Ahad, 19 Februari 2017

BERJAYAKAH BN/UMNO GUNA ‘RCI KERUGIAN URUS NIAGA FOREX’ SEKAT DR M???

Kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas untuk menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing Oleh Bank Negara pada sekitar 1990-an.
Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Kabinet petang semalam.
Sebuah blog proBarisan Nasional dan Perdana Menteri, melalui satu analisis bertajuk “KERUGIAN FOREX USD10 BILION DI ZAMAN MAHATHIR, WANG RUGI ATAU DICURI?”pada 31 Januari 2017 lalu, menyebut pelbagai andaian boleh dibuat terhadap kerugian besar yang dialami Bank Negara Malaysia pada tahun 1993 dalam manipulasi mata wang.
“Kehilangan secara misteri AS$10 billion (RM44 billion nilai sekarang) pada 1993 itu telah dianggap sebagai kehilangan terbesar dalam mana mana bank di dunia pada waktu itu,” kata blog berkenaan.


Dilaporkan juga, penglibatan Bank Negara di dalam perjudian pasaran pertukaran wang asing ini telah dikesan oleh bank pusat Amerika dan Gabenornya ketika itu, Alan Greenspan telah menegur dan menggesa Bank Negara agar menghentikan segera perbuatan itu.

Perdebatan mengenai isu ini antara penyokong kerajaan dan penyokong  bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dapat dibaca melalui artikel yang ditulis oleh Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tun Faizal Ismail Aziz.

Tun Faizal mengkritik Datuk A Kadir Jasin yang menulis bertajuk "Berjaga-jaga ungkit perkara lama" dengan mengatakan Kadir membayangkan sikap defensif dan ketakutannya apabila skandal BMF dan forex melibatkan "boss"nya diungkit dan didedahkan semula.

Menurut A Kadir, tujuan tersirat operasi itu adalah mempertahankan nilai ringgit dan, kalau nasib baik, buat keuntungan luar biasa tetapi ia berakhir dengan kerugian. Gabenor Bank Negara waktu itu, Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein, mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan.
Pegawai yang bertanggungjawab terus dalam operasi tersebut, Tan Sri Nor Mohamed Yackop, diarahkan berhenti.
  
Yang diharapkan oleh rakyat, penubuhan pasukan petugas yang diumumkan semalam itu bukan sebagai tindak balas atau kerana dendam akibat Perdana Menteri yang disebut MO1 serta dikaitkan dengan isu-isu seperti "derma" dari ahli keluarga diraja Arab Saudi.
Ia juga jangan dikaitkan dengan kemasukan wang RM42 juta ke akaun Datuk Seri Najib Razak melalui AmBank yang dijawab  oleh Najib beliau ‘tidak tahu mengenai kemasukan wang itu ke akaunnya’.
Dengan kata lain, siasatan melalui penubuhan jawatankuasa ini jangan kerana mahu menimbulkan keraguan mengenai tuduhan bahawa Najib melakukan salah laku atau mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam berkata pasukan petugas khas itu akan dianggotai pelbagai agensi kerajaan termasuk individu-individu yang dihormati dan berpengalaman dalam bidang-bidang tertentu.
"Pasukan petugas khas ini akan mengemukakan syor dan cadangan untuk dipertimbangkan oleh Kabinet dalam tempoh terdekat dan tindakan selanjutnya termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika perlu berdasarkan hasil siasatan itu nanti," kata kenyataan itu.
Ini bermakna, untuk peringkat pertama, kerajaan akan menubuhkan pasukan petugas yang akan menjalankan kajian dan menyediakan kertas cadangan ke arah menubuhkan RCI.
Persoalannya siapakah individu yang akan dilantik nanti?
Sudah passtinya, mereka yang dilantik adalah yang ‘mesra dengan pemerintah’ atau lebih tepat UMNO?BN kerana tujuan penubuhan RCI ini adalah serangan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Isu kerugian kontroversi, yang berlaku hampir tiga dekad lalu ‘dihidupkan’ semula selepas Dr Mahathir berusaha untuk menyatukan pembangkang dalam cubaannya untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau menuduh Najib terpalit dengan rasuah berikutan laporan deposit bernilai berbilion ringgit berada akaun bank peribadi perdana menteri.
Dr Mahathir dikatakan  perdana menteri apabila aktiviti Bank Negara dalam pasaran tukaran mata wang asing tidak menjadi.
Pad 7 Februari lalu, bekas Perdana Menteri 22 tahun itu menyambut baik cadangan untuk menubuhkan RCI berhubung isu dagangan tukaran wang asing (forex).
“Mereka dialu-alukan untuk berbuat demikian (menubuhkan RCI) tetapi kami mahu perkara sama terhadap wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga apa yang berlaku terhadap 1MDB,” katanya Dr Mahathir.
Persoalannya, apakah sempat jawataankuasa ini menyediakan kertas cadangan bagi menubuhkan RCI sebelum pilihan raya akan datang dijangka September nanti?.

Yayasan anak yatim ancam saman setpol PM

Yayasan Pembangunan Anak Yatim dan Miskin (Pemangkin) mengancam untuk memfailkan tuntutan mahkamah kedua terhadap Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail dan Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Datuk Abibullah Samsudin.
Ia ekoran kedua-duanya didakwa mengeluarkan kenyataan 'mengelirukan' terhadap pengasas yayasan itu.
Pada minggu lalu, pengasas Pemangkin memfailkan saman fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Yapeim dan enam yang lain berhubung dakwaan salah laku pengurusan dana Pemangkin.
Shahlan dan Abibullah turut dinamakan dalam tuntutan mahkamah berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, Pengasas bersama Pemangkin, Mohd Yusoff A Bakar berkata, Shahlan dan Abibullah mempunyai sehingga 48 jam untuk menarik balik kenyataan mengenai tuntutan mahkamah yang belum selesai terhadap pengasas yayasan itu.
Mohd Yusoff juga menamakan pengguna media sosial - Zamzuri Mohamed Tahir dan Aznil Hashim - juga mempunyai 48 jam untuk menarik balik kenyataan fitnah itu.
"Kenyataan mereka menunjukkan pengasas Pemangkin adalah bersalah melakukan pecah amanah dan mempunyai niat jahat," katanya.
Beliau juga mengingatkan para pengguna media sosial bahawa Pemangkin tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan fitnah yang dibuat secara online.

Pas bukan lagi parti pembangkang?

Akhbar pro Umno BN hari ini tidak lagi menganggap Pas parti pembangkangAkhbar pro Umno BN hari ini tidak lagi menganggap Pas parti pembangkang
Akhbar Mingguan Malaysia hari ini menyenaraikan pecahan kerusi pembangkang di Dewan Rakyat dengan hanya meletakkan Pakatan Harapan dan Bersatu bersama wajah ketua parti masing-masing.
DAP mempunyai 37 kerusi, diikuti PKR (28), Amanah (6) dan satu kerusi lagi Bersatu. Tanpa memasukkan 15 kerusi dimiliki Pas, akhbar pro Umno-BN itu melalui ruangan Awang Selamat menganggap DAP lebih dominan termasuk dari segi bilangan kerusi di Dewan Rakyat.
Menurut Awang, Mahathir perlu tunduk mengikut rentak Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang kononnya merupakan pemimpin 'de facto' pembangkang dengan keputusan besar dan penting ditentukan parti berlambangkan roket itu.
Bercakap bagi pihak Pas, akhbar pro Umno-BN itu secara terbuka menyanjung tinggi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang lantaran menolak pelawaan untuk bekerjasama dengan PPBM.
"Prinsipnya tetap sama. Pas tidak akan bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan PAN (Amanah). Awang tabik Hadi kerana konsisten menolak DAP dan tidak gentar dengan segala tekanan," katanya.
Sementara itu, Mingguan Malaysia turut memuatkan laporan penuh mengenai Himpunan Rang Undang-undang (RUU) 355 semalam termasuk reaksi peserta dan kronologi syor pindaan akta tersebut pada halaman tengah di muka surat 12 dan 13.
Berlatarkan warna ungu dan hijau, kandungan laporan bagi program bermula petang sehingga malam itu dilihat bernada positif tidak seperti yang lazim berlaku terhadap siri himpunan BERSIH.

SEJAUH MANA AKTA 355 TIDAK BERMOTIF POLITIK?

Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad secara terbuka menyifatkan perhimpunan Akta 355 anjuran Pas di Padang Merbok semalam adalah bermotif politik.

"Dalam Islam, niat sangat penting. Jika niat untuk menang pilihanraya umum akan datang, itu salah.

"Jika berniat untuk menegakkan Islam, itu baik. Tetapi nampak seperti niat adalah politik, jadi ia salah," jelas Tun Mahathir lagi.

Sebenarnya tidak sukar memahami apa yang dimaksudkan  oleh Tun Mahathir itu. Sebarang usul atau pindaan berkaitan undang-undang adalah tugas kerajaan yang memerintah iaitu UMNO dan BN.
Dalam kes Akta 355, pindaan sepatutnya diusulkan oleh kerajaan kerana dengan kuasa yang ada dalam genggaman, tugas menaiktaraf peranan Mahkamah Syariah itu adalah tanggungjawab kerajaan.

Tetapi, kenapa Pas yang mengusulkannya?

Mengapa tidak UMNO sendiri yang membawa usul tersebut?

Apakah kita boleh percaya Pas membawa usul tersebut tanpa lampu hijau atau persetujuan daripada kerajaan?

Kali terakhir Akta 355 dipinda ialah pada 1984 dan ia tidak menimbulkan sebarang keributan kerana pada ketika itu Tun Mahathir sendiri selaku wakil kerajaan yang mencadangkannya.

Mari kita sama-sama selami apa yang tular di media sosial sebagaimana di bawah ini:-

Yang tadbir Putrajaya ialah UMNO/BN.

Yang bentang Akta 355 ialah Pas.

Yang bangkang dan bantah Akta 355 ialah MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti komponen BN dari Sabah serta Sarawak.

Yang minta tangguh dua kali Akta 355 ialah Pas.

Tetapi, yang kena bakar adalah bendera DAP dan yang turut dipersalahkan ialah Amanah.

Dalam pada itu, baik sebelum mengadakan perhimpunan atau selepasnya, Pas berulangkali  terus memberitahu agar jangan dipolitikkan Akta 355.

Daftar Pemilih: 'MB Johor tinggal di rumah kedai bersama 13 yang lain?'


Senarai daftar pengundi terkini menyatakan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menetap di sebuah rumah kedai di Masai, Johor bersama 13 yang lain.
Hal tersebut didedahkan oleh Pakatan Harapan Johor selepas menyemak senarai daftar pemilih bagi suku keempat 2016 yang kini sedang dipamerkan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol Tan Hong Pin, alamat yang dipersoalkan ialah ibu pejabat Umno bahagian Pasir Gudang di alamat 1, Jalan Tembusu, Taman Rinting.
Daftar pemilih bagi suku ketiga 2016 yang merekodkan pertukaran alamat pemilih oleh Khaled dan anaknya Akmal Saufi ke lokasi di atas.
Daftar pemilih bagi suku berikutnya mencatatkan 12 lagi individu turut disenaraikan kepada alamat yang sama.
"Jika daftar pemilih itu diwartakan, maka akan ada 14 orang, termasuk MB dan anaknya, didaftarkan sebagai pengundi di alamat itu," kata ADUN DAP itu.
Ia adalah antara ratusan butiran pengundi mencurigakan yang dikemukakan oleh Tan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Johor, hari ini.
Menurut Tan, para pengundi meragukan terdapat di empat kawasan Parlimen - Gelang Patah, Kluang, Segamat dan Pasir Gudang.

'Umno, BN jelajah seluruh negara perjelas beza 1MDB, forex' - Annuar Musa

Umno dan BN akan mula menggerakkan jentera penerangan bermula Mac ini bagi menjelaskan secara terperinci keputusan Kabinet menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia pada 1990-an.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, penerangan di seluruh negara itu perlu dibuat memandangkan pada ketika ini terdapat pihak yang cuba membandingkannya dengan isu 1MDB yang disifatkkannya sebagai tidak relevan.
"Kenapa ia ditubuhkan jawatankuasa (pasukan petugas khas) ini, kenapa tidak 1MDB. Ini akan dijelaskan (dalam jelajah). Kehilangan wang (dalam skandal Forex) sebenarnya tidak disiasat sebagai laporan kehilangan sebenar wang kerajaan.
"Skandal ini membabitkan dana kerajaan dan ia jelas berbeza dengan keadaan dalam 1MDB, yang guna RM1 juta dana kerajaan (dana awal 1MDB). 1MDB juga entiti yang sudah melalui siasatan dan ia hanya sebuah syarikat," katanya kepada pemberita dalam sidang media di PWTC.
Anggota Parlimen Ketereh itu berkata, skandal forex jelas merupaan satu bentuk kehilangan sebenar dana rakyat manakala pasukan khas itu akan menerangkan secara terperinci mengenai perkara itu.
Annuar, bagaimanapun, menafikan sesi penerangan ini adalah pecutan akhir sebelum menuju pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Malah, jelasnya, ia adalah perkara yang perlu di jelaskan tanpa mengira bila PRU akan diadakan.
Sesi penerangan pertama akan bermula pada 25 Februari ini di Parlimen Hulu Selangor sebelum bergerak ke kawasan lain, tambahnya.
"Penerangan di kawasan negeri pula akan bermula pada 1 Mac ini membabitkan kerjasama dari semua pucuk pimpinan dan pemimpin akar umbi," katanya lagi.
Jelasnya, jawatankuasa penerangan Umno juga kini memfokuskan kepada tiga gerakan intensif penerangan iaitu melalui ceramah bersemuka di pelbagai peringkat, penyebaran maklumat melalui media elektronik dan cetak serta media baru.
Sementara itu, mengulas kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai himpunan Akta 355 semalam bermotifkan politik, kata Annuar, ia tidak menjadi kesalahan.
“Kenyataan Tun kata macam itu pun bermotifkan politik. Kita semua (ahli politik) dekat Malaysia bermotifkan politik dan seharusnya begitu.
“Mesti kalau buat apa-apa bermotif politik dan bukan jadi kesalahan kerana politik itu adalah soal kepentingan rakyat,” katanya.
Annuar berkata, setiap pihak tidak seharusnya memandang rendah terhadap politik dan perkara itu seharusnya diambil dari sudut yang positif.
“Jangan pandang rendah politik. Ni kalau ada orang politik kita pandang hina dan negatif pada orang poltik.
“Politik tentang kebajikan rakyat dan bagaimana kita mentadbir negara serta perkara-perkara yang memberi kesan kepada rakyat, tidak ada yang buruk jika kaitkan dengan politik,” katanya.

'Dakwa saya ke mahkamah pun OK, dakwa najib juga', kata Mahathir

"Beri peluang Akta 355 dilaksanakan dahulu," rayu Mursyidul Am PAS

"Mereka hanya nyamuk dan agas kecil," kata Hadi

Perhimpunan RUU 355: Niat kena betul dalam Islam kata Mahathir

Bekas Hakim dakwa hukuman maksimum RUU 355 terdedah kepada disalah guna

KUALA LUMPUR: Usul dibawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda hukuman bagi pesalah syariah memang mengikut perlembagaan tetapi permintaan bagi hukuman maksimum itu agak keras, kata hakim bersara.
Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, cadangan Ahli Parlimen Marang itu untuk meningkatkan hukuman penjara hingga 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan menerusi Rang Undang-undang (RUU) persendirian itu, tidak ada justifikasi.
“Saya cadangkan masyarakat sivil dan ahli politik tanya penganjur usul itu untuk menjustifikasikan kepada perlunya hukuman maksimum,” kata Hakim Mahkamah Rayuan yang sudah bersara itu.
Ariff berkata, denda maksimum RM5,000 pada masa sekarang sudah dianggap tinggi bagi hukuman dijatuhkan di Mahkamah Syariah.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah umum bertajuk “Amendments to Shariah Courts (Criminal Jurisdiction) Act 1965 – Constitutional and Practical” di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya pada 16 Februari lalu.
Pada masa ini, hukuman jenayah syariah ialah maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan.
Ariff berkata, usul Hadi itu sah memandangkan hukuman itu hanya akan dikuatkuasakan kepada umat Islam di negara ini kerana melakukan kesalahan bertentangan dengan ajaran Islam.
Bagaimanapun, katanya cadangan hukuman maksimum itu akan membawa kesan buruk kerana setiap negeri akan melihat sesuatu kesalahan itu dengan cara berbeza.
“Anda tambah hukuman, tetapi ia boleh membawa kepada pelbagai jenis salah guna,” katanya memetik kes Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang didenda RM2,900 kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah di Kapar.
Denda maksimum bagi kesalahan itu di Selangor ialah RM3,000.
Khalid, dari parti AMANAH kini berdepan risiko tidak boleh bertanding dalam PRU14 kerana perlembagaan menyatakan ahli Parlimen tidak layak jika disabitkan bersalah dan dipenjarakan tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000.
Ariff juga bersetuju dengan ramai pihak yang bertegas menyatakan pindaan versi Hadi untuk memperkasa hukuman syariah akan membenarkan pelaksanaan hudud di Kelantan dan Terengganu.
Beliau berkata, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993 (Pindaan 2015) memperuntukkan 8 kesalahan hudud, dengan 3 daripadanya boleh dilaksanakan jika hukuman maksimum dipohon diluluskan di Parlimen.
Tiga kesalahan itu ialah qazaf (tuduhan zina palsu), al-lian (tuduhan zina palsu oleh suami terhadap isteri) dan syurb (minum arak).
Bagi kesalahan qazaf dan al-lian, pesalah berdepan hukuman 80 sebatan. Mereka yang didapati bersalah minum arak boleh disebat minimum 40 kali dan maksimum 80 kali.

RUU355: PAS perlu faham betul kehendak titah Diraja

Saya hanya ingin membuat sedikit komen pendek berkaitan soalan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu tahu sama ada MCA dan DAP benar-benar menyokong titah bekas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di sidang Parlimen tahun lepas supaya mahkamah syariah diperkasakan.
Komen saya ini hanya dari sudut pandang DAP, bukan mewakili suara parti keseluruhannya, apatah lagi MCA yang sememangnya bukan parti yang saya anggotai.
Saya menyemak kembali titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang dimaksudkan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man.
Memang benar Tuanku ada menyatakan perkara yang berkaitan dengan memperkasa undang-undang berkaitan pentadbiran Islam.
Titah Baginda seperti yang dilaporkan media;
“Isu-isu keagamaan perlu dirujuk kepada pihak berautoriti agama dan tidak wajar dibuat tafsiran secara individu atau berkelompok kerana boleh mencetuskan kecelaruan dan konflik dalam masyarakat.
“Beta menyokong penuh segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan damai di negara ini.”
Tuanku turut berkata bahawa Baginda mahu langkah-langkah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan Mahkamah Syariah, disegerakan.
Bagi saya intipati titah Tuanku cukup jelas iaitu soal ‘kecekapan’ pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama menerusi Mahkamah Syariah.
Atas initpati inilah maka saya tidak fikir mana-mana parti politik akan menolak titah Tuanku. Sebaliknya kita menyokong penuh prinsip tersebut.
Berkaitan Rang Undang-Undang Persendirian (RUU355) yang dicadangkan oleh wakil Pas iaitu Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, ianya tidak ada kaitan dengan soal meningkatkan ‘kecekapan’ mahkamah Syariah. RUU355 PAS ini hanya menumpukan soal hukuman kepada pesalah jenayah syariah. Iaitu menambah daripada yang sedia ada kepada hukuman yang maksimum.
Ini sememangnya berlainan dari intipati yang dititahkan oleh Duli Tuanku YDP Agong.
Jadi tidak timbul mengapa DAP menerima titah Tuanku, dan tidak perlu menyokong RUU355 cadangan PAS, sebab ia bukan urusan untuk memperkukuh kecekapan mahkamah Syariah sebaliknya ia hanyalah agenda peribadi puak-puak PAS untuk melaksanakan Hudud mereka.
Bukankah Tuanku sendiri sudah bertitah, saya ulangi;

Hubungan PAS, PKR di Selangor tetap akrab walaupun Hadi nak berpecah....!!!

Di sebalik kenyataan dibuat Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata parti itu kini tetap mempunyai hubungan kukuh dengan PKR.
Malah, katanya, ketika mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS semalam, isu hubungan dan kerjasama dengan PKR langsung tidak dibincangkan.
“Semasa mesyuarat PAS Pusat, tak ada (sesiapa) kata yang kita akan putus (hubungan) dengan PKR.
“(Jika ada sebut nak) bincang (hubungan dengan PKR), itu biasalah, apa-apa perkara pun kita bincang.
"Tapi sekarang ni hubungan PAS rapat dengan PKR. Kita (PAS) masih ada hubungan yang akrab dengan negeri," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.
Iskandar ditemui ketika menghadiri sambutan tahun baru Cina anjuran PKR Batu. Turut hadir, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Anggota Parlimen Batu, Tian Chua.
Sebelum ini Abdul Hadi berkata PAS enggan mengadakan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungan dengan DAP serta Parti Amanah Negara (AMANAH).
Mengulas mengenai tawaran bekerjasama oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Abdul Hadi menyatakan, mereka enggan ada hubungan dengan sesiapa saja yang baik bersama DAP serta AMAANH.
Presiden PAS itu juga berkata, parti berkenaan akan mengkaji semula hubungannya dengan PKR pada muktamar yang dijadual berlangsung antara 20 April hingga 1 Mei akan datang.
Bagaimanapun di Selangor, PAS masih berada dalam kerajaan walaupun pada masa sama ada DAP. PKR pula pada masa sama mempunyai hubungan baik dengan DAP dan AMANAH.

PDRM: Peserta langgar syarat bawa bayi, kanak-kanak ke Himpunan 355

Hasil siasatan awal mendapati, bayi dan kanak-kanak yang dibawa menghadiri perhimpunan tersebut dalam lingkungan 7 bulan hingga 15 tahun.
sukrikaman-ruu355KUALA LUMPUR: Peserta Himpunan 355 didapati melanggar syarat perhimpunan mengikut Seksyen 4 (2)(f) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana membawa bayi dan kanak-kanak ketika berhimpun.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman berkata, antara jam 2 petang hingga 11.30 malam semalam, polis yang bertugas di Padang Merbok dan Jalan Parlimen mendapati ramai peserta perhimpunan itu yang memakai baju ungu membawa bayi dan kanak-kanak.
“Hasil siasatan awal mendapati, bayi dan kanak-kanak yang dibawa menghadiri perhimpunan tersebut dalam lingkungan 7 bulan hingga 15 tahun.
“Kes masih dalam siasatan dan sehingga kini tiada tangkapan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Himpunan 355 yang diadakan di Padang Merbok semalam bertujuan memberi penerangan kepada umat Islam mengenai cadangan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
Antara lain, cadangan pindaan itu membabitkan hukuman lebih berat bagi kesalahan yang dilakukan umat Islam sahaja dan langsung tidak memberi kesan kepada golongan bukan Islam.

H355 salah guna jentera kerajaan negeri Kelantan untuk kepentingan parti

Ditemui di Jalan Tuanku Abdul Rahman semalam dipercayai mengangkut peserta himpunan usul HadiDitemui di Jalan Tuanku Abdul Rahman semalam dipercayai mengangkut peserta himpunan usul Hadi
Himpunan bermotif politik parti di ibu negara semalam terbukti menyalahgunakan jentera kerajaan negeri Kelantan. Tinjauan Malaysia Dateline di sekitar ibu negara mendapati sebuah bas Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan diparkir di bahu jalan tidak jauh dari pusat beli-belah Sogo.
Dipercayai mengangkut peserta himpunan bertemakan warna ungu itu, penemuan bas di Jalan Tuanku Abdul Rahman menimbulkan persoalan tentang kaitan kerajaan negeri Kelantan dengan program anjuran Pas terbabit.
Hal ini memandangkan pindaan Akta 355 bukan agenda kerajaan negeri Kelantan sebaliknya hanya agenda peribadi Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas.
Tindakan yang dilihat menyalahgunakan wang rakyat itu menyamai apa dilakukan Umno-BN selama ini dengan paling menonjol melalui Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Biro Tatanegara (BTN).
Selain itu, Malaysia Dateline juga menemui poster dikeluarkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan yang terpampang ungkapan "Kami Sokong RUU 355" berserta tulisan jawi bagi 'kami sokong'.
Diikuti #supportRUU355, poster itu bagaimanapun dijadikan alas duduk petang semalam oleh beberapa peserta yang ingin mengikuti siri ceramah tanpa henti dari pentas di tengah Padang Merbok itu.
Bukti kerajaan negeri Kelantan mengeluarkan dana yang bukan sedikit untuk himpunan usul HadiBukti kerajaan negeri Kelantan mengeluarkan dana yang bukan sedikit untuk himpunan usul Hadi

