Jumaat, 14 Julai 2017

NAJIB TERAJUI ‘PARTI PENCURI’ – MAHATHIR BIDAS DARI KANDANG SAKSI


Tun Dr Mahathir Mohamad terus membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika memberi keterangan dari kandang saksi di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur petang ini.
Menurut beliau, Umno kini menjadi parti “kleptokrat dan pencuri” di bawah presiden parti itu sekarang.
Oleh itu, Mahathir juga mengakui mahu menumbangkan Najib.
“Umno menjadi parti kleptokrat yang dituduh mencuri kerana tindakan presidennya. Ini memberi nama buruk kepada Malaysia. Bukan Umno lama tetapi parti Najib,” katanya.
Dr Mahathir menjadi saksi kedua yang dipanggil memberi keterangan hari ini.
Bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu berkata demikian ketika disoal oleh peguam Datuk Jahabardeen Mohd Yunus, yang mewakili setiuasaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad (foto, kanan).
Jahabardeen sebelum itu menyoal Mahathir jika beliau tidak lagi mempedulikan atau mengambil berat tentang parti yang dipimpinnya selama lebih dua dekad.
Mahathir, yang kini adalah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), memberi keterangan pada pendengaran saman fitnah anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir terhadap Tengku Sariffuddin.
Mukhriz memfailkan saman fitnah terhadap Tengku Sarifuddin pada 3 Mei tahun lalu.
Beliau mendakwa Tengku Sarifuddin mengeluarkan empat kenyataan media berunsur fitnah terhadapnya iaitu pada 15, 20, 23 dan 26 April.

Pemuda Harapan sokong dasar 100 hari pemerintahan PH, tambah 3 dasar anak muda


Pemuda Pakatan Harapan
Pemuda Pakatan Harapan (Pemuda Harapan) menyokong penuh dasar 100 hari pemerintahan Pakatan Harapan yang digariskan Majlis Presiden Pakatan Harapan malam semalam sekaligus menggariskan tiga lagi isu penting membabitkan kepentingan generasi muda negara.
Dalam satu kenyataan media bersama, Pemuda Harapan turut menyarankan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan supaya menambah semula peruntukan pendidikan; mereformasi dasar harga rumah mampu milik; dan menawarkan pekerjaan dan inisiatif keusahawanan.
"Pemuda Pakatan Harapan mewakili suara anak muda negara melahirkan penuh penghargaan dan sokongan padu kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 13 Julai 2017 yang mengumumkan struktur kepimpinan Pakatan Harapan yang dibarisi tokoh-tokoh rakyat dan negarawan yang komited dan ikhlas dalam membawa perubahan kepada negara.
"Pemuda Harapan berikrar untuk menjadi kesatria barisan hadapan bagi menggembleng sokongan padu anak muda negara ini dalam menjayakan misi untuk membentuk kerajaan baru dalam pilihan raya umum ke-14 yang lebih demokratik, adil dan sejahtera serta sebuah kerajaan yang komited untuk melaksanakan reformasi institusi, menjalankan tadbir urus yang baik dan mengutamakan kebajikan rakyat," kenyataan itu dipetik.
Kenyataan bersama empat perenggan itu ditandatangani Ketua Armada PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Dapsy Wong Kok Wah dan Ketua Pemuda Amanah Mohd Sany Hamzan.
Semalam Majlis Presiden Pakatan Harapan mengumumkan dasar 100 hari pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan yang merangkumi tujuh perkara iaitu:
• Menghapuskan GST;
• Menstabilkan harga petrol;
• Memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat;
• Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;
• Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
• Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja Skandal 1MDB; dan
• Memulihkan Felda.
Pemuda Harapan yakin generasi muda yang mewakili 60 peratus jumlah penduduk negara ini begitu terkesan dengan dasar kerajaan BN yang menekan kehidupan mereka.

Kenapa Salleh Keruak mengelupur dengan muafakat kepimpinan HARAPAN?

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Kenyataan menteri UMNO, Datuk Seri Salleh Keruak kononnya DAP telah dipinggirkan dari saf kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) cukup untuk menggambarkan parti itu gelisah dan bimbang dengan perkembangan mutakhir ini.
Salleh seperti dilapor media mempersoal ketiadaan wakil DAP di peringkat tertinggi HARAPAN selain meremehkan keupayaan gabungan parti yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad itu kononnya belum mampu menandingi Barisan Nasional (BN).
Menurut Pengarah Pendidikan Politik Pemuda DAP Subang, Farhan Haziq, reaksi Salleh kononnya DAP dipinggirkan sepatutnya tidak timbul kerana tumpuan utama Harapan saat ini ialah untuk menjadi kerajaan yang mampu menawarkan polisi-polisi terbaik untuk rakyat.
“Saya percaya beliau sebenarnya bimbang bagaimana Harapan mampu menawarkan satu saf kepimpinan yang jitu dan inklusif kepada rakyat Malaysia.
“Beliau juga resah kerana saf kepimpinan ini cukup ampuh untuk menumbangkan BN yang diselaputi skandal kewangan, salah urustadbir dan kronisme,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan semberono Salleh itu juga menunjukkan pemimpin UMNO terbabit berasa aneh dengan semangat demokrasi dan muafakat Harapan apabila membariskan 3 tonggak utama dalam barisan kepimpinan.
Menurut Farhan, Harapan berbeza dengan BN yang hanya dimonopoli oleh UMNO dalam masa yang sama parti-parti komponen BN yang lain menjadi parti kelas kedua dan tidak berani untuk mengkritik kepimpinan Najib.
“Beliau tidak perlu bimbang kerana Harapan bukan BN malah tidak pernah sama dari segi struktur, konsep serta muafakat di antara DAP, Amanah PKR dan PPBM.
“Harapan adalah pakatan demokrasi dan bukan barisan pak turut seperti BN,” katnya.
Justeru kata Farhan, segala dakwaan Salleh sengaja dimainkan kerana menteri UMNO itu sudah ketandusan modal politik untuk mengelirukan rakyat.

Skandal 1MDB: Singapura sudah bertindak, Apandi Ali tunggu apa lagi?

Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali digesa menjelaskan mengapa sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap siasatan ke atas skandal 1MDB, meskipun banyak negara telah melengkapkan siasatan dan membawa pesalah ke muka pengadilan.
“Peguam Negara tidak harus berdiam diri dan menjelaskan mengapa berlaku kelewatan dalam kes ini. Dia juga mesti menjelaskan mengapa masih tiada lagi tindakan diambil di Malaysia.
“Dia juga harus menyatakan secara jelas apa yang telah terjadi dalam siasatan (kes) berkenaan dan bilakah tindakan dapat dilakukan,” kata Ketua Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo.
Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Puchong, kes seumpama itu akan memberi impak yang negatif terhadap pasaran kewangan negara, selain menghakis keyakinan pelabur jika tidak diatasi secara efisyen.
“Malaysia bakal kehilangan kredibiliti dengan ketiadaan tindakan berhubung perkara yang melibatkan 1MDB. Tindakan yang telah diambil dalam kes berkait 1MDB merentas dunia meletakkan sistem keadilan Malaysia dalam keadaan terjejas,” ujarnya.
Berdasarkan laporan media, pihak polis pada 12 April 2017 memaklumkan bahawa siasatan ke atas 1MDB selesai dan dokumen berkaitan telah dihantar ke pejabat Peguam Negara.
Bagaimanapun, dokumen siasatan berkenaan dihantar semula kepada pihak polis dengan arahan untuk melakukan siasatan lanjut terhadap kes berkenaan.
Bekas perancang harta tanah BSI Singapura, Yeo Jiawei, 34, dijatuhi hukuman penjara 54 bulan selepas mengaku bersalah terhadap pengubahan wang haram dan dakwaan menipu berkaitan dana 1MDB pada Rabu lepas.

Menembusi Kubu Kuat Umno Bn Kawasan Luar Bandar Pada PRU 14


Oleh Manivanan Gowin
Pengalaman pembangkang dalam mengharungi beberapa siri Pilihan Raya Umum (PRU) telah menjadikan pengajaran bermakna buat pembangkang. Pengalaman ini membuka ruang kepada pembangkang untuk mengatur strategi yang kukuh dalam sistem demokrasi di negara ini bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.
Kini, rakyat semakin hari melihat kerosakan UMNO BN yang terpalit dengan unsur-unsur negatif seperti penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa dan pengenalan pelbagai polisi yang membebankan rakyat seperti cukai GST.
Situasi ini memberi hikmah bahawa permuafakatan antara rakyat dan Pakatan Harapan semakin direalisasikan bagi memastikan UMNO BN kecundang pada PRU ke-14.
Terdapat persoalan yang hadir di minda rakyat yang mahu laksanakan perubahan, yakni bagaimana Pakatan Harapan dapat meyakinkan penduduk luar bandar yang acapkali menyumbang kerusi kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus memerintah negara.
Bahkan di sesetengah lokasi ‘kubu kuat’ atau ‘deposit tetap’ telahpun disebut-sebut sebagai simbolik benteng terakhir UMNO BN untuk terus menyambung hayat mereka dalam arus politik nasional. Mengikut kajian yang dilakukan oleh pihak kami, terdapat beberapa punca mengapa penduduk luar bandar terpedaya dengan 'wayang kulit' UMNO BN.
a) Taktala rakyat di bandar-bandar telah menyedari kebobrokan UMNO BN, penduduk luar bandar masih kurang mampu untuk mengakses, mengetahui dan memahami isu politik semasa.
Apatah lagi mereka hanya mendapat informasi dari media utama yang dikuasai dan dimanipulasi oleh kerajaan UMNO BN.
Propaganda media berat sebelah ini telah menjadikan penduduk luar bandar terpengaruh dengan dakyah memburukkan pembangkang. Pada masa yang sama, penduduk luar bandar tidak mempunyai ruang dan peluang yang adil dan saksama untuk melihat politik daripada kaca perspektif yang berbeza.
b) Tambahan kepada itu, keadaan menjadi mudarat dan parah apabila UMNO BN menggunakan wang rakyat, sama ada yang disalurkan oleh kerajaan mahupun ahli politik untuk menabur ‘gula-gula’ bagi mempelawa golongan luar bandar untuk mengundi UMNO BN.
Dengan taraf hidup yang rendah penduduk luar bandar, maka pengeksploitasian undi berlaku secara mudah. Seseorang yang kurang berkemampuan akan sanggup melaksanakan kehendak pemberi untuk menagih barangan, misalnya dengan memberi undi kepada UMNO BN untuk mendapatkan wang, beras, bekalan makanan dan seumpamanya.
c) Manifesto janji manis berupa projek jutaan ringgit juga diwawarkan, hatta projek dan program yang dijanjikan tetap tertangguh selepas tamatnya pilihan raya. Projek jutaan ringgit dan janji manis ini hanya merupakan kaedah UMNO BN untuk meraih undi penduduk luar bandar. Melalui projek jutaan ringgit dan janji manis ini, pelbagai harapan yg indah - indah diukirkan, tetapi hakikatnya ianya bertujuan untuk memperdayakan, menge­lirukan dan menipu penduduk luar bandar yang jujur dan naif.
Dalam menghadapi pelbagai tipu muslihat UMNO BN terhadap penduduk luar bandar, Pakatan Harapan telah menggariskan beberapa strategi untuk memastikan rakyat menyedari, memahami dan melaksanakan reformasi perubahan.
*Muafakat Membawa Berkat*

Evolusi Pakatan Harapan demi negara



Pakatan Harapan (PH) terbentuk pada 22 Sept 2015 untuk ‘menghidupkan semula’ Pakatan Rakyat (PR) yang berkubur pada tahun 2014. Perkataan Harapan adalah lambang semangat tidak pernah pudar agar rakyat dijamin bahawa kami komited kepada meneruskan aspirasi perubahan walau dalam saat diuji dengan leburnya PR.
Lahirnya Amanah pada 16 September 2015 beberapa hari sebelumnya adalah langkah berisiko beberapa tokoh dengan slogan Harapan Baru. Hasrat Amanah adalah untuk melihat kepercayaan rakyat dikembalikan dan direalisasikan dan alhamdulillah ia merangsangkan kelahiran PH dengan menggunakan perkataan Harapan. Usaha tersebut berbaloi dan amat bermakna.
Politik tanah air terus bergolak dengan skandal 1MDB teratas dan kepimpinan PM Najib Tun Razak dipalit berbagai dakwaan salahguna kuasa sehingga terhakis kepercayaan rakyat pada BN. Umno/BN terus tegar dengan sikap membisu malah undang-undang dibentuk untuk menekan pengkritik atas nama keselamatan negara, hasutan dan lain-lain.
Muncul dalam kemelut ini gerakan Selamatkan Malaysia tahun 2016 oleh Tun M yang kini bercakap senada dengan perjuangan PH selama ini. Lahir kemudian PPBM atau Bersatu yang dilancarkan pada awal tahun 2017 dan seterusnya satu usaha penggabungan diadakan bermula dengan PH+Bersatu yang kemudiannya Bersatu bersetuju untuk menjadi komponen PH.
Usai PH menerima rakan baru, usaha mendaftarkan PH digiatkan dengan keperluan membina sturktur kepimpinan, membentuk satu logo dan perundingan kerusi. Keputusan untuk mencapai konsensus pada usaha itu menjadi teras utama melahirkan PH.
Kesedaran bahawa kini ada dua elemen kekuatan dalam gabungan PH iaitu kekuatan Tun M dan DSAI perlu dijadikan gelombang dan ia menjadi perkiraan utama dalam menyelesaikan struktur, logo dan pembahagian kerusi.
Walaupun ada pihak yang skeptikal namun semangat Harapan telah mengenepikan kepentingan parti masing-masing untuk mencapai keputusan yang dinantikan. Beberapa pertemuan gagal mencapai kata sepakat sehinggalah mesyuarat terakhir pada 13 Julai 2017 satu persetujuan dimetrai oleh pimpinan keempat parti di Ibu Pejabat Keadilan Nasional di Selangor.

DAP tak tamak macam Umno, kata PH Sabah

Pemuda PH Sabah membidas menteri Salleh Said Keruak cuba menjadi batu api untuk memecah belahkan PH.
Razeef-Rakimin2
KOTA KINABALU: Ketangkasan menteri Umno Datuk Seri Salleh Said Keruak mempersoalkan barisan kepimpinan Pakatan Harapan menunjukkan BN gentar akan tahap kerjasama pembangkang, kata Setiausaha Sekretariat Pemuda Pakatan Harapan Sabah Razeef Rakimin.
“Beliau mempersoal kedudukan DAP dalam jawatankuasa PH kerana DAP mempunyai bilangan kerusi Parlimen terbanyak.
“Namun Salleh tidak sedar itulah perbezaan antara PH dan BN. DAP tidak tamak seperti Umno yang berkuasa sepenuhnya mengawal parti komponen BN yang lain,” kata Razeef dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengambil contoh tindakan Umno mengambil kawasan MCA, MIC dan Gerakan pada PRU-13. “Perkasa sama berlaku di Sabah yang menyaksikan akhirnya BN kehilangan 3 kerusi Parlimen dan 9 kerusi DUN”.
“Toleransi dalam PH membuatkan BN gerun, oleh itu Salleh memainkan peranan memecah belahkan PH dengan menjadi ‘batu api’,” katanya.
Razeef memulangkan soalan Salleh yang menyoal sama ada kepercayaan boleh diberikan kepada PH untuk menereajui negara.
“Sebenarnya rakyat sedang berfikir adakah kepercayaan boleh diberikan kepada BN untuk menerajui negara sekali lagi,” jawabnya, merujuk kepada pelaksanaan GST ketika rakyat “terhimpit” dengan kenaikan kos sara hidup.
“Adakah rakyat akan memberikan mandat kepada BN apabila rakyat melihat BN bermewah dikala rakyat masih banyak yang miskin tegar?
“Kawasan Salleh sendiri di DUN Usukan masih daif prasarana seperti jalan raya, bekalan elektrik dan masalah bekalan air.
“Beliau seharusnya fokus menjaga kawasan beliau apatah lagi beberapa kawasan mengalami banjir sekarang. Namun beliau sibuk mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam skandal 1Malaysia Development Berhad.”

Segera bentuk Pakatan Harapan negeri, pinta Amanah Selangor


Amanah Negeri Selangor menyarankan Pakatan Harapan negeri dibentuk secepat mungkin ekoran pembentukan strktur kepimpinan dan pelancaran logo gabungan politik itu di peringkat nasional.
Jamzuri ArdaniPengarah komunikasinya, Jamzuri Ardani juga berharap agar organisasi Pakatan Harapan di peringkat parlimen dan dewan undangan negeri (Dun) dibentuk secara rasmi bertujuan memantap dan mengukuhkan usaha bersama menghadapi BN dalam pilihan raya umum akan datang.
"Amanah Negeri Selangor meraikan dan mengucapkan tahniah di atas kejayaan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan membentuk struktur kepimpinan dan pelancaran logo Harapan dalam usaha mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai sebuah entiti politik rasmi mewakili gabungan empat parti utama iaitu DAP, Keadilan, Amanah, dan PPBM.
"Kejayaan ini memberikan kelegaan kepada seluruh pendokong dan penyokong Pakatan Harapan di seluruh negara sebagai satu tanda aras penting dalam usaha menjatuhkan rejim kleptokrat BN di peringkat persekutuan," katanya dalam satu kenyataan media.
Namun beliau meyakini masih banyak cabaran besar yang perlu dihadapi Harapan bagi memastikan matlamat menyelamatkan dan membina semula negara ini tercapai.
Bagaimanapun, tambah beliau Amanah Selangor memberikan sepenuh keyakinan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Harapan untuk merencana, membuat keputusan dan seterusnya mengendali segala usaha membebaskan rakyat dari kongkongan rejim kleptokrat BN.
"Rakyat sedang memerhati, menilai, dan menanti langkah-langkah politik seterusnya yang bakal ditampilkan kepada rakyat oleh Pakatan Harapan.
"Kami juga mendesak pihak Pendaftar Pertubuhan dan Suruhanjaya Pilihanraya agar dapat segera memberikan kelulusan ke atas permohonan pendaftaran dan logo Pakatan Harapan tanpa mencipta pelbagai alasan untuk melengah-lengahkannya," tegas beliau.
Amanah Selangor juga, tambahnya menyeru rakyat Selangor supaya berdiri teguh menyokong, membantu dan memastikan Harapan dapat membentuk kerajaan di Selangor dan di peringkat persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang.

Di mahkamah pun, Dr Mahathir serang Najib


Di mahkamah pun, Dr Mahathir serang Najib
Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk menjadi saksi kes saman fitnah difailkan anaknya. 
PENGERUSI Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang beliau mencuba untuk menggulingkan Perdana Menteri Najib Razak sejak 2014 hinggalah sekarang.
Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam defendan Jahaberdeen Mohamed Yunoos dalam perbicaraan kes saman fitnah difailkan anaknya Mukhriz terhadap setiausaha akhbar Najib, Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad.
Dalam keterangannya, Dr Mahathir memberitahu mahkamah Najib yang mencemarkan imej Malaysia, bukan dirinya.
“Nama Malaysia buruk pada masa sekarang, bukan sebelum ini,” katanya.
Dr Mahathir menjadi saksi kedua yang dipanggil memberi keterangan hari ini.
Terdahulu, peguam Mohammed Haniff Khatri Abdulla menyerahkan keterangan bertulis Dr Mahathir kepada mahkamah berhubung kes saman fitnah itu.
Dokumen 10 halaman itu mengandungi soalan dan jawapan berkenaan kenyataan berunsur fitnah dibuat Tengku Sarifuddin yang disiarkan di media.
Sebelum itu, plaintif iaitu Mukhriz memberi keterangan dalam sesi soal balas di mana beliau ditanya mengenai saman yang difailkan terhadap Tengku Sarifuddin.
Kebanyakan soalan berkaitan dengan perkara teknikal dan penggunaan perkataan dalam artikel itu yang didakwa mengandungi kenyataan memfitnah.
Mukhriz memfailkan saman fitnah terhadap Tengku Sarifuddin pada 3 Mei tahun lalu.
Beliau mendakwa Tengku Sarifuddin mengeluarkan empat kenyataan media berunsur fitnah terhadapnya iaitu pada 15, 20, 23 dan 26 April.
Bekas menteri besar Kedah itu berkata beliau memberikan notis menerusi kenyataan media pada 21 April meminta Tengku Sarifuddin menarik balik kenyataan itu atau berdepan tindakan undang-undang.
Perbicaraan ditangguhkan pada 19, 20 dan 21 Oktober.

Tak Mampu: Elaun sara hidup dan perjalanan guru pelatih dihentikan mulai Jun 2018, guru disaran ambil PTPTN


Bangi – Kerajaan akan menghentikan elaun sara hidup dan perjalanan kepada guru pelatih mulai Jun tahun depan, kata Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon.
Memetik laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, beliau bagaimanapun berkata, pembiayaan bagi mereka yang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) akan diteruskan.
“Keseluruhan kos bagi empat tahun pengajian PISMP ialah RM27,831. Ini masih akan ditanggung oleh kerajaan,” katanya.
Menurut akhbar itu, guru pelatih disaran memohon pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menampung keperluan hidup mereka.
Katanya, mereka yang sedang mengikuti PISMP akan terus menerima RM430 sebulan untuk elaun sara hidup dan elaun perjalanan tidak lebih RM500 setahun sehingga mereka tamat pengajian.
Chong berkata, elaun dan yuran kursus di Institut Pendidikan Guru setahun bagi program pra-PISMP sebanyak RM8,163 juga akan dibayar oleh kerajaan.

Gandingan Dr M-Anwar belum cukup kuat tarik undi Melayu, sembang PAS

Logo bersama PH juga tidak akan sempat diterima pengundi Melayu kerana lambat diperkenalkan.
Zuhdi-Marzuki_mahathir_anwar_600
PAS hari ini memperlekehkan gandingan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan berkata mereka belum cukup kuat untuk menarik sokongan pengundi Melayu.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat Dr Zuhdi Marzuki berkata pengundi sedar gandingan 2 ahli politik terkemuka negara itu berdasarkan kepentingan peribadi dan untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Mereka ini saya tak nampak 1 regu yang baik. Masing-masing punyai percaturan sendiri. Sebab sejarah Dr Mahathir dan Anwar kita sudah maklum sejarah cukup berliku-liku dan saya nampak saling tak percaya satu sama lain,” katanya kepada FMT.
“Kalau Dr Mahathir dengan Anwar saya yakin diakhir nanti mereka akan berbalah satu sama lain.”
Selepas rundingan yang memakan masa berbulan-bulan, pemimpin tertinggi PKR, DAP, Amanah dan PPBM malam tadi akhirnya mengumumkan mereka bersedia menghadapi pilihan raya umum depan dengan penampilan barisan kepimpinan peringkat gabungan dan logo bersama.
Anwar diumumkan ketua umum gabungan, sementara Dr Mahathir diangkat sebagai pengerusi gabungan. Kedua-dua tokoh politik itu membentuk regu yang kuat semasa di dalam Umno, sebelum Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998 dan menjadi seteru ketat.
Selepas memerintah negara selama 22 tahun bersama Umno, Dr Mahathir meninggalkan parti itu pada Februari 2016 untuk menentang Najib. Beliau mengasaskan PPBM bersama pemimpin veteran Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan menyertai Pakatan Harapan pada Mac 2017.
Semalam Dr Mahathir akui beliau membuat “pusingan U” seperti yang kerap didakwa BN. Bagaimanapun tindakan itu tidak lagi perlu dilakukan kerana sudah menemui rakan kongsi sesuai iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan pentadbiran Najib.
Sementara itu, Zuhdi turut menyentuh mengenai logo Pakatan Harapan, menyifatkan lambang itu tidak akan sempat diterima pengundi Melayu kerana lambat diperkenalkan.
Beliau mengingatkan Pakatan Harapan tidak mungkin dapat bentuk kerajaan sekiranya mereka gagal meraih sokongan pengundi Melayu dan pengundi Islam.
“Saya tak nampak mereka berjaya menarik Melayu dan Muslim undi PH. Kunci kemenangan yang saya nampak pada gabungan tidak kira sama ada PH, BN, atau Gagasan Sejahtera ialah mereka mesti dapat mandat majoriti pengundi Melayu.”

Muhyiddin nasihat Razali jangan gelabah

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan Ahli Parlimen Datuk Razali Ibrahim supaya tidak "gelabahk" mengenai khabar angin bahawa beliau mungkin bertanding di kerusi Parlimen Muar pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau mengulas bidasan kenyataan Razali bahawa Muhyiddin, yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh, mungkin mahu melarikan diri ke Muar sebagai tindakan tidak lebih daripada memastikan jangka hayat politik.
"Saya tidak tahu kenapa Razali gelabah. (Saya) tidak tahu dari sumber dia dapat bahawa saya akan berhijrah dan bertanding di kawasan parlimen Muar.
"Kalau dia berasa dia masih popular dan masih dapat mendapat sokongan yang ramai, saya fikir dia tidak perlu nak bimbang sama ada yang nak masuk bertanding itu saya atau sesiapa sahaja.
"Jangan bimbang, kalau saya masuk situ pun bukan apa, saya hanya (seorang) pemimpin kecil, apa yang dia (begitu) bimbang? Dia masih boleh menang," kata Muhyiddin dalam sebuah video yang disiarkan di akaun rasmi Facebook BERSATU hari ini.
Muhyiddin menjelaskan bahawa BERSATU masih belum membuat keputusan mengenai agihan kerusi, tetapi menambah bahawa komen Razali, yang adalah ahli majlis tertinggi Umno, menunjukkan bahawa banyak pemimpin Umno merasa terancam.
"Jadi untuk menunjukkkan kejantanannya pada hari ini dia kata 'Saya bersedia menerima sesiapa (sahaja) yang bertanding', tetapi hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana gelabahnya hati perut mereka kerana takut," kata Muhyiddin sambil tersenyum.
Beliau berkata, bahawa Razali pernah menjadi sangat popular di Muar, tetapi pada pilihan raya umum ke-13, majoritinya merosot kepada sekitar 1,300 undi sahaja.
Oleh itu, beliau menasihatkan Razali supaya menjaga Muar dengan ‘baik-baik’ sekiranya BN dan Razali mahu menang di Muar lagi.

Hadkan penggal jawatan PM tanda iltizam politik Harapan


Pakatan Harapan mencapai keputusan bersejarah untuk mengukuhkan pakatan politik itu malam tadi.Mengehadkan tempoh memegang jawatan perdana menteri kepada dua penggal membuktikan keazaman Pakatan Harapan (Harapan) untuk melakukan perubahan dalam politik negara, kata ahli jawatankuasa DAP Selangor merangkap ketua Dapsy Subang Edry Faizal.
Malah pemimpin muda Melayu DAP itu juga menyambut baik tiga keputusan penting Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam membabitkan struktur kepimpinan, matlamat utama dan logo Pakatan Harapan.
"Selain dari rekabentuk logo Harapan yang segar, saya melihat ada satu perkara yang benar-benar menonjol dan menarik perhatian. Iaitu antara matlamat Harapan untuk mengehadkan penggal perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja," katanya.
Menurut Edry, walaupun seorang perdana menteri itu bagus dan rakyat mengharapkan kepimpinan yang sama untuk tempoh masa yang panjang, namun pengalaman yang dialami negara menunjukkan sebaliknya.
Beliau memberi contoh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang kini dibelenggu skandal 'berskala dunia' seperti 1MDB sehinggalah dasar-dasar yang membebankan rakyat.
"Bayangkan sekiranya perdana menteri seperti beliau dibiarkan memerintah selama berpuluh tahun seperti yang dimahukan BN, buruk padahnya terhadap warga Malaysia," ujarnya.
Tempoh jawatan perdana menteri yang singkat juga, jelas beliau bakal membuka peluang kepada lebih ramai kepimpinan baru yang lebih segar dan membuka jalan kepada orang muda untuk menerajui negara.
"Berbanding BN yang hanya mahu Najib Razak untuk mereka tabalkan sebagai perdana menteri, Harapan mempunyai ramai calon yang jauh lebih baik, berpengalaman dan bersiap sedia memimpin Malaysia menuju masa depan yang lebih baik," katanya.
Edry juga menambah, teraju negara yang hanya dipegang oleh parti yang sama untuk tempoh berpuluh tahun juga membuka terlalu banyak ruang rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme melampau dan pelbagai kebobrokan lain.

Muhyiddin terkenang nostalgia bersama Dr Mahathir, Anwar

Bekas timbalan perdana menteri itu merupakan menteri belia dan sukan dalam Kabinet Dr Mahathir dan Anwar pada 1990-an.
MuhyiddinPresiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengalu-alukan barisan kepimpinan Pakatan Harapan, dengan berkata ia membawa kembali kenangan ketika bersama kerajaan yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kini, kami kembali bertaut semula dalam saf perjuangan politik baharu bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain untuk membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul dan membina semula negara ini sebagai sebuah negara yang sejahtera dan dihormati oleh dunia,” kata bekas timbalan perdana menteri itu yang dilucutkan jawatannya pada 2015 selepas mempersoalkan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.
Muhyiddin merupakan menteri belia dan suka ketika Anwar menjadi timbalan perdana menteri di bawah Kabinet Dr Mahathir dari 1993 hingga 1998.
Kedua-dua Dr Mahathir dan Anwar melupakan sengketa mereka secara rasmi pada tahun lalu, 18 tahun selepas Anwar dipecat Dr Mahathir pada September 1998.
Semalam, Pakatan Harapan yang menggabungkan PKR, DAP, Amanah dan PPBM secara rasmi mengumumkan barisan kepimpinannya, dengan Anwar sebagai ketua umum manakala Dr Mahathir sebagai pengerusi.
PH juga melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dari PKR sebagai presiden, dibantu oleh 3 timbalan presiden, Muhyiddin, Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah).
Muhyiddin berkata beliau percaya gandingan Dr Mahathir dan Anwar akan mampu menggerakkan PH pada pilihan raya akan datang bagi memenuhi beberapa janjinya seperti yang disenaraikan dalam pengumuman semalam.
“Ini termasuk menghapuskan GST, mengawal kenaikan harga barang, memerangi rasuah hingga ke akar umbi dan melakukan reformasi institusi termasuk menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja,” katanya.

Mahathir akan tentukan hala tuju HARAPAN, kata Rais Hussin

Parti Pribumi Bersatu Malaysia hari ini mendakwa bahawa pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad akan menentukan hala tuju gabungan itu.
Menjelaskan struktur kepimpinan Pakatan Harapan yang diumumkan selepas tengah malam semalam, Ketua Biro Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff berkata bahawa pengerusi adalah orang yang akan menerajui.
"Pengerusi akan menjadi mempengerusikan semua mesyuarat (dan) hala tuju, bersama bantuan presiden," katanya kepada Malaysiakini.
Menjelaskan ini, Rais merujuk cara kerja antara Mahathir yang juga pengerusi BERSATU dengan presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Hubungannya sama. Adakah kamu melihat akan ada masalah antara pengerusi dan presiden BERSATU?
"Mereka akan bekerja sama erat."
Oleh itu, Rais tidak menjangkakan sebarang masalah yang bakal timbul antara pengerusi dan presiden HARAPAN.
Sementara itu, kata Rais, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua umum akan memainkan peranan sebagai penasihat.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub berkata beliau tidak melihat yang Mahathir akan menentukan hala tuju parti itu.
"Hala tuju akan diputuskan secara kolektif dalam mesyuarat majlis presiden HARAPAN yang dipengerusikan oleh Mahathir," katanya.

Reaksi bercampur pengguna media dengan pimpinan baru PH


Reaksi bercampur pengguna media dengan pimpinan baru PH
Walaupun ramai pengguna media sosial melahirkan keterujaan dengan pengumuman barisan pemimpin Pakatan Harapan malam tadi, ada juga yang kecewa kerana sukar membayangkan gandingan Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. 
PENGUMUMAN barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) baru yang ditunggu-tunggu, selepas beberapa bulan pertikaian dalaman, memperoleh reaksi bercampur baur dengan skeptis dan kelegaan.
Di media sosial, penyokong PH gembira melihat gabungan itu akhirnya bersetuju dengan siapa yang harus memimpin pembangkang berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengguna Facebook Md Tahir menulis: "Syabas. Satu langkah positif untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak cekap itu!!"
Farbi Farby memuji barisan kepimpinan itu, mengatakan pemimpinnya mempunyai karisma, dan rekod cemerlang dalam mentadbir, mengurus dan membangunkan negara.
"Ini baru layak digelar dan dijadikan pemimpin, mereka bukan saja berkarisma tetapi mepunyai rekod cemerlang mentadbir negara, mengurus negara, memajukan negara, meletakkan negara di mata dunia, mereka konsisten memperjuangkan hak rakyat, mengembalikan hak rakyat dan sentiasa bersama rakyat membina semula negara...susah senang bersama rakyat..," tulisnya di Facebook.
Abdul Ghani Hassan berkata ia adalah barisan mantap, dan berharap rakyat akan memberi PH "restu" pada pilihan raya umum akan datang.
"Mantap barisan kepimpinan Harapan moga-moga dapat restu rakyat dalam PRU ke-14 nanti selamat berjuang demi rakyat Malaysia."
Lawrence Khan menulis: "Pertahanan yang mantap. Terus bersatu dan membawa kebaikan dan penghormatan kepada negara sekali lagi."
Pengerusi Bersatu dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim diumumkan sebagai pengerusi dan pemimpin de facto PH malam tadi.
Presiden PKR dan Ketua Parlimen pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden PH manakala timbalannya disandang Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir, Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen dan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub bertindak sebagai naib presiden gabungan.
Juga dalam barisan pimpinan PH yang baru adalah Ketua Sekretariat PH Saifuddin Abdullah, yang dijadikan setiausaha agung, dan Naib Pengerusi DAP M. Kula Segaran, yang kini menjadi bendahari.
Walaupun ramai yang optimistik, banyak juga tidak dapat mempercayai bagaimana Dr Mahathir dan Anwar mampu bergabung dan mempersoalkan bagaimana pembangkang dapat bekerjasama dengan bekas perdana menteri, yang mereka tentang selama bertahun-tahun.
Dr Mahathir adalah perdana menteri dari 1981 hingga 2003. Sepanjang tempoh pentadbirannya, perbezaan pendapat terhadap kerajaan tidak begitu diterima, dengan pemimpin pembangkang seperti DAP Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika Operasi Lalang.
Pengguna Facebook Ainn Domm berkata ramai di PH menentang "rejim Dr Mahathir" sejak awal, dan kini kecewa.
"Ramailah ahli pakatan yang awal menentang rejim Tun M merajuk..sama ada mereka membeku atau buat undi protes semasa PRU akan datang..."

10 PETANDA EKONOMI MALAYSIA KO


Malaysian ringgit notes are seen among U.S. dollar bills in this photo illustration taken in Singapore in this August 24, 2015 file photo. REUTERS/Edgar Su/Files
Pada tahun 2009, kita digembar-gemburkan dengan pelaksanaan program transformasi ekonomi (ETP) diiringi program transformasi kerajaan (GTP) yang menyasarkan negara pada landasan betul untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi.
GTP dan ETP dikatakan berdasarkan prinsip inklusif atau keterangkuman dan mampan yang mampu menjurus kepada kehidupan rakyat yang lebih berkualiti selain meningkatkan pertumbuhan pelaburan sektor swasta.
Namun, hari ini selepas sekitar tujuh tahun pelaksanaan kedua-dua program tersebut, rakyat kian mengadu, mengeluh mengenai ‘kejayaan ekonomi negara’ yang tidak dirasai walaupun kerajaan berikrar untuk mendengar denyut nadi rakyat.
Walaupun Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia semalam mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3 peratus dengan mengumumkan kadar inflasi menurun kepada 3.9 peratus pada bulan Mei, keadaan tersebut seperti tidak membawa apa-apa makna.
Petanda pertama hingga ketiga
Pertamanya, kebanyakan rakyat Malaysia yang 90 peratus daripada terdiri daripada golongan makan gaji tidak lagi mampu bertahan dengan kenaikan kos sara hidup yang melonjak secara tidak terkawal.
Ekonomi rakyat tidak ‘semakmur’ ekonomi negara setelah kemampuan berbelanja menjadi semakin menipis saban hari. Ia bersangkut-paut dengan faktor kedua yang menunjukkan ekonomi negara adalah tidak sihat iaitu kadar inflasi yang pernah meledak kepada 5.1 peratus kira-kira tiga bulan yang lalu.
Lebih merunsingkan agensi penarafan RAM Rating Services Bhd menaikkan unjuran inflasi bagi tahun ini kepada 3.8 peratus daripada 3.0 peratus pada asalnya, berdasarkan kepada momentum pemulihan harga minyak yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku pertama.
Ini membawa makna bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan bergerak seiring dengan kenaikan inflasi yang akan menterjemah kepada harga barangan dan perkhidmatan yang lebih mahal di masa depan.
Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) turut menyumbang kepada petanda ketiga keadaan semasa ekonomi Malaysia kerana ia menjadi petanda jelas kebergantungan negara kepada pendapatan minyak walaupun negara telah 60 tahun mencapai kemerdekaan.
GST diperkenalkan sebagai ‘strategi penyelamat’ bagi membendung kesan penurunan pendapatan negara ekoran penurunan harga minyak global, sekali gus, membawa mesej jika harga minyak mentah global meneruskan trend menurun, maka, lebih banyak barangan akan dikenakan cukai itu.
Faktor keempat hingga ketujuh
Faktor keempat yang menjurus kepada status semasa ekonomi tidak baik ialah paras gaji rakyat negara ini yang masih rendah.
Memetik Laporan Gaji dan Upah 2016 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, gaji penengah pekerja di Malaysia naik 6.2 peratus pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya dengan gaji penengah pekerja tempatan yang tidak termasuk pekerja asing hanya meningkat tiga peratus sahaja pada tahun lepas.
Ini membawa makna bahawa pertumbuhan gaji warga asing mengatasi pekerja warga tempatan dan jika ditolak kadar inflasi, kenaikan gaji penengah pekerja tempatan tidak mencecah satu peratus atau dalam perkiraan yang lebih jelas, ini adalah peningkatan gaji bulanan sekitar RM17 sahaja.
Faktor kelima ekonomi Malaysia tidak memuaskan pula ialah prestasi ringgit yang menjadi mata wang paling teruk berbanding Singapura, Thailand, Filipina dan Korea Selatan jika dibandingkan dengan nilai pada tahun 2007.
Sejak tahun 2008, nilai ringgit mengalami penyusutan sebanyak 27.7 peratus sedangkan nilai matawang serantau naik 6.8 peratus secara purata.
Tempias skandal 1MDB
Lebih teruk lagi, kejatuhan nilai ringgit sebenarnya jauh lebih cepat berbanding mata wang lain semenjak The Wall Street Journal (WSJ) menyiarkan laporan berita mengenai skandal 1MDB yang membabitkan dana yang dimasukkan ke akaun Malaysian Official 1 (MO1).

‘Umno kini takut dengan barisan kepimpinan HARAPAN’

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak diberitahu untuk "membuat keputusan" berhubung peranan yang sepatutnya dimainkan oleh DAP dalam Pakatan Harapan.
Ketua Biro Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff merujuk kenyataan pada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, yang hari ini mempersoalkan ketiadaan wakil DAP dalam tiga kedudukan teratas dalam barisan HARAPAN.
"Dia harus membuat keputusan apa yang dia mahu - DAP menguasai HARAPAN atau perwakilan yang adil dalam HARAPAN?" kata Rais kepada Malaysiakini.
Katanya, Salleh dan pemimpin Umno lain sering-kali mendakwa bahawa DAP menguasai HARAPAN dan membuat semua keputusan penting serta kepentingan Melayu akan diketepikan jika pakatan pembangkang berkuasa.
"Sekarang mereka berkata, bahawa DAP telah diketepikan, jadi mana yang betul?" soalnya.
Rais percaya bahawa pengumuman barisan kepimpinan HARAPAN itu telah ‘menakutkan’ pemimpin BN dan Umno.
"Jadi mereka bertindak secara tidak rasional, mereka takut, berhubung apa yang akan berlaku," katanya.
Dalam senarai kepimpinan yang diumumkan lewat tengah malam, semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai ketua umum, manakala isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai presiden.
Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad pula dijadikan pengerusi.
HARAPAN juga akan mempunyai tiga timbalan presiden - Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu.
Jawatan naib presiden pula disandang oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Chong Chien Jen dan Salahuddin Ayub.

SPRM buka semula siasatan kes hotel Felda di London


SPRM siasat pembelian hotel Felda di London
SPRM buka kertas siasatan berhubung pembelian hotel mewah di London oleh Felda Investment Corporation.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap Felda Investment Corporation (FIC) berhubung pembelian sebuah hotel di London.
Pembelian hotel bertaraf empat bintang yang terletak di kawasan mewah di Kensington dibuat antara 2003 dan 2015, kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pengarah SPRM, Dzulkifli Ahmad mengarahkan sepasukan anggota untuk membuka kertas siasatan berhubung pembelian itu.
Menurut kenyataan itu, pasukan penyiasat mula mendapatkan dokumen berkaitan pembelian hotel terbabit dan kini dalam proses menilai serta meneliti kesemua maklumat tersebut.
“Menerusi maklumat siasatan awal yang diperolehi, FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.
“Siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujudnya unsur rasuah dan salahguna kuasa dalam proses pembelian hotel tersebut,” menurut kenyataan itu.
SPRM juga akan memanggil beberapa orang saksi penting dalam masa terdekat bagi tujuan merakam percakapan untuk mendapatkan maklumat serta bukti yang kukuh sebelum tindakan lanjut diambil.
Hotel yang dimaksudkan SPRM berkemungkinan Hotel Grand Plaza Kensington di London, yang dibeli FIC pada Disember 2014 dengan harga £60 juta (RM330 juta).
Grand Plaza Kensington merupakan hotel bertaraf empat bintang yang mempunyai 62 bilik, terletak di kawasan mewah Lexham Garden di Kensington dan Chelsea.
Pembelian itu merupakan hartanah pertama FIC di London dan merupakan yang kedua bagi Felda.
Ia dibuat melalui Ketua Pegawai Eksekutif FIC Mohd Zaid Abdul Jalil dan ketika Isa Samad menjadi pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH).
Pada Mac 2015 SPRM mempersoalkan tentang anak lelaki Isa yang tidak dinamakan berhubung pembelian Kensington, lapor Malaysiakini yang merujuk kepada sumber terdekat siasatan itu.
http://www.malaysiakini.com/news/291247
Kemudiannya dalam bulan yang sama, Paul Low, menteri yang bertanggungjawab atas integriti dan ketelusan berkata SPRM tidak menemui sebarang salah laku berhubung pembelian itu.

Bukan celik saja tetapi akhlak al-Quran, kata Mat Sabu



Pemimpin dan umat Islam bukan sahaja digalakkan celik al-quran tetapi mampu mengamalkan akhlak yang baik seperti mana tuntutan al-Quran, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Mohamad SabuBeliau mengambil pedoman yang berlaku di negara Arab yang mana kebanyakan umat Islam di sana tidak buta al-quran dan berjaya melahirkan ribuan golongan hafiz tetapi akhlak mereka tidak mengikut akhlak al-Quran.
"Saya mengambil positif dan menganggap satu teguran yang baik dari pemimpin parti Islam di Malaysia bahawa mereka yang meninggalkan parti Islam dianggap buta al-Quran.
"Memang kita umat Islam khasnya pemimpin dan pengikut Parti Amanah Negera (Amanah) hendaklah memahami al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup sehinggalah kita berada di bawah naungan al-Quran.
"Sesungguhnya di negara Arab mereka kebanyakannya tidak buta al-Quran. Setiap tahun ribuan golongan hafiz berjaya dihasilkan khususnya di Mesir, Morocco, Arab Saudi dan negara teluk yang lain tetapi kita lihat akhlak al-Quran tidak ada di negara mereka.
Akhlak al-Quran seperti memperjuangkan keadilan, integriti dan menghormati hak-hak manusia, menghormati nyawa manusia, menghormati jiran, membantu orang miskin, membantu pelarian, membantu mereka yang daif serta menjaga hak wanita berada di negara Eropah seperti di Finland, Sweeden, Denmark, Netherland, Ireland, New Zealand dan Australia.
"Semua ini hampir tidak ada di negara Arab yang celik al-Quran.
"Harapan kita bukan sahaja kita celik dan boleh membaca al-Quran tetapi mampu mengamalkan akhlak al-Quran," ujarnya dalam kenyatana hari ini.

‘SINGAPURA HUKUM PESALAH 1MDB, KENAPA MALAYSIA BELUM?’


Peguam Negara (AG) diminta menjelaskan mengapa siasatan 1MDB di Malaysia masih belum menghasilkan sebarang keputusan, sedangkan Singapura telah mengambil tindakan apabila menghukum individu yang terlibat.
“Negara lain bukan hanya dah selesaikan siasatan mereka tetapi juga menyelesaikan proses perbicaraan. Mereka yang bertanggungjawab sudah pun menjalani hukuman, tetapi di sini kita belum bermula lagi.
“Ini pastinya tak mencerminkan yang baik bagi peguam negara. Dia mesi memberikan penjelasan,” kata Anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memetik bekas perancang harta tanah BSI Singapura, Yeo Jiawei, yang dijatuhi hukuman penjara 54 bulan selepas mengaku bersalah terhadap pengubahan wang haram dan dakwaan menipu berkaitan 1MDB, Rabu lalu.
Yeo, 34, mengaku bersalah atas pertuduhan itu, dengan lapan tuduhan lain yang diambil pertimbangan oleh mahkamah Singapura. Beliau sudah menjalani hukuman penjara 30 bulan setelah disabitkan atas empat tuduhan mengganggu saksi.
Sebaliknya, Tan Sri Mohamad Apandi Ali kekal mengatakan pihak berkuasa Malaysia tidak menemui sebarang salah laku berkaitan dengan dana Kementerian Kewangan yang dibebani hutang itu.
Gobind berkata, Apandi harus menjelaskan kepada orang ramai berhubung kelewatan tindakan kes itu di Malaysia dan mendedahkan statusnya pada masa ini.
“Dia perlu jelaskan mengapa masih belum ada tindakan diambil di Malaysia.
“Dia sepatutnya menyatakan mengenai apa yang telah dilakukan dalam siasatan ini dan bila kita akan dapat lihat tindakan, jika ada, yang diambil dalam hal ini,” katanya.

HARAPAN SELAMATKAN NEGARA DARIPADA KLEPTOKRASI


PERJUANGAN menyelamatkan negara daripada rejim kleptokrasi dan mengembalikan hak rakyat jelata melangkah maju setapak lagi. Alhamdulillah.
 
Portal Berita Malaysiakini melaporkan malam tadi bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad secara rasmi dilantik pengerusi Pakatan Harapan (Harapan).
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara Sungai Buluh dinamakan sebagai Ketua Umum manakala isterinya, Datuk  Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilantik  Presiden.
Tiga Timbalan Presiden adalah Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu.
Naib Presiden terdiri daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PPBM), Chong Chien Jen (DAP) dan Salahuddin Ayub (Amanah).
 
Barisan kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan
Seperti saya katakan dalam tampalan Facebook saya hari ini, laluan di hadapan amat mencabar dan menuntut pengorbanan.
Inilah pentas harapan untuk membebaskan negara dah rakyat jelata daripada cengkaman maut pemerintahan kleptokrasi, rasuah dan penyelewengan yang diketuai oleh Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.
Pakatan ini bukanlah mengenai perwatakan dan jingoisme tetapi mengenai perjuangan dan idealisme.
Moga-moga Tuhan memberkatinya. Insya Allah.
Berikut ada kenyataan media Majlis Presiden Pakatan Harapan bertanggal 13 JULAI 2017
“Menyedari bahawa rakyat mengharapkan perubahan politik negara ke arah pemerintahan yang lebih demokratik, adil dan sejahtera serta sebuah kerajaan yang komited untuk melaksanakan reformasi institusi, menjalankan tadbirurus yang baik dan mengutamakan kebajikan rakyat; dan
Menginsafi bahawa Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional sedang berada di dalam keadaan krisis yang tenat, terpalit dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa yang amat luar biasa, dan rakyat menanggung beban;

Kritikan Salleh Keruak bukti Umno ‘ketakutan’, kata Syed Saddiq

Ketua pemuda PPBM berkata Umno bimbang kerana Pakatan Harapan menampilkan barisan kepimpinan yang mematahkan dakwaan ia didominasi DAP.
syed-saddiq-sallehUmno bimbang melihat Pakatan Harapan menampilkan barisan kepimpinan yang mematahkan dakwaan ia didominasi DAP, kerana itu Datuk Seri Salleh Said Keruak mempertikaikan mengapa DAP tidak membolot jawatan tertinggi pakatan pembangkang, kata Pemuda PPBM.
“Ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad (PPBM), presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), kemudian timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM), Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (DAP).
“Ia menunjukkan mereka takut sampaikan menteri propaganda Umno sendiri bagi kenyataan,” kata Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media di ibu pejabat PPBM hari ini.
Salleh di blognya hari ini menyoal pegangan minoriti DAP dalam struktur Pakatan Harapan yang diumumkan lewat malam semalam, walaupun DAP mempunyai bilangan ahli Parlimen paling ramai dalam kalangan parti komponen PH.
Pakatan Harapan hanya menampilkan 3 pemimpin DAP dalam struktur baharu ini, iaitu Lim Guan Eng, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen (naib presiden) dan Ahli Parlimen DAP M Kula Segaran (bendahari).
Tiga naib presiden ialah Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, Naib Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, manakala Setiausaha Agung PKR dilantik ketua setiausaha.
“Salleh kata struktur baru ini perkecilkan DAP tapi sebelum ini beliau kata PH didominasi DAP…kalau ada lagi pihak Umno menyatakan PH didominasi orang Cina DAP maksudnya mereka betul kurang cerdik,” kata Syed Saddiq.

Gandingan Dr M dan Anwar tanda Malaysia hadapi cabaran getir, kata penganalisis AS

Walaupun 2 ahli politik veteran itu mampu memberi cabaran, ia juga perlu mengembling pemimpin muda, kata Bridget Welsh.
Bridget-Welsh_anwar_maathir_600
Seorang pemerhati Asia Tenggara yang kini berpangkalan di Itali berkata barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan semalam sebenarnya sudah merungkai soalan berhubung calon perdana menteri gabungan itu walaupun ia tidak dinyatakan dengan jelas.
Bridget Welsh, yang merupakan profesor sains politik di Universiti John Cabot di Rom, berkata hakikat yang parti politik yang mewakili pelbagai latar belakang kini boleh mencapai kesepakatan berhubung struktur kepimpinan merupakan ia satu kejayaan, dan mereka kini boleh menumpukan kepada usaha menarik pengundi “daripada fokuskan isu dalaman parti”.
“Isu PM sudah diputuskan sebaik mungkin dan ini akhirnya akan diselesaikan semasa mengundi,” kata Welsh kepada FMT.
Beliau berkata tumpuan kepada calon perdana menteri sentiasa menjadi cabaran kepada pembangkang.
Katanya, ini juga menjadi sebab mengapa PAS tidak begitu bersemangat dengan kesatuan Pakatan Rakyat yang kini dibubarkan.
Selepas rundingan yang memakan masa berbulan-bulan, pemimpin tertinggi PKR, DAP, Amanah dan PPBM malam tadi akhirnya mengumumkan gabungan mereka sudah bersedia hadapi pilihan raya di bawah satu logo.
Dalam kenyataan 2 muka surat dibacakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas seteru politiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai ketua umum, manakala dirinya sebagai pengerusi.
PH juga melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dari PKR sebagai presiden, dibantu oleh 3 timbalan menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah).

TSMY: Kini kami kembali bertaut

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana akhirnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) telah mencapai kata sepakat untuk membentuk satu kesatuan politik yang lebih jitu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 dengan pembentukan struktur kepimpinan baharu Pakatan Harapan.

Ini adalah satu mercu tanda baharu dalam politik tanah air yang akan menggalas harapan rakyat untuk menyaksikan perubahan besar politik negara ke arah pembentukan sebuah kerajaan yang lebih demokratik, adil dan menyantuni keperluan rakyat.
Dengan struktur kepimpinan baharu ini, saya yakin Pakatan Harapan akan mampu bergerak dengan lebih mantap untuk membela nasib rakyat.
Saya ingin mempertegaskan agenda Pakatan Harapan untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang melaksanakan tadbir urus yang baik serta memberikan keutamaan kepada usaha untuk memajukan ekonomi dan meringankan beban rakyat.
Ini termasuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), mengawal kenaikan harga barang, memerangi rasuah hingga ke akar umbi dan melakukan reformasi institusi termasuk menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja.

Pakatan Harapan juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB dengan menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja skandal 1MDB dan mendapatkan kembali wang rakyat yang dicuri daripada 1MDB.

Langkah-langkah juga akan diambil untuk memulihkan FELDA dan membela nasib para peneroka FELDA.
Dengan pengalaman luas pimpinan Pakatan Harapan dalam pentadbiran kerajaan, termasuk seorang mantan perdana menteri, dua mantan timbalan perdana menteri, seorang mantan menteri besar dan dua orang menteri besar dan ketua menteri, serta ramai lagi pimpinan yang telah lama berkhidmat sebagai wakil rakyat dan lain-lain, saya percaya Pakatan Harapan akan dapat mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul dan mengurus negara dengan cemerlang.
Pakatan Harapan juga akan terus mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia termasuk kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, hak setiap rakyat untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak yang sah untuk semua kaum, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kemuliaan institusi raja-raja Melayu sebagai raja berperlembagaan.

Bidang kuasa eksekutif PH perlu diperhalusi, kata penganalisis



Struktur jawatan tertinggi dalam Pakatan Harapan yang diumumkan semalam, masih dilihat kurang jelas antara pemegang kuasa eksekutif dan bukan eksekutif seolah-olah ia seakan mengikuti sistem sosialis, kata Pensyarah Kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali.
Beliau berkata, kuasa eksekutif perlu didalami dan dibuat penilaian dari semasa ke semasa oleh Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum akan datang.
"Berdasarkan kepada  organisasi yang ada, saya melihat jawatan 'ketua umum' lebih kepada peranan sebagai 'de facto' dalam parti politik.
"Jawatan pengerusi dan presiden dilihat bertindih dan kurang jelas peranannya.
"Dalam sistem sosialis, jawatan pengerusi dilihat seperti jawatan bukan eksekutif manakala jawatan presiden dari segi amalan parti-parti politik demokrasi di Malaysia  pula adalah merujuk kepada jawatan eksekutif," ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Beliau diminta mengulas kenyataan menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini yang mempertikaikan bidang kuasa tiga jawatan tertinggi pakatan pembangkang itu.
Ditanya adakah wajar Pakatan Harapan menstrukturkan barisan kepimpinan sebagaimana BN,  Dr Mazlan berpandangan tidak wajar untuk Pakatan Harapan mencontohi organisasi BN namun hirarki dalam Pakatan Harapan mesti menunjukkan bidang kuasa yang lebih jelas.
"Ia harus dilihat mampu memterjemahkan ke dalam susunan yang sesuai dalam kabinet kelak.
" Misalnya siapakah sebagai Perdana Menteri,Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menterinya.
"Namun hirarki yang ada kini kelihatan sudah memadai, memandangkan struktur politik dalam gabungan parti-parti pembangkang berbeza dengan yang wujud dalam BN," jelasnya.
Menurut Dr Mazlan lagi, pembentukan barisan kepimpinan Pakatan Harapan adalah satu bentuk "kompromi" antara beberapa pihak membabitkan PKR,DAP,Amanah dan Bersatu di dalam gabungan Pakatan Harapan.
Ia dilihat sebagai langkah mengukuhkan kedudukan pakatan untuk memberi fokus terhadap Pilihan Raya Umum ke-14.
Jelasnya, selepas perpecahan Pakatan Rakyat, gabungan parti pembangkang menghadapi kebuntuan untuk membentuk gabungan baharu yang setara sebelumnya.
Meskipun Pakatan Harapan dibentuk selepas itu yang menggabungkan PKR, DAP dan Amanah, namun gabungan ini tiadanya konsensus dalam kepimpinan PKR yang masih melihat Pas sebagai sebuah parti politik yang menjadi tunjang kekuatan pembangkang untuk menumbangkan BN.
Katanya, sikap Pas yang dilihat tidak konsisten dan cenderung membentuk gerakan politik yang bebas daripada BN atau Pakatan Harapan terus mencetuskan ketidakstabilan dalam Pakatan Harapan.
"Penyertaan Bersatu kemudiannya, walaupun dijangka mengukuhkan Pakatan, namun ia juga mencetuskan kemelut baharu dalam perkara penentuan kepimpinannya.
"Faktor terpenjaranya Anwar dan menonjolnya kepimpinan Dr Mahathir dalam pembangkang telah mencetuskan polemik baharu dalam Pakatan Harapan.
" Dr. Mahathir jelas dilihat mendapat sokongan meluas sebagai pemimpin utama Pakatan Harapan sama ada dari partinya sendiri mahupun dari DAP dan Amanah," terangnya.

Gabungan Anwar, Mahathir gempur Putrajaya

Pakatan Harapan mengambil tanggungjawab untuk membela rakyat dan membina semula negara yang dirosakkan oleh pentadbiran pimpinan BN dan Umno melalui kesatuan politik di antara PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.
Pakatan Harapan dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya akan menggembleng seluruh kekuatan rakyat untuk memenangi PRU14 dalam membentuk kerajaan.
Menurutnya, oleh itu, Pakatan Harapan menyenaraikan enam matlamat bagi membentuk pemerintahan yang lebih demokratik, adil dan sejahtera serta sebuah kerajaan yang komited untuk melaksanakan reformasi institusi, menjalankan tadbirurus yang baik dan mengutamakan kebajikan rakyat.
"Matlamat itu adalah menurunkan kerajaan pimpinan kleptokrat yang diketuai Datuk Seri Najib Razak. Kedua, memulihkan kedaulatan dan keluhuran undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.
"Ketiga, membatalkan dan memperbetulkan semua tindakan yang melanggar undang-undang dan menggadaikan kepentingan rakyat di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib termasuk mendapatkan kembali wang rakyat yang hilang melalui skandal besar seperti 1MDB, membebaskan semua tahanan politik dan menggugurkan semua dakwaan politik.
"Seterusnya, reformasi undang-undang dan institusi yang telah disalahgunakan terutamanya berhubung kuasa Perdana Menteri; dan menghadkan penggal perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja," katanya.
Justeru, sebagai tanda kesatuan politik yang lebih jitu, segar dan dinamik, Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju menerima struktur kepimpinan Pakatan Harapan yang baharu iaitu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum.
Katanya, pengerusi pula adalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.
"Manakala, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu adalah timbalan presiden. Sementara itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Chong Chieng Jen dan Salahuddin Ayub menjadi naib presiden," katanya.
Selain itu, Datuk Saifuddin Abdullah pula dilantik sebagai ketua setiausaha dan M Kula Segaran sebagai bendahari.
Jelasnya, sejurus mendapat mandat rakyat dalam PRU14, dalam tempoh 100 hari pertama setelah membentuk kerajaan, Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan perkara-perkara berikut iaitu menghapuskan GST, menstabilkan harga petrol, memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat, memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh, memerangi rasuah hingga ke akar umbi, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja Skandal 1MDB dan memulihkan Felda.
"Pakatan Harapan memberi komitmen bahawa proses memohon pengampunan dan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan dalam tempoh seminggu selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan.
"Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, akan membolehkan beliau (Anwar) kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya," katanya.
 

100 hari pertama ambil alih Putrajaya, ini ikrar HARAPAN

Syed Saddiq defends 'simple' Harapan logo

Syed Saddiq jawab Salleh

'PM ke-7 akan kita isytihar, hari ini isytihar PM ke-8'

'Razali, jaga Muar baik-baik, jangan gelabah' - TSMY

Aksi Lucu Mahathir Tersasul Sebut Mat Sabu Presiden UMNO

Azmin: Pelantikan Mahathir sebagai Pengerusi signifikan dengan pengukuhan PH

Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan disambut baik Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan malam tadi berkata, keputusan konsensus itu amat signifikan dengan pengukuhan dan hala tuju Pakatan Harapan.
"Saya mengucapkan tahniah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas perlantikan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan setelah mendapat sokongan yang padu daripada semua anggota Pakatan Harapan.
"Perlantikan ini adalah amat signifikan kepada pengukuhan Pakatan Harapan serta memberi hala tuju, fokus dan kepimpinan dalam muafakat ini menjelang Pilihan Raya Umum ke 14.
"Saya percaya perkembangan ini akan menamatkan spekulasi dan persoalan tentang perpaduan dan muafakat Pakatan Harapan dalam mendepani pilihan raya dan melaksanakan aspirasi rakyat," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut berkeyakinan dan mengikrarkan sokongan serta komitmennya kepada bekas perdana menteri itu.
"Saya berkeyakinan dan mengikrarkan sokongan serta komitmen saya kepada kepimpinan Tun Dr. Mahathir untuk terus merealisasikan matlamat perjuangan menuju Putrajaya," ujarnya.
Semalam Majlis Presiden Pakatan Harapan mengumumkan struktur kepimpinan dan logo Pakatan Harapan.
Turut hadir semua kepimpinan kanan parti-parti gabungan dalam Pakatan Harapan yang dianggotai PKR,DAP,Amanah dan Bersatu.

Rasuah & Pengubahan Wang Haram: Bekas presiden Peru dipenjara 18 bulan sebelum bicara

Bekas Presiden Peru, Ollanta Humala dan isterinya, Nadine Heredia, telah dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan untuk menghalang mereka daripada meninggalkan negara itu ketika tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah disediakan terhadap mereka.
Hakim Richard Concepcion Carhuancho memutuskan bahawa terdapat "kebarangkalian yang tinggi" yang Humala dan Heredia akan cuba menghindari proses keadilan. Hakim memutuskan bahawa tahanan pencegahan adalah "sesuai dan perlu."
Humala dan isterinya dituduh menerima wang dari firma pembinaan Brazil Odebrecht, firma Peru OAS dan kerajaan Venezuela.
Pendakwa Jerman Juarez mendakwa mempunyai bukti bahawa dua bekas eksekutif Odebrecht menghantar AS$ 3 juta untuk kempen 2011 Humala, bagi pihak Parti Pekerja Brazil.
Juarez berkata Humala mengambil dana haram dari Venezuela dan dari syarikat pembinaan Brazil, Odebrecht dan OAS untuk membiayai pilihan raya presiden pada 2006 dan 2011.
Walaupun Humala memberi kerjasama terhadap semua siasatan, namun beliau tetap menafikan semua dakwaan tersebut.
Dalam perbicaraan pada hari Rabu, peguambela menyerahkan hakim pasport Humala dan isterinya, Nadia Heredia sebagai tanda niat baik.

Azmi Hassan: Proses pengampunan, bebas tahanan politik beri persepsi perundangan negara dipengaruhi proses politik


Usaha untuk membebaskan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendapatkan pengampunan Yang Dipertuan Agong akan memberi persepsi bahawa proses perundangan negara dipengaruhi oleh proses politik, kata penganalisis.
Geostrategis Azmi Hassan berkata, apabila Pakatan Harapan menjanjikan Anwar dibebaskan persepsinya adalah kerajaan yang memerintah mempunyai pengaruh dan kuasa sama ada pengampunan atau menukar sabitan kesalahan.
" Satu persepsi yang tidak baik kerana mengambarkan politik mendahului proses keadilan negara.
"Bukan janji kosong (bebaskan Anwar) Pakatan Harapan tetapi boleh dilakukan melalui proses pengampunan YDPA. Inilah yang akan memberi persepsi bahawa proses perundangan negara dipengaruhi oleh proses politik," ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Beliau diminta mengulas mengenai usaha pakatan Harapan sekiranya berjaya menumbangkan Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 telah menyenaraikan enam matlamat.
Dua daripada matlamat itu adalah membebaskan semua tahanan politik serta mengugurkan semua dakwaan politik dan; melakukan reformasi undang-undang terutama berhubung kuasa seorang perdana menteri dan menghadkan penggal perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja.
Matlamat ini diumumkan dalam kenyataan rasmi pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dibacakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Pakatan Harapan dilantik secara rasmi malam tadi.
Azmi hassan 2Malahan Azmi (Gambar kiri) berpandangan, tahap demokrasi Malaysia telah subur dan pembangunan berjalan lancar  oleh sebab itu ujarnya, had tempoh jawatan Perdana Menteri pada asasnya adalah cadangan yang tepat daripada Pakatan Harapan.
"Ini kerana lazimnya pemegang baharu akan bawa bersama idea yang baharu dan seterusnya besar kemungkinan akan beri manfaat kepada semua," terangnya.
Menurut Azmi lagi dengan pengumuman struktur kepimpinan utama Pakatan Harapan itu ia dilihat satu perkembangan yang menarik kerana ia dipersetujui secara konsensus tanpa ada bangkangan.
" Sebelum ini cadangan Tun M dilantik sebagai pengerusi kurang disenangi pemimpin sedia ada dalam pakatan kerana seperti dikhuatiri kehadiran Tun M dengan jawatan berpengaruh dalam pakatan sama ada mampu membawa Pakatan Harapan lebih kuat atau sebaliknya.

Game Over: DAP dipinggirkan, PH ‘tak sama BN’, sembang Salleh

Menteri komunikasi itu mempersoalkan siapa yang mempunyai kata putus di antara 3 jawatan tertinggi.
salleh-keruak-pakatanPETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan lewat malam tadi masih belum mampu menerajui negara seperti mana Barisan Nasional (BN).
“Biar apapun strategi pakatan pembangkang, kemunculannya tetaplah tidak sama dengan BN yang telah teruji kerjasama antara kaumnya dan sikap tolak ansur pemimpinnya tanpa mengabaikan prinsip-prinsip parti,” kata Menteri komunikasi dan multimedia itu dalam catatan blognya.
Beliau turut mempersoalkan siapa yang mempunyai kata putus dalam gabungan itu.
“Ini kerana antara 3 jawatan tertingginya — ketua umum, pengerusi dan presiden, tidak dinyatakan siapakah yang mempunyai kuasa eksekutif dan kata putus terakhir dalam pembuatan keputusan.”
Semalam, PH setuju melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir masing-masing sebagai ketua umum dan pengerusi gabungan 4 parti, sementara Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik menjadi presiden.
Tetapi Salleh berkata ia masih belum dapat memberikan keyakinan.
“Dengan barisan kepimpinan pakatan pembangkang yang sebegini, bolehkah kita memberi kepercayaan kepada mereka untuk menerajui negara? Tentunya tidak kerana masa depan negara bukanlah untuk diperjudikan,” katanya.
Menurutnya, adalah “pelik” apabila Dr Mahathir, yang membacakan kenyataan 2 muka surat PH semalam, masih mengelak daripada menjawab soalan wartawan mengenai calon perdana menteri.

Ringgit jatuh, kos tinggi punca ibu bapa pilih pendidikan dalam negara

PARA ibu bapa di Malaysia yang berharap untuk menghantar anak-anak mereka ke luar negara untuk melanjutkan pengajian, kini terpaksa mempertimbangkan universiti tempatan atau alternatif lain selepas mengambil kira ringgit yang semakin lemah dan peningkatan kos sara hidup.
Mengikut kaji selidik HSBC Value of Education 2017 baru-baru ini, semakin kurang ibu bapa di Malaysia mempertimbangkan untuk menghantar anak mereka ke universiti luar negara berbanding  tiga tahun lalu.
Kajian itu – penyelidikan pengguna global mengenai pandangan dan tingkah laku ibu bapa terhadap pendidikan anak – mencatatkan 51% responden berkata mahu menghantar anak ke luar negara, penurunan daripada 88% yang dicatatkan dalam tinjauan serupa oleh HSBC pada 2014.
Tinjauan yang dijalankan pada Februari tahun ini dan diterbitkan pada 28 Jun, menemuramah 8,481 ibu bapa di Australia, Kanada, China, Mesir, Perancis, Hong Kong, India, Indonesia, Malaysia, Mexico, Singapura, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Penurunan bilangan ibu bapa di sini yang berhasrat menghantar anak ke universiti luar negara sebahagian besarnya disebabkan susut nilai ringgit, jatuh hampir 23% berbanding dolar AS sejak 2014. Ini menjadikan kos tinggal dan belajar di luar negara lebih mahal.
Ekonomi global yang lemah dan peningkatan kos sara hidup di Malaysia turur menjadi faktor.
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata, selain yuran pengajian yang boleh menelan belanja ratusan ribu ringgit, ibu bapa juga perlu menyediakan wang bagi kos sara hidup anak yang belajar di luar negara.
"Ekonomi juga tidak begitu baik dalam tempoh dua atau tiga tahun lepas, kami juga membaca laporan mengenai pemecatan dan pemberhentian pekerja," katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut freecurrencyrates.com, ringgit berada pada RM3.28 dan RM3.50 berbanding dolar AS pada 31 Disember 2013 dan 2014.
Ringgit kemudian merosot kepada RM4.29 pada 31 Disember 2015 dan menjunam RM4.48 pada 29 Disember tahun lepas. Ia bertambah baik sedikit baru-baru ini, dengan kadar RM4.30 berbanding dolar AS sekarang, jauh berbanding 2014.
Labur untuk universiti tempatan, biasiswa
Para ibu bapa dan pendidik mengatakan iklim global semasa yang menutup peluang belajar di universiti luar negara seharusnya mendorong kerajaan memberi penekanan membina institusi pendidikan tempatan.
Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, ia mungkin bukan perkara bijak bagi Putrajaya memotong pembiayaan bagi pendidikan tinggi pada masa sekarang apabila kos sara hidup semakin meningkat dan terdapat keperluan mengekalkan daya saing pendidikan di peringkat dunia.
"Malangnya, selama dua tahun berturut-turut mereka melakukannya. Pemotongan bajet untuk universiti bermakna (universiti) terpaksa mencari cara lain untuk menjana pendapatan.
"Akhirnya, kos akan dipindahkan kepada pelajar. Kedua, pemotongan biasiswa yang signifikan juga akan menjadikan pendidikan tinggi bertambah kurang diakses banyak keluarga di Malaysia, dan ia akan memberi kesan kepada daya saing tenaga buruh negara," kata Zairil yang juga jurucakap Parlimen DAP bagi bidang pendidikan kepada The Malaysian Insight.
Dalam Bajet 2017, kerajaan memperuntukkan RM52.4 bilion untuk pendidikan, kurang berbanding RM54.74 bilion pada 2016. Sebelum ini, belanjawan untuk pendidikan meningkat daripada RM52.7 bilion pada 2013 kepada RM56.63 pada 2015.
Perbelanjaan yang diunjurkan untuk pendidikan tinggi ialah RM12.13 bilion, pemotongan hampir 20% daripada RM13.38 bilion pada 2016. Daripada 20 universiti awam, 10 menyaksikan pemotongan  belanjawan sebanyak 10% hingga 31%, dengan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Putra Malaysia menerima pemotongan terbesar.
Azimah daripada PAGE berkata, kurang ibu bapa berhasrat menghantar anak ke luar negara kerana semakin sukar mendapatkan biasiswa selepas kerajaan, penaja dan yayasan swasta mengurangkan biasiswa pendidikan luar negara.

Kerjasama Dr Mahathir-Anwar imbau ‘zaman gemilang’

IA adalah pasukan yang saling melengkapi kekuatan dan sokongan masing-masing, pada masa sama mengimbau kerinduan kepada zaman kegemilangan politik Malaysia pada 1980-an dan awal 1990-an.
Itulah yang digambarkan oleh penganalisis dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengenai kerjasama Dr Mahathir Mohamad-Anwar Ibrahi m, yang diumumkan lewat semalam.
Bagaimanapun, kemenangan mutakhir pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan bergantung kepada platform polisi yang dapat menawan imaginasi para pengundi dan barisan kedua pemimpin dinamik yang lebih muda.
Kedua-dua bekas musuh politik, bersama isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail, akan mengetuai kempen PH dalam PRU14, yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Dr Mahathir dilantik sebagai pengerusi Majlis Presiden Harapan, manakala Anwar sebagai ketua de facto dan Wan Azizah menjadi presiden pakatan dalam barisan kepimpinan bersama.
PH terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu. Anwar dan Wan Azizah adalah ketua de facto dan presiden PKR, manakala Dr Mahathir adalah pengerusi Bersatu.
Walaupun Anwar dan Dr Mahathir adalah muka lama, tinjauan di kalangan pengundi menunjukkan mereka masih mempunyai sokongan besar di kalangan bahagian kritikal pemilih rakyat Malaysia, kata penganalisis Hisomuddin Bakar.
"Dr Mahathir mempunyai sokongan kuat di kalangan pengundi Melayu muda dan tua, terutama di kawasan luar bandar," kata Hisomuddin, yang merupakan pengarah eksekutif Ilham Centre.
"Anwar, sebaliknya, mempunyai sokongan bukan Melayu. Jadi, mereka saling melengkapi antara satu sama lain. "
Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) di Selangor awal tahun ini juga mencerminkan keadaan ini. IDE mendapati Anwar masih mempunyai sokongan yang tinggi walaupun tidak aktif dalam politik.
Anwar kini menjalani hukuman penjara selama lima tahun kerana  meliwat, hukuman yang didakwa sengaja direka pentadbiran Najib.
Setiausaha agung PH yang baru dilantik, Saifuddin Abdullah berkata, pasukan baru itu berharap dapat memancing nostalgia rakyat Malaysia lebih tua yang dilalui pada 1980-an dan 1990-an semasa Dr Mahathir dan Anwar menjadi perdana menteri dan timbalan.
Ia adalah tempoh di mana Malaysia mengalami perkembangan ekonomi terbaik, mencatatkan kadar pertumbuhan hampir 8% setiap tahun sehingga krisis ekonomi Asia pada 1998.
"Bukan hanya rakyat Malaysia lebih tua yang merasainya, semua yang di bawah usia 40  tahun juga mengingati tempoh ini," kata Saifuddin.

SEMUA SUDAH SELESAI, APA LAGI KITA MAHU?

KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN
13 JULAI 2017

Menyedari bahawa rakyat mengharapkan perubahan politik negara ke arah pemerintahan yang lebih demokratik, adil dan sejahtera serta sebuah kerajaan yang komited untuk melaksanakan reformasi institusi, menjalankan tadbirurus yang baik dan mengutamakan kebajikan rakyat; dan
 
Menginsafi bahawa Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional sedang berada di dalam keadaan krisis yang tenat, terpalit dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa yang amat luar biasa, dan rakyat menanggung beban;

Maka, Pakatan Harapan mengambil tanggungjawab untuk membela rakyat dan membina semula negara yang dirosakkan oleh pentadbiran Dato Sri Najib Tun Razak.  Melalui kesatuan politik di antara KEADILAN, DAP, AMANAH dan PPBM, kami akan menggembleng seluruh kekuatan rakyat untuk memenangi pilihanraya umum ke-14 dan membentuk kerajaan.

Oleh yang demikian, Pakatan Harapan mendokong matlamat-matlamat berikut:

1) Menurunkan kerajaan pimpinan kleptokrat yang diketuai oleh Dato Seri Najib Tun Razak;

2) Memulihkan kedaulatan dan keluhuran undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia;

3) Membatalkan dan memperbetulkan semua tindakan yang melanggar undang-undang dan menggadaikan kepentingan rakyat di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib termasuk mendapatkan kembali wang rakyat yang hilang melalui skandal besar seperti 1MDB;

4) Membebaskan semua tahanan politik dan menggugurkan semua dakwaan politik;

5) Reformasi undang-undang dan institusi yang telah disalahgunakan terutamanya berhubung kuasa Perdana Menteri; dan

6) Menghadkan penggal perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.

Sebagai tanda kesatuan politik yang lebih jitu, segar dan dinamik, Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju menerima struktur kepimpinan Pakatan Harapan yang baharu iaitu:

Ketua Umum:
Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Pengerusi:
Tun Dr Mahathir Mohamad

Presiden:
YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Timbalan-Timbalan Presiden:
YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
YAB Lim Guan Eng
Tuan Haji Mohamad Sabu

Naib- Naib Presiden:
YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
YB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir
YB Chong Chieng Jen
Tuan Haji Salahuddin Ayub

Ketua Setiausaha:
Datuk Saifuddin Abdullah

Bendahari:
YB M. Kula Segaran
  
Sejurus mendapat mandat rakyat dalam PRU-14, dalam tempoh 100 hari pertama setelah membentuk kerajaan, Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan perkara-perkara berikut:

• Menghapuskan GST;
• Menstabilkan harga petrol;
• Memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat;
• Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;
• Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
• Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja Skandal 1MDB; dan
• Memulihkan FELDA.

Pakatan Harapan memberi komitmen bahawa proses memohon pengampunan dan pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan dalam tempoh seminggu selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan. 

Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, akan membolehkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya.


Ditandatangani oleh:

YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad
Pengerusi PPBM

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Presiden PPBM

YB Tan Kok Wai
Pemangku Pengerusi DAP

YBhg Tn Hj Mohamad Sabu
Presiden AMANAH

Semua keraguan, tanda tanya dan permasalahan yang selama ini membelenggu Pakatan Harapan kini sudah pun berakhir. Struktur kepimpinan dan logo yang akan digunakan untuk menentang UMNO dan BN tidak lagi menjadi masalah, hanya menunggu masa saja untuk didaftarkan.

Melihat barisan kepimpinan dan logo Pakatan Harapan, ternyata memang ada "ummppphh"  dan bakal menggerunkan Najib Razak serta seluruh kepimpinan UMNO dan BN.

Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim sekarang secara sah kembali berganding bahu. Bahkan dengan menjadi Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir adalah panglima di medan perjuangan sementara Anwar sebagai Ketua Umum akan merangka idea serta strategi tambahan daripada dalam penjara.