Rabu, 30 Ogos 2017

Berbeza pendapat bukan masalah dalam PKR, kata Rafizi

Kebebasan itu membezakan PKR dengan Umno dan PAS, kata Rafizi Ramli apabila diminta menjelaskan perbalahan dengan Azmin Ali.
rafizi-pkr-1PETALING JAYA: Rafizi Ramli berkata berbeza pendapat tidak dilihat sebagai satu masalah dalam PKR, dan kebebasan itu yang membezakan parti reformasi itu dengan Umno dan PAS.
Naib presiden PKR itu berkata demikian apabila diminta menjelaskan perbalahannya dengan Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali.
“Dalam PKR tak ada masalah. Saya terangkan satu persatu kenapa berbeza pendapat, dari masa asas mereka yang mahu terus berunding dengan PAS untuk elakkan 3 penjuru, apa asas saya bahawa itu tidak membantu kita dan Pakatan Harapan. Itu perkara biasa.
“Dalam Umno tak tahu lah…salah sebut akan dipecat, dalam PAS salah sebut dipanggil kafir,” katanya pada sidang media yang disiarkan di Facebook.
Beliau menjawab komen seorang pengunjung Facebook yang bertanyakan mengapa beliau mahu menjatuhkan Azmin Ali kerana timbalan presiden parti itu mengadakan rundingan dengan PAS.
Rafizi menambah pandangan yang disuarakan itu sebenarnya turut dirasai sebahagian besar rakyat yang ditemui.
“Pandangan saya mengenai kerjasama dengan PAS tu turut dikongsi ramai akar umbi parti dan Pakatan Harapan,” katanya.
Pada Sabtu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata rundingan dengan pemimpin PAS bukan dibuat atas kapasiti perbadi tetapi keputusan parti.
Menurut Azmin, rundingan itu bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru di Selangor dan meningkatkan peluang kemenangan PKR dan parti pembangkang lain.

Terbuka bersikap, ketepikan sentimen

Pelbagai laporan dapat dibaca pada minggu ini, khususnya berhubung perbincangan dalaman dan perkembangan terkini PKR.
Saya sudah tentu amat menghargai semangat demokrasi yang utuh dan perdebatan sihat yang berlangsung dalam parti.
Ia memperingatkan saya tentang tujuan asal saya menyertai sebuah parti yang komited kepada agenda reformasi demi menegakkan pentadbiran berteraskan keadilan sejak 1999.
Saya turut berterima kasih kepada pihak yang memberi nasihat tentang kepentingan berpegang pada prinsip asal parti.
Saya mempunyai keyakinan yang teguh dengan kemampuan kepimpinan PKR dalam berpaut pada tanggungjawab demi menggembleng tenaga untuk kesejahteraan masyarakat Malaysia - kerana kita hanya relevan selagi mengangkat isu dan nadi rakyat.
Tatkala kita semakin menghampiri pilihan raya umum, masih banyak perkara yang samar-samar. Sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR, boleh saya katakan di sini bahawa sejumlah besar model pertarungan menghadapi BN mampu terjadi sudah diteliti dengan rapi.
Oleh itu, kita perlu bersikap terbuka dan mengetepikan sebarang sentimen perasaan dalam menilai data yang ada untuk mencapai kata akhir.
Tetapi sekali lagi saya ingatkan, ia tidak seharusnya bertentangan dengan prinsip yang dibawa PKR mahupun Pakatan Harapan (HARAPAN).
PKR juga sedang menambah baik dan menyebarkan perisian pilihan raya kami, SPERA (yang dibangunkan dengan kerjasama Institut Darul Ehsan) agar rakyat Malaysia diberi peluang memelihara undi mereka, dan kekal bekerjasama dengan INVOKE untuk melibatkan kepakaran mereka dalam persediaan menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Jelas, pada saat mencabar ini, saya mendesak penglibatan penuh pimpinan Biro Politik - dengan memanfaatkan proses dan platform sedia ada demi mengutarakan dan menyelesaikan pelbagai isu.
Di samping itu, semua pemimpin perlu menghormati kata sepakat yang dicapai sekiranya ahli parti mahukan kongres parti diadakan - jikalau syarat-syarat yang ditetapkan dapat dipenuhi.
Walau bagaimanapun, kita harus menumpukan fokus dan keutamaan memenangi pilihan raya umum yang kian menghampiri, demi menegakkan hak rakyat Malaysia serta menjanjikan masa depan yang lebih bersih dan gemilang buat negara.
Perlu diingat, Majlis Presiden HARAPAN memuktamadkan panduan prinsip dalam memacu rundingan parti-parti terlibat menjelang PRU14.
Juga, pada bulan Zulhijjah yang mulia ini, saya menggesa semua penentang ketidakadilan dan rasuah untuk mempertahankan kesatuan dan mengelakkan unsur yang boleh membawa kepada perpecahan, dengan memaafkan insan sekeliling dan mengotakan janji serta tindakan untuk mengutamakan rakyat.
Segala apa yang dilakukan harus berpandukan misi PKR dan HARAPAN yang ingin memperlihatkan kemakmuran kepada rakyat Malaysia.

Tugas mencabar BERSATU, AMANAH hadapi PRU14

Parti bongsu dalam Pakatan Harapan (HARAPAN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diberi mandat mengetuai gabungan itu di negeri yang dianggap berdepan dengan tentangan sengit daripada BN.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN hari ini.
Berdasarkan persetujuan itu BERSATU diberi kepercayaan menerajui HARAPAN Perak, Johor, Kedah dan Perlis.
Semua negeri terbabit boleh dianggap bakal menyaksikan pertempuran sengit antara HARAPAN dan BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Johor yang merupakan kubu kuat BN secara tradisi, akan dipimpin Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin. Untuk rekod beliau pernah menjadi menteri besar di Johor selama sembilan tahun, dari Ogos 1986 hingga 13 Mei 1995.
DAP di 3 negeri
Sementara itu Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula akan memimpin HARAPAN di Kedah. Seperti Muhyiddin, Mukhriz juga pernah berkhidmat sebagai menteri besar.
Malah nama Mukhriz sebagai calon menteri besar digunakan BN sebagai salah satu 'senjata' mereka untuk merampas Kedah daripada kerajaan Pakatan Rakyat menjelang PRU ke-13 lalu.
Bagaimanapun Mukhriz digulingkan semasa beliau masih di dalam Umno.
Sementara itu tokoh yang kurang dikenali secara relatif - Ahmad Faizal Azumu dan Ameir Hassan - masing-masing mengetuai HARAPAN Perak dan Perlis.
Kedua-dua mereka adalah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU.
Perak berjaya ditawan daripada BN semasa PRU ke-12 melalui kerjasama PKR, DAP dan PAS. Bagaimanapun selepas PRU ke-13 BN mengekalkan penguasaan di situ walaupun pembangkang berjaya juga bertapak di banyak kawasan.
Perlis pula memang kubu kuat BN sejak sekian lama dan pembangkang jarang-jarang berjaya menembusinya secara meluas.
Pada PRU ke-13 lalu BN menguasai 13 daripada 15 kerusi dewan undangan negeri berkenaan.
Mengikut pengumuman hari ini, PKR pula akan memimpin di empat negeri, termasuk Selangor yang sedang ditadbir oleh timbalan presiden parti berkenaan, Datuk Seri Azmin Ali.
PKR juga akan memimpin HARAPAN di Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah, masing-masing melalui bekas timbalan menteri, Datuk Fauzi Rahman, Aminuddin Harun dan Christina Liew.
Ketiga-tiga mereka adalah pengerusi PKR di negeri masing-masing.
Sementara itu DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) masing-masing diberi kepercayaan mengetuai HARAPAN di tiga negeri.
Selain Pulau Pinang, DAP turut dilantik mengetuai HARAPAN Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bertanggungjawab di Pulau Pinang, manakala pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai dilantik untuk Wilayah Persekutuan dan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jien mengetuai HARAPAN di negeri berkenaan.
Bagi Parti Amanah Negara (AMANAH) pula, mereka akan mengetuai HARAPAN di Kelantan, Terengganu dan Melaka.
Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa memimpin HARAPAN Kelantan, Anggota Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Shah Raja Ahmad di Terengganu dan Adli Zahari di Melaka.
Pengumuman pelantikan itu disahkan Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta tiga timbalan presiden gabungan itu Muhyiddin, Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Pas tak terkejut tiada kerjasama dengan Pakatan Harapan sembang Mohd Amar

