Isnin, 26 Jun 2017

Najib perlu hentikan berita palsu yang disebarkan pihaknya, kata Kit Siang


Najib perlu hentikan berita palsu yang disebarkan pihaknya, kata Kit Siang
Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri Najib Razak memastikan kerajaan, Umno, dan BN tidak menyebarkan berita atau maklumat palsu selepas memberi amaran terhadap fitnah dalam mesej Aidilfitri baru-baru ini. 
PERDANA Menteri Najib Razak harus memberi perhatian terhadap mesej Aidilfitri yang disampaikannya dan mengawal pihak bawahan dan sekutunya, kata Penasihat Kebangsaan DAP Lim Kit Siang hari ini.
Lim berkata Najib harus memastikan kerajaan, Umno, dan Barisan Nasional (BN) tidak menyebarkan berita atau maklumat palsu selepas memberi amaran terhadap fitnah semasa ucapan Aidilfitri menerusi siaran televisyen.
"Baru-baru ini, terdapat lebih banyak contoh kemunafikan Umno/BN, yang menyebarkan berita dan maklumat palsu sementara pada masa sama mengarang berita dan maklumat palsu," katanya dalam satu kenyataan.
Lim memetik tiga contoh terbaru berkaitan saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk merampas aset bernilai tambahan AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang dipercayai dibeli dengan dana yang dicuri daripada firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Saman ketiga itu menyatakan jumlah wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB berjumlah AS$4.5 bilion, dengan DoJ bakal merampas aset bernilai AS$1.7 bilion.
Lim berkata komen yang disiarkan pada portal Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) pada 21 Jun mendakwa berlian merah jambu bernilai AS$27.3 juta yang didakwa dibeli oleh ahli perniagaan Low Taek Jho, dikenali sebagai Jho Low, untuk isteri "Malaysian Official No.1" (MO1) tidak disebut dalam saman.
Komentar itu, yang ditulis "Beruang Biru", mendakwa berlian itu diada-adakan oleh portal berita Malaysiakini.
Lim berkata itu adalah satu pembohongankerana berlian itu disebut khusus dalam perenggan 346 daripada saman yang panjang dalam seksyen bertajuk "Low mengatur untuk membeli kalung berlian merah jambu 22 karat untuk isteri MO1 menggunakan hasil bon 2013 yang diselewengkan".
Ahli Parlimen Gelang Patah juga mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan kerana mengatakan saman tersebut menuduh isteri Najib Rosmah Mansor melakukan kesalahan.

Pemandu teksi di KL ingin bantah pelantikan Isa Samad dalam SPAD


Pemandu teksi di KL ingin bantah pelantikan Isa Samad dalam SPAD
Persatuan pemandu teksi tidak mempercayai krebiliti bekas pengerusi Felda Global Venture Holding Bhd, Isa Samad untuk menerajui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat. 
KIRA-KIRA 700 hingga 800 pemandu teksi di Lembah Klang akan melancarkan bantahan terhadap pelantikan Isa Samad sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), mengatakan mereka inginkan seseorang yang "bersih" memegang jawatan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Zailani Isausuludin berkata protes tersebut akan diadakan di depan Dewan Sivik Petaling Jaya pada 3 Julai ini.
Zailani berkata pemandu teksi tidak mempercayai krebiliti bekas pengerusi Felda Global Venture Holding Bhd (FGV) yang bermasalah itu untuk menerajui SPAD.
"Tujuan utama protes kita ialah kita mahu jawatan Isa diganti dengan orang yang lebih bersih.
"Bagi kami, ini sebagai satu bentuk penjajahan politik baru ke atas SPAD dengan membawa masuk orang politik seperti mana yang terjadi kepada Felda.
"Kalau setakat untuk mempengerusikan mesyuarat, kenapa perlu lantik juga orang politik? Adakah kita tiada pemimpin yang baik dalam Malaysia ini?" katanya memberitahu The Malaysian Insight.
Isa dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif SPAD pada 19 Jun, pada hari yang sama beliau meletakkan jawatan sebagai pengerusi FGV.
Berikutan reaksi negatif terhadap pelantikan barunya, Isa berkata beliau hanya bersetuju menerima jawatan dalam SPAD kerana Perdana Menteri Najib Razak meminta beliau berbuat demikian.
Isa dan ketua pegawai eksekutif Zakaria Arshad yang digantung, berdepan pertikaian mengenai urus niaga di antara anak syarikat FGV Delima Oil Products dan syarikat Afghanistan, Safitex.
Zakaria dan tiga pegawai kanan lain diarahkan bercuti oleh lembaga pengarah awal bulan ini susulan siasatan dalaman terhadap urus niaga itu di samping siasatan terhadap dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalam FGV oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Isa dan isteri dipanggil SPRM minggu lalu bagi memberi keterangan berkaitan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa itu.
Berikutan skandal FGV, Zailani berkata pemandu teksi tidak "mempercayai" kredibiliti bekas ketua pengerusi FGV itu dan bimbang pelantikannya hanya akan memburukkan lagi imej SPAD.
Suruhanjaya itu dipersalahkan kerana gagal melindungi hak dan kebajikan pemandu teksi di negara ini, katanya sambil menambah Isa tidak akan memahami kesukaran mereka.
"SPAD memerlukan orang yang jujur dan kami tidak nampak Isa akan faham kesusahan rakyat dan beliau bukanlah pejuang Melayu.

