Khamis, 31 Ogos 2017

Kumpulan wartawan bantah cadangan daftar portal atas talian

Gerakan Media Merdeka (Geramm) menyatakan bantahan terhadap cadangan mendaftar semua portal media di Malaysia dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Geramm dengan ini menyatakan ketidaksetujuan kami dengan sejelas-jelasnya atas usaha yang dilihat cuba mengebiri dan memandulkan suara media Malaysia yang semakin suram.
“Sebagai permulaan, semua syarikat media di Malaysia telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan telahpun mematuhi segala undang-undang yang mengawal mereka selama ini.
“Semua portal ini juga telah dapat memohon kad media (warna kelabu) yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri serta boleh disiasat polis, boleh disaman, boleh dihadap ke mahkamah, boleh diserbu oleh pihak berkuasa seperti SKMM sendiri,” kata kumpulan wartawan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Geramm membalas Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak yang mencadangkan pada 28 Ogos lalu agar semua portal media atas talian didaftarkan dengan SKMM untuk memudahkan agensi itu memantau jumlah pengunjung satu-satu portal.

Etnik Rohingya jadi mangsa korban diambang Hari Raya Korban



Malaysia mesti segera bertindak tegas menyelamatkan kaum Rohingya Myanmar yang sedang dibunuh beramai ramai. Setelah melihat sikap Kerajaan Myanmar yang angkuh dan kejam tidak mendengar bantahan suara negara negara antarabangsa, sudah sampai masanya Kerajaan Malaysia memanggil Sidang Khas Parlimen bahas isu pembunuhan kaum Rohingya.
Apabila kami yang bersama NGO tempatan yang di ketuai oleh MAPIM hadir di Kedutaan Myanmar Kuala Lumpur pada 30 Ogos untuk menyampaikan Memorandum tentang Rohingya, sikap tidak menghormati rombongan kami dengan menghantar kakitangan bawahan menerima memo tersebut amat mendukacitakan.
Sebagai Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, saya telah membawa satu usul khas di Parlimen tahun lalu untuk membahas pembunuhan dan kekejaman ke atas kaum Rohingya di Myanmar.
Malangnya usul tersebut telah ditolak oleh Kerajaan dengan hanya ahli Parlimen Pakatan Harapan menyokong usul tersebut.
Kerajaan Malaysia mesti merasa bertanggungjawab atas apa yang berlaku hari ini kerana Malaysia telah menyokong kuat kemasukkan Myanmar kedalam ASEAN.
Malaysia juga berusaha keras untuk pembebasan Aung San Suu Kyi dari penahanan pihak tentera Myanmar sehingga beliau menjadi Perdana Menteri Myanmar hari ini.
Kegagalan Kerajaan membahas dan membuat pendirian rasmi yang tegas di Parlimen tahun lalu telah melihat pembunuhan yang lebih ganas dan meluas oleh pihak tentera Myanmar hari ini.
Menjelang Hari Raya Korban , begitu ramai umat Islam Rohingya yang kecil, tua dan wanita di korbankan oleh Junta tentera Myanmar secara terancang.
Apakah kita negara majoriti rakyat Islam masih berdiam diri sementara Pope Francis dari Vactican telah mengumumkan beliau akan ke Myanmar dalam waktu terdekat kerana krisis kemanusiaan yang makin meruncing?
Tidak malu kah Kerajaan kita yang masih berpeluk tubuh tidak bersedia pun untuk membahas isu ini di Parlimen?
Dimanakah keperhatinan kita sebagai seorang Islam melihat saudara seAgama kita di korbankan dengan begitu kejam?
Semasa Pope Francis dari Vactican merancang untuk ke Myanmar kerana isu umat Islam Rohingya, Dato Najib sibuk dengan persiapan hendak ke Amerika berjumpa dengan Presiden Trump seorang yang terkenal dengan sikap perkauman dan anti Islamnya.
Di manakah Datuk Seri Mohd Najib Razak  meletak prioriti kemanusiaan Islamnya berbanding dengan politiknya? Polisi kononnya tidak campur tangan ehwal negara ASEAN tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada Malaysia apabila beribu umat Islam tidak berdosa di bunuh begitu kejam di negara jiran.
Isu penglibatan Malaysia bersama tentera sekutu Saudi ia itu Amerika, Britain dan Peranchis menyerang negara miskin Yaman di rakamkan dalam laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), pada Januari 2017.

Merdeka dengan melawan


Merdeka dengan melawan
Sempena Merdeka soalan yang perlu ditanya adalah adakah kepembangkangan satu pengkhianatan? 
PEMANDU teksi itu mengalihkan matanya beberapa kali, dari jalan raya yang belum begitu sesak di depan ke cermin tempat duduk di sebelah kiri. Nampak benar dia terganggu. Setiap kali yakin tak ada masalah di depan, dia menoleh ke kiri melihat Jalur Gemilang yang kini terjuntai di bucu kiri bumbung teksi.
“Baru saja pasang tadi. Ada orang bagi di hujung sana. Tapi tak mahu melekat elok,” katanya.
“Tak apa, pakcik. Bendera, kita kibar dalam hati,” kata saya.
Pakcik itu ketawa besar.
“Ya, bendera... kita kibar dalam hati,” balasnya.
Saya menumpang teksi itu dekat saja, tidak sampai 3 kilometer, dari sebuah kedai kopi balik ke pejabat semalam, tidak sampai 12 jam sebelum tengah malam Merdeka. Entah kenapa suasana ambang Merdeka tidak begitu terasa. Tidak banyak kereta memasang bendera.
Pemandu teksi itu tidak banyak bercakap tetapi sempat juga dia mengadu hal tentang, apalagi, kalau bukan Grab dan Uber yang dirasakan menganggu periuk nasinya.
Dia mengutuk-ngutuk kerajaan yang membenarkan perkhidmatan kongsi kereta itu masuk ke negara ini, tanpa dia cukup memahami debat lebih besar tentang bisnes seumpamanya yang kini menonjol dalam kehidupan masa kini —  penggendala atau pencipta (disruptor or innovator) ekonomi.
Ada satu hal yang jelas. Pemandu teksi itu marah-marah kepada kerajaan tetapi dia juga sayangkan tanah airnya. Mulutnya mencaci maki hidup yang dipaksakan ke atasnya tetapi dalam hati berbunga rasa cinta pada negara. Kedua-duanya berbaur dalam sebatang tubuh.
Aneh? Tidak, kalau kita waras, tahu pakai otak dan tidak mudah kena tipu.
Yang dimarahi itu kerajaan; yang dikasihi itu negara. Yang dimarahi itu manusianya; yang dikasihi itu tanah airnya. Kerajaan boleh datang dan pergi, pemimpin juga boleh dicari tetapi tanah air ibu pertiwi tidak ada galang ganti.
Marah dan cinta yang berbaur itu hanya jadi aneh kalau misalnya kita menerima retorik politik yang kerap kita jumpa di sesetengah media atau dengar dari mulut sesetengah pemimpin: bahawa setiap penentangan dan perlawanan, setiap bantahan dan teguran kepada kerajaan adalah gerakan untuk merosakkan negara.
Kepembangkangan di negara ini — barangkali hanya di negara ini, seolah-olahnya satu jenayah. Lebih daripada itu, ada juga masanya penentangan, perlawanan, bantahan dan teguran itu dijawab dengan retorik agama sehingga menjadikan kepembangkangan satu dosa. Habis hujah patriotisme, jawab dengan hujah syurga neraka.
Apakah hanya ada satu suara saja yang dibolehkan, sehingga suara-suara dengan nada yang berlainan jadi jenayah, atau dosa?
Apakah kepembangkangan satu pengkhianatan? Kenapa kepembangkangan tidak dilihat sebagai satu juga aksi mengisi kemerdekaan?
Selalu apabila ada kritikan atau peringatan, bantahan atau penentangan, mereka yang menegur dan membangkang itu dicap mahu menjahanamkan negara, merosakkan segala yang sudah dibina dan menghancurkan masa depan. Soalnya, kenapa?

60 tahun Merdeka, tetapi ruang demokrasi sempit seperti dijajah UMNO

Sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 bagaikan hilang ertinya apabila kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) menyatakan hasrat untuk mengawal kebebasan media atas talian di negara ini melalui Suruhanjaya Komunikasi dan MultImedia (SKMM).
Datuk Seri Salleh Keruak seperti dilaporkan kelmarin berkata kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan portal berita atas talian yang mempunyai jumlah pengunjung yang tinggi untuk berdaftar dengan agensi berkenaan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengendali media atas talian sebelum mengambil sebarang keputusan bagi menyakinkan orang awam bahawa tidak berlaku sebarang tindakan pencabulan terhadap kebebasan media.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, adalah sukar untuk mempercayai kenyataan Salleh itu.
“Salleh patut tahu bahawa tidak ada sesiapapun yang akan termakan dengan jaminannya itu. Dan pihak kerajaan perlu diberitahu berulang kali bahawa tidak ada ertinya kebebasan jika kebebasan media itu sendiri tidak ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagi Charles, Sambutan 31 Ogos akan lebih bermakna jika semua rakyat Malaysia dapat merai dan merasai hak kebebasan yang dijamin setiap individu dalam sebuah masyarakat yang demokratik.
“Mengimbau semula pengalaman lepas, saya hanya nampak ruang demokrasi di negara ini semakin hari semakin menghilang, di mana pemerintah elit berterusan menentukan bagaimana kita harus berfikir, hidup dan berkasih sayang.
“Pengalaman itu memberikan saya perasaan seolah-olah dijajah semula oleh pihak penjajah yang menindas,” ujar beliau.
Kerajaan UMNO juga sebelum ini mengambil langkah terbelakang dalam aspek demokrasi apabila memperkenalkan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 yang antara lain memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat.

SUDAH MERDEKAKAH KITA?


Merdeka, merdeka, merdeka...

Sudah 60 tahun kita menyambut merdeka, tapi kali ini ada yang bangga dan merasakan kemerdekaan sebenar ialah apabila 1MDB dapat membayar hutangnya sehari lebih awal daripada yang dijadualkan.

Apakah itu patut dibanggakan?

Bukankah ia memang janji yang perlu ditunaikan?

Lagi pun,  31 Ogos iaitu tarikh akhir pembayaran perlu dibuat adalah cuti umum, jadi sudah tentu bayarannya perlu dibuat sehari lebih awal daripada itu.

Jika tidak, dengan cuti merdeka, sambung cuti Aidil Adha dan kemudian cuti tambahan lagi atas kejayaan atlit negara di Sukan SEA, sudah pasti hampir seminggu akan tertangguh lagi bayaran itu.

Bila tertangguh lagi, sudah pasti kena denda lagi sepertimana sebelum ini.

Awal bulan lalu,  disebabkan gagal melakukan pembayaran penuh AS$603 juta pada 31 Julai, IPIC setuju memberi lanjutan tempoh selama 5 hari lagi.

Kemudian, selepas 5 hari di mana 1MDB gagal juga membuat bayaran, IPIC setuju memberi tambahan masa selama sebulan lagi iaitu sehingga 31 Ogos dengan syarat bayaran AS$310 juta hendaklah dibayar pada 12 Ogos.

Tetapi, apa jadi akhirnya?

Bayaran yang dibuat kepada IPIC pada 12 Ogos itu bukan lagi AS$310 juta, tetapi AS$360 juta.

Kenapa bertambah AS$50 juta?

Bermakna, setiap kali kelewatan pasti ada harganya.

Kesimpulannya, tiada yang menghairankan bila 1MDB dapat membayar kepada IPIC sebagaimana yang dipersetujui. Ia menang kewajipan 1MDB untuk menunaikannya dan untuk mengelakkan didenda lagi.

Macam kita wajib sembahyang lima waktu dalam sehari, apakah wajar kita berbangga dan heboh sekampung ketika dapat menunaikannya tepat pada waktunya?

Salam Merdeka 60, selamat datang tukang baiki negara!


Salam Merdeka 60, selamat datang tukang baiki negara!
Dalam menyambut ulang tahun ke-60 Merdeka, mudah untuk membandingkan kemajuan kita dengan negara jiran di selatan yang berpisah lebih setengah abad lalu, dan menangis. 
GENERASI Merdeka sebelum ini sibuk membangunkan negara yang baharu. Menurap jalan, mendirikan sekolah dan hospital. Menentang komunis. Membentangkan pelan pembangunan lima tahun. Menguruskan hubungan antara kaum.
Anak-anak mereka — generasi saya — sibuk pula mengejar kemakmuran.
Kami meningkat dewasa ketika pembangunan berkembang pesat pada era Mahathir. Pasaran saham rancak, pasaran hartanah lebih rancak lagi, dan sebuah padang lumba kuda ditutup untuk dibangunkan menara berkembar yang untuk suatu ketika yang singkat jadi bangunan tertinggi di dunia.
Banyak teman universiti saya terus terjun ke lapangan bekerja di syarikat broker saham, kewangan dan firma guaman korporat. (Selepas itu, krisis kewangan Asia meledak tetapi itu cerita yang lain pula.)
Dan generasi kini?
Mereka akan membetulkan kepincangan negara ini. Semua yang dikorbankan atas nama kemajuan, atau demi politik, atau hanya kerana kita tidak peduli. Hal seperti kesamarataan sosial, dan hak asasi manusia, kebebasan media dan sebuah kerajaan yang benar-benar mewakili rakyatnya.
Dalam menyambut ulang tahun ke-60 Merdeka, adalah mudah untuk membandingkan kemajuan kita dengan negara jiran di selatan yang berpisah lebih setengah abad lalu, dan menangis.
Pernah, kita cuba mengejar negara harimau Asia – Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, Taiwan. Hari ini, kita bimbang tidak dapat terus mendahului negara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina – sambil kita bertenggek pada China yang sedang melonjak.
Tetapi tidak usah bersusah payah merenung untuk menemukan contoh kebijaksanaan, harapan dan pembaharuan. Ketika ramai dalam kalangan kita yang berdukacita mengenangkan keadaan negara, atau berhijrah, ramai juga tampil dan melakukan sesuatu yang menarik, dan ini berlaku dari peringkat akar umbi.
Ini sedikit sebanyak ada kaitannya dengan perubahan global yang lebih luas, dengan gendala dan kebebasan yang dibawa oleh Internet, runtuhnya kerjaya tradisional dan bangkitnya ekonomi yang mengupah pekerja sementara. Namun ada juga keinginan untuk melakukan sesuatu yang berbeza.
Kita lihat ada rakyat Malaysia yang menangguhkan kerjaya untuk mengajar di sekolah di pedalaman dan menawarkan tuisyen percuma kepada mereka yang memerlukan, melalui kumpulan seperti Teach for Malaysia dan Teach for the Needs.
Kita lihat ada rakyat Malaysia yang memulakan perniagaan, kecil dan besar yang menggantikan perniagaan tradisional. Masih ingat MyTeksi yang muncul beberapa tahun lalu? Ia sekarang dikenali sebagai Grab dan sudah mengembangkan perkhidmatan ke enam negara, memberikan saingan kepada Uber dan pada masa yang sama, memudahkan perjalanan kita.
Kita lihat ada rakyat Malaysia yang turun ke jalan untuk menyatakan pendirian atas isu yang sangat dekat di hati mereka. Lihatlah gelora kuning yang menyapu ibu negara setiap kali Bersih mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya adil.
Ini sesuatu yang tidak dapat dibayangkan pada 1980-an malah sampai ke akhir 1990-an, sebelum pemecatan seorang bekas timbalan perdana menteri yang memecahbelahkan negara.
Kita lihat anak-anak muda Malaysia menulis dan membaca semula.
Dunia penerbitan buku mandiri rancak menerbitkan ratusan judul kebanyakannya dalam Bahasa Melayu, dan ada juga dalam Bahasa Inggeris. Buku Fixi memperkenalkan puluhan penulis baru, menjejak mereka melalui media sosial, dan begitu juga pesaingnya Lejen Press (dengan slogan: “I am Lejen”). Karya baru ini kasar, dan tidak mesti selalu betul nahunya, dan tidak juga perlu indah, tetapi seperti yang disebut oleh sasterawan negara A. Samad Said: “Ia jujur.”

Pertahan Merdeka atau hilang kuasa, kata Dr Mahathir

Beliau memberi amaran kelekaan mungkin boleh menyebabkan kuasa diserahkan kepada pelabur kaya dan pekerja asing berkemahiran.
mahathir-merdekaPUTRAJAYA: Laporan akhbar sejak beberapa minggu kebelakangan ini seolah menunjukkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat semakin luntur walaupun negara menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-60.
Kerajaan nampaknya bersetuju. Jika tidak, mengapa mereka pertimbangkan sama ada mahu mengarahkan perniagaan mengibarkan bendera negara.
Seorang pengkritik kerajaan juga merasakan semangat patriotik semakin luntur, dan beliau akan menjelaskan mengapa.
Dalam temu bual dengan FMT, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tanggapan seseorang terhadap kemerdekaan negara berbeza mengikut era orang itu dilahirkan.
Katanya, mereka yang lahir selepas kemerdekaan akan menganggap Merdeka “perkara biasa”.
“Bagi saya, Merdeka itu keistimewaan. Sebab saya pernah hidup sebagai orang yang dijajah pihak asing. Jadi saya rasai perubahan itu.”
Menurut beliau, manusia hanya akan perasan “perkara baik dan buruk keadaan silam, jika dibandingkan dengan keadaan sekarang”, hanya apabila ada perubahan.
Dr Mahathir berusia 32 tahun apabila Tanah Melayu merdeka dari pemerintahan British. Beliau merasai penghinaan tidak diberi kuasa menentukan apa yang berlaku di tanah sendiri.
Dalam beberapa temubual media, Dr Mahathir pernah berkata apabila beliau menjadi perdana menteri pada 1981, misi beliau ialah membawa Malaysia menuju kegemilangan supaya dunia akan hormat dan mengagumi negara ini.
Ramai pengulas percaya beliau berjaya dalam misinya itu. Sememangnya, Dr Mahathir dikenali sebagai Bapa Kemodenan, walaupun pengkritiknya berpendapat beliau sekadar memodenkan luaran negara, melalui “projek mega” seperti Menara Berkembar Petronas, struktur tertinggi dunia dari 1998 hingga 2004.
Bagaimanapun pengkritiknya juga tidak akan menafikan jurang kekayaan antara orang Melayu dan kaun laim menjadi rapat di bawah pentadbirannya. Beliau mencapai tujuan itu dengan memulas pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, yang diperkenalkan perdana menteri terdahulu Tun Abdul Razak Hussein, negarawan yang dikaguminya.
“Berbanding negara lain yang mencapai kemerdekaan pada masa yang sama dengan kita, kita berjaya membangunkan negara kita dengan lebih pantas,” kata Dr Mahathir.

Akar umbi kurang yakin komitmen Azmin kukuhkan Pakatan Harapan



Komitmen timbalan presiden PKR Datuk Seri Azmin Mohamed Ali untuk memperkukuhkan Pakatan Harapan (PH) diragui kumpulan akar umbi gabungan parti pembangkang tersebut melainkan beliau melaksanakan empat perkara.
Azmin AliDalam satu kenyataan media, Gerakan Aktivis Harapan (GAH) mendesak naib presiden PH itu untuk membentuk sekretariat PH Selangor, mengusir Pas daripada kerajaan Selangor, mengarahkan PKR Kelantan menolak lantikan politik dalam kerajaan negeri dan menerima secara inklusif penyokong PH dalam keputusan dasar politiknya.
Dalam satu kenyataan yang dipetik portal Selangorkini.com, Azmin mengakui menerima keputusan PH untuk menolak sebarang perbincangan dengan Pas dan berjanji akan memperkukuhkan jentera pilihan raya bagi menghadapi sebarang kemungkinan pertandingan tiga penjuru.
Bagaimanapun GAH mengakui 'tidak teruja' dengan pengakuan Azmin dan menyifatkan kenyataan itu sebagai 'melepaskan batuk di tangga'.
Sehubungan itu, GAH turut menyokong hasrat ahli akar umbi PKR yang mendesak diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) atau kongres khas bagi membincangkan hal kerjasama dengan Pas dan mahu Azmin menjawab segala persoalan berhubung sikap tidak konsisten biro politik PKR yang dipengerusikan olehnya dalam melaksanakan keputusan parti khususnya merujuk hubungan PKR dan Pas.

Gembleng kekuatan semangat bina semula negara Malaysia



Ulang tahun kemerdekaan ke-60 ini rakyat perlu mengembeleng kekuatan semangat agar ianya memberikan makna sebenar kepada kemerdekaan iaitu kemerdekaan baru untuk bangkit membina semula negara Malaysia sebagai rumah dan tanah tumpah darah yang berdaulat untuk sekelian warganya.
Demikian pandangan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang kini berada di Arafah untuk  untuk melaksanakan wukuf yang merupakan salah satu dari rukun ibadah haji.
Kata beliau,  tidak lupa kepada Malaysia tanah air tercinta yang menyambut hari ulangtahun kemerdekaan kali ke 60 hari ini.
"Salam merdeka dari Arafah. Saya rakamkan rasa syukur kepada Allah SWT yang mengurniakan nikmat kemerdekaan dan kebebasan kepada negara dan rakyat Malaysia selepas ratusan tahun berada di bawah belenggu penjajahan.
"Disamping itu,saya juga dengan rendah diri berdoa kehadrat ilahi agar nikmat ini berkekalan," ujarnya dalam kenyataan.

 Bagaimanapun beliau berkata, tidak mampu menyembunyikan rasa kesayuan dihatinya tatkala mengenangkan usia kemerdekaan Malaysia yang mencecah 60 tahun ini. "Rasa nikmat kemerdekaan dan kebebasan seakan direntap dari jiwa sanubari kita apabila kita dipertontonkan dengan kepincangan,salahlaku pentadbir, penyelewengan dan ketidakadilan yang berlaku di dalam negara kita yang tercinta ini.
"Usia 60 tahun sewajarnya menjadikan sistem politik negara lebih diyakini dan pentadbiran pemerintah kita semakin matang.
"Ketelusan, integriti dan akauntabiliti seharusnya menjadi pegangan dan amalan seluruh warga Malaysia, dari pemimpin hingga rakyat biasa.
"Sikap toleransi, kesederhanaan dan juga saling menghormati pula sepatutnya mendasari amalan perhubungan antara rakyat berbilang kaum dan agama di bumi Malaysia yang tercinta ini.
"Sedarlah kita bahawa kemerdekaan akan hilang penghayatan dan roh sekiranya rakyat masih membiarkan diri dan negara terus 'dijajah' oleh rasa takut dan gerun untuk membawa obor perubahan ke landasan kebenaran yang lebih adil.
"Warna kemerdekaan juga akan pudar apabila kita gagal membebaskan negara dari belenggu korupsi, kleptokrasi dan juga kolusi.
"Dalam sejarah negara,tidak pernah kita *menyambut kemerdekaan dalam suasana genting serta penuh kehinaan* apabila MO1 (Perdana Menteri) sendiri terpalit dengan tuduhan penyelewengan dan penipuan yang mencecah jumlah yang besar.

Rundingan PKR-Pas: Azmin masih menaruh harapan?



Walaupun Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengesahkan tiada lagi rundingan membabitkan gabungan itu dengan mana-mana parti politik, namun Datuk Seri Mohamed Azmin Ali percaya masih wujud ruang ke arah permuafakatan.
Naib Presiden PH  itu  dilaporkan berkata, usaha permuafakatan akan diteruskan sehingga pertimbangan akhir dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) membabitkan persetujuan semua pihak.
“Keputusan ini kita terima dan akan melaksanakan gerak kerja membina jentera bagi PRU14, selaras keputusan Majlis Pakatan.
“Namun, saya masih boleh bercakap dengan sesiapa pun (perbincangan muafakat) ke arah itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Kemerdekaan Peringkat Selangor, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi seperti dilapor Selangorkini.
Terdahulu, Pakatan dalam kenyataan bersama pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga timbalan presiden iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu memaklumkan rangka strategi berdepan kemungkinan PRU giat dilaksanakan.
Ini termasuk strategi jika berlaku pertembungan dengan parti politik pembangkang dalam usaha menumbangkan Umno-Barisan Nasional pada PRU-14.

Untuk tempoh kini, pemuafakatan gabungan parti politik pembangkang kekal mengikut mandat rakyat dalam PRU-13 lalu yang menyaksikan Umno-BN gagal memecah populasi undi Pakatan di Selangor. Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin turut menafikan spekulasi negatif media yang melaporkan kegagalannya hadir, pada mesyuarat Pakatan, baru-baru ini.
“Saya ada tugas lain,” katanya ringkas.

Realiti selepas bergembira

KAMI faham.
Ini peluang terbaik untuk ahli politik yang hendak menghadapi pilihan raya, sama ada untuk bertanding atau mengalah. Negara kita baru saja menang besar dengan kutipan pingat emas terbanyak dalam Sukan SEA dan juara-juara tanahair ini memberikan kita satu perasaan yang damai.
Mereka ini sama saja seperti, rakyat Malaysia yang berhempas pulas menghadapi semua halangan untuk membawa kegemilangan kepada keluarga dan negara.
Pencapaian cemerlang dan sambutan kegembiraan buat juara-juara sanjungan. Satu kombinasi yang gemilang.
Dan kemudian hari ini kita raikan pula Hari Kebangsaan Malaysia ke-60. Waktu untuk refleksi dan berterima kasih.
Jadi kami faham keinginan kerajaan Najib Razak untuk terus memacu ledakan patriotisme dan nasionalisme. Ahli politik akan sentiasa mencari sebarang kelebihan untuk terus kekal berkuasa.
Media arus perdana menyiarkan berita utama yang indah-indah saja. Malah, ada satu media itu mengisytiharkan ada ruang bagi setiap rakyat Malaysia di bawah mentari Malaysia. Subteks dalam semua laporan media itu ialah perpaduan berjaya dilaksanakan selama berdekad dan perpaduan dalam kalangan semua kaum perlu sentiasa dihargai dan dipertahankan.
Kami faham Najib mahu menggunakan gelombang ini selama mana yang dia boleh. Sesetengah penganalisis politik percaya yang Najib akan mendapat mandat baharu pada Oktober, sejurus selepas dua acara penting – lawatan ke White House dan pembentangan Bajet.
Ramai percaya yang perdana menteri sedang menunggu selepas Tahun Baru Cina. Namun itu terpulang padanya dan keputusannya terserah pada kita.
Di sebalik semua itu, kita patut raikan pencapaian atlet kita. Kita patut raikan tanah air yang dirahmati ini.
Tetapi apa yang lebih penting ialah, kita patut bertindak sama ada cakap-cakap mengenai perpaduan dan meraikan perbezaan itu hanya sekadar cakap saja.

