Sabtu, 13 Mei 2017

Azmin tidak pernah arah 3 exco PAS lepas jawatan, kata setiausaha politik

Setiausaha politik menteri besar Selangor berkata, akhbar terbabit 'spin' kerana sepanjang pengetahuannya, perkara itu tidak pernah berlaku.
Mat-Suhaimi-Shafie-azminPETALING JAYA: Laporan media kononnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta 3 Adun PAS di Selangor melepaskan jawatan sebagai exco kerajaan negeri tidak benar sama sekali, kata setiausaha politik menteri besar Selangor.
Mat Suhaimi Shafie berkata, perkata itu tidak pernah berlaku.
“(Laporan Azmin minta 3 exco PAS lepas jawatan) memang tak betul, itu ‘spin’. Sepanjang pengetahuan saya, ia tidak berlaku,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
The Star Online hari ini melaporkan Azmin meminta 3 wakil rakyat PAS di negeri itu melepaskan jawatan exco kerajaan negeri, ekoran keputusan parti Islam itu memutuskan hubungan dengan PKR, kelmarin.
Menurut laporan itu, Azmin membuat permintaan “mengejutkan” itu dalam mesyuarat 1 jam dengan Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, Zaidy Abdul Talib dan Pesuruhjaya PAS negeri yang baharu, Sallehen Mukhyi, semalam.
Laporan itu menyebut Azmin memberi jaminan PAS masih boleh menjadi sebahagian kerajaan negeri sejajar mandat kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, dengan mengekalkan jawatan sebagai ahli majlis dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan terus menikmati peruntukan pembangunan negeri.
Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, Azmin sudah membuat pendirian jelas semalam yang barisan exco kerajaan negeri sedia ada akan dikekalkan sehingga PRU14, sekali gus mengekalkan mandat yang diberikan rakyat pada PRU13.
“Menteri besar telah memperjelaskan sepertimana yang dia (Azmin) sebut sewaktu di Rawang semalam (semua exco kerajaan negeri dikekalkan sehingga PRU14),” katanya sambil menambah, Azmin turut menjelaskan pendirian mengekalkan pentadbiran sedia ada kepada pimpinan PKR.
Semalam, Azmin ketika menghadiri Majlis Perasmian Masjid Perodua di Rawang dilaporkan memberi jaminan kepada Sultan Selangor yang barisan exco kerajaan negeri itu akan dikekalkan sehingga PRU14, sekalipun PAS sudah memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Azmin tak arah letak jawatan, sembang exco PAS S'gor

Exco Selangor dari PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, beliau tidak menerima sebarang arahan daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali untuk meletakkan jawatan daripada kabinet negeri tersebut.
Ketika ditanya mengenai perkara tersebut hari ini, Iskandar berkata, beliau tidak akan mengulas mengenai laporan berita kononnya Azmin mengarahkan semua exco Selangor dari PAS meletak jawatan susulan terbatalnya kerjasama politik antara parti itu dengan PKR.
"Tidak, tidak ada arahan apa jua," kata Iskandar ketika ditemui di luar acara mesyuarat speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri 2017 di Shah Alam, hari ini.
Ditanya mengenai kesahihan laporan The Star hari ini yang memetik Azmin menyeru tiga exco dari PAS untuk meletakkan jawatan, Iskandar berulang kali berkata, "Saya tidak tahu."
Apabila diasak jika laporan The Star betul, beliau berkata, "Saya tidak tahu. Tetapi saya tidak
menerima apa-apa (berita),".
Tambahnya, pertemuan dengan Azmin semalam adalah 'sangat baik'.

Ambil ikhtibar keputusan Pas putus dengan PKR - MB Tganu

KUALA NERUS - Keputusan Pas memutuskan  tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR menunjukkan parti itu sedar bahawa ia mempunyai matlamat berbeza dengan parti pembangkang lain, kata Pengerusi Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Beliau berkata langkah Pas itu seharusnya menjadi iktibar kepada bekas pemimpin Umno yang berpaling tadah supaya meneliti semula keputusan mereka  untuk bersekongkol dengan pihak pembangkang bagi menjatuhkan BN dan Umno.
Ahmad Razif Abdul Rahman "Kita sedih sebab bekas pemimpin-pemimpin Umno bila dia marah pada (pemimpin ) Umno dia pergi pada seberang (pembangkang)....  (tindakan) ini akhirnya akan merosakkan Melayu dan Islam,"  katanya ketika berucap pada program Karnival Semarak Desa Daerah Kuala Nerus di Kampung Telaga Daing di sini, hari ini.
Majlis Syura Ulama Pas pada 11 Mei sebulat suara mengambil keputusan untuk menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR secara serta-merta.
Setiausaha majlis itu, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh dilaporkan berkata keputusan itu dibuat susulan tindakan PKR melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara kedua-dua parti yang terjalin sejak sekian lama.
Sementara itu,  Ahmad Razif yang juga Menteri Besar  turut memuji tindakan pemimpin Pas yang kini dilihat semakin berminat untuk menjalin kerjasama dengan Umno terutama dalam agenda membangunkan Islam dan Melayu.
"Dah mula nampak bibit-bibit itu (kerjasama Pas dan Umno) di Terengganu apabila baru-baru ini Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama-sama dengan Exco negeri, A Latiff Awang dan Datuk Pehemi Yusoff  hadir (pada majlis)  meletakkan tukun di perairan Marang.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga berulang kali mempelawa pihak yang bersama dengan Islam termasuk Pas untuk bersama-sama dengan Umno melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin Islam di bumi ALLAH ini... kita nampak ia semakin membuahkan hasil," katanya.

Wan Azizah tidak tolak M'sia laksana hudud

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menolak kemungkinan undang-undang hudud dilaksanakan di Malaysia.
Dalam temu bual bersama Al Jazeera yang dikendalikan oleh Mehdi Hasan, Wan Azizah diminta membuat deklarasi bahawa jika beliau menjadi perdana menteri, 'tiada hudud, rejam dan potong tangan'.
Wan Azizah menjawab dengan berkata, beliau boleh membuat perisytiharan 'hudud tidak dilaksanakan melainkan semua perkara-perkara yang sepatutnya telah sedia menyokongnya'.
Ditanya jika ini bermakna terdapat situasi di mana rejam boleh diterima di Malaysia, Wan Azizah menjawab: "Tidak dalam masa terdekat."
Wan Azizah diasak dengan soalan berkisar rang undang-undang yang dicadangkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda undang-undang syariah keseksaan di Malaysia.
Mehdi berkata, ia akan membuka jalan bagi pelaksanaan undang-undang hudud dan hukuman seperti rejam dan potong tangan.

DAP setuju dengan Azmin, Pas perlu letak jawatan

GEORGETOWN - DAP bersetuju dengan tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang meminta tiga Exco Kerajaan Selangor dari Pas meletak jawatan selepas parti itu memutuskan hubungan politik tahaluf siyaasi dengan PKR telah terbatal.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, Pas tidak boleh meletakkan wakilnya dalam barisan Exco Kerajaan Selangor selepas 'bercerai' dengan PKR kerana tindakan itu tidak betul.
Lim Guan Eng "Tindakan Pas ini tidak betul. Sudah cerai, cerai lah. Buat apa mahu duduk sama lagi? Saya sokong tindakan Azmin, mereka perlu letak jawatan," katanya kepada media, hari ini.
Terdahulu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri merasmikan Program Pengasingan Sisa di Punca di Kasun Air Putih di sini.
Dalam pada itu, Guan Eng turut menempelak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menyifatkan perjuangan pemimpin itu sebagai sesat dan Pas adalah parti yang keliru.
"Semua orang keliru dengan kedudukan Pas malah pemimpinnya sendiri pun keliru. Dan yang paling teruk, pemimpin yang keliru tidak sedar dia sedang keliru.
"Mereka tidak boleh beza mana satu kawan mana satu lawan. Ini lah sebuah parti sesat yang keliru," katanya.
Ditanya sekali lagi berkenaan kedudukan wakil rakyat tunggal Pas dalam Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Mohd Salleh Man, Guan Eng berkata, Adun Permatang Pasir itu masih kukuh menyokong pimpinannya sebagai Ketua Menteri.
"Dia (Mohd Salleh) pun kena boikot dengan Pas. Dia macam anak yatim yang ditindas dan tiada naungan. Tapi yang pasti, dia masih sokong kuat Kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan saya.
"Saya masih belum jumpa dia, tidak ada masa sesuai. Tapi dia pun keliru dengan kedudukan Pas pada waktu ini," katanya.

TINDAKAN TEPAT, TERPUJI AZMIN ALI

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali dilaporkan telah mengadakan pertemuan mengejut dengan tiga Exco Pas dan meminta mereka mengundurkan diri daripada kerajaan negeri.

Tindakan Azmin memanggil mereka itu adalah susulan keputusan Majlis Syura Pas memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Selain  tiga Exco berkenaan iaitu Iskandar Abdul Samad, Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Mohd Zaidy Abdul Talib, pertemuan tersebut dikatakan turut dihadiri Pesuruhjaya Pas yang baru, Solehan Mukhyi.

Difahamkan wakil-wakil Pas yang hadir terkejut dengen permintaan Azmin dan meminta untuk berbincang dengan parti terlebih dahulu sebelum tampil dengan satu keputusan.

Namun, Azmin  memberi jaminan bahawa meskipun tiada jawatan Exco, PAS masih boleh kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri selaras dengan mandat kemenangannya pada pilihanraya umum 2013.

Difahamkan, turut diberi jaminan ialah wakil PAS akan terus menikmati peruntukan pembangunan negeri, kekal sebagai ahli majlis perbandaran dan jawatankuasa kampung.

Langkah 'luar jangka'  Azmin itu telah mengejutkan pimpinan PAS kerana parti itu tidak mempunyai rancangan untuk melepaskan mana-mana jawatan dalam kerajaan negeri walaupun Majlis Syura telah membuat keputusan menamatkan hubungan politik dengan PKR.

Tahniah dan syabas Azmin!

Sebenarnya inilah tindakan paling tepat dan terpuji daripada Azmin setelah Pas masih cuba untuk tinggal serumah dalam kerajaan negeri walaupun mulut mereka menjaja dan melafazkan perkataan cerai ke seluruh negara hampir setiap hari.