KOTA BHARU - Pas menganggap keputusan terlewat Pakatan Harapan di sebalik menagih harapan dalam menentukan kerjasama dengan parti itu tidak mengejutkan mereka.
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pendirian Pas untuk tidak bersama dengan Pakatan Harapan sudah lama dimuktamadkan dan bukan perkara baharu.
Mohd Amar Nik Abdullah Menurutnya, bukan soal Pas tidak termakan pujuk dengan usaha pakatan tersebut untuk jalinkan kerjasama tetapi itu memang keputusan parti sejak dahulu dan mereka sedia maklum penyebabnya adalah DAP dan Amanah.
“Pas sejak dari dahulu lagi tiada hasrat bekerjasama dengan Pakatan Harapan, sebelum ada (Tun Dr Mahathir Mohamad) Tun M pun kita dah buat keputusan tidak ada kerjasama dengan Pakatan Harapan.
“Jadi tidak berbangkit soal Pakatan Harapan buat keputusan (tiada kerjasama) sebab kita dari awal lagi sudah putuskan. Itu kena jelas,” katanya ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco di Kompleks Kota Darul Naim, hari ini.
Setelah isu kerjasama antara Pas dan Pakatan Harapan tidak menemui jalan untuk bersatu, akhirnya pakatan tersebut memutuskan tidak akan bekerjasama dengan parti itu pada PRU14 nanti.
Dalam masa sama, Mohd Amar juga menegaskan sejak tidak lagi bersama dengan DAP dan Pakatan Rakyat terkubur, Pas katanya  sudah membuat persiapan kemungkinan berlakunya pertandingan tiga penjuru atau sebaliknya nanti. 

Sikap sebenar PAS akan terserlah selepas pilihan raya

UMNO tidak sepatutnya terlalu gembira yang PAS kini akan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) susulan keputusan Pakatan Harapan (PH) menolak kerjasama pilihan raya dengan parti Islam itu, kata penganalisis politik.
Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Samsu Adabi Mamat berkata walaupun PAS dan Umno kelihatan rapat, PAS akan memberi perhatian utama kepada kerusi yang bakal diperolehi selepas pilihan raya dan kemudian memutuskan dengan siapa ia akan bekerjasama.
"Buat masa sekarang, nampaknya PAS sedang bekerjasama dengan Umno, tetapi kita tidak boleh mengatakan ia mempunyai kerjasama formal. PAS mengatakan ia akan menjadi blok ketiga.
"Mungkin selepas pilihan raya umum berakhir, PAS akan melihat kerusi yang dimenangi dan memutuskan pihak mana ia akan berbaik," kata Samsu daripada Pusat Penyelidikan Politik dan Keselamatan UKM.
PAS sebelum ini mengumumkan sebagai "kingmaker" dalam pilihan raya akan datang. Walaupun ia kelihatan mesra dengan Umno, pemimpinnya menegaskan perjuangan mereka dalam pilihan raya umum adalah menentang parti komponen utama BN.
Sebelum ini, PAS dan Umno berkata mereka akan bekerjasama demi Islam dan orang Melayu.
PAS dijangka membentuk gabungannya sendiri Gagasan Sejahtera dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) bulan depan.
Sementara itu, penganalisis BowerGroupAsia, Asrul Hadi Abdullah Sani, berkata rundingan mungkin berlaku antara PH dan PAS selepas pilihan raya umum, bergantung kepada keadaan.
"Saya rasa ia akan melibatkan negeri dengan negeri. Sukar dikatakan bagi peringkat kebangsaan," katanya.
Beberapa pemimpin utama PKR terbuka untuk berunding dengan bekas sekutu PAS untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru, terutamanya negeri Selangor yang diperintah oleh PKR dengan parti Islam itu mempunyai 13 kerusi negeri daripada jumlah keseluruhan 56 kerusi.
PKR, DAP dan Amanah mempunyai 29 kerusi sementara baki 14 dipegang oleh BN dan dua wakil bebas.
Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri dilaporkan berkata beliau bersedia berbincang dengan PAS. Timbalannya, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali juga dilihat sebagai seorang daripada penyokong utama idea itu.
Bagaimanapun, tidak semua dalam PKR memihak kepada idea berbaik dengan PAS, yang menamatkan kerjasama politiknya dengan PKR pada Mei lalu.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini menyeru kepimpinan parti mengadakan kongres khas untuk menyelesaikan isu PAS, dan begitu juga pemimpin kumpulan akar umbi, yang mewakili lebih 50 bahagian.
Semua perbincangan mengenai parti itu dengan PAS berakhir pada awal pagi Selasa apabila Majlis Presiden PH mengisytiharkan gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS.
Petang semalam, Biro Politik PKR juga mengumumkan parti itu akan tetap komited dalam usaha memperkukuhkan PH dan menyediakan strategi untuk mengalahkan Umno-BN dalam pilihan raya akan datang.

Peningkatan Kutipan Cukai Pendapatan Sejak Dato’ Seri Najib Menjadi PM Sudah Pun Tinggi, Sekarang LHDN Terus Kejar Rakyat

Kebelakangan ini, semakin banyak berita mengenai denda dan saman dikenakan terhadap individu atau syarikat atas tuduhan tidak membayar cukai pendapatan yang dikutip oleh LHDN. Selain menjadi bualan rakyat kerana ada dakwaan LHDN digunakan untuk menghukum tokoh-tokoh perniagaan yang dilihat rapat dengan Pakatan Harapan, berita bahawa LHDN mengutip cukai dari orang yang sudah mati juga mengejutkan rakyat.
Isu peningkatan drastik tindakan yang diambil oleh LHDN berkenaan dakwaan salah laku berkaitan cukai pendapatan adalah isu yang besar kerana beberapa faktor berikut:
1. Pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak melaksanakan GST dengan menggunakan alasan bahawa pendapatan Kerajaan Persekutuan dari hasil cukai pendapatan adalah tidak mencukupi kerana sebahagian besar rakyat Malaysia tidak membayar cukai pendapatan
2. Hasil Kerajaan Persekutuan adalah tidak mencukupi kerana kononnya pendapatan dari hasil petroleum adalah rendah, lalu memaksa pentadbiran Dato’ Seri Najib melaksanakan GST
Oleh yang demikian, hujah ekonomi dan moral yang paling kukuh di pihak Dato’ Seri Najib untuk melaksanakan GST ialah kurangnya kutipan cukai pendapatan kerana rakyat/syarikat Malaysia tidak membayar cukai pendapatan yang mencukupi.
Malangnya, setelah GST dilaksanakan dan kini menjadi beban besar kepada rakyat Malaysia, pentadbiran Dato’ Seri Najib mengejar pula rakyat biasa untuk mengutip cukai pendapatan. Dalam tempoh dua tahun yang lalu, ramai rakyat biasa yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan, peniaga kecil-kecilan malah waris orang yang telah mati menerima notis dari LHDN untuk melangsaikan tunggakan cukai kepada kerajaan atas taksiran atau audit yang dilakukan oleh LHDN.
Terbaru, LHDN mengumumkan untuk memburu golongan profesional seperti arkitek, peguam dan jurutera pula untuk operasi pengauditan cukai, seperti kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Sabin Samitah (seperti laporan Bernama/Awani di http://www.astroawani.com/berita-bisnes/cukai-lhdn-mahu-buru-arkitek-peguam-dan-jurutera-153801?amp=1)
Saya ingin membentangkan prestasi kutipan cukai pendapatan oleh LHDN sejak tahun 2010 iaitu genap tahun pertama pentadbiran Dato’ Seri Najib sehingga anggaran kutipan cukai tahun 2017, seperti jadual di bawah:

Angka rasmi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan boleh diperolehi dari laman rasmi Perbendaharaan di http://www.treasury.gov.my/index.php/en/economy/estimated-federal-revenue.html
Anggaran bagi 2017 ditunjukkan di bawah:

Maknanya, dalam tahun 2017 ini pentadbiran Dato’ Seri Najib dijangka akan mengutip hampir sekali ganda lebih banyak cukai pendapatan (pada jumlah RM112 bilion) berbanding kutipan tujuh tahun lalu iaitu 2010 semasa beliau mula-mula menjadi Perdana Menteri (pada jumlah RM60.3 bilion).
Malah, kenaikan purata tahunan sepanjang tempoh 2010 ke 2017 (disebut cumulative annual growth rate atau CAGR) adalah 11%, iaitu kadar bertambahnya kutipan cukai tahunan secara purata di antara 2010 ke 2017 sebanyak 11% setiap tahun.

Pakatan mampu harungi pertandingan tiga penjuru lawan BN-PAS


Pakatan mampu harungi pertandingan tiga penjuru lawan BN-PAS, kata Amanah
Pakatan Harapan kini perlu mengakui yang kerjasama politik dengan PAS tidak akan berlaku dan mereka perlu merangka strategi lain mendepani pertandingan tiga penjuru. 
AMANAH hari ini mengalu-alukan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk menghentikan semua perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Dalam satu kenyataan hari ini, Naib Presiden Dr Mujahid Yusor Rawa mengatakan tindakan “melayan” karenah PAS hanya akan mengukuhkan persepsi yang PH lemah dan berpecah, tanggapan yang dimahukan Umno.
Katanya, PH mampu untuk berdepan dengan pertandingan tiga penjuuru menentang Barisan Nasional (BN) dan PAS.
“(Pertandingan) 3 penjuru menghantui kita tetapi kita juga ada ruang masa untuk  memberi penjelasan dan perkembangan baru dapat menampung kehilangan pengaruh PAS.
“(Pertandingan) 3 Penjuru adalah realiti yang mampu ditangani dengan ketegasan PH menolak perangai ‘flip-flop’ PAS dalam melawan Umno/BN,” katanya, menambah yang PAS sehingga kini terus menolak untuk bekerjasama dengan PD apabila bertindak menyerang Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad dan parti komponennya, DAP dan Amanah.
“Ramai yang kecewa dengan PAS dan sesiapa sahaja yang bermazhabkan elak 3 penjuru kerana berhemoi (hidung tak mancung pipi tersorong-sorong) kepada parti yang mempermainkan kepentingan membuang kerajaan kleptokrasi BN,” katanya lagi.
Mujahid juga menyifatkan sikap PAS yang “pelik” terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan hubungan gelapnya dengan Umno telah memburukan imej PAS yang akan memberi kesan buruk kepada imej PH sekiranya “hubungan selektif” antara PAS dan PKR berterusan.
Kenyataan ahli Parlimen Parit Buntar itu dikeluarkan susulan keputusan PH awal pagi Khamis lalu yang memutuskan untuk tidak bekerjasama langsung dengan PAS pada PRU14 nanti.
Sebelum ini, PKR dikatakan masih terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan PAS bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru berlaku di Selangor. PAS memegang 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Baru-baru ini juga dilaporkan yang PAS berhasrat untuk bertanding di 42 daripada 56 kerusi negeri itu.
Mujahid berkata walaupun tiada siapa boleh menghalang PKR daripada mempunyai “hubungan selektif” dengan PAS, kerana parti Islam itu masih sebahagian daripada kerajaan Selangor, tetapi parti komponen PH masih berhak mempersoalkan sekiranya hubungan itu akan memberi kesan kepada pakatan pembangkang.
“Hubungan selektif PAS-PKR menimbulkan kebimbangan kepada parti komponen dan para pendokong PH. Ini memandangkan alasan Menteri Besar Selangor Azmin Ali ialah mahu mengelak pertembungan 3 penjuru.
“Amanah menerima isu keterlibatan PAS dalam kerajaan Selangor dengan dada terbuka tetapi ini bukan bermakna mazhab elak 3 penjuru mewajarkan tindakan 'ambil kesempatan' suasana ke atas survival  PH di mata pengundi seluruh negara.”
Mujahid yang merupakan bekas pemimpin PAS berkata perlu ada tindakan menghentikan “sikap makan keliling PAS” kerana rakyat sudah muak, walaupun ini bermaksud akan wujudnya pertandingan tiga penjuru.

Berang artikel ‘Amanat Hadi’, Samsuri tuduh Rais sakit otak

Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membidas tulisan Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Rais Hussin yang mendakwa Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempopularkan budaya kafir-mengkafir di negara ini.
Menurutnya, kemungkinan, pembabitan Rais yang juga adalah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dalam politik telah menyebabkannya menderita.
“Barangkali menceburi politik telah menyebabkan penulis artikel ini menderita seperti orang sakit otak.
“Atau ada sebab lain sehingga tulisannya penuh dengan cerita seperti seorang yang sasau sehingga tidak dapat membezakan fakta dan realiti,” katanya dalam asatu mesej Whatapps kepada Malaysiakini.
Dalam tulisannya di potral Malaysiakini bertajuk ‘Amanat Hadi dan Muawiyah Malaysia’ hari ini, Rais berkata apa yang Abdul Hadi sampaikan jauh lebih terkehadapan.
Beliau berkata, sesiapa sahaja yang terkeluar dari bulatan PAS dan Abdul Hadi, dianggap dan dilabel sebagai insan yang tidak punya lagi kepercayaan atau ‘kafir’.
“Disebabkan itu terdapat ceramah-ceramah agama yang berasingan antara mereka walaupun dalam kampung yang sama.
“Juga terdapat imam-imam yang berasingan antara mereka bagi mengimamkan solat harian, kenduri-kendara (kenduri kahwin dan sebagainya) yang berasingan, rumah sembelihan, kenduri arwah, solat Jumaat, juga tapak pengebumian pun berasingan.
“Keluarga terasing, suami dan isteri dipisahkan dengan perbalahan kemudian penceraian, anak-anak tidak tahu menahu dengan apa yang berlaku dan lama-kelamaan, praktis ini membawa kepada perpecahan umat Islam di Malaysia dalam skala yang besar,” tulis pemimpin BERSATU itu.
Menurut Rais, Amanat Hadi ini sama dengan keganasan yang paling buruk berlaku dalam sejarah Islam – penanaman benih kelemahan dalam dunia Islam, di mana Sunni dan Shia terpaut sebagai seteru yang terdedah kepada bahaya ancaman luar.

PRU14 bukan milik Pakatan

“TIDAK akan ada pakatan pembangkang yang lebih kuat daripada Pakatan Harapan (PH).”
Begitu kata seorang sosok politik daripada pembangkang akan keyakinannya melihat potensi yang ada pada PH menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Setahun lebih sejak kenyataan ini dikeluarkan, adakah ia menjadi seperti yang dikatakannya?
Bermula dengan tiga jawatan utama dalam kepimpinan tertinggi PH yang belum dijelaskan sebab musababnya dengan munasabah, permainan tarik tali antara PH terutamanya PKR dalam usaha memujuk PAS kembali bersama, krisis kepimpinan PKR di Kelantan, keretakan dalaman yang berlaku dalam PKR dan manifesto 100 hari yang seakan tidak masuk akal, PH nampaknya terpaksa menunggu lima tahun lagi untuk menawan Putrajaya.
Tindakan Latheefa Koya yang memuat naik status di media sosial yang menunjukkan rasa tidak puas hati kepada Rafizi Ramli sehingga melabel beliau sebagai “kanser” dan penyebab utama perpecahan dalaman parti jelas menunjukkan krisis kepimpinan dalaman PKR semakin meruncing selain tindakan membuang ketua Pemuda PKR Kelantan, Hafidz Rizal secara mengejut tanpa perbincangan telus dalam mesyuarat.
Adanya kem dalam parti politik adalah perkara biasa, namun sebagai parti yang bercita-cita besar untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN), mereka seharusnya lebih mementingkan soal strategi dalam berdepan dengan pesaing termasuklah PAS.
Ini berikutan mesyuarat Majlis Presiden PH kelmarin mengesahkan tidak akan ada kerjasama dengan PAS menjelang PRU14 sekali gus membuka jalan kepada pertembungan tiga penjuru.
Satu lagi penyebab PRU14 bukan milik PH adalah kerana tiada watak kepimpinan yang kuat dan berpengaruh dalam setiap parti komponen blok pembangkang.
Dr Wan Azizah Wan Ismail jelas gagal mempamerkan watak sebagai seorang pemimpin yang lantang dalam menentukan hala tuju pembangkang, malah gagal menyelesaikan masalah dalaman yang menyaksikan berlaku perpecahan antara beberapa individu penting dalam parti.
Manifesto 100 hari yang diumumkan PH beberapa bulan yang lepas juga menyaksikan beberapa perkara yang sukar untuk dilakukan dalam masa 100 hari pertama jika PH mengambil alih pentadbiran kerajaan.
Menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah satu tindakan sangat tidak masuk akal. Negara jelas akan kehilangan RM42 bilion setahun bagi memastikan pendapatan negara kekal mapan. Tiada gunanya menghapuskan GST jika PH akan keluar dengan sistem percukaian yang baharu pula.
Sepatutnya, PH harus melihat masalah pelaksanaan sistem percukaian tersebut.
Sistem GST ini, yang juga dikenali sebagai Value Added Tax (VAT) di luar negara, digunakan di hampir seluruh dunia memperlihatkan sistem percukaian ini benar-benar membantu negara mendapat sumber pendapatan bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang.
Jika benar PH ingin memastikan negara bersih daripada segala skandal rasuah dan salah guna kuasa yang diuar-uarkan selalu dalam ceramah, persoalannya kenapa tidak dimasukkan langkah untuk memisahkan jawatan perdana menteri daripada portfolio kementerian kewangan?

Walaupun Pakatan tolak sebarang kerjasama, PAS terus kekal dalam Selangor


Walaupun Pakatan tolak sebarang kerjasama, PAS terus kekal dalam Selangor
PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR Mei lalu, menimbulkan polemik pentadbiran di Selangor. 
WALAUPUN Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan untuk memutuskan sebarang kerjasama, PAS tetap akan kekal dalam kerajaan Selangor, kata Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehin Mukhyi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabak itu berkata, ini adalah kerana PAS dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu bersama-sama PKR dan DAP untuk membentuk kerajaan Selangor.
“PAS akan terus kekal dalam kerajaan Selangor kerana ini adalah mandat rakyat semasa PRU13,” kata Sallehin kepada The Malaysian Insight.
Apabila diminta mengulas keputusan PH untuk menolak sebarang kerjasama dengan PAS, bekas exco kerajaan Selangor itu berkata:
“Pinggan tak retak, nasi tak dingin, PH tak nak, PAS pun tak hingin.”
PAS pada Mei memutuskan hubungan dengan PKR yang sudah terjalin semenjak 1999.
Bagaimanapun mereka tetap kekal dengan kerajaan Selangor yang dipimpin Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.
PH pada Selasa membuat keputusan menolak sebarang kerjasama dengan PAS dan bersedia untuk pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ketika ditemui selepas PH mengumumkan keputusan itu pada Selasa, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata keputusan itu termasuk di peringkat negeri.
“Kesemua empat parti ada dalam mesyuarat itu, kerajaan Selangor juga kena ikutlah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Apabila ditanya apakah kerajaan Selangor perlu memecat PAS daripada kepimpinan negeri, Salahuddin berkata perkara itu masih belum dibincangkan.
“Itu tak tahulah, masih belum diputuskan, keputusan kita hanya tentang bagaimana untuk berdepan dengan PRU14, kemungkinan berdepan dengan tiga penjuru,” kata bekas ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal itu.
“Jadi lepas ni orang tak boleh tanya lagi tentang rundingan dengan PAS, tidak ada lagi rundingan dengan PAS selepas ini oleh mana-mana parti PH.”

PAS TELAH MENGUNDUR 27 TAHUN KEBELAKANG

Pas diibaratkan habis madu sepah dibuang setelah digunakan oleh Umno/BN dalam strategi mereka memenangi PRU14.
Setiausaha Organisasi Amanah, Suhaizan Kayat mendakwa Pas telah mengundur 27 tahun kebelakang.
Tujuan Umno berbaik dengan Pas adalah untuk memecahkan Pas dan putuskan hubungannya dengan barisan pembangkang.
“Sekarang, Pas sudah tiada nilai disisi Umno, fokus parti itu adalah untuk memperkukuhkan BN dan memenangi PRU14,” katanya menerusi laman Facebook miliknya.
Terdahulu, Pas didakwa menjadi punca parti-parti pembangkang berpecah sehingga mewujudkan pertembungan banyak penjuru pada PRU akan datang.
Bermula selepas Pakatan Harapan dibubarkan, Pas mengadakan hubungan baik dengan Umno dan kini membina Blok Ketiga.

Kutipan cukai lebih pantas berbanding ekonomi negara, kata Rafizi

KUTIPAN cukai pendapatan meningkat hampir dua kali ganda sejak Perdana Menteri Najib Razak mengambil alih jawatan pada tahun 2009.
Daripada RM60.3 bilion pada 2010, kutipan itu dijangka mencecah kepada RM112.3 bilion pada 2017, menurut data yang diperoleh daripada Jabatan Perbendaharaan.
"Kadar pertumbuhan tahunan kumulatif (CAGR) dari 2010-2017 adalah 11%," kata Rafizi Ramli dalam satu kenyataan hari ini.
Kadar CAGR sebanyak 11% adalah tinggi sedangkan pertumbuhan ekonomi purata hanya 5%, kata Ahli Parlimen Pandan itu.
Rafizi berkata adalah mustahil bagi kutipan cukai pendapatan menjadi dua kali ganda berbanding pertumbuhan ekonomi.
"Oleh itu, saya hanya boleh menyimpulkan peningkatan pengagihan cukai pendapatan oleh kerajaan adalah disebabkan oleh audit agresif Lembaga Hasil Dalam Negeri terhadap perniagaan yang berkaitan dengan Pakatan Harapan dan mengutip cukai daripada orang yang telah meninggal dunia," kata Rafizi.
Pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan kerana pendapatan kerajaan yang rendah disebabkan ramai rakyat Malaysia tidak membayar cukai, kata Rafizi.
Tetapi kutipan yang lebih tinggi dalam tempoh enam tahun lalu menunjukkan sebaliknya, kata Rafizi.
"Tetapi apabila GST menjadi beban kepada rakyat Malaysia, pentadbiran Najib kini mengejar pembayar cukai yang tidak membayar cukai."
Rafizi berkata janji kerajaan untuk mengurangkan kadar cukai selepas memperkenalkan GST juga tidak berlaku.

 

BERAPA TEBAL KULIT MUKA NAJIB KETIKA MELAWAT AMERIKA KALI INI?


Di sebalik saman sivil dan siasatan jenayah DOJ berhubung penyelewengan dana 1MDB yang masih lagi berjalan dan tidak pernah dihentikan, Najib Razak mungkin berasa paling bangga menerima jemputan melawat Amerika Syarikat pada 10 hingga 12 September depan.
Dari segi politik dalaman Malaysia, lebih-lebih lagi berdepan PRU 14 paling mencabar baginya, setidak-tidaknya undangan Donald Trump itu membuatkan Najib dapat membuktikan kepada pengundi luar bandar dan rakyat Malaysia bahawa beliau bukanlah buruan DOJ dalam penyiasatan mereka.
Jentera propaganda Najib, pastinya akan mengulang-ulang dengan gembira perkara itu seolah-olah kemenangan sudah berada di ambang mata.
Jika sebelum ini Najib sudah agak lama tidak ke Amerika, begitu juga Rosmah sekian lama tidak membeli-belah di sana, lawatan ini pasti digunakan dengan sebaik mungkin untuk menafikan segala gambaran buruk itu.
Soal bahawa saman DOJ masih lagi berjalan tidaklah perlu diheboh-hebohkan kerana orang kampung mungkin terlalu sukar memahaminya.
Kaitan Najib dengan skandal 1MDB dan hubungan beliau dengan Jho Low juga barangkali tidak penting bagi mereka.
Yang mustahak ialah Najib diperlihatkan boleh pergi ke Amerika dan tidak ditangkap ketika di sana. Malah beliau akan bertemu dan bebas mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika yang baru, Donald Trump.
Tetapi,  lawatan Najib kali ini tentu saja berbeza dengan beberapa kunjungannya sebelum ini. Selain media-media Amerika menggambarkan kunjungan dan perjumpaan Najib dengan Trump akan digunakan sebagai peluang untuk menyelesaikan saman dan siasatan DOJ berkaitan 1MDB, wajah Najib juga diberi gambaran yang jauh berbeza.
Najib juga tidak lagi sekadar disebut sebagai Perdana Menteri Malaysia, tetapi mereka terang-terang melabelkan Najib sebagai pemimpin yang terpalit dengan skandal kewangan berbilion ringgit berkaitan 1MDB.
Tidakkah itu suatu gambaran  yang amat buruk kepada Najib sebelum kedatangannya ke Amerika, baik dari segi tujuan atau wajahnya sendiri?
Dengan gambaran sedemikian, selesakah Najib dalam lawatannya kali ini?

Biar Najib tentukan kerjasama dengan PAS sembang Annuar Musa

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, Majlis Tertinggi parti memberi mandat penuh kepada Najib Razak membuat keputusan terhadap sebarang usaha berhubung kerjasama dengan PAS.
annuar-musa-1
KUALA TERENGGANU: Majlis Tertinggi (MT) Umno menyerahkan kepada presiden parti itu untuk menjalin sebarang kerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, MT memberi mandat penuh kepada Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan terhadap sebarang usaha berhubung kerjasama dengan PAS.
“Dari segi MT, kalau bercakap tentang kerjasama, tentu ada skop, bidang, kaedah. Tidak boleh kerjasama secara longgar begitu…kalau kata bekerjasama, akan ada rundingan, persefahaman dan sebagainya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Annuar yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Isnin lepas yang memutuskan tidak akan bekerjasama dengan PAS pada PRU14.
“Dari segi Umno, sehingga hari ini kita tiada buat keputusan tidak bekerjasama (dengan PAS). Malah, Umno ada membuat pendirian dalam hal membawa kebaikan kepada rakyat, kita hendak bekerjasama,” katanya.

Tolak Pas keputusan tegas PH beri ruang politik baharu muncul


bendera Pas PH 2
Rakyat mahu ketegasan Pakatan Harapan (PH) untuk menamatkan hayat Barisan Nasional (BN) dengan memberi peluang kepada politik baharu muncul dengan satu suara yang akan melenyapkan kebimbangan  pengundi terhadap pertandingan 3 penjuru dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Naib Presiden AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, dengan keputusan PH dalam mesyuarat majlis presiden baru-baru ini PKR juga perlu tangani  tularan wujudnya 'kartel' dalam parti itu dan tidak perlu mengheret PH dalam persaingan dalamannya.
"Tiada siapa yang menghalang mana-mana parti komponen secara individu berhubung dengan mana-mana pihak namun jika ada kesan kepada organisasi parti PH, parti komponen lain berhak menimbulkan soalan khususnya tentang masa depan PH.
"Hubungan selektif Pas-PKR menimbulkan kebimbangan kepada parti komponen dan para pendokong PH. Ini memandangkan alasan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ialah mahu mengelak pertembungan 3 penjuru. Demikian alasan kelompok PKR yang bersetuju dengan Azmin.
"Nampaknya ia alasan yang kelihatan penuh skema, namun keperluan memutuskan sikap berdolak-dalik Pas adalah sebahagian daripada jawapan kepada 3 penjuru.
"Bagaimana ketegasan PH dapat menjawab soalan 3 penjuru? Ketegasan PH memungkinkan Pas terus tersisih dari kerangka gabungan pembangkang agar pengundi dapat membuat keputusan lebih mudah," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Justeru ujarnya lagi, dengan keputusan PH itu, maka Pas juga terpaksa membuat keputusan secara tegas sama ada mahu masuk cara solo atau ada rundingan sulit dengan Umno.
"Itu masalah Pas yang akan dinilai oleh pengundi nanti. Melayan sikap Pas hanya mengukuhkan persepsi PH lemah dan berpecah. Itu yang Umno mahu.

"Kelibat mazhab elak 3 penjuru sering mengganggu ketegasan yang dituntut oleh rakyat dan usaha sebilangan besar komponen PH. Ya! 3 penjuru menghantui kita tetapi kita juga ada ruang masa untuk memberi penjelasan dan perkembangan baru dapat menampung kehilangan pengaruh Pas. 3 Penjuru adalah realiti yang mampu ditangani dengan ketegasan PH menolak perangai flip-flop Pas dalam melawan UMNO/BN. "Ramai yang kecewa dengan Pas dan sesiapa sahaja yang bermazhabkan elak 3 penjuru kerana berhemoi (hidung tak mancung pipi tersorong-sorong) kepada parti yang mempermainkan kepentingan membuang kerajaan kleptokrasi BN," ujarnya.
Ahli Parlimen Parit Buntar ini juga berkasta, kepelikan sikap Pas pada isu 1MDB dan hubungan 'gelap' parti itu dengan Umno menyebabkan ia mendapat jolokan 'makan keliling' bak sebagaimana kata Ahli Parlimen Pas Datuk Mahfuz Omar.
"Ia tanggapan negatif pada PH jika hubungan selektif Pas -PKR berterusan.
"AMANAH menerima isu keterlibatan Pas dalam kerajaan Selangor dengan dada terbuka tetapi ini bukan bermakna mazhab elak 3 penjuru mewajarkan tindakan 'ambil kesempatan' suasana ke atas survival PH di mata pengundi seluruh negara," ujarnya.

PKR Kelantan tolak pelantikan ketua AMK baharu



Majlis Pimpinan PKR Kelantan tidak mengiktiraf pelantikan Mohd Khairul Amin Ab Rahman sebagai Ketua Angkatan Muda (AMK) negeri baharu menggantikan Dr Mohd Hafidz Rezal Amran.
Pengerusinya, Ab Aziz Ab Kadir berkata, hal ini kerana pelantikan itu tidak dibuat melalui proses yang demokratik.
Abd Aziz Abd Kadir PKR KelantanMenurutnya, mengikut perkara 14.4 Peraturan Tetap AMK Malaysia, jelas menyebut pelantikan ketua AMK negeri hendaklah dirunding bersama ketua-ketua AMK cabang dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri.
“Oleh yang demikian, saya dengan ini tidak mengiktiraf pelantikan ketua AMK Kelantan yang baharu,” katanya.
Isnin lalu, Mohd Hafidz dipecat atas alasan sebagai memenuhi permintaan ahli parti di negeri itu dan selepas perbincangan minggu lepas.
Ab Aziz meluahkan rasa terkejut dan kesal dengan pemecatan Mohd Hafidz dan mempertikai proses pelantikan baharu dilakukan Nik Nazmi.
“Saya dengan ini selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Kelantan, melantik Dr Mohd Hafidz Rezal selaku koordinator untuk sayap AMK Kelantan dan menggesa semua AMK cabang memberikan kerjasama.
“Bekerjasama sebagai satu pasukan memperkukuhkan parti di negeri ini bagi melancarkan dan memudah cara segala urusan bagi persiapan parti di Kelantan menghadapi pilihan raya umum nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairul Amin dalam satu kenyataan memberitahu beliau menerima pelantikan tersebut dan berikrar akan terus memperkasakan AMK Kelantan serta memperkukuhkan hubungan dalam Pemuda Pakatan Harapan negeri ini.
“Saya juga menyambut baik keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang menegaskan bahawa tiada sebarang hubungan politik dengan Pas di peringkat pusat mahupun negeri Kelantan.
“Saya menyeru seluruh ahli dan anggota AMK Kelantan untuk melupakan segala persengketaan dan kembali menguatkan kesatuan sesama kita dan seterusnya berkhidmat dengan bersemangat demi kepentingan parti dan Pakatan Harapan,” katanya.

HARAPAN umum senarai pengerusi negeri

Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini melantik Pengerusi-Pengerusi Pakatan Harapan bagi seluruh negara.

Senarainnya adalah seperti berikut:

Selangor - Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Pulau Pinang - Lim Guan Eng
Johor - Tan Sri Muhyiddin Yassin
Kedah - Datuk Seri Mukhriz Mahathir
Pahang - Datuk Fauzi Rahman
Perlis - Ameir Hassan
Wilayah Persekutuan - Tan Kok Wai
Kelantan - Datuk Husam Musa
Terengganu - Datuk Raja Kamarul Bahrin
Negeri Sembilan - Aminuddin Harun
Perak - Ahmad Faizal Dato' Azumu
Melaka - Adli Zahari
Sabah - Christina Liew
Sarawak - Chong Chien Jien

Jika PAS bermaruah, mereka harus berundur dari Selangor - Pemuda Umno

Pemuda Umno hari ini mencabar PAS supaya berundur daripada kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR sekiranya parti itu mempunyai maruah sedangkan kehadirannya tidak pernah dihargai.
Sambil menyelar PAS yang masih bergantung kepada PKR, sedangkan parti itu mempunyai kekuatan sendiri, Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin, berkata, Selangor bakal menyaksikan sebuah kerajaan campuran jika PAS berbuat demikian.
"Tetapi malangnya, PAS masih bergantung kepada PKR, umpama hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.
"Kalau PAS mempunyai maruah, mereka seharusnya berundur dari kerajaan negeri Selangor dan tidak sepatutnya bersama dalam pentadbiran (Menteri Besar Selangor, Datuk Seri) Mohamed Azmin (Ali)," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.
Menurut Nazir Hussin, PAS perlu menyedari bahawa kedudukan parti itu kini ibarat 'habis madu sepah dibuang' dan tidak lagi diperlukan dalam pembangkang.
Katanya, bukti itu jelas apabila terus dimalukan dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang menolak untuk bekerjsama dengannya pada pada PRU akan datang.
Nazir Hussin turut mempersoalkan sama ada PAS masih sanggup diperkudakan di Selangor walaupun, muktamar parti itu yang lalu memutuskan tiada lagi kerjasama dengan PKR.
“Mereka (pembangkang) sedang merangka strategi untuk kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru antara PAS, BN dalam PRU-14.
"Saya juga mencabar (Menteri Besar Selangor, Datuk Seri) Mohamed Azmin (Ali) memecat exco PAS sedia ada kerana parti itu sudah menikam PAS dari belakang," katanya.
Ketika ini, selepas pergolakan empat tahun lalu, PAS dan PKR masing-masing memegang jumlah kerusi yang sama iaitu 13 kerusi; DAP (14); AMANAH (2); Bebas (2); manakala BN kekal dengan 12 kerusi.
Pada 28 Ogos lalu, Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskan bahawa gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum ke-14 dan akan membuat persiapan untuk pertandingan tiga penjuru.

Jangan heret PH, Amanah gesa PKR tangani ‘kartel’ dalaman

Mujahid Yusof Rawa berkata kurangnya ketegasan Pakatan Harapan dalam hubungan dengan PAS lebih membimbangkan daripada pertandingan 3 penjuru.
mujadi-ph-1
PETALING JAYA: Amanah hari ini menuntut Pakatan Harapan (PH) bersikap tegas dalam menyekat sebarang kerjasama dengan PAS, sambil menggesa PKR supaya tidak mengheret gabungan itu di sebalik kewujudan golongan yang mahu terus berunding dengan parti Islam itu.
Naib Presiden Amanah Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata alasan mahu “mengelak pertandingan 3 penjuru” seperti diberikan penyokong Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali akan menjadi tidak relevan sekiranya PH mengambil pendirian tegas mengenai PAS.
“Kejayaan PH meyakinkan pengundi dengan satu suara dan langkah sederap akan melenyapkan kebimbangan 3 penjuru,” kata Mujahid, bekas pemimpin PAS yang juga ahli Parlimen Parit Buntar.
“Sesungguhnya kejayaan memacak slogan: ‘PH vs BN’ akan menjawab berbagai misteri kelibat hubungan selektif PAS-PKR,” katanya, yang turut menggesa pemimpin PKR menyelesaikan penularan “kartel” dalam parti itu.
Menurutnya, ketegasan PH dalam isu hubungannya dengan PAS akan memudahkan pengundi membuat keputusan lebih mudah.
Kenyataan Mujahid hari ini susulan perpecahan yang semakin ketara di kalangan pimpinan atasan PKR mengenai hubungan dengan PAS, walaupun parti Islam itu bukan merupakan sebahagian daripada PH yang bercadang bertanding atas satu logo.
Baru-baru ini, Azmin mengakui berunding dengan PAS, tetapi berkata ia adalah berdasarkan keputusan partinya.
Tindakan itu tidak disenangi beberapa pemimpin PKR, termasuk Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang semalam mendedahkan wujud kemelut serius di kalangan anggota Biro Politik parti itu.
Isnin lalu, Majlis Presiden PH dihadiri pemimpin tertinggi PKR, DAP, Amanah dan PPBM memutuskan tiada kerjasama dengan PAS.
Beberapa pemimpin PAS sebelum ini menolak kerjasama dengan PKR atau PH, malah berkata ia akan memaksa pertandingan 3 penjuru pada PRU akan datang.
Penganalisis berkata pertandingan 3 penjuru akan menguntungkan Barisan Nasional (BN) disebabkan undi pembangkang yang berpecah. Bagaimanapun, ada pemerhati yang berpendapat undi BN juga kini berpecah selepas penubuhan PPBM.

1MDB dah bayar? Tunggu dan lihat, kata Irwan

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah enggan mengulas sama ada 1MDB itu telah membuat bayaran kepada Ipic.
“Kamu tunggu dan lihat,” katanya yang juga anggota lembaga pengarah 1MDB.
Irwan diajukan soalan itu oleh pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani standard operasi piawai antara kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk operasi audit bersepadu di Kementerian Kewangan di Putrajaya.
1MDB sebelum ini gagal membayar AS$602 juta (RM2.57 bilion) kepada Ipic sebelum tarikh akhir 31 Julai.
Ipic membenarkan tempoh itu dilanjutkan. 1MDB membuat bayaran sebanyak AS$350 juta (RM1.49 bilion) pada 12 Ogos dan bakinya harus dibayar sebelum 31 Ogos (esok).

Pas tidak lagi jadi kuda tunggangan DAP, PKR, sembang Khairuddin



Pas tidak lagi akan menjadi kuda tunggangan DAP dan PKR seperti yang berlaku dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, kata Bendahari Dewan Ulama Pas Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata, apabila DAP dan PKR memenangi PRU13 dengan bantuan jentera dan undi Pas, mereka telah menyerang pelbagai agenda Islam yang diperjuangkan oleh Pas.
khairuddin aman razali pas ulamaBeliau berkata demikian selepas Pakatan Harapan (PH) memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Pas pada PRU14 sebaliknya bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru.
Isu kerjasama ini timbul apabila Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali minggu lalu mengumumkan sedang ada usaha berbincang dengan Pas secara tidak rasmi, sebagai persediaan PKR menghadapi PRU14.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor bagaimanapun menjelaskan, perbincangan dengan Pas itu tiada kaitan dengan PH sebaliknya atas inisiatif PKR sepenuhnya.

Berikutan itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli Ahad lalu mencadangkan parti itu mengadakan kongres khas peringkat kebangsaan bagi memutuskan sama ada mereka perlu terus berunding dengan Pas atau tidak.
Khairuddin yang juga ahli Parlimen Kuaa Nerus turut menegaskan, pada PRU14 jentera Pas akan memberi fokus kepada kemenangan menerusi Gagasan Rakyat dengan bersaing menentang Umno-BN dan PHuntuk menang minimum lima negeri dan menjadi parti dominan memerintah di peringkat persekutuan.
Menurut beliau juga, PH bukan masa depan bagi rakyat Malaysia kerana perjuangan jangka pendek mereka hanya untuk menjatuhkan Najib, bukannya menukar dasar pemerintahan BN yang telah sekian lama merosakkan negara.
"Pas tidak hanya mahu menukar kerajaan tetapi menukar dasar berkerajaan berasaskan prinsip Islam yang meletak aqidah dan akhlak sebagai asas, dosa pahala sebagai neraca pertimbangan,syariat Islam sebagai landasan berekonomi dan bersosial serta menolak monopoli ekonomi oleh segelintir elit pemerintah, nepotisma dan kronisma serta pemborosan dalam pengurusan kewangannya," katanya.

Keputusan Majlis Presiden Pakatan terlewat sembang PAS


Pas menegaskan keputusan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan tidak memberi sebarang kesan terhadap parti itu.
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, isu kerjasama politik dibangkitkan Pakatan Harapan itu telah lama diputuskan oleh Pas melalui Majlis Syura pada Mei lalu.
“Keputusan ini dah terlewat kerana Pas dah lama memutuskan tidak akan ada kerjasama politik dengan Pakatan Harapan.
"Mereka hanya berpencak silat di gelanggang sendiri tanpa musuh,” katanya, semalam.
Sebelum ini, tindakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan Pas untuk menghadapi PRU14 telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli komponen Pakatan Harapan dan pemimpin kanan PKR lain.
Bagaimanapun, Majlis Presiden Pakatan Harapan kelmarin, memutuskan Pakatan Harapan tidak akan bekerjasama dengan Pas pada PRU14.
Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, sejak Majlis Syura membuat keputusan, Pas tidak pernah berminat untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan.
“Pas akan  akan terus mengukuhkan Gagasan Sejahtera untuk menghadapi PRU14 bagi menentang Pakatan Harapan dan BN.
“Pas yakin negara perlu diselamatkan dan dipulihkan dengan penyelesaian Islam kerana Pakatan Harapan dan BN tidak boleh berbuat demikian,” katanya.

Undi Umno, PAS juga akan pecah, pesan penganalisis

Ahmad Atory Hussain berkata banyak perhatian tertumpu kepada kesan pertandingan pelbagai penjuru kepada PH, terlepas pandang perkara yang paling nyata.
Ahmad-Atory-Hussain2PETALING JAYA: Keengganan PAS bekerjasama dengan Pakatan Harapan tidak akan menjejaskan peluang gabungan pembangkang pada pilihan raya nanti, kata seorang penganalisis politik.
Ahmad Atory Hussain berkata ketika perhatian pemerhati politik tertumpu kepada kesan pertandingan pelbagai penjuru kepada PH, mereka terlepas pandang perkara paling nyata.
Beliau berkata walaupun undi pembangkang akan terpecah dalam pertandingan tiga penjuru, pilihan raya umum akan datang juga bakal menyaksikan sokongan kepada Umno dan PAS berpecah.
“Sokongan kepada PAS dan Umno sudah pun terpecah dengan pembentukan parti serpihan Amanah dan PPBM,” katanya kepada FMT.
Kesimpulannya, pada hari pengundian nanti, sama ada diadakan tahun ini atau tahun depan, penyokong yang menjadi tempat PAS dan Umno bergantung pada pilihan raya umum 2013 akan lebih kecil.
Malah, ada juga yang akan meninggalkan mereka untuk bersama dengan pemimpin Amanah dan PPBM yang diundi mereka sebelum ini, kata Atory.
“Di atas kertas memang nampak seperti pertandingan pelbagai penjuru menentang BN akan menyukarkan peluang PH untuk menang.
“Namun tidak mustahil kerana pengundi PAS akan berpecah dua dan begitu juga dengan Umno.
“Kalau ia seperti plihan raya lepas, di mana PPBM dan Amanah tidak wujud, pertandingan 3 penjuru akan menyaksikan DAP dan PKR melawan PAS dan Umno.”
Bagaimanapun, Atory mengakui masih banyak yang perlu dilakukan PH untuk menjamin kemenangan pada pilihan raya umum akan datang kerana PAS menyukarkan keadaan untuk gabungan itu.
Ditanya apakah yang boleh dilakukan oleh gabungan yang dipimpin bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meningkatkan peluang mereka pada pilihan raya nanti, Atory berkata antara langkah boleh diambil ialah mengumumkan calon menteri besar mereka untuk setiap negeri.
“Beritahu pengundi siapakah orangnya yang kamu tawarkan sebagai pemimpin mereka – iaitu mereka akan ada seorang pemimpin yang baik dan boleh diterima.”
“PH juga mesti pastikan manifesto pilihan raya gabungan itu sampai kepada pengundi dan mudah difahami,” katnya.
Majlis presiden PH malam tadi membuat keputusan tegas untuk tidak bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas bermesyuarat selama 3 jam, pemimpin PH berkata gabungan itu akan menyediakan strategi untuk menghadapi pertandingan 3 penjuru.

PKR menagih ketika PAS dah tak sudi

Sekali lagi PAS 'menembak' PKR.
Kurang dari 24 jam selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) menegaskan gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS, parti terbabit hari ini membalas dengan lebih tegas.
Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menegaskan parti itu memang sudah lama membuat keputusan untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama politik dengan HARAPAN atau BN.
"PAS hanya akan memperkasakan Gagasan Sejahtera untuk menghadapi BN dan HARAPAN pada pilihan raya umum ke-14," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Isu kerjasama PAS dan PKR, kata Khairuddin, timbul selepas PKR dilihat cuba menagih kerjasama dengan PAS.
Keadaan itu katanya merisaukan parti lain dalam HARAPAN.
"Ada pun PAS daripada awal tidak berminat kerana PAS ada agenda dan strategi tersendiri untuk memenangi PRU14," katanya.
Isu kerjasama itu timbul baru-baru ini selepas Datuk Seri Azmin Ali mengesahkan ada perbincangan tidak rasmi antara partinya dengan PAS.
Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata ia adalah inisiatif bersama parti itu untuk melihat BN dapat dikalahkan.
Bagaimanapun ternyata langkah itu bukan saja tidak diterima penyokong HARAPAN, malah tidak dipersetujui sebahagian anggota PKR sendiri.
Khairuddin juga menegaskan PAS tidak membuka pintu untuk rundingan kerjasama politik walaupun ia dibuat atas nama individu selagi ia membawa imej HARAPAN.
Bukan rakan setia
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli pula mencadangkan kata muktamad mengenai sikap parti itu terhadap PAS diputuskan melalui kongkres khas.
Cadangan itu dibuat secara terbuka selepas usaha menggunakan biro politik PKR diyakini tidak berjaya kerana sebahagian besar badan itu dianggotai penyokong Azmin.
Malaysiakini semalam menyiarkan laporan rasa tidak puas hati itu juga tercetus apabila Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dianggap lambat bertindak untuk mengekang perkembangan itu.

PRU14: MB Johor yakin tiada tsunami politik Melayu di Felda


 MB Johor yakin tiada tsunami politik Melayu di Felda
Kawasan Felda di Johor masih merupakan kubu kuat Umno dan BN sekali gus akan membantu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Khaled Nordin. 
MENTERI Besar Johor Mohamed Khaled Nordin yakin tidak akan berlaku tsunami politik dalam kalangan Melayu khususnya daripada golongan masyarakat Felda.
Kawasan Felda di negeri ini masih merupakan kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN) sekali gus akan membantu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Insya-Allah (Felda masih kubu kuat Umno)...mana ada tsunami Melayu. Yang dikatakan tsunami Melayu itu hanya dakwaan dan tujuan DAP untuk mengekalkan tsunami Cina," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hak milik tanah Felda Ulu Penggeli, Kampung Seri Cahaya dan Kampung Ilham bawah Parlimen Sembrong, di Felda Ulu Penggeli, di Kluang hari ini.
Seramai 607 peneroka menerima hak milik tanah membabitkan 264 peneroka dari Felda Ulu Penggeli, Kampung Sri Cahaya (133) dan Kampung Ilham (210).
Hadir sama Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein, Ahlia Dewan Undangan Negeri (Adun) Kahang R. Vidyananthan dan Adun Paloh Teoh Yap Kun.
Mohamed Khaled yang juga Pengerusi BN Johor berkata masyarakat Felda bijak menilai usaha dilakukan kerajaan dan mendokong aspirasi negara.
"Mereka tahu hala tuju dan matlamat kerajaan. Mereka tahu pembangkang tidak mempunyai sebarang pelan untuk rakyat kecuali pembangkang hanya mahu memenangi kerusi sahaja," katanya.
Sementara itu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata masyarakat khususnya peneroka Felda tidak boleh terikut-ikut dengan pembangkang yang bertujuan memutar belitkan isu menjelang pilihan raya.
Beliau yakin usaha pembangkang untuk melakukan tsunami Melayu tidak berjaya kerana masyarakat Felda mengetahui kerajaan BN ketika ini banyak membela nasib mereka.
"Peneroka tahu siapa yang membela mereka dan sekarang ini kerajaan memberi insentif kepada peneroka. Sebab itu saya lihat usaha melakukan tsunami kepada kaum Melayu pula, saya rasa tidak jalan," katanya.

PAS bersedia hadapi pertembungan tiga penjuru, tidak gila kuasa ke Putrajaya

PAS bersedia hadapi pertembungan tiga penjuru, tidak gila kuasa
PAS tidak pernah tamakkan kerusi, apatah lagi gila merebut kuasa ke Putrajaya, kata Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Riduan Mohd Nor. 
PAS sudah bersedia untuk pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana ia sudah menjangkakan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk tidak bekerjasama dengan parti itu, kata Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Riduan Mohd Nor.
"Terpulang kepada PH untuk membuat keputusan. Ahli-ahli PAS juga telah diberi taklimat untuk bersedia menghadapi "peperangan" tiga penjuru, dengan BN dan dengan PH di mana-mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN)," kata Riduan dalam satu kenyataan.
"PAS tidak pernah tamakkan kerusi, apatah lagi gila merebut kuasa ke Putrajaya," katanya lagi.
Riduan memberi kenyataan balas kepada keputusan Majlis Presiden PH malam semalam yang menolak sebarang kerjasama dengan PAS dalam PRU14.
Keputusan itu dibuat selepas kekeliruan yang dicetuskan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan kenyataan Presiden PKR Dr Wna Azizah Wan Ismail yang parti itu terbuka untuk berunding dengan PAS bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.
Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin PKR yang lain seperti Naib Presiden Rafizi Ramli secara terang membantah idea itu. Malah, Ahli Parlimen Selayang William Leong bertindak keluar daripada biro politik parti sebagai membantah langkah itu.
"Selangor pasti tumbang di tangan BN jika berlaku pertembungan tiga penjuru. Bagi golongan yang memandang rendah kepada PAS, mereka ini sudah mula kalut bahawa peranan PAS sebagai 'king maker' begitu dirasai."
Beliau juga meramalkan akan ada yang merasakan perjalanan PH untuk mengambil Putrajaya akan menjadi sukar tanpa bantuan PAS.
Riduan juga berkata hakikatnya tidak sukar untuk bersahabat dan bekerjasama dengan PAS kerana parti itu mengamalkan politik lurus, jujur, benar dan amanah.
"Islam adalah slogan dan matlamat perjuangan PAS, dan PAS boleh bersahabat dengan sesiapa sahaja yang sanggup mengangkat dasar perjuangan ini. Namun jika Islam itu boleh dijual beli, boleh dicagar dan direndahkan, minta maaflah... merayu sekali pun PAS tidak akan sudi," katanya.

Kenapa pengundi muda belum putuskan undi siapa PRU14?


Kenapa pengundi muda belum putuskan undi siapa PRU14?
Kaji selidik terbaru Institut Darul Ehsan menunjukkan kebanyakan pengundi yang “belum membuat keputusan mahu mengundi parti mana” terdiri daripada kalangan berumur antara 21 hingga 30. 
BUKANNYA politik, tetapi mendapatkan kerja yang baik dan menghadapi kenaikan kos sara hidup tinggi adalah isu yang lebih menghantui pengundi muda, kata pemerhati politik.
Mereka merujuk pada kaji selidik terbaru Institut Darul Ehsan (IDE) yang menunjukkan kebanyakan pengundi yang “belum membuat keputusan mahu mengundi parti mana” terdiri daripada kalangan berumur antara 21 hingga 30.
Menurut Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre, dapatan ini sesuatu yang “normal” di negara maju dan merupakan petunjuk baik bagi parti politik tentang sentimen pengundian belia Malaysia.
“Kecenderungan politik pengundi muda tidak jelas, tidak seperti generasi yang lebih tua. Pengundi muda sukar diramal sokongannya kepada parti politik.
“Yang sering terjadi, mereka tidak begitu minat politik kerana pendedahannya tidak sama. Mereka bukannya terlibat dan mereka melibatkan diri dalam politik secara langsung sehingga pendirian mereka lebih rapuh.
“Sekiranya pula mereka merumuskan politik itu kotor, ia hanya akan menjarakkan lagi mereka daripada (minat kepada) politik,” kata pengarah eksekutif Ilham Centre itu kepada The Malaysian Insight.
Beliau mengulas kaji selidik “Mood Rakyat Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)” yang diumumkan oleh IDE pada Isnin.
Dalam kaji selidik itu, responden ditanya parti atau pakatan politik manakah yang akan mereka undi pada PRU14 sekiranya pilihan raya umum itu diadakan dalam masa enam bulan dari sekarang.
Kaji selidik itu mendapati 50% responden sudah membuat keputusan parti mana yang akan mereka pilih, manakala 22% akan membuat keputusan selepas penamaan calon, 9% seminggu sebelum pengundian dan 19% pada hari pengundian.
Daripada soalan sama, kaji selidik itu mendapati kelompok pengundi muda yang berumur antara 21 hingga 30 tahun rata-rata masih belum menentukan parti mana akan mereka undi.
Kaji selidik secara bersemuka itu dilakukan antara 11 hingga 15 Ogos melibatkan 4,486 responden di seluruh negara. Ia meliputi 130 daripada 165 kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia yang secara keseluruhan mempunyai hampir 12.1 juta pengundi.
“Pengundi muda tidak lagi berminat dengan politik dan kebanyakan mereka bukan anggota daripada mana-mana parti politik. Jadi isu utama mereka hal seperti kenaikan kos sara hidup dan mencari kerja, atau pengangguran,” kata Hisomuddin.
Golongan atas pagar sebaliknya kelihatan paling rasional kerana mereka akan membuat pertimbangan dari semua aspek sebelum mengundi, katanya.
“Mereka yang sudah membuat keputusan tidak dijadikan petunjuk untuk menentukan kemenangan dalam sesebuah pilihan raya kerana mereka sememangnya penyokong parti politik.

Personaliti negeri tentukan pembahagian pimpinan Pakatan

Personaliti negeri tentukan pembahagian pimpinan Pakatan
Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan mengesahkan pembahagian kepimpinan negeri pada Isnin dengan PKR dan Bersatu mengetuai empat negeri sementara DAP dan Amanah tiga negeri, masing-masing.
PEMBAHAGIAN negeri kepada parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dibuat berdasarkan kepada personaliti, jumlah kerusi yang dipegang dan faktor lain, kata pemimpin parti.
Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata walaupun jumlah kerusi dipegang parti komponen, terutama DAP dan PKR diambil kira, keputusan juga dibuat berdasarkan kepada personaliti negeri dan siapa yang boleh mengetuai gabungan itu dengan berkesan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Personaliti terkemuka sebagai jeneral
Ahli Parlimen Seremban itu berkata setiap parti mencadangkan pemimpin pilihan mereka.
“Setiap negeri diketuai pemimpin PH yang terkenal dengan pengalaman dan senior. Setiap parti setuju siapa yang terbaik mengetuai gabungan di negeri berkenaan.
“Pembahagian negeri agak seimbang dengan Bersatu dan PKR masing-masing ada empat negeri dan DAP dan Amanah dengan tiga negeri setiap satu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Mesyuarat Majlis Presiden PH mengesahkan pembahagian kepimpinan negeri pada Isnin, dengan seorang sumber memberitahu The Malaysian Insight yang PKR akan mempengerusikan PH di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah.
Keputusan bersama
Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa berkata memandangkan Bersatu dan Amanah masih baru dan mempunyai kerusi paling sedikit di Dewan Rakyat dan DUN, jumlah kerusi dipegang tidak memainkan peranan dalam memutuskan pembahagian negeri.
Beliau berkata personaliti menjadi faktor dalam keputusan dibuat majlis presiden PH itu.
Beliau memetik kes Adly Zahari, daripada Amanah Melaka di mana parti itu tidak mempunyai kerusi di 28 kerusi DUN. Hanya DAP dan PAS masing-masing ada lima dan satu kerusi dalam kalangan parti pembangkang.
“Tetapi Adly bukan muka baharu, dia anak tempatan, usahawan dan bekas pesuruhjaya PAS negeri. Kami bersama dalam Pemuda PAS ketika saya berada di Melaka,” kata Mujahid.
Negeri “anchor”