Rabu, 10 Januari 2018

Arab Saudi, Israel sahabat baik, kata pengerusi Yayasan 1Malaysia

Chandra Muzaffar berkata pengaruh Iran yang semakin meningkat di Timur Tengah membimbangkan kedua-dua sekutu AS.
Chandra-Muzaffar-arab-israel-hubunganArab Saudi dan Israel bersatu atas dasar permusuhan mereka terhadap Iran, di samping kebimbangan terhadap pengaruh negara Teluk itu yang semakin meningkat, kata aktivis sosial Dr Chandra Muzaffar.
“Iran dianggap sebagai ancaman besar kerana pengaruhnya berkembang di rantau ini, dan pengaruh ini berkembang kerana kebodohan Amerika Syarikat (AS) dan Israel sendiri,” kata Chandra, yang juga pengerusi Yayasan 1Malaysia, pada forum mengenai Baitulmaqdis hari ini.
Chandra, yang mengetuai Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST), berkata Washington membuat kesilapan semasa menggulingkan Saddam Hussein dengan harapan mewujudkan kerajaan yang lebih mesra dengan AS.
“Jadi, mereka mengambil alih Iraq dengan harapan mereka akan dapat menubuhkan rejim di negara itu tetapi kepimpinan yang muncul lebih cenderung ke arah Iran, dan ini adalah kesilapan besar,” katanya.
Chandra berkata tidak seperti AS yang melancarkan serangan besar-besaran di Iraq pada 2003, Iran sebaliknya memenangi hati rakyat Iraq “tanpa melepaskan satu das tembakan pun”.
“Saya rasa itulah perbezaan antara orang yang bermain baseball dan mereka yang bermain catur,” katanya.
Beliau berkata ada di kalangan rakyat Malaysia tidak faham geopolitik Timur Tengah, lalu menyokong pendirian Arab Saudi menentang Iran, dan menafsirkan persengketaan mereka mengenai istilah mazhab.
Beliau berkata konflik Sunni-Syiah kebelakangan ini hanyalah fenomena yang baru.
“Ada masanya – seperti sewaktu mereka memerangi penjajahan British di Iraq – kedua-dua puak Sunni dan Syiah menunjukkan kerjasama yang besar.”
Chandra berkata hubungan rapat Arab Saudi dengan Israel juga atas dasar mereka berdua merupakan sekutu utama Washington.
“Para elit Saudi memandang AS untuk kepimpinan global, itulah kiblat mereka,” kata Chandra.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA