Isnin, 20 Mac 2017

‘Pembeli Forest City dari China terperangkap dengan kawalan modal’

Pelabur dari tanah besar China yang membuat bayaran pendahuluan untuk membeli hartatanah dalam pembangunan Forest City kini terperangkap dengan dasar kawalan modal China.
Menurut South China Morning Post, pembeli gagal mendapatkan pinjaman daripada bank-bank China mahupun memindahkan dana mereka ke luar negara untuk membuat bayaran.
Adalah dilaporkan, bayaran yang dibuat kepada akaun di Hong Kong juga ditolak.
Ini mendorong pembeli untuk cuba mendapatkan bayaran balik bayaran deposit mereka, tetapi tidak berjaya, lapor akhbar dari Hong Kong itu.
"Sekarang kami difahamkan semua ansuran lanjut perlu dibayar di luar negara. Tetapi ini tidak dibenarkan kerana kawalan pertukaran asing oleh kerajaan China," kata seorang pembeli hartanah di Forest City, Vicky Wu dari Guangzhou.
"Jika kita berbuat demikian, kita akan dimasukkan dalam senarai hitam kerajaan," katanya.
Pusat jualan syarikat itu di beberapa bandar besar di China juga telah ditutup untuk "pengubahsuaian" awal bulan ini, tetapi wakil pemaju Forest City, Country Garden menafikan ia berkaitan dengan kawalan modal Beijing, lapor SCMP.
Country Garden adalah pemaju ketiga terbesar di China.
Seorang pembeli dilaporkan memberitahu akhbar berkenaan, beliau dimaklumkan pembelian apartmen di Forest City akan memberi peluang kepada keluarganya untuk menjadi penduduk tetap sebuah negara lain.

Pengerang: Saya bukan sumber laporan WSJ - Clare

Pengarang Sarawak Report menafikan beliau menjadi sumber berita untuk laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa Saudi Arabian Oil Co (Saudi Aramco) menarik diri daripada projek penapisan minyak dengan Pertronas di Pengerang, Johor.
Clare Rewcastle-Brown berkata ini bukan kali pertama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman salah dengan mendakwanya menjadi sumber dalam berita-berita tertentu.
“Saya tentu akan terbitkan sendiri jika begitu,” kata Rewcastle-Brown.
Beliau juga mendakwa Rahman “konsisten tidak boleh dipercayai” dan menasihatkan media mendapatkan pengesahan terlebih dahulu terhadap kenyataannya atau berhenti memetik beliau.
Menteri Umno itu hari ini menamakan Rewcastle-Brown sebagai salah seorang daripada sumber WSJ yang mendakwa Saudi Aramco menarik diri.
Laporan WSJ pada 26 Januri lalu memetik "tiga orang yang biasa dengan perkara itu".

Reuters juga menerbitkan laporan sama dengan memetik "sumber-sumber industri" sehari sebelum itu.
Di sebalik laporan awal itu, Saudi Aramco dan Petronas bagaimanapun memeterai perjanjian usahasama bernilai AS$7 bilion untuk membangunkan kilang penapisan minyak di Pengerang.
Perjanjian itu telah ditandatangani semasa lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud

Bahas Dengan Dr Mahathir Tapi Nazri Lawan Nazri

A Kadir Jasin
PADA 10 Mac, saya siarkan rencana bertajuk “Welcome to Padang Rengas” di mana saya ceritakan berkenaan lawatan saya ke pekan kecil yang jadi tempat persemayaman politik (Datuk Seri) Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.
Masa itu belum timbul cerita bahas di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Nazri. Bahas itu dianjurkan oleh akhbar berkecuali Sinar Harian bertempat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.
Kalau tak silap, asal-usul bahas itu bermula apabila Nazri cabar Dr Mahathir tanding lawan beliau dalam pilihan raya umum akan datang di Padang Rengas.
Dr Mahathir balas dengan ajak Nazri bertanding di Langkawi.
Nampaknya Nazri begitu yakin dia akan dipilih semula untuk pertahan kerusi Parlimen Padang Rengas sehingga berani ajak Dr Mahathir berlawan dengannya di situ.
Dia mula tanding pilihan raya di Chenderoh dalam PRU 1995 – zaman Dr Mahathir. Lepas menang PRU 1999 Dr Mahathir lantik dia jadi Menteri Pembangunan Usahawan. Jadi dia ni “budak” Dr Mahathir lah.
Orang kata, Nazri boleh buat sesuka hati. Dia lebih bebas daripada kebanyakan menteri.
Banyak orang bagi tahu saya, Perdana Menteri merangkap Presiden Umno dan Pengerusi BN, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, “takut” kepada Nazri. Nazri pula tak berapa hormat kepada Najib.
Kalau kita ingat lagi, pernah timbul cakap-cakap yang hangat mengatakan selepas PRU 2013 Najib mungkin gugurkan Nazri daripada Kabinet kononnya “untuk lembutkan hati Dr Mahathir dan ucap terima kasih kerana bantu dalam PRU.”

Nazri Benci Tun

Ramai orang tahu Nazri benci dan kurang ajar terhadap Dr Mahathir. Tapi tak berapa ramai tahu sebabnya.
Ada orang kata, ini adalah kerana siasatan Badan Pencegah Rasuah (sekarang Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) ke atas Nazri bersangkutan lesen teksi masa dia jadi Menteri Pembangunan Usahawan.
(Beberapa orang menteri disiasat dan tiga dikatakan ada kes dan fail-failnya “diserahkan” kepada (Tun) Abdullah Ahmad Badawi apabila dia ganti Dr Mahathir pada akhir tahun 2003. Hanya seorang didakwa iaitu (Tan Sri) Kasitah Gadam dan akhirnya dibuang kes).
Bukan saja tidak dikenakan apa-apa tindakan sebaliknya Abdullah bawa dia ke Jabatan Perdana Menteri dan bagi dia jaga hal ehwal Parlimen dan undang-undang. Dia jadi lebih berpengaruh.
Dia terus jaga hal ehwal undang-undang sehinggalah Najib tukar dia ke Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan lepas PRU 2013.
Ada pengulas media kata dia diturunkan pangkat kerana jaga Parlimen dan undang-undang lebih penting daripada jaga pelancongan dan kebudayaan.
Yang lain pula kata, tak sesuai dia jaga kebudayaan pasal dia “Anglophile” – orang yang agungkan budaya Inggeris. Maklumlah dia anak bekas Pesuruhjaya Tinggi ke United Kingdom dan dia pun belajar di sana.
Orang yang kenal lama dengan Najib dan Nazri sejak zaman Pemuda Umno kata, Najib “tak akan berani” singkir atau bagi arahan kepada Nazri sebab mereka “tahu rahsia satu sama lain” atau, macam kata seorang bekas menteri kanan era Allahyarham Tun Husssein dan Dr Mahathir mereka adalah “kawan seperdosaan”. Wallahuaklam.
Boleh jadi sebab itulah agaknya bila timbul khabar-khabar kata Najib akan gugurkan Nazri untuk ambil hati Dr Mahathir, budak-budak Nazri dipetik sebagai berkata “sebelum Najib jatuhkan chief, chief akan jatuhkan Najib.”
[“Chief” (tuan ketua) adalah gelaran yang budak-budak Nazri bagi kepadanya. Anak dia, Nedim Sujak Nazri Aziz, dibagi gelaran “Junior Chief” (tuan kecil).]

Adakah Najib Restui Bahas?

Nazri tak perlu restu Najib untuk berbahas dengan Dr Mahathir.

Nik Abduh ucap tahniah PPBM sertai PH

Ketua Pemuda PAS berkata secara rasminya hubungan PAS putus dengan PPBM dan perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat parti.
nik-abduh
KUALA LUMPUR : PAS hari ini mengesahkan tiada lagi hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas parti itu menjadi ahli terbaru dalam Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam nada menyindir mengucapkan “tahniah” kepada PPBM.
“Kita ucap tahniah kepada PPBM kerana dah rasmi hubungan dalam Pakatan Harapan. Selamat maju jaya untuk PPBM,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
PPBM hari ini menjadi ahli terbaru dalam PH, selepas gabungan itu secara rasmi menerima kemasukan parti itu hari ini.
Keputusan itu dicapai oleh majlis gabungan presiden, yang sebulat suara menerima permohonan PPBM untuk menjadi ahli pakatan.
Nik Abduh berkata secara rasminya hubungan putus dengan PPBM itu akan dibawa dalam mesyuarat parti itu.
“Tok guru (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dah sebut semalam kalau rasmi PPBM dengan Pakatan Harapan maka rasmilah juga belah sini. Cuma benda itu akan dibawa dalam mesyuarat secara rasmi,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan PAS Bayan Baru dan Permatang Pauh yang memutuskan hubungan dengan PKR, Nik Abduh yang juga ahli Parlimen Pasir Mas berkata perkara itu usul dan ia akan dibawa ke Muktamar Tahunan PAS pada bulan depan.
Beliau sama turut ditanya bagaimana kedudukan PAS di Selangor selepas cawangan parti itu mengusulkan untuk memutuskan hubungan dengan PKR.
“Selangor kekal. Keputusan kita sebelum ini pentadbiran kita berdasarkan Pilihan Raya Umum ke-13. Kita konsisten pegang amanah rakyat di Selangor sehingga pilihan raya nanti,” katanya.
Mengulas isu sama, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata kemasukan PPBM ke dalam PH merupakan hak parti itu dan PAS membentuk blok yang tersendiri.
Katanya, jika PPBM ingin bekerjasama dengan PAS, parti itu akan mengenakan syarat.
“Syarat pertama kita ialah jangan bersama mereka yang menyerang PAS. Macam mana kita nak berkawan kalau kita berkawan dengan orang yang menyerang PAS. Tak mungkin. Logik pun tak boleh diterima.

Nazri: Saya pejuang jalanan, mampu debat dengan Dr M

Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin bagaimanapun berkata perdebatan itu akan hanya menyusahkan perdana menteri.
nazri-mahathir
KUALA LUMPUR: Menteri Umno Datuk Seri Nazri Aziz mengisytiharkan dirinya sebagai “pejuang jalanan” menjelang perdebatannya dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad pada 25 Mac ini.
Nazri berkata beliau tahu bagaimana hendak menangani situasi “sukar”.
“Saya memang pejuang jalanan. Saya bagaimana hendak keluar daripada situasi sukar. Anda bersendirian untuk berlawan,” katanya berhubung sesi debatnya dengan bekas perdana menteri itu di Padang Rengas.
Nazri juga tidak menggalakkan penyokong BN dan Umno menghadiri debat itu, dan berkata beliau mampu pergi seorang dan juga kerana beliau tidak mahu mengulangi perkara yang sudah pun diketahui.
Memandangkan beliau ke sana untuk “meyakinkan pembangkang”, Nazri berkata beliau lebih suka kalau penyokong Dr Mahathir yang menghadiri debat itu.
“Lebih baik begitu. Saya tidak mahu bercakap dengan wakil Umno. Saya hendak bercakap pada pembangkang. Biar mereka dengar penjelasan saya,” katanya.
Ahli Majlis Tertinggi PPBM dan bekas ketua pengarang New Straits Times, Datuk A Kadir Jasin bagaimanapun meramalkan penyertaan Nazri dalam debat itu akan hanya menyusahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menerusi blognya hari ini, Kadir berkata Nazri tidak akan mewakili kerajaan atau Umno, tetapi hanya dirinya sendiri dan “egonya yang cukup besar” dalam debat itu.
Beliau menggelar Nazri mulut celopar yang tidak akan dapat mempertahankan Najib apabila Dr Mahathir membangkitkan persoalan menyelubungi pentadbiran Najib, atau menimbulkan masalah untuk Najib.
Kadir berkata tidak mungkin Nazri akan dapat mempertahankan Najib sepenuhnya kerana ahli Parlimen Padang Rengas itu tahu perdana menteri ialah “beban kepada Umno dan kerajaan”.
“Dia kena fikir pandangan rakyat jelata sebab silap-silap Najib kekal di Pekan tapi dia kecundang di Padang Rengas.
“Kalau dia nak jadi hero dan pertahan kerajaan pun tak ada gunanya sebab dia sendiri tahu banyak dasar dan rancangan kerajaan di bawah Najib menyusahkan rakyat jelata.

Skandal 1MDB: Pembangkang, menteri gelar satu sama lain bodoh

Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Titiwangsa-Umno) dan Gobind Singh Deo (Puchong-DAP) bertikam lidah mengenai isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
johari-gobind-1mdb
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat kecoh lagi hari ini apabila ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang saling memanggil satu sama lain, “bodoh” ketika sesi perbahasan.
Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Titiwangsa-Umno) dan Gobind Singh Deo (Puchong-DAP) bertikam lidah mengenai isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Jawapan yang menteri (Johari) berikan adalah jawapan bodoh,” kata Gobind.
“Menyiasat adalah kerja agensi, itu (pertanyaan Gobind) adalah soalan bodoh,” kata Johari yang juga menteri kewangan kedua.
“Ini menteri bodoh, bukannya soalan bodoh,” kata Gobind.
“Kalau jadi ‘senior’ peguam, bertanya seperti ini, ia bodoh. Jadi sah, ini peguam bodoh,” kata Johari.
Sebelum itu, Gobind meminta Johari menjelaskan mengenai kenyataannya melalui surat terbuka yang menyatakan beliau menyedari siasatan terperinci tentang 1MDB.
“Sebagai menteri kewangan kedua, Yang Berhormat keluarkan satu kenyataan yang dibuat pada hari ini, menyatakan anda mengetahui berkenaan isu ini. Adakah ini benar atau tidak?
“Pertama, adakah dia (Datuk Seri Najib Razak) menjadi suspek siasatan, kedua kenapa ia mengambil masa yang lama. Ketiga, apakah yang berlaku dengan siasatan itu. Ia soalan mudah takkan menteri tidak tahu,” kata Gobind.
Menjawab soalan itu, Johari meminta Gobind menunggu sehingga hasil siasatan selesai sepenuhnya dan tidak boleh memberikan tempoh masa bilakah siasatan selesai.

Loji percetakan NSTP dijual RM25 juta

Ia salah satu daripada 2 loji percetakan yang sebelum ini dilaporkan ditutup tahun lalu susulan jualan akhbar syarikat itu berkurangan.
NSTP,-newspaper,-Terengganu,-Media-Prima,-printing-plant,-sale,
PETALING JAYA: Kumpulan media The New Straits Times Press (NSTP) menjual loji percetakannya pada nilai RM25 juta, menurut iklan yang disiarkan akhbar utamanya, New Straits Times (NST) hari ini.
Hartanah itu, dengan keluasan tanah kira-kira 58,000 kaki persegi dan kawasan binaan 9,000 kaki persegi, terletak di Kawasan Perindustrian Ajil di Hulu Terengganu, Terengganu.
Kawasan itu adalah antara 2 loji percetakan – satu lagi di Senai, Johor – yang dilaporkan ditutup tahun lepas, dipercayai kerana kemerosotan perolehan keuntungan jualan akhbar dan pengiklanan.
Bekas pengarang kanan syarikat itu, Mustapha Kamil sebelum ini berkata kakitangan diberikan pilihan sama ada berpindah ke loji percetakan di Pulau Pinang atau Selangor, atau meletakkan jawatan.
“Saya percaya penutupan 2 loji itu ialah langkah syarikat untuk menanggung kerugian seterusnya, sehingga akan membawa kepada semakin kurang keuntungan jualan dan pengiklanan akhbar,” katanya yang meletak jawatan pada Mei tahun lalu, susulan kecewa dengan liputan NST terhadap kontroversi 1MDB.
NSTP dimiliki oleh Media Prima Berhad, dan turut menerbitkan Berita Harian dan Harian Metro.
Laporan Biro Audit Pengedaran (ABC) menunjukkan jualan akhbar di Malaysia menurun sejak tahun lalu, berbeza dengan media digital yang lebih popular.
Pada 2014, ABC berkata jualan NST menurun lebih daripada 30%.

Debat Nazri Aziz - Tun M

Hubungan PAS-PPBM terputus secara rasmi - Nik Abduh

Kerjasama dengan PKR diputuskan dalam Muktamar - Mohd Amar

RUU355: Tiada satu pun RUU dibincangkan dalam komponen BN

Cara berdepan Najib dengan satu lawan satu di Pekan, kata Kadir Jasin

Bukan pelik Pas putus hubungan dengan PKR - Dr Khairuddin

Pas tiada lagi rundingan dengan Bersatu

Parlimen 'kecoh' Johari-Gobind bertelagah, perkataan 'bodoh' bergema

PRU14 mungkin paling sengit dalam sejarah - Khairuddin

Khairuddin PRU14 yang bakal menjelang mungkin akan disifatkan sebagai PRU paling sengit dalam sejarah politik tanah air.
Bekas ahli Umno dan juga Parti Bersatu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, namun Pakatan Harapan masih berupaya untuk memenangi PRU akan datang sekiranya mereka dapat membuktikan yang pembangkang adalah barisan parti yang tulen.
"Kalau boleh buktikan kepada rakyat yang kita adalah parti yang tulen, ya, kita boleh menang. Tentang Pas, kita tidak perlu takut.
"Pas ini pada hakikatnya mereka sedang gali perigi dan terjun. Kemungkinan mereka akan lemas," katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian di sini, hari ini.
Beliau turut menyuarakan keyakinan yang kemenangan akan berpihak kepada Pakatan Harapan sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru antara Pas, Pakatan Harapan dengan Umno.
Kemungkinan tersebut, menurutnya lagi, boleh berlaku sekiranya Pas mengumumkan kerjasama dengan Umno secara rasmi.
"Yakinlah, kalau Pas umum secara formal yang mereka akan kerjasama dengan Umno, kita jangan takut, (kalau lawan tiga penjuru, insya-ALLAH saya yakin, kita akan menang.
"Kerana Pas pada hakikatnya akan hilang banyak pengaruh di kalangan ahli peringkat akar umbi sekiranya mereka terus kerjasama dengan Umno," katanya lagi.

SOMBONG BONGKAK ATAU NAZRI ADA MUSLIHAT LAIN?

Sekali imbas, Nazri Aziz kelihatan begitu sombong, angkuh dan berlagak bila mengatakan beliau tidak memerlukan sama sekali penyokong UMNO menghadiri debatnya dengan Tun Mahathir Mohamad pada 25 Mac ini.
Sebaliknya, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu, beliau seorang diri mampu menangkis dan menjawab sebarang soalan dalam debat itu nanti.
“Saya hendak minta orang UMNO dan BN tidak usah hadir, saya tidak ada masalah, saya seorang boleh.
“Lagi pula, bukannya saya hendak bercakap dengan penyokong UMNO dan BN. Saya hendak bercakap kepada wakil pembangkang, saya mahu mereka dengar penjelasan saya,” kata Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas.
Jika tidak ara aral melintang atau pihak polis tidak membatalkannya di saat-akhir kerana faktor keselamatan atau kalau tiada arahan secara tiba-tiba daripada pihak atasan, debat antara Nazri dengan Tun Mahathir akan dilangsungkan pada 25 Mac, jam 3.00 petang di MRSM Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.
Debat itu tentunya menjadi perhatian seluruh rakyat untuk melihat sama ada Nazri mampu menjawab, menangkis dan berhujah dengan Tun Mahathir berkaitan pelbagai isu semasa seperti 1MDB, dana RM2,600 juta yang mengalir masuk ke akaun peribadi Najib, pelaburan China, skandal BMF dan lain-lain perkara yang mencengkam negara.
Dari segi logiknya, sesiapa pun tentunya memerlukan penyokong dalam debat seperti itu kerana ia mampu memberi lebih keyakinan, menaikkan semangat dan menambah kekuatan minda.
Tetapi, lain benar dengan Nazri, beliau sebaliknya tidak memerlukan penyokong dan mahu berdepan hanya seorang diri dengan Tun Mahathir yang dianggap seorang negarawan hebat dan insan terpilih dari segi pemikiran dan kebijaksanaan.
Apakah Nazri seorang yang sombong, angkuh dan bongkak atau beliau seorang diri memang benar-benar mampu berhadapan dengan Tun Mahathir yang pastinya disertai ribuan penyokongnya dari seluruh negara?
Ataukah mungkin Nazri ada muslihat lain berhubung tindakannya itu?
Berdebat dengan Tun Mahathir, barangkali terlalu sedikit yang percaya Nazri mampu tampil cemerlang. Bukan saja kerana Tun Mahathir dilihat bukan tandingannya, tetapi juga kerana isu-isu yang menjadi topik perdebatan itu terlalu banyak kesalahan dan kecurangannya.
Apakah dalam hal ini Nazri hanya mahu bersendirian dalam debat itu kerana tidak mahu penyokong UMNO dan BN menyaksikan beliau dikalahkan dan dibelasah dengam hujah-hujah oleh Tun Mahathir?

Kalah di depan kata penyokong sendiri mungkin agak mengaibkan bagi Nazri berbanding disorak oleh penyokong pembangkang yang memang semujadinya diketahui tidak menyokong beliau.
Maka, dengan ketiadaan penyokong sendiri, barangkali Nazri dapat meminimakan aib dan merah di mukanya.

Kos makan pelajar universiti RM600 sebulan

Oleh SUHAIMI TAIB
SEORANG sahabat selepas satu mesyuarat parti baru-baru ini ada mengadu bahawa anaknya merungut makanan di kantin universiti semakin mahal.Bayangkan sehari anaknya kena sedia RM20 untuk makan pagi, tengah hari dan petang. Jika sebulan pelajar berkenaan perlu menyediakan RM600.

Itu jika seorang anak masuk universiti bagaimana beberapa orang anak masuk universiti? Sudah pasti ibu bapa mereka perlu kos belanja besar untuk makan dan minum sahaja tidak termasuk keperluan pembelajaran dan sebagainya. BR1M tidak boleh membantu mengurangkan beban ibu bapa ini.
Kesimpulannya kehidupan rakyat Malaysia hari ini terdesak dan tersepit dengan kos sara hidup semakin mahal sedangkan pendapatan isi rumah tidak bertambah mengikut keperluan sepatutnya.
Pekerjaan semakin sukar diperolehi, ramai penganggur, rakyat tidak mempunyai kuasa beli yang kuat (Purchasing Power) untuk hadapi masalah ini.
Perancangan kerajaan dipercayai tidak berkesan untuk mempastikan ekonomi negara dijana dengan sebaiknya.
Barangan Import menjadi semaki mahal akibat kejatuhan nilai ringgit (RM). Barangan dapur yang kebanyakannya diimport dari luar,contohnya, bawang merah dan bawang besar dari India, lada burung dari vietnam dan ikan bilis dari Thailand, sekadar menyebut beberapa barangan import yang dibawa masuk ke negara Malaysia.
Harga ikan semakin mahal terutama musim bulan cerah. Kembong Sedan mencecah RM16 sekilo, Selayang Sedan RM10 sekilo dan ikan-ikan lain pun turut naik harga. Itu suatu kebiasaan harga ikan di situasi tersebut.
Tetapi jika waktu bukan gelap, waktu nelayan turun ke laut waktu malam, ikan masih lagi mahal kerana harganya turun sekadar seringgit dua sahaja.
Menteri Pertanian, Dato’ Seri Ahmad Shabry Chik ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat baru-baru ini berkata, kerajaan tidak akan kawal harga ikan rakyat (ikan kembong dan lain-lain) melainkan tiga bulan sebelum dan selepas perayaan.
Katanya, kerajaan akan memantau supaya harga ikan rakyat tidak dinaikkan harga sesuka hati oleh peniaga.
Katanya, ketika musim ikan banyak kerajaan menggalakkan pihak yang berkaitan menyejukbekukan ikan rakyat untuk dan dikeluarkan ketika musim kekurangan ikan.
Saya perhatikan pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sudah lama mempraktikkan kerja ini.
Ikan sejuk beku biasanya harganya berpatutan. Untuk tangkap ikan secara pukal dan banyak, perlukan bot yang besar dan memakai tenaga kerja yang ramai.
Nelayan Pantai Timur hari ini tidak lagi gemar menjadi awak-awak bot pukat jerut bersekala besar atau bot laut dalam kerana bayaran gaji tidak setimpal dengan kerja keras mereka. Seminggu sekali mereka balik ke darat. Ertinya seminggu mereka berada di laut untuk menangkap ikan.
Mereka beralih menggunakan bot sendiri diperbuat dari “fyber glass” dalam erti kata mereka bekerja sendiri tidak lagi hanya menjadi penumpang kerja dengan bot milik tauke-tauke besar tempatan.
Dipercayai kebanyakan bot pukat jerut kekuarangan tenaga kerja dan kebanyakan aktiviti menangkap ikan menggunakan bot pukat jerut sekarang, sudah banyak menghentikan operasinya anatara lain akibat daripada permasalah tersebut.
Tauke-tauke besar bot laut dalam menggunakan pekerja asing dari Thailand dan Vietnam untuk menjalankan operasi menangkap ikan di perairan Malaysia.
Seringkali mereka berhadapan dengan masalah imigresen dan penyeludupan dadah.
Ramai nelayan merungut perairan Terengganu semakin kekurangan ikan dipercayai akibat aktiviti bot laut dalam.

'Biar Najib jawab isu 1MDB jika Johari tidak tahu cerita sebenar'

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu menjelaskan apa yang berlaku di sebalik isu 1MDB jika Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani tidak mempunyai "cerita sebenar” apa yang berlaku," kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
Kenyataannya itu dibuat susulan dakwaan Johari minggu lalu bahawa kerajaan tidak boleh mengenakan pertuduhan mengenai skandal 1MDB tanpa gambaran sepenuhnya.
"Saya mengakui bahawa sebagai Menteri Kewangan Kedua, Johari mungkin tidak mempunyai cerita yang sebenar mengenai skandal 1MDB.
“Namun perdana menteri dan menteri kewangan Najib mempunyai cerita yang lengkap mengenai skandal 1MDB. Atau adakah Najib bersedia untuk menafikan ini?
"Adakah Johari bersedia untuk berhadapan dengan Najib dan menuntut sebagai menteri kewangan kedua, dirinya perlu diberitahu cerita sepenuhnya skandal 1MDB, atau adakah beliau akan mengemukakan peletakan jawatan serta-merta dari kabinet?" soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Lim yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, berkata jawapan Johari tentang mengapa tiada pendakwaan ke atas skandal 1MDB adalah "naif" dan "mengejutkan" kerana 1MDB adalah entiti kementerian kewangan.
Lebih-lebih lagi, kata Lim, saman sivil 126 muka surat oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat untuk merampas aset yang dipercayai dibeli dengan dana yang diselewengkan daripada 1MDB mempunyai yang "cerita agak penuh", kata Lim.
Jawapan Johari di Parlimen minggu lalu menyaksikan pertikaman lidah antara menteri itu dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, dan berlarutan dengan pelbagai surat terbuka.

Deloitte mahu letak jawatan sebagai juruaudit SRC Int'l

Deloitte Malaysia telah menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai juruaudit bagi bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Ini adalah mengikut jawapan bertulis parlimen, Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.
"Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pihak pengurusan SRC International, Deloitte Malaysia sebelum ini telah menyatakan hasrat mereka untuk meletakkan jawatan.
"Sehingga kini, SRC masih dalam proses mendapatkan juruaudit baru dan sehingga juruaudit baru dilantik, Deloitte masih kekal sebagai juruaudit SRC.
"Dalam pada masa yang sama, SRC sentiasa komited untuk mendapatkan juruaudit baru bagi menggantikan Deloitte," petik jawapan bertulis itu.
Pua meminta menteri kewangan menyatakan sama ada Deloitte Malaysia masih juruaudit rasmi SRC International dan bilakah syarikat itu akan mengemukakan penyata kewangan bagi tahun 2015 dan 2016.
Soalan kedua beliau tidak dijawab.

Kempen Negaraku : Najib Jangan Samakan Tanahair Dengan Peribadi


Oleh RAFIZI RAMLI
Saya merujuk kepada kempen patriotik terbaru yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Intipati kempen yang diberi nama "Negaraku" itu disimpulkan di dalam ucapan yang disiarkan di blog beliau di www.najibrazak.com seperti berikut:

1. bahawa pembangkang adalah pengkhianat yang disamakan dengan pengkhianat yang mengakibatkan serangan pencerobohan Lahad Datu 2. bahawa kritikan terhadap pengurusan ekonomi di bawah kepimpinan beliau adalah sama dengan usaha mengkhianati dan mensabotaj ekonomi negara
3. bahawa isu-isu berkaitan gejala rasuah, kegagalan pentadbiran ekonomi dan masalah kewangan negara meruncing yang dibawa oleh pembangkang hampir mensabotaj pelaburan asing ke negara ini
Saya mengutuk keras cubaan terang-terangan Dato' Seri Najib menyamakan diri beliau dengan negara dan tanahair. Intipati kempen Negaraku yang ditulis sendiri oleh Dato' Seri Najib cuba mengaitkan bahawa sebarang kritikan terhadap kelemahan dan kegagalan beliau sebagai Perdana Menteri adalah satu serangan sabotaj terhadap negara Malaysia.
Adalah sangat menjijikkan apabila menyamakan Malaysia dengan beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Malah, dakwaan beliau kononnya kritikan terhadap kepimpinan beliau bersabit masalah kewangan negara yang meruncing telah membawa kesan kepada pelaburan Arab Saudi (dan pelaburan-pelaburan asing lain) ke negara ini juga adalah tidak benar.
Pelaburan RM32 billion yang diwar-warkan oleh Dato' Seri Najib adalah usahama projek petrokimia di antara syarikat minyak milik Kerajaan Arab Saudi dengan PETRONAS di kompleks petrokimia Pengerang (RAPID).
Saya menghabiskan dua pertiga dari kerjaya saya di PETRONAS di sektor perniagaan petrokimia, bermula di peringkat operasi dan kewangan di kilang petrokimia dan berakhir di pengurusan korporat di Bahagian Perniagaan Petrokimia yang menguruskan keseluruhan operasi PETRONAS dalam bidang petrokimia di seluruh dunia.
Saya sertakan petikan-petikan dari Laporan Tahunan PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) yang mengumpulkan semua anak syarikat operasi petrokimia PETRONAS yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur.
Saya ingin menarik perhatian rakyat kepada perkara-perkara berikut (mengenai pelaburan asing ke bidang petrokimia):
1. nilai aset bersih pelaburan petrokimia PETRONAS setakat tahun kewangan 2015 (dan tidak termasuk RAPID) telah mencecah RM31 bilion. Itu pun setelah mengambil kira susutnilai (depreciation) selama lebih 20 tahun, bermakna jumlah nilai pelaburan (dana yang dilaburkan PETRONAS sejak 1990an) saya anggarkan melebihi RM50 bilion
2. projek petrokimia telah diusahakan dan dijayakan PETRONAS sejak awal 1990an lagi dan melibatkan konglomerat petrokimia terbesar dunia (termasuk Dow, BASF dan lain-lain) seperti yang ditunjukkan di dalam kronologi perkembangan penglibatan PETRONAS di dalam petrokimia
Tujuan saya menimbulkan perkara ini adalah untuk menangkis cubaan Dato' Seri Najib mempolitikkan dan mencuri kejayaan PETRONAS memuktamadkan perjanjian usahasama dengan syarikat minyak milik Kerajaan Arab Saudi; seolah-olah ia kejayaan peribadi Dato' Seri Najib sendiri.
Cubaan menyamakan kejayaan negara sebagai kejayaan peribadi beliau sebagai Perdana Menteri adalah sama seperti menyamakan kritikan terhadap kegagalan beliau sebagai kritikan terhadap negara.
Yang patut mendapat pujian dan dibanggakan hasil dari perjanjian usahasama yang membawa masuk komitmen pelaburan dari syarikat milik Kerajaan Arab Saudi sebenarnya adalah kepimpinan PETRONAS, PCG dan ribuan pekerja PETRONAS yang telah membina PETRONAS sebagai salah sebuah syarikat petrokimia terbesar di Asia.

Tanpa sokongan segelintir Pas, PKR tetap menang di Permatang Pauh sebelum ini

Sebelum ini segelintir pemimpin Pas Permatang Pauh buat demo bantah Wan Azizah tetapi menang juga, kata Rafizi.Sebelum ini segelintir pemimpin Pas Permatang Pauh buat demo bantah Wan Azizah tetapi menang juga, kata Rafizi.

Tanpa sokongan segelintir penyokong Pas sebelum inipun, calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail tetap menang dalam pilihan raya kecil lalu di Permatang Pauh 2015 lalu, kata naib presidennya, Rafizi Ramli.
Menurut Rafizi, beliau mengambil maklum usul yang diluluskan di mesyuarat agung tahunan Pas Kawasan Permatang Pauh semalam untuk memutuskan kerjasama dengan PKR di Permatang Pauh.

"Sementara saya menghormati keputusan itu yang dibuat oleh perwakilan Pas Permatang Pauh, saya juga menghargai sokongan ribuan lagi ahli Pas di Permatang Pauh yang telah sebati dengan perjuangan bersama sejak tahun 1998 lagi," kata Rafizi.

Bagi pihak PKR, beliau merakamkan rasa terhutang budi kepada ahli-ahli Pas biasa seperti ini dan "kami akan terus mengukuhkan semangat persahabatan yang telah dibina sekian lama."

Bagi beliau, keputusan untuk tidak membantu PKR di dalam pilihanraya pernah berlaku sebelum ini pun semasa kempen Pilihanraya Kecil Permatang Pauh dalam tahun 2015 lalu.
"Malah, ada segelintir ahli Pas yang menunjuk perasaan membantah KEADILAN semasa kempen itu tetapi ia tidak melunturkan semangat kerjasama di antara ahli biasa KEADILAN dan ahli biasa Pas di bawah.
"Akhirnya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kembali menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh pada margin yang sama dengan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tahun 2013," katanya.

Oleh yang demikian, kata Rafizi, beliau memohon supaya ahli-ahli PKR terus mendekati rakyat dan membela rakyat biasa di Permatang Pauh.
Beliau yakin prinsip membela rakyat seperti ini yang telah dizahirkan oleh Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah sekian lama telah memenangi hati rakyat Permatang Pauh, walaupun pelbagai gelora politik melanda sejak 1999 kerana Umno sangat menginginkan kerusi Parlimen Permatang Pauh itu.

"Pada kala rakyat seluruh negara dibebankan dengan pelbagai masalah harian, adalah menjadi keutamaan kita untuk meletakkan kepentingan rakyat mengatasi pertimbangan politik kepartian," katanya.