Nama saya Mujahidin, saya Muslim, saya tolak RUU355

Mungkin ramai akan mempersoalkan mengapa saya menolak usul RUU 355, kalau saya Muslim, bukankah saya wajib menerima hukum syariat?
muslim-court
Oleh Mujahidin Zulkiffli
Saya seorang Muslim, jauh dari seorang Muslim yang sempurna, namun hati tetap kekal percaya kepada Allah.
Mungkin ramai akan mempersoalkan mengapa saya menolak usul Hadi 355, kalau saya Muslim, bukankah saya wajib menerima hukum syariat?
Jawapan pertama saya, usul ini bukanlah hukum syariat Allah. Ini hukum rekaan manusia. Tidak wujud sama ada di dalam Al-Quran dan hadis, di mana hukuman yang dikenakan adalah dalam wang ringgit, atau mata wang apa sekalipun.
Tiada saman atau denda dikenakan dalam syariat. Yang ada cuma bayaran diyyat, atau pampasan bagi menggantikan Qisas (hukum balas satu dengan satu). Maka persoalan saya dari manakah hukuman bayar duit ini datang? Dari Tuhan Allah kah? Atau Hadi sudah jadi Tuhan?
Allah berfirman di dalam Al-Quran:”Allah tidak akan membebani umatnya lebih dari yang ia mampu”. (Surah Albaqarah)
Siapakah yang mampu membayar denda RM100,000 yang Hadi mahukan? Hanya orang kaya saja, dan sekiranya ini menjadi undang-undang, di manakah keadilan sosial sekiranya hukuman ini terlalu berat buat mereka yang miskin?
Dan sekiranya hakim mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan denda berat kepada yang kaya dan ringan kepada yang miskin, bukankah itu satu prejudis dan salah berdasarkan firman Allah:
“Jika ia kaya atau miskin, maka Allah lebih tahu (keadaan) keduanya.” (An Nisa 135).
Hanya Allah yang layak menghakimi keadaan seseorang itu. Hakim yang prejudis adalah hakim yang tidak diterima Islam. Hukuman denda yang tidak berlandaskan Al-Quran dan hadis ini sepatutnya dimansuhkan bukan disalahgunakan dengan lebih besar.
Yang kedua, hukuman 100 rotan ini adalah hukuman hudud. Ia memang terdapat di dalam Al-Quran tetapi untuk kesalahan zina. Dalam melaksanakan hukum ini, 4 saksi lelaki Islam perlu dikemukakan. Saksi-saksi pula wajiblah daripada kalangan yang beriman, berakal dan paling penting saksi adil dan bukan seorang yang fasiq (tidak melakukan dosa besar dan tidak mengekalkan dosa kecil).
Cuba kita lihat kes tangkapan khalwat yang dilakukan, kebanyakan penangkapan dilakukan pegawai yang tampak kurang beriman (kurang adab tu kurang imanlah kan?), kurang berakal, kalau banyak akal sudah jadi doktor, jurutera dan peguam, kan?
Oklah, mungkin mereka ini berakal sebab keperluan berakal hanyalah tidak gila, tetapi adakah mereka ini memang betul tidak gila? Hmmm… jika dilihat mata kasar, ada antara mereka yang kelihatan cukup gila.
Dan adakah mereka ini adil? Kalau KPI mereka ialah menangkap orang, ini sudah jadi satu konflik kerana ketiadaan atau kekurangan tangkapan boleh dilihat sebagai tidak melakukan kerja, dan jika mereka dilihat seperti tiada kerja, mereka boleh dibuang kerja. Bagaimana mereka ini boleh adil 100% tanpa syak?
Dan adakah mereka ini benar-benar tidak fasiq? Adakah mereka tidak mengekalkan dosa kecil? Siapa saja yang tidak mengekalkan dosa kecil? Kebanyakan mereka hisap rokok, itu sudah cukup sebagai mengekalkan dosa kecil (rokok adalah haram mengikut fatwa) dan ini secara langsung mengkategorikan mereka sebagai fasiq,

Hadi: Penentang pindaan Akta 355 perlu kaji undang-undang lapuk

Ketua Penerangan Pas Pusat Nasruddin Hassan memimpin bacaan ikrar menyokong RUU 355Ketua Penerangan Pas Pusat Nasruddin Hassan memimpin bacaan ikrar menyokong RUU 355
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengecam pihak yang menentang pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
Beliau berkata, pihak yang menentang Akta 355 seharusnya mengkaji undang-undang ciptaan manusia di negara ini yang disifatkan sebagai lapuk.
"Daripada mencemuh usaha kita, lebih baik mereka bincang undang-undang lapuk yang masih menggunakan tali gantung, undang-undang rimba yang tidak mengambil kira siapa yang menjadi saksi.
“Ini yang patut dibincang mereka, bukannya mempertikai undang-undang Islam dengan kejahilan,” katanya sewaktu berucap di Himpunan RUU 355 di Padang Merbok malam tadi.
Mengulas lanjut, ahli Parlimen Marang itu juga berkata, Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa Mahkamah Syariah hanya menyentuh orang Islam sahaja.
"(Namun) Kita mesti ada Mahkamah Syariah yang tinggi tarafnya. Atas kewajipan ini kita perlu tunaikan tanggungjawab (dalam melakukan pindaan itu)," katanya.
Menurut beliau juga, sejak merdeka lagi kerjasama pelbagai pertubuhan termasuk Pas dan Umno dalam isu melibatkan orang Islam berlaku.
“Kita menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Reid meletakkan Islam dalam Perlembagaan. Mereka berbincang dan menerimanya,” katanya.
Justeru katanya, kerjasama sedemikian perlu dilakukan pada masa ini berhubung Akta 355 yang dicadangkannya.

BOLEHKAH PAS MEMBANTU UMNO?

Di mana-mana sejak semalam, ramai yang bercakap mengenai kehadiran peserta dalam perhimpunan akta 355 anjuran Pas yang diadakan di Padang Merbok.

Lebih-lebih lagi, pelbagai media menyebut jumlah yang berbeza mengenainya.

Lewat petang semalam, portal Harakahdaily menyebut kehadiran peserta melebihi 100 ribu.
Portal Malaysiakini menganggarkan kehadiran dalam perhimpunan itu kira-kira 50 ribu.

Sebelum malam, Utusan melaporkan penyokong Pas yang hadir ialah seramai 15 ribu.

Laporan TV3 malam tadi serta Sinar Harian melaporkan kehadiran dalam jangkaan 20 ribu.

Bagaimanapun, pengacara majlis di perhimpunan Akta 355 malam tadi dengan bangga menyebut kehadiran seramai 300 ribu.

Wowww...agak-agaklah dik!!
Sasaran Pas  pula ialah 200 ribu akan menghadiri perhimpunan tersebut sebagai tanda sokongan kepada Akta 355 yang diusulkan oleh Hadi Awang dan diberi laluan oleh UMNO dan BN itu.

Tetapi, anggaran pihak polis mengatakan kehadiran ialah sekitar 20 ribu.
Berapakah kehadiran sebenar orangramai dan penyokong Pas dalam perhimpunan tersebut?

300 ribu? 200 ribu? 50 ribu? 20 ribu? Atau 15 ribu?

Bagi sesiapa yang biasa dengan Padang Merbok, keluasan padang itu tidaklah begitu besar iaitu dianggarkan kira-kira 1.5 kali lebih luas daripada padang bola sahaja. 

Tinggal dompet, sudahlah' - H355

Himpunan RUU 355 jadi ruang kutip dermaHimpunan RUU 355 jadi ruang kutip derma
Himpunan di Padang Merbok semalam menyaksikan aktiviti memungut derma yang menjadi ciri lazim dalam program Pas terus dilakukan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man malam tadi dalam ucapannya turut mengajak peserta menghulurkan derma.
Terdahulu, beliau turut mendakwa kehadiran peserta himpunan bertemakan warna ungu itu mengikut sumber Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah mencecah 50,000 orang.
"Kalau macam ini punya ramai sampai 50,000 kita buat lagi program ini dua, tiga kali lagi," ujarnya disambut dengan teriakan takbir daripada khalayak peserta.
Menurut ahli Majlis Syura Ulamak Pas itu, sumbangan wang tunai yang dilakukan merupakan jihad dan orang ramai wajar menderma sebanyak yang boleh.
"Tuan-tuan, kita kutip derma jihad. Dermalah sebanyak mungkin. Tinggal dompet sudahlah," katanya dalam nada seloroh.
Dalam hal berkaitan, pemerhatian Malaysia Dateline pada sesi petang mendapati banyak pihak mengambil peluang mengedarkan tabung derma dari semasa ke semasa mewakili beberapa institusi.
Antaranya, dua remaja lelaki mengutip derma bagi Sekolah Menengah Islam Darul Ta'lim Sungai Limau, Ijok yang terletak di Batu Kurau.
Rata-rata pengunjung termasuk kaum ibu yang duduk-duduk di hamparan sambil berbual ketika berlangsungnya ceramah dilihat menghulurkan derma kepada sekolah menengah agama rakyat yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak itu.
Walaupun ramai tidak tahu isu sebenar RUU 355 tetapi mereka menjadi penyumbang kepada aktiviti dermaWalaupun ramai tidak tahu isu sebenar RUU 355 tetapi mereka menjadi penyumbang kepada aktiviti derma

H355: Penyokong kami hadir demi pahala, bukan wang, kata PAS

Khairuddin berkata, PAS tidak perlu membayar kos pengangkutan atau makan minum kepada ahli PAS untuk mengajak mereka berhimpun menyokong RUU 355.
Datuk-Dr-Mohd-Khairuddin-Aman-Razali-mahathir
KUALA LUMPUR: Penyokong PAS menghadiri Himpunan RUU 355 di Padang Merbok demi mendapat ganjaran pahala bukannya wang ringgit, kata ketua penerangan Dewan Ulama parti Islam itu.
Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, kebanyakan penyokong PAS mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk datang ke ibu negara dan menghadiri perhimpunan hari ini.
“PAS tidak perlu bayar kos pengangkutan atau makan minum kepada ahli PAS untuk mengajak mereka berhimpun menyokong RUU 355.
“Mereka datang dengan poket mereka sendiri atas nama jihad dakwah memperkasakan Islam. Inilah kekuatan yang ada pada ahli PAS.
“Malah, Himpunan RUU 355 ini dihadiri pelbagai lapisan masyarakat, sama ada daripada individu atau organisasi bukan kerajaan atas kesedaran mereka untuk memperjuangkan pemerkasaan Islam di negara ini melibatkan Mahkamah Syariah,” katanya kepada FMT.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 20,000 orang menghadiri Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, setakat jam 6 petang tadi.
PAS sebelum ini menyasarkan kira-kira 300,000 orang akan menyertai himpunan hari ini bagi menunjukkan sokongan dan memperjelaskan kewajaran usul RUU persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah Islam.

Di himpunan RUU, Hadi raikan kerjasama PAS, Umno

Hadi berkata pengkritik cadangan memperkasakan mahkamah syariah perlu mengkritik undang-undang ciptaan manusia 'yang lapuk'.
hadiKUALA LUMPUR: Kerjasama pelbagai pertubuhan termasuk PAS dan Umno dalam isu melibatkan Islam sudah bermula sejak sebelum merdeka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu puluhan ribu peserta yang membanjiri Padang Merbok bagi menyatakan sokongan memberi kuasa lebih kepada mahkamah syariah negara ini.
Dalam ucapannya sebelum perhimpunan tamat malam tadi, presiden PAS itu berkata PAS dan Umno antara pertubuhan berjuang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Reid meletakkan Islam dalam Perlembagaan. Mereka berbincang dan menerimanya,” katanya merujuk jawatankuasa ditubuhkan kerajaan Britain bagi mewujudkan perlembagaan baharu selepas Merdeka.
Hadi berkata, kerjasama serupa perlu dilakukan pada masa ini berhubung rang undang-undang (RUU) meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang dicadangkannya.
“Kita hanya mengulangi sejarah lalu yang ditulis dengan tinta emas oleh pejuang kemerdekaan negara kita,” katanya lagi.
PAS dan Umno akhir-akhir ini sering “sepentas” dalam isu membabitkan orang Islam, termasuk dalam menyatakan simpati terhadap etnik Rohingya di Myanmar.
Beberapa pimpinan tertinggi Umno juga sebelum ini dilihat bersikap positif terhadap usaha PAS meminda akta itu.
Hadi yang juga ahli Parlimen Marang mengecam pihak yang sering mempertikai cadangannya, sambil berkata mereka perlu menumpukan terhadap apa yang disifatkannya “kelemahan undang-undang ciptaan manusia”.

Hassan Ali ajak bangkit jika RUU 355 tidak diluluskan

Ketua Penerangan Pas Pusat Nasruddin Hassan memimpin bacaan ikrar menyokong RUU 355Ketua Penerangan Pas Pusat Nasruddin Hassan memimpin bacaan ikrar menyokong RUU 355
Diberi ruang untuk menyampaikan pidato pada malam tadi sempena Himpunan Rang Undang-undang (RUU) 355, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mengajak orang ramai bangkit menuntut supaya pindaan tersebut dilaksanakan.
"Kalau Parlimen tidak meluluskan RUU 355 ini, dalam masa terdekat dengan seluruhnya bangun, kemenangan akan menyebelahi kita," tegasnya disambut laungan takbir oleh peserta himpunan bertemakan ungu itu.
Beliau menyifatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memikirkan langkah bagi membendung pelbagai masalah yang berlaku pada masa ini melalui usaha meningkatkan bidang kuasa hukuman mahkamah syariah.
"Masalah yang sudah dihadapi, bukan jauh sekitar diri, keluarga dan masyarakat kita menghadapi pelbagai masalah. Sistem undang-undang yang ada tidak mampu sama sekali mengatasi masalah tersebut.
"Hanya boleh diatasi dengan hukum Allah. Inilah yang difikirkan Hadi sehingga melahirkan usul persendirian untuk menambah baik Akta 355," ujar Hasan yang ucapannya menuduh Azmin Ali yang kini Menteri Besar Selangor berkongsi isteri tular sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.
Beliau yang dipecat sebagai ahli Pas pada 2012 berkata, tugas dalam memastikan pindaan Akta 355 tercapai terpikul pada semua pihak termasuk orang bukan Islam.
"Matlamat akhirnya kalau dibenarkan, diizinkan akan meningkatkan martabat undang-undang dan kehakiman Islam yang akhirnya memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat Malaysia bahkan dunia, barulah tuan-tuan merasakan Islam itu Rahmatan Lil 'Alamin," tegasnya.
Sehubungan itu, Hassan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia menyeru semua pihak memainkan peranan masing-masing memberi pemahaman berhubung RUU 355.
"Apa yang dilakukan ini? Yang jauh mendoakan, yang dekat menyinsing tangan. Apa nak buat? Ketuk rumah demi rumah. Seru sahabat demi sahabat. Layangkan pemikiran dan kemahuan kita ini kepada seluruhnya," gesanya.
Menyifatkan malam tadi sebagai segala hidupan mendoakan peserta himpunan usul Hadi, beliau berharap perjuangan meminda Akta 355 adalah berterusan.
"Malam ini di Malaysia dan dunia ada satu titik di mana malaikat-malaikat Allah bersama-sama berhimpun bersama kita. Segala cacing berbilion-bilion berada di bawah, daun-daun segala seluruh kejadian Allah mendoakan kita akan diberikan kekuatan istiqamah memperjuangkan hubungan undang-undang Allah yang menjadi nadi kepada mana-mana negara yang menegakkan agama Allah," tegasnya.

Penganalisis: Himpunan RUU 355 bukti kekuatan PAS

Faisal S Hazis yakin PAS mempunyai kapasiti lebih baik untuk menganjurkan perhimpunan besar berbanding Bebas kerana parti itu mempunyai jentera dan sokongan ahlinya, manakala Bebas hanya sebuah NGO.
awang-pawi-ruu-355-1
PETALING JAYA: Kehadiran ribuan peserta Himpunan RUU 355 membanjiri Padang Merbok dan ratusan peserta di himpunan balas anjuran NGO semalam menunjukkan kekuatan dan kemampuan PAS, kata 2 penganalisis politik.
Himpunan RUU 355 dianjurkan PAS untuk mendapat sokongan rakyat terhadap rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.
RUU itu dibantah ramai yang mendakwa ia adalah jalan belakang untuk PAS melaksanakan hudud pada akhirnya. Bantahan itu diulangi Bebas di himpunan balas yang diadakan serentak dengan Himpunan RUU 355, petang semalam.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Awang Azman Pawi percaya Himpunan RUU 355 mencerminkan aspirasi rakyat dan bukti kekuatan PAS.
“Kehadiran itu menunjukkan sokongan akar umbi terhadap pindaan yang dicadangkan itu, terutamanya penyokong PAS yang terdiri daripada orang Melayu Islam yang ramai jumlahnya,” katanya.
Beliau berkata, ia juga jelas yang NGO Islam menunjukkan diri mereka sebenar pada himpunan itu.
“Terdapat sokongan daripada NGO Islam yang, selama ini, memilih mendiamkan diri tetapi kini mengambil keputusan menunjukkan sokongan terbuka terhadap pindaan itu.”
Awang Azman turut mengulas kehadiran Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP) dan beberapa kumpulan bukan Islam di perhimpunan itu.
“Ini adalah penting kerana ia menunjukkan di sebalik idea yang mengatakan orang bukan Islam tidak menyokong pindaan dicadangkan itu, ada juga orang bukan Islam yang menyokong pindaan itu dan yakin ia tidak akan mengancam penganut agama lain.”
Beliau mendakwa kehadiran ramai penyokong yang PAS berjaya kumpulkan untuk himpunannya mempunyai beberapa implikasi.
“Pertama, PAS boleh menggunakan dengan baik pindaan dicadangkan itu sebagai agenda politik utamanya untuk menarik penyokong akar umbi.
“Kedua, parti seperti DAP dan Gerakan perlu memikirkan semula bantahan mereka terhadap RUU itu kerana ia boleh menyebabkan umat Islam konservatif berfikir mereka terlalu degil untuk menerima pindaan itu dan tidak akan menerima pakai hudud.
“PAS juga tidak patut dianggap sebagai parti lemah kerana melalui perhimpunan ini, ia membuktikan sebaliknya.”

Pengkritik RUU 355 sila tutup mulut, kata pemimpin PAS

Naib presiden PAS berkata jumlah besar peserta Himpunan RUU 355 semalam menggambarkan keinginan rakyat melihat mahkamah syariah diperkasakan menerusi cadangan pindaan itu.
nasrudin-1
PETALING JAYA: Pemimpin PAS berharap pengkritik cadangan rang undang-undang pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 akan senyap selepas ribuan peserta membanjiri himpunan RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur semalam.
Himpunan anjuran PAS itu bertujuan menunjukkan sokongan kepada RUU persendirian yang dibawa presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagi membolehkan kuasa hukuman mahkamah syariah dipertingkatkan.
Ramai yang mengkritik RUU itu dan mendakwa ia hanya cara PAS untuk melaksanakan hukuman hudud.
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hasan Tantawi berkata sejumlah besar peserta himpunan semalam menjadi isyarat kepada semua, yang majoriti masyarakat Islam di negara ini menyokong pindaan itu.
“Kami harap lepas ini tiada lagi suara-suara yang meremehkan hasrat umat Islam untuk melihat hak umat Islam dapat diberikan dan dikembalikan bagi dapat dilaksanakan,” katanya kepada FMT.
Naib Presiden PAS Idris Ahmad senada dengan kenyataan Nasrudin dan berkata kehadiran yang ramai mewakili keinginan rakyat untuk melihat pemerkasaan mahkamah syariah menerusi pindaan yang dicadangkan itu.

