Walaupun tema pentadbiran Trump adalah mendahulukan rakyat Amerika dalam segala hal dan matlamat ini sebenarnya te­lah dikotakan oleh beliau dalam masa dua minggu pertama memegang tampuk pemerintahan, tetapi Trump juga dengan pintar mengguna Israel sebagai umpan untuk memikat penyokong beliau. Paling ketara adalah janji beliau untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis yang ketika ini belum ditunaikan kerana menanti masa yang sesuai.
Jika Presiden Rusia Vladimir Putin telah menggunakan sebaik peluang dengan sikap Trump yang berbaik sangka dengan Rusia, begitu juga Netanyahu telah cuba meraih sepenuh manfaat daripada janji Trump berhubung Israel. Hanya beberapa hari selepas Trump mengangkat sum­pah jawatan presiden, Netanyahu mengumumkan pembinaan hampir 6,000 unit rumah baharu di kawasan penempatan haram milik Palestin di Tebing Barat.
Jika senario itu berlaku ketika pentadbiran Bill Clinton, George W. Bush atau Barack Obama lazimnya White House akan menegur dan melarang perbuatan tersebut kerana dianggap sebagai halangan kepada proses perdamaian di antara Palestin dan Israel. Tetapi teguran White House pimpinan Trump kali ini agak berbeza dan penuh dengan tanda tanya kerana kenyataan yang dikeluarkan langsung tidak ada unsur melarang atau menegur.
Bukan sahaja Netanyahu mengambil peluang sikap Trump terhadap Israel dengan membina lebih banyak rumah di penempat­an haram Yahudi di Tebing Barat dan juga Baitulmaqdis Timur yang kedua-duanya adalah tanah milik rakyat Palestin, beberapa hari lepas Netanyahu membuat keputusan yang tidak mungkin boleh dilakukan ketika era pentadbiran Clinton, Bush atau Obama.
Knesset Israel telah meluluskan rang undang-undang berkaitan penempatan haram Yahudi yang antara lain cuba menghalalkan rampasan tanah milik Palestin sama ada di Tebing Barat atau Baitulmaqdis Timur sebagai sah di sisi undang-undang Israel. Perundangan ini bukan sahaja bertentangan dengan pandangan antarabangsa yang menyifatkan penempatan tersebut sebagai me­langgar perundangan antarabangsa tetapi juga seolah-olah cuba mempermainkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 2334 yang antara lain menyifatkan penempatan haram sebagai tidak sah.
Perlu ditekankan resolusi UNSC 2334 disyorkan secara bersama oleh Malaysia, New Zealand, Venezuela dan Senegal pada Disember lepas dengan mendapat undian 14 ahli menyokong sementara buat kali pertama dalam sejarah UNSC, AS telah mengambil pendirian berkecuali.