Rabu, 23 Ogos 2017

Pemimpin PKR mahu tarikh akhir rundingan Azmin-PAS

PKR perlu memberikan tarikh akhir sekiranya mahu berbincang dengan PAS, kata seorang pemimpin parti itu ketika berlaku perselisihan berikutan keputusannya untuk berunding dengan PAS.
Anggota Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul berkata tarikh akhir perlu diberikan satu atau dua minggu selepas Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 1 September.
"Kita tidak boleh terus bincangkan perkara-perkara ini sementara pada masa yang sama rakan-rakan Pakatan Harapan (HARAPAN) kita tidak pasti sama ada kita teguh pada gabungan itu," kata Johari kepada Malaysiakini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Anggota Parlimen Selayang William Leong untuk berundur daripada Biro Politik PKR.
Leong tidak bersetuju dengan rancangan parti itu meneruskan rundingan dengan PAS ketika pilihan raya semakin hampir, dengan mengatakan PKR sepatutnya bersedia berdepan pertandingan tiga penjuru melawan parti Islam itu.
Mengulas mengenai mesyuarat Biro Politik berhubung keputusan Leong, Johari berkata Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali telah merayu kepada biro berkenaan untuk memberi peluang kepada parti itu berunding dengan PAS buat kali terakhir.
"Tetapi kami memberikan cadangan balas dengan mengatakan ia mesti dibuat pada peringkat HARAPAN, dan bukan pada peringkat individu.
"HARAPAN mesti tahu apa pendirian kami mengenai perkara itu," kata Johari.

‘Cari punca atasi masalah ramai graduan menganggur’....pemimpin sebok bermewah

Perunding pendidikan, Tan Ai Mei berkata, sistem pendidikan Malaysia terlalu berorientasikan peperiksaan dan memfokuskan bilangan A yang boleh diperoleh pelajar.
graduates-1
Seorang perunding pendidikan memberi amaran terhadap sikap memandang ringan kadar pengangguran dalam kalangan graduan yang tinggi.
Bercakap kepada FMT, Dr Tan Ai Mei menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi “mencari jalan penyelesaian” dan menyiasat punca utama masalah itu, bukannya menukar sistem lain.
Beliau berkata, sistem pendidikan Malaysia terlalu berorientasikan peperiksaan dan memfokuskan bilangan A yang boleh diperoleh pelajar.
Katanya, pelajar kurang berkelulusan yang diterima masuk ke universiti ialah satu lagi masalah, sama seperti pendidik yang tidak mampu meningkatkan standard pelajarnya.
“Di Jerman, asas sistem pendidikannya sangat luas. Di Malaysia, sistemnya terlalu berorientasikan peperiksaan dan asasnya sempit. Ini membentuk masyarakat yang kurang minat dan sikap ingin tahu.
“Kementerian harus mencari penyelesaian kepada masalah pengangguran ini. Pentadbiran akademik juga perlu diwujudkan, bukannya pentadbiran korporat,” katanya kepada FMT.
Tan mengulas cadangan Presiden Pusat Hal Ehwal Sedunia (Icon), Abdul Razak Baginda untuk Malaysia melaksanakan sistem pendidikan hibrid yang menggabungkan latihan akademik dan vokasional.
Sekolah teknikal profesional
Tan berkata, pendidik perlu mempunyai ilmu pengetahuan luas dan kefahaman tinggi mengenai subjek diajar mereka dan beliau kesal negara sekarang berdepan masalah ini.
Beliau turut menekankan keperluan membezakan latihan akademik, vokasional dan separa profesional.
Seorang pendidik, Prof Madya Dr Kok Boon Ching berkata, sekolah teknikal profesional dengan kualiti lebih baik perlu ditubuhkan untuk menawarkan kemahiran amali dan ilmu teori kepada pelajar luar biasa yang boleh meneruskan kerjaya akademik mereka.
“Salah satu keperluan untuk merealisasikan ini adalah mewujudkan keseragaman dan jurang pendapatan kecil antara tenaga kerja berkemahiran amali dan intelek.
“Kita tidak memerlukan banyak universiti. Apa yang kita perlu ialah pendidikan tinggi berkualiti tinggi dalam sekolah teknikal profesional dan akademik.
“Jadi, saya tidak bersetuju dengan cadangan mengasingkan pendidikan universiti kepada akademik dan vokasional,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, sistem pendidikan tidak sepatutnya menjadi hibrid 50:50 kerana ia akan membantutkan pembelajaran pelajar cemerlang dan melemahkan pelajar vokasional.
“Kami bagaimanapun percaya lebih banyak sekolah vokasional perlu dibuka dan piawaian sekolah akademik perlu ditingkatkan.
“Kami tidak mahu mereka tahu membuat semua kerja, tetapi tiada kepakaran khusus. Dalam dunia hari ini, anda perlu cemerlang dan fokus kepada sesuatu perkara untuk berjaya. Kurang permintaan untuk pekerja umum. Mereka yang mempunyai kepakaran akan berjaya,” katanya.
Azimah berkata, pelajar yang cenderung akademik atau vokasional perlu mempunyai laluan berasingan untuk mencapai impian mereka.
Semalam, Razak berkata, sebahagian daripada masalah dihadapi negara ialah sistem pendidikan yang terlalu mengikut aliran.
“Bukan semua orang akan menjadi saintis roket atau pakar bedah otak.
“Jadi, tidak perlu terlalu menekankan latihan akademik dan mengabaikan latihan vokasional sepenuhnya,” katanya.
Khamis lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dipetik Bernama sebagai berkata, seramai 54,103 lepasan universiti menganggur dalam tempoh 6 bulan selepas mereka menamatkan pengajian masing-masing pada tahun lepas.
Beliau berkata, bilangan itu berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang merekodkan 238,187 pelajar menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi tahun lepas.

Dana Tabung Memali di bawah tanggungjawab PAS Kedah, kata Mat Sabu

Mat Sabu menjawab dakwaan penyelewengan Tabung Memali yang pernah dibangkitkan satu ketika dulu oleh seorang aktivis PAS.
mat-sabu-tragedi-memali-tabung-kedahKUALA LUMPUR: Semua kutipan sebuah dana yang ditubuhkan untuk membantu keluarga mangsa tragedi Kampung Memali 3 dekad lalu diuruskan sepenuhnya PAS Kedah, kata bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, yang kini mengetuai Amanah.
Mohamad atau Mat Sabu berkata demikian turut menjelaskan wang kutipan untuk Tabung Memali yang dimulakan beberapa bulan selepas insiden yang meragut 14 nyawa penduduk kampung itu sudah diagihkan kepada mangsa dan waris.
“Tabung Memali dibuat di peringkat negeri Kedah dan pengagihan dijalankan di bawah PAS negeri Kedah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Amanah hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas dakwaan sebelum ini mengenai penyelewengan melibatkan tabung tersebut.
“Itu secara perinciannya kena tanya PAS Kedah dan isu itu telah lama sejak wujudnya isu Memali,” kata Mat Sabu.
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub yang juga bekas ketua Pemuda PAS, berkata ketika bersama PAS, beliau dimaklumkan dana tersebut diagihkan kepada kepada keluarga mangsa Memali.
“Kita bersetuju untuk menyerahkan isu ini (Tabung Memali) kepada PAS Kedah dan kami dimaklumkan PAS Kedah berjumpa dengan keluarga mangsa Memali,” katanya.
Tragedi Memali kembali dibincangkan selepas soalan mengenainya dibangkitkan pada forum “Nothing to Hide” anjuran PPBM yang dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir merupakan perdana menteri ketika peristiwa Memali berlaku pada November 1985. Pergaduhan tercetus selepas penduduk kampung mempertahankan guru agama Ibrahim Mahmud daripada ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas tuduhan menyebarkan ajaran sesat.
PAS ketika itu menolak tuduhan terhadap Ibrahim, yang turut terkorban bersama 18 lain, termasuk 4 anggota polis.
Empat tahun lalu seorang aktivis yang bertanggungjawab mengurus Tabung Memali pernah mendesak siasatan dijalankan terhadap dakwaan penyelewengan kutipan dana berjuta ringgit.

Pemimpin AMANAH tawar diri untuk RCI Memali

Pemimpin-pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) menawarkan diri untuk memberi keterangan dalam suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat peristiwa berdarah Memali pada tahun 1985.
Timbalan presiden parti itu Salahuddin Ayub berkata pihaknya menyambut baik siasatan tersebut bagi memperkasakan amalan demokrasi di negara ini.
“Saya dan kami (AMANAH) bersedia memberikan keterangan kepada RCI jika dipanggil kerana ia adalah forum terbaik untuk menghuraikan kekeliruan rakyat berhubung isu tersebut,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Wisma AMANAH Negara, Kuala Lumpur.
Bekas naib presiden PAS yang berpaling tadah itu berkata AMANAH berharap RCI Memali dapat ditubuhkan secepat mungkin.
Hadir sama dalam sidang media itu Presiden AMANAH Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Anuar Tahir, Pengarah Komunikasi Khalid Samad dan ketua Wanita AMANAH Dr Mariah Mahmud.

Kebanyakan pemimpin-pemimpin kanan AMANAH ketika kejadian bergiat dalam parti lama mereka, PAS.

Mereka menubuhkan AMANAH sebagai sebuah parti Islam baru selepas ditolak beramai-ramai dalam pemilihan PAS sebelum ini.

5 faktor tarik belia sokong BN sembang Salleh

Salleh Keruak menggariskan 5 faktor yang menyumbang kepada perubahan trend pengundi muda yang semakin menyebelahi BN.
salleh-keruak_bn_600
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggariskan 5 faktor yang menyumbang kepada perubahan trend sokongan pengundi muda yang dilihati semakin menyebelahi Barisan Nasional (BN).
Salleh berkata faktor pertama adalah anak muda kini semakin yakin dengan pemerintahan BN kerana pemimpinnya bersatu melaksanakan projek kesejahteraan rakyat, merancang masa depan negara, mampu menjamin kestabilan serta keselamatan negara.
Faktor ke-2 katanya adalah pakatan pembangkang selalu berpecah dan bekerjasama semata-mata kerana mahukan kuasa.
“Ke-3, anak muda bosan dengan isu yang dibangkitkan pihak lawan kerana ia tidak relevan berbanding isu yang dibawa BN. Isu BN mengenai kesejahteraan rakyat, pembangunan dan keselamatan negara.
“Ke-4, anak muda tidak boleh menerima politik ‘cauvinis’ yang merenggangkan keharmonian hubungan kaum berbanding dengan BN yang berusaha kuat untuk membentuk bangsa Malaysia yang bersatu,” katanya dalam catatan blognya hari ini.
Salleh berkata faktor ke-5 adalah anak muda tidak lagi berpegang kepada janji politik yang selalu ditaburkan pembangkang, sebaliknya menilai bagaimana parti berkenaan menangani pelbagai isu.
“Lima faktor itu mendorong pengundi muda bersama BN. Mereka yakin masa depan negara lebih terjamin jika BN terus memerintah Malaysia,” katanya.
Menurut Salleh, pada pilihan raya umum 2013 (PRU13), 41.98% pengundi yang berumur antara 21 dan 40 tahun agak kritikal terhadap kerajaan BN.

Pengangguran tinggi di M'sia umpama 'ayam dan telur'

Apabila ia berkaitan dengan pengangguran para belia, puncanya sering diletakkan di bahu graduan yang kurang kemahiran dan pengalaman yang diperlukan, yang menjadikan mereka kurang menarik hati majikan.
Tetapi graduan sendiri sering mengatakan bahawa mereka tidak boleh mendapat pengalaman jika mereka tidak diberikan peluang untuk bekerja.
Keadaan "ayam dan telur" ini menyebabkan kadar pengangguran belia yang tinggi di Malaysia (10.7 peratus), yang menurut laporan tahunan Bank Negara pada 2016, adalah lebih tiga kali ganda kadar pengangguran negara (pada 3.1 peratus).
Malaysiakini bercakap kepada Dr Barjoyai Bardai, seorang ahli ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, yang menjelaskan bagaimana wujudnya keadaan "ayam dan telur" ini dan bagaimana untuk menanganinya.
Barjoyai berkata banyak graduan hari ini sering tidak memenuhi jangkaan yang tinggi majikan terhadap kakitangan mereka, dan kekurangan dalam kemahiran yang sangat diperlukan, kecerdasan emosi, kreativiti dan inovasi, serta keupayaan untuk menjangka dan mempersiapkan diri untuk berdepan dengan masa depan.
"Ketiga-tiga kemahiran ini tidak diajar secara langsung di sekolah atau universiti," katanya sambil menambah pelajar diajar apa yang dianggap ikan yang terbaik, bukan mengajar mereka cara menangkap ikan.
Menurut Barjoyai lagi, majikan juga punca kesilapan itu berlaku, dengan sesetengahnya tidak mengajar pekerja mereka kemahiran tersebut atau tidak mengetahui bagaimana, dan dengan program latihan pekerjaan yang memberi tumpuan kepada set kemahiran yang khusus.
Oleh itu, beliau mencadangkan agar majikan menyumbang kepada sati tabung, sama seperti Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), untuk melatih para siswazah dalam kemahiran tersebut.
Universiti juga boleh menjalankan program yang serupa, katanya, tetapi meramalkan bahawa universiti awam khususnya, akan keberatan untuk menambah "komponen bukan akademik" kepada program sedia ada mereka.
"Sesetengah universiti swasta yang sangat agresif mungkin mahu melabur dalam program ini (supaya) graduan mereka akan lebih mudah diterima di pasaran," katanya.

‘Najib paling berkuasa kawal harga minyak’

Datuk Seri Najib Razak sepatutnya berasa malu dengan kenyataannya pada di Perhimpunan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), JKKK Persekutuan (JKKKP) dan JKKK Orang Asli (JKKKOA) semalam kononnya beliau “tidak ada kuasa dalam menentukan turun naik harga minyak setiap minggu”.
Saya tidak pasti sama ada Najib benar-benar percaya bahawa beliau tidak ada kuasa; atau pun itu hanya helahnya untuk menutup keadaan sebenar iaitu wang rakyat yang boleh digunakan untuk meringankan beban rakyat terutamanya mengawal harga minyak telah dibazirkan oleh pentadbiran beliau dalam projek-projek yang rugi besar seperti 1MDB, Felda dan lain-lain.
Saya yakin Najib tahu bahawa beliaulah yang mempunyai paling banyak kuasa dalam mengawal harga minyak di negara ini.
Kenyataan beliau bahawa harga minyak mingguan tidak dikawal oleh kerajaan persekutuan dan tertakluk kepada harga pasaran semata-mata adalah tidak tepat.
Harga petrol (RON95 dan RON97) dan diesel ditetapkan secara mingguan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggunakan formula berikut:
Harga mingguan (RON95, RON97 dan diesel) = Harga minyak yang telah diproses mengikut harga rujukan MOPS95 terbitan Platts + Jaminan Kos Operasi & Keuntungan + GST (untuk RON97).
Harga minyak diproses: harga pasaran minyak yang telah diproses mengikut gred seperti yang diperdagangkan di Singapura dan laporan harganya diterbitkan oleh penerbitan Platts. Harga yang dilaporkan adalah di dalam Dollar AS (USD) dan perlu diterjemahkan kepada Ringgit Malaysia.
Jaminan kos operasi dan keuntungan kepada pengendali stesen petrol dan syarikat minyak: Kerajaan Persekutuan menetapkan satu kadar untuk menanggung kos operasi dan memberi keuntungan kepada pengendali stesen minyak dan syarikat minyak.
Pada masa ini, kadarnya ialah 32 sen seliter (untuk pengendali stesen minyak dan juga syarikat minyak) bagi RON95/RON97 dan 23 sen seliter bagi diesel.
GST: Kerajaan Persekutuan menetapkan sama ada bahan api seperti petrol dan diesel dikenakan GST dan berapa kadar GST yang dibayar.
Oleh itu, Najib bertanggungjawab secara langsung dan tidak langsung dalam menetapkan harga minyak mingguan di negara ini seperti berikut:
Secara langsung
i. Beliau mengetuai pentadbiran kerajaan persekutuan yang membuat undang-undang bahawa harga minyak dikira berdasarkan formula yang telah ditetapkan (seperti di atas).
Beliau hanya boleh mengaku beliau tidak mengawal harga minyak jika Kerajaan Persekutuan tidak menetapkan langsung bagaimana harga petrol dan diesel ditentukan oleh stesen minyak dan menyerahkan bulat-bulat kepada peniaga untuk menentukannya (seperti mana kerajaan tidak menetapkan harga goreng pisang).

Umno bukanlah satu-satu parti mewakili Melayu

Hang Tuah sendiri yang mengatakan “Tak akan Melayu Hilang dari Dunia”.
Benar, semasa kesultanan Melayu Melaka dikalahkan oleh Portugis pada tahun 1511, mereka yang tinggal melarikan diri ke Johor dan membina satu empayar baru disana. Yang tidak bernasib baik diculik oleh penjajah dan dieksport ke luar negara.
Sehingga hari ini, terdapat Melayu yang hidup di Afrika Selatan yang berjaya mengesan jalur keturunan mereka sampai ke Malaysia.
Pada tahun 1946, Umno ditubuhkan, “the United Malays National Organisation”, dibina oleh Melayu dari pelbagai latar belakang yang terdiri daripada penulis, guru, sasterawan dan pemikir, termasuk juga dari dalam kalangan diraja.
Ia bermula sebagai satu kuasa sosial sebelum ia menjadi sebuah partisan politik.
Semasa Umno melancarkan “hartal” melawan Federation of Malayan Union yang menidakkan hak keistimewaan Melayu dan diraja, perjuangan ini merentas tembok parti.
Umno dahulunya merupakan organisasi golongan kiri dalam perjuangan bangsa dan agama.
Dalam erti kata lain, Melayu mempertahankan institusi dan cara hidup mereka walaupun
membenarkan demokrasi untuk terus hidup.
Tidak kisah Kaum Tuan atau Kaum Muda, bangsa Melayu sentiasa ghairah dalam mempelajari dari pihak lain dalam usaha mendapatkan hak kendiri.
Mereka telah belajar dari Turki Uthmaniah, juga dari British.
Inilah sebab utama Datuk Onn Jaffar menyusulkan Parti Negara sebaik sahaja selepas menjadi
presiden Umno. Beliau ingin membina satu simbol yang dapat mewakili Melayu dan semua yang
telah membanting tulang mempertahankan hak rakyat di bumi Malaya.
Ini juga mengapa, Dr Burhanuddin Al Helmi, presiden PAS mengubah parti menjadi satu kuasa
progresif demi mempertahankan bukan hanya untuk Muslim dan Melayu tetapi untuk semua.
Di Parlimen, selain daripada ayah kepada Syed Hamid Albar, hampir tiada yang memilih jalan
sempadan bangsa.
Tun Dr Mahathir Mohamad juga, dalam keperihatinan beliau dalam ketaksaksamaan ekonomi meletakkan Melayu di posisi yang tidak menguntungkan, beliau tidak pernah menuduh bangsa lain mengacau periuk nasi orang Melayu.
Jadi, bilamana Umno kini memutar belit, mengakui hanya Umno yang mampu mempertahankan
bangsa Melayu, persoalannya bagaimana?
Di Pulau Pinang, dibawah kekuasaan majoriti DAP dalam kerajaan negeri, peruntukan untuk Melayu diadakan tiap-tiap tahun.
Perlu tanam dalam minda yang peruntukan untuk Universiti Sains Malaysia sebanyak hampir RM800 juta, yang mana hampir sama dengan peruntukan kerajaan pusat untuk seluruh kerajaan negeri Pulau Pinang.
Terang-terang Putrajaya mahu menyekat DAP. Dalam cubaan menyekat peruntukan tersebut, ia telah melukakan kepentingan Melayu di Pulau Pinang.
Di Selangor, PAS masih lagi mengharap belas kasihan PKR seperti adik-beradik kembar yang
kehilangan, walaupun Hadi Awang telah mengumumkan pembubaran Pakatan Rakyat. DAP tidak melobi-lobi kisah ini kerana DAP memahami kepentingan PAS dan PKR bekerjasama keras demi kebajikan orang Melayu.

Memali: Abdul Hadi perlu jawab isu ‘Amanat Hadi’

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu memberi jawapan berhubung ‘Amanat Hadi’ yang diungkapkannya, dipercayai ada kaitan tragedi berdarah Memali, 32 tahun lalu.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor berkata, amanat tersebut dipercayai menjadi inspirasi kepada pengikut Pas ketika itu, dengan Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali Ibrahim Libya, salah seorang yang memegang teguh amanat itu.
“Ibrahim adalah seorang pengikut Pas tegar dan aktif. Dia betul-betul taksub dengan Amanat Hadi. Dia pernah belajar agama di Libya dan sebab itu digelar Ibrahim Libya,” kata Rahim yang dipetik daripada portal berita, The Malaysian Insight.
Abdul Hadi Awang Dakwanya, terdapat dua elemen boleh diambil berdasarkan amanat berkenaan, diluahkan Hadi dalam ceramahnya di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu, 7 April 1981.
Elemen pertama, Abdul Hadi mengatakan Muslim tidak perlu memeluk agama lain untuk menjadi kafir, sebaliknya mereka boleh tergolong sebagai orang kafir dengan tidak mengamalkan agama sepenuhnya dalam kehidupan seharian, termasuk dalam kegiatan politik.
“Kedua, dia kata perjuangan mereka adalah jihad dan sekiranya terkorban dalam perjuangan, mati mereka adalah syahid,” katanya.
Ditanya keperluan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat insiden itu, Rahim berpendapat, Amanat Hadi mungkin ada peranan tercetusnya tragedi Memali, yang mengorbankan 18 nyawa.