Dr M kata terlalu tua untuk bertanding PRU14

Dalam temu bual eksklusif bersama Australia SBS World News baru-baru ini, bekas perdana menteri itu berkata, pada usia 91 tahun, beliau terlalu tua untuk bertanding dalam pilihan raya, menjadi oportunis dan menyimpan 'cita-cita' di sebalik tindakannya mengkritik Najib dan Umno.
Apabila wartawan Jarni Blakkarly bertanya sama ada beliau menjangka untuk kembali aktif dalam politik, 14 tahun selepas meletak jawatan sebagai PM, Mahathir menjawab secara negatif.
"Pada ketika saya letak jawatan, saya fikir akan terus bersara, berehat dan menikmati kehidupan tetapi nampaknya ia tidak seperti itu."
Tambah Mahathir, beliau kembali aktif dalam politik setelah didorong oleh banyak pihak yang datang mengadu padanya dengan memintanya melakukan sesuatu, tentang kekangan pentadbiran bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan kini, Najib.

Putus kerjasama dengan PKR tindakan ke belakang Pas lawan rasuah - Ezam


Mohamad Ezam Mohd NorMohamad Ezam Mohd Nor
Keputusan Majlis Syura Ulamak Pas menamatkan hubungan politik dengan PKR disifatkan sebagai tindakan yang salah dan langkah ke belakang dari sudut perjuangan besar melawan kerajaan rasuah.
Bekas Senator Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, jika Pas benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat, parti itu seharusnya mementingkan agenda melawan rasuah kerana ia memberi kesan besar kepada kemelut dan keperitan hidup rakyat hari ini.
"Perkara penting ketika ini adalah melawan sebuah kerajaan yang tahap rasuahnya di peringkat paling parah dalam sejarah negara.
"Keperitan rakyat hari ini jelas kerana pentadbiran Putrajaya dipalit skandal kewangan terbesar yang di sebut secara rasmi dan terbuka seluruh dunia sebagai kleptokrasi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis Syura Ulamak Pas Khamis lalu sebulat suara mengambil keputusan untuk menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR secara serta-merta.
Setiausaha majlis itu, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh dilaporkan berkata keputusan itu dibuat susulan tindakan PKR melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara kedua-dua parti yang terjalin sejak sekian lama.
Mengulas lanjut, Ezam yang menubuhkan Parti Bebas Rasuah pada Mac lalu juga berkata, Pas sebagai sebuah parti yang berlandaskan perjuangan Islam menunjukkan sikap yang bercanggah dengan perjuangan Islam.
"Maka apabila Pas sebagai parti Melayu yang diharap bangkit menentang parti Melayu yang sudah lari dari perjuangan membela melayu membuat keputusan seperti ini tentulah ia satu keputusan yang salah dari segi maslahah rakyat khususnya maslahah umat Melayu.

Cerai politik PAS-PKR tambah drama

Episod perceraian politik ini dijangka berpanjangan dengan PAS pastinya akan menuntut semula kerusi yang dipinjamkan kepada PKR seperti di Gombak untuk diduduki semula.
pas_pkr_600
KUALA LUMPUR: ‘Perceraian politik’ PAS dan PKR akan menjadikan gelanggang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan pertandingan yang lebih rancak bagi merebut sesuatu kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di kalangan semua parti politik, kata penganalisis politik tempatan.
Mereka berpendapat keputusan PAS kelmarin, untuk memutuskan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan PKR yang terjalin sejak pilihan raya umum ke-11 itu, menyemarakkan lagi arena politik negara yang kini dilihat lebih kepada perjuangan mencari rakan kongsi dan rakan dagang ataupun menjadi ‘lone ranger’ sewaktu PRU14 nanti.
Pensyarah dan penganalisis Geo-Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata semestinya perceraian politik ini membawa kepada pertandingan 3 atau 4 penjuru dalam merebut sesuatu kawasan dan ini situasi tidak boleh dielak lagi pada pilihan raya umum akan datang.
“Yang totok (penyokong tegar) akan terus berpihak kepada parti masing-masing sama ada Umno, PAS atau PKR. Dalam kajian kita, kebiasannya, gabungan yang terkuat akan berpeluang tinggi untuk memenangi pertandingan ini seperti Barisan Nasional (BN).
“Namun jangan dilupakan, kawasan kubu kuat PAS pasti akan terus padu kerana tidak perlu lagi menjaga hati rakan sepermainan seperti sebelum ini dalam isu meletakkan calon atau kawasan yang ingin ditandingi mereka. Itulah permainan politik sekarang,” katanya kepada Bernama.
Majlis Syura Ulama PAS sebulat suara mengambil keputusan menamatkan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR secara serta-merta dan keputusan itu dibuat sebagai merujuk kepada tindakan PKR melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara PAS dan PKR yang terjalin sejak sekian lama.
Keputusan itu sememangnya dijangkakan selepas Muktamar PAS yang berlangsung baru-baru ini di Alor Setar, Kedah meluluskan usul sebulat suara supaya kerjasama politik antara kedua-dua parti itu ditamatkan berikutan PKR dilihat tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka.
Mohd Fuad menarik perhatian, PAS yang terkenal dengan jentera kerja keras itu tidak ada masalah untuk bergerak sendiri tanpa sokongan parti lain kerana matlamat mereka adalah untuk memperjuangkan Islam dan bukannya agenda peribadi pakatan.

Adun Pas berjiwa rakyat disaran sertai parti dalam Pakatan Harapan


Mahfuz OmarMahfuz Omar
Mana-mana Exco atau Adun Pas di Selangor yang berjiwa rakyat disaran menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan ketika Pas terpaksa keluar dari kerajaan negeri selepas berpecah dari semua parti pembangkang.
Ahli parlimen Pas Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, langkah untuk kekal dalam kerajaan negeri Selangor penting kerana itulah mandat yang diberikan rakyat kepada mereka ketika diundi semasa Pas berada dalam Pakatan Rakyat.
"Jadi mereka perlu kekal bersama rakyat untuk mereka tidak dilihat mengkhianati mandat dan harapan rakyat," kata bekas naib presiden Pas itu.
Menurut Mahfuz, jika Pas ada maruah parti itu perlu keluar dari kerajaan negeri segera selepas putus hubungan dengan PKR dan lain-lain parti yang memerintah kerajaan negeri Selangor sekarang.
Namun, jika mereka (Exco dan Adun) berjiwa Selangor dan mementingkan rakyat mereka akan keluar dari Pas dan menyertai salah satu parti Pakatan Harapan.
Terutama sekali selepas menteri besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri meminta Exco Pas berbuat demikian, katanya.

Anwar musykil alasan PAS putus hubungan politik dengan PKR

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim musykil terhadap alasan di sebalik tindakan PAS memutuskan hubungan politik dengan partinya.
Anwar berkata alasan yang diberikan, terutama dalam kaitan dengan RUU355, adalah tidak tepat.
"Ternyata pimpinan PAS tidak meneliti kenyataan saya dan presiden PKR (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) yang menghormati hak Datuk Seri Hadi Awang (untuk mengusul pindaan tersebut) dan mengusulkan supaya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan," kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.
Dakwaan tidak penyokong usul pindaan Hadi adalah salah satu daripada sebab yang dinyatakan oleh majlis syura PAS apabila ia secara rasmi memutuskan hubungan politik dengan PKR pada hari Khamis.
Usul Hadi bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan syariah sehingga penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.
Malah, kata Anwar, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menegaskan bahawa kerajaan Umno-BN tidak akan membawa RUU355 sebagai urusan kerajaan.
"Anehnya Umno tidak dipersalahkan kali ini," katanya.
Anwar merujuk kepada pengumuman Najib pada April bahawa Putrajaya tidak akan membawa usul RUU355, ekoran bantahan parti-parti komponen BN.
Walaupun beberapa pemimpin PAS seperti Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bahawa ia bukti Umno tidak boleh dipercayai untuk menegakkan Islam, Hadi telah berkata bahawa PAS berterima kasih kepada kerajaan.
Ini kerana kerajaan memberi laluan pada hari terakhir sidang Parliman pada bulan April, untuk membolehkan Hadi  membacakan usulnya bagi membentangkan rang undang-undang tersebut.
Anwar berkata PKR tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi dan bahawa matlamatnya adalah jelas iaitu untuk menewaskan kerajaan Umno-BN.
Mengenai Selangor, bekas ketua pembangkang itu melahirkan keyakinan bahawa Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali terus menerajui kerajaan negeri berdasarkan mandat penuh rakyat dan khidmat rakyat yang dicurahkan selama ini.

Kerjasama Dr M bukan 'perjanjian syaitan', kata Wan Azizah

Bekerjasama dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bukan menjalinkan perjanjian dengan syaitan, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam temu bual dengan Al-Jazeera, Wan Azizah ditanya 'betapa terdesaknya untuk berkuasa' kerana menjalinkan kerjasama dengan individu yang pernah menyokong pemenjaraan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu menjawab, Mahathir menyertai pembangkang menunjukkan betapa buruknya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan tahap perubahan kerajaan yang diperlukan.
"Ia bukan suatu pakatan dengan syaitan, tidak. Jika individu itu sendiri, Anwar boleh memaafkan (Mahathir), bak kata pepatah 'manusia melakukan kesilapan, memaafkan itu sesuatu yang mulia'," ujar Wan Azizah.
Mahathir meninggalkan Umno dan menjadi sebahagian daripada pembangkang sejak bulan Februari tahun lepas. Beliau kini mengepalai Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang menjadi komponen Pakatan Harapan yang antaranya ditunjangi oleh Wan Azizah.
Sementara itu, Wan Azizah menolak soalan sama ada pembangkang kini membantu rakan-rakan bekas perdana menteri itu dengan merujuk kepada wawancara yang dijalankan Mehdi Hasan dengan memetik kenyataan Anwar pada 2015 bahawa 'penyingkiran Najib yang diterajui Mahathir, demi beberapa kroni'.
"Saya tidak setuju. Kami tidak memintanya untuk sertai, beliau sertai kami di kehendaknya sendiri," tambahnya.

Kenapa kerajaan Malaysia ‘tutup mata’ syarikat China bawa masuk PATI?

