukan pekerjaan tetapi mahukan gaji yang tinggi dan sering mengambil cuti.
“Kita suka kerja kurang tetapi gaji lebih. Kalau lihat sekarang ini, cuti di Malaysia cukup banyak. Kadangkala ambil cuti pada Jumaat dan Isnin untuk cuti selama 4 hari.
“Saya tidak bersetuju. Walaupun hari Sabtu kena kerja. Menang bola sepak pun mahu cuti,” katanya di sesi dialog Bicara Wawasan 2020 hari ini.
Dr Mahathir, yang menerima jolokan Bapa Pemodenan Malaysia, terkenal dengan kritikan terhadap bangsa Melayu sepanjang 22 tahun pemerintahannya (1981-2003). Beliau dalam bukunya, The Malay Dilemma, membedah kegagalan bangsa Melayu dalam ekonomi.
Di program hari ini, Dr Mahathir yang menubuhkan PPBM dan menyertai Pakatan Harapan pada 2017, turut mengkritik sikap orang Melayu yang kurang tekun bekerja, kurang amanah dan suka mencari jalan mudah.
“Kalau kita sedang kejar orang di depan, tentulah kita kena lari lebih laju bukannya lebih perlahan dari orang depan.
“Bukan kerana kita tidak boleh, tetapi tidak mahu,” tambahnya.
Beliau berkata orang Melayu harus mencontohi budaya orang Jepun yang rajin bekerja dan malu dengan mutu kerja yang tidak memuaskan.
“Semasa saya jadi menteri pelajaran, saya dapati ada kakitangan yang balik seawal jam 3.00 petang. Saya tanya ketua setiausaha, ‘kenapa kakitangan balik jam 3.00 petang?’. Jawapan yang diberikan adalah untuk elakkan kesesakan trafik.
“Kita seharusya mesti menyampaikan sesuatu perkara itu dengan baik supaya tidak merasa malu, dan dengan itu kita boleh merasa bangga,” katanya.
Dr Mahathir, yang kini menerajui Pakatan Harapan menuju pilihan raya umum ke-14 yang akan diadakan tidak lama lagi, berikar akan menggubal sukatan matapelajaran di sekolah agar menerapkan lebih banyak nilai yang boleh mengubah bangsa Melayu.
“Kalau PH menang, saya nak ‘pegang leher’ menteri pendidikan. Saya hendak masukkan dalam kurikulum…pelajaran yang boleh memberi kejayaan, seperti mana nilai yang ada dalam Al-Quran,” katanya.

1 ulasan:

  1. Setuju tun!!

    Lg2 staf government..pemalas!
    Keje sikit tp mintak lebih..!!
    Bonus nak berbulan2,bantuan khas bersepah..pinjaman bank cukup senang dan s3gala kemudahan disediakan tp kerja xde pun nampak perfect dari sudut SOP..
    Kasi berigt sikit diorang2 ni..

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA