Ahad, 27 Ogos 2017

HUSAM MUSA: K.TERENGGANU)NAJIB RAZAK & 1MDB!BUKTI DAH CUKUP,TG HADI KATA TAK ADA SAKSI

MAT SABU: KALAU TUN MAHATHIR TAK JADI PEMBANGKANG RCI TAK AKAN ADA???

RAFIZI RAMLI: (KUALA LANGAT) UCAPAN DI JELAJAH BINA SEMULA NEGARA

KUALA LANGAT: RAFIZI RAMLI-JELAJAH BINA SEMULA NEGARA

TUN MAHATHIR-: USTAZ HADI LUPA UNDI ORANG CINA PENTING UNTUK MENANG PRU

NAJIB SEMAKIN PANIK, PERTUKARAN KERAJAAN KIAN MENAKUTKANNYA

Baru dua hari lalu Najib Razak menulis di blognya dengan menyatakan bahawa negara kini berada dalam mood positif untuk beliau mengadakan pilihanraya umum, namun nadanya kini berubah dengan tiba-tiba.

Tidak cukup dengan itu, Najib turut menyatakan Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan 5 hingga 9 Disember depan boleh ditangguhkan kiranya pilihanraya perlu diadakan terlebih dahulu.

Kata-kata Najib itu seolah-olah memberi gambaran kemungkinan Parlimen akan dibubarkan pada November atau Disember ini.

Selepas berkeyakinan jentera UMNO sudah bersiap sedia, prestasi ekonomi yang baik, KDNK memberangsangkan, rizab Bank Negara melebihi AS$100  bilion dan perpaduan rakyat di tahap tertinggi ekoran Sukan SEA yang sedang berlangsung, beliau hari ini berkata, tiada sebab bagi rakyat mahu menukar kerajaan yang ada.

Tambahnya, pengiktirafan daripada beberapa pihak, termasuk negara luar terhadap Malaysia membuktikan tahap pembangunan sedang berada di landasan yang tepat dan dengan yang demikian, kerajaan yang ada haruslah dipertahankan oleh rakyat.
Jika sudah berkeyakinan keadaan negara dalam mood positif, kenapa Najib harus bimbang dengan pertukaran kerajaan sehingga terpaksa menggunakan pujian daripada beberapa negara lain sebagai sandaran terbaru hujahnya?

Adakah beliau mula panik melihat sambutan rakyat terhadap program Tun Mahathir kebelakangan ini?

Apakah bila ada pujian daripada negara-negara lain, bermakna negara sedang dalam keadaan yang benar-benar baik untuk rakyatnya?

Apakah semua orang luar tahu permasalahan sebenar dalam rumahtangga negara kita?

UMNO SAH BUKAN LAGI SATU-SATUNYA PEMBELA MELAYU, NAJIB "DITAMPAR" MB NEGERI SEMBILAN

Demi takut kehilangan kuasa dan tindakan undang-undang mungkin bakal menantinya jika tidak lagi menjadi Perdana Menteri, Najib Razak adalah pemimpin paling kerap memainkan sentimen seolah-olah UMNO satu-satunya parti pembela kepada orang Melayu.

Antara kata-katanya ialah orang Melayu akan jadi bangsat jika UMNO kehilangan kuasa, di samping mereka juga didakwanya tidak lagi menjadi kaum yang akan diberi keutamaan di negara ini.

Seiring itu, ramuan menakut-nakutkan orang Melayu itu direncahkan lagi dengan gambaran kononnya selepas UMNO kehilangan kuasa, DAPlah yang paling berkuasa.

Beberapa pemimpin UMNO juga kerapkali mendendangkan lagu yang sama seolah-olah parti itu mesti dikekalkan berkuasa sehingga kiamat.
Sementara UMNO di bawah pemimpin sebelum ini dilihat lebih membela rakyat dan keinginan mengekalkan kuasa itu benar-benar untuk meneruskan kesinambungan terhadap pembangunan negara, sebaliknya hasrat Najib memastikan UMNO kekal berkuasa hanyalah untuk menyelamatkan dirinya semata-mata.

Hilang kuasa Najib sebagai Perdana Menteri, "bye byelah" segala-galanya.

ISKANDAR: ‘SERANGAN TERHADAP PAS, SATU KONSPIRASI ANTARABANGSA?’