MAHU JADI PRESIDEN PAS? ANAK HADI TERSIPU, TERKEJUT

Hampir sejam temubual ketua baru Pemuda PAS berlangsung tenang tetapi suasana serius itu tiba-tiba bertukar riuh dengan gelak ketawa.
Muhammad Khalil Abdul Hadi bagaikan tidak menyangka ProjekMMO akan mengajukan soalan sama ada beliau bercita-cita menjadi presiden PAS seperti bapanya.
Wajah anak sulung Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelihatan hampir merah. Beliau hanya mampu tersenyum tersipu-sipu. Jawapannya pula tersekat-sekat.
“Yalah… [berhenti seketika]. Bagi kita daripada jadi… [berhenti lagi, dan ketawa],” katanya, yang masih tidak menyangka sama sekali soalan itu.
“Kepimpinan ini satu amanah dan tanggungjawab yang Allah berikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki,” katanya lancar, kemudiannya.
Setiausaha Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden yang berada di sebelah beliau ketika itu antara yang kuat ketawa.
Afnan pula anak ulama PAS dan bekas imam Masjid Negara yang pernah mewakili kerusi parlimen Baling.
Baru dipilih tanpa bertanding dalam muktamar awal Mei lalu, Khalil hampir pasti diperuntukkan satu kerusi pada pilihan raya umum akan datang atas kuota ketua Pemuda.
Namun, bekas ketua pemuda Marang, kawasan bapanya, bersikap “dengar dan patuh” dengan keputusan parti sewaktu ditanya kerusi yang mahu beliau tandingi.
“Saya serah kepada parti. Saya lebih selesa menjadi jentera yang bertugas daripada jadi calon,” katanya.
Beliau menggantikan Nik Abduh Datuk Nik Aziz, bekas mursyidul am PAS dan menteri besar Kelantan, yang kini mewakili parlimen Pasir Mas.
Diasak lagi soal calon, Khalil berkata: “Saya tidak kisah, jika parti letak di mana-mana, saya terima, sami’na wa ata’na [kami dengar dan patuh].”
Dilahirkan dalam keluarga politik di Rusila, Marang, beliau tidaklah terlalu kekok dengan politik walau namanya masih baru di pentas nasional.
“Memang keluarga saya ini, keluarga politik. Bukan daripada tok guru [Abdul Hadi], tapi sebelum itu lagi.
“Arwah datuk dan moyang saya memang banyak terlibat politik, mungkin itu sedikit sebanyak mempengaruhi minat kepada politik,” katanya, sebulan lalu.
Namanya mula muncul di media apabila ditahan polis susulan kekecohan insiden mengepung bas “pengundi hantu” di kampungnya ketika pilihan raya umum 2008.
Beliau termasuk dalam kumpulan 20 lelaki, antara 15 hingga 60 tahun, yang ditahan kerana enggan bersurai, kata polis Terengganu waktu itu.
Ketika ditemu bual, Khalil mengimbau penglibatannya dengan PAS sejak berumur 13 tahun, pada 1990, yang menyaksikan kemenangan semula PAS di Kelantan.
“Masa itu saya sudah [terlibat] dalam jentera cawangan. Kita ikut tampal poster, kutip derma, dan edar risalah,” kata lulusan sarjana pengajian Islam Universiti Portsmouth, United Kingdom.
Diaju soalan berkaitan tokoh-tokoh yang dikaguminya, Khalil berkata tiada ahli politik, tempatan atau antarabangsa, yang khusus menjadi pilihannya.

PRU14: Ramai sedar, mahu perubahaan di Kelantan, kata Umno

Umno Kelantan akan berusaha menarik sokongan generasi muda dan pengundi yang bekerja di luar negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang dalam usaha menawan kembali Kelantan selepas 27 tahun di bawah pentadbiran kerajaan PAS.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata ketika ini terdapat perubahan terhadap sokongan kumpulan itu terhadap Umno terutama dalam kalangan orang muda dari Kelantan yang menetap di luar negeri itu serta golongan mahasiswa.
“Sudah ramai yang sedar dan mahukan perubahan di negeri ini. Mereka faham mengenai pembangunan di Kelantan kerana mereka terdiri daripada kalangan cerdik pandai juga.
“Setakat in, sokongan kuat daripada golongan ini memberi kekuatan kepada Umno,” katanya kepada pemberita pada majlis Mesra Aidilfitri Orghe Parlime Terre (Orang Parlimen Ketereh) di kediamannya di Bukit Marak, di Kota Bharu, hari ini.
Annuar yang juga anggota Parlimen Ketereh, berkata beliau yakin pengundi luar daripada golongan orang muda mampu membawa perubahan pada PRU14 ini.
“Golongan muda sudah memberi banyak peluang kepada PAS dan sekarang mereka tidak menolak kebaikan yang dilakukan oleh Umno,” katanya.
Mengulas mengenai ‘perang bendera’ yang berlaku terutama ketika perantau pulang menyambut lebaran di Kelantan ketika ini, Annuar berkata ia tidak membawa sebarang makna kerana tiada sebarang bantuan dihulurkan kepada golongan memerlukan.
Beliau berkata Umno mengambil langkah untuk tidak terlibat dalam ‘perang’ bendera itu dan di sebaliknya memilih untuk membantu rakyat secara senyap-senyap tanpa sebarang publisiti.
"Kita tidak melihat perbuatan memacak bendera itu sebagai gerakan (membantu rakyat). Gerakan Umno sepanjang Ramadan amat banyak malah sudah berpuluh ribu rakyat dibantu.
"Di kawasan Parlimen saya sendiri iaitu Ketereh lebih 20,000 rakyat dibantu secara senyap-senyap tanpa publisiti. Kalau kita sibuk mahu memacak bendera sudah tentu kita akan terlupa agenda sebenar mahu membantu mereka, " katanya.

Skandal 1MDB: AG arah kita siasat lanjut kata IGP

Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan pihak polis untuk menyiasat lebih lanjut mengenai isu 1MDB, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
“Saya ingat saya sudah cakap ini. Saya sudah beritahu sebelum ini bahawa Peguam Negara telah mengarahkan kita menyiasat lanjut beberapa persoalan yang timbul, jadi kita sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau disoal wartawan sama ada terdapat sebarang arahan dari pejabat peguam negara berhubung kertas siasatan yang diserahkan oleh polis.
Polis menubuhkan sebuah pasukan penyiasat pada April 2016 untuk meneliti laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB, sehari selepas laporan berkenaan dibentangkan.
Pada April tahun ini, Khalid memberitahu pemberita bahawa siasatan itu telah selesai.
Pada 17 Jun lalu, Khalid berkata beliau masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pejabat peguam negara berhubung kertas siasatan yang diserahkan oleh polis.
Tekanan ke atas pejabat peguam negara dan polis semakin meningkat susulan pemfailan saman sivil terbaru oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan 1MDB pada 15 Jun.
Pelbagai pihak, khususnya pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil membidas pihak berkuasa Malaysia kerana gagal bertindak sedangkan rakan sejawatan mereka di Singapura, Switzerland, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain telahpun mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB.
Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali, dilaporkan berkata, pelbagai siasatan yang dijalankan mendapati tiada kegiatan jenayah yang telah dilakukan.
1MDB pula bertegas bahawa tidak ada wang yang telah diselewengkan daripada syarikat itu, yang jelas bercanggahan dengan dakwaan DOJ.

Surat terbuka ‘lebai malang’ kepada ‘jembalang’ politik

Selepas habis Ramadan, kalian jembalang politikus pelbagai jenama sekular boleh kembali berkeliaran untuk menyetan seperti dahulu, kini dan selamanya.
Syawal melambangkan kemenangan dan pembebasan setan iblis memeriahkan suasana yang semakin bertaraf kleptokrasi kelas premier.
Sebulan lapar dahaga dan tidak campur tangan mana-mana urusan dalaman negara lain, kalian boleh kembali berjoli sakan dengan apa sahaja perompakan, rasuah, penyelewengan dan maksiat seperti sedia kala.
Ingatlah, matlamat menghalalkan cara. Cara dan kaedah semuanya halal selagi agama, bangsa dan negara tidak dijajah semula oleh kafir harbi mahupun pembangkang yang tiada langsung idea untuk membangunkan dan memajukan negara sejak azali.
Demi masa depan, para lebai malang taraf ular dalam semak, bersatulah di bawah kepimpinan mazhab Cash is King kerana dalam kemelut ekonomi yang semakin meratah kesiuman bangsa, dedak-dedak juga tidak murah.
Bersyukurlah, dengan adanya 1MDB dan Hang Jolo, kita semakin cepat mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Bukan lagi tahun 2020, tetapi hujung tahun ini.
Kajian syarikat Balakong
Itulah kejayaan transformasi, malah Transformasi Nasional 50 boleh dicepatkan kepada Transformasi 25, separuh dari perancangan.
Semuanya berkat doa para lebai malang yang hebat dengan tahaluf siyasi, takfiri dan u-turn sana sini.
Ringgit yang jatuh khabarnya akan segera naik mendadak sama nilai dengan dolar Amerika Syarikat menjelang Sukan SEA dan pilihan raya. GST juga akan dinaikkan untuk sama dengan GST di negara-negara maju dunia.
Kesesakan di mana-mana jalan raya sewaktu Hari Raya, ratusan ribu beraya dengan ‘Malaysian Official One’ adalah bukti telus, lestari dan istiqamah pemulihan ekonomi.
Bukti berdasarkan kajian sebuah syarikat penyelidikan kewangan antarabangsa yang berpangkalan di Balakong.
Ingatlah, suntikan dana, sama ada derma AS$2.6 bilion daripada Arab atau fi RM2.4 bilion kepada Yahudi Goldman Sachs untuk bon, hutang piutang negara yang hampir 1 trillion, semuanya syariah maqasid mengikut fatwa dan petua orang-orang tua kita.
Semua itu menjadi lambang perjuangan yang diterima, sama ada oleh Arab, Nasrani, Yahudi, komunis dan sosialis, terhadap kepimpinan wasatiyyah kita.
Dengan pinjaman ratus bilion ringgit dari China Komunis untuk menampung pelbagai projek, kita menjadi lebih kuat dan pertahanan negara terus unggul. Jangan kira lagi berapa komisen dan bayaran fi konsultan untuk politik wang, semuanya FDI mengikut piawaian halal.
Mengislamkan China dan Rusia
Kita boleh mengislamkan komunis China dan sosialis Rusia melalui hubungan politik matang dan sejahtera.
Mereka akan terpesona dengan Serambi Mekah di bawah sunnah. Mereka lebih terpesona dengan ceramah beradab kita yang diisi dengan maki hamun dan kafir mengkafir sesama sendiri.
Tidak perlulah kalian jembalang politikus memakai topeng-topeng selepas Ramadan. Tidak perlu bertarawih, berwitir, makan dengan anak-anak yatim dan pelajar tahfiz, malah tidak wajib lagi menunjuk-nunjuk kealiman terlampau sebaik Syawal tiba.
Kalau ada intan berlian permata bernilai ratusan juta ringgit, janganlah segan untuk para suri rumah, mempamerkan, menayang-nayang seikhlasnya.
Kalau ada aset ratusan juta ringgit di Amerika Syarikat, United Kingdom, Cayman Islands, Maldives, apalagi Makkah dan Madinah, senaraikanlah untuk dinilai oleh Forbes. Kita mahu bangsa kita lebih kaya dari Bill Gates.
Itulah simbol kejayaan cemerlang, gemilang, terbilang setanding dengan perompak-perompak sejagat yang memimpin negara dunia ketiga.
Jangan baca laporan saman pemfailan DOJ yang setebal 251 muka surat kerana tidak ditulis dalam bahasa Melayu. Mereka menghina bahasa kebangsaan kita.

