Sabtu, 8 April 2017

Husam masih berharap PAS akan sertai Pakatan Harapan

Husam Musa berkata, puak 'rasional' dalam PAS mungkin menang pada muktamar akan datang dan parti Islam itu mungkin menyertai semula pakatan pembangkang.
husam-musa_pas_pakatan_600
SHAH ALAM: Datuk Husam Musa tidak menolak kemungkinan PAS menyertai Pakatan Harapan semula, walaupun parti Islam itu sudah mengumumkan tidak akan berbuat demikian dengan adanya DAP dan Amanah dalam pakatan berkenaan.
Disebabkan masih ada puak “rasional” dalam parti itu, bekas naib presiden PAS itu berharap puak berkenaan dapat mengambil alih pucuk pimpinan parti selepas muktamar pada akhir bulan ini dan seterusnya membuka jalan kepada kemungkinan itu.
“Masih ada harapan, tetapi mereka (PAS) perlu berunding dengan PH secara keseluruhan dan bukan hanya komponennya,” kata adun Salor itu pada sebuah majlis dialog semalam.
Turut hadir ialah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Walaupun PAS memutuskan hubungan dengan DAP disebabkan isu hudud dan Amanah – parti serpihan PAS yang terdiri daripada bekas ahli daripada puak profesional parti Islam itu – ia terus mengekalkan hubungan dengan PKR, khasnya dalam kerajaan Selangor. Ketiga-tiga parti itu sebelum ini sebahagian daripada Pakatan Rakyat.
Husam yakin pertandingan 1 lawan 1 antara Barisan Nasional dan pembangkang akan berlaku di Kelantan kerana pertembungan pelbagai penjuru memudaratkan PAS yang akan menghadapi risiko kehilangan kuasanya di negeri Pantai Timur itu.
“Ia seperti membunuh diri bagi PAS dalam pertarungan 3 penjuru.

HARGA RON95 BOLEH NAIK SEHINGGA 20 SEN SELITER MINGGU INI, PENGGUNA PERLU BIJAK MEMANTAU HARGA


Keengganan Dato’ Seri Najib Tun Razak mengembalikan subsidi apabila pentadbiran beliau melaksanakan semakan harga minyak mingguan telah menjerumuskan rakyat kepada turun naik harga minyak yang tidak menentu setiap minggu.

Minggu ini, harga RON95 dijangka akan naik di antara 10 sen hingga 20 sen seliter bergantung kepada reaksi pasaran dunia kepada ketegangan geopolitik yang berlaku di Timur Tengah ekoran serangan roket Amerika Syarikat ke atas lapangan tentera udara Syria semalam.

Saya sertakan carta harga minyak rujukan dunia iaitu Brent (dalam USD setong) yang dikeluarkan Bloomberg:

Harga minyak mentah dunia melonjak dari USD53.12 setong pada permulaan minggu ini (3 April 2017) dan ditutup pada USD55.12 semalam (7 April 2017), iaitu peningkatan mendadak sebanyak 4% dalam masa seminggu. Bergantung kepada tindakbalas Russia (sekutu kuat rejim Assad) dan tentera rejim Assad, jika ketegangan geopolitik itu tidak reda, minggu depan boleh menyaksikan peningkatan mendadak harga minyak mentah.

Jika harga minyak mentah naik pada kadar yang sama iaitu 4% seperti minggu ini, harga Brent boleh mencecah USD57.20 setong. Saya lebih bimbang jika ia naik lebih tinggi dari itu dan melonjakkan harga minyak mentah melepasi USD58 setong.

Oleh kerana harga minyak di stesen minyak berubah setiap minggu, saya menyeru pengguna supaya memantau harga RON95 setiap minggu untuk membolehkan mereka mengatur pembelian minyak pada hari/minggu yang harganya lebih murah sebelum harga dinaikkan pada minggu seterusnya.

Untuk membantu pengguna, saya memutuskan untuk menerbitkan ramalan harga mingguan apabila berlaku kenaikan atau penurunan harga mendadak di pasaran dunia (atau faktor-faktor lain seperti perubahan nilai matawang Ringgit) yang membawa kesan besar kepada harga petrol dan diesel.

Bagi tujuan itu, saya menggunakan kaedah-kaedah berikut:

i. Membina pengkalan data harga minyak mentah Brent, kadar pertukaran matawang, harga RON95 dan harga mengikut kiraan formula yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan

ii. Menggunakan kaedah statistik mudah untuk menentukan perkaitan harga RON95 dengan harga minyak mentah Brent serta kadar pertukaran matawang

iii. Menggunakan perkaitan itu untuk meramalkan harga RON95 bagi minggu seterusnya

Dengan menggunakan data mingguan seperti (i) hingga (iii) bagi bulan Februari dan Mac; plot perkaitan harga RON95 dengan harga minyak mentah Brent adalah seperti berikut:

Oleh yang demikian, saya meramalkan harga RON95 mengikut harga Brent bagi minggu depan seperti berikut, iaitu:

Terlibat atur perlawanan akan digantung seumur hidup, kata Presiden FAM

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan IbrahimPresiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Pemain dan pegawai bola sepak yang terlibat dalam mengatur keputusan perlawanan akan digantung seumur hidup daripada sebarang aktiviti sukan itu.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata keputusan itu adalah antara sasaran baru Exco FAM untuk menangani isu rasuah dalam bola sepak negara.
"Kami (FAM) akan melakukan yang terbaik dengan pihak berkuasa, sama ada polis atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menangani masalah keganasan, mengatur perlawanan dan sebagainya.
"Buat masa ini, jawatankuasa disiplin, jawatankuasa integriti dan semua lembaga disiplin perlu lebih tegas kerana saya tidak berkompromi apabila membabitkan rasuah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco FAM yang pertama sejak jawatankuasa bagi penggal 2017-2021 dilantik pada 25 Mac lepas, di sini hari ini.
Tunku Mahkota Johor itu juga berkata FAM telah memberi akses penuh kepada SPRM untuk menyiasat secara menyeluruh ke atas semua persatuan bola sepak negeri dan kelab serta badan induk itu sendiri, bagi membantu FAM menangani rasuah bola sepak.
Beliau juga berkata penyokong pasukan yang terlibat dalam keganasan sewaktu perlawanan akan juga mengakibatkan pasukan mereka dipotong mata, berbanding hukuman denda kerana gagal mengawal penyokong mereka.
Beliau menjelaskan denda yang dikenakan ke atas persatuan atau kelab tidak mampu menebus kesakitan atau kesukaran yang dialami pasukan terlibat dan penyokong mereka perlu menanggung sama tanggungjawap atas sikap mereka.
"Oleh itu, akan ada potongan mata supaya penyokong sedar apabila mereka mencetuskan kekecohan, mangsa sebenar adalah pasukan mereka, bukannya persatuan atau ahli kelab," katanya.
Mengenai pelantikan jurulatih kebangsaan, Tunku Ismail berkata beliau akan menemui beberapa jurulatih luar negara dalam masa terdekat dan dijangka menamakannya dalam masa beberapa minggu lagi.

PAS turun padang lagi untuk jelas RUU 355 kepada rakyat

Timbalan presiden PAS berkata, penjelasan itu turut akan diberikan kepada orang bukan Islam dalam tempoh 2 hingga 3 bulan ini.
Tuan-Ibrahim_pas_ruu355_600
LABUAN: Pemimpin PAS akan turun padang untuk memberi penjelasan berhubung Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau RUU 355 kepada masyarakat, termasuk yang bukan beragama Islam, dalam masa 2 hingga 3 bulan akan datang.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembentangan RUU 355 memperjelaskan kekeliruan yang selama ini menggambarkan seolah-olah rang undang-undang itu merupakan pintu belakang kepada hudud.
“Pembentangan itu jelas bukan sebagaimana yang didakwa untuk melaksanakan hukum hudud, tetapi ia hanyalah menaik taraf Mahkamah Syariah. Pembentangan itu sedikit sebanyak meredakan kekeliruan masyarakat,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri program anjuran PAS hari ini.
Pembentangan RUU 355 dibuat Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga presiden PAS, pada hari terakhir Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13, pada Khamis lepas.
Tuan Ibrahim berkata: “PAS berasa lega dengan pembentangan RUU 355 setelah sekian lama tertangguh.”
Berhubung kerjasama dengan parti pembangkang lain seperti DAP, beliau berkata. meskipun sudah tidak ada kesepakatan, namun pemuafakatan sebagai parti pembangkang masih wujud khususnya dalam pembahagian kerusi dalam pilihan raya ke-14 akan datang.
“Apa yang kita harapkan kerusi yang ditandingi PAS tidak akan diganggu parti pembangkang lain. Sebenarnya dalam konteks pembangkang, tidak ada dibentuk satu muafakat berdaftar, seperti ada satu logo, satu lambang seperti Barisan Nasional, yang penting adalah muafakat,” katanya.

Akta 355: Anwar utamakan pindaan lebih holistik

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim nyata 'ketinggalan' dalam perbahasan pindaan kepada rang undang-undang (RUU) pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 setelah jasadnya terpenjara di Sungai Buloh.
Namun, dalam menyentuh mengenai isu berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui partinya, Anwar tidak menolak cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta 355 yang bertujuan untuk mengukuhkan mahkamah Syariah, seperti kata PAS.
Anwar menyatakan sokongan ke atas sebuah jawatankuasa khas PKR mengenai Akta 355 bagi melihat pelbagai aspek Mahkamah Syariah dan bukan hanya berkenaan hukuman seperti yang dicadangkan oleh Abdul Hadi.
"PKR telah menyatakan kerelaan menyertai Jawatankuasa Pilihan untuk meneliti, secara menyeluruh, pemerkasaan Mahkamah Syariah yang akan dilaksanakan.
"Ia termasuk keutuhan, kebebasan dan kompetensi kehakiman Mahkamah Syariah, pendakwaan bebas, sistem penjara termasuk tahap hukuman, program latihan yang perlu serta infrastruktur yang lebih baik dan belanjawan yang bersesuaian.
"Maknanya, usul Jawatankuasa PIlihan lebih luas dan mencakupi, dan tidak hanya terbatas kepada tahap hukuman," katanya.
Anwar berkata, pendekatan tersebut akan menjadi lebih bermakna dan berkesan.
Tegas beliau, satu aspek kontroversi dan membimbangkan dalam RUU 355 adalah hukuman yang jauh lebih tinggi daripada yang sedia ada dan perlu penelitian dan pemerincian.

Kakitangan awam naik ketara kerana mahu popular

Sebaliknya menurut Dr Mahathir, beliau berjaya mengurangkan jumlah penjawat awam melalui dasar penswastaan tetapi ia meningkat dengan ketara sejak beliau bersara pada 2003.
mahathir_pekerja-awam_600
SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau berjaya mengurangkan jumlah penjawat awam melalui dasar penswastaan tetapi bilangan itu meningkat dengan ketara sejak melepaskan jawatan perdana menteri 14 tahun lalu.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mendakwa apabila beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2003, kerajaan mempunyai kurang daripada sejuta kakitangan, tetapi bilangan itu kini meningkat kepada 1.6 juta.
“Ini dilakukan untuk mendapat populariti tanpa memikirkan akibatnya.”
Bekas perdana menteri itu berkata, dengan melakukan penswastaan agensi kerajaan, kerajaan tidak perlu berbelanja lebih untuk membayar gaji kakitangannya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai jumlah penjawat awam yang ramai pada hari ini.
“Apabila (Datuk Seri) Najib Razak mengambil alih jawatan perdana menteri, bilangan penjawat awam bertambah.
“Kita tidak perlukan ini. Sebahagian daripada mereka bergaji buta, di mana mereka tidak bekerja tetapi masih dibayar gaji.
“Kita perlu memindahkan mereka ke sektor swasta yang boleh menampung mereka supaya kita boleh menjimatkan wang,” kata beliau pada majlis dialog di sini, malam tadi.
Najib menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri pada 2009.

SPR sedia jumpa kerajaan Pulau Pinang di mahkamah

Mohd Hashim Abdullah berkata, SPR tidak akan menghalang rancangan kerajaan Pulau Pinang menyamannya kerana melihat ia adalah jalan penyelesaian terbaik.
spr-penangYAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan memberi penjelasan di mahkamah sekiranya kerajaan Pulau Pinang meneruskan hasrat memfailkan saman terhadap badan itu susulan dakwaan penemuan “maklumat mengejutkan” persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, SPR tidak akan menghalang sebaliknya melihat perkara itu jalan penyelesaian terbaik.
“Kita tidak boleh halang, ini bukan kali pertama, penjelasan akan diberi di mahkamah dan kita serah kepada mahkamah untuk buat keputusan,” katanya selepas merasmikan Program #Jom Kita Daftar Undi – Singgah Mesra SPR di Kampung Ruat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang merancang menyaman SPR susulan dakwaan penemuan “maklumat mengejutkan” berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri itu.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilaporkan enggan mendedahkan maklumat tersebut.
Dalam perkembangan lain, Hashim berkata, data Daftar Pemilih pada suku ke-4 2016 mencatatkan seramai 14,305,849 warganegara sudah mendaftar sebagai pemilih.
Berdasarkan data Jabatan Pendaftaran Negara sehingga 4 Januari tahun ini, jumlah warganegara yang berusia 21 tahun dan ke atas ialah 18.16 juta orang, katanya.
“Ini bermakna jumlah warganegara yang belum mendaftar sebagai pengundi menurun kepada 3,858,471 orang berbanding 4.1 juta orang pada suku ke-3 tahun lalu,” katanya.
Tambahnya, angka 4.1 juta itu sukar berganjak, namun menerusi usaha yang dijalankan SPR dan sokongan semua pihak berjaya meningkatkan kesedaran rakyat untuk mendaftar sebagai pemilih.
“SPR yakin dan percaya jumlah ini akan terus berkurangan bagi tempoh suku pertama 2017, yang sedang diproses ketika ini.
“Usaha yang dijalankan SPR dengan kerjasama pihak lain, termasuklah swasta dan media akan terus meningkatkan lagi jumlah pendaftaran pemilih pada masa akan datang,” katanya.

UMNO buat bantahan palsu, ribuan anak muda Selangor dinafi hak mengundi?

SERDANG, 8 APRIL: Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP, Dr Ong Kian Ming hari ini mempersoal tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membenarkan UMNO membuat bantahan palsu terhadap pengundi muda yang baru berdaftar sebagai pemilih.
“Kami telah menerima bukti bahawa bantahan di Selangor ini difailkan oleh ahli-ahli UMNO dan entiti berkaitan UMNO.
“SPR perlu menghentikan perkara ini serta-merta, hentikan semua bantahan palsu tak berasas yang sedang berlaku di Selangor saat ini,” gesanya dalam kenyataan.
Menurut Dr Ong, sehingga suku ketiga tahun 2016, sejumlah 4,694 bantahan telah diterima oleh SPR manakala pada suku keempat pula menyaksikan sejumlah 2,550 bantahan dibuat.
“Dari 4,694 bantahan, 94 peratus atau 4,427 bantahan telah difailkan di Selangor. Ini menunjukkan mereka menumpukan bantahan ini di Selangor,” kata beliau.
Ahli Parlimen Serdang itu menjelaskan, analisa yang dari suku pertama sehingga suku ketiga tahun 2016 itu mendapati, 30 daripada 36 kawasan pilihanraya yang dibantah itu merupakan kerusi yang ditandingi UMNO dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.

Apa yang menarik perhatian, 92.8 peratus pemilih baru yang dibantah merupakan pengundi berketurunan Cina, 5.8 peratus pengundi India dan 1.2 peratus pengundi Melayu.
Bagi suku keempat tahun 2016 pula, sejumlah 2,550 bantahan telah dibuat di Selangor melibatkan 24 kerusi.
“20 daripada 24 kerusi atau 83 peratus dariadanya merupakan kerusi yang ditandingi UMNO pada pilihanraya 2013,” jelas Dr Ong.
Daripada jumlah 2,550 itu kata beliau, 14.2 peratus adalah pengundi Melayu, 79.1 peratus pengundi Cina dan 6.3 peratus pula pengundi India.

SPRM SUDAH ADA KERTAS SIASATAN PEMINDAHAN WANG DARI AKAUN PERIBADI DATO’ SERI NAJIB


Saya sedia maklum jawapan rasmi Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Takiyuddin Hassan kepada kenyataan saya mengenai dana berkaitan 1MDB yang dipindahkan dan sampai kepada seorang tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS sekarang. Beliau menyeru supaya saya menyerahkan bukti yang saya ada kepada SPRM supaya SPRM boleh segera menyiasat.
Saya ingin memaklumkan kepada rakyat bahawa SPRM sudah pun menyiasat aliran dana dari akaun-akaun yang disiasat berhubung dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak. Dari siasatan itu, satu aliran dikesan sampai kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS itu.
Oleh itu, tidak timbul soal segera menyerahkan bukti kepada SPRM seperti yang dinyatakan oleh Datuk Takiyuddin itu. Namun, saya akan mendedahkan nama tokoh tersebut dalam masa beberapa minggu ini dan selepas itu, saya akan membuat laporan SPRM supaya SPRM dapat merujuk kembali kepada kertas siasatannya sendiri.
Setelah saya menamakan tokoh tersebut, ia akan menjadi ujian besar kepada UMNO dan PAS seperti berikut:
1. Pimpinan UMNO akan bergelut sekali lagi dengan isu campur tangan dalam pentadbiran keadilan negara sekiranya Peguam Negara sekali lagi menutup kes walaupun kertas siasatan telah selesai dan bukti telah dikumpul oleh SPRM;
2. Pimpinan PAS di segenap peringkat perlu menyemak sama ada mereka pernah sekali-kali menerima bantuan kewangan, derma, infaq atau dana (dalam apa jua bentuk dan bagi apa jua tujuan) dari tokoh yang saya namakan itu kerana ada kemungkinan besar ia dana dari wang rakyat yang dibelanjakan melalui 1MDB. Sebagai sebuah parti yang mengaku mengangkat Islam, setiap pemimpin PAS perlu lebih teliti dari semua parti lain mengenai asal usul sumber kewangan mereka untuk mengelakkan sumber yang disifatkan syubhah (diragui).

Saya pada mulanya tidak berniat untuk membawa isu ini tetapi episod di Parlimen semalam mengesahkan bagaimana isu penambahbaikan mahkamah syariah telah dimainkan lebih dari setahun demi memberi ruang bernafas kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Setelah ditangguhkan 3 kali, jelas bahawa isu yang dibawa oleh PAS melalui rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta 355 (RUU355) akan terus dijadikan umpan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak. Sementara saya bersedia untuk berbahas sepenuhnya dan memberikan pandangan bagaimana cara terbaik menambahbaik mahkamah syariah, persetujuan di luar dewan di antara Dato’ Seri Najib dan PAS (seperti yang disahkan oleh Dato’ Seri S Subramaniam, presiden MIC bahawa keputusan itu telah dipersetujui lebih awal di Majlis Tertinggi Barisan Nasional) menunjukkan Dato’ Seri Najib tidak berniat pun untuk menambahbaik mahkamah syariah.
Isu RUU355 telah dijadikan umpan untuk memastikan PAS kekal berkecuali sebagai blok ketiga dan tidak bersuara dalam isu-isu penting seperti 1MDB. Jika Parlimen bersidang untuk Belanjawan 2018 dalam bulan Oktober, saya yakin PAS sekali lagi akan berkecuali semasa pengundian belanjawan kerana bimbang akan menjejaskan persefahamannya dengan Dato’ Seri Najib yang berkisar mengenai RUU355.

RESOLUSI PAKATAN HARAPAN: 5 PELAN PUMULIHAN FELDA


Felda ditubuhkan dengan matlamat untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Malaysia yang berpendapatan rendah melalui pemberian lot tanah rumah dan ladang. Namun begitu, Felda kini telah menjadi konglomerat besar yang telah tersasar daripada tujuan asalnya.
Oleh demikian, Pakatan Harapan (PH) menawarkan resolusi-resolusi berikut bagi mengutamakan kebajikan peneroka Felda dan mengembalikan Felda ke hala tuju asal, agar kehidupan peneroka Felda lebih makmur, lebih berjaya dan lebih berdikari.
1. Mengukuhkan pengurusan dan tatakelola Felda
PH akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk membuat siasatan menyeluruh mengenai kerugian dan penyelewengan berbilion-bilion ringgit, terutamanya semasa pengurusan Mohd Isa Abdul Samad, bagi mendakwa pegawai yang didapati menyalahgunakan kuasa dan mengembalikan wang yang ditiris.
PH akan membatalkan semua transaksi yang tidak telus dan melibatkan kepentingan pihak tertentu, seperti pelaburan dalam Eagle High Plantations dan pinjaman wang dari Putra Star Investments. PH juga akan menyusun semula pelaburan Felda bagi memberikan tumpuan kepada perniagaan teras perladangan yang selaras dengan objektif meningkatkan kesejahteraan peneroka.
PH akan memastikan semua perlantikan pegawai Felda dan anak syarikat Felda adalah berdasarkan merit dan integriti. Pengerusi Felda akan dinilai oleh Parlimen bagi memastikan hanya calon yang meletakkan kepentingan Felda sebagai keutamaan dan mempunyai kelayakan profesional akan dilantik.
PH juga akan mengkaji manfaat dan risiko mengembalikan kawalan majoriti Felda Holdings Berhad daripada FGV kepada Koperasi Permodalan Felda.
2. Meringankan beban kos sara hidup dan hutang warga Felda
Memandangkan bahawa harga barang semakin meningkat, PH akan meningkatkan wang sara hidup setiap peneroka sehingga RM2,000 bagi menampung kos tanaman peneroka sebelum kelapa sawit mengeluarkan hasil. Apabila kelapa sawit berjaya dihasilkan dalam tempoh 7 hingga15 tahun, wang sara hidup ini boleh dibayar balik dengan potongan minimum RM800 sebulan sehingga selesai tanpa faedah.
Jumlah hutang peneroka semakin meningkat sehingga RM100,000, terdiri daripada hutang bulanan sara hidup dan hutang pinjaman perumahan. Memandangkan situasi hutang ini semakin serius, PH akan mengkaji semula satu sistem untuk melupuskan sebahagian besar, mungkin sebanyak 50%, hutang ini untuk memastikan peneroka tua tidak akan membebankan anak mereka dengan hutang tinggi. PH juga memberi jaminan bahawa tanah warisan peneroka tidak akan dirampas untuk tebus hutang ini.
PH akan menubuhkan satu agensi pemantauan yang tidak berat sebelah untuk menyemak semula apa-apa aduan berkaitan Oil Extraction Rate (OER) bagi memastikan process penilaian minyak sawit adalah telus dan peneroka menerima harga yang setimpal untuk buah sawit mereka.
3. Mewujudkan mekanisme untuk berkongsi tanah warisan
Ramai peneroka telah meninggal dunia tanpa mendaftar untuk pemindahan hak milik dan ini mengakibatkan pertikaian timbul antara waris peneroka. Malah, pembahagian tanah akan menjadikan setiap sebidang tanah terlalu kecil untuk menjana nilai komersial.

Jangan beli rumah tanpa jaminan 'Tiada EOT', kata HBA

MCA mahu MP DAP bayar RM100 juta

Najib epal saya oren: Tun M

Mahfuz Kecewa Agama Digunakan Untuk Politik

Kalau rakyat nak Anwar, siapa saya nak tahan rakyat: Tun M

SPRM perlu aktif kongsi maklumat jika mahu rakyat proaktif, kata C4

Cynthia Gabriel berkata dengan adanya maklumat itu, rakyat akan lebih proaktif untuk menjadi 'mata dan telinga' SPRM.
cynthia-gabriel_pekarja_sprm_600
GOMBAK: Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang kelihatan agresif membanteras kes rasuah kebelakangan ini, memberi lebih banyak maklumat mengenai individu-individu penting seperti kakitangan awam yang terlibat dalam rasuah.
Pengasas Pusat C4, Cynthia Gabriel berkata, langkah itu penting dalam meningkatkan kesedaran dan inisiatif rakyat untuk lebih proaktif termasuk menjadi “mata dan telinga” SPRM.
“Kita sokong tindakan SPRM membersihkan isu rasuah terutama dalam kalangan kakitangan awam. Tetapi, kita mahu pujuk SPRM memberi lebih banyak maklumat kepada orang ramai setakat mana yang boleh.
“Ini supaya rakyat juga boleh menjadi mata dan telinga dalam perkara yang berlaku dan lebih sensitif kepada isu salah guna kuasa (rasuah) dan pembaziran.
“Buat masa ini, maklumat daripada SPRM sangat kurang dan kita hanya tahu siapa yang ditangkap dan kita tidak tahu apa yang berlaku sehingga mereka membuat keputusan membawa kes ke mahkamah,” katanya kepada FMT hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan SPRM yang menumpukan perhatian terhadap penjawat awam terbabit dalam amalan rasuah kebelakangan ini.

Duti MPV naik 5%: BN khianati manifesto PRU13

Ahli politik pembangkang membidas BN kerana didakwa memungkiri janji pilihan raya untuk mengurangkan harga kenderaan, terbaru dengan menjana peningkatan duti eksais sebanyak lima peratus ke atas kenderaan tertentu.
"Semalam, Paul Tan Automotive News, laman web automotif popular mendedahkan kerajaan meningkatkan duti eksais ke atas MPV (kenderaan pelbagai guna) bajet sebanyak lima peratus kepada 65 peratus.
"Kenderaan yang terjejas oleh peningkatan duti eksais termasuk Honda BR-V, Toyota Sienta, Toyota Avanza, Perodua Alza dan Proton Ertiga.
"Dijangkakan pengeluar kereta akan memindahkan peningkatan dalam duti eksais kepada pelanggan, dan ini akan membuatkan kenderaan menjadi lebih mahal," kata Ketua Biro Publisiti DAP Perak Chong Zhemin dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan telah mengumumkan duti eksais untuk MPV, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan van berkapasiti 1.5 liter ke bawah dinaikkan sebanyak lima peratus daripada 60 peratus kepada 65 peratus berkuat kuasa 1 April.
Menurut Akta Eksais 1976 dalam Perintah Duti Eksais 2017 yang berkuat kuasa pada 1 April 2017, ia telah menggariskan duti eksais hendaklah dilevi ke atas dan dibayar oleh para pengilang atau pengimport.
"Langkah BN untuk menaikkan duti eksais ke atas bajet MPV adalah satu pengkhianatan ke atas manifesto PRU13 untuk mengurangkan harga kereta sebanyak 30 peratus.
"Sejak tahun 2013, pengeluar kereta telah menaikkan harga kereta sekurang-kurangnya dua kali kerana ringgit yang melemah.
"BN bukan sahaja gagal untuk merumuskan dasar untuk mengurangkan harga kereta, mereka juga telah gagal untuk meneutralkan kesan susut nilai ringgit yang menjurus kepada kenaikan harga kereta," kata Chong.

Najib tak nampak jalan keluar masalah RUU355, kata Dr Mahathir

Najib tak nampak jalan keluar masalah RUU355, kata Dr Mahathir
Dr Mahathir Mohamad berkata RUU355 tidak ada kena mengena dengan Islam tetapi segala-galanya berkaitan dengan politik. 
PERDANA Menteri Najib Razak kini berhadapan dilema selepas kegagalan meminda rang undang-undang syariah PAS, RUU355, dan kehilangan sokongan parti Islam itu, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata Najib tidak tahu apa yang perlu dilakukan berikutan kemelut ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Parlimen pada Khamis lalu.
"Saya rasa Najib tidak tahu apa hendak dilakukan. Beliau lakukan semua ini kerana inginkan sokongan PAS tetapi pada masa sama hilang sokongan pihak lain yang bukan PAS.
"Justeru, beliau dalam keadaan serba salah, dilema. Tidak nampak jalan keluar. Maka inilah cara yang boleh dilakukannya. Disebabkan tidak dapat bentangkan usul ini, beliau menyuruh PAS melakukannya.
"Saya anggap beliau akan kehilangan semua undi. Beliau gagal mendapatkan sokongan," kata Dr Mahathir selepas forum Hardtalk bertemakan "Malaysia Selepas Najib" di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam, malam tadi.
Perdana menteri paling lama itu diminta mengulas mengenai apa yang berlaku di Dewan Rakyat semasa pembentangan RUU355  oleh Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang pada Khamis sebagai rang undang-undang persendirian.
RUU355 tidak dibahaskan selepas Speaker Pandikar Amin Mulia menangguhkan die sinus Dewan.
Turut dilaporkan keputusan awal sudah dibuat untuk membolehkan Hadi membentang dan menjelaskan usul itu tetapi tidak akan dibahaskan serta diundi pada persidangan ini.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini, yang juga pengkritik terkuat Najib berkata RUU355 tiada kena mengena dengan Islam.
Dr Mahathir berkata ia bertentangan dengan Islam jika  mencetuskan perpecahan di antara mereka.
"Ia (RUU) digunakan untuk tujuan politik. Kita yang hidup berbilang kaum dan agama mesti sensitif serta menghormati agama lain.
"Kita tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh membuatkan orang takut kepada Islam."
Dr Mahathir juga diminta mengulas mengenai penangguhan  Rang Undang-undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 bagi menghalang penukaran unilateral kepada sidang Dewan Rakyat akan datang.
Beliau ditanya mengenai pendirian Bersatu mengenai isu itu.
"Kami belum membincangkan mengenai perkara itu secara mendalam. Tetapi bagi saya, ia bukan niat Islam atau kerajaan yang didominasi agama Islam untuk memaksa orang ramai melakukan perkara bertentangan dengan kehendak mereka.
"Saya fikir kita harus menghormati agama masing-masing".
Sementara itu, awal minggu ini dilapor siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Switzerland mempunyai progres walaupun Malaysia enggan memberikan kerjasama, Dr Mahathir menyindir Peguam Negara Mohamed Apandi Ali.

RUU 355: Umno, PAS anggap rakyat mudah diperbodohkan


Oleh Raja Bahrin Shah
Tontonan sidang Parlimen pada 6 April lepas memperlihatkan bagaimana Parlimen yang mulia dipergunakan untuk sandiwara kononya pembentangan, perbahasan dan pengundian Rang Undang Undang 355 berkaitan dengan Islam yang mulia ini akan dilaksanakan.
Apa yang berlaku amat memalukan dan menghina agama Islam yang suci apabila untuk kali ke-3 perbahasan dan pengundian RUU 355 ditangguhkan. Yang paling anehnya apabiia untuk kali ke-3 ia ditangguhkan, seorang ahli Parlimen PAS pun tidak berdiri untuk membantah, tetapi ahli-ahli Pakatan Harapan yang membantah. Kenapa membisu di Parlimen tetapi kalau di masjid dan surau kampung suara mereka begitu lantang melawan kerajaan kononnya?
Apa yang ditonton pada 6 April lepas adalah larutan sandiwara Umno bersama PAS berdasarkan lima sebab berikut.
Pertama, 2 kali RUU 355 telah dibentang pada hari terakhir sesi Parlimen iaitu pada awal dan akhir 2016 tanpa dibahas atau diundi. Selepas sesi tersebut gempak gempita PAS berceramah di kampung serta negeri bagaimana berjayanya mereka memujuk Umno ke arah melaksanakan undang-undang Syariah walaupun (bekas Menteri Besar Kelantan dan Musyidul Am PAS), Almarhum Nik Aziz Nik Mat telah berpesan jangan jatuh ke dalam lubang yang sama 2 kali.
Kedua, untuk kali ke-3 pada 6 April lepas, PAS diperdayakan lagi selepas RUU 355 dibaca oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disokong dengan ucapan setiausaha agungnya, dengan tiba-tiba sidang Parlimen ditangguhkan tanpa bahas atau undi.
Walaupun Almarhum Nik Aziz telah berpesan jangan jatuh dalam lubang yang sama 2 kali, PAS berjaya dengan cemerlang terjun ke dalam lubang yang sama untuk kali ke-3. Apa yang lebih menghairan dan mengejutkan lagi adalah apabila speaker menangguhkan sesi pada petang 6 April. Di Parlimen, PAS tidak pun membantah. Tugas ini dilakukan oleh ahli-ahli Pakatan Harapan sementara ahli-ahli Parlimen PAS nampak telah siap bersedia untuk drama sandiwara untuk kali ke-3 kerana sudah maklum skrip wayang yang ditulis oleh Umno.
Hairannya juga ahli-ahli Parlimen PAS yang mengeluarkan air mata semasa Presiden PAS membacakan teks RUU 355 tidak pula berilham mencurahkan air mata kesedihan atas penangguhan dan kecurangan kali ke-3 Umno. Kalau PAS bersungguh-sungguh hendak memperkasakan undang-undang Syariah kenapa mereka tidak sedih dan marah insiden ini?
Ketiga, jawapannya terkandung dalam usul yang dibawa Ahli Dewan Undangan PAS Terengganu, Dr Syed Azman pada sidang DUN Mac 2017 baru-baru ini. Usul beliau meminta “Dewan Undangan Terengganu meneliti serta membahas kembali Enakman Jenayah Syariah ( Hudud dan Qisas) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Terengganu pada 7 Julai 2002. Ia telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu pada 2 September 2002 dan diwartakan pada 25 September 2002. Ringkasnya, kenapa selepas 15 tahun PAS tidak meminta Umno Terengganu untuk bekerjasama memperkasakan Mahkamah Syariah serta undang undang yang telah diluluskan seperti di peringkat Parlimen?
Bukankah PAS mempunyai 14 kerusi dan Umno 17 dari 32 kerusi DUN Terengganu? Bukankah “penghalang” utama DAP, AMANAH dan MCA tidak mempunyai sebarang kerusi di Terengganu? Apa masalahnya?
Keempat, lagipun ini negeri presiden PAS. Lagipun juga, apabila undi tidak percaya oleh orang Umno sendiri terhadap Menteri Besar Terengganu, PAS berpendirian untuk menyokong Menteri Besar Umno untuk kekal. Hubungan PAS dan Umno amat baik di negeri Presiden PAS. Jadi apa masalahnya?

Tangguh bahas MP cukup masa nilai RUU 355 kata Timb Menteri Umno

Apabila RUU355 ditangguh pada sesi akan datang, ia memberi satu isyarat bahawa speaker memberikan ruang seluas-luasnya kepada semua ahli Parlimen untuk membuat keputusan kelak.
Asyraf-Wajdi_law_600
MELAKA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua ahli Parlimen mempunyai masa yang mencukupi bagi mengkaji dan menilai usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau RUU355 yang dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kelmarin.
Kata beliau, keputusan menangguhkan sesi perbahasan sehingga sidang akan datang, akhir Julai ini memberi peluang kepada anggota Dewan Rakyat untuk membuat keputusan dan pendirian berkenaan usul RUU 355.
“Apabila RUU355 ini ditangguh pada sesi akan datang, ia memberi satu isyarat bahawa speaker memberikan ruang seluas-luasnya kepada semua ahli Parlimen pelbagai parti untuk membuat keputusan sama ada bersetuju atau menolak,” kata beliau dipetik Bernama.
Menurut beliau, sekiranya dipersetujui ia akan diambil alih oleh kerajaan persekutuan bagi proses seterusnya kerana RUU355 adalah di bawah bidang kerajaan dan bukannya milik individu atau parti politik.
Terdahulu beliau menghadiri majlis Multaqa Murabbi Ummah peringkat negeri Melaka di sini.
Semalam, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menafikan beliau menangguhkan awal sesi perbahasan RUU 355 kerana agenda politik atau menerima tekanan daripada mana-mana pihak.
Sebaliknya beliau menegaskan, keputusannya itu semata-mata untuk menjaga kebajikan kakitangan Parlimen yang telah tidak tidur semalaman.
Oleh itu, kata Pandikar Amin, beliau telah menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menamatkan sesi Parlimen pada pukul 4 petang berbanding kebiasaan pukul 5.30 petang.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperuntukkan lebih RM21.5 juta untuk pembayaran elaun kepada imam, guru takmir, bilal, siak dan guru Kelas al-Quran serta guru Fardu Ain di Melaka pada tahun ini.

RM90 Juta: Sarawak Report belum ada notis saman PAS sampai hari ini

Clare Rewcastle Brown berkata, peguam bagi PAS di United Kingdom masih belum mengemukakan sebarang notis guaman terhadapnya ataupun portal itu berhubung ancaman mereka sebelum ini.
Clare-Rewcastle-Brown-pas2Editor Sarawak Report belum menerima sebarang notis saman meskipun sudah lebih 3 bulan tarikh akhir bagi pihaknya memenuhi tuntutan PAS berhubung laporan mendakwa pucuk pimpinan parti itu menerima RM90 juta daripada Datuk Seri Najib Razak, berakhir.
“Mereka mengugut untuk menyaman saya dalam masa seminggu jika saya tidak melakukan banyak perkara (yang dituntut) pada pertengahan Disember (lepas)… tetapi belum ada (sebarang tindakan),” kata Clare Rewcastle Brown kepada FMT menerusi e-mel.
Katanya, peguam bagi PAS di United Kingdom masih belum mengemukakan sebarang notis guaman terhadapnya ataupun portal itu berhubung ancaman mereka.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan sama ada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau partinya telah mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau dan Sarawak Report di UK sejak kata dua itu dikemukakan.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pula tidak respons kepada FMT walaupun mesej WhatsApp dihantar semalam.
Sebelum ini, Takiyuddin berkata, peguam partinya di United Kingdom telah menghantar surat tuntutan kepada Sarawak Report pada 13 Disember lepas.
Beliau berkata, surat yang mengandungi 3 tuntutan iaitu menggesa Sarawak Report menarik balik artikel bertarikh 6 Ogos 2016 dan mengeluarkan permohonan maaf mengikut terma yang dipersetujui oleh partinya.
Permintaan ketiga mahu Sarawak Report memberikan jaminan tidak akan menyiarkan tuduhan palsu pada masa-masa akan datang.
Tempoh 7 hari itu berakhir 20 Disember lepas.
Sarawak Report mendakwa RM90 juta telah dimasukkan ke dalam akaun pemimpin atasan PAS. Transaksi itu mendakwa ia salah satu usaha Najib untuk “menarik” kepimpinan PAS supaya menyokong Barisan Nasional dan Umno.
Dakwaan itu dikritik oleh pemimpin-pemimpin PAS, termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang dilaporkan berkata, PAS akan mengambil tindakan undang-undang berhubung laporan itu yang berniat jahat mencemarkan reputasi parti itu dan dasar Islamnya.

Harga petrol bakal naik 20 sen minggu ini, dakwa Rafizi

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, keengganan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengembalikan subsidi bakal menyaksikan harga petrol gred RON95 dijangka akan naik di antara 10 sen hingga 20 sen seliter pada minggu ini.
"Keengganan Najib mengembalikan subsidi dan melaksanakan semakan harga minyak mingguan telah menjerumuskan rakyat kepada turun naik harga minyak yang tidak menentu setiap minggu.
"Minggu ini, harga RON95 dijangka akan naik di antara 10 sen hingga 20 sen seliter bergantung kepada reaksi pasaran dunia kepada ketegangan geopolitik yang berlaku di Timur Tengah ekoran serangan roket Amerika Syarikat ke atas lapangan tentera udara Syria semalam," katanya dalam kenyataan.
Tiga hari yang lalu, harga bagi minyak petrol RON95 dan RON97 masing-masing naik 3 sen dan 2 sen seliter dan menjadikan harga runcit bagi RON95 adalah RM2.16 seliter, manakala RON97 RM2.44 seliter.
Namun begitu, harga diesel turun sebanyak 3 sen seliter, kepada RM2.08 seliter.
Sejak minggu lalu, harga minyak diumumkan mengikut harga siling mingguan pada setiap Rabu.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan harga bahan bakar itu pada awal bulan.
Mengulas lanjut, Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan berkata, menurut carta harga minyak rujukan dunia iaitu Brent (dalam AS$ setong) yang dikeluarkan Bloomberg, harga minyak mentah dunia melonjak dari AS$53.12 setong pada permulaan minggu ini (3 April 2017).
Ia kemudiannya ditutup pada AS$55.12 semalam (7 April 2017), iaitu peningkatan mendadak sebanyak 4 peratus dalam masa seminggu, jelasnya.
"Bergantung kepada tindakbalas Russia (sekutu kuat rejim Assad) dan tentera rejim Assad, jika ketegangan geopolitik itu tidak reda, minggu depan boleh menyaksikan peningkatan mendadak harga minyak mentah.
"Jika harga minyak mentah naik pada kadar yang sama iaitu 4 peratus seperti minggu ini, harga Brent boleh mencecah USD57.20 setong. Saya lebih bimbang jika ia naik lebih tinggi dari itu dan melonjakkan harga minyak mentah melepasi USD58 setong," tambah beliau.

RAFIZI WAJAR BUAT PENDEDAHAN SEBELUM MUKTAMAR PAS 28 APRIL

Selepas Akta 355 semakin disedari tidak lebih sekadar alat permainan kerana ia hanya dibentang separuh jalan dan sengaja dibiarkan tergantung sehingga Julai dan Ogos depan, perkara yang paling ditunggu-tunggu ramai sekarang tentunya mengenai pendedahan Rafizi Ramli tentang adanya individu yang rapat dengan pemimpin Pas turut menerima dana 1MDB daripada Najib Razak.

Rafizi, malah berjanji akan mendedahkan nama individu tersebut dalam minggu-minggu seterusnya, malah mengatakan ia juga dalam pengetahuan SPRM.

Selepas Sarawak Report dan Husam Musa membuat pendedahan tentang Pas dan menerima wang tunai daripada Najib dan sehingga ini tertangguh-tangguh lagi untuk diambil tindakan saman terhadap kedua-dua pihak itu, Rafizi menjadi pihak yang ketiga berbuat demikian.

Menelusuri rekod Rafizi dalam membuat pendedahan sebelum ini, Pas seharusnya berjaga-jaga dan wajar mula berasa bimbang. Rafizi tidak akan bercakap jika tiada fakta atau bukti dalam tangannya.

Lihat bagaimana beliau mendedahkan mengenai lembu NFC yang dikaitkan dengan Shahrizat Jalil dan pembelian kondo daripada dananya, 1MDB, perbelanjaan majlis pertunangan anak perempuan Najib, kemewahan Rosmah Mansor dan pelbagai lagi.

Jika dapat didedahkan bukti mereka yang rapat dengan pemimpin Pas tiba-tiba menerima wang yang banyak daripada Najib, ia sudah tentu merupakan malapetaka yang amat memalukan. Tujuan dan niat wang tersebut diberikan akan menimbulkan banyak persoalan.

Tidak mungkin individu terbabit menerima wang tanpa sebab daripada Najib dan tidak mungkin juga Najib suka-suka hari bersikap murah hati.

Dalam hal ini, Rafizi wajar menimbang untuk membuat pendedahan tersebut sebelum Muktamar Pas yang akan berlangsung pada 28 April ini. Ia bagi tujuan mencelikkan ahli dan perwakilan Pas seluruh negara yang akan memilih barisan kepimpinan terbarunya dalam muktamar di Kedah itu nanti.

Menjelang muktamar ini, pimpinan Pas sedang bernyanyi-nyanyi gembira dengan kejayaan usul persendirian Hadi berjaya dibentangkan seolah-olah ia merupakan kemenangan besar yang pasti syurga sebagai habuannya.

Pelaburan RM160 bilion India baik tapi Putrajaya perlu telus, kata Ideas

Pakar ekonomi Ideas berkata tawaran dimeterai dengan India akan membantu industri dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia tetapi apa yang penting perlu ada elemen ketelusan.
Adli-AmirullahKUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) menyambut baik kejayaan Malaysia menarik pelaburan dianggarkan RM160 bilion dari India baru-baru ini tetapi mahu kepimpinan Datuk Seri Najib Razak lebih telus dengan menyediakan butiran mengenai pelaksanaan kerjasama dua hala itu.
Bercakap kepada FMT, pakar ekonomi Ideas, Adli Amirullah berkata, tawaran perdagangan dengan India adalah baik untuk Malaysia terutama apabila ia dilihat akan melabur RM142 bilion di negara ini.
“Di antara 2014 dan 2015, perdagangan kita dengan India menurun sebanyak 25%, jadi tawaran baru adalah 1 perkembangan yang positif.”
Katanya, pelaburan itu akan memberi manfaat, terutamanya kepada sektor minyak dan gas, perkilangan infrastruktur dan kejuruteraan.
Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Adli berkata, kejatuhan harga minyak global telah memperlahankan pertumbuhan industri minyak dan gas Malaysia manakala menurut laporan tahunan Bank Negara Malaysia 2016, pertumbuhan sektor infrastruktur dan pembuatan juga turun dalam tempoh dua tahun lepas.
“Tawaran yang kita meterai dengan India akan membantu industri-industri ini dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.”
Bagaimanapun kata beliau, apa yang penting perlu ada elemen ketelusan dalam aspek ini.
“Kerajaan perlu telus dengan butiran tawaran serta pelaksanaan tawaran.”
Adli berkata, ini penting untuk mengelakkan ketirisan, pembaziran atau rasuah, terutama dalam perjanjian membangunkan sebuah bandar maritim bersepadu di Pulau Carey.
Perjanjian antara MMC Port Holdings Sdn Bhd, Sime Darby Property Bhd, dan Adani Ports dan Special Economic Zone Ltd (India) untuk pembangunan maritim dianggarkan bernilai RM100.23 bilion.
MMC Port Holdings dan Adani Ports dan Special Economic Zone Ltd (India) juga menandatangani perjanjian untuk membina sebuah pelabuhan RM41.43 bilion, juga di Pulau Carey.
Laporan sebelum ini menyebut Lembaga Pelabuhan Klang merancang untuk membina pelabuhan gergasi bernilai kira-kira RM200 bilion di Pulau Carey. Difahamkan China, yang turut melaksanakan projek-projek infrastruktur yang besar di Malaysia seperti Rangkaian Rel Pantai Timur, berminat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan.
Adli berkata, tawaran India menunjukkan Malaysia, sebagai sebuah ekonomi terbuka, tidak terlalu bergantung kepada China.
“Walaupun tanpa China, kita boleh hidup. Kita mempunyai rakan sekerja yang lain tetapi sudah tentu tanpa China, pertumbuhan kita pasti akan menjadi lebih perlahan.”
Sehingga Disember 2016, India adalah pelabur ke-9 terbesar di Malaysia dengan pelaburan bernilai kira-kira AS$300 juta (RM1.33 bilion) manakala Malaysia merupakan sumber terbesar ke-25 pelaburan di India dengan AS$829 juta pelaburan.