Rakyat Malaysia patut berasa bimbang dengan pendirian kerajaan dalam isu pekerja asing tanpa izin (PATI) dari China yang bekerja di projek Forest City.
Setelah dibongkarkan dalam media bahawa projek Forest City menggunakan PATI, Kementerian Dalam Negeri menyatakan bahawa kerajaan akan membenarkan pemutihan PATI terlibat. (Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/381625)
Pertama sekali, jelas bahawa sistem kawalan sempadan kita mempunyai masalah yang amat besar apabila PATI dari China boleh memasuki negara dan bekerja di sebuah projek gergasi secara terbuka tanpa sebarang tindakan undang-undang ke atas mereka mahupun majikan mereka.
Forest City bukan sebuah projek yang tersembunyi dalam hutan walaupun namanya “Forest”, malah merupakan sebuah projek gergasi di ibu negeri Johor yang dijangka bakal mempunyai hampir 120,000 unit rumah.
Keduanya, sindiket orang dalam Jabatan Imigresen terbukti masih lagi berleluasa apabila didedahkan bahawa ada PATI China yang telah diberikan pas kerja setelah bekerja untuk satu tempoh di projek tersebut.
Ketiganya, kombinasi kawalan sempadan yang begitu lalai dan dasar memudahkan pemutihan seolah-olah menggalakkan aktiviti kemasukan orang asing secara haram termasuk melalui penyeludupan manusia. Ini kerana agen-agen dan pekerja migran sendiri tahu bahawa mereka boleh diputihkan dengan mudah pada kemudian harinya.
Saya telah memberikan amaran di Parlimen bahawa ini mewujudkan keadaan di mana “it is easier to say sorry than to ask for permission”; buat salah dahulu kemudian baru minta maaf.
Tiada maaf bagimu
Kerajaan telah membuka peluang pemutihan melalui proses E-Kad sejak 15 Februari 2017. Walaupun tempoh permohonan E-Kad belum tamat, namun tiga bulan sudah berlalu. Malangnya, majikan PATI China tersebut langsung tidak mengambil sebarang inisiatif untuk melakukan pemutihan sebelum isu ini terbongkar.
Justeru, saya menyarankan agar pemutihan tidak dibenarkan dalam kes ini dan tindakan undang-undang yang keras diambil sebagai amaran kepada syarikat asing yang terlibat kerana mereka bukan sahaja mengeksploitasi pekerja dan memburukkan nama Malaysia, malah telah melanggar undang-undang negara kita secara sedar dan sengaja.

Pelajar sendiri minta hadir sambutan Umno, sembang Ku Nan

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan, parti itu tidak pernah memaksa mana-mana pihak untuk menyertai sambutan ulang tahun Umno ke-71.
Menyifatkan isu itu sengaja 'diputar belit', Tengku Adnan berkata pelajar berkenaan sendiri meminta untuk hadir ke acara itu semalam.
"Banyak diputarbelit, memang ada pelajar hadir. Mereka minta untuk hadir jadi kita jemput jelah. Ada daripada mereka dari UniKL, UiTM, ada juga ada universiti lain yang datang.
"Jadi kita biarkan (mereka nak datang). Mereka datang sebagai NGO.
"Janganlah tuduh kita paksa mereka (pelajar). Kita tidak pernah paksa sesiapa," katanya ketika ditemui pemberita di Putrajaya hari ini.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa acara semalam bukanlah himpunan parti politik, sebaliknya sambutan ulang tahun ke-71 sebuah parti politik.
"Ia bukan himpunan politik. Ia adalah sambutan ke-71 parti kita. Bukan himpunan politik," kata anggota parlimen Putrajaya itu lagi.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan, UiTM nafi memperalatkan mahasiswanya untuk turun ke Stadium Bukit Jalil, semalam.
Ia ekoran dakwaan Pemuda PKR dan DAP yang mendakwa Umno menggerakkan mahasiswa UiTM untuk hadir ulang tahun Umno ke-71.
Mereka menyebarkan rakaman skrin di kumpulan WhatsApp berkaitan mahasiswa UiTM bagi membuktikan dakwaan itu dan menuduh Umno 'menipu' pelajar.

Logo Umno di bangunan DBKL hanya ‘percubaan’ dan berbayar sembang Ku Nan

Menteri Wilayah Persekutuan itu menyifatkan ahli Parlimen pembangkang yang membantah tayangan logo parti itu di bangunan kerajaan sebagai cemburu.
Tengku-Adnan_umno_dbkl_new600
PUTRAJAYA: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempertahankan tayangan logo ulang tahun Umno ke-71 di bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) setinggi 34 tingkat atas alasan ia sekadar “percubaan” untuk paparan digital struktur itu.
“Bagi Dewan Bandaraya, (paparan digital di) bangunan itu masih dalam (peringkat) percubaan. Ia belum selesai. Jadi, saya minta mereka cuba (guna logo Umno itu),” kata menteri Wilayah Persekutuan itu.
Setiausaha agung Umno itu mendakwa ahli Parlimen pembangkang yang membantah logo diletakkan di bangunan kerajaan itu marah dengan setiap perkara dilakukannya.
Beliau berkata, Umno secara amnya membayar untuk iklan itu diletakkan di ruang awam seperti pusat beli-belah dan papan iklan.
“Mengapa mereka marah? (Itu) bukan sahaja di bangunan DBKL, logo itu juga ada di (pusat beli-belah) Pavillion, Jalan Klang Lama dan Segambut.”
“Kami dikenakan bayaran dan kami membayarnya. Apa masalahnya? Mereka cemburu.
“Apabila mereka lakukan perkara tertentu, itu okey,” katanya sambil menambah “gambar” tertentu turut dipasang di beberapa bulatan di Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menemui ahli surau Putrajaya di pejabatnya hari ini.
Logo, termasuk lambang Umno ditayang di paparan digital yang meliputi seluruh bahagian depan ibu pejabat DBKL itu di Jalan Raja Laut.
Ia turut menonjolkan butiran perhimpunan sempena sambutan ulang tahun Umno ke-71 di Stadium Bukit Jalil yang dihadiri pemimpin tertinggi parti itu, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.
Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai Ku Nan turut mempertahankan kehadiran penuntut universiti diminta menyertai sambutan itu dengan berkata, ia bukan perhimpunan politik.
Katanya, penuntut dibenarkan menghadiri majlis sedemikian di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.
“Terdapat banyak putar-belit dalam isu ini. Sesetengah penuntut mahu menghadiri sambutan itu. Jadi, kami jemput mereka. Ada yang datang dari UniKL, UiTM, dan universiti lain juga.

SELEPAS MAAFKAN MAHATHIR, PENGGUNA MEDIA SOSIAL SOKONG IZZAH JADI PM


PENGGUNA media sosial Malaysia rata-rata kagum dengan cara Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menjawab soalan mengenai kemaafan untuk mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang bertanggungjawab memecat ayahnya hampir 20 tahun lalu.
Soalan itu dikemukakan Pengerusi CIMB Nazir Razak, yang juga adik lelaki Perdana Menteri Najib Razak, di World Economic Forum di Phnom Penh, Kambodia, semalam ketika Izzah berucap mengenai evolusi politiknya.
Ramai yang memuji ahli Parlimen Lembah Pantai pembangkang itu selepas dia mengakui yang sukar bertentang mata dengan Mahathir untuk pertama kali selepas bertahun lamanya tidak berjumpa, tetapi penderitaan peribadinya perlu diketepikan demi kepentingan negara.
Mohammad Tazli Azizan, Khairul Anuar Ahmad Zainudin dan Dylan Raman semuanya memuji Izzah mengatakan yang dia mempunyai kualiti seorang perdana menteri.
“Saya tidak kisah sekiranya dia jadi perdana menteri kita nanti,” komen Tazli ketika gabungan pembangkang Pakatan Harapan masih belum menamakan calon perdana menteri mereka.
Dylan pula menulis: “Perdana menteri wanita pertama kita tidak lama lagi. Etika kerja, jujur, integriti, bijak dan disukai ramai.”
Seorang lagi pengguna Facebook Dr Aidiaahmad Ppsf berkata Izzah menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan pada usia muda dalam jawapannya kepada Nazir.
“Pengajaran diterima. Jadi objektif dalam kehidupan anda, pastinya emosi boleh jadi panduan, tetapi bukan penggerak,” tulisnya.
Lee Siwe Hwa juga memuji sikap Izzah mendepani cabaran dalam bekerjasama dengan lelaki itu (Dr Mahathir) yang sudah lama dianggap sebagai musuh.
“Kata-katanya seperti boddhisatva. Dia dan emaknya mempunyai jiwa dan minda yang suci,” kata pengguna Facebook itu, merujuk kepada ibu Izzah, presiden PKR dan ketua pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Semantara itu, Alfred Lim pula menulis: “Memaafkan mudah tetapi untuk MELUPAKAN?”
Seorang lagi pengguna Facebook Bryan Seow menyoal Nazir sekiranya dia boleh memaafkan adiknya dengan mudah kerana layanan adiknya kepada seluruh rakyat Malaysia.
Ketika Nazir bertanyakan sekiranya memaafkan Mahathir ialah perkara mudah, Izzah berkata yang dia menerima semua orang untuk menjadi sebahagian daripada agenda perubahan selagi mana mereka jelas tidak ada justifikasi yang membenarkan kewujudan diktator atau autokrasi.
Katanya lagi dalam kembara mencari keadilan yang dipandu objektiviti dan belas ihsan, autokrat yang paling kejam pun boleh berubah.
Tambahnya, Mahathir ialah “diktator yang paling tidak disukai” tetapi dia masih bersopan dengannya kerana dia dibesarkan penuh adab.

Pakar undang-undang: Exco PAS perlu dipecat atau berundur

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali patut keluarkan 3 exco PAS atau mereka meletak jawatan susulan keputusan Majlis Syura Ulama untuk memutuskan “tahaluf siyasi” dengan PKR, kata seorang pakar undang-undang perlembagaan.