Najib, hadapi dulu lima cabaran lama

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri tahun ini menyenaraikan lima risiko dan cabaran baharu yang perlu dihadapi negara .
Ini termasuk:
1. Isu geopolitik (berkait Timur Tengah, Korea Utara dan Brexit);
2. Keselamatan dan keamanan (termasuk isu IS/Daesh);
3. Ekonomi;
4. Mendahulukan kepentingan rakyat; dan
5. Masa depan dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Walaupun amat penting untuk kita meneliti halatuju negara dari semasa ke semasa, bagi saya masih terdapat banyak cabaran “lama” yang belum diatasi dengan menyeluruh.
Bak peringatan Nabi Muhammad SAW agar kita rebut lima perkara sebelum datangnya lima perkara, lima cabaran “lama” ini perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum lima cabaran “baharu” yang disebut Najib.
Lima cabaran “lama” ini termasuklah:
Menentukur semula (recalibrate) dasar luar negara Malaysia
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita sering mendengar isu politik serantau termasuk isu Laut Cina Selatan – khusus berkait pencerobohan kawasan perairan negara – dan peperangan di Timur Tengah.
Walaupun media melaporkan penglibatan Malaysia di dalam latihan ketenteraan “North Thunder” di Arab Saudi pada Mac 2016 hanyalah untuk menimba pengalaman pertempuran padang pasir, namun ada pihak yang bertanya apakah bijak kita turut terlibat dalam persengketaan bersenjata di Timur Tengah?
Kita bukan sahaja tidak mahu sempadan dan politik dalam negara dikacau mana-mana kuasa asing, tetapi kita juga tidak patut menghantar askar-askar Malaysia untuk terlibat di dalam konflik geopolitik yang tiada kaitan dengan kita, lebih-lebih lagi jika konflik itu tiada aspek bantuan kemanusiaan.
Oleh itu, amatlah penting Putrajaya menentukur semula dasar luar negara dengan mengukuhkan doktrin Malaysia sebagai sebuah negara berkecuali yang beroperasi di dalam Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).
Kita tidak perlu berpihak di dalam perbalahan geopolitik, terutama di antara kuasa besar AS dan China atau di kalangan negara-negara Arab di Timur Tengah. Malah berdasarkan pengalaman Malaysia sebagai negara berkecuali, kita perlu mempraktikkan strategi Malaysia sebagai “perantara” atau “perunding” kepada perbalahan geopolitik demi keamanan sejagat.
Perang ke atas perasuah, koruptor dan kleptokrat
Pada 2016, akibat skandal kewangan 1MDB, Malaysia disenaraikan di antara lima negara yang mempunyai masalah rasuah paling besar di dunia. Malah Malaysia berada di kedudukan ke-55 dari 176 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International bagi 2016. Satu laporan turut menyatakan Malaysia kehilangan RM1.8 trilion dari 2005 ke 2014 akibat aliran wang haram.
Ini bukanlah pencapaian yang membanggakan.
Selagi isu 1MDB tidak selesai dengan menghadapkan mereka yang bersalah ke mahkamah sama seperti apa yang berlaku di Singapura, Switzerland, Luxembourg dan AS, dan selagi aliran wang haram tidak dibendung, selagi itulah persepsi bahawa perasuah, koruptor dan kleptokrat bermaharajalela akan berterusan.
Pihak SPRM sebagai agensi utama dalam memerangi rasuah juga perlu memastikan saksi-saksi kes rasuah dapat tampil memberi keterangan di mahkamah dan tidak hilang begitu sahaja. Jika tidak, rakyat mungkin melihat usaha SPRM hanya sebagai wayang pra-pilihanraya.
Memperkukuh kedudukan sosio-ekonomi rakyat
Indeks Harga Pengguna terkini menunjukkan inflasi telah meningkat 3.9 peratus. Ini bermakna harga barang semakin hari semakin naik.
Walaupun MIDF menjangka peningkatan gaji median sebanyak 6.5 peratus bagi 2017, jumlah pengangguran di kalangan anak muda yang mencecah 10.7 peratus atau 200,000 orang amat merisaukan.