Universiti Felda bukti Pakatan Harapan serius

Ahmad Fadhli Umar AminolhudaAhmad Fadhli Umar Aminolhuda
Cadangan penubuhan Universiti Felda yang menjadi salah satu daripada resolusi Konvensyen Warga Felda semalam bukti Pakatan Harapan serius dalam usaha memajukan masyarakat peneroka, kata Pengerusi Mahasiswa Amanah Nasional, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda.
Menurutnya, mentaliti untuk sentiasa membangunkan masyarakat dan berusaha ke tahap lebih baik perlu ditanam dalam pemikiran anak-anak muda lebih-lebih lagi dalam masyarakat Melayu Felda.
"Bagi kami, Universiti Felda merupakan satu idea yang baik bagi pembangunan anak-anak dan generasi baru Felda supaya sikap dan mentaliti untuk belajar dan berusaha ke tahap lebih baik akan semakin meningkat dalam kalangan mereka.
"Generasi Felda akan menjadi lebih yakin dan bersemangat untuk menyambung pelajaran ke tahap pengajian lebih tinggi dengan manfaatnya kelak dapat dikembalikan kepada kelestarian sektor pertanian di negara ini," ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan idea penubuhan Universiti Felda juga dapat meningkatkan keupayaan para peneroka Felda untuk terus bersikap inovatif.
"Kerajaan perlu memberikan perhatian serius kepada generasi baru Felda yang semakin mendapat pendedahan mengenai pendidikan," katanya.
Sifat berdaya saing dalam teknologi, pemasaran dan pelbagai bidang lagi, tambahnya, dapat memastikan Felda yang menjadi aset penting membangunkan sosio-ekonomi masyarakat Melayu sentiasa terus relevan dan kompetitif.

Sikap pemimpin punca Melayu, Islam berpecah


Hasbie MudaHasbie Muda
Perpecahan politik Melayu dan Islam di negara ini bukan disebabkan munculnya banyak parti tetapi berpunca daripada sikap pemimpin parti itu sendiri, tegas Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Hasbie Muda.
Menurutnya, masyarakat Cina di negara ini mempunyai lebih banyak parti politik tetapi mereka secara umumnya tidak pula mengalami perpecahan ketara.
"Yang menyebabkan perpecahan dalam Islam dan Melayu ini bukan sebab banyak parti tapi amalan pimpinan parti politik itu.
"Parti orang Cina di Malaysia ada tujuh tapi adakah masyarakat Cina di negara ini bergaduh? Adakah sesama mereka berpecah? Di kalangan mereka tidak ada memfitnah orang lain.
"Bukan mudah-mudah (tuduh) munafik, kafir pada orang lain hanya kerana berbeza pandangan," ujarnya dalam ceramah sempena program Gempur Pemuda Zon Timur di Pasar Paka kelmarin.
Beliau berkata, kewujudan pelbagai parti politik sebenarnya menguntungkan rakyat apabila masing-masing berlumba untuk melakukan kebajikan.
"Bantuan untuk orang susah lagi banyak. Tidak sampai seminggu ada bantuan dari parti lain datang. Ini satu yang baik untuk rakyat," katanya dalam program yang turut dihadiri Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad itu.
Mengulas tentang status Amanah sebagai parti Islam, beliau berkata, rakyat yang akan menilai kedudukan sesebuah parti itu.
"Kita InsyaAllah parti Islam sebab dasar Amanah juga meletakkan al-Quran dan hadis sebagai asas perlembagaan. Bezanya dengan Pas adalah dari segi pendekatan.
"Isu RUU (Rang Undang-undang) 355, Amanah menyokong apa juga usaha untuk menegakkan undang-undang Islam di negara ini. Kita menyokong Mahkamah Syariah diperkasakan tetapi ada caranya," tegasnya.
Hasbie yang juga bekas Pengarah Pendidikan Politik Pemuda Pas Pusat menegaskan pihak yang menuduh Amanah menolak pindaan Akta 355 itu sebagai memfitnah.
"Bagi Amanah, kalau kita nak pinda undang-undang, perkara pertama perlu dibuat kita mesti dapatkan kuasa sebagai kerajaan terlebih dahulu sebab nak pinda undang-undang terletak pada kuasa kerajaan bukan kuasa parti pembangkang.

Firma China, Syed Mokhtar minat beli FGV

Firma milik kerajaan China, China National Cereals, Oils and Foodstuffs Corporation (Cofco) dan jutawan Syed Mokhtar Albukhary dilaporkan berminat untuk kepentingan dalam syarikat Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) yang kini dilaporkan tenat.
Menurut The Edge Markets, FGV sedang berunding dengan kedua-dua firma itu walaupun Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, FGV, Datuk Zakaria Arshad enggan mendedahkan nama-nama syarikat yang terbabit.
Zakaria dipetik sebagai berkata bahawa pemegang saham strategik yang baru itu akan melengkapkan FGV dan matlamatnya adalah supaya kedua-dua syarikat berkembang bersama.
Usaha mencari rakan kongsi timbul semula selepas rundingan FGV dengan PT Eagle High Plantations Tbk dari Indonesia tidak berjalan lancar.
Menurut pengkritik, FGV mencadangkan mengambil- alih kepentingan 37 peratus dalam Eagle High pada harga yang jauh melebihi nilai saham syarikat itu pada pasaran terbuka.
Berikutan itu, Tradewinds Group, antara syarikat perladangan terbesar di rantau ini yang dikuasai oleh Syed Mokhtar dikhabarkan sedang berbincang dengan FGV.
Sementara itu, Cofco adalah antara konglomerat pemprosesan makanan dan pembuatan terbesar di dunia. Firma itu berada pada kedudukan 121 dalam senarai Fortune Global 500.
Saga FGV bermula pada tahun 2012 apabila syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia dengan harga IPO RM4.55, membolehkannya untuk mengumpul RM10 bilion.
Sebahagian besar peserta skim Lembaga Tanah Persekutuan (Felda) melabur dalam saham FGV pada masa itu. Walau bagaimanapun, harga saham FGV semakin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan.
Harga saham FGV berada pada paras terendah iaitu RM1.17 bulan lalu. Sehingga tengah hari tadi, saham FGV kali terakhir diniagakan pada RM2.11 selepas melantun semula berikutan laporan The Edge Market.

Felda catat kerugian tidak nyata RM1.2b kerana FGV

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Felda dan anak syarikatnya mencatatkan kerugian tidak nyata sebanyak RM1.21 bilion hasil pegangan sahamnya dalam Felda Global Ventures Bhd.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, Felda dan anak syarikatnya memegang kepentingan 33.8 peratus dalam FGV.
"Walau bagaimanapun, kerugian tidak nyata tidak direkodkan dalam penyata kewangan Felda, ini adalah kerana FGV dikategorikan sebagai sebuah syarikat bersekutu milik Felda.
"Oleh itu, pegangan saham Felda dalam FGV direkodkan sebagai pelaburan dalam syarikat bersekutu di mana FGV direkodkan pada kos dengan nilai RM3.371 bilion dalam penyata kewangan Felda," katanya.
Beliau berkata kaedah perakaunan ini adalah mematuhi piawaian laporan kewangan negara.
Razali berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang ingin tahu berapa kerugian Felda secara langsung akibat jatuhnya nilai saham dalam FGV dan bagaimana Felda akan menyusun dan menguruskan kerugian itu.
Timbalan Menteri berkata Felda menyokong penuh pelan perniagaan FGV untuk menstabilkan harga saham dan aliran tunai syarikat itu.
"Seperti pegangan saham lain yang dimiliki oleh Felda, Felda tiada hak untuk mencampuri urus tadbir syarikat.
"Ini memandangkan syarikat ini merupakan syarikat senaraian awam yang tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti," katanya.

PAS dan 'anak kampung'

Tidak dapat dibayangkan dengan jelas apakah aktivti pemimpin-pemimpin PAS ketika sebahagian rakyat tertanya-tanya: apa sudah jadi?
Ia bukan sesuatu yang baru, tetapi jarang-jarang sejelas ini Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat berbolak-balik. Dia menafikan sesuatu yang jelas - sekurang-kurangnya di mata umum - diucapkannya.
Ia seolah-olah Abdul Hadi menafikan beliau sekarang ialah presiden PAS ketika anggota parti itu mengulang-ulang ungkapan "tuan guru presiden" di depannnya.
Entah bagaimana reaksi Abdul Hadi berdepan dengan persepsi umum terhadapnya - jika dia tahu tentang apa yang sebenarnya berlaku terhadap dirinya dan PAS. Namun dapat dibayangkan bagaimana sukarnya pimpinan PAS memberi pencerahan kepada orang ramai apa yang berlaku.
Cara paling mudah ialah menyalahkan media. Itu memang "cap dagangan" kebanyakan parti politik negara ini.
Syahdunya, ketika sebahagian daripada kita memikirkan tentang langkah perlu diambil PAS membela Abdul Hadi, di media sosial tersebar rakaman video Datuk Seri Najib Razak sakan bertepuk tangan mendengar dendangan lagu Anak Kampung.
Di situ kelihatan ada ramai orang kenamaan dan penting-penting belaka. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pun ada - walaupun beliau nampaknya sekadar tersengih dan tidak pula bertepuk tangan.
Itulah, kadang-kadang terasa sayu juga.
PAS sebenarnya perlukan suatu pasukan pengurusan bencana (disaster management) yang benar-benar berkesan. Praktik kawalan kerosakan (damage control) nampaknya buat masa ini tidak memadai.
Kenyataan mendebarkan dada
Adakah PAS menyedari hakikat ini? Entah, mungkin sedar dan langkah-langkah sewajarnya sedang dibuat tetapi di mata umum, ia seolah-olah terbiar tak terkawal.
Masalah besar bukan menjadi isu jika perbincangan krisis ini dihadkan kepada lingkungan domestik parti itu saja. Namun sekarang ia sudah tentu tidak terhad kepada PAS semata-mata.
Isu yang dibincangkan ialah rancangan PAS - atau setidak-tidaknya Abdul Hadi - mahu memimpin bukan satu dua, malah lima negeri. Dan satu daripada negeri itu kini sedang ditadbir secara pakatan oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH)!
Jika kenyataan itu pun sepatutnya sudah mendebarkan dada, apa lagi penafian Abdul Hadi tentang dia pernah menyebutkan hal itu. Ia bukan sebuah lakonan atau babak rekaan. Ia 'real'.
Salah satu kemungkinan yang berlaku ialah Abdul Hadi tersasul, tetapi sukar menerima dia tersasul dengan mudah. Dia seorang ulama yang mestilah sentiasa cermat. Abdul Hadi juga naib ketua Kesatuan Ulama Dunia. Bukan calang-calang.
Kemungkinan lain ialah Abdul Hadi tersalah tanggap atau tafsir soalan wartawan. Orang tanya lain Abdul Hadi faham isu lain.
Dalam keadaan begitu, apa yang pasti ialah proses komunikasi tidak berlangsung secara berkesan. Menngikut teori, sesuatu komunikasi hanya dianggap berjaya jika kedua-dua pihak yang terlibat berjaya berkongsi maklumat sama.
Apa pun, ia sudah berlalu. Ia tentulah bukan yang pertama, tetapi antara yang paling mengaibkan. Insiden itu jauh lebih parah berbanding jawapan Abdul Hadi ketika ditanya mengapa beliau selalu tidak hadir mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat dulu, misalnya.
(Tiba-tiba, kita pun terkenang secara spontan bagaimana Datuk Seri Salleh Said Keruak menari dan Datuk Seri Azalina Othman Said bertepuk tangan mengiringi dendangan merdu lagu Anak Kampung tadi.)
Perlu tokoh mahir berfikir
Maka, suka atau tidak, PAS mesti menggerakkan pasukan pengurusan bencananya secara maksimum sekarang juga. Persepsi yang keliru itu perlu diperbetulkan serta-merta.
Memanglah PAS tidak kisah kalah dalam pilihan raya. Itu adalah serapah lazim pemimpin parti itu untuk menjawab keresahan ahli parti. Tapi harus diingat, pada masa sama Abdul Hadi berkata PAS mahu memimpin lima negeri.
Macam mana PAS mahu memimpin dalam politik ketika mereka tidak keberatan kalah adalah suatu misteri yang sukar dijawab akal yang sihat.

Najib sendiri produk tak laku, Amanah nafi pembangkang sabotaj ekonomi


Salahuddin Ayub dalam sidang media di Wisma Amanah Negara hari iniSalahuddin Ayub dalam sidang media di Wisma Amanah Negara hari ini
Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menuding jari kepada pembangkang kononnya telah mensabotaj ekonomi negara, diselar Parti Amanah Negara (Amanah).
Timbalan presidennya Salahuddin Ayub berkata, kemerosotan ekonomi negara bukannya disebabkan pembangkang, namun sebaliknya berpunca daripada kepercayaan pelabur terhadap integriti Najib itu sendiri.
"Bukan masalah pembangkang tapi Najib sendiri menyebabkan pelabur berfikir dua tiga kali untuk melabur di Malaysia.
"Dia sendiri produk yang tidak laku kerana terpalit dengan isu 1MDB", katanya pada sidang media di Wisma Amanah Negara, hari ini.
Najib sewaktu melancarkan Ekspresi Negaraku di Dataran Putrajaya Sabtu lalu mendakwa Malaysia hampir terlepas pelaburan besar dari Saudi Aramco kerana sikap tidak patriotik sesetengah pihak yang menyalurkan maklumat tidak betul mengenai negara kepada syarikat minyak Arab Saudi itu.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Saudi Aramco pada mulanya keberatan untuk melabur di Malaysia setelah diberi maklumat kononnya Malaysia diletakkan dalam kategori berisiko politik.
Katanya Saudi Aramco diberikan maklumat kononnya Malaysia tidak stabil, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hampir bangkrap dan kerajaan tidak berkemampuan untuk membayar gaji penjawat awam.
"Ini kerana ada orang yang tiada hati perut, motif mereka adalah politik tetapi yang jadi mangsa adalah rakyat Malaysia," katanya seperti dilaporkan media.

Sama seperti Amanah, bila PAS mahu lihat RUU 355 sebelum dibentang Umno


Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Pendirian Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk melihat dahulu draf RUU 355 yang akan dibentangkan oleh Barisan Nasional (BN) selari dengan hasrat Amanah sebelum ini, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.
Beliau berkata, Amanah sejak dari awal RUU 355 dibentangkan Ahli Parlimen Marang itu, Amanah telah membuat pendirian ia perlu dibentang dan dibahaskan sebelum Amanah menetapkan pendirian sama sama ada menyokong RUU 355 itu.
" Saya bersetuju 100% kerana kami pun sejak pada pembentangan pertama RUU 355 oleh Presiden PAS, telah menyatakan kami hanya boleh membuat pendirian setelah ianya di bentang serta di bahas.
"Saya sendiri telah diasak berkali-kali hingga ada ahli PAS yang menghantar memorandum untuk mendesak saya bersetuju menyokong RUU 355 tanpa saya berpeluang meneliti RUU tersebut dan sebelum ianya dibahas.
"Seperti semua maklum Presiden PAS telah dua kali membawa RUU 355 di Parlimen dan dua kali minta ianya tidak dibahas dan ditangguh.
"Kerana itu kami tidak boleh membuat pendirian perkara yang tidak ada maklumat yang lengkap tanpa pembentangan terperinci dan perbahasan.
"Kerana itulah hari ini Presiden PAS sendiri meminta untuk lihat RUU 355 dari BN sebelum ianya dibentang.
"Saya harap ahli dan penyokong PAS yang menuduh kami dengan berbagai toHmahan keras sekarang memahami situasi kami kerana Presiden PAS sendiri sekarang memohon pencerahan yang sama yang kami telah minta sebelum ini," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Raja Bahrin mengulas mengenai pendiriani Abdul Hadi pada Sabtu, yang mahu BN memberi peluang kepada parti itu meneliti terlebih dahulu draf RUU 355 sebelum dibentangkan dalam sidang dewan rakyat kali ini.
“Kita perlu lihat dulu apa dia (draf) yang ingin dibentangkan dan kita tidak mahu ia bertindih atau berlawan,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Profesional Malaysia, di Cyberjaya seperti dilaporkan media.
Sebelum itu pada Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa BN akan membentangkan RUU 355 pada sidang Parlimen kali ini sebagai usaha untuk memartabatkan agama Islam dan kedaulatan bangsa Melayu tanpa menjejaskan pihak lain.
Raja Bahrin mengingatkan Pas dan Umno tidak seharusnya memonopoli isu RUU 355 hanya untuk agenda parti masing-masing.
" Janganlah kami di persalahkan perkara yang Presiden PAS sendiri sekarang meminta pencerahan.

RUU 355: KENAPALAH MCA TAK FAHAM2 LAGI?