Musa Hitam alu-alukan suruhanjaya siasat Memali, cadang selepas PRU14

SEBARANG siasatan diraja terhadap peristiwa Memali lebih tiga dekad lalu seharusnya dibuat selepas pilihan raya umum akan datang bagi memastikan ia tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik dan memancing undi, kata bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam hari ini.
Musa, menteri dalam negeri pada waktu itu, berkata peristiwa Memali tidak patut dijadikan satu permainan bola politik.
“Saya yakin mana-mana pihak yang benar-benar serius dan jujur, serta mahu mengetahui latar belakang dan kejadian sebenar Peristiwa Memali, akan bersetuju untuk penubuhan dan prosiding Suruhanjaya Diraja (RCI) ditangguhkan sehingga selesainya PRU14,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, hari ini.
Musa menambah beliau menginsafi peristiwa Memali adalah satu titik hitam dalam sejarah negara yang "melibatkan terkorbannya nyawa warga negara kita" dan sebab itulah siasatan tersebut “hendaklah dilaksanakan dalam keadaan tenang lagi berfokus, tanpa prejudis dan pilih kasih”.
Musa mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi tentang kesediaan kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat semula insiden yang berlaku pada era Mahathir itu.
Musa berkata beliau tiada masalah sekiranya kerajaan mahu menubuhkan suruhanjaya diraja itu asalkan niatnya betul untuk mencari kebenaran dan bukannya untuk memenuhi agenda politik sempit jangka pendek sehingga mengorbankan kebenaran.
Dalam kenyataannya, Musa menarik perhatian bagaimana suara yang pro dan kontra terhadap cadangan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja itu menggambarkan seolah-olah peristiwa Memali ini isu biasa politik yang mahu digunakan untuk meraih undi oleh mereka “yang bernafsu mengeksploitasi laba politik”.
“Keadaan mahu mempolitikkan segala-galanya yang sedang berlaku dalam negara ketika ini adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.
Musa berkata beliau tidak nampak rasional dan kebijaksanaan untuk terburu-buru menyiasat semula peristiwa 32 tahun lalu itu kerana selama ini tidak ada tindakan untuk mencari kebenaran, selain kertas putih yang bentangkan di Parlimen.
“Di sebaliknya, dengan menangguhkan penubuhan dan prosiding Suruhanjaya Diraja untuk beberapa bulan lagi, akan meletakkan kredibiliti yang lebih tinggi kepada suruhanjaya tersebut, yang akan kelihatan bebas daripada suasana panas dalam musim politik yang begitu bergelora menjelang PRU14,” katanya.
Sebagai Menteri Dalam Negeri pada masa itu, Musa menandatangani kertas putih Peristiwa Memali yang dikemukakan ke Parlimen bertarikh 25 Februari, 1986.
Musa tiga tahun lalu mendedahkan Dr Mahathir Mohamad ada di dalam negara semasa kejadian dan memohon bekas perdana menteri itu menangguhkan lawatannya ke China tetapi Dr Mahathir enggan dan meminta beliau menguruskan isu Memali.

Dr M: Silakan tubuh RCI Memali, siasat semua orang

Bekas perdana menteri itu secara sinis menggesa kerajaan siasat segala peristiwa yang berlaku semasa 22 tahun pentadbirannya.
mahathir-2PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak gentar dengan penubuhan sebuah lagi suruhanjaya siasatan diraja (RCI) terhadapnya untuk merungkai insiden Kampung Memali lebih 3 dekad lalu.
“Banyak perkara yang berlaku semasa pentadbiran saya. Saya rasa mereka harus siasat segala-galanya. Orang yang bekerja dengan saya juga perlu disiasat,” kata bekas perdana menteri itu kepada FMT.
Menurutnya, tindakan menubuhkan RCI hanya menunjukkan niat memburukkan mereka yang menentang kerajaan.
“Kita boleh tubuhkan banyak RCI, kerana kita mahu tunjukkan yang penentang kerajaan salah,” katanya dengan nada sinis.
Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan sedia pertimbangkan penubuhan RCI untuk mengkaji peristiwa Memali 1985.
Dr Mahathir kini menjadi tumpuan dalam RCI mengenai kerugian tukaran matawang asing Bank Negara Malaysia yang memulakan prosiding minggu ini.
Peristiwa di Kampung Memali yang meragut 18 nyawa termasuk 4 anggota polis menjadi tumpuan selepas soalan mengenainya diajukan kepada Dr Mahathir pada forum “Nothing to Hide” anjuran PPBM pada 13 Ogos lalu.
Dr Mahathir merupakan perdana menteri ketika peristiwa itu yang menyaksikan konfrontasi antara polis dan pengikut guru agama dan pemimpin PAS Ibrahim Mahmud, yang cuba ditahan pihak berkuasa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Kerajaan pernah menerbitkan kertas putih mengenai insiden Memali pada 1986, tetapi kandungannya dipersoalkan penduduk kampung dan PAS.
Dr Mahathir sebelum ini mempertahankan tindakan polis ketika itu dan berkata mereka mesti mempertahankan diri daripada serangan penyokong Ibrahim.
Ketika ditemui di pejabatnya semalam, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu yang terkenal dengan sikap tenang menjawab soalan wartawan, apabila ditekan, menyindir Datuk Seri Najib Razak:
“Seperti yang Najib cakaplah, saya tidak berbuat apa-apa sepanjang 22 tahun itu. Selama 22 tahun saya duduk dan tak buat apa-apa.

PERDANA MENTERI TIADA KUASA, BERMAKNA TIDAK PERLU LAGI KITA KEKALKAN KUASANYA

Semua orang ingin dan perlukan kuasa. Bagi mereka yang berjuang dalam politik khususnya, lebih-lebih lagi untuk jawatan Perdana Menteri, perkara utama yang diperlukan ialah kuasa.

