Rabu, 28 Jun 2017

41 BILIK PRESIDENTIAL SUITES DI BALI, SIAPAKAH LAGI YANG IKUT BERCUTI BERSAMA DENGAN NAJIB?

Setelah terdedah percutian lima hari Najib Razak dan keluarganya di Bali bermula bermula 2 Syawal yang lalu, persoalan terbaru yang kini timbul ialah siapakah yang turut bercuti bersama dengannya?

Menurut laporan media Indonesia, Metronews.com, Najib yang menginap di Hotel St. Regis akan tinggal bilik yang sama yang pernah ditempah oleh Raja Salman dari Arab Saudi ketika bercuti di Bali pada Mac yang lalu.

Bilik tersebut dikira mewah kerana bertaraf Presidential Suites.

Menurut media tersebut lagi, rombongan Najib sebenarnya menempah 41 bilik yang kesemunya bertaraf Presidential Suites sepanjang percutiannya selama lima hari di Bali itu.

Dilaporkan juga, dalam percutian itu Najib turut disertai oleh enam anak-anaknya. 

Jumlah ini tentunya termasuk anak Najib dan Rosmah daripada perkahwinan mereka yang terdahulu kerana hasil perkahwinan Najib dengan Rosmah, mereka hanya mempunyai dua orang anak saja.

Soalnya, siapa lagi yang ikut serta dalam percutian tersebut?

Jika mereka itu termasuk ahli keluarga yang lain, pegawai-pegawai dari Pejabat Perdana Menteri atau rakan-rakan Najib, mengapa kesemuanya menginap di bilik bertaraf Presidential Suites?

Siapakah yang akan membayar semua kos bilik mewah untuk percutian itu dan berapa jumlah keseluruhannya?

Jika menggunakan dana kerajaan, apakah semua ahli keluarga, pegawai-pegawai dan rakan-rakan Najib mempunyai kelayakan menginap di bilik bertaraf Presidential Suites?

Selain itu, timbul juga persoalan sama ada St Regis Bali turut dimiliki oleh Peter Sondakh yang diketahui memiliki Hotel St Regis di Langkawi.

Peter Sondakh adalah pemilik Eagle High Plantation yang 37 peratus sahamnya baru-baru ini dibeli oleh Felda dengan harga AS$505 juta atau lebih RM2,200 juta.

Pembelian itu mendapat kritikan ramai, bukan saja kerana hubungan akrab Najib dengan Peter Sondakh, tetapi juga kerana harganya yang dikira tinggi berbanding nilai pasaran semasa serta dianggap tidak memberi banyak manfaat kepada peneroka Felda.

Jika Hotel St. Regis Bali turut dipunyai oleh Peter Sondakh, mungkinkah percutian  Najib kali ini mendapat tajaan sepenuhnya daripada ahli perniagaan terkenal Indonesia itu?

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2017 Parti AMANAH di Kota Bharu 29 Jun 2017

KOTA BHARU – 29 jun 2017: Parti Amanah Negara (AMANAH) akan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2017 pada 29 Jun 2017 bersamaan 5 Syawal 1438H, bertempat di Dewan Perniagaan Cina, Kota Bharu, Kelantan, bermula dari jam 11 pagi hingga 3 petang.
Selain pelbagai juadah disediakan, majlis berbentuk kenduri rakyat ini akan diisi dengan pelbagai acara seperti persembahan kebudayaan, ucapan dan sesi beramah mesra bersama pemimpin.
Kelantan dipilih menjadi tuan rumah yang kedua bagi Rumah Terbuka Aidilfitri pada tahun ini setelah Selangor berjaya menganjurkannya pada tahun lalu. Pemilihan Kelantan adalah berasaskan sambutan keahlian dan penubuhan kawasan serta cawangan AMANAH yang begitu memberansang sekali. Kelantan juga adalah salah sebuah negeri tumpuan bagi AMANAH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Seluruh kepimpinan tertinggi AMANAH akan hadir pada majlis ini sementara kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) juga turut diundang untuk sama-sama bertandang ke Kota Bharu.
Orang ramai dari pelbagai kaum dan agama dijemput hadir untuk memeriahkan sambutan ini.
Siput Kedaya Dalam Perahu
Buah Berangan Dari Kembayat
Sambut Raya Di Kota Bharu
Bawa Kenangan Sepanjang Hayat

“Pakat mari blako adik kakok”
#AmanahDemiNegara

Skandal 1MDB: Isteri MO1 digesa pulangkan barang kemas yang dibeli guna wang 1MDB