Prof Abdul Aziz Bari berkata dalam model Westminster, yang menjadi struktur kepada sistem politik Malaysia, wakil rakyat harus keluar apabila badan tertinggi parti atau kepimpinan tertinggi membuat pendirian.
“Ketua eksekutif, sama ada perdana menteri, menteri besar atau ketua menteri, boleh keluarkan anggota kabinet mereka,” katanya.
Aziz berkata demikian menjawab kenyataan Azmin semalam, yang mengatakan tiada rombakan dalam barisan kepimpinan negeri kerana pengundi pada pilihan raya lepas memilih PAS, serta DAP dan PKR untuk bersama membentuk kerajaan negeri.
Exco Datuk Iskandar Abdul Samad juga berkata mereka akan kekal dalam kerajaan Selangor sementara menunggu keputusan kepimpinan tertinggi parti.
Petang tadi Majlis Syura Ulama PAS membuat ketetapan “tahaluf siyasi” antara PAS dan PKR terbatal.
Majlis itu menyerahkan persoalan sama ada 3 exco mereka perlu berundur dari kerajaan Selangor kepada Jawatankuasa Kerja Pusat PAS.
Majlis itu berkata sebarang tindakan perlu dilakukan dengan merujuk kepada “maslahat” dan “kepentingan Islam dan rakyat”.
Aziz berkata PAS perlu mengambil pendirian berprinsip, seperti yang dilakukan bekas presiden mereka Tan Sri Mohd Asri Muda pada 1977.
Pada ketika itu, Menteri Besar Kelantan Mohamad Nasir dari PAS, yang cenderung ke arah Umno, hilang undi tidak percaya dalam dewan undangan negeri tetapi enggan meletak jawatan.
Akibatnya, Aziz berkata Kuala Lumpur mengisytiharkan kecemasan untuk meletakkan negeri itu di bawah kerajaan persekutuan.
PAS menyertai Barisan Nasional pada 1973 dan Asri menjadi menteri persekutuan.
“Tetapi Asri meletak jawatan dari kabinet sebagai membantah apa yang berlaku di Kota Bharu,” kata Aziz.
Begitu juga anggota kabinet dari zaman Tunku Abdul Rahman hingga Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan atau dikeluarkan kerana tidak seiring dengan perdana menteri.
“Jadi, tiada cara lain exco PAS boleh kekal dalam pentadbiran Selangor selepas keputusan muktamar, yang secara sah merupakan badan pembuat keputusan tertinggi dalam sesebuah parti politik.”
Aziz berkata dari sudut perundangan, keputusan Majlis Syura Ulama hari ini bersifat menasihat dan tidak mempunyai kesan perundangan.

‘Kecelaruan pembangkang beri BN peluang tinggi menang PRU14’ - Bung Moktar

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Bung Moktar Radin berkata, BN diyakini akan memenangi PRU14 berbanding pembangkang yang masih tidak sehaluan.
Bung-Moktar_bn_600
PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin berpendapat kecelaruan di kalangan parti pembangkang memberi peluang tinggi kepada BN untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ini kerana, katanya, kepercayaan antara parti komponen BN menunjukkan parti itu lebih diyakini rakyat berbanding parti pembangkang.
“Sebab itu dari awal kita menyatakan BN merupakan satu pakatan yang percaya antara satu sama lain.
“Sebab itu kita kekal sampai berpuluh-puluh tahun. Jadi, rakyat perlu melihat lebih rasional untuk beri kepercayaan dan pengundi perlu bijaksana, parti mana yang diberi keyakinan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas keputusan Majlis Syura Ulama PAS pada Khamis lalu yang secara rasmi memutuskan hubungan dengan PKR, ekoran usul diluluskan perwakilan Muktamar PAS ke-63 di Kedah, pada 30 April lalu. Mereka menyenaraikan 3 pelanggaran dilakukan parti reformasi itu.
“Antara pelanggaran tersebut ialah tidak menyokong, malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa PAS seperti RUU 355,” kata Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh Zawawi, merujuk rang undang-undang persendirian dibawakan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
“PKR juga dilihat bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan. Malah, menentang PAS dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.”

Wanita Umno sudah bersedia hadapi PRU14 - Shahrizat

Wanita Umno sudah bersedia untuk turun habis-habisan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kata ketuanya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata sayap wanita berasa yakin untuk menghadapi pilihan raya kerana mereka telah mendekati rakyat di peringkat akar umbi secara berterusan dan menjadi "mata dan telinga" kerajaan.
"Pada bila-bila masa pun pilihan raya diadakan, kita sudah bersedia untuk menghadapinya. Selama ini, kita telah melakukan semua yang mampu untuk rakyat," kata Shahrizat selepas menyampaikan bantuan kesihatan daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) kepada pesakit dialisis, S. Subamah, 70.
Shahrizat juga mengulangi apa yang ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa sebab Umno terus relevan ialah kerana parti itu tidak pernah menyimpang daripada landasan perjuangannya untuk membela rakyat.
"Kita sentiasa berjuang untuk kebaikan rakyat seperti apa yang ditegaskan oleh presiden kita (Najib) dalam ucapan beliau semasa sambutan Ulang Tahun Umno ke-71.
Kelmarin, dalam ucapannya, Najib berkata parti itu bukan sahaja berjuang untuk anggotanya tetapi untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
Sementara itu, timbalan ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata anggota Umno di peringkat akar umbi sedang bekerja keras untuk memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) dapat merampas semula Selangor daripada Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum ke-14.

TUN M: ‘PARTI PENYEBAB PERTANDINGAN TIGA PENJURU SEBENARNYA PENGKHIANAT’


Pilihan raya umum ke-14 adalah yang terpenting dalam sejarah negara.
Tumpuan ialah kepada menjatuhkan rejim Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Seluruh rakyat sedar bahawa rejim pimpinannya telah merosakkan negara. Kerosakan ini berlaku dalam semua bidang.
Politik
Dalam politik negara Najib telah hancurkan demokrasi sehingga Malaysia dikenali sebagai kleptokrasi; iaitu kerajaan dipimpin oleh penjenayah yang melesapkan kewangan negara; kerajaan yang tidak berpandu kepada undang-undang; kerajaan yang menekan rakyat secara zalim; yang membelakangkan keadilan; yang tidak hormati perpisahan antara legislatif (pembentuk undang-undang) dengan eksekutif (pelaksana dasar dan undang-undang) dan judisiari (kehakiman).
Ketiga-tiga ini dikuasai oleh Najib sebagai ketua kerajaan dari pihak pembuat undang-undang.
Dasar berkecuali sudah dihapuskan oleh Najib, diganti dengan ikatan ketenteraan dengan negara China.
Ekonomi
Ekonomi Malaysia rosak teruk kerana rasuah, peningkatan perbelanjaan pentadbiran dan penambahan kakitangan kerajaan yang tinggi; belanjawan yang tidak bijak yang menumpu kepada mendapat sokongan popular kepada perdana menteri khususnya, pinjaman terlalu besar dan dasar yang menekan swasta.
Hari ini beban hutang tidak dapat dibayar oleh kerajaan.
Sosial
Kos sara hidup rakyat meningkat kerana Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kejatuhan nilai ringgit yang teruk. Pengangguran meningkat termasuk di kalangan lulusan universiti.
Pelaburan asing terhad kepada pembelian tanah untuk dibangun bandaraya oleh kontraktor luar dengan mengguna bahan dan pekerja dari negara kontraktor.
Kos pelajaran dan rawatan meningkat tinggi dan tidak dapat ditanggung oleh kebanyakan rakyat.
Semua bidang-bidang politik, ekonomi dan sosial yang telah jadi buruk kerana dasar dan pengurusan Najib akan menjadi lebih buruk lagi jika Najib terus berkuasa.
Hanya jika kerajaan pimpinan Najib diganti dengan kerajaan baru sahaja barulah boleh keadaan politik, ekonomi dan sosial dipulih semula.
Bolehkah kita yakin kerajaan yang mengganti dapat mentadbir dengan lebih baik dari Najib? Sesungguhnya tidak ada kerajaan yang begitu buruk dan berjenayah besar seperti kerajaan Najib.
Kerajaan yang bercadang mengganti Najib ialah kerajaan parti-parti campuran pembangkang yang akan dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang mahir dalam politik dan dibantu dengan mereka yang berpengalaman dalam pentadbiran negara.
Mereka tidak ada rekod jenayah atau menyalahguna kuasa. Mereka terpelajar dan pernah menjadi anggota kerajaan.
Soalnya apakah mungkin gabungan parti-parti lawan menang dalam PRU14. Besar kemungkinan mereka menang jika pertandingan hanyalah antara mereka dengan BN.
Tetapi ada parti-parti yang kononnya akan letak calon untuk melawan Najib dan BN. Dengan ini akan berlakulah pertandingan tiga atau empat penjuru.

Pas batal tahaluf, PKR Kelantan sedia lepas jawatan politik

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan menunggu arahan daripada parti di peringkat pusat berhubung status jawatan PKR di negeri itu ekoran Pas memutuskan kerjasama politik dengan parti itu kelmarin.
Hafiz RizalHafiz Rizal"Kami menunggu arahan dari keadilan pusat, " kata ketua AMK Kelantan, Dr Hafiz Rizal dalam satu kenyataan yang tular di media sosial petang semalam.
Beliau berkata jawatan bukan segala-gala dalam politik.
"AMK Kelantan merasakan nadi rakyat perlu diutamakan berbanding jawatan," katanya.
Beliau menyatakan rasa kecewa terhadap Pas yang membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR.
"Salah satu alasan yang diberikan ialah kononnya PKR menentang RUU 355.
"Sedangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan kepada pembentangan RUU 355 oleh ahli parlimen Marang," katanya.
Beliau sendiri katanya di Kelantan berusaha sebaik mungkin menjaga tahaluf siyasi.
"Tetapi kita memang keliru apa yang mahu dicapai oleh Pemuda Pas.
"Baru-baru ini sebelah malam saya bawa YB Tian Chua ke Machang, setelah saya di hubungi oleh Nazman Che Iberahim untuk menggantikan tempat Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Machang, saya berusaha membawa ahli parlimen Batu ke Machang.
"Keesokan pagi Pemuda Pas luluskan usul putus tahaluf.
"Apa yang mahu dicapai apabila kita diajar dengan beberapa sifat nafsu, dalam kategori apa nafsu ini," katanya.
Pihak PKR katanya sayangkan Kelantan daripada jatuh kepada Umno atau BN.
"Tetapi kita lebih sayang negeri ini untuk diperbetul perjalanan untuk mencapai baldatun toyyibatun wa rabbun ghaffur.
"Untuk itu kami akan berusaha memperkuatkan Pakatan Harapan," katanya.

'Satu juta pekerjaan dalam 5 tahun' jika Harapan menang Putrajaya

Ceramah Pakatan Harapan di Pekan Paka, Dungun

Mazlan Aliman: Rasuah Hartanah JOHOR & FELDA Yg Dilingkupkan Najib Razak

UpFront : Can Malaysia's opposition win?

Dr Hatta Ramli: Najib Razak Kelu,China Tarik 7.8 Bilion Pelaburan Bandar Malaysia