Rabu, 10 Januari 2018

Adakah serbuan SPRM berkait dengan PRU14, soal Guan Eng

Adakah serbuan SPRM berkait dengan PRU14, soal Guan Eng
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri tidak tahu mengenai serbuan itu, dan projek berkenaan tetap berjalan kerana ia diberikan mengikut proses tender terbuka. 
KERAJAAN negeri Pulau Pinang memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatannya terhadap projek terowong dasar laut, kata ketua menteri Lim Guan Eng yang mempertikaikan serbuan dibuat di pulau itu semalam.
SPRM semalam menyerbu beberapa pejabat termasuk Jabatan Kerja Raya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian, dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, serta tiga syarikat pembangunan hartanah dan pembinaan.
Lim berkata agensi anti rasuah itu memulakan siasatan sejak 2016, dengan kerjasama penuh daripada kerajaan negeri.
Katanya, SPRM sudah menyita banyak dokumen, jadi apa keperluannya untuk mengadakan serbuan semalam.
“Saya terkejut kenapa siasatan masih tidak siap sampai sekarang. Mereka mulakan siasatan ini sejak 2016, dan kini ia masih diteruskan.
“Saya terkejut kerana projek itu diberikan menerusi tender terbuka, yang dipantau oleh syarikat perakaunan antarabangsa KPMG. Keputusan pemberian tender itu dibuat oleh exco kerajaan negeri.
“Saya berharap ini bukan kerana pilihan raya semakin hampir atau serangan oleh pro Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan negeri,” katanya pada sidang media hari ini.
SPRM hari ini mereman dua pengarah syarikat di mahkamah majistret di George Town dan Putrajaya berkaitan siasatan itu.
Projek terowong itu yang dijalankan oleh Consortium Zenith Construction Sdn Bhd selepas memenangi tender terbuka pada 2013, terbahagi kepada dua bahagian.
Selain terowong sejauh 7.2km menghubungkan Butterworth di tanah besar dan Persiaran Gurney di bahagian pulau, ia juga membabitkan pembinaan tiga jalan utama.
Ia termasuk 10.53km jalan Tanjung Bungah-Teluk Bahang di bahagian utara, 5.7km Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu-persimpangan Air Itam dan 4km Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu-persimpangan Persiaran Gurney.
Projek bernilai RM6.3 bilion itu kali pertama dimaklumkan kepada warga Pulau Pinang ketika PRU 2013. Ia dibantah keras dan dikritik hebat oleh BN.
Selama bertahun-tahun, beberapa parti membuat laporan dengan SPRM berhubung projek itu.
Laporan terkini dibuat oleh Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Huan Cheng Guan, pengkritik tegar terhadap pentadbiran DAP itu, di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Lim berkata Pulau Pinang akan meneruskan projek itu kecuali jika mahkamah mengarahkan sebaliknya.
Pada masa sama, Lim turut mempertikaikan kenapa terlalu banyak publisiti tentang terowong itu tetapi tidak terhadap skandal tanah membabitkan agensi kerajaan persekutuan, Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang kerana menjual tanah kerajaan di Nibong Tebal kepada syarikat swasta pada 2015 dengan nilai kerugian RM15.2 juta.
“Kes itu lebih lama daripada terowong. Saya tahu SPRM siasat tetapi kenapa tahap publisitinya tidak sama?
“Mereka sepatutnya bina rumah kos rendah di tanah itu tetapi hingga sekarang tiada rancangan seumpamanya dihantar,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA