Khamis, 6 April 2017

TUN MAHATHIR: TERIMA KASIH NAJIB KERANA SANGGUP KONGSI DENGAN RAKYAT DUIT YANG DIPEROLEHI DARI 1MDB, WALAUPUN TIDAK HALAL


1. Saya amat gembira kerana dapat meringankan sedikit tekanan sara hidup penduduk Pulau Tuba, Langkawi.
2. Penduduk Pulau berkenaan tahu bahawa lawatan saya akan disusuli dengan lawatan pemimpin-pemimpin UMNO.
3. Bukanlah mereka gembira dengan lawatan orang UMNO ini. Kata mereka “menyampah”.
4. Tetapi orang-orang ini akan bawa kotak plastik besar yang dilabel “Barakah”. Dalam kotak-kotak ini terdapat tepung, gula dan minyak masak dan lain-lain.
5. Ini adalah hadiah dari Dato Sri Najib khusus kepada orang kampung yang dilawati oleh saya dan tokoh-tokoh Parti Pribumi.
6. Selain dari itu, jika terdengar saya akan buat lawatan, Najib akan dahului saya. Pulau Tuba akan dapat stadium mini dan jalan tar dari Najib kerana rancangan saya melawat pulau itu.
7. Banyaklah kampung-kampung yang menjemput saya untuk buat lawatan. Dan saya akan cuba membuat sebanyak lawatan yang mungkin kerana ini adalah satu cara bagi saya menolong rakyat mengatasi beban hidup rakyat kerana dasar Kerajaan Dato Sri Najib.
8. Saya ucap berbanyak terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang sanggup kongsi dengan rakyat Malaysia duit yang diperolehi dari 1MDB, walaupun tidak halal.

Otai Reformis gesa tekanan Amerika bagi bebaskan Anwar

Kumpulan beberapa NGO, Otai Reformasi, hari ini mendesak kerajaan Amerika Syarikat supaya terus memberi tekanan agar Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada penjara dan juga membantunya mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.
Mereka diiringi oleh anak perempuan Anwar, Nurul Nuha dan menyerahkan memorandum berkenaan kepada kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pagi ini.
Menurut seorang anggota NGO itu, Ronnie Liu, mereka berjumpa dengan kaunselor politik Amerika Syarikat, Tressa Finerty dan telah mengadakan perbincangan secara ‘berterus terang’.
"Kami menggesa Amerika Syarikat untuk terus menganggap Anwar sebagai tahanan politik, dan juga berharap mereka boleh membantu menghantar Anwar ke luar negara untuk pembedahan," katanya.
Menurut Liu, pihak berkuasa kedutaan itu berkata Washington akan terus memperjuangkan kes Anwar dan terus melihat beliau sebagai tahanan politik.
Nurul Nuha kemudian menjelaskan bahawa ayahnya memerlukan pembedahan di bahu, yang tidak sesuai dijalankan di Malaysia, disebabkan oleh "dakwaan bermotifkan politik terhadapnya".
Menurutnya, keluarga berkenaan dibenarkan untuk melawat Anwar sekali setiap tiga minggu di Penjara Sungai Buloh, di mana bekas timbalan perdana menteri itu sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas tuduhan liwat kedua pada 2015.

Rafizi jangka Najib kini 'habis modal'

Rafizi Ramli menjangkakan Datuk Seri Najib Razak mungkin akan membubarkan parlimen tidak lama lagi bagi membolehkan pilihan raya umum dijalankan selewat-lewatnya Julai ini.
Menurutnya, perdana menteri sudah "kehabisan modal" ekoran usul bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dibentangkan di Dewan Rakyat pagi tadi.
Kata naib presiden PKR itu, Najib dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berharap usul berkenaan memecah-belahkan pembangkang, namun ia meleset.
Sebaliknya, kata Rafizi gabungan pembangkang berjaya mencapai persefahaman mengenai cara terbaik menanganinya.
"Lebih lama drama ini dimainkan di khalayak Melayu, PAS dan Umno akan hilang lebih banyak undi daripada pengundi atas pagar, dan semakin ramai sedar ini cuma mainan politik berbanding usaha ikhlas mereka," katanya kepada media di parlimen hari ini.
Menurut Rafizi, Najib juga sedar apabila usul itu dibentangkan, ia tidak menggembirakan banyak pihak termasuk parti komponen BN.
Katanya wakil rakyat terbabit perlu menjelaskan apa yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini kepada pengundi mereka.
Sebab itu, katanya, beliau menjangkakan perdana menteri tidak bercadang melakukan 'sandiwara' lain pada sidang parlimen akan datang.
"Jadi pilihan raya umum akan berlangsung sebelum sidang Jun ini. Kita boleh menjangkakan pilihan raya awal," katanya.
Mengikut jadual sidang parlimen akan bermula sekali lagi pada 24 Julai.
Kata Rafizi, Najib juga berusaha supaya pada pilihan raya umum akan datang, berlaku pertandingan tiga penjuru membabitkan BN, PAS dan Pakatan Harapan.
Justeru, katanya, pembangkang akan menjelaskan kepada pengundi bahawa usul meminda Akta 355 itu adalah mainan politik BN.

TAK CAYALAH ZAHID HAMIDI....AKHIRNYA TERPAKSA HARDTALK GANTI DEBAT


1. Memandangkan cadangan debat melibatkan YBhg Tun Dr Mahathir Mohammad yang dinanti-nantikan rakyat Malaysia telah tidak dapat diadakan atas sebab-sebab yang sedia dimaklumi, maka satu program “HARDTALK Ganti DEBAT” akan diadakan pada tarikh dan masa yang sama seperti berikut:

Tarikh: Jumaat, 7hb April 2017
Masa: 8:00 - 10:00pm

Tetamu Undangan:
YBhg Tun Dr Mahathir Mohammad & YB Dato’ Paduka Husam Musa

Penalis Penyoal: 
YB Dr Syed Azman, Sdr. Dr. Wong Chin Huat, dan Dr Maszlee Malik.

2. Seluruh rakyat boleh mengikuti program tersebut secara “live streaming” melalui:

- Facebook Amanah Selangor.
http://fbselangor.amanah.org.my/

- Facebook GHB Media TV.
https://m.facebook.com/ghbmediatv/

Beberapa orang penalis yang terdiri dari golongan akademik dan media telah dipilih untuk bertanyakan apa juga soalan-soalan untuk dijawab oleh kedua-dua Tetamu Undangan kita.

3. Program ini dibuat secara tertutup dan jumlah peserta adalah terhad kepada yang dijemput sahaja, samada orang perseorangan, organisasi dan media dari pelbagai segmen rakyat negara ini. Para peserta juga akan diberi peluang bertanya soalan mengikut kesesuaian masa nanti.

Maklumat lanjut boleh hubungi nombor berikut:-

Jamzuri Ardani
Koordinator Program.

Pada 4 April lalu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi ada mengeluarkan kenyataan menyatakan kesediaan mengkaji semula keputusan pihak polis membatalkan kelulusan debat antara Tun Mahathir dengan Nazri Aziz yang dijadualkan pada 7 April, 9.30 malam di Auditorium Sinar Harian, Shah Alam.
“Saya akan melihat semula alasan-alasan pembatalan yang dikemukakan oleh pihak Ketua Polis Selangor dan sebelum itu (oleh) Pemangku Ketua Polis Perak.
"Jika kita rasa perbahasan perlu diteruskan, kita akan meminta pihak polis supaya memberi permit," katanya lagi.

Pakatan bahas usul RUU 355 dalam parlimen ‘khas’ pada 10 April depan

Sidang akan dianjurkan minggu depan dan disiarkan secara langsung melalui Facebook

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan sidang Parlimen “khas” minggu depan agar usul Hadi akhirnya dapat dibahaskan, selepas ia ditangguhkan buat kali ke-3 hari ini.
Rafizi Ramli (PKR-Pandan) mempertikaikan tindakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana hanya membenarkan penerangan daripada PAS.
“Mana ada di dunia ini, Dewan Rakyat hanya mendengar sebelah pihak saja, seolah-olah kami tidak ada hak berbahas,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
“Ada cadangan daripada ahli Parlimen supaya diadakan ‘mock’ Parlimen kita sendiri. Kita buat sepertimana di Dewan Rakyat, kita berdebat hanya sebelah pihak.”
Pandikar hari ini menangguhkan mesyuarat pertama Dewan Rakyat sejurus selepas Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) menerangkan rang undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) hari ini.
Keputusan itu mencetuskan gempar dalam kalangan ahli Parlimen yang mahu mengambil bahagian membahaskan usul kontroversi itu.
Usul tersebut tidak mendapat sokongan parti komponen BN dan DAP, sementara PKR dan Amanah merasa sangsi. PAS yakin Umno bersama mereka menyokong usul tersebut.
Rafizi berkata Parlimen “khas” akan diadakan minggu depan di lokasi yang akan diumumkan kelak.
“Saya akan pastikan kumpulan saya akan buat ‘mock’ Parlimen walaupun tidak semua ahli Parlimen akan datang. Sekurang-kurangnya 9 ahli Parlimen berpeluang berhujah,” katanya.
Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) kemudian mencelah dengan berkata Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) akan diangkat menjadi speaker Parlimen “khas”.
“Kita akan siar secara langsung di Facebook ke seluruh negara dan setiap ahli Parlimen mempunyai masa membentang hujah mereka,” kata Khalid.
Mengulas penangguhan usul Hadi, Rafizi mendedahkan beliau sudah menyediakan teks ucapan tersendiri yang akan mempersoalkan kaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan PAS.
“Saya akan tanya adakah dia yakin wang dari 1MBD berada di tangan tokoh yang rapat dengan PAS. Saya ingin bertanya di Dewan Rakyat tapi tidak berkesempatan,” katanya.
Rafizi berkata isu itu akan dibentangkan pada sidang Parlimen “khas” itu nanti.
“Kita kena bawa isu ini terus kepada rakyat untuk reaksi daripada PAS memandangkan pilihan raya umum makin hampir. Saya yakin mereka tahu siapa yang saya maksudkan,” katanya.
Rafizi mendakwa mempunyai bukti, tetapi enggan mendedahkan sejauh mana hubungan tokoh yang dikatakan itu dengan PAS dan berapa jumlah wang yang diperolehi.

RUU355 tiada kaitan dengan kerajaan - MCA

MIC sanggah RUU355 tiada kaitan dengan bukan Islam

Speaker tangguh sidang RUU355, ini pandangan MCA, MIC

RUU355: Muhyiddin rasa bagai dipermainkan

PAS juga terkejut Pandikar tangguh sidang

Dedak: 'Saya ada bukti orang rapat dengan PAS dapat duit 1MDB'

Nampak sangat cuma permainan politik semata-mata.

Status Usul #RUU355 masih di tahap pembentangan. Belum dibahas lagi. Tiba-tiba usul yg berkait rapat dgn agama Islam Speaker putuskan perbahasan ditangguh ke sidang akan datang.

Apa ini?

Seperti dijangka, Pandikar cabut lari setelah hentikan perbahasan RUU355

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan mengenai pindaan usul persendirian pindaan RUU355.
Usul tersebut tidak dibuka kepada perbahasan selepas ia dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ucapan oleh Ahli Parlimen Kota Bahru Datuk Taqiyuddin Hasan.
Sebelum menangguhkan Sidang Dewan Rakyat, Pandikar memetik ‘kata-kata hikmat’ dari seseorang yang tidak dinamakannya.
“Saya ingin kongsikan satu kata-kata hikmat yang terpahat di fikiran saya sampai sekarang, if you are in power, you are powerful, if you don’t use your power, your are a bloody fool. (jika kamu ada kuasa, kamu berkuasa, jika kamu tidak gunakan kuasa yang ada pada kamu, kamu bodoh)
“Pada hari ini saya tak mahu menjadi bloody fool. Saya nak gunakan kuasa saya dengan membuat ketetapan supaya perbahasan (meminda Akta 355) diadakan pada sesi akan datang,” katanya.
Penangguhan perbahasan RUU355 itu dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Sri Azalina Osman Said sehingga ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.
Dewan Rakyat bertukar menjadi kecoh seketika apabila Ahli-Ahli Parlimen bangun membantah penangguhan  perbahasan  usul kontroversi Presiden PAS itu ditangguhkan kira-kira jam empat petang tadi.
Bagaimana pun semalam, Dewan Rakyat mencipta sejarah apabila perbahasan berlangsung hampir 20 jam dan berakhir sekitar jam lima pagi.

Kisah cinta UMNO-PAS tangguh ke sidang berikutnya

Petang ini kita disajikan dengan kisah cinta yang mempertemukan dua kekasih yang bernama PAS dan UMNO. Cinta ini berputik daripada rasa yang sama, kononnya untuk memperkasakan agama Islam melalui RUU355.
Penyokong drama sinetron mana yang tak terharu, apabila melihat air mata Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi tumpah di persidangan Parlimen, di fikirannya mungkin terbayang dirinya sedang memimpin seluruh umat Islam ke arah cahaya, ke jalan yang benar lagi lurus.
Setelah dibahas panjang lebar selama hampir satu jam oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengenai mengapa cinta antara UMNO-PAS ini harus dimekarkan di bumi Malaysia untuk nanti bunganya dipetik dalam bentuk RUU355, klimaks yang ditunggu-tunggu penyokong (baca: penonton) nampaknya tak kesampaian.
Ia ditangguh lagi, kali ini dengan campur tangan oleh pihak ketiga, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Cinta songsang lagi kotor ini cuba dibangkang dan dibahas Ahli Parlimen pembangkang, namun dihalang oleh keputusan berat sebelah Pandikar.
Kali pertama ditangguhkan, dua kali ditangguhkan, dengan kononnya untuk memperjelaskan RUU355 kepada penyokong (baca: penonton), untuk difahamkan. Malah diadakan perhimpunan ungu di ibu kota, dengan ucapan salam mesra penuh kasih dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Sebelum bertolak perdana menteri dan timbalan perdana menteri minta saya sampaikan salam dengan lafaz Assalamualaikum kepada tuan-tuan dan puan-puan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dihadapan ribuan penyokong (baca: penonton) RUU355.
Bukan sukar untuk membayangkan akan ada lagi perhimpunan kali kedua. Ibu kota mungkin sekali lagi dipenuhi dengan warna ungu, atau hijau, atau apa-apa yang menarik hati Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. “Undi kami untuk memakmurkan Islam” akan jadi slogan untuk menarik sokongan. Semua ini tak lain dan tak bukan permainan cinta sonsang UMNO dan PAS demi mengekalkan kuasa.

Tangguh bahas RUU355: UMNO-PAS manipulasi Parlimen demi kepentingan politik

KUALA LUMPUR, 6 APR: UMNO dan PAS didakwa memanipulasi Parlimen secara terancang bagi tujuan politik.
Kesal dengan perkara itu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, prosedur Dewan Rakyat tidak harus dipermainkan.
“Nampaknya satu mainan politik yang memainkan jiwa rakyat. Tak pernah berlaku dalam Parlimen satu isu ditangguhkan sungguhpun ada masa.
“Saya rasa perkara ini boleh dijawab oleh Barisan Nasional (BN) ikut rentak masing-masing. MCA, MIC, Gerakan masing-masing ada jawapan mereka. UMNO ada jawapannya, semua ada jawapannya.
“Adakah (keadaan) ini mencapai hasrat mana-mana pihak? Saya rasa rakyat tahu apakah jawapannya. Pakatan Harapan akan terus bersama memberi tumpuan kepada isu utama iaitu skandal 1MDB dan skandal-skandal lain,” kata Setiausaha Agung DAP itu di lobi Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen pula berkata, strategi sekutu itu bermula apabila Menteri BN dalam sidang Dewan Rakyat semalam menangguhkan sesi mesyuarat yang berlarutan sehingga 5.00 pagi hari ini.
Ia disusuli dengan kebenaran Speaker Dewan Rakyat untuk usul persendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikenali sebagai RUU355 dibentangkan dan disokong dalam sidang hari ini, jelas Chieng Jen.
“Selepas ia dibentang dan disokong, Speaker dengan tidak semena-mena menangguhkan mesyuarat tanpa memberi peluang kepada Ahli Parlimen pembangkang untuk menyatakan pandangan dalam mesyuarat tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan mengenai usul RUU355 atau usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) ke sesi mesyuarat yang seterusnya.
Mengulas lanjut, menurut Chieng Jen yang juga Naib Pengerusi DAP, manipulasi dan permainan isu agama oleh UMNO dan PAS ini jelas menunjukkan bahawa parti selain UMNO dalam BN tidak relevan dalam proses membuat keputusan.
Justeru, beliau menggesa agar parti komponen BN selain UMNO memikirkan semula kedudukan dan tugas mereka dalam kerajaan.
“Rakyat tidak harus berterusan diperbodohkan dengan kononnya konsep ‘perkongsian kuasa’ BN.” ujarnya.

Usul Hadi: Wakil rakyat seolah dipermainkan, kata Muhyiddin

Para ahli Parlimen tertanya-tanya mengapa usul ditangguh tanpa dibahaskan. Kejadian merupakan kali ke-3 usul Hadi ditangguhkan.
muhyiddin-hadi
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM-Pagoh) berkata kebanyakan ahli Parlimen tertanya-tanya apabila usul Hadi ditangguh tanpa dibahaskan.
Penangguhan rang undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 merupakan yang ketiga selepas ia ditangguhkan pada Mei dan November tahun lepas.
“Wakil rakyat tertanya-tanya apa yang terjadi. Sebaik dibentangkan, walaupun ada pihak kata tidak perlu tetapi perlu diberi peluang.
“Manalah tahu kalau saya hendak sokong atau ramai lagi hendak sokong atau tidak sokong.
“Sekarang ini seolah kita dipermainkan. Saya tidak tahu apa perasaan PAS, dia boleh bentang, boleh sokong tetapi tidak ada keputusan.
“Pada saya ini adalah mungkin perkara yang tak pernah berlaku, namun tentulah rakyat mahukan jawapan sebenar: adakah ini akan diluluskan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar bangunan Dewan Rakyat.
Ketika ditemui FMT, wakil rakyat PAS lega usul Hadi dibentangkan tetapi terkejut ia tidak dibahas. Mereka bagaimanapun menerima keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Pandikar menangguhkan perbahasan itu pada 4.00 petang tadi. Sidang mesyuarat kedua Dewan Rakyat akan diadakan 24 Julai nanti.
Semalam, kerajaan berbahas sehingga 5.00 pagi untuk menyelesaikan beberapa rang undang-undang kerajaan.
“Apabila tak beri ruang kepada ahli Parlimen untuk suarakan pandangan, pada saya ini menyekat kebebasan,” kata Muhyiddin, yang berpuas hati dengan penerangan usul oleh Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) di Dewan Rakyat tadi.
“Saya tidak persoal kuasa speaker. Memang beliau ada hak namun kena pertimbangkan kita di dalam Dewan Rakyat harus diberikan peluang supaya rakyat tahu kita mengupas, kaji secara mendalam apakah RUU 355 ini supaya tidak ada pihak yang salah tafsir.

Ekoran sandiwara RUU 355, Rafizi mahu dedah dana 1MDB oleh Najib kepada Pas

Rafizi bercakap dalam sidang media Pakatan Harapan di bangunan Parlimen.Rafizi bercakap dalam sidang media Pakatan Harapan di bangunan Parlimen.
Penangguhan perbahasan usul Rang Undang-undang Akta 355 oleh Speaker Dewan Rakyat hari ini menimbulkan kembali isu penyaluran dana kepada para pemimpin Pas oleh perdana menteri, namun kali ini membabitkan wang 1MDB.
Yakin bahawa isu RUU 355 akan dijadikan modal politik oleh Umno dan Pas bagi meraih sokongan rakyat, ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli tidak mahu menunggu lama untuk mendedahkan skandal tersebut memandangkan pilihan raya umum mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.
Bercakap pada sidang media ahli parlimen Pakatan Harapan di bangunan Parlimen sebentar tadi, Rafizi berkata harapan pemimpin Umno dan Pas supaya Pakatan Harapan berpecah ekoran sandiwara RUU 355 adalah meleset.
"Kami telah bersetuju untuk menangani isu ini (RUU 355) secara berhemah sebagai satu pakatan," tegasnya.
Menurut Rafizi lagi, oleh kerana pilihan raya umum mungkin diadakan sebelum sidang parlimen akan datang, beliau tidak akan menunggu untuk mendedahkan dokumen berkaitan penyaluran dana 1MDB kepada para pemimpin Pas.
Walaupun pada awalnya Pakatan Harapan mahu mendedahkan isu ini secara berhemah, namun Rafizi berkata insiden hari ini mendorong pendedahan itu dibuat segera.
Beliau juga menunggu reaksi daripada para pemimpin Pas dalam tempoh seminggu dua ini sebelum melakukan pendedahan.

RUU 355: Pandikar dituduh ‘takut’ dan dipanggil ‘ayam’

Pandikar disifatkan tidak adil kerana hanya membenarkan presiden dan setiausaha agung PAS mengemukakan hujah dalam Dewan Rakyat hari ini
pandikar-amin
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan berang dengan tindakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menggunakan kuasanya menangguhkan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) mempersoalkan tindakan Pandikar yang disifatkan tidak adil kerana hanya membenarkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mengemukakan hujah.
“Beri kami peluang berbahas, Dewan Rakyat apa ini? Hari ini adalah hari PAS dan Umno saja. (Pandikar) tidak berani beri kita peluang berhujah, Islam ke ni? Islam ke ni? Malu… Islam bukan macam ini,” katanya dalam Dewan Rakyat.
Manakala, Rafizi Ramli (PKR-Pandan) turut mempersoalkan tindakan Pandikar yang seharusnya memberi peluang kepada Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan berhujah.
Sewaktu kekecohan berlaku, Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) menggelar Pandikar sebagai “ayam”.
Kemudiannya, teriakan “takut” dan “tidak berani” disuarakan ahli Parlimen pembangkang lain.
Ketika itu, hanya Takiyuddin dibenarkan berbahas tanpa sebarang sekatan oleh Pandikar kira-kira satu jam setengah.
Sebelum itu, selepas mendengar hujah Takiyuddin, Pandikar menyatakan rasa teruja dan mengakui beliau kini memahami makna Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.
“Selepas saya dengar hujah Marang (Hadi) dan hujah sokongan dari Kota Bharu (Takiyuddin), saya benar-benar jelas mengenai RUU 355,” katanya.
Pandikar kemudiannya berkata tidak mahu menjadi bodoh walaupun mempunyai kuasa sepenuhnya sebagai Speaker Dewan Rakyat.

RUU 355: PAS terkejut usul Hadi tidak dibahas, sudah sedia 3 pembahas

Lega RUU 355 berjaya dibentangkan, Nik Abduh yakin Umno bersama mereka manakala Takiyuddin memuji sikap pengkritik tidak mencelah penjelasan PAS.
pandikar-amin-pas
KUALA LUMPUR: PAS sebenarnya terkejut Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan usul Hadi pada hari terakhir sidang ke mesyuarat Julai nanti.
Ini kerana PAS sudah mempersiapkan pembahas untuk berdebat rang undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 dengan pengkritiknya.
“Keputusan speaker untuk menangguhkan sidang mengejutkan semua kerana PAS sudah sediakan 2, 3 pembahas seperti Datuk Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) dan Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh),” kata Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Pasir Mas).
“Sebagaimana speaker kata, dia menggunakan kuasa dia, tetapi harapan saya perbahasan pada sidang akan datang diberikan lebih banyak masa,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pertama Dewan Rakyat ditangguhkan pada 4 petang tadi.
Mesyuarat kedua dijadualkan diadakan pada 24 Julai.
Pada hari Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) membentangkan usulnya yang dinanti-nantikan pengkritik pindaan Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) dalam kerajaan dan pembangkang, Pandikar menggunakan kuasanya untuk menangguhkan perbahasan usul.
Penangguhan dibuat sejurus Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) menyokong dan menerangkan usul tersebut.
“Saya ingin kongsikan satu kata-kata hikmat yang terpahat di fikiran saya hingga sekarang – ‘if you are in power, you are powerful. If you don’t use your power, your are a bloody fool’,” kata Pandikar.
“Pada hari ini saya tak mahu menjadi ‘bloody fool’. Saya nak gunakan kuasa saya dengan membuat ketetapan supaya perbahasan RUU355 diadakan pada sesi akan datang.”
Penangguhan kali ini merupakan yang ketiga selepas ia ditangguhkan pertama kali pada Mei dan November tahun lepas.
Tindakan speaker mencetuskan gempar dalam kalangan ahli Parlimen, yang mahu mengambil hari ini untuk membahaskan usul kontroversi itu.
Nik Abduh yakin Umno bersama RUU 355 walaupun tidak disokong Barisan Nasional.
“Itu sebagaimana dah dijelas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi walaupun BN tak bawa, tetapi Umno akan terus sokong,” katanya.
“Saya ucap tahniah (kepada Umno),” tambahnya.

RUU 355: Pembangkang kecewa tindakan Pandikar


Mujahid, guan eng, gobind

KUALA LUMPUR - Rata-rata ahli Parlimen pembangkang meluahkan rasa kecewa di atas tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan bagi membentangkan usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau RUU355 di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, status pindaan RUU355 telah tergantung selama lebih dua tahun tanpa sebarang perbahasan berhubung isu tersebut.
"Kami mengharapkan ada satu rumusan sekurang-kurangnya sebab timbul banyak keraguan," katanya dalam ketika sidang media, selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang Parlimen, hari ini.
Dalam persidangan tersebut, keputusan penangguhan yang dibuat kira-kira jam 4 petang itu telah mendapat bantahan daripada anggota Parlimen pembangkang kerana tidak diberi peluang membahaskan usul berkenaan.
Selepas itu, ahli-ahli Parlimen pembangkang bertindak bangun dan melaungkan 'ini tidak adil', namun Pandikar tidak mengendahkannya lalu bangun meninggalkan sidang.
Selepas itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman membacakan penangguhan sidang berkenaan.
Turut memberi respons sama, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng turut mempersoalkan dengan tindakan Pandikar tersebut walaupun ia telah dibentangkan oleh Abdul Hadi sebelum ini.

RUU 355: Semua sudah dirancang, kata ahli Parlimen PAS


Semua sudah dirancang, kata ahli Parlimen PAS
Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar mengakui mendapat maklumat pembentangan RUU355 hari ini bagi membolehkan PAS memberikan penjelasan tentangnya. 
TINDAKAN mengejut speaker Parlimen menghentikan perdebatan selepas dua wakil PAS bercakap mengenai RUU355 sememangnya sudah dirancang kerana sidang ini bertujuan membolehkan parti Islam itu menjelaskan kandungan dan tujuan rang-undang-undang itu.
Ahli Parlimen PAS Mahfuz Omar berkata, beliau mendapat maklumat, perkara berkenaan sudah dirundingkan sejak awal bagi membolehkan PAS "memberikan penjelasan" tentangnya.
"Saya sudah dimaklumkan sejak semalam. PAS akan dibenarkan membentangkan RUU355 untuk memberikan penjelasan mengenainya dan selepas itu ia akan ditangguhkan," kata Mahfuz kepada The Malaysian Insight.
Speaker Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang perdebatan selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang (Marang) membentangkan usul bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan disokong Setiausaha Agung PAS, Takiyudin Hassan (Kota Bharu).
Selepas kedua-duanya berucap, Pandikar menangguhkan sidang ke sesi akan datang yang belum ditentukan tarikhnya.
Timbalan Perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini juga memberitahu perkara sama mengenai perbentangan kali ini yang tidak akan sampai kepada peringkat pengundian.
Ketika mencelah ucapan daripada Takiyuddin, semua ahli Parlimen Umno kelihatan menyokong RUU355 manakala ahli Parlimen BN bukan Islam menentangnya.

'Bloody Fool' : Speaker henti debat RUU355, tangguhkan Parlimen


Speaker henti debat RUU355, tangguhkan Parlimen
Speaker Pandikar Amin Mulia menghentikan perdebatan RUU355 hari ini walaupun terdapat bantahan daripada ahli Parlimen.
SPEAKER Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia hari ini menghenti perdebatan RUU355 sebelum mereka yang menentangnya menyampaikan hujah mereka, dan menangguhkan prosiding, menyebabkan kekecohan di Parlimen.
Pandikar menghentikan perdebatan dan berjalan keluar pada jam 4 petang selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman membentangkan usul menangguhkan prosiding.
Ahli Parlimen lain mula menjerit "takut", "ayam" semasa Pandikar meninggalkan ruang Parlimen.
Tiada siapa menyangka penangguhan itu kerana beranggapan satu lagi sesi maraton seperti semalam apabila prosiding berakhir pada jam 5 pagi hari ini.
Pandikar membuat pengumuman itu selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan melengkapkan hujahnya terhadap usul persendirian yang dibawa Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU355).
Pandikar berkata beliau menjadi speaker selama sembilan tahun, dan gembira kerana mempunyai kuasa penuh menjalankan sesi tanpa sekatan.
Beliau berkata memahami RUU355 jelas selepas mendengar, Hadi dan Takiyuddin.
Sejurus itu, speaker memberi kejutan apabila mengumumkan debat itu ditangguhkan tanpa tarikh, menyebabkan ahli Parlimen pembangkang yang tidak mempunyai peluang untuk lebih banyak bercakap, tergamam.
"Tan Sri, anda tidak adil. Anda tidak mengatakannya lebih awal. Anda mengejutkan kami."
Laungan "bodoh", "takut", "kuasa disalahgunakan" kedengaran semasa Pandikar meninggalkan Dewan.
Ahli Parlimen menjangkakan berpeluang menyuarakan pendapat mereka semasa perdebatan dan mengundi rang undang-undang kontroversi itu.

Tangguh sidang Dewan Rakyat: Islamkah macam ini? soal Khalid

Ahli Parlimen Pakatan Harapan membantah tindakan speaker menangguhkan sidang.Ahli Parlimen Pakatan Harapan membantah tindakan speaker menangguhkan sidang.
Tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berdegil tidak membenarkan usul persendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibahas mencetuskan bantahan pihak pembangkang.
Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) bangkit mempersoalkan keputusan Speaker menangguhkan sesi kali ini tanpa memberi ruang kepada ahli parlimen Pakatan Harapan berbahas.
"Dewan Rakyat apa macam ni? Memang Pas dengan Umno sajalah (bahas) hari ini. Tak berani beri kita hujah.
"Islamkah macam ini. Islamkah macam ini? Tak beri kita berhujah," soal Khalid berulang kali diikuti sorakannya, 'Malu' yang turut diikuti beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan.
Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah juga sebelum itu memohon Speaker untuk membuka ruang perbahasan tetapi permintaannya tidak dihiraukan.
"Tan Sri (Speaker) beri peluang kepada kami (pembangkang) berbahas. Saya menghormati hak dan kuasa Tan Sri," rayunya berulang kali.
Speaker bagaimanapun berkata, ahli parlimen akan diberi peluang berbahas pada sesi akan datang yang dijadualkan berlangsung pada 24 Julai depan.  
"Saya sendiri guna kuasa saya kerana saya mengatur urusan mesyuarat. Ahli Berhormat akan dapat peluang bahas pada sesi akan datang. Tolong saya Yang Berhormat kerana saya telah membuat ketetapan," ujarnya.
Rafizi Ramli (PKR-Pandan) kemudiannya berdiri mendesak Speaker memberi ruang kepada pihak Pakatan Harapan untuk menyatakan sekurang-kurangnya satu pendirian.
"Adalah sangat tidak adil membenarkan satu hari mendengar hujah di sebelah pihak tanpa memberi peluang kepada menjawab," tegas Rafizi tetapi serentak kedengaran pekikan, "Shut up you!" daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau).

Akta 355 hantu ke apa? tanya MP Pas

Ucapan Takiyuddin hanya dicelah anggota parlimen Pas dan BN.Ucapan Takiyuddin hanya dicelah anggota parlimen Pas dan BN. 
Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) menganggap pindaan Akta 355 tidak harus menimbulkan pertikaian banyak pihak memandangkan peruntukan tersebut memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah di negeri-negeri dalam kes jenayah syariah
"Tidak timbul persoalan terhadap pindaan Akta 355. Hantu ke apa? Sebab semua orang takut Akta 355.
"Kalau kita tidak tahu Akta 355 tapi takut dengan 355 sampai macam-macam ugutan, saman dan sebagainya seolah-olah kita takut hantulah. Kita takut tapi kita tidak tahu apa itu hantu dan bagaimana rupanya," bidasnya semasa perbahasan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) hari ini.
Terdahulu, peguam itu menjelaskan tentang pembahagian akta yang memberi kuasa terhadap fungsi mahkamah di Malaysia.
"Mahkamah Rendah di negara ini iaitu Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret ada akta yang memberi kuasa kepada kedua-dua mahkamah ini iaitu Akta Mahkamah Rendah 1948.
"Akta ini memberi kuasa kepada Mahkamah Sesyen di dalam Seksyen 64. AKta Mahkamah Majistret di dalam Seksyen 87.
"Yang kedua untuk Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan yang juga Mahkamah Sivil ada juga undang-undang yang memberi kuasa kepada mahkamah ini.
"Seksyen 22 (2) kepada Mahkamah Tinggi, Seksyen 60 kuasa kepada Mahkamah Rayuan, Seksyen 92 (kuasa) kepada Mahkamah Persekutuan.
"Jadi, kalau Mahkamah Sivil ada undang-undang yang beri kuasa kepada dia, maka Akta 355 adalah undang-undang Persekutuan yang beri kuasa kepada Mahkamah Syariah," ujarnya yang juga Setiausaha Agung Pas itu.

Setelah ditangguh bentang dua kali, Speaker tangguh pula bahas RUU 355


Tindakan Speaker Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat.Tindakan Speaker Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat.
Selepas ditangguhkan pembentangannya dua kali oleh Ahli Parlimen Marang pada dua sesi parlimen lalu, kini Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan pula sesi perbahasan usul Rang Undang-undang Akta 355 yang dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Pandikar beralasan beliau berkuasa penuh untuk menentukan perjalanan mesyuarat dewan dan membuat keputusan berdasarkan kuasa yang ada padanya.
"Pada hari ini saya tak mahu menjadi 'bloody fool'. Saya nak gunakan kuasa saya dengan membuat ketetapan supaya perbahasan diadakan pada sesi akan datang," kata beliau.
Sidang Dewan Rakyat dijadual diadakan pada 24 Julai ini selepas ditangguhkan pada jam 4.00 petang tadi.
Walaupun dikecam ahli-ahli parlimen pembangkang, Pandikar yang enggan berganjak daripada keputusannya meninggalkan dewan.
Sebelum itu, usul yang dibentang Abdul Hadi disokong Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) yang berucap ketika sidang disambung semula pada jam 2.30 petang.
Ucapan panjang lebar beliau dicelah beberapa kali oleh anggota parlimen BN yang inginkan penjelasan.
Ini mendorong Khalid Samad (Amanah - Shah Alam) bertanya sama ada ahli parlimen pembangkang akan diberi peluang berbahas ataukah hari ini telah ditetapkan sebagai 'hari Pas dan Umno'.
Anggota Parlimen Pakatan Harapan yang tidak berpuas hati dengan tindakan speaker kemudian mengadakan sidang media setelah sidang Dewan Rakyat ditangguhkan.

RUU 355: Muhyiddin rasa bagai dipermainkan

Usul persendirian dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) untuk meminda Akta 355 - atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 akhirnya dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Ia menjadi perhatian ramai kerana ada sesetengah pihak - termasuk parti komponen BN - menentang cadangan berkenaan. Umno pula pernah mengumumkan bahawa kerajaan akan mengambil alih usul berkenaan.
Bagaimanapun, mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 29 Mac lalu memutuskan rang undang-undang itu tidak diambil alih oleh kerajaan dan menyerahkannya kepada Speaker Dewan Rakyat menentukan kedudukan usul berkenaan.
Tengah hari tadi usul itu dibawa oleh Abdul Hadi dan disokong oleh Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu). Bagaimanapun, selepas ucapan menyokong usul itu ditamatkan petang tadi, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang Dewan Rakyat sebelum usul Abdul Hadi itu dibahaskan.
Berikut adalah komen beberapa anggota parlimen mengenai usul tersebut:
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN (BERSATU-Pagoh)
Wakil rakyat tertanya-tanya apa yang terjadi (selepas sidang ditangguhkan). Sebaik mungkin, apabila (usul) dibentangkan - walaupun ada pihak kata tak payah - berilah ruang kepada ahli-ahli parlimen (berbahas). Manalah tahu kalau saya nak sokong, atau ramai lagi hendak sokong, atau tidak sokong
Sekarang ini seolah-olah kita dipermainkan. Saya tak tahu apa perasaan PAS. Dia boleh bentang, boleh sokong tapi tak ada keputusan.
Pada saya ini adalah mungkin perkara yang tak pernah berlaku, namun tentulah rakyat mahukan jawapan sebenar. Adakah ini akan diluluskan atau sebaliknya kerana penjelasan telah dibuat oleh ahli parlimen Marang tadi menyatakan terperinci, dan saya fikir beliau dapat bentang dengan baik walau ada pihak mungkin persoal kandungan, cadangan, tambah hukuman dan sebagainya
Apabila tak beri ruang kepada ahli parlimen pembangkang, malah yang lain-lain untuk suarakan pandangan, pada saya ini menyekat kebebasan.
Saya tidak persoal kuasa speaker. Memang beliau kata ada hak buat keputusan. Namun speaker kena pertimbangkan, dalam sistem demokrasi berparlimen, kita di dalam dewan harus diberikan peluang supaya rakyat tahu kita mengupas, kaji secara mendalam apakah RUU ini supaya tak ada pihak yang menyalah tafsir.
WEE KA SIONG (BN-Ayer Hitam)
Saya anggap usul ini tak lengkap kerana ia cuma satu usul, setakat menyelesaikan huraian usul persendirian yang hendak dibawa. Itu saja.
(Mengenai penangguhan) Berbahas sehingga esok pagi - seperti berlaku semalam - tidak akan menyelesaikan apa-apa kerana ada perbezaan pendapat. Pendirian MCA tetap sama.
Apa pun, Abdul Hadi dan Takiyuddin sudah diberi peluang membuat penjelasan di parlimen.
NASRUDIN HASSAN (PAS-Temerloh)
Saya rasa syukur pindaan RUU355 dapat diberikan huraiann yang jelas. Apa yang baik ketika ini ialah memberi penjelasan dan huraian terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan pindaan RUU355.
Saya bersama Kuala Nerus (Datuk Dr Khairuddin Aman Razali) memang dah sedia untuk berbahas. Saya jangka lepas ini giliran Kuala Nerus nak kemukakan hujah, tapi apabila speaker tangguh perbahasan, kami sedia untuk perbahasan pada sesi akan datang.
"Saya tak tahu (usul tidak dibahas hari ini). Saya dah sedia nak bahas, beg saya ni berat dengan bahan rujukan dan sebagainya.
TAKIYUDDIN HASSAN (PAS-Kota Bharu)
PAS tidak tahu (sidang akan ditangguhkan). Kita sudah ada pembahas. Kita pun terkejut juga, sepatut ada masa lagi.
Terpulang kepada masyarakat (untuk buat penilaian). Saya buat ikut bahagian saya, berdasarkan pengetahuan saya, penyelidikan saya untuk terangkan kepada rakyat.
Hari ini kalangan anggota parlimen, kita telah tunjuk kematangan baik untuk mendengar isu ini.
NIK ABDUH NIK ABDUL AZIZ (PAS-Pasir Mas)
Saya rasa cukup puas hati anggota parlimen sama ada pembangkang atau kerajaan telah mengambil bahagian mohon penjelasan.
Walaupun keputusan speaker untuk menangguhkan sidang mengejutkan semua, tetapi keputusan itu dibuat dengan guna kuasa dia.
Kami dari PAS telah sediakan dua tiga orang orang pembahas yang sudah bersedia berbahas. Saya harap perbahasan seterusnya pada sidang akan datang ada masa yang banyak diberikan.
Walaupun BN tak bawa (usul berkenaan), tetapi Umno akan terus sokong. Saya ucap taniah, saya rasa bukan hanya PAS atau Umno, bahkan semua anggota parlimen Muslim patut sokong pindaan ini.
Penjelasan disampaikan Kota Bharu tadi, saya rasa cukup meyakinkan semua MP.
CHE MOHAMAD ZULKIFLY JUSOH (BN-Setiu)
Saya berpuas hati dan sanngat bagus rang undang-undang itu dibentantang di parlimen.
Ini adalah (cadangan) pindaan kali ketiga dan dibuat selepas 30 tahun. Kita mesti tanya diri sendiri, mengapa pindaan itu diperlukan.
Ia sebab ada banyak kes zina yang membawa kepada anak luar nikah, juga kes pembuangan bayi yang membimbangkan orang ramai.
Hukuman yang ada sekarang nampak seolah-olah tidak mempedulikan masalah sosial ini. PAS sudah bersedia berkompromi mengenai hukuman yang menunjukkan perkembangan bagus.
Jadi orang tidak akan kata pindaan ini adalah jalan belakang untuk melaksanakan hudud. Kita bukan bergerak ke arah hudud. Ia sekadar undang-undang am.
DATUK SERI DR S SUBRAMANIAM (BN-Segamat)
Keputusan yang diambil adalah membenarkan PAS membentangkan usul mereka dan proses undian tidak dibuat hari ini.
Setakat ini kita mengikut keputusan Dewan Tertinggi BN dan speaker yang memutuskan supaya perbahasan tidak dijalankan. Maka MIC tidak boleh menyertai perbahasan itu.

PAS nafi dakwaan Rafizi isu dana 1MDB

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menafikan dakwaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa terdapat individu yang rapat dengan parti Islam itu menerima dana bersumberkan 1MDB.
Malah, tegas Takiyuddin, sekiranya ada mana-mana dana-dana luar yang disalurkan kepada parti itu sudah tentu beliau mengetahuinya.
"Setakat yang saya tahu kita (PAS) tidak ada menerima apa-apa dana daripada mana-mana, kalau ada saya sebagai setiausaha agung mesti tahu.
"Saya tak ada maklumat dan tak ada apa-apa pengetahuan langsung (mengenai dana 1MDB)," kata Takiyuddin kepada Malaysiakini.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Rafizi yang juga anggota parlimen Pandan hari ini bahawa PAS menerima dana 1MDB.
Malah, dakwa naib presiden PKR itu, wang itu mengalir daripada akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Najib telah menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.
PAS pula telah mengancam menyaman bekas naib presidennya Datuk Husam Musa yang tampil dengan dakwaan hampir sama.
Sementara itu, Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Baru berkata, Rafizi tidak perlu membuat cabaran tersebut.

'Lebih baik lapor SPRM'
Sebaliknya, kata Takiyuddin, lebih baik untuk beliau membuat laporan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Rafizi tak perlu cabar, jalan terbaik adalah beliau membuat laporan kepada SPRM dan serahkan bukti itu untuk disiasat," kata Takiyuddin.

'Saya ada bukti orang rapat dengan PAS dapat duit 1MDB' - Rafizi

Rafizi Ramli hari ini membuat dakwaan mengejutkan apabila mendakwa mempunyai bukti terdapat individu yang rapat dengan PAS menerima dana daripada 1MDB.
Malah, dakwa naib presiden PKR itu, wang itu mengalir daripada akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam sidang media di parlimen hari ini, anggota parlimen Pandan itu mencabar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjawab perkara itu.
Rafizi berjanji akan membuat pendedahan lanjut berkaitan perkara itu selepas ini.

“Saya hendak tanya Hadi sama ada beliau yakin tiada... wang daripada akaun Najib mengalir kepada individu yang rapat dengan PAS,” katanya.

Najib telah menafikan menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.
Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali berkata wang itu adalah sumbangan daripada seorang putera Arab Saudi, justeru membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku.
Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mendakwa sebanyak AS$681 juta telah mengalir kepada "Malaysian Official 1 (MO1)".
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Rahman Dahlan mengesahkan MO1 adalah Najib tetapi menegaskan perdana menteri bukan sebahagian daripada siasatan itu.

Najib mengaitkan dakwaan terhadapnya itu bertujuan menjatuhkannya daripada tampuk kuasa.
Sementara itu, dakwaan hampir sama telah dibuat terhadap laman pembocor maklumat Sarawak Report dan bekas naib presiden PAS sendiri Datuk Husam Musa.
Husam mendakwa RM90 juta mendakwa berlaku pemindahan wang melalui akaun di Affin Bank. PAS sebelum ini berkata akan menyaman Sarawak Report dan Husam.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan ketika dihubungi Malaysiakini menafikan perkara itu.

RUU 355: Tangguh sidang, Pandikar enggan jadi 'bloody fool'

Memetik "kata-kata hikmat" seseorang yang tidak dinyatakan, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sesi kali ini sebelum usul Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibahaskan.
Menurut Pandikar, beliau berkuasa penuh untuk menentukan perjalanan mesyuarat dewan dan membuat keputusan berdasarkan kuasa yang ada padanya.
"Saya ingin kongsikan satu kata-kata hikmat yang terpahat di fikiran saya hingga sekarang - if you are in power, you are powerful, if you don't use your power, your are a bloody fool.
"Pada hari ini saya tak mahu menjadi bloody fool. Saya nak gunakan kuasa saya dengan membuat ketetapan supaya perbahasan (usul meminda Akta 355 dibawa hari ini) diadakan pada sesi akan datang," katanya.
Penangguhan sidang itu dibuat kira-kira jam 4 petang. Sidang Dewan Rakyat selanjutnya dijadual diadakan pada 24 Julai ini.
Penangguhan dibuat Pandikar itu mendorong anggota parlimen pembangkang bangkit mengecam keputusan berkenaan kerana mereka tidak diberi peluang membahaskan usul Abdul Hadi itu.
Bagaimanapun Pandikar enggan berganjak, sebaliknya terus meninggalkan sidang.
Khalid Samad (AMANAH-Shah Alam) berkali-kali menyebut: "Islam bukan macam ni!"
Kira-kira 30 minit sebelum itu Khalid bangkit mencelah untuk mendapatkan penjelasan daripada daripada Pandikar sama ada beliau akan memberikan masa untuk usul pindaan Akta 355 itu dibahaskan.
Untuk rekod, hari ini adalah hari terakhir sidang dewan pada sesi ini dan usul Abdul Hadi dibawa ke sidang kira-kira jam 12 tengah hari tadi. Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) kemudian bangkit berucap untuk menyokong usul berkenaan.
Sepanjang tempoh itu - sejak sidang disambung pada jam 2.30 petang - Takiyuddin menyampaikan ucapan panjang lebar dan beberapa kali anggota parlimen BN bangkit untuk mendapatkan penjelasan.
Keadaan itu mendorong Khalid bertanya sama ada anggota pembangkang akan diberi masa membahaskan usul berkenaan.
"Adakah kami akan diberi peluang membahas, atau hari ini (adalah) hari PAS dan Umno," katanya.

Kenyataan Pemimpin PH Terhadap Kekecohan Di Parlimen Ekoran Usul RUU355

RUU 355: Parlimen bergema "Takut! Takut!", Pandikar tangguh sidang

RUU 355: Hari ini hari PAS dan Umno, soal Khalid pada Pandikar

'Akta 355 ini hantu ke apa, semua orang takut' - MP Kota Bahru

PRU14: PAP bertanding semua kerusi DUN, Parlimen di P Pinang

Parti Alternatif Rakyat (PAP) hari ini mengesahkan akan bertanding semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Presiden PAP Zulkifli Mohd Noor berkata parti berbilang kaum itu memutuskan untuk bertanding bagi semua kerusi di Pulau Pinang berikutan kegagalan kerajaan pimpinan DAP negeri untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau mendakwa kerajaan DAP Pulau Pinang akan tumbang dalam PRU14 akibat kerakusan pembangunan di negeri ini sehingga mendatangkan pelbagai masalah kepada rakyat.

"Kami telah bersedia bertanding 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang pada PRU14 nanti. Saya juga bersedia berdepan Lim Kit Siang sekiranya penasihat DAP itu bertanding bagi kerusi Parlimen di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Beliau berkata PAP merupakan sebuah parti berbilang kaum dan akan menampilkan calon pelbagai bangsa untuk semua kerusi yang ditandingi.

PAP yang mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 30 Oktober 2015, ditubuhkan oleh bekas anggota DAP susulan krisis dalaman dan kepimpinan parti itu.

Terdahulu, Zulkifli yang juga bekas naib pengerusi DAP turut membidas kegagalan kerajaan Pulau Pinang dalam menangani masalah banjir sejak mengambil alih pentadbiran pada 2008.

Beliau berkata DAP pada tahun 2008 berjanji dengan rakyat Pulau Pinang untuk mengatasi masalah banjir tetapi setelah hampir 10 tahun memerintah, kerajaan DAP Pulau Pinang masih gagal menyelesaikan masalah itu.

Penghuraian usul pindaan RUU 355 satu kejayaan besar - Idris Ahmad


Penghuraian usul pindaan RUU 355 satu kejayaan besar - Idris Ahmad
KUALA LUMPUR: Penghuraian usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 yang dibuat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini dianggap satu kejayaan besar.

Kata Naib Presidennya Idris Ahmad, ia juga satu mukadimah untuk memperjelas kepada semua pihak terutamanya Ahli-Ahli Parlimen tentang hasrat Pas untuk memperkasa undang-undang Syariah di negara ini.
"Pentingnya di kalangan masyarakat awam sendiri yang tahu dan nak tahu tentang perkara ini.

"Begitu juga terutamanya untuk orang bukan Islam yang kita tengok cukup dahsyat, yang digembar-gemburkan selama ini membuat tohmahan yang tidak tepat dan tidak betul kerana dimanipulasi orang tak bertanggungjawab," katanya di Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang pada masa sama berkata, penerimaan untuk kelulusannya terserah kepada penilaian Ahli Parlimen terhadap apa yang dibentangkan Abdul Hadi.

"Kita tak boleh paksa orang. Kemasukan usul pindaan RUU ini mengikut semua prosedur," jelasnya.

Aset pertahan sempadan lesap, rakyat bakal terancam?

OLEH DATUK RAJA BAHRIN SHAH
Laporan Ketua Audit Negara siri satu 2015 mendedahkan kehilangan aset negara yang sepatutnya dimanfaatkan bagi menyokong operasi utama Jabatan Imigresen Malaysia bernilai RM10.3 juta untuk digunakan di pintu masuk negara bagi tujuan penyaringan dan pengesahan identiti warga asing juga rakyat Malaysia.
Rakyat pastinya terkejut dengan kehilangan peralatan biometric bernilai RM10.3 juta yang sepatutnya digunakan dalam Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs).
Walaupun kejutan ketirisan pengurusan dana atau aset milik rakyat itu sudah mulai terbiasa di telinga rakyat dalam setengah dekad ini.
Kerajaan UMNO BN masih tidak lagi berputus asa memberi kejutan baharu, kini aset yang sepatutnya digunakan bagi mempertahankan sempadan negara hilang dan mengancam keselamatan rakyat.
Adakah kehilangan ini berkait dengan peningkatan statistik kemasukan pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)?
Rakyat tidak mahu lambakan pekerja asing tanpa izin yang kini mencecah hampir 2 juta orang berpotensi menjejaskan keselamatan, keharmonian dan kesihatan rakyat.
Setiap tahun Laporan Ketua audit Negara mendedahkan pelbagai aset atau dana rakyat yang hilang, sebesar besar enjin jet tentera untuk menjaga keselamatan negara pun boleh hilang dan sehingga hari ini masih tiada siapa yang bertanggungjawab, kes ini bagaimana pula?
Justeru, situasi ini membuktikan bahawa wujudnya keperluan reformasi secara menyeluruh terhadap pentadbiran negara ini supaya tahap perkhidmatan dan urus tadbir dapat dipertingkatkan.

Usul RUU 355 Di bentang

Oleh Mohd Sayuti Omar
Wakil Marang Hadi Awang telah pun membentang usul persendirian untuk meminda Akta 355 bagi memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Usul beliau disokong oleh wakil Kota Bharu, Takiyuddin Hassan. Dengan pembentangan usul (RUU 355) ini, sebahagian episod RUU 355 yang menjadi polemik luas di kalangan ahli politik sehingga mengelirukan pandangan orang bukan Islam terhadap Islam, sudah masuk ke zone penyelesaian.
Pun begitu masih belum diketahui apakah usul ini akan diterima atau pun tidak. Perbahasan hangat akan berlaku. Sekiranya parlimen menerima usul ini untuk perbahasan, kita boleh menyaksi perbahasan mengenai usul ini. Realiti hari ini usaha dari pihak tertentu untuk mengagalkan pembentangan usul ini gagal. Ternyata pandangan dan penjelasan serta ulasan justifikasi kenapa RUU 355 dibawa oleh Hadi Awang jelas dan nyata ia adalah untuk menaikan taraf Mahkamah Syariah, ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan seperti mana diwar-warkan. Suatu yang menarik daripada penjelasan beliau kalau RUU 355 itu diterima, perluasan biadang kuasa mahkamah itu masih tertakluk (pemakaian) kepada kerajaan-kerajaan negeri sebab kuasa agama itu tertakluk kepada negeri atas persetujuan Raja dan Sultan.
Sekiranya kita menerima dengan tenang, penuh tawaduk, tidak ada apa-apa yang perlu digerun kepada RUU 355 ini kerana ia tidak menganiaya,menzalim sesiapa khasnya orang bukan Islam, sebab mereka tidak pun terkena dengan hukuman yang disebut dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah ini.
Jadi apakah selama ini kita bergasak, berpolemik tentang sesuatu perkara yang tidak qat'i sehinggakan telah meletih dan memecah belakan kita sesama kita. Dan seprtti mana kata wakil Marang itu juga pindaan Akta 355 bukan pintu belakang untuk melaksanakan Hudud.

Kenapa perlu tergesa-gesa sehingga semua usul penting lain ditolak?

KUALA LUMPUR, 6 APR: Semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menentang RUU355 harus menjelaskan sebab di sebalik tindakan Kerajaan Persekutuan dan Speaker Dewan Rakyat membenarkan usul itu dibentangkan dalam persidangan hari ini.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee berkata, ini kerana banyak lagi usul kerajaan yang dianggap penting ditangguh pembentangannya, semata-mata untuk memberi laluan kepada usul persendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.
“Kerajaan, Presiden MCA, Presiden Gerakan, Presiden MIC dan semua Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak perlu menjawab, apa yang terlalu mustahak sehingga usul itu diberi laluan berbanding usul-usul penting yang lain.
“Soalan ini harus dijawab oleh Perdana Menteri dan pemimpin komponen parti BN, tak ada makna kalau mereka kata tak akan bentang usul itu, sedangkan mereka membenarkan ia dibahaskan di Parlimen” kata Tony Pua di lobi Parlimen, sebentar tadi.
Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 29 Mac lalu, BN mengambil keputusan untuk tidak membentangkan RUU 355 kerana kononnya menghormati konsesus bersama parti komponen.
Bagaimanapun, Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang tetap dibenarkan untuk membentangkan RUU355 atau usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) buat kali ketiga selepas dua kali ditangguhkan.

Jangan permainkan Islam, amaran Hadi kepada pengkritik RUU 355

Hadi berkata bukan Islam tidak pernah dibicarakan di bawah syariah, dan berkata RUU itu memberikan hak umat Islam mendapatkan keadilan.
unnamed (10)KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan rakyat bukan Islam tidak ada kena-mengena dengan undang-undang syariah, ketika mencadangkan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, di Dewan Rakyat hari ini.
Presiden PAS dan ahli Parlimen Marang itu berkata pesalah bukan Islam tidak pernah dalam sejarah 50 tahun pelaksanaan syariah di negara ini dibicarakan di bawah mahkamah syariah
“Saya bukannya hendak wujudkan undang-undang baru tetapi untuk meminda berkaitan mahkamah syariah yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Belum ada bukan Islam yang terguna pakai dalam akta ini. Saya mohon Yang Berhormat bukan Islam, kerana tidak ada bukan Islam yang akan disabitkan,” katanya sewaktu membentangkan rang undang-undang persendirian itu.
Perang mulut tercetus seketika apabila Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) bangun membantah keputusan Speaker memberi laluan kepada Hadi. Beberapa wakil rakyat BN termasuk Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) dilihat mengherdik Kit Siang supaya tidak meneruskan bantahannya.
‘Hukuman tak setimpal kesalahan’
RUU itu bertujuan meningkatkan hukuman sedia ada untuk kesalahan syariah tertentu, daripada maksima 3 tahun penjara kepada 30 tahun, daripada denda maksima RM5,000 kepada RM100,000, dan daripada 6 kepada 100 sebatan.
Hadi turut menyelar ahli Parlimen sama ada Islam atau bukan Islam yang membantah RUU tersebut, sambil berkata penentangan itu merupakan petanda buruk terhadap budaya “politik perpaduan matang” di negara ini.
“Kepada bukan Islam, jangan permain-mainkan agama Islam yang menjadi agama persekutuan,” katanya.
Hadi merujuk kepada apa yang didakwanya hukuman tidak setimpal untuk kesalahan syariah, berbanding dengan beberapa kesalahan kecil di bawah mahkamah sivil.
“Mahkamah sivil memperuntukkan denda RM50,000 jika didapati bersalah memiliki burung-burung tertentu.
“Tetapi jika mengajar ajaran sesat dan didapati bersalah, hanya denda maksima RM5,000 sahaja. Apakah demikian rendah nilai akidah Muslim?” soalnya.
Memberikan contoh, Hadi berkata mahkamah syariah pada masa ini dilihat mengambil ringan kesalahan lelaki yang tidak memberikan nafkhah kepada bekas isteri, berbanding dengan hukuman mahkamah sivil yang lebih berat.
“Jika dibandingkan dengan mahkamah sivil, denda berpuluh ribu bagi memastikan hak wanita terjaga. Islam adalah agama rasmi persekutuan, tetapi penganut agama Islam dalam negara tidak dapat menikmati keadilan menggunakan agama mereka,” katanya.

Bukan Islam ganggu hak orang Islam, dakwa Presiden Pas

Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika membentangkan RUU 355 di Parlimen hari ini.Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika membentangkan RUU 355 di Parlimen hari ini.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengaitkan masyarakat Islam di Malaysia seolah-olah dinafikan hak untuk mengamalkan pegangan agamanya ketika membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, cadangan pindaan Akta 355 hanya untuk meningkatkan hukuman maksimum pada yang hampir atau sepadan dengan hukuman syarak yang memang sudah termaktub dalam sumber-sumber hukum di bawah panduan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias para ulamak.
"Kita sedia maklum, undang-undang sivil yang diwarisi daripada Suruhanjaya Reid warisan British dan terpakai sehingga hari ini menjadi undang-undang rasmi negara di mana Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi.
"Namun, kita ingin mengingatkan semua ahli dewan yang mulia ini juga, di bawah Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang sama juga, Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
"Dalam hal ini, tidakkah Ahli-ahli yang Berhormat terfikir, bagaimana rakyat beragama Islam di dalam negara sebenarnya seakan-akan dilarang tidak dapat mengamalkan agamanya sendiri dengan sepenuhnya dengan pembelaan yang dijanjikan oleh Islam, dalam keadaan mereka yang bukan Islam telah menganggu hak orang Islam mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya termasuklah syariat hukuman yang terkandung di dalamnya?" soalnya.
Berucap selama 20 minit sebelum sidang Dewan Rakyat berehat pada pukul 1 petang hari ini, Ahli Parlimen Marang berkenaan turut membidas pihak yang menganggap pindaan Akta 355 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Kita ingin bertanya kepada semua Ahli Berhormat, bagaimana mungkin cadangan pindaan batas hukuman ini bertentangan dengan Perlembagaan negara? Tiada peruntukan baru dikuatkuasa yang memungkinkan peruntukan tambahan diwujudkan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Jika usul pindaan ini diterima dan diluluskan, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mempunyai waktu dan kesempatan seluas-luasnya untuk membahaskan pemakaian batas hukum baru yang diluluskan itu untuk kesalahan jenayah syariah.
"Di sinilah sepatutnya ahli-ahli Dun nanti menggunakan kebijaksanaan masing-masing membahaskan isi dan bentuk kesalahan syariah untuk dilaksanakan di Mahkamah Syariah," ujarnya.

RUU355 bukan jalan belakang hudud - Hadi

RUU355 tak perlu perkenan Majlis Raja-Raja: Pandikar

Ucapan penuh Hadi bentang RUU355

Hadi Bentang RUU355

Parlimen 'panas' sebelum Hadi bentang RUU355

RUU 355: Ini hasrat besar rakyat - Dr Mohd Khairuddin

KUALA LUMPUR - Keperluan meminda Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah(Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Dewan Rakyat, hari ini merupakan hasrat besar umat Islam di negara ini.
Malah menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, ia juga disokong oleh tokoh ulama antarabangsa seperti bekas Muraqib Aam Ekhwan Jordan, Syeikh Dr Hammam Sa'id dan tokoh ulamak tafsir Jordan, Syeikh Dr Solah Khalidi.
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali "Hari ini RUU 355 akan dibentang untuk dibahas di Dewan Rakyat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Ia bertujuan untuk mencadangkan pindaan terhadap RUU 355 daripada kadar hukuman tidak lebih tiga tahun penjara, lima ribu ringgit denda dan enam kali sebatan kepada tidak lebih 30 tahun penjara, 100 ribu ringgit denda dan 100 kali sebatan menurut Syariah," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli parlimen dan rakyat beragama Islam  dan bukan Muslim agar sama-sama berdoa supaya segala usaha yang dibuat Abdul Hadi berjalan lancar.
"Akta ini setelah berjaya dipinda di Parlimen (akan) membolehkan Dun meminda kadar hukuman kesalahan syariah dalam Enakmen-enakmen Kesalahan Syariah yang akan terpakai di Mahkama Syariah Negeri.

RUU 355: Tujuan mendidik, bukan menyeksa, kata Hadi

Usul Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) akan dibentangkan di Dewan Rakyat, sebentar lagi.
Rang undang-undang itu bertujuan untuk meningkatkan had hukuman bagi kesalahan syariah.

1:00pm: Hadi meminta usulnya itu dibahaskan. Takiyuddin tampil menyokong usul itu, tetapi Pandikar memintanya berbuat demikian selepas rehat makan tengah hari.
Dewan Rakyat berhenti rehat dan akan bersambung jam 2.30 petang.
12:58pm: Hadi berkata hukuman di bawah undang-undang Islam itu bertujuan untuk mendidik, bukan untuk menyeksa.
Beliau kemudian menyebutkan perbezaan antara hukuman sebat di bawah undang-undang Islam dan undang-undang sivil.
“Sebatan dalam Islam bukan sebatan sivil, mesti dengan alat sebat yang sederhana, yang tak berat dan tidak ringan,
“(Tangan) tak boleh angkat lebih tinggi dari kepala, tak boleh (hingga) menyiat kulit, tak boleh cederakan, untuk malukan bukan cederakan.
“Kalau orang kurus kalau sebat kena tulang, Rasulullah suruh guna seratus batang ranting dan sebat sekali sahaja.
“Jangan main-main dengan hak orang Islam yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan,” katanya.
12:55pm: Hadi menjelaskan bahawa Akta 355 tidak meliputi rompakan atau kesalah mencuri.
Presiden PAS itu berkata penolakan pindaan itu oleh beberapa ahli parlimen adalah tanda yang tidak baik kepada kematangan politik negara.
Hadi menegaskan bahawa ahli parlimen bukan Islam tidak mempunyai hak untuk membantah pindaan itu kerana ia tidak memberi kesan kepada mereka, dan bahawa hanya umat Islam yang boleh dibicarakan di bawah Akta 355.
"Bukan Islam bukan musuh, apatah lagi (mereka) rakyat senegara," katanya.
Jelasnya, memandangkan skop akta itu yang terhad, kes umpama rogol yang melibatkan orang Islam dan bukan Islam, adalah di bawah bidang kuasa polis.
12.45pm: Hadi berkata pindaan Akta 355 diperlukan bagi memperkasakan mahkamah syariah.
“Pada masa sekarang bidang kuasa jenayah mahkamah syariah adalah sangat terbatas.
“Bidang kuasa mahkamah syariah masih lagi rendah daripada mahkamah majistret.
“Memurtadkan orang hanya boleh didenda RM5,000. Adakah begini rendah nilai akidah Muslim?
“Muslim tidak bertanggungjawab kepada isteri, tinggalkan bertahun-tahun, berpoya-poya berbanding puluhan ribu atau ratusan ribu (hukuman) di mahkamah sivil.
“Di manakah lindungan untuk wanita Muslim?” soalnya.
12.40pm: Hadi akhirnya berdiri untuk membacakan usulnya.
“Saya berdiri hari ni sebgai anggota Dewan Rakyat yang dipilih rakyat untuk bawa rang undang-undang, izinkan saya menungkapkan syukur alhamdulillah kepada Allah, dan terima kasih kepada semua yang telah izinkan saya bentangkan usul Akta 355 buat kali ketiga.
“Akta asal ini telah diluluskan 50 tahun yang lalu dan hanya dipinda pada 1985.
“Usul ini yang saya bentangkan pada kali pertama bukan bertujuan untuk wujudkan akta baru seperti digemburkan sesetengah kumpulan tapi meminda akta persekutuan sedia ada.,” katanya.

Parlimen 'ribut' sebelum Hadi bentang RUU 355

Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat hari ini.Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat hari ini.
 Tempoh kira-kira 30 minit sebelum Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) membentangkan Rang Undang-undang (RUU) 355 menyaksikan sidang Dewan Rakyat dilanda 'ribut' apabila berlaku pertikaman lidah antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
Terdahulu, berlaku perdebatan antara Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) berhubung isu penyerahan notis dan saman pemula kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia oleh anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abd Rahman semalam.
Bagaimananapun, beberapa ahli parlimen BN kemudiannya bangkit menjerit termasuk mengeluarkan maki hamun ketika Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) turut berdiri mempersoalkan RUU Hadi.
"Bisinglah. Duduklah. Ini provokasi hanya mahu kelirukan rakyat," jerit Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) manakala Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) turut beberapa kali bangun memekik antaranya, "Makin tua, makin gila."
Kit Siang antara lain mempersoal sejauh mana pembentangan RUU 355 hari ini turut dipersetujui parti komponen BN lain.
"Ini permintaan kerajaan. Presiden MCA, Gerakan adakah setuju?" soalnya lagi diikuti sorakan bantahan berterusan daripada ahli parlimen kerajaan.

Hanya 11 orang berhimpun sokong RUU355 di parlimen

Pemandangan berbeza ketika himpunan RUU355 sebelum ini kerana di sertai ribuan orang.
Namun hari ini hanya 11 orang datang bagi menyatakan sokongan itu di luar Parlimen hari Ini.
Menurut penyokong PAS yang hanya mahu dikenali sebagai 'Nazir', beliau menjangkakan ramai orang akan hadir pada hari ini, namun kerana hari bekerja menyebabkan penyokong parti Islam itu kurang.
"Tapi hari ini hari bekerja​ kan.
"Tapi kita yakin semua berdoa untuk RUU355," katanya yang tiba di kawasan itu pada jam 10 pagi.
Katanya lagi, beliau hadir tidak membawa kain rentang sebaliknya hanya menyatakan sokongan.
Semalam Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan melalui Facebooknya menyeru supaya semua anggota parti Islam itu mengadakan solat hajat supaya RUU355 berjaya dibentang dan dibahaskan.
Namun hari ini, Nasrudin ketika ditemui pemberita di parlimen enggan mengulas lanjut mengenai pembentangan itu.
Usul oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) akan dibahaskan di parlimen hari ini.
Hadi berusaha untuk meminda akta yang dikenali sebagai Akta 355 untuk meningkatkan had hukuman penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.
Pada masa ini, had hukuman syariah hukuman adalah penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.
Sidang Dewan Rakyat yang berlangsung selama hampir 20 jam semalam, berakhir pada 5:05 pagi ini, mencatat rekod baru sesi parlimen yang paling lama, melebihi masa sebelum ini sehingga jam jam 4.25 pagi, lapor Bernama.

RUU355: Speaker khianati Raja-Raja Melayu, kata Tawfik


RUU355: Speaker khianati Raja-Raja Melayu, kata Tawfik
Mohamed Tawfik Ismail menuduh Speaker Pandikar Amin Mulia bermain politik dengan mengabaikan Perlembagaan dan menyalahgunakan kuasa. 
LANGKAH speaker Dewan menaikkan usul persendirian RUU355 dalam susunan Aturan Mesyuarat adalah "pengkhianatan" kerana ia mengabaikan hak-hak Raja-Raja Melayu yang sepatutnya dirujuk sebelum undang-undang Islam dibuat, kata bekas ahli Parlimen, hari ini.
Mohamed Tawfik Ismail juga menuduh Speaker Pandikar Amin Mulia bermain politik dengan mengabaikan Perlembagaan, berkata keputusan mengubah kedudukan usul persendirian itu sebagai "keangkuhan tahap tertinggi".
"Hari ini adalah hari yang menyedihkan bagi rakyat Malaysia. Hari ini Parlimen sudah mati dan negara dibawa ke arah yang berbahaya.
"Speaker bermain politik mengabaikan Perlembagaan dan melakukan pengkhianatan dengan mengabaikan hak Majlis Raja-Raja untuk dirujuk sebelum pengisytiharan mana-mana undang-undang yang akan memecahbelahkan kita sebagai sebuah negara.
"Tindakan speaker mengubah kedudukan usul Hadi dan meletakkannya pada nombor 1 dalam Aturan Mesyuarat adalah keangkuhan tahap tertinggi. Beliau mahu menunjukkan kuasa. Beliau mahu menunjukkan boleh menyalahgunakan kuasa dan tiada sesiapa boleh lakukan mengenainya. Itu yang jelas," kata Tawfik dalam satu kenyataan pendek dikeluarkan di Kuala Lumpur.
Tawfik berkata undang-undang yang dicadangkan itu akan mengagalkan "impian satu bangsa bersatu" oleh "mereka yang kita undi dan percayai kebijaksanaan menggubal undang-undang bagi menyatukan kita sebagai sebuah negara."
"Hari ini, speaker Parlimen melakukan pengkhianatan jika beliau tidak menghiraukan perkara dalam Perlembagaan yang kami dibawa kepada perhatiannya.

Peguam Negara Switzerland yakin dengan siasatan skandal 1MDB

Peguam Negara Switzerland Michael Lauber yakin siasatan pengubahan wang haram melibatkan 1MDB akan membuahkan hasil walaupun pihak berkuasa Malaysia enggan bekerjasama.
“Ia bukan tiada harapan, sebaliknya bertentangan sama sekali,” Lauber dipetik sebagai berkata dalam sidang media, lapor Reuters.
Katanya, siasatannya mencatat kemajuan berdasarkan laporan-laporan pengubahan wang haram, dokumen-dokumen bank diteliti dan kerjasama dengan Singapura dan negara-negara lain.
Lauber juga berkata sangat wajar bagi Malaysia untuk bekerjasama dalam siasatan itu.
Tetapi “kami masih yakin dapat menyimpulkan proses dalam bidang ini, terutamanya dalam kes terbuka terhadap dua buah bank,” katanya merujuk kepada bank swasta Switzerland BSI dan Falcon.
Pejabat Lauber pada November lalu berkata, Malaysia sekali lagi menolak permohonan bantuan undang-undang daripada Switzerland dalam siasatannya terhadap 1MDB.
1MDB, syarikat sarat hutang hasil cetusan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sedang berdepan siasatan di sekurang-kurangnya enam negara melibatkan dana berbilion-bilion dolar selepas disyaki terdapat penyelewengan.

Teresa fail saman fitnah RM1 juta ke atas Jamal

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok hari ini memfailkan saman fitnah RM1 juta terhadap pemimpin Gerakan Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Saman itu adalah berhubung dakwaan Jamal yang juga adalah Ketua Umno Sungai Besar bahawa pemimpin DAP itu menyalahgunakan dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang di bawah pentadbiran Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).
"Hari ini, saya memfailkan saman terhadap Jamal Yunos atas tuduhan palsu terhadap saya yang mendakwa saya menerima kad ATM SMUE kerajaan Selangor untuk mengeluarkan sejumlah besar wang dari akaun bank kerajaan negeri.
"Seperti yang kamu tahu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) datang ke pejabat saya dan mengambil segala fail SMUE. Oleh itu, kita telah memberikan mereka banyak kotak dokumen.
"Apa yang Jamal Yunos lakukan itu telah merosakkan reputasi saya dan kerja saya sebagai wakil rakyat," katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur.
SMUE adalah skim bantuan kecemasan di mana ahli keluarga yang lahir di Selangor boleh memohon untuk mendapatkan wang perbelanjaan pengebumian sebanyak RM2,500.