Laporan bahawa PAS akan bekerjasama dengan Umno untuk menawan Selangor mesti dilihat sebagai satu usaha untuk memburukkan imej PAS.
Ianya adalah semata-mata spekulasi tanpa sebarang bukti kukuh.
Ia kemungkinan satu konspirasi antarabangsa untuk menyerang PAS dari dalam dan luar negara sepertimana dakwaan Sarawak Report yang telah dibawa ke Mahkamah oleh PAS.
Adalah mustahil PAS akan bekerjasama dengan Umno yang sarat dengan pelbagai masalah dan telah ditolak oleh rakyat Selangor sebanyak dua kali (2008 dan 2013).
Selain itu, sokongan rakyat Selangor adalah padu bersama kerajaan negeri hari ini. Menurut satu kajian sebuah badan bebas, kurang dari 10 peratus rakyat Selangor yang tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri.
Sentimen akar umbi menunjukkan para pengundi akan memberi sokongan kepada parti-parti yang dilihat mewakili kerajaan negeri yang sedia ada. Umno bukan di antara parti-parti tersebut.
Saya juga tidak percaya akan berlaku perpecahan undi jika berlaku pertandingan tiga penjuru seperti dalam pilihan raya kecil (PRK) Sg Besar. PRK tidak akan mengubah kerajaan tetapi pada PRU pengundi akan lebih teliti kerana mereka akan memilih kerajaan untuk lima tahun akan datang.
Oleh itu, saya yakin majoriti rakyat Selangor akan mengundi untuk mengekalkan kerajaan negeri hari ini. Mereka akan mengundi parti-parti yang dilihat akan membentuk kerajaan negeri.
Kerajaan negeri hari ini telah melaksanakan banyak program-program untuk membantu rakyat sejak 2008. Mereka telah melakukan hampir segala-galanya di dalam bidang kuasa mereka.

PAKATAN PKR-PAS AKAN KECEWAKAN PENGUNDI

Pemimpin PKR mesti mengambil iktibar daripada pilihan raya presiden AS pada 2016 berikutan beberapa pemimpin parti itu meneruskan usaha untuk memujuk PAS, kata bekas anggota biro politik parti itu, William Leong.
Dalam temubual dengan Malaysiakini semalam, Leong berkata ramai penyokong Demokrat tidak keluar mengundi calon parti mereka Hillary Clinton, yang membawa kepada kemenangan mengejut Donald Trump.
Dalam konteks Malaysia, tinjauan menunjukkan bukan Islam di negara ini tidak menyokong BN, tetapi ia tidak bermakna mereka akan mengundi PKR dalam pilihan raya nanti.
“Ini sama seperti Clinton. Mereka yang menyokong Demokrat tidak mengundi Trump, tetapi mereka tidak keluar mengundi (langsung). Trump masih akan menang.
“Saya rasa ada bahayanya jika kita terus mengecewakan rakyat sehingga membuat mereka berfikir tiada bezanya sama ada mereka mengundi atau tidak,” katanya.
Sekiranya sememangnya ini berlaku, maka tidak ada harapan untuk Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang.
Leong, yang merupakan anggota Parlimen Selayang dan bekas bendahari parti itu, berkata PAS kini sedang bersiap sedia untuk pertandingan pelbagai penjuru manakala PKR tidak berbuat demikian dan masih cuba berbincang dengan bekas sekutunya itu.
Sebagai sebuah parti politik, katanya, PAS sedang melakukan apa yang sepatutnya dilakukan, tetapi PKR tidak berbuat demikian kerana mahu terus memujuk PAS.
“Bayangkan anda mempunyai teman wanita yang mengatakan tidak. Berapa kali anda mahu teman wanita anda mengatakan tidak?” tanya Leong.
Pendirian berprinsip
Bagi Selangor – satu-satunya negeri yang dikuasai PKR – PAS dilihat menjadi ancaman kepada HARAPAN kerana ahli-ahli parti itu bukan sahaja menjadi sebahagian daripada pentadbiran negeri, tetapi juga di peringkat akar umbi.
“PAS bukan sahaja memegang tiga jawatan exco, mereka mempunyai jawatan dalam majlis tempatan dan jawatankuasa kampung,” tegas Leong.
Dengan ini, tambahnya, PAS mempunyai kuasa, dana dan sumber, yang ia gunakan untuk memperkuat diri mereka.
Sebagai contoh, Leong menyebutkan bagaimana PAS menguasai sebahagian besar masjid dan surau di negeri itu.
“Kita ada ustaz kita, tetapi mereka tidak boleh masuk (ke masjid-masjid berkenaan), alasannya mereka bercakap mengenai politik, tetapi apa yang anda rasa yang dicakapkan oleh ustaz PAS?” soalnya.