MCA hari ini mengingatkan UMNO bahawa tindakannya secara sepihak berhubung hasrat meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355, hanya akan mengundang padah.
Ketua Biro Keharmonian Agama MCA, Ti Lian Ker berkata, pihaknya memang tidak akan membuat spekulasi berhubung usul berkenaan sehingga mendapat maklumat lanjut mengenainya, selain mengingatkan UMNO bahawa tindakan sepihak bakal mengundang padah.
Kata Ti, sebarang perbezaan pandangan mesti ditangani mengikut semangat kesepakatan BN, kecuali jika ada pihak atau UMNO tidak lagi berpegang kepadanya.
Jika begitu keadaannya, ia hanya akan mengundang bencana kepada keharmonian negara, ujarnya lagi.
Ti berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad Zahid Hamidi pada 17 Mac lalu yang menyebut kerajaan telah memutuskan untuk mengambil alih pembentangan pindaan kepada Akta 355 dan ia akan dilakukan dalam sidang Parlimen kali ini.
MCA bersama MIC, Gerakan dan parti komponen BN di Sarawak adalah antara yang lantang dan terbuka menentang pindaan Akta 355 itu, sambil menyifatkannya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta melihatnya sebagai laluan awal kepada perlaksanaan undang-undang hudud.
Menyokong atau membantah Akta 355 adalah hak sesiapa saja, termasuk juga MCA.  Jika kerajaan meneruskan juga pembentangannya, MCA sebenarnya tidak perlu sangat mengingatkan UMNO tentang padah yang bakal menimpa kepada BN atau negara, sebaliknya apa yang penting bagi parti itu ialah kotakan saja janji  pemimpinnya mahu meletakkan jawatan sebagai menteri yang pernah dilafazkan sebelum ini.
Tidak perlu sama-sekali bagi MCA mengingatkan UMNO tentang padah, tentang semangat kesepakatan BN atau apa saja kerana UMNO kini sudah pun ada “kawan baharu” bersama mereka.
Cuba ingat kembali kata-kata Zahid, “Insya Allah dengan doa untuk kita menyatukan orang-orang Melayu, biarlah  kita kehilangan segelintir ‘kawan’ kita tapi kita akan dapat ‘kawan baharu’ yang kumpulannya lebih besar akan bersama-sama kita.
“‘Kawan baharu’ kita ini mungkin dulu musuh politik kita tapi mereka telah faham untuk sama-sama tangani masalah bersama (berkaitan agama Islam) dengan tidak mengenepikan agama lain.”
Jelas dan nyata bahawa demi ‘kawan baharu’ yang kumpulannya lebih besar, UMNO  tidak peduli pun hilang kawan lama yang sedia ada, lebih-lebih lagi seperti MCA yang semakin mengecil dan ditolak oleh kaum Cina sendiri.
Berdasarkan lafaz kata Zahid itu, apakah terlalu sukar untuk MCA memahami apakah pendirian UMNO serta tinggal berapa sen nilai mereka sekarang ini?

Sudah sampai masa, PAS juga perlu ditewaskan

“Sekiranya saya betul, orang Jerman akan mengatakan saya orang Jerman dan orang Perancis akan mengatakan saya Yahudi; sekiranya saya salah, orang Jerman akan mengatakan saya Yahudi dan orang Perancis mengatakan saya orang Jerman” – Albert Einstein, 1922.
Begitulah tafsiran yang sering kali dibuat andai anda meluahkan pendapat yang diterima oleh satu kelompok tetapi ditolak oleh kelompok yang lain. Persetankan samada apa yang anda katakan itu benar atau salah, penilaian manusia akan mendahului semuanya. Politik juga tidak terkecuali.
Jadi, tidak keterlaluan untuk penulis mengungkapkan sesuatu dalam tulisan ini yang boleh jadi ditolak oleh puak tertentu tetapi boleh jadi diterima oleh satu pihak yang lain.
Bukan sahaja UMNO-BN, tetapi PAS juga harus ditolak
Presiden PAS – Datuk Seri Abdul Hadi Awang – semalam telah mengesahkan bahawa dengan pendekatan politik matang dan sejahtera mereka, PAS kini telah bersedia memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hanya untuk menang sebahagian dan redha jika UMNO memenangi sebahagian yang lainnya.
Beliau bagaimanapun menafikannya. Tetapi, sekeping gambar boleh menjelaskan beribu kisah, dan beliau memiliki rakaman video yang menyebut akannya!
Bayangan PAS ini bolehlah kita tafsirkan sebagai satu persefahaman diantara PAS dan UMNO-Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kalaupun tidak sebagai kerajaan bersama di masa depan, tapi sekurang-kurangnya dapat mengekalkan UMNO-BN di tampuk kuasa.
Di saat hampir semua rakyat Malaysia di semua peringkat ghairah mahu menghumban UMNO-BN pada PRU-14 yang akan datang, PAS datang dengan senang hati untuk menawarkan kemenangan mudah buat seteru rakyat ini.
Adakah PAS sekadar mahu menjadi parti politik penasihat dan hanya sanggup duduk berkecuali dengan mensia-siakan peluang memperlihatkan bantahan dan kritikan seperti yang ada di dalam Dewan Rakyat? Jadi, apa lagi yang boleh kita harapkan dari PAS ini?
Skandal-skandal UMNO-BN dan posisi PAS?
Petunjuk ini telah terang lagi bersuluh. UMNO-BN sebagai pemerintah dan telah memperkenal pelbagai polisi yang memberi kesan buruk secara langsung sehingga memburukkan lagi kedudukan ekonomi negara malah ekonomi isi rumah setiap rakyat.
Kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang rata-ratanya dirasai semua lapisan masyarakat kita, baik di bandar atau di kampung, baik pekerja swasta atau penjawat awam termasuk peniaga-peniaga kecil di pasar malam, peruncit-peruncit di kampung-kampung, baik nelayan baik petani, baik orang muda ataupun tua – semuanya telah merasai bebannya. Isu ini sahaja sudah cukup untuk menguburkan UMNO-BN.
Tambah lagi, rakyat Malaysia dan semua parti pembangkang sudah sepatutnya telah boleh disatukan dengan skandal-skandal besar seperti 1MDB, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Felda, Tabung Haji atau kes-kes rasuah melibatkan penjawat awam yang turut melibatkan anak isteri.
Namun, jika rakyat Malaysia tidak boleh juga keluar dari segala siri skandal yang memalukan ini, apakah kita perlukan skandal besar lain yang boleh menjatuhkan UMNO-BN selepas ini? Sudah pasti tidak, malah ramai menjangka jika peluang terbaik di dalam PRU-14 kali ini disia-siakan, ianya pasti akan membuka lebih besar jalan untuk UMNO-BN terus berkuasa pada masa hadapan.
Lalu, bukti yang bagaimana lagi yang PAS perlukan untuk memandu mereka duduk bersama blok pembangkang dan sama-sama menjatuhkan UMNO-BN yang sudah busuk sampai ke usus ini?
PAS menuju arah mana?
Oleh itu, jika PRU-14 kali ini bakal menjadi penentu masa depan Malaysia, para pengundi harus diberitahu dan mereka mesti diberi maklum bahawa PRU-14 kali ini, bukan sahaja UMNO-BN yang perlu dinyahkan dari kerusi kuasa, malah PAS dengan lagak oportunis juga terpaksa kita tolak mentah-mentah. Apatah lagi PAS hari ini dilihat seperti tidak bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan UMNO-BN.
Jika Presiden PAS menyebut yang mereka tidak boleh meramal masa depan dan perlu mengukur baju di badan sendiri; lalu bukankah dengan cara memperkuatkan blok pembangkang bersama PKR, Amanah, DAP dan Pari Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah strategi paling ampuh untuk menjatuhkan UMNO-BN?
Atau mungkin PAS sebenarnya tidak mahu pun UMNO-BN ditumbangkan dan hanya mahu menang atau ‘sepatutnya memimpin’ di beberapa negeri tertentu dan rela UMNO-BN kekal pada sebahagian yang lain?
PAS mahu menjadi kuasa penentu. Kata presidennya, semua parti, baik dari UMNO, baik dari Pakatan Harapan; kedua-duanya memerlukan mereka untuk sekurang-kurangnya membentuk kerajaan di Putrajaya. Ini adalah kerana mereka akan bertanding di 40 kawasan Parlimen, dan posisi merekalah yang akan menjadi penentu kepada pembentukan sebuah kerajaan di Putrajaya.
Namun, dengan memasuki pilihan raya berseorangan tanpa parti sekutu, apakah ini rancangan terbaik PAS berdepan rakyat dan UMNO-BN di dalam pilihan raya?
PAS masih dalam kerajaan Selangor bersama DAP
PAS tidak keluar daripada kerajaan Selangor sedangkan mereka telah memutuskan sebarang kerjasama dengan DAP atau mana-mana parti yang ada kaitan dengannya. Presiden PAS sudah sepatutnya lebih awal lagi mengarahkan ADUN mereka meletak jawatan EXCO kerana di dalamnya ada DAP.
Alasan tidak boleh mengabaikan mandat rakyat adalah alasan paling naïf dan yang paling cuai yang pernah dibuat oleh parti yang sudah berusia hampir 66 tahun ini. Namun, apakah PAS lupa, dengan mandat rakyat yang sama jugalah yang mengikat kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat? Jadi, apakah alasan sebenar yang mengekalkan kedudukan jawatan EXCO mereka di dalam kerajaan negeri sehingga ke hari ini?
Maka, terbit soalan dari kotak akal penulis; apakah jika menang PRU-14 nanti, kerjasama demi kuasa seperti di Selangor hari ini akan wujud dengan prinsip sama itu tadi?
Kebatilan hanya ada satu penjuru
Atas kertas, pertandingan tiga penjuru akan memberi kelebihan kepada BN-UMNO. Tetapi, dengan pendirian terkini PAS seperti semalam, maka tidak ada keperluan untuk rakyat risau akan kemungkinan berlakunya pertandingan tiga penjuru.

