Isnin, 22 Mei 2017

Rafizi beri sebab Anwar tetap relevan

Biarpun apa yang dikatakan sesetengah orang, bagi Rafizi Ramli, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap relevan dalam politik Malaysia.
Menegur bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim, Rafizi berkata, tidak ada mana-mana ahli politik di negara ini yang melalui ujian seperti Anwar.
Naib presiden PKR itu juga menyatakan, Anwar adalah tokoh mencetuskan imaginasi rakyat serta melakukan sesuatu yang tidak terfikir sebelum ini, iaitu menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.
Anwar juga, kata Rafizi, mengetuai pakatan pembangkang memenangi undi popular mengatasi BN pada PRU ke-13.
"Paling penting tiada sesiapa di kalangan ahli politik di negara ini masuk penjara dua kali kerana ingin memastikan sebuah kerajaan yang adil untuk rakyat terus hidup.
"Saya tidak terhutang budi kepada Anwar dan saya ada rekod menegur pemimpin lain PKR, tetapi tiada siapa yang yang sudah teruji seperti Anwar," katanya kepada Malaysiakini.
Rafizi mengulas kenyataan Zaid hari ini yang membidas tindakan pemimpin PKR membawa sepanduk "Anwar PM ke-7" pada akhir kongres parti itu semalam.
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, tindakan berkenaan dianggap pengisytiharaan bahawa ketua umum PKR itu akan diangkat sebagai perdana menteri akan datang.
"Mereka sentiasa terlalu yakin dengan kemampuan sendiri," katanya.
Tetap diyakini walau di penjara
Rafizi berkata berdasarkan kajian I-CPI yang didedahkan bulan lalu, sebahagian besar penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) adalah kumpulan sama yang memberikan undi kepada Pakatan Rakyat pada PRU ke-13 lalu.
"Maknanya, sebahagian besar pengundi HARAPAN adalah orang yang menyokong Anwar menjadi perdana menteri.
"Ia disahkan oleh satu lagi kajian yang dijalankan antara Februari dan pertengahan Mei membabitkan lebih 10,000 responden.
"Anwar mendapat undi tertinggi berbanding pemimpin lain dalam pembangkang termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.
Satu lagi faktor, kata Rafiri, ialah hakikat Anwar satu-satunya pemimpin yang menerima sokongan daripada semua kaum di negara ini.
Awalnya, kata anggota parlimen Pandan itu, beliau tidak mahu mendedahkan keputusan kaji selidik berkenaan namun disebabkan polemik yang timbul baru-baru ini, ia akan dilakukan minggu depan.
"Saya harap pemimpin-pemimpin politik dan pengulas akan mula membuat penilaian politik yang bermaklumat berdasarkan data daripada orang biasa.
"Saya juga berharap ia menjawab persoalan sama ada Anwar masih relevan atau tidak. Walaupun berada di sebalik penjara, lelaki ini masih menjadi orang paling diyakini ramai dan pemimpin pembangkang paling popular.
"Jika Anwar berada di luar penjara, tidak syak lagi beliau adalah pilihan ramai. Untuk menafikan sentimen awam bahawa Anwar adalah mangsa penganiayaan politik bermakna menolak pandangan majoriti penyokong HARAPAN," katanya.

Amanat Anwar yang dibacakan Nurul Izzah di Kongres KEADILAN

Yang dikasihi Presiden, sdr Timbalan, pimpinan dan perwakilan rakan seperjuangan [sagothara sagotheregelei, peng you men].

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Dan salam Reformasi.

Kepada Allah SWT dipanjatkan kesyukuran, dipohon restu dan keberkatan.

Saya dapat bayangkan suasana Kongres KEADILAN: meriah, bersemangat dan bersilatur rahim. Panji-panji dipacak, bendera dikibar megah dan slogan dilayari. Namun ukuran kejayaannya adalah suntikan semangat dan daya juang; muafakat diperkukuh dan tindakan susulan. Kerana sesungguhnya wadah Reformasi mendamba kebebasan dan keadilan menuju keredhaan Allah - Islah mas ta’ ta’tum - dengan sedaya upaya kita.

Hampir dua dasawarsa lalu, sejurus setelah bergulirnya Reformasi dan Perisytiharan Permatang Pauh, KEADILAN dilancarkan. Parti Keadilan Nasional seterusnya mendakap tenaga progresif lainnya, utamanya Parti Rakyat Malaysia dan menjelmakan wadah baru Parti Keadilan Rakyat. Rakan-rakan pengasas yang membidani kelahirannya merencanakannya sebagai wadah nasional, menggembleng tenaga secara inklusif, menebarkan jaringan untuk semua kaum, agama dan wilayah.

Sejak awal, diinsafi hambatan parti jalur tengah, untuk memecah tembok prasangka kaum dan kefanatikan agama. Perjuangan kaum disebatikan sebagai agenda menyelamat bangsa sementara sebahagian penegak agama menggunakan pendekatan jumud, mengongkong ruang berfikir. Maka kita terpaksa berdepan dengan sistem politik zalim dan rakus serta pembenturan idea mengenai aspirasi rakyat, faham agama dan keadilan. Dukungan awal ternyata lebih di kalangan generasi muda yang mencemuhkan sentimen yang memperdaya rakyat; memperalatkan slogan muluk tetapi menggunakan kuasa untuk menjarah kekayaan.

Pengalaman awal sungguh melelahkan menghadapi penangkapan dan rempuhan; menyebabkan yang lemah semangat akan kecundang, terutama menjelang pilihanraya bila harga diri yang meningkat secara mendadak. Adapun majoriti pimpinan dan reformis kekal dengan agenda perubahan, yakni menghindari perseteruan kaum dan permusuhan agama; menolak dasar usang yang memeras rakyat. Penyair TS Elliot melakar perubahan menurut acuan baru:

“To become renewed, transfigured, in another pattern…

We cannot revive old factions
We cannot restore old policies
Or follow an antique drum.” (1)
Arakian, KEADILAN bersama Pakatan Rakyat ketika itu berjaya merubah peta politik negara. Amat melegakan bila kita dapat memecahkan kubu Barisan Nasional di kawasan pedalaman, memperolehi dokongan majoriti Orang Ulu di Ba’kelalan, majoriti Iban di Krian, dan Kadazan di Penampang. Kemenangan diperolehi di kawasan majoriti Cina di Gopeng dan Batu sementara majoriti pengundi India memilih KEADILAN di Kapar dan Padang Serai. Di kawasan majoriti Melayu termasuk Kuala Kedah, Indera Mahkota, Gombak dan Permatang Pauh, kita menang bergaya. Namun kemenangan kita di kawasan campuran lah yang istimewa mengangkat kedudukan parti di paras tengah - seperti di Kuantan, Bayan Baru, Ampang dan Sg Petani.

Apa yang didakwa sebagai kubu tradisi UMNO, iaitu Johor turut tersentak manakala badai rakyat mendarat di Batu Pahat. Mitos kaum, agama, kubu tradisional mampu dirembat dengan kecekalan dan muafakat.

Pengalaman PRU13 mengundang tindak lebih ganas dan rakus oleh elit penguasa. Sistem pilihanraya dijangka lebih curang; dan helah menyekat pemimpin pembangkang bertanding, dan pengenalan undang-undang lebih drakonian ketimbang Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Dalam ucapan Presiden UMNO pada 11 Mei lalu, diulang jeritan untuk mempertahan hak Melayu hingga titisan darah terakhir. Mereka mencanang ancaman Cina, khususnya DAP dan sekaligus KEADILAN, Amanah dan Bersatu.

Propaganda licik mereka disambut segelintir profesor, ulama, mantan Ketua Hakim dan aktivis NGO tajaan mereka. Ruang menjawab hujah perkauman ditutup, maka monolog berterusan. Tidak dihiraukan bahawa muafakat Pakatan Harapan bertunjangkan prinsip Perlembagaan - bahasa kebangsaan, Islam, hak keistimewaan dan kedaulatan Raja. Dan dipadamkan tuntutan mengenai hak kebebasan rakyat, negara hukum serta gelagat penguasa melahap khazanah negara dan mendera rakyat.

Ke mana lesapnya berbilion ringgit dana saham terbitan yang diperuntukkan kepada bumiputera? Betapa halnya dengan terlingkupnya Bank Bumiputera sementara puluhan tanah rizab Melayu dan tanah adat dirampas? Siapa yang mengkhianati agensi dan lembaga amanah bumiputera hingga hampir kesemuanya terpalit dengan rasuah dan penyelewengan - MARA, Tabung Haji hingga projek rakyat termiskin? Harta peneroka FELDA yang membanting tulang menerobos hutan belantara disonglap sepertimana yang terdedah dalam Felda Global Ventures (FGV).

Menelusuri laporan tahunan Ketua Audit Negara saban tahun, dikesan puluhan bilion ringgit ketirisan akibat salah urus. Penggeledahan SPRM yang membayangkan pengkhianatan amanah sekian lama mengejutkan rakyat dengan angka-angka besar - RM200 juta di satu Jabatan Air Sabah, RM100 juta di Kementerian Belia dan Sukan, dan seterusnya tanpa noktah.

Pada tahun 2010, saya mempersoal Perdana Menteri mengenai keputusan kerajaan menyerahkan tanah strategik TUDM Sg Besi kepada 1MDB untuk diuruskan oleh Jho Low tanpa proses pembidaan dan ketelusan. Di Parlimen, saya menuntut penjelasan mengapa tidak ditekankan syarat penyertaan syarikat tempatan, ekuiti bumiputera, kebajikan pesara TUDM? Dan berdasar laporan audit tahun tersebut, diusulkan supaya PAC menelitinya. Surat tersebut tidak dijawab, dan kini nasi sudah menjadi bubur. Pekung busuknya telah dihidu di Amerika, Singapura, Switzerland. Skandal ini akan kekal membelit sang penguasa dan membebankan negara. Persis seperti kata Sasterawan Negara A. Samad Said:

“... kengerian simbolik dunia kuasa - khusus dunia siasah tanah air yang mulai lebih memuja manfaat zahir daripada naluri nilai adab.”

Muktamar PAS baru-baru ini memuktamadkan keputusan membatalkan kerjasama dengan KEADILAN. Keputusan tersebut dapat diduga melihatkan pendirian parti tersebut beberapa tahun kebelakangan yang lebih lunak dengan UMNO; tidak membangkang Belanjawan yang memperkenal GST, menaikkan harga minyak dan gula, dan tidak menyertai perhimpunan Bersih 5.

Namun kita merasa kecewa kerana kenyataan yang menyelar pendirian KEADILAN, malah mengelirukan berkaitan RUU 355.

Sandiwara menarik berulang, PAS menyerang KEADILAN kerana kononnya menentang RUU 355, dan media UMNO-BN mengecam Presiden kerana kenyataannya menyokong hudud!

Presiden telah menjelaskan, dan saya ingin menegaskan dalam perkara RUU 355, KEADILAN menghormati hak PAS membentang, tetapi harus dibahaskan dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Parlimen. Yang memutuskan untuk tidak membentang semula adalah Dato’ Sri Najib yang bermakna RUU tersebut terkubur dengan sendirinya.

Kita musykil mengapa tidak ada sanggahan terhadap UMNO? Mengenai hudud, yang tertera di dalam Al Quran harus diakui oleh semua Muslim. Kenyataan Presiden yang panjang lebar menjelaskan pandang ulama mengenai keutamaan dan pengalaman kemerdekaan Indonesia yang ingin memelihara keamanan dan kesatuan Republik.

Wajar saya nyatakan selaku sahabat karib kepada ramai pimpinan PAS bahawa saya dan keluarga KEADILAN tetapi menghargai keprihatinan dan muafakat selama hampir dua dekad, terutama Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Fadzil Noor, Haji Yusuf Rawa dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Keputusan PAS terkini mengejutkan dan menghampakan ramai. Namun demikian pilihan mereka untuk beralih dari ketetapan lama dan menuju ke aras baru yang tidak ingin kami duga.

KEADILAN tidak perlu terus berhempas pulas dengan isu tersebut.

Tumpuan sekarang adalah menerima kenyataan terkini dan terus mengangkat keupayaan jamaah. Pada tahun 2015, muafakat baru bersama DAP dan AMANAH dimeterai sambil memantapkan agenda perubahan. Dan kini Bersatu dirangkul dan dengan membuka ruang penyertaan NGO, reformis, aktivis sehaluan.

Sekutu Pakatan Harapan perlu sedar keperluan membina konsensus dalam menentukan perkara dasar dan bahawa ianya tidak disamakan dengan pertarungan segelintir elit politik yang silih berganti tanpa agenda perubahan yang jelas.

Negara kian merosot, ekonomi dan tatakelola, bukan semata kerana 1MDB, tetapi kerana runtuhnya institusi asas negara, demokrasi tercemar; ekonomi tidak mampu dipacu dengan rancak dan kesenjangan terus melebar; prinsip pengasingan kuasa dan negara hukum turut terjejas.

Gendang bakal dipalu menandakan bermulanya pertarungan politik yang sengit- PRU ke 14. Maka wajar sekali dipancang perhatian kepada pimpinan dan jentera KEADILAN.

Dalam menghadapi kegawatan dan merebut kedudukan, janganlah dikorbankan idealisme dan nilai akhlak. Seperti yang disinggung sebelumnya, kegelojohan telah mengakibatkan beberapa aktivis kecundang menjelang PRU dengan menjual maruah.

Pengorbanan dan kecekalan yang dikasihi Azizah selaku Presiden amat dihargai. Beliau memilih untuk berhujah dengan sederhana dan ikhlas dan seringkali ditegur kerana tidak memberikan jawapan politik. Presiden harus mengekalkan sosok peribadinya yang sopan; tidak ghairah untuk merebut jawatan untuk menjadi adipati atau Mangku Negara; tetapi sebagai adiluhung yang sopan dan berbudi pekerti. Demikian wataknya yang menjadi pengimbang dalam barisan kepimpinan yang biasa tegang dan panas. Kekuatannya bukan justeru menjanjikan kedudukan, projek atau dana, tetapi semata kerana kecintaan kepada perjuangan. Menurutnya, tidak mudah mengemudi bahtera parti penuh dengan jagoh pintar dan dalam gelombang. Mujurlah masih ada secebis kertas watikah calon yang kekal dalam tangannya.

Parti menampilkan Timbalan Presiden merangkap Menteri Besar Selangor yang tampan. Pendedahan awal beliau dalam dunia politik dan pentadbiran memungkinkan beliau menjadi gandingan Presiden dan memimpin kerajaan Negeri Selangor dengan cemerlang.

Beberapa pembaharuan telah dimulakan di Selangor sejak 2008, tetapi telah meningkat selaras dengan aspirasi rakyat. Keprihatinan terhadap rakyat Selangor merentasi kaum. Ini termasuk peningkatan program ilmu di UNISEL; Maahaf tahfiz, Sains dan Teknologi, dan SRJK Tamil; Smart Selangor; prasarana; dan Yayasan Hijrah.

Meskipun kuasa negeri dalam aturan Persekutuan atau Federalisme yang diamalkan terbatas; prestasi Selangor perlu dikerahkan ke seluruh negara membedakannya dengan kelembapan pentadbiran negeri lainnya. Saudara Azmin kini tertumpu perhatian kepada agenda pembangunan yang lebih menyeluruh agar tidak terlihat terlalu melayani pemaju kebimbang pembangunan rakyat. Saya sering menggesa beliau untuk lebih kerap menjelajah Cabang-Cabang negeri lain setelah kejayaannya memantapkan pentadbiran negeri.
 
Parti menzahirkan semula saudara Saifuddin Nasution, tokoh petah yang menjelma di pelusuk tanahair, sebagai Setiausaha Agung. Pengalaman beliau mengendali Yayasan Tok Kenali di bawah naungan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dimanfaatkan di Pulau Pinang. Ketua Menteri, saudara Lim Guan Eng mengamanah beliau dengan tugas strategik mendekati rakyat, terutamanya Melayu dan menggariskan program tambahan manakala perlu.

