Selasa, 31 Januari 2017

Jangan sampai dunia percaya pada Trump

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang Donald Trump dan falsafah pentadbirannya.
Ramai yang sudah membantah tentang sikap dan langkah ekstrimis lagi rasis yang ditampilkan beliau.

Ini menunjukkan masih ramai penduduk dunia ini daripada pelbagai latar agama, negara dan kaum mempunyai kewarasan dan nilai kemanusiaan.
Apa yang saya kagum ialah rakyat Amerika yang pelbagai latar belakang; datuk bandar, senator, artis, peguam dan ratusan ribu yang lain yang bukan beragama Islam turut membela hak rakyat Muslim Amerika.

Mereka bukan sekadar bersuara tetapi sanggup berkorban masa, tenaga, harta dan emosi untuk pembelaan tersebut.

Mereka bukan sekadar tidak bersetuju bahkan berdemonstrasi, membawa isu ke mahkamah dan pelbagai langkah yang lain.

Ini memberikan kesedaran kepada kita bahawa hubungan keinsanan ataupun kemanusiaan itu merentasi sempadan agama.

Persoalan, apakah kita dalam dunia Muslim dapat menunjukkan contoh yang sama iaitu membela hak setiap insan tanpa mengira latar agama?
Islam mengajar untuk adil kepada semua pihak tanpa mengira latar agama dan bangsa. Dunia Islam hendaklah menjadi model dalam hal ini.
Pemikiran lapuk

Pemikiran lapuk yang menganggap keindahan Islam itu hanya dapat dilihat dengan dipancung yang murtad, dipotong tangan pencuri dan direjam penzina semata, hendaklah dihentikan di dunia Islam.

Itulah yang menyuburkan ideologi IS dalam dunia ini.
Keindahan Islam itu akan dapat dilihat apabila dunia Muslim itu anti-rasuah, mempunyai urus tadbir yang baik, menjaga hak setiap warganya dan memelihara alam sekitar dan segala makhluk Allah yang lain.

Itulah Islam yang menjadi rahmat untuk sekalian alam.
Jika ada Muslim memikirkan kejayaan Muslim itu dengan memancung yang tidak menyokong golongan mullah, memotong tangan pencuri dan merejam penzina tanpa bertungkus lumus

PAS bijak atur strategi henti kerjasama pembangkang..!!

Pas
  Tsunami politik kini dilihat makin reda apabila Pas membuat keputusan strategik dengan menghentikan kerjasama politik bersama parti pakatan.
Penganalisis Politik, Suhaimee Sahar berkata, hala tuju politik Pas dalam memastikan syiar Islam terus terpelihara dan tidak diancam melalui pakatan-pakatan sulit, licik dan halus merupakan satu strategi politik yang tepat pada masanya.
“Analisis daripada pilihan raya lepas dari segi kedudukan kerusi dan dominasi kuasa oleh parti politik pembangkang melihatkan bahawa Pas sememangnya sudah bersedia.
“Bersedia dalam konteks memastikan ideologi politik mereka kekal terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman dalaman dan pengaruh individu tertentu yang menggunakan kekuatan Pas selama ini demi kepentingan politik mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu Islam memerintah selain membayangkan sasarannya iaitu empat negeri melibatkan Kedah, Selangor, Terengganu, selain terus kekal kukuh di Kelantan.
Menurutnya,  kini realiti politik semakin berubah, mengikut perubahan landskap politik global dan juga serantau.
Beliau berkata, oleh sebab itu survival politik sesebuah parti tidak boleh lagi terjamin dengan kuasa dominasi, tetapi permuafakatan dan kerjasama antara politik diperlukan bagi memastikan pengundi dapat memilih.
“Pilihan itu pula melibatkan pemimpin dan parti yang benar-benar menjiwai dan memenuhi nilai-nilai politik mereka. Daripada dapatan kajian lepas, jelas menunjukkan pengundi memilih calon melalui nilai kepimpinan dan kredibiliti calon itu,” katanya.