Bank Negara engkar arahan STF forex?

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, mahu laporan oleh Pasukan Petugas Khas (STF) ke atas kerugian pertukaran asing (forex) oleh Bank Negara yang berlaku tiga dekad lalu didedahkan kepada orang ramai.
Katanya, tindakan itu akan menjelaskan beberapa isu termasuk dakwaan pasukan petugas khas yang mereka menghadapi kesukaran mendapatkan bukti dari bank pusat akibat kekangan undang-undang.
"Saya tidak faham bagaimana Kementerian Kewangan dan Bank Negara boleh menolak untuk memberi pasukan petugas dokumen atau maklumat yang diperlukan [...], kerana (STF) dibentuk oleh kabinet.
"Adakah bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mencadangkan bahawa ada pegawai Kementerian Kewangan dan Bank Negara yang enggan bekerjasama dengan pasukan petugas dengan menolak membekalkan dokumen dan maklumat yang relevan?
"Adakah pegawai Kementerian Kewangan dan Bank Negara ini dinamakan dalam laporan pasukan petugas kas itu?" soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pasukan petugas itu tidak memanggil beberapa tokoh penting termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Terdapat tiga nama penting yang tertinggal daripada senarai yang diminta hadir di hadapan pasukan petugas - perdana menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri sekarang, yang adalah menteri pertahanan ketika itu dan ketua setiausaha negara pada waktu kejadian, iaitu Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid."
Sehubungan itu, pemimpin veteran DAP itu berkata, terdapat "asas baru mengapa laporan pasukan petugas itu harus diumumkan".
Antara mereka yang diarahkan tampil termasuk Lim dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
'Bagaimana pula dengan 1MDB'
Lim juga mahu meneliti laporan itu untuk melihat sama ada kenyataannya yang menyentuh mengenai 1MDB turut dimasukkan.
"Apabila saya dipanggil untuk hadir di hadapan pasukan petugas pada 4 Mei [...] Saya bertanya sama ada kabinet benar-benar berminat mengenai akauntabiliti dan prinsip tadbir urus yang baik.
"Saya berkata bahawa 'pelajaran sebenar' kerugian Bank forex adalah 'kegagalan' menteri, pegawai awam, ahli parlimen dan media ketika itu untuk 'memainkan peranan masing-masing bagi menegakkan prinsip akauntabiliti dan tadbir urus yang baik' .
"Saya menyoal pasukan petugas mengapa semua orang dalam kerajaan kini tidak melihat gajah yang berada di dalam bilik, iaitu skandal 1MDB [...].
"Adakah pasukan petugas merakamkan perkara penting ini dalam laporannya kepada kabinet?" soalnya.

SIASAT SKANDAL 1MDB, FGV

DAP mendesak kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal 1MDB dan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) malah skandal melibatkan pembelian kapal selam Scorpene.
“Skandal berbilion dolar 1MDB dan skandal FGV tidak pula diendahkan. Ia sememangnya telah mencemarkan imej negara,” kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan yang disiarkan dalam China Press.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap keputusan Kabinet kelmarin yang bersetuju untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat skandal urus niaga mata wang asing (forex) Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1980-an dan 1990-an.
Kelmarin, Kabinet bersetuju menubuhkan RCI dengan cerdasarkan syor Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menyiasat kerugian forex oleh BNM.
Kata Kit Siang, tindakan Kabinet itu dilihat seolah-olah “menggali bangkai gajah” untuk membalas dendam terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik kerajaan BN.
Katanya, Kabinet yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dipandang tinggi dunia jika melepaskan jawatan masing-masing bagi memulihkan semula imej kleptokrasi negara.

