Jumaat, 3 Mac 2017

Saya mahu padam sejarah saya dalam MCA, kata Ong

Beliau adalah bekas Presiden MCA dan bekas Menteri Pengangkutan. Beliau mendedahkan rasuah dalam peruntukan kepada sekolah-sekolah Cina dan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Dan senarai itu berterusan.
Walau bagaimanapun, apabila Tan Sri Ong Tee Keat memutuskan untuk meninggalkan MCA pada bulan Januari lalu, langsung tiada laporan berita mengenai perkara itu.
Keputusan mengejutkan itu hanya diketahui umum minggu ini apabila sebuah akhbar berbahasa Cina mendapat tahu mengenai peletakan jawatan itu dan menghubunginya untuk pengesahan.
Terdapat senarai soalan yang panjang - bila beliau membuat keputusan itu? Mengapa beliau berhenti cara sedemikian? Adakah beliau berputus asa dengan politik dan tidak lagi mahu meneruskan perjuangannya? Adakah beliau merancang untuk menyertai parti lain?
Dalam temu bual dengan Malaysiakini, Ong memberikan jawapan berkenaan.
Sejak menyimpan hasrat meninggalkan parti yang diterajuinya, Ong mendedahkan bahawa tidak ada pihak pun yang mencuba memujuknya daripada berbuat demikian.
Biar rakyat menilai
Katanya, beliau juga tidak mahu dikenang oleh MCA.
"Tidak ada sesiapa yang minta saya untuk tidak berhenti. Pertama sekali, saya tidak memerlukannya dan saya juga tidak akan peduli jika ada yang berbuat demikian.
"Saya juga tidak ingin mereka mengenangkan saya," jawabnya ketika ditanya bagaimana beliau mahu dirinya dikenang.
"Jika ada pilihan, saya mahu memadamkan sejarah saya bersama MCA, termasuk semua perkara yang saya telah lakukan. Betul atau salah, biarlah rakyat menilai saya," katanya.
Ong, yang menceburi politik dengan menyertai MCA pada tahun 1981, berada dalam sektor korporat sebelum itu. Beliau pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada menteri buruh dan timbalan presiden parti Tan Sri Lee Kim Sai.
Ahli politik berusia 61 tahun itu kemudiannya meniti menjadi ketua pemuda MCA, ahli parlimen, menteri kabinet dan Presiden MCA.
Menjelaskan keputusannya untuk berhenti, Ong berkata beliau memilih untuk berbuat demikian agar tidak membuat orang lain berasa tidak selesa.
"Jika saya kekal, ada yang akan berfikir saya sedang merancang untuk membuat kemunculan semula. Daripada membuat orang ini cemas, memberikan mereka persepsi yang salah, atau mewujudkan ruang untuk khabar angin...," katanya.
Rancangan masa depan
Ong juga menolak kemungkinan menyertai parti politik lain.

Skandal hartanah Johor: Banyaknya alasan Khaled Nordin, tapi mana penjelasan?

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin akhirnya mengaku kerajaan negeri membenarkan penukaran status rumah bumiputera kepada bukan bumiputera di negeri itu.
Namun, kenyataannya berhubung skandal hartanah Johor itu sekadar alasan berbanding penjelasan, kata Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
Menurutnya, selepas tujuh individu ditahan dan 45 akaun bank bernilai RM15.5 juta dibeku, rakyat mengharapkan kerajaan negeri membuat siasatan menyeluruh, termasuk mengambil juruaudit bebas untuk meneliti penukaran status itu.
“Terlalu banyak soalan yang perlu (Khaled) jawab. Adakah mereka yang disiasat SPRM itu hanya sebahagian kecil daripada seluruh skandal?
“Kerajaan Negeri telah memperolehi RM600 juta dari skim itu, iaitu jumlah yang banyak. Apakah wujud penyelewengan lain?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Khaled semalam dilapor menyatakan kononnya penukaran status rumah bumiputera itu adalah untuk ‘mengurangkan lambakan kediaman mewah’.
“Jumlah yang ditetapkan ialah 7.5 peratus, bersamaan 50 peratus daripada 15 peratus diskaun Bumiputera,” ujarnya.
Sehubungan itu, Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang meminta Khaled menjelaskan isu tersebut secara terperinci di Dewan Undangan Negeri pada 9 Mac akan datang.
“Ia patut dilaksanakan sama ada menerusi Kertas Putih atau dengan membenarkan debat melalui usul tergempar yang dibuat oleh Adun DAP, Yeo Tun Siong.
“Rakyat Johor berhak mendapat penjelasan yang benar dan jujur,” tegasnya.

Skandal hartanah Johor bukti UMNO gagal bela Bumiputera

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Penyelewengan melibatkan pertukaran status hartanah bumiputera di Johor baru-baru ini merupakan bukti kukuh kerajaan UMNO – Barisan Nasional gagal melindungi kepentingan bumiputera.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub berkata, tindakan jijik itu telah mencemarkan nilai integriti warga Johor yang patut dipelihara bagi memastikan pentadbiran negeri bebas dari budaya rasuah.
“Saya ingin mempersoalkan kelemahan pentadbiran negeri Johor yang seolah-olah mudah bagi mereka untuk mengekspoitasi wang rakyat.
“Bayangkan dengan wang yang begitu banyak bocor itu, kita boleh manfaatkan kepada rakyat Johor dengan pelbagai projek dan bantuan untuk rakyat,” tegasnya, seperti yang dipetik portal berita Malaysia Dateline.
Dalam pada itu, Salahuddin turut mahu semua pegawai kerajaan Johor, termasuk Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin mengisytiharkan harta sebagaimana yang pernah disarankan beberapa pimpinan Pakatan Harapan sebelum ini.

Janji bina rumah generasi kedua Felda indah khabar dari rupa

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Janji untuk membina rumah buat peneroka Felda generasi kedua hanyalah janji manis yang diulang-ulang saban tahun tetapi tidak pernah menampakkan hasil, ujar Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Mazlan Aliman.
Beliau merujuk pengumuman perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak pada November 2012 menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 untuk membina 20,000 unit rumah dalam masa lima tahun.
“Sehingga hari ini, ‘indah khabar dari rupa’,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
“Tambahan itu, (Tan Sri) Isa Samad (mantan Pengerusi Felda) juga berjanji akan melaksanakan projek pada awal 2016, kemudiannya ditunda, beliau berjanji lagi pada akhir 2016 dan kemudian ditunda lagi hingga hari ini, beliaulah ‘Raja Janji’”.
Walaupun tidak merujuk mana-mana projek terbaru, Mazlan dipercayai merujuk Program Perumahan Berperancangan Generasi Kedua yang diumumkan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada Selasa lalu.
Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) turut mendakwa RM193 juta peruntukan rakyat yang sepatutnya disalurkan kepada projek peneroka generasi kedua tidak dapat dikesan.
“Oleh itu, ANAK menggesa Felda mendedahkan penyata kewangan Felda kepada rakyat,” ujarnya.
Malah, katanya projek perumahan Sentuhan Kasih yang menelan kos besar RM120 juta menimbulkan tanda tanya kerana sehingga kini hanya 100 unit rumah sahaja yang telah dibina.
“Malah terdapat juga projek ‘sakit’ di beberapa Felda utama seperti di Pahang, Felda Bukit Sagu, Felda Sungai Retang, Felda Jengka 12, Felda Jengka 6, Felda Bukit Tajau, Felda Kg. Awah dan Felda Chini 3,” katanya.
Katanya, meskipun generasi Felda kini sudah masuk ke generasi ketiga, kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional masih tidak ada perancangan bagi generasi baharu itu.
“Realitinya generasi kedua Felda sudah lewat (berumur) 30-an dan 40-an. Sedangkan generasi peneroka kini beralih kepada generasi ketiga,” ujarnya.

PRU14: SIAPA PILIHAN PENEROKA FELDA KALI INI?

Mereka ini menghuni jauh di kawasan pedalaman, di mana kelapa sawit dan getah saujana mata memandang.
Namun mereka ini adalah penentu atau pembuat keputusan siapa yang bakal memenangi pilihan raya.
Mereka ini kumpulan peneroka Felda, yang selama beberapa dekad lalu dianggap sebagai pengundi tegar yang menyokong BN dan memastikan gabungan itu terus berkuasa.
Dan ketika pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) semakin dekat, penempatan peneroka menjadi medan pertempuran baru.
Dalam usaha untuk menghakis sokongan padu BN itu, Pakatan Harapan dan sekutunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memulakan siri jelajah PRU14 di seluruh negara dengan tumpuan di penempatan Felda.
Pembangkang menampilkan personaliti dengan nama besar seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Matlamatnya adalah untuk mempengaruhi peneroka Felda untuk menyokong pembangkang pihak pembangkang untuk membolehkan mereka memenangi kerusi yang mencukupi di Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan.
Daripada 52 kerusi Parlimen di kawasan daerah mengundi Felda, sembilan kerusi yang dimenangi oleh BN adalah semata-mata daripada sokongan peneroka dan keluarga mereka.
Empat daripada kerusi itu dipegang oleh menteri persekutuan, iaitu Bera oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Bentong oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai; Segamat oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam; dan Tanjung Malim oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan.
Persempadanan semula
Sementara itu, pada pilihan raya umum akan datang, daerah mengundi Felda juga akan memberi kemenangan besar kepada BN di dua kerusi DUN, jika persempadanan semula diluluskan.
BN mungkin merampas Sabai – kerusi DUN di Pahang yang kini dipegang oleh DAP dengan majoriti tipis 117 undi – jika tiga daerah Felda, Felda Mempaga 1, 2 dan 3 serta 2,025 pengundi BN – dipindahkan dari kawasan sebelahan iaitu Ketari.
Persempadanan semula juga akan membantu BN mengekalkan kerusi DUN Paloh di Johor – yang MCA menang tipis dengan 153 undi – selepas Felda Kahang Barat dan 1,700 undi BN dipindahkan dari Kahang.
Secara keseluruhan, data pilihan raya 2013 menunjukkan bahawa peneroka Felda mengundi memihak kepada BN bagi kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN di kawasan mereka.
Sokongan paling rendah di kalangan peneroka Felda kepada BN adalah di Kelantan, di mana sokongan pada peringkat parlimen adalah pada 59 peratus dan sokongan di peringkat DUN adalah pada 58 peratus.
Di negeri-negeri lain, tahap sokongan adalah pada 63 peratus dan ke atas, termasuk di Pahang, dengan yang tertinggi adalah di Johor, di mana hampir 90 peratus undi peneroka Felda ‘mengundi BN’.
Kemungkinan menang marginal tanpa undi Felda
Pola pengundian menunjukkan bahawa BN menguasai kerusi dalam zon Felda, tetapi kemenangan pembangkang di beberapa kawasan Parlimen membuktikan bahawa merangkul undi Felda bukan satu-satu cara untuk menang.
Gabungan pembangkang sebelum ini, Pakatan Rakyat, memenangi enam kerusi termasuk di Kulai, Raub dan Dungun, walaupun BN mempunyai kelebihan undi Felda.
Dalam dua daripada kerusi pembangkang – Kuala Nerus dan Temerloh – PAS menang kurang separuh daripada undi Felda, tetapi apabila digabungkan dengan undi bukan Felda, ia sudah mencukupi untuk mereka menang ke atas BN.
Jika kempen pembangkang terhadap BN berjaya, malah lebih 52 kerusi parlimen akan menyaksikan pengundi Felda menjadi undi penentu.
“Undi Felda akan menjadi salah satu faktor penentu kerana Felda mewakili suara Melayu.
“Jika peneroka Felda tidak memberi BN sokongan, adalah sukar bagi parti pemerintah untuk berpegang kepada kuasa,” kata penganalisis politik Ahmad Atory Hussain kepada Malaysiakini.
Faktor PAS
Walau bagaimanapun, HARAPAN dan BBERSATU menghadapi jalan sukar pada PRU14 ini jika mereka gagal untuk meyakinkan PAS supaya bersama dengan mereka.
PAS mempunyai sokongan kukuh di penempatan Felda, dan merayu penyokongnya untuk mengundi HARAPAN dan BERSATU mungkin menjadi satu tugas yang sukar.
Corak pengundian pada tahun 2013 menunjukkan bahawa peratusan kecil penyokong PAS tidak bersedia untuk mengundi parti lain Pakatan Rakyat, terutamanya, DAP.
Walaupun terdapat perubahan kecil dalam undi pembangkang di peringkat parlimen berbanding negeri secara menyeluruh, terdapat peningkatan jurang perbezaan undi apabila peneroka Felda mempunyai pilihan untuk mengundi PAS dan bukannya DAP.
Ini dapat dilihat dalam trend pengundian di Bentong, Cameron Highlands, Padang Besar dan Labis.
Di Bentong, undi Felda memihak calon DAP di DUN Bilut, Ketari dan Sabai kerusi yang meningkat secara purata sebanyak 3.6 peratus berbanding undi untuk DAP di peringkat Parlimen.
Walau bagaimanapun, bagi kerusi DUN Pelangai di mana Pakatan Rakyat meletakkan calon PAS, bilangan undi Felda kepada pembangkang meningkat sebanyak 13 peratus.

Makanan, rumah lebih utama berbanding RUU 355


Dr Mohd Kamil Abd MajidDr Mohd Kamil Abd Majid
Ahli akademik kanan sebuah universiti awam terkemuka menyifatkan usaha memenuhi keperluan asasi rakyat harus diberi keutamaan terlebih dahulu berbanding Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.
Pensyarah Jabatan Akidah Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) Dr Mohd Kamil Abd Majid berkata, rakyat pada masa ini memerlukan makanan dan kediaman walaupun tidak dinafikan manfaat pindaan Akta 355 itu. 
"RUU (355) bagus tapi beri kenyang rakyat dan beri rumah kepada rakyat lebih aula masa ini," katanya dipetik daripada status Facebook miliknya.
Beliau juga berpendapat hanya rakyat yang tidak memiliki rumah dan tiada makanan mencukupi lebih memahami realiti berkenaan.
Dalam satu reaksinya terhadap komentar pengguna media sosial itu tentang pandangan beliau yang mungkin sukar diterima orang lain termasuk mengundang label negatif, beliau menjawab, "Allah terima" dan "Biar Allah yang label. Manusia sama di depan-Nya".
Pengasas di Yayasan Usuluddin Malaysia itu turut mengakui pendapat salah seorang netizen tentang perlunya wang tajaan menunaikan umrah disalurkan bagi tujuan membina rumah yang mampu rakyat miliki.
Polemik mengenai RUU 355 yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berlarutan sehingga dilihat mengundang permusuhan dalam masyarakat sesama Islam dan antara agama di negara ini.

RUU 355: KENAPA TAKUT BERDEBAT?

Apabila Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ingin berdebat dengan Hadi Awang berhubung Akta 355, ia sebenarnya adalah penghormatan buat Presiden Pas.
Ia adalah ruang yang sangat baik untuk Hadi memperjelas dan menghuraikan sendiri segala kekeliruan, salah faham atau kekaburan mengenai Akta 355 yang diusulkannya di Parlimen.
Seluruh pimpinan Pas, baik di peringpat pusat, negeri dan kawasan di seluruh negara, seharusnya memberi galakan dan rangsangan kepada Hadi agar menerima pelawaan Dr Asri itu.
Lagi pun, jika sudah mengadakan perhimpunan di Padang Merbok dan ada pemimpin Pas pula sampai “berteh tarik” ke London untuk mendendangkan Akta 355, apa perlu ditakuti lagi dengan berdebat?
Bukankah Akta 355 seperti maruah Pas sekarang ini, selepas tidak banyak lagi bercakap mengenai hudud?
Maka, di pentas mana pun, Pas seharusnya tidak gentar untuk berhujah dan mempertahankan apa yang mereka sedang perjuangkan.
Jadi, di mana wajarnya meminta Hadi agar jangan menyahur cabaran Dr. Asri itu?

Pertemuan Asri-Khairuddin tak bincang isu debat RUU 355

Ketua penerangan Dewan Ulama PAS berkata tidak perlu provokasi dirinya dan mufti Perlis kerana mereka mahu menyelesaikan isu perbezaan pendapat menerusi perbincangan secara harmoni.
maza-khairuddinPETALING JAYA: Pertemuan 4 mata antara Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Khairuddin Aman Razali dan Mufti Perlis Datuk Asri Zainul Abidin hari ini tidak membincangkan mengenai usaha untuk kedua-dua pemimpin itu berdebat.
Khairuddin berkata pertemuan itu hanya atas dasar persahabatan antaranya dengan Asri dan usaha mereka untuk mencapai satu titik persamaan dalam memperkasakan dakwah Islam secara bersama.
“Itu pertemuan persahabatan antara saya dengan Dr Asri. Kita bincang pelbagai isu kalau boleh. Kita sepakat bersama. Perbincangan harmoni.
“Isu debat dan wacana ilmu itu soal perbezaan pendapat dan itu tidak rosakkan hubungan persahabatan saya (dengan Asri),” katanya kepada FMT.
Pertemuan 2 pemimpin itu berlangsung selama 2 jam di rumah Asri di Kangar.
Perang mulut antara mufti Perlis itu dengan pimpinan PAS bermula selepas kenyataannya pada satu forum bulan lalu yang mengkritik penyokong rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, bagi membenarkan hakim syarie menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas pesalah Islam.

Mungkinkah usul Hadi dicetak semula?


Zulhazmi ShariffZulhazmi ShariffPetikan Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) bertarikh 7 Mac nanti berkenaan usul persendirian Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi pindaan Akta 355 yang tular di media sosial difahamkan tersilap cetak.
Peguam Zulhazmi Shariff ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini memberitahu, pernyataan pada AUM itu merupakan usul lama rang undang-undang (RUU) tersebut sebelum ditukar pada penangguhan kali kedua.
Hal berkenaan, ujar ahli Biro Guaman DAP Kedah itu telah disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
"Saya dimaklumkan bahawa usul dalam 7 Mac 2017 telah silap dicetak oleh pihak Parlimen dan disahkan oleh Azalina.
"Usul tersebut sebenarnya sudah dipinda pada 24 November 2016 oleh Haji Hadi dengann menetapkan had hukuman 30 tahun penjara, RM100, 000 denda dan 100 sebatan," jelasnya yang pernah bertanding jawatan Ketua Pemuda Pas pada 2013.
Mengulas lanjut, beliau menjangkakan usul pindaan lebih tiga bulan lalu oleh Presiden Pas itu akan dicetak kembali pada sidang Dewan Rakyat penggal kelima yang bakal bersambung mulai 6 Mac ini.
"Jadi, saya rasa AUM 7 Mac 2017 akan dicetak semula dengan memasukkan usul Haji Hadi yang baru seperti mana usul pindaan pada 24 November 2016," kata Zulhazmi lagi.
Pas sebelum ini mendakwa telah berjaya menarik ratusan ribu peserta untuk himpunan menyokong pindaan Akta 355 di Padang Merbok di ibu negara pada 18 Februari lalu.
Abdul Hadi buat kali pertama membawakan cadangan bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 itu di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 tetapi menangguhkan pembentangan dan sekali lagi berlaku pada 24 November tahun lalu.
Hukuman syariah yang diperuntukkan pada masa ini adalah penjara tidak melebihi tiga tahun, denda hingga RM5,000 dan maksimum enam kali sebatan.
(kiri)Tentatif Aturan pada Mesyuarat Parlimen yang disalah cetak dan (kanan)  Usul Hadi pada 24 November 2016.(kiri)Tentatif Aturan pada Mesyuarat Parlimen yang disalah cetak dan (kanan) Usul Hadi pada 24 November 2016.

Kemungkinan besar Pas ditimpa masalah - Dr Rusdi Omar

KOTA BHARU - Pas perlu mencari tonik penyelamat untuk mengubati segala penyakit mahupun kelemahan yang sering kali dibangkitkan parti lawan kebelakangan ini sebelum betul-betul terlambat.
Penganalisis politik, Dr Rusdi Omar berkata, jika pimpinan yang ada masih dibuai aura Allahyarham Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tanpa menyusun gerak langkah, kemungkinan besar parti itu ditimpa masalah pada PRU14 nanti.
Penganalisis politik, Dr Rusdi Omar Menurutnya, bukan mustahil sekiranya Pas tidak berbuat sesuatu dan terus dengan keegoannya, justeru memungkinkan parti itu bakal berputih mata pada pilihan raya umum yang dijangka hangat kali ini.
“Pimpinan Pas terutama di Kelantan mestilah berfikiran waras dan matang dalam apa jua tindakan termasuk ucapan mereka.
“Jangan kita bongkak, sombong dan angkuh dalam setiap tindakan. Nanti masyarakat akan gelak kepada kita,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengulas tindakan Pas yang sejak akhir-akhir ini dilihat semakin mendabik dada ketika mana hubungan akrab dengan Umno semakin menyerlah biarpun dinafikan.
Terbaharu, Naib Presiden Pas yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dengan yakinnya mengeluarkan kenyataan parti itu bersedia bergerak sendirian dan bertanding di semua kerusi pada PRU14 nanti.
Rusdi berkata, hasrat  untuk kekal mentadbir Kelantan dan tidak mustahil untuk menawan Putrajaya yang dilaung-laungkan Pas juga ibarat bermimpi di siang hari.
“Persoalannya, kajian mana yang menjadi rujukan beliau. Sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru di mana-mana negeri agak sukar dan mungkin mustahil untuk Pas memenangi pilihanraya tersebut.
“Tidak keterlaluan juga, kemungkinan besar negeri Kelantan akan jatuh ke tangan BN, sekiranya Pas ingin bertanding secara bersendirian,” katanya.