Melalui kuasalah, rakyat dapat dibantu. Melalui kuasa juga, pembelaan dan perjuangan nasib rakyat dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Tanpa kuasa, perjuangan jadi tidak berguna.

Malangnya, kita punya Perdana Menteri yang terang-terang mengaku tiada kuasa, waima dalam menentukan harga minyak yang munasabah dan murah bagi rakyat.

"Harga minyak (berubah), saya tiada kuasa.

"Harga minyak naik, saya tiada kuasa, turun juga saya tiada kuasa," kata Najib Razak.

Apa punya Perdana Menteri yang kita ada ini?

Kenapa menarik balik subsidi minyak dulu, beliau ada kuasa?

Mengapa melaksanakan GST, mengambil dana wang pencen RM4 bilion untuk 1MDB, memecat Peguam Negara dan melakukan banyak perkara lain lagi, Najib sebagai Perdana Menteri ada kuasa?

Hairan, bila tiba bab untuk meringankan beban rakyat, senang-senang Najib mengaku tiada kuasa.

Apa guna kita memiliki seorang Perdana Menteri yang mengaku tiada kuasa untuk membantu dan menolong rakyat?

Lihat perbezaan dengan Pakatan Harapan. Apa iltizam yang mereka bentangkan dalam tempoh 100 hari selepas berjaya mengambil alih Putrajaya nanti?

Antara tujuh iltizam yang yang dimuktamadkan, itu baru dalam tempoh 100 hari berkuasa, salah satunya ialah menstabilkan harga minyak pada kadar yang munasabah  untuk keselesaan dan kepentingan rakyat jelata.

Pemimpin PKR letak jawatan biro politik, bantah kerjasama dengan PAS

SEORANG pemimpin PKR meletakkan jawatan daripada biro politik sebagai membantah langkah parti itu meneruskan perbincangan untuk bekerjasama dengan PAS.
Ahli Parlimen Selayang William Leong berkata, surat peletakan jawatannya sebagai ahli biro politik sudah dihantar kepada pucuk pimpinan PKR semalam.
Ahli Parlimen Selayang William Leong berkata tindakannya meletakkan jawatan daripada Biro Politik PKR kerana tidak bersetuju dengan parti yang meneruskan pendekatan bekerjasama dengan PAS. – Gambar Facebook, 23 Ogos, 2017.“Saya tidak bersetuju parti meneruskan pendekatan bekerjasama dengan PAS apabila sudah jelas PAS sudah ada persetujuan dengan Umno,” kata Leong yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR kepada The Malaysian Insight.
“Saya sudah berikan sebab-sebab mengapa saya tidak bersetuju bekerjasama dengan PAS dalam surat peletakan jawatan saya.”
Leong bagaimanapun berkata, jawatannya sebagai ahli MPT PKR masih lagi kekal.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengesahkan partinya sudah menerima surat peletakan jawatan Leong sebagai anggota Biro Politik.
“Kami akan mencari jalan untuk cuba menyelesaikan masalah ini,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu kepada The Malaysian Insight.
PAS dalam muktamarnya di Alor Setar pada Mei lalu sepakat memutuskan kerjasama politik yang terjalin dengan PKR sejak 1999.
Bagaimanapun, PAS masih kekal dalam kerajaan Selangor yang dipimpin PKR.
Sebelum ini media melaporkan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Kenyataan Dr Wan Azizah itu dikeluarkan beberapa hari selepas beliau dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menziarahi Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang sedang berehat selepas menjalani rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Dr Wan Azizah, Azmin dan Hadi kemudian memuat naik gambar pertemuan mereka itu di laman media sosial masing-masing.
The Malaysian Insight difahamkan, sesetengah pemimpin PKR mahu terus bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru yang akan menyukarkan Pakatan Harapan menumbangkan BN pada PRU14.
Pertemuan antara pemimpin PKR dan Hadi itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin parti komponen PH seperti Amanah.
PH dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Bersatu. PAS tidak menyertai PH sebaliknya menubuhkan blok ketiga politik yang digelar Gagasan Sejahtera bersama Ikatan, yang akan dilancarkan September ini.