PAKATAN HARAPAN MAJU SETAPAK LAGI, PAS TIADA PILIHAN LAGI SELAIN SEGERA ”BERKAHWIN’ DENGAN UMNO


KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN
Majlis Presiden Pakatan Harapan telah membuat ketetapan berkenaan Pengerusi-Pengerusi Pakatan Harapan bagi negeri-negeri seperti berikut:
Selangor – YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Pulau Pinang – YAB Lim Guan Eng
Johor – YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Kedah – YB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir
Pahang – YB Dato’ Fauzi Rahman
Perlis – YBhg Tn Hj Ameir Hassan
Wilayah Persekutuan – YB Tan Kok Wai
Kelantan – YB Dato’ Husam Musa
Terengganu – YB Dato’ Raja Kamarul Bahrin
Negeri Sembilan – YB Aminuddin Harun
Perak – YBhg Ahmad Faizal Dato’ Azumu
Melaka – YBhg Tn Hj Adli Zahari
Sabah – YB Christina Liew
Sarawak – YB Chong Chien Jien
YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad
Pengerusi Pakatan Harapan
YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Pakatan Harapan
YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Presiden Pakatan Harapan
YAB Lim Guan Eng
Timbalan Presiden Pakatan Harapan
YBhg Hj Mohamad Sabu
Timbalan Presiden Pakatan Harapan
30 Ogos 2017.
Pakatan Harapan maju setapak lagi dengan komitmen yang semakin jelas untuk menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.
Sehari selepas memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Pas dan disusuli dengan pendirian PKR senada dengannya, Pakatan Harapan kini mengumumkan pula senarai pengerusi negeri-negeri sebagaimana tertera di atas.
Dengan perlantikan tersebut, Pakatan Harapan sudah boleh merancakkan gerak kerja dan penyusunan jentera di setiap negeri, kawasan Parlimen, DUN dan peti undi.
Pembahagian kerusi dan senarai calon pilihanraya juga sudah boleh dikenalpasti mulai sekarang.
Yang penting, dengan pengumuman senarai itu, ruang untuk Pakatan Harapan atau mana-mana parti di dalamnya mengadakan sebarang kerjasama dengan Pas benar-benar sudah tertutup rapat.
Lalu, apa pilihan Pas?
Sesuai dengan mandat MT UMNO yang memberi kuasa kepada Najib Razak memutuskan sama ada mahu bekerjasama dengan Pas atau sebaliknya, pilihan terbaik bagi parti pimpinan Hadi Awang itu ialah segera menjalinkan kerjasama rasmi dengan UMNO dan BN.
Teruskanlah hubungan percintaan, kemudian bertunang dan bersanding di atas pelamin dengan UMNO.
Gagasan Sejahtera mereka hanyalah gabungan yang membuang masa dan tidak mampu ke mana-mana.
Pas perlu bekerjasama dan berbahagi kerusi dengan UMNO di kawasan-kawasan Melayu jika ingin menang lebih banyak kerusi. Berperang secara tiga penjuru di mana umpama gajah sama gajah berlawan, Pas yang hanya ibarat sang kancil, lebih mungkin mati tersepit  di tengah-tengah saja.
Dalam pertandingan tiga penjuru, Pas bukan saja akan kalah banyak kerusi Parlimen, tersisih di Selangor yang rata-rata kawasan pilihanrayanya  ada pengundi bukan Melayu sekitar 20 hingga 30 peratus, gagal menawan semula Kedah dan Terengganu, bahkan akan turut kehilangan Kelantan yang dimenangi pada 1990 dengan bantuan Semangat 46.
Bekerjasama dan berbahagi kerusi saja satu-satunya cara untuk Pas menyelamatkan dirinya. Dengan saling bekerjasama, mendapat bantuan kewangan dan bersama-sama dengan UMNO menggunakan jentera kerajaan adalah peluang paling terbaik untuk Pas dapat menonjolkan dirinya dengan lebih berkesan lagi.
Dengan saling bekerjasama, Pas akan berpeluang lebih cerah untuk berkuasa di beberapa negeri, selain berkongsi kuasa dengan UMNO di peringkat Pusat yang seterusnya akan menjanjikan jawatan menteri dan pengerusi GLC yang bergaji lumayan.
Lagi pun dengan mandat MT UMNO kepada Najib sebagaimana yang diumumkan oleh Annuar Musa, ia adalah isyarat paling jelas bahawa UMNO sangat memerlukan bantuan Pas dalam pilihanraya kali ini.