Ringgit lemah punca tenaga asing lari?

OLEH Onn Abu Bakar
Tahun ini penanam kelapa sawit tempatan akan menghadapi kekurangan  tenaga kerja anggaran sehingga 70 peratus ekoran penuai dari Indonesia tidak lagi berminat dengan nilai ringgit yang lemah.
Hal ini diperakui sendiri oleh Ketua Eksekutif Felda Global Ventures Berhad, Zakaria Arshad yang menyatakan bahawa pengeluaran akan terjejas akibat kekurangan tenaga kerja.
Adakah dengan permasalahan ini akan memberikan tekanan ke atas bekalan
dan akan memberi kesan kepada harga sawit kelak?
Kerajaan Umno BN perlu mencari penyelesaian efektif segera untuk mengatasinya. Dengan kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang murah adalah langkah yang tidak berdaya maju dalam jangka masa panjang.
Sepatutnya Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu meningkatkan produktiviti melalui teknologi penjimatan tenaga buruh dan bukannya terlalu bergantung kepada tenaga buruh asing yang murah.
Jika di bawah pentadbiran bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad tidak berlaku penyelewengan seperti yang berlaku di Felda Iffco Gida Sanayi, iaitu anak syarikat yang memiliki 50 peratus saham oleh FGV di Turki yang mengalami kerugian saham sebanyak RM57 juta serta membeli hotel mewah sudah tentu Felda dapat menangani permasalahan ini.
Ini belum termasuk lagi laporan Jabatan Audit Negara yang mendedahkan 64 kontrak untuk perolehan ‘light detection and ranging’ (LiDAR) bernilai RM148.42 juta yang ditandatangani tanpa kebenaran sah.
Kini Felda bukan sahaja berhadapan penyelewengan di bawah pentadbiran Isa Samad tetapi termasuk permasalahan seperti gagal merancang penanaman semula yang efektif dan kelemahan pemantauan terhadap prestasi anak syarikat.
Pada 2016, nilai ringgit telah menyusut sebanyak 4.3 peratus berbanding AS. Ringgit yang lemah sememangnya tidak akan menarik pekerja asing untuk bekerja di negara ini.
Apabila nilai ringgit menyusut, sebahagian sektor ekonomi termasuk perladangan akan terjejas.
Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan Umno BN untuk menstabilkan kembali nilai ringgit supaya kembali kukuh?

Siswa didenda bawa sepanduk bantahan di taklimat mengenai 1MDB oleh JASA....

Lima siswa yang membawa sepanduk bantahan di sesi ceramah mengenai 1MDB anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Universiti Malaya (UM) tahun lepas, telah dikenakan denda.
Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengenakan denda RM200 ke atas pelajarnya Ariffin Amin, berserta dengan amaran keras.
Empat pelajar lain - Ho Chi Yang, Tan Jia You, Lau Li Yang dan Chua Hun Ti - semua dari Universiti Malaya, turut didapati bersalah oleh lembaga disiplin UM.
Mereka juga diberi amaran keras. Lau turut didenda RM600, manakala Ho dan Chua masing-masing didenda RM300 dan Tan didenda RM150.
Mereka adalah ahli jawatankuasa Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany).
Sementara itu, dalam satu kenyataan, pengarah hal ehwal universiti Pemuda DAP, Leong Yu Sheng mengkritik hukuman tersebut.
Leong mendakwa hukuman itu untuk melindungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB dengan mengorbankan kebebasan akademik.
Pemuda DAP, tambahnya, menggesa kerajaan berhenti menindas dan mengekang pelajar untuk tujuan politik.
Kerajaan serta universiti, menurutnya, perlu menghormati kebebasan bersuara dan berhimpun seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, tegasnya.
Sesi ceramah pada tahun lalu itu adalah satu usaha oleh kerajaan untuk menjelaskan kontroversi yang menyelubungi 1MDB kepada pelajar universiti.

RUU 355: Kerajaan wajar ambil alih, hentikan polemik, kata Ikram


Mohd Parid, presiden Ikram.Mohd Parid, presiden Ikram.

Pertubuhan Ikram Malaysia mencadangkan agar kerajaan mengambil alih Rang Undang-undang Akta 355 (RUU355) dan seterusnya mengemukakan pindaan ke Parlimen.
Presiden Ikram, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, penangguhan perbahasan baru-baru ini telah menyebabkan masyarakat terus berpolemik.
"Ikram ingin menegaskan kembali kenyataan yang pernah dikeluarkan pada 31 Mei 2016 bahawa Kerajaan adalah pihak yang paling wajar untuk mengemukakan pindaan ini ke Parlimen.
"Penangguhan perbahasan ini telah menyebabkan masyarakat terus berpolemik, saling salah menyalahkan dan yang lebih parah sehingga membawa kepada tindakan mengkafirkan pihak yang dikatakan tidak menyokong usul tersebut.
"Ikram menyeru agar polemik ini dihentikan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Ikram mengikuti isu RUU 355 secara dekat dengan perkembangan terkini ia telah dibentang dan disokong di Parlimen pada 6 April 2017 (Khamis), tetapi ditangguhkan perbahasannya.
Presiden MIC kemudiannya mendedahkan bahawa apa yang berlaku dalam sidang Parlimen, iaitu pembentangan usul sahaja tanpa sebarang perbahasan, telah dibincangkan dan disepakati dalam Mesyuarat Majlis Barisan Nasional minggu lepas.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, pada Mei 2014, telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syariah yang terdiri daripada para pakar Undang-undang dan Syariah, bagi mengkaji perlaksanaan Undang-undang Jenayah Syariah.
"Ikram menyarankan agar Kerajaan merujuk kepada Jawatankuasa ini dalam melakukan sebarang pindaan dan penambahbaikan secara menyeluruh.
"Jawatankuasa ini boleh melakukan kajian secara mendalam serta berbincang dengan pelbagai pihak dan pemegang taruh sebelum membangunkan satu rang undang-undang yang mantap dan disepakati," katanya.
Bagi beliau, kerajaan adalah pihak yang berkuasa dan bertanggungjawab bagi menguruskan semua pindaan undang-undang.
"Adalah wajar kerajaan meneruskan tanggungjawab ini!" katanya.

RUU 355 Hadi pecah belah orang Islam, kata Dr Mahathir

Sebaliknya menurut Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, RUU 355 tidak mempunyai kaitan dengan agama Islam.
mahathir-ruu355SHAH ALAM: Rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semata-mata bertujuan memecahbelahkan orang Islam, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebaliknya Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menegaskan RUU 355 tidak mempunyai kaitan dengan agama Islam.
“Sebenarnya (RUU 355) ini bukan ada kaitan dengan agama Islam. Agama Islam tidak menyusahkan kita membuat sesuatu untuk memecahbelahkan orang Islam, ia digunakan untuk politik sebuah parti.
“Dalam negara kita ada masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama, kita mesti sensitif terhadap agama lain kerana dalam Islam kita kena menghormati agama lain dan kita tidak boleh memaksa orang berasa takut kepada Islam,” kata beliau selepas menghadiri Program Hardtalk di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di sini, malam tadi.
Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan pindaan RUU 355 selepas usul pindaan dikemukakan oleh presiden PAS dan disokong oleh Ahli Parlimen Kota Bahru.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah tersepit sama ada mahu menyokong RUU 355 atau tidak memandangkan rakan komponen Barisan Nasional (BN) memberi tekanan supaya beliau menolak pindaan itu.
“Saya fikir Najib tidak tahu nak buat apa, dia buat ini (setuju RUU 355 dibentang) sebab nak dapat sokongan PAS, tetapi kalau dia dapat sokongan PAS, dia akan hilang sokongan orang bukan PAS, jadi dia berada dalam dilema.

