Selasa, 2 Januari 2018

Apa yang baru dengan Pakatan?

SETIAP pagi bangun tidur, saya akan tertanya apakah hari ini akan diumumkan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada pilihan raya?
Rupanya ghairah untuk mengundi kali pertama ini boleh tahan juga. Dan terus-terang, saya pasti mahu mengundi Pakatan Harapan (PH).
Sejak dua menjak ini, saya selalu juga berjumpa kawan-kawan lepak dan kadang kala kami berborak hingga topik politik dan mengundi. Ada kawan yang menyokong Barisan Nasional (BN), ada yang sokong PH.
Baru-baru ini pada malam tahun baru, kami keluar naik kereta bersama dan lepak di bahu jalan AKLEH sebab hendak lihat bunga api di KLCC. Ceritanya disebabkan sampai awal,  kami pun bersembang di tepi jalan sampailah masuk bab politik.
Macam-macam jugalah yang dibincangkan; ada kawan kata BN sudah buat macam-macam untuk kita. Ada pula yang cepat menyanggah dengan menyebut semua masalah yang ditimbulkan Perdana Menteri Najib Razak dan BN.
Sembang kami ini sehinggalah membawa kepada isu kos sara hidup yang tinggi dan pastinya masalah rasuah yang banyak dalam Umno dan BN. Akhirnya kami secara longgar agak bersetuju yang perlunya berlaku perubahan kerajaan di Malaysia.
Kawan kami yang menyokong BN tadi bertanya;
“Korang sokong Pakatan sangat ini, apa benda baru yang korang nak bawa?”
Aku pun jawablah dengan bersungguh-sungguh,
“Macam-macam, kita nak hapus GST (cukai barangan dan perkhidmatan), kita nak hapus tol, kita nak lawan rasuah, nak bebas Anwar Ibrahim. Lepas itu kita nak bagi perdana menteri baru yang baguslah!”
“Okaylah korang nak buat semua itu. Tapi aku tengok tiada apa yang baru pun. Kata nak pembaharuan, sama je!” kawan kami yang tadi membalas.
Aku dan kawan lain terpinga. Dia pun terus berceloteh.
“Kalau hendak baru, biar betul-betul barulah! Cerita hendak hapus itu ini aku dah dengar sejak dulu lagi. Tapi ini balik-balik Anwar, Lim Kit Siang, Kak Wan (Dr Wan Azizah Wan Ismail). Hadi Awang tu memang kita tak peduli dah. Sekarang ini korang nak ambil Tun M (Dr Mahathir Mohamad) yang 92 tahun jadi PM. Apa korang ini tak ada orang lain ke? Apa dalam PH korang itu kena pusing-pusing guna orang-orang tua yang samakah?“
“Cuba kau tengok Umno, mana ada Najib atau (Ahmad) Zahid Hamidi yang letak anak menjadi ahli Parlimen untuk jadi pewaris. Korang tengok Pakatan. DAP ada Kit Siang bagi pada Guan Eng. Tun M sibuk nak jaga Mukhriz. Anwar pula nak bagi isteri atau Nurul Izzah. Umno pun sudah tdiak nepotisme macam dulu! Semua sudah pindah kepada PH,” tergelak-gelak kawan kami itu berhujah.
Dia menyambung;
“Aku ini first time juga hendak mengundi. Aku pun bukan tak baca pasal 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan Felda ini semua. Aku yang baru grad ini pun tengah susah cari kerja. Tapi korang kata hendak bawa perubahan, nak ubah negara, nak buat yang baru.
"Kenapa nak angkat orang-orang yang lama? Apa tak ada ke orang baru? Apa selama 20 tahun reformasi, korang jadi pembangkang, tak ada ke pemimpin baru yang muda sikit yang boleh offer jadi PM? Kalau korang masih nak bagi Tun M jadi PM atau balik-balik Anwar, lebih baik aku undi BN! Sebab undi PH pun bukan ada benda baru, semuanya recycle!
“Kalau hendak undi aku, make sure calon PM yang muda sikit. Calon yang memang kita tengok yakin dan terbukti boleh buat kerja. Tak ada dosa-dosa dulu. Lepas itu tidaklah nampak nepotismenya.
"Biar muka baru, yang rakyat terutamanya orang muda macam kita ini dapat terima. Tun M, Anwar, Kit Siang, Kak Wan ini semua boleh tolong kempenlah. Kempen kuat-kuat ajak rakyat berubah, bukan berebut hendak jadi PM. Letak calon PM yang muda dan terbukti, baru boleh dapat undi aku!” dengan tegas kawan kami bercakap.
Aku pun mula mencelah;
“Habis itu, kau hendak siapa daripada PH jadi PM?”
“Eh, itu korang kena fikir sendirilah! Kalau aku beritahu nanti, habislah kalah BN!” tersengih-sengih kawan kami itu berseloroh.
Tidak lama selepas itu, dentuman pun mula kendengaran dan percikan bunga api pelbagai warna dan corak memenuhi ruang angkasa berlatarbelakangkan bangunan pencakar langit KLCC dan ibu kota Kuala Lumpur.
Kami pun mula mengeluarkan telefon bimbit untuk merakam instastory masing-masing bagi menandai permulaan tahun baru 2018 buat diri kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA