Rabu, 22 Februari 2017

NEGARA TAK PERLUKAN PERMATA

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad sekali lagi menggesa kerajaan Umno, BN memansuhkan Program Permata Negara (PERMATA) atas alasan tiada keperluan, ketelusan dan akauntabiliti.
Sebaliknya, kata Khalid, peruntukan dan aset PERMATA perlu diagihkan semula pada program-program pendidikan yang dikawal selia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Tiada keperluan untuk PERMATA kerana ia mempunyai objektif yang sama dengan program ‘pendidikan awal’ yang dikendalikan oleh KPM.
“Mengapakah perlu diwujudkan lagi satu badan yang menelan belanja RM45 juta dalam Bajet 2017 sedangkan KPM telah diperuntukkan RM767 juta untuk visi dan misi yang sama iaitu membangunkan pendidikan awal kanak-kanak.
“Sejumlah RM45 juta wang yang diperuntukkan untuk PERMATA adalah banyak di mata majoriti rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Pembantu isteri perdana menteri Datuk Rizal Mansor sebelum ini membidas Khalid yang bersama-sama Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dan Liew Chin Tong dari DAP menuntut kerajaan memansuhkan PERMATA.
“Bagi orang berada seperti Khalid sudah tentu tidak memerlukan PERMATA kerana mampu menghantar anak dan cucu ke pusat asuhan dan pendidikan awal swasta yang mahal.
“Tapi bagaimana dengan nasib anak-anak di luar bandar.
“Tidakkah mereka juga patut mendapat pendidikan awal kerajaan yang setaraf dengan apa yang Khalid mampu berikan kepada keluarganya di pusat-pusat asuhan swasta,” tanya Rizal lagi.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, jawapan Rizal berhubung cadangan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk memansuhkan PERMATA mendedahkan mentaliti pimpinan Umno dalam menentukan dasar negara.

SELAGI UMNO ‘MASIH HIDUP’, PEMBANGKANG HANYA BERMIMPI - Syed Ali Al-Habshee

SHAH ALAM – “Pembangkang sememangnya amat sedar bahawa selagi Umno ‘masih hidup’, mereka hanya akan bermimpi dan memasang angan-angan untuk menguasai negara ini,” tegas Ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee.
Ujar Syed Ali lagi, sebab itulah, dengan apa cara sekali pun mereka akan cuba dan akan terus melakukan serangan provokasi untuk memburukkan kepimpinan negara terutama membabitkan kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno.
“Malah agak keterlaluan dan ironisnya, ada pemimpin pembangkang menyalahkan Najib di atas semua perkara dan mala petaka yang berlaku di negara ini termasuk dalam isu kematian di Johor baru-baru ini,” katanya petik blog Umno Bahagian Cheras hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Ali berkata solidariti perhimpunan RUU 355 di Padang Merbok hujung minggu lalu yang menyaksikan ribuan umat Islam bersatu yang turut membabitkan penyokong Umno dan Pas, ternyata telah meresahkan blok pembangkang.
“Pakatan pembangkang seperti ‘mati akal’ bilamana pemimpin Umno, Pas termasuk Ngo boleh bergabung tenaga dan kudrat di atas satu pentas bagi menzahirkan sokongan terhadap kepentingan syariat Islam,” katanya lagi.

Inilah masalah FELDA yang rakyat Malaysia kena tahu

Pagi tadi, saya bersama YB Rafizi Ramli dan beberapa rakan lain membuat satu sidang media mengenai Kongres FELDA yang akan diadakan bulan Mac 2017 nanti. Sidang media itu juga memberi ruang untuk kami dan rakan-rakan lain menimbulkan beberapa kemusykilan mengenai masa depan FELDA.
Laporan audit 2016 untuk FELDA belum keluar lagi. Kita perlu dapatkan laporan audit tahun berakhir Disember 2016 itu untuk melihat banyak mana tanggungan FELDA.
Sebab, jika kita dengar cakap Isa Samad dan orang-orang sepemikirannya, semuanya, bak kata orang putih, hunky dory (okay) belaka. Tapi, kita tahu apa sebenarnya berlaku.
Peneroka FELDA, seperti yang saya tulis sebelum ini, yang berjumlah 112,635 orang, yang mendiami di lebih 300 tanah rancangan, mesti sedar perkara ini. Musibah warga FELDA bukan terhad kepada isu hutang purata RM120,000 bagi setiap peneroka, atau pertelingkahan kadar perahan atau rungutan bayaran bukan dalam bulan semasa. Ini masaalah yang ‘real’ yang dihadapi oleh peneroka setiap hari. Masaalah ini rentetan dan akibat dari tamak haloba seorang yang bernama Najib Tun Razak.
Tapi sengat bisa isu-isu berat ini diringankan sedikit kerana secara umumnya, kehidupan warga FELDA terlindung. Sekurang kurangnya dapat elaun sara hidup dari RM1000-RM1500 sebulan, ada tanah untuk rumah, ada tanah ladang 10 ekar, ada kemudahan awam dan sosial dalam tanah rancangan dan lain. Mereka seolah olehnya leka kerana ada jaminan dari kerajaan UMNO untuk menjaga mereka. Dan disebalik ‘jaminan’ tersebut, kehidupan peneroka diugut kononnya akan terancam sekiranya UMNO bukan kerajaan.
Namun demikian, bagaimana pula mengenai generasi kedua?  Mengikut suatu kajian oleh UIA, anak peneroka FELDA yang berjaya menjadi pelajar pusat pengajian tinggi, jadi doktor, peguam dan graduan-graduan dalam bidang lain hanya 1.5 peratus sahaja. Apa jadi dengan 98.5 peratus lagi?
Realiti ini kita tidak boleh nafikan, ada yang jadi ‘bermasalah’ kepada masyarakat, bercandu dan bermadat, dan duduk ditanggung ibu bapa dalam tanah rancangan. Masa depan mereka bagaimana? Sedangkan tanah seluas 360,000 hektar milik FELDA Plantations sudah dipajak kepada FGV dan tidak mungkin dikembalikan.
Perumahan untuk generasi kedua bagaimana pula? Najib menjanjikan 20,000 rumah kos RM70,000 setiap satu, soalan saya, berapa banyak yang telah dibina? Bagaimana generasi kedua yang tidak ada kerja dapat membiayai pembelian rumah-rumah ini? RM1.4 bilion sudah pun diambil FELDA, tapi mana rumah nya?
Bagaimana menyelesaikan hutang peneroka? Najib senaraikan FGV; kononnya beri RM1.7 bilion sebagai durian runtuh kepada peneroka. Adakah peneroka menerima durian runtuh atau bonus atau pemberian hadiah wang?
Peneroka mesti tahu bahawa masalah mereka adalah sebahagian dari masaalah yang lebih besar; yakni musibah yang diperlakukan keatas semua rakyat oleh si tamak haloba bernama Najib Tun Razak.

“Alangkah baiknya jika ramai pemimpin Melayu seperti Kit Siang” – bekas menteri UMNO

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Mungkin ramai dalam UMNO-Barisan Nasional (BN) masih mengambarkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang seperti mana unit propaganda UMNO, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) memfitnah tokoh veteran DAP itu.
Namun, bagi seorang bekas menteri UMNO dan orang kuat di zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Kit Siang bukanlah pemimpin “sejahat” dan “seteruk” yang sering ditohmah pemimpin-pemimpin parti pemerintah itu.
Tan Sri Sanusi Junid, yang merupakan Menteri Besar Kedah ketujuh, menulis di laman blog beliau semalam mengenai 29 perkara yang tidak dilakukan Kit Siang yang menyebabkan negara ini dipandang serong masyarakat dunia, lebih-lebih lagi dengan gelaran kleptokrasi.
Beliau antaranya menegaskan bahawa Kit Siang tidak menolak Perlembagaan, sekaligus mengakui bahawa pemimpin DAP itu mendaulatkan Raja-raja Melayu, malah menyokong Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan selain menyokong Islam sebagai agama Persekutuan.
Malah, menurut Sanusi, Kit Siang bukanlah sosok yang telah mengakibatkan pelbagai institusi Melayu seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tabung Haji rosak dengan macam-macam penyelewengan seperti yang dilakukan UMNO.
“Alangkah baiknya jika ramai pemimpin Melayu seperti Lim Kit Siang,” tulisnya di blog peribadi beliau. (http://sanusijunid.blogspot.my/2017/02/zahid-pilih-dap.html)
Beliau yang juga bekas Menteri Pertanian pada tahun 1986 itu turut menempelak  dan mempersoalkan pihak yang memandang negatif usaha sama antara Kit Siang dan Tun Mahathir dalam “menentang penyelewengan, rasuah dan pengkhianatan kepada negara”.
“Salahkah Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membetulkan kesilapannya kerana telah salah menanam budi dan memilih pengganti-penggantinya yang beliau tidak sangka menjadikan negara dipandang hina seperti sekarang dan rakyat jelata menderita kerana beban hutang negara yang bertimbun dan tidak mungkin selesai dibayar oleh anak, cucu dan cicit kita semua,” ujarnya.
Berikut senarai penuh 29 “isu tidak melibatkan Lim Kit Siang” yang ditulis beliau:
  1. Lim Kit Siang tidak mencadang atau menyokong pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang membebankan rakyat jelata.
  2. Lim Kit Siang tidak mencadang atau menyokong keputusan menghapuskan subsidi sehingga naik harga barang dan tol.
  3. Lim Kit Siang tidak mencadang atau menyokong kenaikan harga minyak petrol dan diesel.
  4. Lim Kit Siang tidak pernah bersetuju untuk menggunakan wang Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk melabur dalam perniagaan atau perusahaan yang tidak menguntungkan.
  5. Lim Kit Siang tidak pernah dirundingi untuk menukar surat hak-milik tanah peneroka FELDA yang sangat bernilai dan tidak turun harganya dengan sijil saham yang tidak menentu harganya dan kini harga sahamnya merudum turun kerana dilanda kerugian.
  6. Lim Kit Siang tidak pernah menjadi perajurit dalam angkatan tentera dan tidak tahu menahu mengenai Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT); beliau tidak terlibat dalam keputusan menggunakan wang tabung LTAT untuk membiayai projek yang tidak menguntungkan.
  7. Lim Kit Siang tidak pernah pinjam duit Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk berniaga atau sebagai biasiswa waktu beliau belajar; beliau juga tidak pernah merestui penyelewengan yang kini dikatakan berlaku dalam MARA.
  8. Lim Kit Siang belum memeluk agama Islam dan beliau tidak pun tahu mengenai salah guna wang Lembaga Urusan dan Tabung Haji untuk pelaburan yang merugikan.
  9. Lim Kit Siang, kerana belum memeluk agama Islam, tidak pernah membayar zakat itulah sebabnya dia tidak tahu bahawa pejabat agama mengadakan lawatan ke Paris sebagai salah satu acara dalam ‘Kursus Pernikahan’.
  10. Lim Kit Siang bukan seorang Melayu atau Bumiputera dan dia tidak merasa penderitaan, dan bukan sebab kepada penderitaan, maka biasiswa anak-anak Melayu dikurangkan jumlahnya oleh kerajaan.
  11. Bukan Lim Kit Siang yang menamatkan khidmat Peguam Negara.
  12. Bukan Lim Kit Siang yang menukar pegawai MACC kerana menyelidiki kes yang melibatkannya.
  13. Bukan Lim Kit Siang yang mencadangkan dikenakan label Akta Rahsia Rasmi (OSA) atas semua hasil penyelidikan atas sebarang salah laku dalam apa jua syarikat, badan dan agensi kerajaan.

PAS AKAN PECAH LAGI?

SHAH ALAM – Timbalan Presiden  Amanah, Salahuddin  Ayub  mendakwa, Pas  kini berdepan  perpecahan setelah parti Islam itu mula menampakkan kerjasama dan hubungan baik dengan Umno.
“Saya boleh katakan hari ini Pas sudah terbelah dua dan sebenarnya sudah berpecah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurut bekas Naib Presiden Pas itu, situasi semasa kini yang memperlihatkan kompromi Pas dan Umno menyebabkan Pas berpecah dua.
“Satu kekuatan yang saya pelajari dengan Pas (dahulu), sekiranya pemimpin itu dilihat benar-benar rapat dengan erti kata lain tidak menganggap Umno sebagai musuh mereka, Pas akan berpecah lagi.
“Saya berani menyatakan Pas akan berpecah dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.
Katanya, perkara itu sukar diterima terutamanya dalam kalangan penyokong dan ahli Pas kerana melibatkan soal dasar.
“Secara semula jadinya tidak boleh kerana sejak dahulu lagi kita diajar begitu. Berlawan dengan Pas ini bukan soal peribadi sebaliknya soal dasar, kezaliman yang telah dilakukan, salah guna kuasa serta penyelewengan.
“Tiba-tiba hari ini kompromi, tidak boleh.. ia (Pas) akan berpecah lagi,” katanya.
Salahuddin berkata, sememangnya Pas mempunyai kekuatan dari soal keahlian yang ramai namun kelebihan itu tidak menjamin kemenangan pilihan raya.
Katanya, sejarah membuktikan Pas tidak boleh bersendirian dan hanya akan menang banyak kerusi menerusi muafakat politik dan bertahaluf siyasi bersama DAP serta PKR.
“Pas memang tiada masalah mengumpulkan ahli dalam ceramah besar, tetapi dalam pilihan raya, belum tentu menang.  Bila masa Pas menang? Apabila Pas amalkan politik muafakat.

Pas sudah lupa perjuangan menentang asabiyah, kata Mohamad

Mohamad SabuMohamad Sabu
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu meminta pemimpin dan ahli Pas agar mengingati semula perjuangan parti Islam itu menentang pemikiran asabiyah suatu ketika dahulu.
"Tajuk muktamar Pas 1986 'menggempur pemikiran asabiyah'. Kami semua hafal hadis berkaitan asabiyah.
"Selepas berlaku kezaliman kepada ahli dan penyokong Pas di Memali, Pas memilih tajuk meuktamar 'bergerak menentang kezaliman'.
"Tapi apabila Pas semakin berumur semakin dilupakan perjuangan menentang pemikiran asabiyah dan kezaliman ini.
"Bahkan Pas dan Umno boleh satu kapal sekarang ini. Dulu selepas muktamar kita bakar akhbar Utusan sebab terlalu marah dengan akhbar itu yang sering buat laporan salah tentang Pas. Tapi sekarang boleh pakai baju berlogo Utusan," katanya dalam ceramah Pakatan Harapan di Kuala Krai malam tadi.
Beliau menegaskan, sejarah politik tanah air membuktikan pembangkang tidak mampu menang jika bertanding bersendirian.
Justeru Amanah semakin semakin yakin dengan kekuatan Pakatan Harapan untuk menjatuhkan Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ditambah pula dengan kebersamaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Hanipa sifatkan H355 anjuran Pas sebagai kejayaan demokrasi tanpa provokasi polis

KUALA LUMPUR: Pengerusi Kanun AMANAH Nasional, Mohamed Hanipa Maidin menyifatkan Himpunan 355 (H355) yang dianjurkan oleh Pas di Padang Merbok, dekat ini pada Sabtu lalu, sebagai kejayaan demokrasi kerana himpunan aman itu tidak diganggu dan diprovokasi oleh pihak polis.
“Bagi saya, jika ada sebarang kejayaan kepada perhimpunan tersebut, ianya adalah kemenangan demokrasi.
“Jelas, jika mana-mana perhimpunan, sebesar mana pun, ianya boleh menjadi aman jika polis tidak kacau,” komen beliau dalam satu tulisannya.
Ahli Parlimen Sepang itu tidak bersetuju cubaan mengaitkan perhimpunan tersebut dengan kemenangan atau kehebatan Islam, kerana sesiapa sahaja boleh menganjurkan demikian jika tidak diganggu oleh pihak polis.
Hanipa kini mula bertugas semula selaku peguam setelah lebih 10 bulan berehat selepas jalani pembedahan akibat pendarahan di bahagian kepala.
Dalam tulisan berkenaan, Hanipa turut mengucapkan tahniah kepada Pas kerana berjaya mengumpulkan ahli-ahlinya berhimpun dengan teman ungu di Padang Merbok pada 18 Februari yang lepas bagi menyokong RUU 355.
Seperti yang diduga, H355 mempamirkan sekali lagi kerjasama erat antara dua parti, Umno dan Pas apabila penceramah kedua-dua pihak memenuhi pentas dan saling sokong menyokong antara kedua-dua parti yang pernah berseteru itu.
Selain Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir; turut kelihatan Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asraf Dasuki dan Naib Presiden Pas yang dipecat, Datuk Dr Hassan Ali.
Kedatangan Jamil Khir ke H355 diakui sendiri oleh beliau mendapat restu daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hadi: Yang tak sokong himpunan RUU, bagai kambing terpisah

Presiden PAS itu berkata wajib ke atas setiap umat Islam menyokong usaha menegakkan syariah walaupun tidak mampu melaksanakannya.
hadi-ruu-355
PETALING JAYA: Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menganggap himpunan anjuran partinya Sabtu lalu sebagai berjaya, sambil menyifatkan mereka yang tidak bersama-sama hadir menyokong acara itu sebagai terdedah kepada bahaya dan menjadi mangsa “serigala liar”.
“Peristiwa memperjuangkan RUU 355 menempa sejarah kerana melibatkan semua kalangan umat Islam, semua wajah yang berada di medan para ulama, ahli politik, NGO, para pengamal undang-undang, ilmuan, para mahasisiwa, media, seniman, pasukan keselamatan, jentera kerajaan dan rakyat di semua lapisan.
“Maka yang terpisah daripadanya laksana kambing yang terpisah daripada kawanannya yang mudah menjadi mangsa serigala liar yang berkeliaran,” kata presiden PAS itu dalam kenyataan lebih 40 perenggan hari ini diselangi beberapa petikan ayat Al-Quran.
Sabtu lalu, puluhan ribu penyokong PAS berhimpun di Padang Merbok di Kuala Lumpur, menyatakan sokongan terhadap rang undang-undang (RUU) meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, memberikan kuasa menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah.
Turut hadir ialah beberapa pemimpin Umno.
Hadi berkata berjuang untuk menegakkan undang-undang syariah adalah kewajipan setiap umat Islam walaupun tidak mampu melaksanakannya.
Beliau turut memberikan analogi seseorang yang tidak mampu menunaikan ibadat haji.
Ibadat haji wajib dilakukan sekali seumur hidup oleh umat Islam, tetapi tidak wajib selagi tidak berkemampuan daripada segi wang duit dan kesihatan.
Hadi berkata hanya kerana ibadat haji tidak wajib ke atas diri seseorang, dia masih tidak boleh menganggap ibadat itu tidak wajib pada dasarnya.

Tular Audi Q7: Hak saya nak beli kereta mewah, kata MP Kuala Nerus

Tular dilaman sosial kereta Audi Q7  yang mana Khairuddin mengatakan ia membelinya dari sumber pendapatan yang sah.Tular dilaman sosial kereta Audi Q7 yang mana Khairuddin mengatakan ia membelinya dari sumber pendapatan yang sah.
Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata beliau mempunyai hak untuk membeli kereta Audi Q7 yang bernilai setengah juta ringgit untuk isterinya.
Khairuddin yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, dipetik berkata isu itu telah diperbesar-besarkan untuk mengalihkan perhatian daripada pindaan Rang Undang-Undang Syariah (RUU 355) yang dicadangkan parti Islam itu.
"Ini adalah isu kecil. Saya mempunyai hak untuk membeli apa-apa yang saya mahu. Saya juga boleh membeli sebuah lori atau kapal terbang, ia bukan urusan mereka," katanya seperti dilapor The Star Online hari ini.
Khairuddin turut menyelar " pengguna media sosial " yang suka memilih isu tersebut.
"Saya membeli kereta menggunakan sumber yang sah dan saya mampu," katanya.
Baru-baru ini tular di media sosial apabila pengguna Facebook Datin Norhayati Abd Malek, yang dirujuk sebagai isteri Khairuddin, menyiarkan gambar Audi Q7, mengatakan bahawa ia adalah "hadiah" dari suaminya.
Walau bagaimanapun,tidak diketahui jika kereta itu baru dibeli atau dari pemilik sebelumnya.
Satu lagi posting di laman Facebook beliau menunjukkan Khairuddin dan anak-anak mereka berjalan di pantai di mana dia berkata dia adalah isteri "YB Kuala Nerus".
Khairuddin dan Norhayati diketahui menjalankan perniagaan menjual produk kecantikan.

Hanya integriti diperlukan jadi ketua audit negara, kata Amanah

Pemimpin Amanah berkata, peranan ketua audit dan akauntan negara berbeza kerana ia memerlukan kelayakan profesional.
Dzulkefly-Ahmad_madinah-mihamad_jan_600
PETALING JAYA: Tiada salahnya perlantikan Tan Sri Madinah Mohamad sebagai ketua audit negara baharu walaupun kekurangan pengalaman yang relevan kerana kriteria utama jawatan itu adalah “integriti”, kata pemimpin Amanah.
Pandangan Dr Dzulkefly Ahmad ini berlawanan dengan kebanyakan ahli politik pembangkang dan pemerhati lain yang mempertikaikan pelantikan Madinah kerana beliau tidak pernah terlibat dalam bidang audit sebelum ini.
“Ketua audit negara mempunyai peranan berbeza daripada akauntan negara. Akauntan negara adalah seorang akauntan profesional yang menjaga semua simpanan kira-kira kerajaan, perbelanjaan dan lain-lain.
“Akauntan negara mesti mempunyai kelayakan profesional. Bagaimanapun, ketua audit negara tidak semestinya. Kriteria yang menentukan ketua audit negara adalah integriti,” kata pengarah strategi Amanah itu dan menambah ketua akauntan perlu peka dengan semua angka, sementara ketua audit perlu memahaminya.
Bagaimanapun, bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata objektif Madinah dalam menangani isu berkaitan integriti kewangan kerajaan akhirnya akan menjadi tajuk perbualan utama selepas perlantikan beliau.
“Hakikat beliau dilantik oleh PM semasa, yang diselubungi beberapa kontroversi, tidak harus mempengaruhi kebebasannya dengan mengambil kira tanggungjawab beliau.
“Tanda soal itu kekal, ia tidak melibatkan hal peribadi terhadap beliau, tetapi lebih berkaitan dengan fakta beliau berkahwin dengan ketua bahagian Umno Kepong yang bersumpah kepada umum mengenai kesediaannya untuk mati demi (Datuk Seri) Najib Razak sebelum ini,” kata Dzulkefly berkata merujuk kepada suami Madinah, Datuk Rizuan Abdul Hamid.
Beliau berkata walaupun dilantik oleh Najib, Madinah masih perlu menyatakan pendapat profesional dalam mana-mana badan eksekutif di mana beliau perlu menasihati perdana menteri.
Madinah, yang merupakan ketua setiausaha Kementerian Pendidikan sehingga tempoh bersara wajib sejak September tahun lepas, akan mengambil alih daripada Tan Sri Ambrin Buang yang khidmatnya sebagai ketua audit negara berakhir hari ini.

NAJIB, BATALKAN SAJA PERLANTIKAN KETUA AUDIT NEGARA!!

Nampaknya semakin ramai yang mempertikaikan perlantikan Dr. Madinah Mohamad sebagai Ketua Audit Negara yang baru bagi menggantikan Ambrin Buang yang mula berkuatkuasa 23 Februari ini.

Beliau dipertikaikan bukan saja kerana suaminya, Redzuan Hamid, Ketua UMNO Bahagian Kepong, pernah menzahirkan kesediaan untuk mati demi Najib Razak dan kemudian surat Perdana Menteri meminta  masalah hutangnya dengan sebuah syarikat berkaitan kerajaan diselesaikan di luar mahkamah turut tersebar luas, tetapi juga kerana latar belakang pendidikannya.

Oleh kerana suaminya yang sedemikian rupa, ramai yang meragui kewibawaan Dr.Madinah dalam menjalankan tugasnya nanti benar-benar demi kepentingan negara.

Pihak yang lain pula menilai Najib mungkin sengaja melantik isteri Redzuan Hamid itu sebagai Ketua Audit Negara untuk mewujudkan suasana "menang-menang" kerana budi sokongan suami Dr. Madinah kepadanya selama tidaklah sia-sia.

Dalam keadaan ini, sementara Najib sedang terasak dengan pelbagai isu yang membeliti dirinya, perlantikan Dr. Madinah hanyalah menambahkan lagi beban yang sedia ada pada dirinya.

Lebih memburukkan pertikaian orangramai ialah kerana Dr. Madinah juga hanya berkelulusan sains politik di peringkat ijazah yang diikuti dengan bidang sumber manusia di peringkat sarjana dan doktor falsasah.

Untuk menganalisa angka dan fakta berkaitan pengauditan, Ketua Audit Negara, kalau pun tidak lulusan dalam bidang perakaunan dan audit, ramai yang merasakan sekurang-kurangnya memadailah jika ada kelayakan dalam bidang ekonomi atau kewangan.

Dengan yang demikian, Dr. Madinah beliau bukan saja sudah kurang markah di mata umum dari segi kewibawaan berikutan kedudukan suaminya, tetapi juga kerana kelulusan dan kelayakannya.

Kelayakan Madinah jadi ketua audit ‘tercalar’, kata PKR

PKR menggesa individu yang memegang jawatan penting itu mempamerkan keberanian mendepani mana-mana kepimpinan termasuk perdana menteri.
izzah-madinaKUALA LUMPUR: PKR menyifatkan kelayakan Tan Sri Dr Madinah Mohamad sebagai ketua audit negara baharu “tercalar” kerana kedudukan suaminya sebagai ahli politik.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah berkata, kenyataan suami Madinah, Datuk Rizuan Abdul Hamid yang juga ketua Umno Bahagian Kepong “sanggup mati untuk (Datuk Seri) Najib (Razak)”, menimbulkan kebimbangan sama ada Madinah mampu menjalankan tugas dengan telus.
Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, pihaknya tidak mempersoalkan pilihan mana-mana pihak tetapi individu yang memegang jawatan itu perlu mempamerkan keberanian mendepani mana-mana kepimpinan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Isu kelayakan itu amat tercalar sekali dengan kaitan, keahlian suami beliau termasuk status beliau sendiri sebagai ahli parti politik.
“Tapi tak mengapa, saya tidak mahu bercakap lanjut, tapi saya mohon rakyat agar menyuarakan kebimbangan dengan tegas kerana kita mahu sama taraf, sama layak, sama kredibiliti dan integritinya dengan Tan Sri Ambrin Buang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa mengumumkan perlantikan Madinah sebagai ketua audit negara yang baharu untuk tempoh 2 tahun mulai 23 Feb ini.
Beliau menggantikan Ambrin yang akan tamat tempoh perkhidmatannya hari ini.
“Pada kami PKR, kita nyatakan dengan jelas ada beberapa kes terkini yang amat menjatuhkan maruah dan kredibiliti ketua audit negara…sekiranya mana-mana orang tidak mampu memegang kredibiliti sebagaimana Ambrin suatu ketika dahulu.
“Saya pohon kerajaan sedia ada jagalah maruah negara, pastikan integriti sentiasa dipertahankan.
“Kalaupun kita tidak bersetuju dengan pembangkang ataupun kerajaan, isunya kita mahu badan ini bebas, tidak mudah dibeli kerana audit memastikan semua dana yang dikhususkan dalam perbelanjaan negara digunapakai, diselamatkan untuk kepentingan rakyat. Bukan dibazirkan begitu sahaja,” katanya.

'Kenapa ketua audit tiada latar belakang audit?'

Pelantikan Tan Sri Madinah Mohamad sebagai ketua audit negara terus dipertikai walau beliau belum pun memasuki pejabat.

Selepas isu berkaitan suaminya, bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan itu berdepan pertikaian berhubung kelayakannya.
Satu kumpulan, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), membangkitkan kebimbangan itu dengan berhujah seorang ketua audit negara harus mempunyai kebolehan dan pengetahuan khusus dalam bidang audit, perakaunan dan pengurusan kewangan.
“Apa proses dan pertimbangan perdana menteri yang mencadangkan beliau ke jawatan itu?” soal pengarah eksekutif C4 Cynthia Gabriel.

Madinah, 60, berkelulusan sarjana muda dalam bidang sains politik serta ijazah sarjana dan kedoktorannya pula diperoleh dalam bidang sumber manusia.
Cynthia menegaskan kedudukan Madinah penting memastikan mekanisme semak dan imbang serta ketelusan dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Madinah akan memulakan tugasnya esok, menggantikan Tan Sri Ambrin Buang yang tamat tempoh perkhidmatan.

Ambrin, yang hari terakhirnya hari ini, terlibat dalam audit berkaitan kontroversi 1MDB.
Bagaimanapun, kerajaan enggan mendedahkan laporan itu dan mengelaskannya bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

KATA-KATA HEBAT SEORANG ENCIK SOMI SEBELUM ISTERI DILANTIK KETUA AUDIT NEGARA

Di bawah ini antara dua ungkapan kata terhebat yang pernah dilafazkan oleh Redzuan Hamid, Ketua UMNO Bahagian Kepong sebelum isterinya, Dr. Madinah Mohamad dilantik sebagai Ketua Audit Negara yang baru menggantikan Ambrin Buang.

Dr. Madinah dilantik sebagai Ketua Audit Negara yang baru untuk tempoh dua tahun mulai 23 Februari 2017 hingga 22 Februari 2019.
Pertama, Encik Somi (suami) melafazkan kata-kata bahawa beliau sanggup mati demi untuk mempertahankan kedudukan Najib Razak selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Saya berani mati untuk Najib. Jangan sentuh Najib. Kalau mati, kami mahu mati bersama Najib, demikian antara kata-kata Redzuan ketika berucap di Mesyuarat UMNO Bahagian Kepong, tahun lalu.
Kedua, Encik Somi juga mengatakan derma RM2.6 bilion yang diterima Najib melalui akaun peribadinya adalah kerana "pemberi derma" kagum dengan kelantangan Perdana Menteri melawan Yahudi.