Dr Mahathir dan dilema Melayu


Dr Mahathir dan dilema Melayu
Dr Mahathir Mohamad berkata generasi Melayu masa kini berhadapan dilema yang berbeza kerana pemimpin dan parti yang dipilih mengecewakan mereka.
DR Mahathir Mohamad kesuntukan masa dan beliau mengetahuinya. Beliau sedar hanya mempunyai satu lagi peluang untuk memujuk orang Melayu membelakangkan Umno dan Perdana Menteri Najib Razak.
Begitu banyak yang perlu dilakukan dan masa yang sedikit – itulah dilema tokoh yang membuatkan sebahagian masyarakat Melayu dalam dilema yang menjadi perbualan rakyat sejak lebih 40 tahun.
Dalam satu temu bual, pengasas berusia 91 tahun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu The Malaysian Insight: "dilema saya ialah saya sudah tua, sudah berusia lebih 90 tahun dan saya tidak mempunyai banyak masa. Tetapi semua perkara mengambil masa...tetapi selagi saya masih hidup, saya akan menjadi duri dalam daging orang lain. Saya tidak peduli."
Bekas presiden Umno itu berkata, beliau mengakui semakin bersemangat kehadiran menggalakkan pada perhimpunan politik, mempercayai ia petunjuk perasaan gelisah yang bergolak di kalangan pengundi terhadap pentadbiran Najib. Beliau berkata malah di kubu kuat Umno, beliau juga disambut mesra.
Kini, beliau mahu sokongan di setiap sesi ceramahnya menjadi sokongan di peti undi. Beliau memahami rakyat Malaysia mungkin takut menunjukkan sokongan secara terbuka untuk Pakatan Harapan (PH) kerana bimbang diganggu serta takut dengan agensi kerajaan.
Tetapi beliau berharap ketakutan ini akan hilang sebaik sahaja mereka berada di dalam petak mengundi.
Pada 1970, Dr Mahathir menulis buku Malay Dilemma. Ia sebuah buku kontroversi pada masa itu dan andaian utama adalah orang Melayu ditakluki di negara sendiri dan memerlukan bentuk tindakan afirmatif untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi.
Generasi Melayu hari ini perlu menghadapi dilema yang berbeza, katanya.
"Mereka tahu parti yang sepatutnya menjaga mereka menjadi liabiliti, tetapi mereka tidak boleh menyingkirkan parti ini, kerana mereka memilih orang yang mampu menggunakan undang-undang, tidak mengambil peduli akan undang-undang, dan memastikan kesetiaan peribadi terhadapnya. Sehinggakan, beliau boleh melepaskan diri daripada banyak perkara. "
Berikut adalah petikan temubual itu:
S: Bagaimana perjuangan terhadap Najib berbeza daripada penentangan terhadap Tunku dan Pak Lah?
J: Orang ini (Najib) mendapat kawalan penuh ke atas Umno. Mereka tidak akan melawannya. Beliau mempunyai ketua polis negara dan peguam negara berkerja untuknya dan melindunginya.
Beliau sebenarnya, diktator. Tunku bukan seorang diktator. Beliau dipilih kerana popular, dan beliau meletakkan jawatan apabila berasa tidak lagi popular. Abdullah menyedari beliau tidak begitu popular di kalangan Umno sendiri dan membuat keputusan sendiri untuk meletak jawatan.
Tetapi Najib tidak akan meletakkan jawatan.
S: Sesetengah pihak mengatakan anda patut dipersalahkan kerana melemahkan beberapa institusi dan memusatkan kuasa dalam Pejabat Perdana Menteri. Apa pendapat anda?
J: Banyak perkara dikatakan tentang saya dan pentadbiran saya, yang dilakukan mereka yang mahu saya keluar. Mereka perlu memburuk-burukkan saya, jika tidak, saya akan berada di sana sepanjang masa, disokong oleh rakyat.
Jadi mereka mesti memberi gambaran sangat buruk tentang saya, untuk membuat saya kelihatan seperti seorang diktator dan segala-galanya. Jika saya diktator, maka ramai yang mungkin akan berakhir di dalam (penjara), tetapi saya membenarkan mereka bebas melalui mahkamah. Mereka berdemonstrasi terhadap saya setiap minggu.
Kerana itu adalah cara demokrasi dan saya tidak pernah menyaman sesiapa. Mereka memanggil saya bermacam nama tetapi saya tidak pernah menyaman mereka. Dalam politik, sudah tentu, orang akan memanggil anda dengan nama jahat. Itu perkara biasa.
S: Satu tinjauan dibuat TMI mengatakan populariti anda di kalangan pengundi Melayu tidak tetap kerana anda kini bekerjasama dengan DAP.
J: Justeru, kita sudah menetapkan fikiran mereka ini yang kini dalam Umno dan memberitahu DAP adalah parti Cina dan mereka adalah syaitan. Ia sukar untuk memadamkan kesan itu.
Oleh itu, apabila saya dilihat bersama Kit Siang, mereka fikir saya dengan syaitan, tetapi syaitan yang dicipta oleh saya untuk memenangi pilihan raya.
Jika anda memberitahu orang Kit Siang seorang lelaki yang baik dan semua itu, maka beliau akan menang dan kita tidak boleh membenarkan beliau menang. Kami terpaksa memanggilnya syaitan dan cauvinis Cina dan bermacam perkara, tetapi sebenarnya beliau tidak begitu.

Kelantan jawab sindiran Mat Sabu mengenai ‘tikus dan kucing’

Exco kerajaan tempatan Kelantan mempersoalkan dakwaan bekas presiden PAS itu yang tidak puas hati dengan tahap kebersihan negeri itu.
Abdul-Fattah-mat-sabuPETALING JAYA: Kerajaan Kelantan menolak dakwaan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang memberi gambaran negeri di bawah PAS itu gagal menjaga kebersihan seperti mana dituntut Islam.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Dr Abdul Fattah Mahmood, mengulas sindiran Mohamad, atau Mat Sabu, dengan mengatakan tikus dan kucing di bandar Kota Bharu kini “hidup harmoni” kerana kedua-duanya sama besar.
“Bila kali terakhir Mat Sabu jumpa dengan tikus di Kota Bharu dan dekat mana dia jumpa tikus tersebut?” soal Fattah ketika dihubungi FMT.
“Mungkin dia jumpa dekat rumah dia, atau dia mengigau. Tak perlu dia buat sindiran sebegitu rupa.”
Dalam temuramah bersama FMT baru-baru ini, Mat Sabu, yang pernah menjadi ahli Parlimen 2 penggal di Kelantan dari 1990 hingga 1999, berkata tahap kebersihan yang rendah di Kelantan adalah simptomatik kepada pengabaian nilai asas Islam oleh mereka yang mendakwa mahu melaksanakan Islam, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara Islam lain.
“Jika ke Kaherah, anda boleh hidu bau hancing di jalan sekitar Universiti Al-Azhar. Jadi apa gunanya menghasilkan ribuan agamawan setiap tahun? Kebersihan dan alam sekitar amat diutamakan dalam Islam, tetapi tidak diamalkan,” katanya.
Fattah bagaimanapun menafikan tahap kebersihan Kelantan seteruk yang digambarkan Mat Sabu, sebaliknya berkata keadaan sekeliling bandar Kota Bharu sudah banyak berubah, malah diakui pelancong yang datang ke negeri itu.
“Contohnya di kawasan pasar Siti Khatijah sekarang ini, kebersihan dapat ditingkatkan dan kita juga teleh menubuhkan unit khas di mana semua aduan kita terima melibatkan tahap kebersihan kita akan selesaikan dalam masa 2 jam atau setengah hari,” katanya.

Jangan terperangkap polemik usul Hadi, fokus masalah utama negara – Dr Abdul Aziz Bari

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Kontroversi yang timbul ekoran usul persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melibatkan pindaan Akta 355 atau rang undang-undang (RUU) 355 dicipta untuk mengalih perhatian rakyat dari isu sebenar yang melanda negara.
Demikian pandangan tokoh perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari yang menyifatkan polemik RUU355 sebagai konflik antara demokrasi dan kleptokrasi.
“Majoriti umat Islam sendiri tak faham isu sebenar termasuk mereka yang diusung dan dibawa berdemonstrasi.
“Tetapi ia sangat emotif sengaja dicipta untuk memainkan semangat dan sentimen umat Islam yang cintakan agama mereka sedangkan ia bukan isu pokok,” katanya ketika dihubungi Roketkini.
Malah, beliau berpandangan, isu yang diperbesar-besarkan PAS dengan dokongan senyap dari UMNO itu menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya umat Islam sendiri dengan gejala perpuakan.
“Hatta dalam soal bidangkuasa pun, apa yang dikemukakan tidak dibenarkan dibincang dan UMNO sendiri enggan mengemukakan pindaan berkenaan kerana takut hilang sokongan bukan Islam khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Dalam perkara berkaitan, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu menjelaskan usaha meningkatkan dan memperkasa Mahkamah Syariah bukan sekadar menaikkan kuasa menghukum sebaliknya perlu mampu menangani isu utama dan kritikal dalam kalangan umat Islam.
“Sepatutnya ia menangani isu yang lebih utama dan kritikal khususnya meningkatkan kemampuan kakitangan dan kebajikan mereka.
“Kita tahu di setengah negeri, peguam bukan muslim masih tidak dibenarkan untuk beramal di mahkamah syariah sedangkan Islam itu sendiri universal dan mengutamakan keadilan,” ujar Dr Aziz.
Setiap orang perlu ambil peduli soal keadilan
Menjawab dakwaan PAS bahawa orang bukan Islam harus berdiam diri berhubung RUU355 tersebut, Dr Aziz menjelaskan ia tidak wajar kerana isu keadilan merupakan isu semua orang.
“Bukan muslim juga prihatin kepada kedudukan orang Islam, lagipun Mahkamah Syariah adalah insitusi awam yang dibiayai oleh pembayar cukai yang merangkum orang bukan Islam. PAS tidak harus meminta bukan Islam supaya menutup mulut.

Hardtalk: Mahathir rela Anwar dibebaskan jika menang PRU14

"Kalau rakyat nak (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, siapa saya nak tahan rakyat." Begitulah respon bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya Felo Penang Institute Dr Wong Chin Huat mengenai kesediaan beliau mengepalai usaha membebaskan bekas timbalannya itu sekiranya Pakatan Harapan menang dalam PRU14 datang.
Menurut Mahathir, beliau bukannya seorang pendendam malah musuh-musuhnya sebelum ini seperti Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah turut diberi kedudukan di dalam Kabinet pada zaman pemerintahannya.
"Saya tak simpan dalam hati.
"Tapi perkara ini perlu dilakukan oleh Perdana Menteri dan saya tidak memegang jawatan tersebut," katanya ketika Program Hardtalk yang diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai kesediaan Pakatan Harapan untuk menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sekiranya memerintah, Mahathir menjelaskan ia boleh dilakukan sekiranya itu menjadi kehendak rakyat negara ini.
Beliau berkata, undang-undang yang digubal seharusnya sesuai dengan kehendak rakyat pada masa kini.
"Auku ditubuhkan kerana ramai penuntut berdemo sedangkan mereka dihantar ke universiti untuk belajar.
"Ini pendapat saya sebab saya nak selamatkan anak-anak kita bagi membolehkan mereka mendapat kelulusan yang baik," katanya.
Sehubungan itu, Mahathir memaklumkan bahawa tindakannya menyertai demonstrasi jalanan sebelum ini berikutan daripada semua saluran untuk rakyat bersuara telah ditutup.
Ujar beliau, tindakan berkenaan adalah merupakan langkah terakhir dan disebabkan itu, pihaknya mengambil keputusan untuk menyertai himpunan Bersih.
"Masa dulu kalau kita nak bertindak terhadap kerajaan terdapat banyak saluran disediakan tapi kini tidak lagi.
"Sebab itu kita kena gunakan pertahanan akhir iaitu demostrasi," katanya.

Hardtalk: Umno dah rosak, sogok ahli dengan duit - Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad, Najib Tun Razak Presiden Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan dirinya tidak akan kembali kepada Umno walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya dijatuhkan dalam PRU14 akan datang.
Jelas Mahathir, walaupun selepas matlamat itu tercapai, beliau akan terus konsisten berjuang dalam Bersatu.
"Tidak sama sekali kerana Umno sudah rosak guna wang untuk sogok ahli.
"Kalau kita bercakap dengan orang Umno untuk berhijrah daripada Umno ke parti lain soalnya berapa ratus ribu nak beri, budaya ini sudah disemai sehingga mereka tidak boleh buat sehingga disogok," katanya ketika Program Hardtalk yang diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, malam tadi.
Mahathir sebelum ini pernah menegaskan perkara yang sama kerana baginya Umno kini sudah lari daripada matlamat asal perjuangan parti yang pernah ditunjangi selama berpuluh tahun.
Mahathir sebelum ini mengambil tindakan untuk keluar dari Umno selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Najib.
Beliau kemudian bersama beberapa bekas pimpinan Umno menubuhkan Bersatu yang kemudian menjalin kerjasama politik dengan Pakatan Harapan.

Hardtalk: Dr Mahathir tiada masalah bebaskan Anwar

Bekas musuh ketat Anwar itu berkata dalam politik, tiada kawan dan lawan yang kekal.
mahathir-anwarSHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad semalam buat pertama kali berkata beliau tiada masalah untuk menyokong usaha membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara, sambil berkata tidak ada musuh kekal dalam politik.
“Dalam dewan ini ada orang yang dulu dipenjara dan saya lepaskan, malah saya tidak simpan dalam hati. Orang yang sokong Tengku Razaleigh, saya ambil balik masuk dalam kabinet dan seorang daripadanya telah menjadi perdana menteri,” kata bekas perdana menteri yang memerintah dari 1981 hingga 2003 itu, dipercayai merujuk penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi yang satu ketika pernah bersama kelompok penyokong Tengku Razaleigh Hamzah sebelum Umno berpecah pada 1988.
“Dalam politik ini tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada musuh yang kekal,” tambahnya pada forum “Hardtalk” di Shah Alam yang turut menampilkan Datuk Husam Musa, bekas naib presiden PAS yang kini menyertai Amanah.
Anwar merupakan timbalan perdana menteri di bawah Dr Mahathir sebelum dipecat atas tuduhan salah laku seks pada 1998, mencetuskan krisis politik paling buruk yang menyaksikan demonstrasi besar-besaran reformasi di Kuala Lumpur.
mahathirKedua-dua tokoh itu kekal bermusuhan walaupun ketika kemuncak penentangan Dr Mahathir terhadap Umno di bawah Abdullah pada 2008.
September lalu, Dr Mahathir membuat kejutan apabila hadir di mahkamah untuk bersalaman dengan Anwar, pertemuan pertama mereka selepas 18 tahun menjadi musuh politik, walaupun pernah sama-sama mengetuai kerajaan pada 1990an.
Sejak Februari 2015, Anwar mula menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh, selepas disabit kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.
Kenyataan Dr Mahathir semalam merupakan yang paling jelas pendiriannya mengenai usaha parti pembangkang untuk membebaskan Anwar.
“Kalau rakyat nak Anwar bebas, siapa saya nak tahan rakyat?” katanya yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), anggota terbaru Pakatan Harapan yang turut menggabungkan PKR, DAP dan Amanah.

Muktamar akan tentukan Pas bersama PH atau BN, dakwa Husam di Hardtalk


Program Hardtalk malam tadi menghuraikan banyak perkara.Program Hardtalk malam tadi menghuraikan banyak perkara.Pakatan Harapan masih mempunyai harapan untuk bekerjasama dengan Pas dalam pilihan raya umum akan datang jika perwakilan parti itu membuat pilihan dan memberi isyarat yang betul dalam Muktamar Pas hujung bulan ini.
Datuk Husam Musa berkata, muktamar itu nanti akan menentukan Pas akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan atau Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum nanti.
"Kita masih ada harapan kalau Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memimpin Pas tetapi kalau Ustaz Hadi (Awang), gone case (tiada harapan)," katanya dalam rancangan "Hard Talk mengganti Debat" bersama Tun Dr Mahathir Mohamad malam tadi.
Bagi Husam, dalam pilihan raya umum nanti hanya ada dua pilihan sahaja antara Pas bersama dengan Pakatan Harapan atau Pas bersama BN.
"Bagi saya tidak ada pilihan raya Pas menjadi kumpulan ketiga dan bertanding tiga penjuru," kata beliau dalam rancangan yang disiarkan secara langsung melalui Youtube dan Facebook itu.
Dalam program yang diadakan selepas debat antara Tun Dr Mahathir dengan Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz dibatalkan itu, tiga penal penyoal telah bertanyakan soalan kepada kedua-dua mereka di samping penonton dalam Dewan Pusat Kebudayaan Selangor di Shah Alam itu.
Tiga penal itu adalah Dr Mazlee Malek, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi dan Dr Wong Chin Huat manakala moderatornya adalah Ariffin Hassan.
Kedua-dua penal telah ditanya pelbagai soalan yang sensitif dari kerjasama dengan Pas, kenapa mahu jatuhkan Datuk Seri Najib hinggalah cadangan pilihan raya kerajaan tempatan.
Hardtalk antara Tun Mahathir dan Husam anjuran Persatuan Penyayang Selangor.Hardtalk antara Tun Mahathir dan Husam anjuran Persatuan Penyayang Selangor.Tun Mahathir menegaskan sekali lagi walaupun Najib ditukar beliau tidak akan kembali semula kepada Umno kerana bagi beliau Umno sudah rosak dan tidak boleh dibaiki lagi,
Tentang pilihan raya kerajaan tempatan, Tun Mahathir berkata, ia agak sukar dibuat kerana polarisasi kaum di antara kawasan bandar dan luar bandar di negara ini.
Jika diadakan pilihan raya kerajaan tempatan, satu kaum akan menguasai majlis perbandaran manakala majlis daerah di luar bandar pula dikuasai oleh kaum lain.
"Ini tidak baik kepada negara apabila sesuatu dewan dikuasai oleh satu kaum sahaja. Sebab itu kita buat Dewan Undangan Negeri yang akan gabungkan semua pihak dalam satu negeri dalam satu dewan mesyuarat," katanya.
Berpuluh-puluh ribu penonton mengikuti secara live rancangan itu manakala video rakamannya sudah ditontong hampir 100,000 selepas beberapa jam disiarkan dalam media sosial.
Ia dianggap temubual pertama secara live melalui sosial media yang paling berjaya dan mendapat sambutan hangat.

‘NAJIB APPLE, SAYA OREN KATA TUN M’

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan bahawa dirinya sama ‘kelakuannya’ dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawat jawatan Perdana Menteri suatu ketika dahulu.
Dakwanya, banyak tindakan Najib yang salah dimana beliau tidak pernah melakukan perkara itu ketika berkuasa.
.
“Saya tidak sama dengan Najib, saya tidak pernah tukar Peguam Negara (AG) dan lantik AG baru.
“Bila masa saya ada duit RM2.6 bilion…Ya Saya terlibat dengan kes MBF tapi ini bukan milik kerajaan tapi milik bank Bumiputera yang buat salah dan kerajaan ambil tindakan, buka laporan dan bahas di Parlimen secara terbuka,” katanya dalam program Hard Talk di Kompleks Belia, Seksyen 7, Shah Alam.
Dalam pada itu katanya, mereka yang berkuasa ini seolah-olah mempunyai pisau ditangannya.
“Pisau kalau kita nak guna untuk ukir benda cantik, boleh, dan  kalau nak tikam orang pun boleh,” katanya.
Oleh itu, katanya beliau memberi perumpamaan beliau seperti Oren dan Najib seperti Apple.
“Nak buat tuduhan teratas saya buatlah saya ada badan untuk siasat orang yang salah kena hukum,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau berkata tindakan sesetengah pihak yang menyamakan dirinya dengan Najib hanyalah bertujuan untuk menghalalkan perbuatan Najib kini.
Selain Mahathir Program Hardtalk turut dihadiri adalah Adun Salor, Datuk Husam Musa.
Sementara Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malek; Adun Batu Burok, Dr Syed Azman dan Felo Penang Institute Dr Wong Chin Huat sebagai moderator.

Tun Mahathir,Husam Musa : Arah Tuju Pakatan Harapan(HARD TO HARD TALK)