Isteri MO1 digesa pulangkan barang kemas yang dibeli guna wang 1MDB
Mereka yang didakwa terlibat boleh mengambil tindakan mahkamah kata peguam Haniff Khatri Abdulla. 
ISTERI “Malaysian Official No. 1” (MO1) bertanggungjawab secara moral dan undang-undang untuk mengembalikan barang kemas yang didakwa dibeli menggunakan wang yang dirompak daripada syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata penggubal undang-undang dan peguam.
Dia perlu mengembalikan barang kemas kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) ketika saman sivil terbaru mendedahkan barangan itu dibeli menggunakan wang 1MDB.
Peguam Haniff Khatri Abdulla mencadangkan supaya isteri MO1 mengambil tindakan undang-undang kepada DoJ sekiranya dakwaan itu tidak benar.
“Tetapi sekiranya dia tidak mahu berbuat demikian, dia sepatutnya memulangkan kembali 28 barang kemas termasuk rantai loket berlian merah jambu 22 karat yang berharga AS$27.3 juta (RM121 juta) kepada pihak berkuasa AS supaya mereka boleh kembalikan balik kepada rakyat Malaysia.
“Kronologi peristiwa itu jelas menunjukkan wang itu datang daripada 1MDB, jadi ia wang rompakan, dan perkara yang sepatutnya dilakukan ialah memulangkannya kembali.
“Dia sekurang-kurangnya mempunyai tanggungjawab moral, dan yang pasti ada tanggungjawab undang-undang,” kata peguam yang mewakili bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam beberapa kes sivil itu.
MO1 dikenalpasti sebagai Perdana Menteri Najib Razak yang sudah menafikan wujudnya salah laku dalam skandal 1MDB. Peguam Negara Malaysia Mohamed Apandi Ali juga membebaskan Najib daripada semua salah laku susulan siasatan yang dilakukan ke atas skandal itu di negara ini.
Haniff menjelaskan, mereka yang salah didakwa di mana-mana tindakan mahkamah mempunyai hak untuk memohon mahkamah supaya masuk campur dan memohon supaya nama mereka dihapuskan daripada dokumen mahkamah.
Dalam kes ini, mereka yang didakwa terlibat boleh melantik peguam Amerika dan mencabar saman DoJ di mahkamah.
Pelakon Amerika Syarikat Leonardo DiCaprio dan model terkenal Australia Miranda Kerr yang menerima hadiah bernilai jutaan dolar daripada ahli perniagaan Malaysia Low Taek Sjo atau Jho Low sudah menyerahkan kembali hadiah diterima mereka kepada DoJ.
Haniff mendesak supaya isteri MO1 menjelaskan kepada rakyat Malaysia sekiranya Jho Low memberinya sebarang hadiah.
“Dia patut memaklumkan kepada rakyat sekiranya mana-mana barang kemas itu masih berada dengannya dan bila dia akan menyerahkannya kepada DoJ,” katanya.
Peguam dan bekas Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff berkata isteri MO1 juga perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa kerana kegagalan berbuat demikian boleh dianggap satu kesalahan.

Skandal 1MDB: Kenyataan Kerajaan BN tentang saman DOJ amat remeh

Oleh:Mohamed Hanipa Maidin

1.Apabila membaca sebahagian daripada kenyataan oleh beberapa individu mengenai saman terbaru DOJ bagi merampas wang daripada dana yang melibatkan 1MDB, saya hanya boleh simpulkan wujudnya kekeliruan dan salah faham yang terbit daripada kenyataan-kenyataan tersebut.

2. Saya mulakan dulu dengan kenyataan Presiden PAS. Beliau nampaknya cuba menyamakan tindakan terbaru DOJ ini sebagai satu bentuk campurtangan asing dalam politik Malaysia. Secara tersirat, dia nampaknya cuba membawa mesej ini-kita semua sewajarnya berjiwa patriotik dan tidak sepatutnya membenarkan kuasa asing menguasai kita.

3. Dengan hormat, bagi saya kenyataan beliau itu seolah-olah menggambarkan beliau amat fasih dengan undang- undang Amerika. Ia juga memberi gambaran bahawa saman DOJ di bumi Amerika, menggunakan undang undang Amerika, masih dikira satu campurtangan kuasa asing, sekurang-kurangnya itulah pendapatnya yang agak sempit.

4. Bagi saya, kenyataan beliau itu, dengan hormat, menunjukkan satu kejahilan yang jelas. Ia juga menggambarkan kegagalan Presiden Pas untuk menguasai isu 1MDB. Dari mula lagi, kenyataan itu hakikatnya amat tidak perlu. Ia hanya mengukukuhkan kepercayaan ramai yang Pas agak terpisah dengan urusan semasa. Lebih malang lagi, ia ibarat menambah garam di atas luka. Kenyataan tersebut memburukkan lagi saki baki imej Pas yang masih tinggal seperti nyawa2 ikan.

5. Bagi menjawab kebimbangan beliau yang tidak berasas itu, saya dengan penuh hormat, menjemput beliau melihat kenyataan rasmi daripada pemangku Peguam Negara USA, Kenneth Blanco yang menyatakan "Kami tidak akan benarkan Amerika menjadi tempat atau lubuk di mana para individu yang korup berharap untuk menyembunyikan harta benda mereka dan berbelanja secara mewah dan boros wang yang sepatutnya digunakan untuk manfaat rakyat di negara tersebut"

6. Ada lagi kenyataan lain daripada sebahagian menteri yang gila mengampu. Antara lain, kenyataan itu berbunyi sebegini-1MDB dan MO1 tidak dinamakan sebagai defendan dalam saman DOJ. Ada juga yang kata tiada keterangan penyalahgunaan dana 1MDB, meskipun saman DOJ  masih di peringkat awal- belum sampai ke tahap perbicaraan di mana isu mengemukakan keterangan baru wajar dibangkitkan.

7. Baiklah, yang dahulu didahulukan. Ya, benar 1MDB dan MO1 tidak dinamakan sebagai defendan dalam saman DOJ. Reaksi awal saya "so what?" Adakah anda ingin katakan bahawa tiada sebarang liabiliti sewajarnya dikaitkan dengan kedua dua entiti ini kerana mereka tidak dijadikan sebagai defendan. Jika begitu halnya, kenapakah kedua dua entiti ini tidak mengarahkan peguam mereka untuk menentang saman DOJ tersebut?

8. Lagipun,  bukankah kandungan saman DOJ tersebut secara spesifik menamakan kedua dua entiti tersebut dan juga membangkitkan dakwaan penyalahgunaan dana 1MDB oleh kedua dua entiti tersebut? Dalam keadaan begitu, sudah tentu mereka mempunyai kepentingan dalam saman DOJ tersebut.