PAS Kelantan nafi kekalahan petunjuk legasi Nik Aziz tak lagi diterima

PAS menafikan kekalahan teruk Nik Mohamad Abduh Nik Aziz pada pemilihan pimpinan peringkat kawasan di Pengkalan Chepa Sabtu lalu adalah petunjuk legasi Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak lagi diterima.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata kekalahan anak bekas mursyidul am PAS itu adalah kerana PAS Pengkalan Chepa mahukan pemimpin yang mempunyai masa dan berupaya memberi tumpuan di kawasan berkenaan.
"Nik Abduh adalah Ketua Pemuda PAS dan juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
"Dengan tanggungjawab itu, sudah tentu beliau tidak mempunyai masa memadai untuk memberi tumpuan penuh di kawasan Pengkalan Chepa kerana mempunyai jawatan lebih besar iaitu Ketua Pemuda PAS,” katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.
Anak bekas menteri besar Kelantan itu hanya mengumpul 37 undi berbanding Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Husin yang memperoleh 207 undi bagi mempertahankan jawatannya sebagai timbalan Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa..
Pengkalan Chepa pernah diterajui oleh allahyarham bapanya dan dilihat signifikan kerana ia dikenali sebagai satu daripada kubu terkuat PAS di Kelantan..
Pada pemilihan itu, Mohd Amar berjaya mengekalkan jawatan Yang Dipertua Pengakalan Chepa.
Mengulas lanjut kekalahan teruk Nik Abduh, beliau berkata memandangkan dirinya adalah Yang Dipertua Kawasan Pengkalan Chepa yang juga sibuk dengan tugasan lain, maka perwakilan mahu timbalannya seorang individu yang mempunyai masa.
"Dr Izani Husin adalah orang paling layak memandangkan beliau juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.
"Itu pandangan saya mengenai kekalahan Nik Abduh dan ia tidak bermakna orang menolak beliau atau legasi bapanya," katanya.

Debat Tun M-Nazri: 'TV3 tak siar, Sinar TV kan ada'

Rafizi Ramli SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli berkata, beliau menantikan dialog di antara Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Saya menanti dan menunggu dialog itu diadakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas Konvensyen Warga Felda, di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, dekat sini, semalam.
Mengulas sama ada beliau akan hadir dalam dialog berkenaan, Rafizi berkata tidak.

"Ini kerana ada beberapa urusan kerja perlu saya selesaikan.
"Cumanya, kalau tak nak bagi TV3, RTM siar pun, sekarang ada Facebook live, ramai-ramai boleh tengok, Sinar TV kan ada," katanya.
Dialog kedua-dua tokoh itu mengenai beberapa isu hangat yang akan diadakan pada 25 Mac ini di Dewan Dato' Maharajalela Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar, jam 3.00 petang.
Idea mengadakan dialog ini tercetus apabila Mohamed Nazri dan Mahathir saling ‘perang mulut’ di media sosial dan Mahathir mencabar menteri itu berbahas dalam pelbagai isu.

Pakatan Harapan terima kemasukan Bersatu sebagai kompenan ke 4

Pakatan Harapan mengadakan mesyuarat berkaitan penyertaan Bersatu ke dalam gabungan itu di pejabat pembangkang bangunan parlimen hari iniPakatan Harapan mengadakan mesyuarat berkaitan penyertaan Bersatu ke dalam gabungan itu di pejabat pembangkang bangunan parlimen hari ini
Pakatan Harapan hari ini sebulat suara menerima kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam gabungan itu.
Keputusan itu diumumkan selepas Majlis Presiden Pakatan Harapan bermesyuarat di parlimen hari ini.
"Sekretariat Pakatan Harapan akan mengutus surat kepada Bersatu untuk memaklumkan perkara tersebut," menurut kenyataan bersama pemimpin tertinggi PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Sementara itu, mereka juga bersetuju untuk mendaftarkan gabungan itu secara rasmi.
"Mesyuarat bersetuju berbincang segera dengan keempat-empat parti untuk merangka manifesto bersama dan mewujudkan logo baru," kata mereka.
Pada 14 Mac lalu Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan secara rasmi penyertaan Bersatu ke dalam Pakatan Harapan dan akan mengunakan satu logo, calon dan manifesto dalam gabungan kerjasama mega parti pembangkang di negara ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Kita bersetuju pada prinsipnya perlu adakan nama dan logo baru untuk pilihan raya dengan mengunakan satu manifesto dan bersetuju akan meletakkan hanya satu calon mewakili gabungan ini kelak," ujarnya dalam sidang media diadakan di pejabat parti itu di Petaling Jaya.

Siasatan 'konspirasi 3 tan sri' telah diserah pada AG

Hasil siasatan berhubung dakwaan konspirasi tiga tan sri" untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.
Menteri Dalam Negeri berkata laporan "chowkit/5870/2017" itu telah dikemukakan pada 29 November tahun lalu untuk arahan dan penelitian timbalan pendakwa raya.
Bagaimanapun, Datuk Seri Zahid Hamidi tidak mendedahkan hasil siasatan dan cadangan yang dikemukakan dalam jawapan bertulis di parlimen itu.
Zahid berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.
Bekas naib presiden PAS itu mahu tahu berhubung status "siasatan palsu" Naib Ketua Umno Khairul Azwan Harun itu.
Laporan pada 26 Julai tahun lalu itu dibuat terhadap bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz, ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Menurut Khairul Azwan, ketiga-tiga individu berpengaruh itu dipercayai terbabit dalam konspirasi menjatuhkan Najib dan kerajaan Malaysia.

PAKATAN HARAPAN TERIMA BERSATU, LOGO BARU AKAN DIREKA


Pakatan Harapan sebulat suara menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai anggota terbaru gabungan itu.
Keputusan itu diumumkan selepas majlis presiden gabungan itu memutuskan perkara itu dalam mesyuarat hari ini.
“Sekretariat Pakatan Harapan akan mengutus surat kepada BERSATU untuk memaklumkan perkara tersebut,” menurut kenyataan bersama pemimpin tertinggi PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).
Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu.
Sementara itu, HARAPAN juga bersetuju untuk mendaftarkan gabungan itu secara rasmi.
“Mesyuarat bersetuju berbincang segera dengan keempat-empat parti untuk merangka manifesto bersama dan mewujudkan logo baru,” kata mereka.
Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mencadangkan nama dan logo baru untuk gabungan terbesar pembangkang itu bagi memudahkan mereka berdepan BN dalam pilihan raya.

Selagi laporan siasatan Ketua Audit tidak didedah, skandal 1MDB belum selesai

Sukar untuk rakyat mempercayai kenyataan menteri UMNO bahawa kes skandal 1MDB tidak boleh didakwa dengan alasan laporan Ketua Audit Negara (AG) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak menemukan sebarang kesalahan terhadapnya.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, ini kerana laporan AG yang dikeluarkan sejak Februari 2016 itu, sehingga kini diklasifikasikan sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) oleh kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN), sekaligus tersorok daripada pengetahuan umum.
“Malah, bekas AG, Tan Sri Ambrin Buang menekankan bahawa klasifikasi mengikut OSA itu adalah untuk memastikan laporan PAC dilengkapkan tanpa ada sebarang kebocoran yang tidak diingini.
“Dia sendiri menyatakan dengan jelas bahawa tidak perlu untuk laporan AG diklasifikasikan mengikut OSA selepas laporan PAC siap dan menyerahkan kepada budi bicara kerajaan untuk mengubah status (OSA) dokumen tersebut.
“Bolehkah Datuk Seri Johari (Menteri Kewangan Kedua) beritahu kami mengapa laporan AG masih sulit?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Tony Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP justeru membangkitkan persoalan sama ada laporan AG itu akan mendatangkan masalah kepada kerajaan UMNO-BN jika ia terus didedahkan kepada umum.
Katanya, ini kerana laporan AG dan PAC mendapati terdapat banyak salah laku melibatkan pihak pengurusan tertinggi 1MDB antaranya kesalahan melakukan beberapa transaksi bernilai berbilion dolar tanpa kebenaran Lembaga Pengarah.
“PAC dan AG juga membuat kesimpulan bahawa pihak pengurusan tertinggi (1MDB) telah memberikan maklumat palsu kepada Lembaga Pengarah dalam banyak perkara.
“Lebih buruk lagi, pihak pengurusan tertinggi didapati telah bertindak mengingkari keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah,” katanya.