Tiada kerjasama PAS-PKR menjelang PRU14, sembang PAS

Naib presiden PAS mencadangkan PKR tidak bertanding mana-mana kerusi yang PAS bertanding di PRU14 nanti.
Mohd-Amar-Nik-Abdullah-pas-pkr-bendera-malaysiaKerjasama PAS-PKR tidak akan berlaku termasuk membabitkan isu penentuan kerusi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), lapor Berita Harian.
Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata perkara itu jelas selepas parti Islam itu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR pada Mei lalu.
“Walaupun PAS dan PKR masih ada ruang untuk berbincang, setakat ini kami tidak akan berbuat sebarang rundingan dengan PKR.
“Kalau Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kata mahu berbincang dengan PAS berkenaan penentuan kerusi PRU14, bagi kami senang sahaja, PKR jangan bertanding mana-mana kerusi yang PAS bertanding,” katanya.
Minggu lalu, Wan Azizah tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan PAS dalam perkara penentuan kerusi pada PRU14, selepas hampir 3 bulan parti Islam itu memutuskan hubungan dengan PKR.
“Memang objektif kita adalah menjatuhkan Barisan Nasional. Kalau ada apa-apa yang boleh membantu kita ke arah itu, kita akan cuba,” katanya mengulas mengenai isu pembahagian kerusi di antara PKR dan PAS pada PRU akan datang bagi mengelak pertandingan 3 penjuru.

Gabungan Ketua Kampung UMNO ikrar ‘serang’ Mahathir

Gabungan Persatuan Ketua Kampung Malaysia hari ini membunyikan semboyan perang dan menggesa kampung di seluruh negara untuk "menyerang" segala fitnah yang didakwa dilemparkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Presidennya, Datuk Shahaimi Othman berkata mereka tidak lagi akan bertahan tetapi sebaliknya menyerang.
“Amat kesal fitnah yang dibuat Tun Mahathir ini dan konco-konconya terhadap PM dan kerajaan.
"(Kami) tidak akan lagi bertahan, kita serang... kami akan tentang provokasi habis-habisan.
“Kita akan serang di semua kampung-kampung. Setiap finah kita akan serang,” kata Shahaimi.
Beliau bercakap demikian ketika perjumpaan dengan peserta Konvensyen Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang berada di Kuala Lumpur.
Najib hadir merasmikan acara itu.
Mahathir, yang adalah pengerusi Pakatan Harapan, sebelum ini berikrar untuk menumbangkan BN pada pilihan raya umum akan datang atas dakwaan untuk menyelamatkan negara daripada rasuah.

Lawan Umno-Pas disamakan menentang Melayu Islam hujah terdesak



Khalid Samad02Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad menegaskan, bukan sekadar Umno dan Pas sahaja parti politik yang mewakili orang Melayu dan penganut Islam di negara ini seperti yang digembar-gemburkan.
Menurutnya, AMANAH, Bersatu, PKR dan DAP juga dipimpin dan dianggotai ramai Melayu Islam sekaligus menjamin masa depan golongan majoriti rakyat berkenaan jika Pakatan Harapan (PH) diberi mandat menjadi kerajaan pusat.
"Bersatu, AMANAH, PKR bukan Melayu? Dalam DAP, 15 peratus daripada ahlinya Melayu Islam.
"Kalau lawan Umno-Pas menentang Melayu Islam. Ini satu hujah terdesak nak pertahankan Umno-BN guna sentimen Melayu Islam," ujarnya dalam ceramah Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di Telok Emas, Melaka baru-baru ini.
Beliau berkata, kesedaran palsu bangsa dan agama yang dimainkan hanya untuk mempertahan rejim kleptokrasi sedia ada yang pada masa ini menyaksikan sejumlah fail mahkamah dibuka oleh banyak negara luar.
"Nabi pesan akan datang selepas diriku mereka adalah penipu, melakukan kezaliman. Maka sesiapa yang mengiyakan pembohongan mereka dan membantu mereka dalam kezaliman mereka, dia bukan daripada aku dan aku bukan daripada dia.
"Tapi sekarang ini tidak boleh (lawan) walaupun zalim sebab dia Melayu Islam, kena dipertahankan. Macam mana ni? Seolah-olah Umno-BN dan Pas sahaja Melayu Islam? Agama, bangsa diperalat untuk mempertahankan rejim yang zalim," bidasnya.

Mengulas sikap pimpinan Pas mutakhir ini yang dilihat banyak menyebelahi kerajaan Umno-BN, Ahli Parlimen Shah Alam itu berpendapat parti yang dianggotainya lebih tiga dekad itu semakin hilang punca.
"Tidak boleh jatuhkan kerajaan Melayu Islam, haram kecuali kalau ditukar kepada Pas. Ini 'fatwa' baru. Terbaru ini, tidak boleh jatuhkan kerajaan Islam, nasihat dengan cara baik, jangan malukan dia (Umno).

KHALID SAMAD: KONTROVERSI RUU 164 (BAHAYAKAH UNTUK UMAT ISLAM??)

Akhirnya Khalid bersara bulan depan

'Harga minyak naik bukan salah PM' sembang Najib pada JKKK

'Serang!' sembang JKKKKKKKK....

Mahkamah Tinggi kekalkan 18 bulan penjara terhadap Rafizi