Jalinan kerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Majlis Pimpinan Negeri diketuai saudara Mansor Othman amat bernilai kerana memberi ruang mengenengahkan isu-isu seperti peluang perniagaan, perumahan. Tohmahan pimpinan UMNO yang kaya ialah bahawa tanah Melayu Pulau Pinang tinggal sekangkang kera, walhal tanah Melayu telah langsai setelah puluhan tahun di bawah UMNO-BN.

Jawatankuasa Pilihanraya Pusat (JPRP) diterajui saudari Nurul Izzah dengan menimba pengalaman tokoh seperti Dr Xavier Jayakumar, saudara Lee Boon Chye, beliau telah memberikan nafas baru dengan pendekatan yang serasi dengan tuntutan semasa. Beliau gigih menyusun jentera, menggaris strategi dan menjelajah ke Negeri dan Cabang. Program latihan jentera pilihanraya lebih pesat dengan kerjasama saudari Fuziah Salleh dan Dr Zaleha Mustafa sepertimana yang beliau tekankan, faktor terutama adalah jentera akar umbi; dan menurut amalan parti, JPRP bertanggungjawab membuat saringan awal nama-nama calon yang diusulkan Cabang dan Negeri untuk pemilihan pimpinan.


Terkait dengan jentera dan mobilisasi, nama saudara Rafizi Ramli terserlah dengan inisiatif bernilainya- Invoke. Dalam PRU lalu, beliau banyak membantu membekalkan bahan kempen, dan kali ini mengerahkan sukarelawan begitu ramai sekali, terutama di kalangan muda. Sepertimana saudara saudari sedia maklum, kekuatan KEADILAN dan agenda Reformasi adalah justeru keupayaan menarik dukungan khalayak yang bukan anggota parti. Ini dapat dilaksanakan oleh saudara Rafizi dengan ikhtiar mencungkil kemahiran teknologi digital- terangkul dalam apa yang diungkapkan dalam rencana The Economist (March 26, 2016) sebagai “collective action” dan “cognitive democracy”.

Dana RM2.6b: Nazri mengaku terima tapi Muhyiddin, Shafie dapat lagi banyak

Kerana 'objek seks', Speaker arah dua ADUN keluar dewan Pulau Pinang

PKR tidak akan serah 30 kerusi menang dan kalah tipis pada parti lain- Saifuddin

Nurul Izzah: PKR bukan parti 'pak turut'

AMANAT ANWAR: RAFIZI DAN INVOKE BINA SUKARELAWAN BANTU PARTI

AMANAT ANWAR: KEADILAN MENZAHIRKAN SEMULA SAIFUDDIN NASUTION

UCAPAN PENGULUNGAN YB RAFIZI RAMLI DIKONGRES KEADILAN KE 12 - 2017

Nurul Izzah: Amanat Anwar Ibrahim Dari Penjara Di Kongress Keadilan Ke 12

Sabotaj Kongres Keadilan: Kabinet HARAPAN tersebar- Guan Eng TPM, Azmin terkeluar?

Keluarga penerima pertama 'Anugerah Bill Kayong'

Dr M ketuai BERSATU tandatangan petisyen bebas Anwar

5 penggal Tun M jadi Presiden Umno, berapa 'kutip' duit? - Nazri

Polis punca debat Tun M batal, dedah Nazri

KENAPA PAS SEMAKIN PELIK? ADAKAH INI BAHANA KERANA BERKAWAN DENGAN UMNO?

Pecat dulu baru Pas Selangor nyatakan pendirian - tidakkah ini benar-benar pelik?

Pas Selangor dilaporkan akan menyatakan pendirian berhubung kedudukan 13 Adun mereka hanya jika tiga Exconya dipecat oleh Menteri Besar, Azmin Ali.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Salehan Mukhyi berkata, dakwaan kononnya semua Adun Pas di negeri ini bersedia keluar daripada pentadbiran negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah satu dakwaan tidak berasas.

"Itu tak benar. Nak tahu apa  benar, tunggu selepas dipecat, barulah kita akan beritahu sesuatu yang benar," kata beliau.

Nak nyatakan pendirian apa lagi?
Kenapa Pas Selangor seolah-olah masih nak mengugut Azmin Ali?

Tidakkah pendirian Pas Selangor sudah diketahui umum iaitu parti itu tiada lagi apa-apa hubungan dengan PKR?

Bukankah Pas sendiri yang  memutuskan hubungan dengan PKR yang bermakna 13 Adun berkenaan juga secara automatik tiada hubungan lagi dengan kerajaan Pakatan Harapan di Selangor?

Kenapa Pas tak habis-habis bermain sandiwara tentang kedudukan 13 Adun mereka di Selangor sedangkan ia sebenarnya tidak perlu dibahaskan apa-apa lagi?

Bila parti sudah tiada hubungan, bermakna 13 Adun Pas juga tiada hubungan lagi dengan PKR dan Pakatan Harapan.

Walaupun  masih duduk sebagai Exco, tidak ada sesiapa yang mengiktiraf tindakan Pas masih bergayut pada jawatan tersebut dari segi moral. Semua orang yang waras akan mengatakan Pas perlu berundur secara terhormat tanpa perlu berlengah-lengah lagi.

Di mata umum, Pas dilihat hanya bertahan semata-mata kerana jawatan, gaji dan ganjaran yang dirasa begitu sukar untuk dilepaskan, bukan kerana perjuangan atau prinsip moral yang mahu dipertahankan.

Kenapa Pas semakin pelik kebelakangan ini?

Pemuda, Wanita Pakatan Harapan anjur demontrasi bantahan RDPT di SPR esok


Pemuda dan Wanita Pakata Harapan mengajak orang ramai untuk berkumpul di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) untuk membantah larangan pengedaran Rang Daftar Pemilih Tamabahan (RDPT).
Dalam satu kenyataan diedarkan hari ini menyebut Pemuda dan Wanita Pakatan Harapan melahirkan rasa dukacita terhadap SPR yang mengeluarkan larangan pengedaran RDPT.
"RDPT sangat penting bagi parti politik sebagai agen semak dan imbang maklumat bakal pengundi dalam pilihan raya umum akan datang untuk disahkan keabsahannya.
"Bagi kami, langkah terkebelakang SPR ini hanya akan menyukarkan parti-parti politik untuk memantau dan memastikan senarai daftar pemilih adalah bersih.
"Pemuda dan Wanita Pakatan Harapan meragui apakah matlamat larangan pengedaran tersebut dan sehingga hari ini SPR masih belum memberikan sebarang penjelasan terhadap tindakan tersebut," ujar kenyataan itu.
Pada April lalu tersebar Surat Pekeliling oleh Setiausaha SPR Datuk Haji Abdul Ghani Bin Salleh, nombor rujukan: S.P.R.600-3/1/4(27), mengarahkan semua Pengarah SPR negeri mematuhi arahan untuk melarang pengedaran RDPT dalam bentuk buku dan cakera padat kepada parti politik berikutan keputusan mesyuarat suruhanjaya itu pada 28 Mac lalu.
Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dipetik berkata, tindakan tersebut bukan hanya terpakai kepada parti politik tetapi juga kepada semua pihak lain yang berkepentingan.
Justeru Pemuda dan Wanita Pakatan Harapan berkata, tindakan sPR ini telah menyukarkan lagi parti politik berdaftar untuk memastikan senarai daftar pemilih adalah bersih kerana sebaik sahaja daftar pemilih diwartakan, Seksyen 9A Akta Pilihan Raya menghalang sebarang cabaran terhadapnya.
"Perbuatan SPR jelas cuba mengehadkan akses kepada rang daftar pemilih kepada parti-parti politik khususnya pembangkang.

Mohd Amar: PAS anak jantan, 3 exco Selangor akan bertahan

Sehubungan itu, kata Mohd Amar, PAS tidak peduli dengan tekanan yang diberikan kerana jawatan exco Selangor adalah hak parti itu.
amar-nik-pas-selangor
PETALING JAYA: PAS sebenarnya “anak jantan” kerana terus bertahan dengan jawatan dalam kerajaan Selangor tanpa mengalah walaupun menerima tekanan dari pelbagai pihak, kata Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hari ini.
Sehubungan itu, kata Mohd Amar, PAS tidak peduli dengan tekanan yang diberikan kerana jawatan exco Selangor adalah hak parti itu.
Kata beliau, pendirian PAS tidak akan berubah selagi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak menitahkan exco PAS dan kesemua lantikan politik di Selangor meletak jawatan.
“Biarlah orang nak kata apa. Kami setakat ini tidak akan keluar (dari kerajaan Selangor) dan exco kami tidak akan letak jawatan.
“Sebab itu bagi kami adalah anak jantan apabila bertahan dengan jawatan,” kata beliau dipetik BH Online.
Semalam, ketika menyertai perbahasan dalam Kongres AMK PKR, seorang perwakilan mencabar ketiga-tiga exco PAS dan semua lantikan politik di Selangor supaya meletakkan jawatan sekiranya mereka “anak jantan”.
Ketika ini, 3 exco PAS yang masih berkhidmat di bawah pentadbiran pimpinan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.
Semalam, FMT melaporkan, nasib 3 exco PAS terbabit akan ditentukan selepas Azmin berbincang dengan presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menteri besar Selangor itu mengulangi kenyataannya sebelum ini, tiada krisis di negeri itu dan nasib 3 exco PAS itu bukan isu memandangkan mereka mendapat mandat daripada rakyat pada pilihan raya umum lalu.
“Ia bukan isu, kita mendapat mandat daripada rakyat dan mandat itu akan kita kembalikan. Tidak ada krisis di Selangor, kita mahu fokus kepada pilihan raya,” kata beliau.
Pada 11 Mei lalu, Majlis Syura Ulama PAS sebulat suara memutuskan hubungan dengan PKR atas alasan pelanggaran syarat oleh PKR serta bantahannya terhadap agenda Islam yang dibawakan parti itu.

Yakinkan pengundi calon PM mesti dimuktamadkan, kata penganalisis



Polimik siapa bakal dipilih sebagai perdana menteri harus dimuktamadkan oleh Pakatan Harapan untuk menyakinkan kepada pengundi bahawa gabungan empat parti itu mampu mentadbir negara, kata penganalisis politik.
Geostrategis Azmi Hassan berkata, jika calon interim perdana menteri pun sukar ditentukan Pakatan Harapan ia akan menghakis keyakinan penyokong.
Azmi Hassan Azmi Hassan "Barisan kepimpinan Pakatan Harapan terutama sekali DAP dilihat mahukan Wan Azizah (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) sebagai calon interim perdana menteri.
"Tetapi melihat dari sudut penyokong Pakatan Harapan Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) adalah pilihan mereka. Ini kerana telah terbukti kepimpinan Azmin melalui pentadbirannya di Selangor,walaupun terdapat beberapa masalah dalaman," ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Beliau diminta mengulas mengenai Kongres PKR ke-12 semalam apabila perwakilan sebulat suara memilih Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-7.
Azmi berkata, disebabkan agenda berbeza empat parti gabungan punca Pakatan Harapan sukar menamakan calon perdana menteri secara konsensus sebagai keutamaan.
Ini jelas memberi isyarat kepada penyokong apabila wakil parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang hadir Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Tan Sri Muhyiddin dalam kongres itu tidak kelihatan memegang sepanduk "Anwar PM ke-7" memperjelaskan tentang perbezaan agenda dalam Pakatan Harapan.
Bahkan Azmi juga turut menolak cadangan Mahathir sebagai calon interim Perdana Menteri oleh sebahagian penganalisis politik dan pimpinan parti jika Pakatan Harapan menang pilihan raya umum kelak.
"Dari segi strategi Pakatan Harapan, Tun adalah tokoh paling tidak sesuai untuk dilantik sebagai calon interim perdana menteri atau sebagai PM ke-7.
"Pertama era beliau telah berlalu dan 22 tahun di bawah Tun banyak kenangan pahit terutama oleh pimpinan Pakatan Harapan.
"Keduanya adalah untuk mengelakkan tuduhan bahawa Tun ada agenda peribadi sebagai batu loncatan supaya Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) kononnya bercita-cita untuk menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan berjaya mengulingkan kerajaan BN," ujarnya.

KEADILAN siap sedia hadapi PRU-14

SHAH ALAM, 21 MEI: KEADILAN menyatakan kesediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) walaupun berhadapan beberapa isu kebelakangan ini.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau berterima kasih kepada generasi muda parti yang memberikan pandangan dan teguran sepanjang Kongres Nasional Tahunan KEADILAN Ke-12.
“Ini merupakan Kongres bagi menghadapi PRU-14 dan ini dapat dilihat pada sesi perbahasan apabila banyak perwakilan muda mengambil bahagian.
“Kita memberikan ruang sepenuhnya kepada pelapis baru berbahas walaupun ada penjaga masa bagi memastikan ia tidak terlalu lama,” katanya.
Pandangan sama turut disuarakan Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.
“Kita perlu mara ke hadapan untuk menghadapi PRU-14. Ini merupakan kongres yang digunakan perwakilan untuk memberikan pandangan terhadap pimpinan supaya memperkukuhkan pasukan dan kerjasama bersama rakan politik yang progresif,” katanya.

Zahid: Dr M tandatangan petisyen bebas Anwar untuk ‘cuci dosa’

Ramai yang menganggap bekas perdana menteri itu "menganiaya" Anwar ketika beliau berkuasa.
zahid-mahathir
KUALA LUMPUR: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani petisyen untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai langkah “mencuci dosa” yang dilakukannya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ramai yang menganggap bekas perdana menteri itu “menganiaya” timbalannya ketika beliau berkuasa.
“Kini apabila beliau berada di luar kekuasaan dan pembasuhan dosa ini mahu dilakukan, maka beliau mengambil langkah untuk tandatangan petisyen berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Kembara Media Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun, menandatangani petisyen itu ketika hadir pada Kongres Nasional PKR ke-12 di sini pada Sabtu, bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Ahmad Zahid berkata petisyen tersebut tidak sepatutnya dilakukan kerana ia bukan merupakan saluran yang tepat.
“Kita mengetahui bahawa satu surat rayuan telah dikemuka Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili Anwar memohon supaya Lembaga Pengampunan memberikan pengampunan kepada Anwar.

Nurul Izzah: Pilihan yang ada adalah madu atau racun

SHAH ALAM, 21 MEI: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mengibaratkan KEADILAN dan Pakatan Harapan sebagai madu yang boleh dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Namun katanya, seluruh ahli parti perlu percaya dengan kekuatan parti dan berperang sebagai satu keluarga.
“Pilihan yang ada adalah madu di tangan kanan, KEADILAN dan Pakatan Harapan. Tangan kiri racun, Umno, Barisan Nasional dan Najib Razak. Itu kena jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Kongres Nasional Tahunan KEADILAN ke-12.
Sementara itu, Setiausaha Agung KEADILAN, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail menegaskan mereka perlu mengekalkan kerusi dimenangi pada PRU-13 terutama dalam proses rundingan bersama rakan kerjasama politik.
Hal ini kerana blok pembangkang kini sudah berjaya menang 88 kerusi Parlimen dan perlu menang 112 kerusi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Kerusi yang kita menang jangan serahkan. Kerusi yang kita kalah tipis, jangan kita bagi,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya calon yang menerima watikah bertanding dalam PRU-14 mengisytiharkan harta dan sumber pendapatan.

Pemimpin PKR: Dr M ketepi ego demi negara

Kedua-dua gergasi politik sedar mereka perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah yang melanda negara, kata mereka.
tian-chua-3
SHAH ALAM: Seorang pemimpin PKR berkata Tun Dr Mahathir Mohamad mengenepikan ego manakala yang lain berkata beliau sudah menguburkan masa lalu apabila bersalaman dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lepas dan menandatangani petisyen membebaskan bekas musuhnya itu.
Naib Presiden PKR Tian Chua berkata Dr Mahathir dan Anwar berkata mereka menunjukkan sikap kenegaraan dengan bergerak ke depan seiring perubahan masa.
“Mereka bersatu untuk perjuangan yang sama iaitu menyelamatkan negara.
“Gabungan ini langkah positif untuk negara,” katanya ketika ditanya mengenai Dr Mahathir hari ini menandatangani petisyen membebaskan Anwar dari penjara.
Dr Mahathir menandatangani petisyen itu di Kongres Nasional PKR Ke-12 hari ini.
Tian Chua berkata Dr Mahathir bukan penyebab Anwar dipenjarakan buat kali kedua, untuk kesalahan liwat. Anwar dipenjarakan sejak 2015.
Di bawah pentadbiran Dr Mahathir, Anwar dikenakan penjara 6 tahun kerana rasuah pada 14 April 1999, dan 9 tahun kerana liwat pada 8 Ogos 2000.
Naib Presiden Shamsul Iskandar Md Akin berkata Dr Mahathir mengenepikan ego semasa menandatangani petisyen itu.
“Kita perlu belajar dari beliau. Itu contoh yang perlu diikuti pemimpin politik lain.”
Shamsul berkata langkah Dr Mahathir menunjukkan beliau mahu Anwar dibebaskan dan naratifnya sudah berubah sejak mereka bersalaman tahun lepas.
“Dr Mahathir konsisten sejak penampilan pertama beliau di mahkamah (untuk menyatakan sokongan kepada Anwar).”
Sementara itu, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa berkata kedua-dua “gergasi” itu faham mereka perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah yang melanda negara.

KONGRES KE 12: PKR tidak akan serah kerusi kepada rakan Pakatan Harapan


PKR tidak akan menyerahkan mana-mana kerusi Parlimen yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu kepada rakan pembangkang pada PRU-14.
Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menegaskan perkara itu diamanahkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai panduan kepada mana-mana pimpinan parti itu yang terlibat dalam proses rundingan.
"Anwar berpesan kepada parti, 30 kerusi Parlimen yang PKR sudah menang tidak boleh diserahkan langsung kepada sesiapa.
"Selain itu, kerusi yang PKR hampir menang atau kalah tipis juga tidak boleh diserahkan kepada sesiapa," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional parti itu di Shah Alam,semalam.
Saifuddin turut mencadangkan anggota parti yang terpilih bertanding pada PRU akan datang supaya sanggup mengisytiharkan harta masing-masing.
"Saya kalau terpilih menjadi calon, bersedia mengisytiharkan pendapatan saya. Pencen wakil rakyat, pencen ahli parlimen dan elaun daripada kerajaan Pulau Pinang. Berapa simpanan tunai, berapa kereta saya ada, saya bersedia.
"(Ia) supaya calon-calon yang PKR tawarkan bukan sahaja bersih, tetapi kelihatan bersih. 'Lebih putih daripada warna putih'. Lebih tinggi moral dan wibawanya, lebih kuat keyakinan dan kepercayaan rakyat untuk beri sokongan kepada kita," katanya.

Mahathir tandatangan petisyen bebaskan Anwar dikongres Keadilan

Mahathir menandatangani petisyen bebaskan Anwar di Kongres PKR hari ini - Foto FBMahathir menandatangani petisyen bebaskan Anwar di Kongres PK.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menandatangani petisyen untuk membebaskan ‘musuh’nya satu ketika dahulu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun, berbuat demikian ketika hadir pada Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Nasional (PKR) ke-12 di Shah Alam, hari ini bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Ketika diminta mengulas, Dr Mahathir mengakui bahawa beliau mahu Anwar, yang menjadi Timbalan Perdana Menteri sewaktu zaman pemerintahannya, dibebaskan.
“Ya saya menggesa supaya beliau dibebaskan… bukan saya yang menyebabkan beliau dipenjarakan, itu cerita lama...” katanya kepada pemberita.
Kongres yang dianggap perwakilan PKR sebagai yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 itu turut meletakkan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 sebagai agenda utama.
Turut hadir Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

KONGRES KE 12: TAHNIAH KEADILAN..!

Saya bersama tetamu hadir lain pagi ini di Kongres Nasional Tahunan KeAdilan Ke-12 parti itu. Kehadiran penuh dalam dewan yg besar ini.

Ada beberapa kenangan bermakna bersama parti besar ini. Ucapan perasmian Presiden KeAdilan YB Dr Wan Azizah Wan Ismail menyentuh sudut penting, antaranya;
[1] Tahun 2017 bermaksud sudah 18 tahun perjuangan parti itu berjuang bersama pembangkang di Malaysia di medan siyasah negara, jatuh bangun bersama sejak 4 April 1999 dalam Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, dan hari ini bersama Pakatan Harapan. Sehinggalah pernah diberikan mandat negara 52%, serta menjadi pentadbir di Selangor.
[2] Kak Wan, Presiden wanita pertama sebuah parti politik negara yg menerajui kepimpinan parti itu sejak bermulanya DS Anwar Ibrahim dizalimi dan dihina oleh Umno/BN, memulakan ucapan perasmian dgn linangan airmata yg disaksikan seluruh dewan, mengungkap kalimah Allah yg menjadi asas pertubuhnya parti itu;
"Wahai orang beriman, hendaklah kamu jadi orang yang sentiasa menegakkan (kebenaran) karana Allah, menjadi saksi dengan adil".
"Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku lah adil, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa".
[ Al-Maidah : ayat 8 ]

[3] Bagi saya, inilah ayat Allah yg cukup tinggi nilai dan applikasinya bagi apa pun organisasi yg meletakkan perjuangan menegakkan kebenaran & keadilan sebagai paksi mereka. Inilah ayat Allah yg diperjuangkan para Rasul dan pejuang kebenaran & keadilan sejak sekian lama. Istiqamah mereka adalah kebenaran dan prinsip yg diperjuangkan, bukan taasub pada label agama atau bangsa sesebuah parti itu.
[4] Sejarah pagi ini tercipta buat pertama kali dalam sejarah apabila Tun Dr. Mahathir bin Mohamad turun ke kongres tahunan parti itu mewakili parti beliau yg turut berjuang dalam Pakatan Harapan. Satu penentuan Allah yg tak pernah terfikir dek akal dan perancangan insani biasa!
[5] TunM duduk sebaris bersama Tuan Haji Mohamad Sabu, YB Lim Kit Siang (林吉祥), dan ramai lagi pimpinan Pakatan Harapan yg saling bersandaran menguatkan keempat parti itu.
[6] Namun sebaliknya, sejarah juga telah dicipta pagi ini, buat pertama kalinya juga sebuah parti lama yg telah merubah matlamat perjuangan yg Presiden mereka sendiri satu tika dulu pernah bersama dlm menubuhkan KeAdilan 18 tahun lepas. Hari ini parti berlabel Islam itulah, PAS, memilih utk tidak lagi bersama pakatan pembangkang membantah kezaliman Umno/BN. Ironinya, mereka berlangkah jauh ke belakang memilih jalan sendirian dlm acuan sempit agama dan bangsa, yg akhirnya menjadikan mereka bebas kerjasama dgn siapa pun. Hatta dgn Umno dan Najib itu sekalipun.


[7] Bahkan PAS juga turut mengistiharkan KeAdilan dan semua yg bersama Pakatan Harapan itulah sbg musuh politik yg mereka mereka serang saban hari. Dan ya, semua itu berlaku hanyalah selepas perginya TG Nik Abdul Aziz Nik Mat dua tahun lepas.
[8] Juga amanat DS Anwar Ibrahim yg turut dibacakan YB Nurul Izzah Anwar cukup menyentuh perasaan yg hadir. Anwar berpesan pada anggota parti itu dan mereka yg bersama perjuangan rakyat utk terus mengorak langkah dgn lebih kuat dan bersungguh demi memperkukuhkan saf perjuangan pembangkang. Satu harapan yg cukup bermakna buat semua.
[9] Dan permintaan Anwar juga jelas. Siapa pun, cukuplah bersikap kecewa atas langkah PAS yg sudah tidak lagi mahu memperjuangkan nasib rakyat bersama saf pembangkang ini. Bagi Anwar cukup sudah dgn keputusan dan kehendak mereka itu, dan biarkan lah tindakan mereka itu diadili rakyat. Bagi KeAdilan, Amanah, Bersatu dan DAP, inilah masa terbaik utk Pakatan Harapan itu diangkat sebagai pilihan utama menolak segala kebrobokan Umno/BN selama ini. Menjadi tanggungjawab semua jentera parti utk bekerja mencapai matlamat bersama itu.

[10] Dihujung sessi Kak Wan mengingatkan bahawa hari ini juga adalah genapnya 832 hari DS Anwar Ibrahim terpenjara buat sekian kalinya di balik tembok Sungai Buluh itu, hanya kerana membela nasib rakyat. Maka tak ada cara lain yg mampu membela beliau, melainkan dengan "kebangkitan dan perubahan rakyat dalam PRU14 ini".
Saya berdoa agar Allah merahmati semua mereka yg bersama saf perjuangan rakyat demi menegakkan kebenaran dan keadilan ini.


Siiru 'ala barokatillah.
Ahmad Sayuti Bashiron 
| Kongres KEADILAN 2017
21 Mei 2017

Pas berkeras pertahan jawatan exco di Selangor

Pesanan Rafizi kepada Najib

AZMIN: Parlimen bubar baru tahu siapa lawan siapa di Selangor

WAN AZIZAH: Tangisan saya tidak pernah habis

RAFIZI: Ahli PKR perlu balas jasa Anwar

Video Klip Khas Sempena Konvensyen Reformis Malaysia 2017

Video Klip Khas Reformis Dalam Kenangan 2017

Wan Azizah: KONGRES NASIONAL TAHUNAN KEADILAN KE-12

Nurul Izzah Anwar: KONGRES NASIONAL TAHUNAN KEADILAN KE-12

Saifuddin Nasution: KONGRES NASIONAL TAHUNAN KEADILAN KE 12

Air mata Wan Azizah buka tirai Kongres PKR

Video Khas Dato' Seri Dr Wan Azizah sempena Kongres Nasional Tahunan Keadilan Ke-12

Pesan Anwar- 'PKR jangan serah kerusi Parlimen yang dimenangi, kalah tipis'

DSAI: PAS Putus Dengan PKR Apabila Mesra Dengan UMNO