BN boleh rampas kembali dua pertiga, kata pemerhati

PELUANG Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti dua pertiga lebih cerah dengan keputusan Pakatan Harapan (PH) menolak sebarang kerjasama pilihan raya dengan PAS, kata pemerhati politik Ibrahim Suffian.
Tanpa pakatan antara PH dan PAS untuk memastikan berlakunya pertembungan satu lawan satu, ia memudahkan parti pemerintah mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen yang ia hilang sejak pilihan raya 2008, kata pengarah Merdeka Centre itu.
“Memandangkan BN mempunyai jumlah sokongan tegar yang agak besar, undi pembangkang akan terpecah kepada penyokong PAS dan penyokong PH.
“Ini akan menyebabkan BN menang di kerusi-kerusi ini walaupun dengan undi popular lebih rendah," katanya.
Menurut beliau, pertembungan tiga penjuru antara PH, PAS dan BN akan memperlihatkan cerminan keputusan seperti apa yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016 yang menyaksikan BN menang di kedua-dua kerusi.
“Jika PH dan PAS gagal mencapai persetujuan untuk mengadakan pakatan pilihan raya, tidak mustahil BN merampas kembali majoriti dua pertiga memandangkan mereka hanya memerlukan tambahan 15 kerusi Parlimen daripada kerusi sedia ada,” katanya memberitahu The Malaysian Insight.
Untuk menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen, BN perlu memenangi 148 kerusi di Dewan Rakyat.
Pada PRU13, BN gagal merampas kembali majoriti dua pertiga apabila mendapat 133 kerusi di Dewan Rakyat berbanding pembangkang yang mendapat 89.
Gabungan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) yang turut dianggotai PAS pada ketika itu bagaimanapun mendapat 51% undi popular berbanding BN yang hanya mendapat 47%.
Tiada kerjasama dengan PH bukan jaminan PAS berpakat dengan Umno
Bagaimanapun, ketiadaan kerjasama PH dan PAS bukanlah satu jaminan automatik yang parti Islam itu akan bekerjasama atau membentuk pakatan pilihan raya dengan Umno, kata Ibrahim.
Ibrahim berkata, jika difikirkan secara rasional sekalipun terdapat pakatan sulit antara dua parti Melayu-Islam terbesar Malaysia itu, terlalu sukar untuk menjadikannya kenyataan.
“Untuk mendapatkan PAS berpakat secara sulit dengan Umno, Umno perlu memberikan sesuatu kepada PAS sebagai ganjaran meletakkan calon di kerusi parti pembangkang lain.
“Ini akan menyebabkan kesan berganda. Bayangkanlah pemimpin dan calon Umno di negeri seperti Kelantan, Terengganu atau Kedah perlu menyuruh penyokong setia mereka untuk memberikan laluan kepada PAS. Bolehkah ini berlaku?
“Di pihak PAS pula, sekiranya terdapat pakatan politik bersama Umno, ini akan menambahkan lagi keretakan dalam parti yang berlaku perpecahan sebelum ini sehingga tertubuhnya Amanah,” kata Ibrahim.
Amanah ditubuhkan sekumpulan bekas pemimpin PAS yang diketuai bekas timbalan presiden Mohamad Sabu selepas mendakwa parti Islam itu di bawah pimpinan Abdul Hadi Awang semakin rapat dengan Umno.

Azmin akur, tidak akan kerjasama dengan PAS.....

Timbalan presiden PKR itu juga berjanji akan melaksanakan 2 perkara diputuskan Pakatan Harapan, termasuk mengatur strategi bagi menghadapi kemungkinan berlaku pertandingan 3 penjuru pada PRU14.
azmin-ali-bendera-pas-logo-malaysiaSHAH ALAM: Datuk Seri Azmin Ali yang menyokong rundingan dengan PAS sebelum ini, akur dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk tidak bekerjasama dengan parti Islam itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Timbalan presiden PKR itu juga berjanji akan melaksanakan 2 perkara diputuskan Pakatan Harapan menerusi mesyuarat pada malam Isnin lalu, untuk mengatur strategi bagi menghadapi kemungkinan berlaku pertandingan 3 penjuru dengan PAS dan Barisan Nasional pada PRU14.
“Yang penting keputusan ini kita terima dan kita laksanakan.
“Fokus kita sekarang adalah untuk membina jentera di PRU14 selaras keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 peringkat Selangor, malam tadi.
Sabtu lalu, Azmin yang juga menteri besar Selangor dilaporkan berkata, rundingan pembahagian kerusi dengan PAS bukan inisiatif beliau sendiri, sebaliknya ia keputusan parti.
Beliau berkata demikian selepas timbul spekulasi PKR cuba mengadakan perjanjian berasingan dengan PAS bagi memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN pada PRU14.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution bagaimanapun menafikan parti itu pernah membuat keputusan itu, sebaliknya rundingan pembahagian kerusi hanya membabitkan parti komponen Pakatan Harapan.
Mengulas ketidakhadirannya pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan dan Biro Politik PKR pada minggu ini, Azmin berkata, beliau mempunyai tugas lain.
Ketika ditanya adakah beliau akan bercakap dengan PAS selepas ini, ini jawapan ahli Parlimen Gombak itu.
“Boleh..saya boleh bercakap dengan sesiapa. Malam tadi (Selasa) saya bercakap dengan (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi. Semalam (kelmarin) saya cakap dengan perdana menteri.”

Berani Zainal nyanyi pasal korupsi depan Najib..!!

Kadang-kadang deria orang seni memang cepat mengesan sesuatu yang dipandang biasa bagi orang kebanyakan.
Apatah lagi apabila suasana dihangatkan dengan pelbagai hiburan yang mengasyikkan seperti dipersembahkan semasa majlis penutup rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) hari ini.
Justeru ketika jutaan orang berseronok menyaksikan persembahan ramai artis terkenal mendendangkan pelbagai lagu popular, pengacara, pelakon dan penyanyi Adibah Noor sempat mengusik.
Komen penyanyi Terlalu Istimewa itu muncul di Twitter semasa Datuk Zainal Abidin menyampaikan salah satu lagu ikonnya, Hijau, di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Berani abang Zainal nyanyi pasal korupsi, opresi depan para pemimpin heheheh," katanya.
Sebenarnya ungkapan itu adalah sebahagian daripada lirik lagu Hijau yang dirakam pada 1990 sebelum diterbitkan pada Mei 1991.
Dihasilkan oleh Mukhlis Nor, Hijau bercerita mengenai alam sekitar dan kemusnahan yang dilakukan manusia.
Antara lain liriknya ialah:
Bumiku yang kian pudar
siapa yang melihat
di kala kita tersedar
mungkinkah terlewat

Korupsi, oppressi, obsessi diri
polussi, depressi di bumi kini



Penyanyi dari pelbagai generasi memeriahkan majlis penutup malam ini. Antaranya ialah Amy Search, Datuk Sheila Majid, Salamiah Hassan, Datuk David Arumugam dan Man Bai.
Semakan Malaysiakini setakat 12.15 pagi ini, status Adibah itu diulang tweet hingga lebih 1,070 kali dan disukai sebanyak 854 pengguna Twitter.
Pengguna akaun NaufalKadir antaranya menyatakan memuji status Adibah itu.
"@adibahnoor Bahahahaha ni pecah perut u!!" tulisnya.
Manakala pengguna akaun Shahrulhaidi pula menyamakan tindakan itu berani sama seperti Datuk Siti.
"@adibahboor berani cam dato siti," katanya.

Dari mana 1MDB dapat dana bayar hutang IPIC?

Adakah wang daripada pembayar cukai digunakan untuk melunaskan tunggakan ditanggung 1MDB kepada syarikat asing International Petroleum Investment Company (IPIC)?
Itu pertanyaan dibangkitkan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini.
Kata Pua selepas berkali-kali ditanya pelbagai pihak, 1MDB dan Kementerian Kewangan (MOF) masih menutup mulut mengenai maklumat dari mana wang berkenaan diperolehi.
"Mengapa mereka bersungguh-sungguh enggan mendedahkan sumber dana 1MDB?
“Adakah mereka menolak daripada menjawab soalan itu kerana MOF telah memperluaskan dana berkenaan secara langsung atau tidak langsung melalui beberapa kononnya skim rasionalisasi 1MDB untuk membantu hutangnya diselesaikan?
"Sehingga MOF memberikan penerangan jelas, rakyat Malaysia tidak boleh dipersalahkan jika mereka menyangka 1MDB menyelesaikan pembayaran hutang itu menggunakan duit pembayar cukai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam dalam pengumumannya kepada Bursa Saham London IPIC mengesahkan mereka menerima bayaran daripada 1MDB sehari sebelum tarikh akhir yang diberikan luput.
Bagaimanapun jumlah wang yang diterima itu tidak didedahkan.
1MDB sebelum ini berkata mereka membayar hutang tersebut hasil daripada dana yang diperoleh melalui proses rasionalisasi berterusan - kenyataan yang didakwa Pua sebagai tidak meyakinkan.
"Tidak ada langsung sebarang butiran mengenai apa hasil daripada program rasionalisasi itu, khusus yang dilaksanakan 1MDB.
"Awalnya pada April tahun ini, 1MDB berkata dana itu akan datang daripada unit dana pelaburan milik 1MDB.
"Bagaimanapun, sejak Jabatan Kehakiman AS melabelkan unit dana sebagai penipuan, 1MDB mengelak daripada menggunakan istilah itu dalam kenyataan mereka kemudiannya," kata Pua.

Pas konsisten tiada hubungan dengan PH, sembang Mohd Amar



Pas menegaskan pendirian untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan parti gabungan Pakatan Harapan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar  Abdullah berkata, tidak timbul persoalan Majlis Presiden Pakatan Harapan membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Pas.
Mohd Amar Nik Abdullah"Kita sudah buat keputusan tidak ada apa-apa dengan PH. Jadi tidak timbul mereka buat keputusan untuk tidak bekerjasama sebab kita sudah buat keputusan dari awal lagi, itu kena jelas.
"Kita tidak akan bincang kerana dia (PH) ada DAP dan PAN, malah Bersatu pun daripada awal lagi tiada hubungan rasmi," katanya dalam satu kenyataan semalam,selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Bharu.
Mohd Amar turut menegaskan keputusan Pas itu dibuat sebelum Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai Pakatan Harapan.

Pada Selasa Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskan tidak mengadakan kerjasama dengan Pas termasuk kemungkinan berhadapan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya depan.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan  berkata, Pas sudah bersedia menghadapi situasi berkenaan bahawa akan berlaku pertandingan tiga penjuru selepas parti itu memutuskan hubungan dengan DAP.
"Pertembungan sama ada empat penjuru atau tiga penjuru, kita memang sudah bersedia, menang kalah itu kehendak Tuhan,  ia senario yang dijangkakan,” katanya seperti dipetik

Bukan Kalah Bola Saja Dengan Thailand, Gaji Pekerja Kos Sara Hidup Pun Kita Kalah

RAFIZI VS PAS SIAPA AGEN UMNO SEBENARNYA??

RCI Forex: 'Siasatan apa ini, kami tak dibekal salinan dokumen'

CCTV dalang Nothing to hide 2.0 (Jamal terkejut)

HUSAM MUSA: ISLAM KERAJAAN PAS HANYA DIMULUT TAPI TIDAK DIALAM NYATA

RAFIZI RAMLI: HARGA MINYAK MINGGU INI,LHDN KEJAR RAKYAT KUTIP CUKAI