Penduduk Terengganu bergelut teruskan hidup, kesan penjimatan Putrajaya

Penduduk Terengganu bergelut teruskan hidup, kesan penjimatan Putrajaya
Nelayan muda Qayyum (kiri) dan Zulfahmi (kanan) membuat pemeriksaan harian ke atas bot mereka semasa Ramadan pertama di kampung nelayan di Seberang Takir di Kuala Tengganu. 
KEHIDUPAN Mohd Nor Abdullah, 59, yang mencari rezeki dengan menternak lembu, sambil mengambil upah menoreh getah di kampungnya dekat Marang, Terengganu mampu menampung kehidupannya sekeluarga ketika ekonomi baik.
Namun selepas kerajaan memotong bantuan pelajaran dua anaknya mulai tahun ini ekoran kedudukan ekonomi yang tidak berapa baik dan kejatuhan harga komoditi, beliau terpaksa membuat pelbagai kerja tambahan untuk menampung perbelanjaan bagi membantu anak-anaknya.
Melalui Ramadan dan kini Hari Raya adalah masa yang sukar baginya sekeluarga kerana semua memerlukan wang untuk membeli pakaian baru dan juadah Hari Raya.
"Dulu anak saya yang belajar di Institut Pendidikan Guru di Melaka dapat elaun RM595 sebulan. Namun tahun ini sudah dipotong kepada RM430 saja.
"Seorang lagi anak saya yang belajar di Institut Latihan Perindustrian di Kuala Terengganu pula dipotong elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan daripada RM300 yang diterimanya selama ini.
"Itupun bayaran kepada mereka selalu lewat diterima menyebabkan semuanya terletak kepada saya untuk menyelesaikannya," kata Mohd Nor menceritakan kehidupannya di kampung ketika dikunjungi The Malaysian Insight.
Mohd Nor tinggal di kampung Beladau, kira-kira 20 km dari bandar Kuala Terengganu. Kebanyakan penduduk kampung itu membuat pelbagai jenis kerja serentak untuk kehidupan mereka, termasuk menjadi petani dan penternak di samping ada yang bekerja dengan kerajaan.
Tekanan kepada Mohd Nor sekeluarga semakin teruk selepas harga getah sekerap jatuh merudum sehingga di bawah RM2 sekilogram. Beliau terpaksa berhenti daripada menoreh getah yang dipajaknya itu kerana tidak berbaloi lagi dan mencari kerja sambilan lain.
Antaranya, memelihara lebah kelulut selepas Menteri Pertanian  Ahmad Shabery Cheek mengisytiharkan madu kelulut sebagai "Malaysian super food". Buat permulaan Mohd Nor menolong jirannya yang mengusahakan ternakan kelulut itu lebih awal lagi.
Mohd Nor adalah antara ribuan penduduk kampung di Terengganu yang tertekan selepas kerajaan mengambil tindakan penjimatan akibat tekanan ekonomi, kejatuhan harga komoditi yang dihasilkan dan kenaikan harga barangan serta kejatuhan nilai ringgit.
Kehidupan di kampung tidaklah melibatkan kos yang sangat tinggi kerana mereka hanya menggunakan motor untuk ke mana-mana, tanpa tol seperti di bandar.
Tetapi, apabila anak-anak yang belajar di bandar bermasalah dan mereka perlu dibantu ketika harga komoditi pula jatuh dan harga barangan meningkat, tekanan turut diterima orang kampung seperti Mohd Nor.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed mengakui kos sara hidup dan nilai ringgit yang tidak stabil adalah isu utama yang dihadapi kerajaan dan bakal memberikan kesan dalam pilihan raya umum akan datang.
Mohd Nor Abdullah, 59 tahun, perlu membuat kerja sambilan sebagai pemetik madu di ladang sahabatnya untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan untuk keluarganya di Marang, Tengganu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 Jun, 2017.
Mohd Nor Abdullah, 59 tahun, perlu membuat kerja sambilan sebagai pemetik madu di 
ladang sahabatnya untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan untuk keluarganya di Marang, 
Tengganu.
Nilai ringgit
"Dulu kita dapat sikit duit tetapi boleh beli banyak barang tetapi sekarang walaupun kita dapat duit lebih, barang yang boleh dibeli sudah kurang," kata Rozali Abdul Ghani, 67, pemandu bot penambang yang berulang alik antara bandar Kuala Terengganu dan Seberang Takir melalui muara Sungai Terengganu.

