Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama ini dijulang setinggi awan hanya diberi peranan sebagai penasihat. PPBM dalam penampilannya memang tidak pernah terlihat mahu mengiktiraf Anwar yang dipenjara kerana meliwat mahupun isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Yang diketahui parti ini sekadar mahu menggunakan Anwar sebagai batu loncatan untuk menjadikan PPBM nampak gah. Anwar juga tidak diletakkan sebagai calon Perdana Menteri, di luar persetujuan Pakatan Harapan selama ini. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang baru-baru ini mengumumkan tidak menolak jika dipilih sebagai calon untuk jawatan Perdana Menteri, disenaraikan sebagai pengerusi ma­nakala Wan Azizah sebagai timbalan pe­ngerusi.
Tan Sri Muhyiddin Yassin pula diletakkan sebagai presiden ma­nakala Datuk Seri Azmin Ali sebagai tim­balan presiden. Pemimpin tertinggi DAP dan PAN, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu pula hanya diberikan peranan sebagai naib presiden. Pakatan Harapan yang sedang mempersiapkan diri untuk didaftarkan sebagai satu gabungan juga atas desakan PPBM, nampaknya benar-benar mahu tampil berbeza. Ini sesuatu yang di luar kebiasaan.
Struktur baharu yang digembar-gemburkan itu di­kha­bar­kan satu stra­tegi untuk mem­bentuk tsunami Me­layu. Struktur kepemimpinan yang diharapkan dapat meyakinkan orang Melayu terutama di luar bandar memilih mereka.
Teorinya, setelah hampir berjaya menggulingkan BN dengan tsunami Cina pada PRU-13, pimpinan PPBM percaya kali ini mereka boleh mencetuskan pula tsunami Melayu.
Caranya adalah dengan meletakkan pemimpin PPBM sebagai peneraju Pakatan Harapan selain calon Perdana Menteri.
PPBM yang terasnya Melayu percaya mereka boleh memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan. Parti serpihan UMNO ini benar-benar mahu menjadi seperti UMNO, menjadi tunjang kepada Pakatan Harapan walaupun hanya berbekalkan kerusi milik parti lama.
Tersirat