PELUANG PH UNTUK MENANG LEBIH BESAR PADA PERTEMBUNGAN TIGA PENJURU


PERTEMBUNGAN tiga penjuru antara Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan PAS pada pilihan raya umum akan datang memberi peluang lebik baik kepada pakatan pembangkang, kata ahli panel pada satu forum pilihan raya baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata beberapa kajian yang dijalankan di seluruh negara menunjukkan pertandingan tiga penjuru akan memberi kelebihan kepada PH di kebanyakan kerusi kerana berlaku pecahan undi Melayu antara PAS dan BN.
“Bila berlaku pertembungan tiga penjuru, undi Melayu akan berpecah kepada tiga antara Umno, PAS dan PH di mana undi bukan Melayu terutamanya Cina hampir ketara bersama PH.
“Tambahan lagi apabila terbentuknya Bersatu, sebahagian undi Melayu Umno juga akan dibawanya kepada PH, maka undi PH pun akan bertambah dan akan menang dalam pertandingan tiga penjuru,” kata Khalid pada forum “PAS rakan kongsi berisiko tinggi” di Kuala Terengganu.
Menurut Khalid, PH telah meminta Pengarah Pilihan Rayanya, Mohamed Azmin Ali untuk menyiapkan satu kertas kerja tentang usaha PKR mahu terus bekerjasama dengan PAS.
Timbalan presiden PKR yang juga menteri besar Selangor itu diminta menjelaskan tujuan dan rasionalisasi mengapa PH perlu bekerjasama dengan PAS ketika parti itu terus menerus menolak kerjasama dengan PH dan juga PKR.
Azmin telah diminta membentangkan kertas itu dalam mesyuarat Majlis Presiden PH akan datang.
Menurut Khalid, Amanah menyedari sikap PAS yang tidak mahu bersama PH itu sejak awal lagi kerana hampir kesemua pimpinannya mengenali parti Islam itu kerana mereka berasal darinya.
Baru-baru ini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi memaklumkan PAS akan bertanding 42 kerusi negeri di Selangor termasuk Kajang (kerusi Wan Azizah Ismail) dan Bukit Antarabangsa (Azmin).
Dalam PRU 13 lalu, PAS hanya bertanding 23 kerusi dan menang 15 darinya.
Menurut Khalid, sebelum ini ketika Iskandar Samad adalah pesuruhjaya PAS Selangor, kesemua 13 Adun PAS telah menghantar surat kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang meminta diberi ruang untuk berbincang dengan PH di Selangor.
“Namun ia telah ditolak oleh PAS. Bahkan kesemua unit PAS telah mempermainkan adun-adun ini sehingga Iskandar mendakwa mereka semua duduk dalam perigi buta, yang tidak tahu kepentingan mereka terus kekal dalam kerajaan negeri Selangor,” kata Khalid dalam forum itu.
Sementara itu seorang lag i ahli panel, Hasbie Muda yang juga  ketua Pemuda Amanah Terengganu berkata, sejak dari dulu lagi sejarah menunjukkan PAS selalu tidak setia dengan rakan kongsinya.
Dalam tahun 1960an di Terengganu, PAS pernah mengkhianati Parti Negara apabila mereka bekerjasama melawan Perikatan waktu itu.
“Ia menyebabkan kemudiannya, tiga Adun Parti Negara pimpinan Datuk Onn ketika itu menyertai Perikatan bersama lima wakil rakyat PAS sendiri melawan kerajaan negeri pimpinan PAS sehingga ia tumbang.