SKANDAL 1MDB: ‘BUDAK MENTAH’ DEDAH KOMPLOT DOJ?


KALAU sesiapa menyusur secara dekat dakwaan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat kali kedua terhadap ‘isu IMDB’, mereka pasti terhidu ada sesuatu yang tidak kena.
Tiada bukti sahih, tiada pendakwaan mahkamah dan tiada aset di­rampas. Bahkan, Ja­batan Peguam Ne­gara pun tidak pernah menerima permintaan mendapatkan maklumat daripada DoJ.
Itu fakta sebagai jawapan terhadap dakwaan pertama kali DoJ pada Julai tahun lalu. Ia tidak berjaya dan mahu dicuba lagi kali kedua 15 Jun lalu untuk bikin gempak menjelang beberapa bulan lagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Dan ramai ter­sentak apabila ba­ru-baru ini pula pengendali Malay­sia Today, Raja Pet­ra Kamaruddin mendedahkan perihal Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pri­bumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap tiga exco­nya.
Dikatakan dia te­lah memberitahu kepada Exco-exco berkenaan bahawa Tun Daim Zainuddin membelanjakan puluhan juta ri­nggit untuk menjayakan se­rangan DoJ terhadap IMDB. Dikatakan sejumlah wang telah dibayar kepada Yayasan Clinton di Amerika Syarikat untuk tujuan itu.
Tiga Exco Armada yang dimaksudkan itu ialah Muhammad Hafiz Azhar, Mohamad Taufik Abbas serta Abd. Wahazir Abd. Wahab.
Muhammad Hafiz sebelum ini mendesak Pe­nge­rusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presi­dennya, Tan Sri Mu­hyiddin Yassin membersihkan namanya daripada skandal yang se­ring dipalit terhadap mereka.
Dakwanya, Dr. Mahathir selaku Pengerusi PPBM dipalit de­ngan skandal ke­­kayaan anak-anaknya manakala Mu­hyiddin pula didakwa mem­pu­nyai skandal de­ngan isteri orang, Nika Gee Siew Yee.
Kalau diikuti ren­­tetan pendedahan Raja Petra sehinggalah Syed Saddiq membuat sidang akhbar pula mendakwa tiga Exconya ada hubu­ngan dengan Raja Petra, agak jelas ketua Armada itu seperti sudah gelabah.
Barangkali benar dakwaan Raja Petra bahawa Dr. Mahathir melakukan kesilapan kerana melibatkan budak mentah seperti Syed Saddiq dalam peranca­ngan sulit bersama Daim tentang saman sivil DoJ.

SKANDAL 1MDB: TAK MASUK AKAL ATAU MATI AKAL?

Desakan dan luahan Majlis Peguam cukup mudah - jangan sesekali meremehkan tuduhan serius yang terkandung dalam saman sivil DOJ berkaitan 1MDB.

Tindakan meremehkan itu, jika diperhati, tergambar berdasarkan semua reaksi pihak berkuasa Malaysia terhadap tindakan DOJ tersebut.

"Dakwaan dalam saman DOJ itu melibatkan pegawai 1MDB, keluarga mereka dan rakan sekutu yang lain, termasuk juga yang digambarkan sebagai Malaysian Official 1 dan isteri Malaysian Official 1.
"Memandangkan cara saman sivil itu diremehkan, diketepikan dan dikecam oleh pihak berkuasa Malaysia tanpa menangani semua tuduhan yang dibuat itu, ia adalah tindakan yang tidak dapat diterima," demikian desakan Presiden Majlis Peguam, George Varughese.

Beliau juga meluahkan kekesalannya terhadap media arus perdana yang  seolah-olah sepakat "menggelapkan" laporan mengenai tindakan DOJ itu.

"Semua ini membimbangkan kerana ia adalah tuduhan yang teruk. Intergriti dan kredibiliti institusi kewangan serta badan pengawalselia kita, di mata rakyat dan pemerhati global, adalah bergantung kepada respon pihak kerajaan kita mengenainya," ujar beliau lagi.

Membaca dan meneliti apa yang diperkatakan George itu,  masuk akal atau tidak apa yang diluahkannya?

Tetapi, apa reaksi Peguam Negara, Apandi Ali tentang desakan berkenaan?