Isnin, 15 Mei 2017

BAWA ANAK KE CHINA, ADAKAH NAJIB TIADA PERASAAN MALU?


Saya amat hairan apabila melihat Riza Aziz serta Ashman Najib yang duduk di belakang Najib Tun Razak di dalam satu majlis lawatan Perdana Menteri ke Hangzhou!!
Boleh Ketua Setiausaha Negera (KSN) beri pencerahan kepada 30 juta rakyat Malaysia apa jawatan dua budak ini dalam kerajaan?!
Adakah mereka berdua memegang sebarang jawatan kerajaan masakini kerana posisi kedudukan di dalam majlis tersebut seolah-olah mereka juga berjawatan tinggi dalam kerajaan?!
Dalam majlis tersebut mereka berdua kelihatan duduk di barisan kedua di belakang kerusi Najib Tun Razak.
Ketua Setiausaha Negara mesti beri pencerahan kepada keseluruhan rakyat Malaysia mengenai apa kepentingan Riza Aziz serta Ashman Najib yang turut serta dalam majlis tersebut?!
Adakah kos perbelanjaan mereka berdua yang mengikuti rombongan Perdana Menteri ke China ditanggung oleh kerajaan Malaysia?!
Kalau kos perbelanjaan Riza Aziz dan Ashman Najib ditanggung oleh pihak kerajaan; ini sudah bercanggah dengan undang-undang dan berlaku unsur-unsur ‘conflict of interest’ seterusnya salahguna kuasa.
Perbuatan Perdana Menteri ini amat tidak beretika!! Ahli keluarga sendiri diheret ke hulu dan hilir dalam urusan rasmi kerajaan.
Anak-anak Perdana Menteri tidak seharusnya berada dalam mesyuarat atau taklimat di antara kerajaan dengan kerajaan kerana mereka bukan pegawai kerajaan.
Kita juga mahukan Ketua Setiausaha Negara mengesahkan secara rasmi itu majlis apa?!
Ini satu ‘precedent’ yang tidak baik sama sekali dan tidak harus berulang kembali!!
Sepertimana yang diperkatakan tadi kedua-dua budak ini tiada kaitan serta tidak ada ‘locus standi’ dalam urusan kerajaan Malaysia.
Deklarasi Rakyat yang mewakili 1.4 juta orang penandatangan selaku pembayar cukai mohon pencerahan dan kenyataan rasmi oleh Ketua Setiausaha Negara dalam isu ini.
Ikhlas dari;
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Koordinator
Deklarasi Rakyat
15 Mei 2017

Pas tidak akan hadir Kongres PKR

Tuan Ibrahim Tuan Man Pas masih belum menerima sebarang jemputan daripada PKR untuk menghadiri kongres parti itu, pada 19 Mei hingga 21 Mei ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas bagaimanapun tidak akan hadir walaupun menerima jemputan.
"Kita belum terima lagi (jemputan). Tetapi rasanya tidak mungkin kita akan hadir," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Hari ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, Pas belum memberi pengesahan kepada jemputan rasmi yang dihantar kepada parti itu untuk menyertai Kongres PKR.
Katanya, keputusan untuk menjemput Pas dibuat sebelum parti Islam itu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.
Pada 11 Mei lalu, hubungan Pas dan PKR berakhir selepas Majlis Syura Ulamak membuat ketetapan tahaluf siyasi kedua-dua parti terbatal serta merta.

Pas semakin keliru, bercerai tetapi duduk serumah, kata bekas menteri

Sharif (kanan sekali) bersama Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng dalam majlis di Tasek Gelugor.Sharif (kanan sekali) bersama Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng dalam majlis di Tasek Gelugor.
Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang, Datuk Seri Shariff Omar menyifatkan Pas kini sedang mamai, dungu dan semakin keliru.
Parti tersebut bukan sahaja telah hilang hala tuju, malah mulai celaru selepas keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PKR oleh Majlis Syura.
Menurut bekas menteri kerajaan pusat itu lagi, Pas sepatutnya berpegang pada prinsip yang tegas.
"Kalau suami isteri dah bercerai, tak sah duduk sebumbung lagi.
"Tak elok di pandang dan jadi buah mulut masyarakat sekeliling.
"Masakan Pas tak ada maruah langsung, dah lah putus hubungan dengan PKR, tapi dok hemoi lagi, " ujarnya ketika ditemui semasa Program Khidmat Komuniti di Sungai Dua, yang turut dihadiri oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu semalam.
Tegasnya lagi, semua exco Pas yang ada dalam kerajaan negeri Selangor mesti melepaskan jawatan dengan segera.
"Kalau sayalah jadi depa, lepas parti buat keputusan putus, tak payah tunggu lama lagi dah.
"Masa tu juga bagi balik jawatan yang dipimpin oleh Azmin dari PKR.
"Amat memalukan kerana Pas sering bercakap pasal Islam, prinsip dan pendirian, tapi pemimpin mereka sendiri tidak konsisten dalam mengamalkan apa yang dicakapkan," jelasnya lagi.

PAS BERTANDING UNTUK ‘BUNUH DIRI’?


Sebelum putus hubungan dengan PKR dan ketika perbincangan dengan Bersatu masih berjalan, Pas menyasarkan untuk bertanding sebanyak 80 kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum akan datang.
Daripada 80 kerusi tersebut,  Pas bagaimanapun hanya berharap untuk menang 40 kerusi saja. Bermakna, 40 kerusi lagi, Pas memang tahu mereka akan kalah.
Untuk rekod, pada PRU 13 Pas bertanding 73 kerusi dan hanya menang 21 kerusi saja.
Kira-kira mudahnya sifir Pas bertanding ialah 50-50, separuh ada harapan menang dan separuh lagi hanya kalah tujuannya masuk bertanding.
Selain tidak menggambarkan hasrat menubuhkan kerajaan, tujuan lain Pas bertanding 80 kerusi itu ditafsirkan banyak pihak ialah untuk memberi kelebihan kepada Najib Razak, UMNO dan BN agar lebih mudah mencapai kemenangan.
Setelah ditinggalkan Bersatu yang lebih dulu menyertai Pakatan Harapan dan kemudian bercerai secara rasmi dengan PKR, sasaran Pas untuk bertanding tiba-tiba meningkat daripada 80 kerusi kepada 100 kerusi.
Bagaimanapun, Pas tetap meletakkan harapan untuk menang di 40 kerusi saja.
Biasanya, dalam apa-apa pertandingan, jika lebih banyak acara atau kerusi yang ditandingi, jumlah yang disasarkan untuk menang juga turut bertambah.
Tetapi tidak bagi Pas, sasaran menangnya istiqamah 40 kerusi.
Bererti, pertambahan 20 kerusi untuk ditandingi itu bukan bertujuan untuk menang, tetapi bertanding semata-mata untuk kalah.
Dengan pertambahan kerusi yang mahu ditandingi daripada 80 kepada 100, tetapi harapan menang kekal 40, dengan sendirinya kerusi yang dijangka Pas akan kalah turut bertambah kepada 60 daripada 40 sebelumnya.
Dalam erti kata lain, bersungguh benar Pas nampaknya mahu membantu Najib, UMNO dan BN untuk menang PRU 14 akan datang sehingga dengan tiba-tiba sanggup bukan saja menambah jumlah kerusi yang mahu ditandingi, bahkan juga jumlah kerusi yang bertanding bagi tujuan bukan untuk menang.
Apakah disebabkan bantuan bertanding 80 kerusi sebagaimana diumumkan sebelum ini masih belum cukup memadai, maka Pas sedia menambah jumlah kerusi  yang ditandingi semata-mata untuk  tujuan “bunuh diri”?
Lebih menarik, dengan menambah jumlah kerusi yang mahu ditandinginya itu, Pas juga menyasarkan bertanding di kawasan-kawasan yang ditandingi oleh DAP seperti Segambut misalnya.
Oleh kerana lawan DAP ialah MCA, Gerakan atau MIC, tidak cukup dengan membantu UMNO, apakah bermakna Pas juga  sedang melebarkan sayap bantuannya kepada parti-parti komponen BN pula?
Inikah makna dan pengertian baru  slogan “Pas For All” sekarang ini?

Tahaluf siyasi arnab, singa dan demokrasi

Ketika 'sauh dilabuhkan' dan kapal PAS mula belayar membuat haluan baru di bawah slogan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), saya tertanya-tanya: bagaimanakah Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mahu dunia mengingatinya nanti?
Sama ada beliau akan dikenang sebagai presiden yang berjaya membawa parti itu ke Putrajaya sebagai peneraju sebuah kerajaan; atau sekadar mendapat pujian kerajaan yakni Perdana Menteri Najib Razak - hanya masa dan sejarah akan menentukan.
Sejarah mungkin tidak menipu. Tapi sejarah mencatat peristiwa-peristiwa - kecil atau besar - yang mahu dicatat atau diingat oleh pencatatnya.
Sejarah panjang perjuangan PAS dari era bermulanya reformasi, kemudiannya Barisan Alternatif dan akhirnya Pakatan Rakyat akan sentiasa dikenang sebagai zaman Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, tanpa menafikan Haji Hadi adalah pemain penting selain mereka berdua.
Daripada sebuah parti lebai dan kampungan, PAS diarusperdanakan di bawah slogan PAS For All.
PAS For All berakhir apabila BPMS mengambil alih. Zaman Haji Hadi adalah era BPMS. Ia membawa PAS kepada keadaan yang tidak selesa, malah boleh dikatakan bermusuhan dengan sekutu mereka sebelum ini, DAP.
Era BPMS juga membawa kepada perpecahan terbesar dalam sejarah PAS yang menyebabkan terbentuknya parti serpihan - Parti Amanah Negara (AMANAH).
Dan yang terbaru, era PMS juga membawa kepada terbatalnya tahaluf siyasi atau kerjasama politik PAS dengan PKR.
Jadi makanan singa
Dalam Mathnawi karangan ulama sufi, Rumi, ada diceritakan tentang kisah sekumpulan haiwan yang takutkan singa yang mengganas. Singa itu kuat merajalela dan memburu apa saja haiwan untuk dijadikan makanannya.
Untuk menangani masalah tersebut, haiwan lain berpakat. Tahaluf siyasi tercapai di kalangan para haiwan. Mereka akan mencabut undi setiap hari untuk memilih haiwan yang akan diserahkan kepada singa sebagai habuan.
Dengan itu, mereka berjaya mengelakkan singa daripada mengganas secara rambang dan tidak perlu hidup dalam ketakutan. Cumanya, haiwan yang diundi mesti akur menjadi makanan sang singa.
Dijadikan cerita, tibalah pada suatu hari seekor arnab diundi untuk diserahkan sebagai makanan kepada sang singa. Maka beranglah sang arnab.
"Sampai bila kezaliman ini perlu dibiarkan?" katanya.
Maka arnab pun membatalkan tahaluf siyasinya dengan haiwan-haiwan yang lain.
"Biar aku saja mendepani sang singa dengan caraku sendiri," kata sang arnab. Arnab itu yakin dia punya kepintaran dan cukup matang untuk mendepani sang singa.
Anekdot tulisan Rumi itu berakhir dengan sang singa diperangkap ke sebuah telaga buruk dengan tipu helah arnab. Dan sang arnab diangkat sebagai wira oleh para haiwan yang kemudiannya hidup selamat daripada ancaman singa itu.
Haji Hadi dan PAS ada kemungkinan akan menjadi seperti arnab itu - wira kepada rakyat Malaysia yang sangat mereka jaga akan maslahahnya. Tapi kemungkinan itu hanya benar dan boleh berlaku dalam ekosistem hutan belantara yang hanya ada singa, arnab, anjing, babi, kuda, biawak dan lain lain.

Pemimpin Pas manusia bukan malaikat, kata Zolkarnain


Zolkharnain Abidin Zolkharnain Abidin
Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah, Ustaz Zolkharnain Abidin tampil membetulkan salah faham yang menganggap Pas seolah-olah agama manakala pemimpin parti itu seperti Nabi.
Menurutnya, Mursyidul Am Pas juga bukan Amirul Mukminin memandangkan Pas adalah sebuah parti politik manakala berhijrah dari parti itu bukanlah keluar daripada Islam.
"Pemimpin Pas manusia, bukan malaikat. Mereka ada mulut, perut, kemaluan dan kemahuan duniawi macam orang lain juga.
"Jika ulama Pas terima RM90 juta daripada Najib, apa yang peliknya? Mereka manusia, kan? Oh ya, Pas nak terima duit daripada siapa pun terpulang, itu haknya," kata beliau.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara Pas dan Umno tidak harus dihalang bahkan wajar disegerakan.
"Hak demokrasi Pas dalam hal ini tak wajar disekat apatah lagi dicabuli. Banyak dalil yang boleh Pas kemukakan untuk mentabrirkan kerjasama politik dengan Umno, sebuah parti yang pernah diasabiahkan, disekularkan bahkan dikafirkan oleh Pas.
"Sesiapa pun tiada hak untuk campur tangan dalam keputusan Pas itu. Bahkan sepatutnya, tahaluf itu wajar disegerakan pemuktamadannya secara berdokumentasi supaya rakyat lebih mudah menentukan pendirian politik mereka terhadap Pas," ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin semalam tentang kesediaan parti itu bertahaluf siyasi bukan sahaja dengan Umno bahkan termasuk Parti Cinta Malaysia (PCM).
"Jika Pas nak bertahaluf siyasi dengan Umno, silakan dan teruskan. Kami akan beritahu rakyat, Pas bertahaluf siyasi dengan Umno.
"Itu juga hak kami. Tiada siapa yang batal syahadah, tiada siapa batal aqidah, tiada siapa yang jadi munafiq hanya kerana berbeza wadah politik," tegasnya dipetik daripada kenyataan beliau di Facebook.
Menurut Zolkharnain, terpulang kepada Pas untuk bekerjasama siapa sekalipun tetapi pada masa sama parti itu juga perlu menghormati keputusan pihak lain.
"Jika Pas boleh bertahaluf siyasi dgn Umno, mengapa pula Amanah tidak boleh bertahaluf siyasi dengan DAP? Jika Pas boleh putus hubungan dengan Keadilan, apa salahnya Amanah putus hubungan dengan Pas? Bukankah kita semua sedang berpolitik?" soalnya.
Beliau juga mengingatkan Pas tidak harus melenting jika pihak lain memberi label negatif terhadap parti tersebut seperti yang dilakukan Pas terhadap DAP dan PKR.
"DAP anti agama, itu kata Pas. PKR khianat Islam, itu juga kata Pas. Kenapa Pas tidak anggap Umno anti agama dan khianati Islam? Oh, saya ulang, itu juga hak Pas utk labelkan sesiapa saja anti agama atau khianati Islam.
"Maka, jika ada orang kata, Pas juga anti agama dan khianat Islam, Pas janganlah marah. Bukankah kita semua sedang berpolitik?" bidas Zolkharnain.

Jangan jadi kartun di Selangor, Mahfuz beritahu PAS

mahfuz-omar-pasPETALING JAYA: Seorang wakil rakyat PAS hari ini menyelar timbalan presiden parti itu kerana terus mempertahankan keengganan parti itu untuk mengarahkan exconya di Selangor meletak jawatan, susulan keputusan PAS menamatkan hubungan kerjasama dengan parti lain dalam pentadbiran Selangor.
“Janganlah situasi di Selangor ini menjadikan rakyat melihat PAS tidak lebih dari ‘kartun politik’ yang tidak ketentuan hala,” kata Datuk Mahfuz Omar.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mengkritik Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kerana cuba berselindung dengan pihak istana dalam mempertahankan jawatan exco PAS.
“Tuan Ibrahim selaku seorang tokoh politik kanan sepatutnya arif bahawa di dalam konteks sistem raja berperlembagaan, pelantikan exco kerajaan negeri walaupun dibuat oleh Yang Dipertuan Agong atau Raja, tetapi ianya adalah atas nasihat dan cadangan nama yang diangkat oleh Perdana Menteri atau Menteri Besar,” kata Mahfuz.
Mahfuz berkata sepatutnya tidak perlu ada tekanan ke atas PAS untuk exco parti itu melepaskan jawatan mereka.
“Exco PAS sepatutnya meletak jawatan serta merta sebaik sahaja Majlis Syura Ulama mengesahkan keputusan muktamar yang memutuskan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan PKR tanpa perlu diminta atau dipaksa oleh sesiapa,” kata Mahfuz, yang berkata peletakan jawatan itu penting untuk menunjukkan pendirian PAS Pusat dan Selangor adalah selari dengan keputusan Muktamar dan Majlis Syura.
PAS mempunyai 3 exco di Selangor – Datuk Iskandar Abdul Samad, Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib – serta ramai ahli majlis di peringkat kerajaan tempatan.
Timbalan Speaker Selangor Shafie Ngah juga daripada PAS.
Muktamar PAS pada 30 April lepas sebulat suara meluluskan usul memutuskan “tahaluf siyasi”, atau kerjasama politik, dengan PKR. Keputusan diluluskan Majlis Syura Ulama PAS Khamis lepas.
PAS akan menentukan status ketiga-tiga exconya pada mesyuarat Khamis ini.

Pakatan Harapan 'mengemis' maklumat Daftar Pemilih di pejabat SPR


Raja Bahrin (dua dari kiri) ketika berada di pejabat SPR Terengganu untuk mengumpulkan RDPT bagi 32 Dun  di negeri itu.Raja Bahrin (dua dari kiri) ketika berada di pejabat SPR Terengganu untuk mengumpulkan RDPT bagi 32 Dun di negeri itu.
Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lagi membekalkan salinan digital Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) untuk Suku Pertama tahun 2017 kepada parti politik mencerminkan sistem SPR  mundur dan mendukacitakan.
Dengan segala kemudahan teknologi terkini, proses membuat semakan senarai pengundi sepatutnya menjadi lebih mudah tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, demokrasi di negara ini banyak 'ketempangan' terutama membabitkan pemberian maklumat asas seperti senarai Rang Daftar pengundi suku pertama 2017.
Beliau mendakwa hanya Pakatan Harapan memprotes tindakan SPR tetapi tidak bagi Barisan Nasional (BN).
"Ia tidak diberi secara sepatutnya sekaligus menafikan hak parti parti politik mempunyai kemudahan maklumat yang sama dengan kerajaan.
"Sedikit menghairankan apabila yang membantah larangan ini sekarang hanyalah dari Pakatan Harapan sementara pihak lain berdiam diri menunjukkan kemungkinan besar mereka mempunyai "maklumat serta kemudahan" yang diperlukan.
"Timbul persoalan,kenapa Umno, BN  dan Pas tidak turut sama membantah? Bukankah mereka pun memerlukan maklumat ini juga? Adakah mereka mempunyai 'kuasa sakti'untuk mendapatkan maklumat ini semua?,"soalnya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Raja Bahrin Shah bersama Invoke, PKR, Bersatu dan Dap, berbincang secara tertutup dengan pihak SPR yang diwakili oleh Timbalan Pengarah Operasi, Norlaila agar salinan digital dapat dibekalkan kepada Pakatan Harapan.
Walau bagaimanapun pihak SPR negeri tidak dapat membantu kerana terikat dengan arahan dalaman dari Putrajaya.
Sehingga habis waktu pejabat, para petugas Pakatan Harapan berjaya membuat salinan terhadap enam Dun sahaja dan akan bersambung pada hari berikutnya untuk menyiapkan salinan untuk keseluruhan 32 Dun di negeri itu.
Mengikut maklumat pihak SPR, hanya Pakatan Harapan sahaja yang membuat bantahan dan memorandum mengenai larangan membekalkan salinan digital terhadap parti politik dalam urusan Rang Daftar Pemilih Suku 1/2017.
Dakwa SPR parti kompenan Barisan Nasional dan Pas tidak membuat bantahan langsung terhadap larangan tersebut.
"Adakah ini situasi "level playing field" - padang yang sama rata, untuk pertandingan yang dijangka sengit di jalankan tidak lama lagi?
"Adakah ini situasi "politik matang" negara yang kononnya akan menjadi negara maju menjelang tahun 2020? Saya rasa kita amat jauh dari cita cita tersebut.
"Apatah lagi Kita masih di tahap parti pemerintah cuba memanipulasi sistem pilihanraya bagi kepentingan pihak pemerintah dan mereka yang rapat dengan pemerintah," soal Raja Bahrin lagi.
Beliau berkata, dengan tindakan SPR itu menunjukkan negara ini masih jauh ketinggalan di belakang negara jiran seperti Indonesia
yang jauh lagi matang politik serta demokrasinya.