SKANDAL RM2.6B: SIKAP BERDIAM DIRI RAJA ARAB TAMPARAN KEPADA NAJIB

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, sikap berdiam diri Raja Arab Raja Salman Abdulaziz Al-Saud berhubung isu ‘derma RM2.6 bilion’ sepanjang lawatannya ke negara ini adalah tamparan hebat terhadap integriti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, sepanjang lawatan rasmi empat hari itu termasuk beberapa perjumpaan dengan Najib, baginda langsung tidak menyebut tentang ‘derma’ itu.
“Tindakan berdiam diri raja Saudi itu adalah difahami, kerana kredibiliti Arab Saudi terpaksa dipertaruhkan.
“Melainkan mereka boleh membuktikan bahawa dakwaan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) berhubung ‘derma RM2.6 bilion’ adalah tidak benar,” katanya yang dipetik oleh portal Roketkini.
DOJ pada tahun lalu memfailkan saman sivil bagi merampas aset bernilai AS$1 bilion yang didakwa diseleweng daripada syarikat milik penuh negara 1MDB.
Malah, dokumen saman sivil berkenaan turut membuktikan bahawa ‘derma RM2.6 bilion’ yang masuk ke akaun peribadi Najib Razak bukan berasal daripada keluarga diraja Saudi tetapi sebaliknya daripada dana sebuah syarikat yang terkait dengan 1MDB.
Tepat masanya
Sementara, Lim berkata usul yang difailkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bagi memaksa Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali hadir ke Parlimen menjelaskan keputusannya ‘membebaskan’ Najib berhubung kes ‘derma RM2.6 bilion’ itu tepat pada masanya.
Lim yang juga adalah Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, usul itu wajar disokong semua anggota Parlimen yang mengaku mengangkat nilai-nilai integriti, kebertanggungjawaban dan ketelusan.
“Malah, jika Apandi komited dengan prinsip pentadbiran yang baik dan kedaulatan undang-undang, tidak perlu usul pun kerana dia sendiri sepatutnya menawarkan diri bagi menjawab semua persoalan mengenai skandal 1MDB di Parlimen,” katanya.
Selasa lalu, Khalid Samad yang juga Ketua Penerangan AMANAH memfailkan usul berkenaan berikutan terdapat maklumat yang bercanggah berhubung ‘derma RM2.6 bilion’ berkenaan.
Katanya, meskipun Apandi mengisytiharkan dana itu adalah sumbangan dari keluarga diraja Arab Saudi, namun siasatan dan kes mahkamah di luar negara menunjukkan bahawa dana berkenaan sebenarnya berasal daripada wang 1MDB yang telah diselewengkan.

Harga gula wajar naik kerana ringgit jatuh, kata pengeluar

Industri gula beroperasi dalam keadaan ekonomi yang sangat lemah, kata syarikat utama pengeluar gula bertapis.
Mohamad-Amri-Sahari_gula_600
PETALING JAYA: Pengeluar gula bertapis utama negara mengalu-alukan kenaikan harga runcit gula daripada RM2.84 kepada RM2.95, dan berkata langkah itu tepat pada masanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MSM Malaysia Holdings, Mohamad Amri Sahari, berkata gula merupakan industri yang dikawal selia di negara ini di mana pihak industri wajib memastikan bekalan gula sentiasa mencukupi.
“Industri gula beroperasi dalam keadaan ekonomi yang sangat lemah berikutan kenaikan harga gula mentah global dan faktor ini menyumbang kepada kos pengeluaran yang lebih tinggi kira-kira 40%.
“Kejatuhan nilai ringgit Malaysia berbanding dolar AS juga memburukkkan lagi keadaan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenaikan harga gula yang diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebanyak 11 sen, menjadikannya kini RM2.95 sekilo.
KPDNKK berkata, kenaikan itu ekoran peningkatan ketara harga gula mentah dunia yang diimport Malaysia.
Kali terakhir harga gula diselaras ialah pada 25 Oktober 2013.