RUU 355: Ramai peserta tidak tahu, ikut saja Presiden Pas

Ramai penyokong Pas tidak tahu pun isu sebenar pindaan Akta 355Ramai penyokong Pas tidak tahu pun isu sebenar pindaan Akta 355
Rata-rata peserta Himpunan Rang Undang-undang (RUU) 355 yang ditemui Malaysia Dateline mengakui tidak memahami isu sebenar pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan matlamat program tersebut diadakan hari ini.
Mereka yang juga penyokong tegar Pas tidak mengetahui pembentangan usul pindaan yang dibawa presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah ditangguhkan sebanyak dua kali pada tahun lalu.
Rosdi Salleh (berbaju ungu)Rosdi Salleh (berbaju ungu)Rosdi Salleh, 45, dari Felda Sungai Tiang, Pendang di Kedah hanya memahami RUU 355 penting demi Islam dan bagi mengelak keadaan huru-hara.
"Kami sokong saja. Kami tidak tahu sangat. (Apa yang kami tahu) Untuk hak Islam, untuk keamanan," kata ayah kepada empat anak itu yang hadir dengan bas sewa khas.
"Kami mai (datang) satu bas. Kutip dari kampung-kampung," beritahunya dan sekadar menjawab, "itu saya tidak pastilah" apabila ditanyakan tentang tindakan Abdul Hadi menangguhkan pembentangan pindaan Akta 355.
Sementara itu, Muhammad Zin, 28, dari Dewan Undangan Negeri (Dun) Chetok di Kelantan mendakwa pelaksanaan hukuman jenayah syariah selama ini tidak berlandaskan Islam.
"Tak pandai (komen) sebenarnya. Macam denda naik kepada RM100,000, rotan ikut Islam. Akta sekarang ini tak mengikut Islam. Kalau bolehlah kerajaan pindah (bukan pinda) akta kepada RUU 355," ujarnya yang berkopiah putih dan berlogokan Pas itu.
Mengulas tentang tindakan Abdul Hadi menunda pembentangan RUU 355 sehingga sidang Dewan Rakyat Mac depan, beliau berpendapat hal tersebut sebagai "kebijaksanaan" Ahli Parlimen Marang itu.
"Itu ikut kebijaksanaan Presiden. Kita di bawah ini ikut dia sahaja. Dia ulamak. Kita ikut saja," katanya yang hadir dengan bas yang disewa khas.
Beliau seterusnya menjawab, "tidak tahu" berapa kali Abdul Hadi tangguhkan pembentangan pindaan Akta 355 sebelum menyambung dengan sekali lagi mengulang, "ikut kebijaksanaan dia (Abdul Hadi). Apa dia buat InsyaAllah betul semua."
Menariknya, rakan kepada anak muda tersebut yang berada di sisinya juga hanya tersenyum menggeleng kepala sambil meminum air apabila Muhammad bertanyakan tentang berapa kali Abdul Hadi menangguhkan pembentangan RUU 355.
'Saya pun tak tahu'
Hadir dari kawasan yang pernah dilanda bah kuning pada 2014, Abdul Hamid Ibrahim, 60, dari Gua Musang juga tidak mengetahui tentang kegagalan Abdul Hadi membentangkan usul persendirian itu walaupun mempunyai peluang untuk berbuat demikian.
"Tangguh tu saya tidak pasti. Nak masuk (bentang) tak bolehkah, saya pun tak tahu. Tangguh tu sebab BN tidak sedia nak bentang. Nak pinda tak sempat lagi," jawabnya dengan nada yakin walaupun mengelirukan.
Tambahnya lagi, RUU 355 merupakan "hukum syariah untuk orang Islam" bukan untuk orang Cina.
"Untuk hukum pencuri, penzina. Eloklah kerajaan akan bentang. Betullah tu," tegasnya sambil menjawab hanya sekali Abdul Hadi menangguhkan pindaan bagi meningkatkan bidang kuasa hukuman mahkamah syariah.

KWSP isytihar dividen 5.7 peratus bagi 2016

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan kadar dividen 5.70 peratus bagi 2016, dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM37.08 bilion, satu pencapaian yang baik walaupun berdepan dengan keadaan pasaran yang sukar.
Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata KWSP gembira kerana berjaya mengatasi dua sasaran pelaburan KWSP secara konsisten iaitu untuk mengisytiharkan kadar dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5 peratus setiap tahun dan kadar dividen sebenar melebihi inflasi sekurang-kurangnya 2.0 peratus bagi purata bergerak tiga tahun.
"Sebagai sebuah dana simpanan persaraan, KWSP sentiasa memberi penekanan terhadap pulangan yang mampan untuk jangka panjang berbanding pulangan jangka pendek.
"Ini merupakan satu pencapaian yang baik walaupun berhadapan dengan keadaan pasaran yang sukar. Bagi 2016, dividen sebenar untuk purata tiga tahun bergerak adalah 3.83 peratus, 183 mata asas melebihi sasaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semasa tahun tersebut, Samsudin berkata, KWSP berhadapan dengan persekitaran pelaburan yang mencabar berikutan berlakunya peristiwa yang membimbangkan seperti Brexit dan pilihan raya Presiden di Amerika Syarikat.
Sepanjang 2016, KWSP beroperasi dalam suasana pertumbuhan global yang kurang memberangsangkan selain berhadapan dengan perubahan polisi kewangan oleh ekonomi utama dunia, kejatuhan harga minyak, nilai matawang domestik yang lemah serta aliran keluar modal yang tinggi dari pasaran negara membangun kepada pasaran negara maju dan kepada matawang yang lebih selamat, katanya.
"Majoriti pasaran dunia mengalami penyusutan pada awal 2016 sekali gus menjejaskan prestasi KWSP. Bagaimanapun, kami telah menggiatkan aktiviti pengambilan untung bermula suku tahun kedua (S2 2016) agar dapat mencapai sasaran strategik kami," katanya.
Bagi 2016, amaun pendapatan yang diagihkan sebagai dividen adalah lebih tinggi daripada amaun yang diagihkan pada 2014 walaupun kadar dividen pada 2014 lebih tinggi pada 6.75 peratus.
Beliau berkata ini berikutan jumlah pengagihan untuk setiap satu peratus kadar dividen pada 2016 adalah RM6.51 bilion berbanding RM5.43 bilion pada 2014.
Jumlah yang diperlukan untuk pengagihan setiap satu peratus kadar dividen terus meningkat sebanyak 9.5 peratus setahun sejak 2001 selaras dengan pertumbuhan baki simpanan ahli untuk tempoh yang sama.
"Sejak krisis kewangan global pada 2008, KWSP telah mengagihkan RM236.07 bilion dividen kepada ahlinya," katanya.