PAS SELANGOR PENTINGKAN DIRI


AMPANG – Pemuda Amanah Selangor melihat tindakan Pas Selangor yang mahu meletakkan calon di Dun Kajang dan Dun Bukit Antarabangsa seolah-olah satu ugutan politik yang jelas tidak matang dan hanya mementingkan diri dan parti Islam itu sahaja.
Ketuanya, Abbas Azmi berkata, secara peribadi beliau berasa agak pelik dengan tindakan Pas Selangor itu.
“Tidakkah mereka merasa toleransi yang cukup tinggi ditunjukkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sehingga hari ini kerana Pas masih dikekalkan dalam kerajaan Selangor walaupun Pas bukan rakan komponen Pakatan Harapan,” katanya.
Abbas berkata, secara demokrasinya beliau bersetuju mana-mana parti atau individu boleh bertanding di mana-mana kerusi ketika pilihan raya nanti.
“Namun setiap percaturan itu mestilah mempunyai strategi khusus untuk menang. Pengumuman Pas Selangor yang mahu meletakkan calon mereka di kerusi presiden dan timbalan presiden PKR itu satu perkara yang tidak menghargai semangat setia kawan dan tidak melambangkan perjuangan membela rakyat.
“Perlu diingat kemenangan Pakatan Rakyat dahulu ketika PRU13 adalah hasil permuafakatan politik bukan kerana faktor kekuatan sesebuah parti sahaja,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Selangor kini amat selesa dengan pentadbiran negeri yang dipimpin oleh pimpinan Pakatan Harapan.
“Saya amat yakin rakyat Selangor akan terus memberi kepercayaan ini pada PRU akan datang. Rakyat merasai kebajikan dan pembelaan nasib rakyat pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya komited meneruskan agenda mulia membela rakyat Selangor pada PRU akan datang.
“Di atas platform Pakatan Harapan, kami akan mempertahankan sehabis daya. Kita bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada PKR, DAP dan Bersatu sama ada berbentuk jentera atau kemahiran,” katanya.

AMANAT HADI BOLEH CETUSKAN LEBIH BANYAK ‘MEMALI’, KATA RAHIM NOOR


MALAYSIA bernasib baik kejadian di Memali tidak berulang atau merebak di tempat-tempat lain kerana ucapan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang dikenali sebagai Amanat Hadi sudah mempengaruhi banyak orang pada ketika itu, kata bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor.
Katanya, Amanat Hadi itu bukan saja mempengaruhi guru agama Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya tetapi banyak lagi pemuda parti Islam itu.
“Dia (Hadi) menghasut apabila dia kata kalau kita terkorban dalam perjuangan melawan Umno sebagai sebuah parti yang mengamalkan dasar-dasar penjajah, mati kita mati syahid.
“Alhamdulillah, yang berlaku hanya Ibrahim Libya. Kalau meletup sana-sini, Ibrahim Libya Johor, Ibrahim Libya Pulau Pinang dan tempat-tempat lain, habis negara kita, habis polis.
“Nasib baik ada satu saja Ibrahim Libya, kerana Amanat Hadi ini terlalu keras dan menghasut,” kata Rahim dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight.
Rahim sebelum ini mengatakan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas peristiwa Memali hanya akan mendedahkan peranan Hadi sebagai punca tragedi yang membunuh 18 nyawa itu.
Kenyataannya itu dibidas oleh Naib Presiden PAS, Idris Ahmad yang meminta Rahim tutup mulut daripada sibuk mencampuri urusan politik dan bercakap soal keselamatan negara kerana bekas ketua polis negara itu malah gagal mengawal keselamatan di balainya sendiri.
Idris merujuk kepada penglibatan Rahim dalam kes mata lebam Anwar Ibrahim pada September 1998. Rahim bagaimanapun menjawab beliau hanya menyatakan fakta dan bukannya hendak campur tangan soal politik.
Amanat Hadi merupakan petikan ucapan presiden PAS itu dalam ceramah di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang dipegang ahli PAS di seluruh negara pada ketika itu.
Ucapan itu dianggap titik penting dalam politik orang Melayu pada dekad 1980-an yang menyaksikan perpecahan terburuk orang Melayu sehingga melibatkan tuduhan kafir-mengkafir, sembahyang dua imam dan pulau-memulau dalam kegiatan masyarakat termasuk urusan jenazah.
Semasa peristiwa Memali pada 19 November, 1985, Rahim merupakan ketua polis Selangor. Beberapa bulan kemudian beliau dilantik sebagai ketua polis Sabah pada 1986 dan pada tahun yang sama, dipindahkan ke Bukit Aman sebagai Pengarah Cawangan Khas.
Selepas menjadi pengarah cawangan khas, antara fail awal beliau semak ialah peristiwa Memali yang berlaku “tiga, empat bulan sebelumnya” kerana ketika itu insiden terbabit masih lagi panas.
Rahim turut diberikan taklimat oleh timbalan pengarah Cawangan Khas yang memantau gerakan radikal Islam di Malaysia pada ketika itu.
Rahim berkata selain Ibrahim Libya, ada tiga orang lagi anggota sayap Pemuda PAS yang terpengaruh dengan Amanat Hadi.
“Saya tak mahu sebut nama sebab nanti orang marah. Mereka ini mempunyai kecenderungan terpengaruh juga.

APA PENDIRIAN UMNO DAN PAS SEKARANG MENGENAI AMANAT HADI?

Saudara-saudara sekelian percayalah,
Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
 Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.
Tanpa perlu diperkenalkan lagi, semua orang tahu dan kenal bahawa petikan diatas adalah sebahagian daripada ucapan oleh Hadi Awang yang dilafazkannya di Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.
Petikan itu begitu popular di kalangan ahli serta penyokong Pas dan ia kemudian dikenali sebagai Amanat Hadi. Selama bertahun-tahun, amanat itu seolah-oleh pegangan dan hukum bagi Pas dalam meneruskan permusuhannya dengan UMNO.
Berdasarkan perkembangan politik semasa dan pendirian Pas berbaik-baik, malah mungkin bekerjasama dengan UMNO menjelang pilihanraya akan datang, beberapa persoalan ini seharusnya diberikan jawapan yang jujur dan ikhlas, baik oleh Hadi mahu pun oleh pemimpin-pemimpin UMNO, khususnya Najib Razak sendiri.
1. Masihkah Hadi berpegang kepada amanat yang pernah diucapkannya itu?
2. Jika pegangannya masih tidak berubah, apakah hujahnya dalam membawa Pas berbaik-baik dengan UMNO sedangkan UMNO masih menggunakan perlembagaan yang sama dan BN yang memerintah negara ini juga tidak pernah mengubah perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliyah yang digunakannya sejak dulu?
3. Jika pegangan Hadi sudah berubah, bolehkah beliau menerbitkan amanatnya yang baru yang mewajarkan hubungan dengan UMNO dan BN yang dulunya beliau mendakwa amalan politik suku dan agama suku sama seperti menjadi kafir?
4. Atau, jika amanat yang diucapkan pada tahun 1981 itu salah dan tidak tidak terpakai lagi sekarang ini, sediakah Hadi memohon maaf kepada UMNO dan BN serta mereka yang pernah terpengaruh dengan amanatnya yang ekstrem dan melampau itu?
5. Kepada UMNO dan BN pula, apakah tanggapan mereka sekarang ini terhadap Amanat Hadi dan kepada Hadi sendiri?

Di Terengganu, pilihan bukan lagi antara PAS atau Umno

Di Terengganu, pilihan bukan lagi antara PAS atau Umno
Ceramah Pakatan Harapan di Kuala Terengganu malam tadi dihadiri ramai pemimpin kanan pembangkang termasuklah Lim Kit Siang, Dr Mahathir Mohamad dan Husam Musa.
PENGUNDI di Terengganu perlu menghapuskan tradisi mereka yang selama ini hanya memilih antara Barisan Nasional (BN) atau PAS jika mereka mahu negeri dan negara ini bergerak maju, kata Pakatan Harapan (PH).
Gesaan itu dibuat pakatan pembangkang yang baru ditubuhkan itu dalam cubaanya meluaskan pengaruh ke negeri Pantai Timur kaya minyak itu yang selama ini didominasi oleh Umno dan PAS, kedua-duanya musuh politik PH.
Kempen PH di Terengganu pada hujung minggu ini mencapai kemuncaknya pada ceramah di Kuala Terengganu yang dihadiri pemimpin utamanya termasuklah Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang dan Husam Musa. Masing-masing mewakili parti komponen yang membentuk PH iaitu Amanah, Bersatu, PKR dan DAP.
Malah pemimpin PAS Terengganu Syed Azman Syed Ahmad Nawawi sendiri menyokong gesaan ini berkata yang satu-satunya pilihan yang perlu pada pilihan raya akan datang adalah antara PH atau Barisan Nasional.
Undi kepada pembangkang ketiga seperti PAS adalah undi kepada BN, kata Syed Azman kepada The Malaysian Insight.
Pemimpin kanan PH Husam Musa turut menyifatkan PAS sebagai menyebelahi Umno kerana parti Islam negara itu seolah-olah merestui salah laku jenayah yang dilakukan parti pemerintah berkaitan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Misalnya pemimpin PAS tidak mengecam temasya mewah yang dianjurkan ahli perniagaan Low Teck Jho yang didakwa menggunakan wang hasil rompakan 1MDB, kata Husam yang merupakan naib presiden Amanah.
Pemimpin PAS Terengganu termasuklah Presiden Abdul Hadi Awang turut gagal mengetengahkan isu 1MDB ketika ia mula berlaku sedangkan ia berasal di negeri itu daripada agensi yang dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA).
“Apa yang ustaz PAS cakap tentang semua arak yang dibeli guna duit 1MDB?” soal Husam kepada hadirin di ceramah “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di bandar itu malam tadi.
Husam merujuk kepada dakwaan pihak berkuasa Amerika Syarikat yang dianggarkan AS$4.5 bilion yang dirompak daripada 1MDB digunakan untuk mengadakan majlis keraian mewah, membeli arak mahal dan dihabiskan kepada model terkenal.
“Apa yang mereka kata tentang semua parti arak yang mereka buat? Semua model bogel mereka upah untuk parti dalam bot? Saya tak faham bagaimana ustaz ini boleh puas hati dengan penjelasan 1MDB.”
Pemimpin PAS sebelum ini dilaporkan berkata yang mereka berpuas hati dengan pelan rasionalisasi 1MDB selepas pertemuan dengan presiden syarikat sarat hutang itu, Arul Kanda Kandasamy. Tetapi pada masa yang sama, mereka juga mahukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal itu.
Husam juga mengkritik Hadi kerana mendakwa perlu adanya empat orang saksi bagi membuktikan pertuduhan ke atas 1MDB.
“Seperti Hadi nak lindungi Najib. Jadi dalam pilihan raya nanti, pilihan adalah antara Umno yang dibantu PAS lawan Pakatan Harapan.”
Rakyat Terengganu perlu menghapuskan idea mereka yang hanya ada dua pilihan undi, sama ada untuk BN atau PAS, katanya lagi.
“Sekarang dacing (BN) dah tak seimbang, bulan (PAS) pun dah gerhana, Jadi tolong fikir tentang ini,” katanya lagi.
Dr Mahathir Mohamad turut mengecam PAS, mengatakan yang parti itu menggunakan agama untuk meraih sokongan politik dan ini menyebabkan wujud percanggahan sesama mereka dan mengelirukan ramai orang Islam.
“Pada 1980-an, PAS mengkafirkan ahli Umno dan kalau mati sebab lawan Umno maknanya mati syahid,” kata Dr Mahathir yang merupakan bekas perdana menteri Umno-BN sejak 1981 hingga 2003 tetapi kini menerajui pembangkang.
“Tetapi sekarang Umno dah tak haram nak kerjasama. Sebabnya PAS hanya gunakan Islam untuk membezakan diri mereka daripada Umno sebab nak dapat undi”.

Dalam dingin malam, Pakatan terima sambutan hangat orang Kuala Terengganu


Dalam dingin malam, Pakatan terima sambutan hangat orang Kuala Terengganu
Kehadiran Dr Mahathir Mohamad menarik minat rakyat untuk terus mendengar ceramah Pakatan Harapan di Kuala Terengganu walaupun hujan turun malam tadi. 
MALAM terasa dingin sekali; angin terdengar menjerit dan hujan sekejap-sekejap datang ke tepi pantai ini ketika perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan Sea antara Malaysia dan Indonesia berlangsung.
Tetapi dingin malam 23 darjah selsius atau perlawanan bola sepak itu sama sekali tidak menghalang kira-kira 1500 hadirin yang tetap riuh tepuk soraknya mendengar ceramah Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu.
Apabila hujan renyai mereka berlindung di bawah payung besar dan kalau hujan lebat, mereka lari berteduh di bawah ruang pasar sehinggalah selesai Naib Presiden Amanah Husam Musa berucap.
Husam penceramah akhir selepas penasihat DAP Lim Kit Siang, pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Tetapi apakah mereka diyakinkan oleh ceramah ini bahawa Malaysia perlu diselamatkan dan Pakatan Harapan adalah penyelamatnya?
Skandal
“Malaysia perlu diselamatkan. Negara ini tenggelam dengan skandal yang berlonggok-longgok,” kata seorang lelaki berumur 54 tahun, Mat Zan Aris namanya.
“Kita perlu diselamatkan daripada salah guna kuasa dan rakyat perlu tegakkan semula kedaulatan undang-undang. Tiada siapa boleh terlepas daripada undang-undang,” kata penduduk Kuala Terengganu itu.
KC Chan, yang datang bersama dua rakannya, berkata negara ini terbelit hutang dan perlukan barisan pemimpin baru yang boleh merombak sistem.
“Hutang yang kita perlu bayar kepada China untuk projek Landasan Keretapi Pantai Timur akan melumpuhkan negara,” kata pengundi di Kuala Terengganu itu.
Seorang lagi penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad Bakri berkata keyakinan kerajaan tentang keadaan ekonomi semasa membingungkannya.
“Kalau ekonomi elok kenapa ringgit jatuh teruk berbanding mata wang Thailand, Indonesia dan Singapura?” katanya.
Lelaki 53 tahun itu menyalahkan pemimpin yang ada atas segala masalah yang membelenggu negara.
“Mereka bercakap masa orang ada kuasa dan bukannya macam orang yang diberi kuasa. Pengundi yang beri mereka kuasa dan pengundi boleh tarik balik kuasa itu,” tambahnya.
Menurut laporan, sejak 2008, Ringgit jatuh 27.7% berbanding mata wang Singapura, Thailand dan Korea Selatan yang merosot 6.8%.
Sehingga selesai Naib Presiden Amanah Husam Musa berucap, rakyat terus mendengar ceramah walaupun terpaksa berlindung kadang di bawah payung besar, kadang di pasar besah kerana hujan lebat malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Ogos, 2017.
Sehingga selesai Naib Presiden Amanah Husam Musa berucap, 
rakyat terus mendengar ceramah walaupun terpaksa berlindung 
kadang di bawah payung besar, kadang di pasar besah kerana 
hujan lebat malam tadi.
Kredibiliti Dr Mahathir
Bagi Christopher Loh, seorang perunding yang kebetulan datang ke Kuala Terengganu, kehadiran bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam PH memberikan dia satu keyakinan yang besar.
“Beliau ada pengalaman menguruskan negara dan pernah meletakkan kita di peta dunia. Pemimpin sekarang pun letak kita di peta dunia, tapi untuk sebab yang lain,” kata pengundi dari Selangor itu.
“Kita pernah digelar harimau ekonomi tetapi di mana kita sekarang?” tanyanya.
Bagi Ahmad, dalam keadaan seperti ini “apa pun pastilah lebih baik daripada apa yang ada sekarang.”
“Kita perlu ubah kerajaan demi rakyat Malaysia. Mereka menjahanamkan negara dengan politik kaum dan agama.
“Masa zaman Dr Mahathir, orang berbilang kaum boleh campur gaul dan bergurau sesama sendiri. Tetapi sekarang tidak lagi sebab kerajaan laga-lagakan kita semua.”
Mat Zan bagaimanapun membayangkan Pakatan Harapan ada banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk meyakinkan pengundi di Terengganu.
“Masih banyak penyokong tegar Umno dan PAS di Terengganu. Mereka buat tak tahu saja walaupun kita dah tunjukkan apa yang berlaku. Kalau Pakatan hendak menang, orang macam inilah yang perlu mereka tarik.”
Jalan masih lagi panjang untuk Pakatan boleh bertapak di Terengganu yang selama ini kubu tradisi sama ada PAS mahupun Umno.
Tetapi pada satu malam yang dingin ini, mereka dapat merasakan hangatnya sambutan yang diberikan di Pasar Chabang Tiga.

Tun Mahathir, LKS & Husam Di Ceramah Pakatan Harapan Chabang Tiga Terengganu

RAFIZI RAMLI: (REMBAU) JELAJAH BINA SEMULA NEGARA

RAFIZI RAMLI: (SIKAMAT) JELAJAH BINA SEMULA NEGARA