Skandal MARA: Ismail tak dimaklum Annuar 'digantung'

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan beliau tidak tahu menahu mengenai keputusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menggantung tugas pengerusi mereka, Tan Sri Annuar Musa.
Kata Ismail Sabri, beliau kini sedang menunggu laporan mesyuarat daripada Ahli Majlis MARA.
"Saya tak pasti apakah mesyuarat khas ada kuasa untuk menggantung pengerusi.
"Saya tidak tahu sama ada keputusan tersebut menggantung atau mencadang untuk menggantung.
"Setahu saya kuasa melantik pengerusi adalah di bawah kuasa menteri dan mendapat persetujuan perdana menteri.
"Saya yakin ianya termasuk memberhentikan pengerusi atau menggantung," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, sebentar tadi.
Menurut Ismail Sabri, beliau yakin keputusan mesyuarat berkenaan hanya bersifat cadangan.
Terdahulu, MARA dilaporkan menggantung tugas Annuar termasuk sebagai pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB), berkuat kuasa serta-merta.
Difahamkan keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat tergempar yang bermula sejak jam 9 pagi tadi di Ibu Pejabat MARA, di Kuala Lumpur.
Menurut laporan BH Online, mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob.
Ismail Sabri berkata, beliau akan mendapatkan pandangan daripada penasihat undang-undang mengenai perkara itu.
"Saya dimaklumkan tentang mesyuarat, tetapi tidak tahu apa agendanya," katanya.

NAJIB TAKUT KEPADA PRESIDEN PARIA AS TRUMP RAKAN IKRABNYA

Perdana Menteri Datuk Seri Najib sekarang berada dalam keadaan tercabar dalam pendirian mempromokan Malaysia sebagai sebuah negara Islam anti pelampau yang berpegang kepada dasar kesederhanaan.
Beliau menginisiatifkan penubuhan The Global Movement of Moderates Foundation yang sekarang ketua eksekutifnya adalah bekas pemimpin besar Pas Datuk Nasaruddin Mat Isa.
Walaupun Presiden Baru AS Donald Trump telah mengisytiharkan dasar extremisme Amerika dan menjalankan tindakan keras dan kejam kepada beberapa negara Islam yang melibatkan orang Islam yang tidak berdosa tetapi Najib menunjukkan sikap kesederhanaan Islam kerana Trump adalah kawan golfnya dan kerana masalah peribadinya menakutkannya terhadap tindak balas dari Trump.
Sikap ini tidak sahaja melibatkan Imej UMNO tetapi turut menekan PAS setelah berkonspirasi dengan UMNO.
Apakah wajar sikap pelampau Presiden baru Amerika Syarikat ini dilayan dengan dasar sederhana Islam?
Yang menjadi mangsa utama ialah orang Islam yang tidak berdosa dari beberapa buah negara Islam yang dihitamkan oleh Presiden Paria Amerika Syarikat ini.
Dibakar oleh dasar paria ini, telah bangun golongan rakyat yang anti Islam yang membakar sebuah masjid orang Islam yang telah sekian lama hidup berbaik- baik dengan orang bukan Islam di Quebec.
Tindakan ini bukan sahaja menimbulkan kemarahan di kalangan orang Islam tetapi juga orang Yahudi setempat. Dibimbangi akan merebak ke Amerika Syarikat.Yang tidak marah hanya Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib kerana berpegang teguh kepada dasar toleransi atas kepentingan diri.
Kita masih ingat begitu ghairah Najib hendak menunjukkan kepada bekas Presiden AS Obama dan juga kepada dunia tentang sikap moderartion of Islam Malaysia tetapi sekarang beliau terpaksa berkawan dengan extremist yang menjadi Presiden Amerika.
Apakah pandangan dunia apabila beliau langsung tidak bersuara walaupun sekadar menyatakan kebimbangan apabila Trump memijak dasar sederhananya?
Perubahan sikap AS ke arah xenophobia akan mencalar imejnya sebagai kawan dunia dengan dasar kemanusiaan dan perlindungan keselamatannya kepada terlihat sebagai memusuhi dunia.
Kita juga tidak mendengar sepatah kata pun dari Ketua Eksekutif The Global Movement of Moderation Foundation Datuk Nasaruddin Mat Isa yang berasal dari Pas.
Begitu hebat Najib hendak menjadi juara penentang kekejaman terhadap orang Rohingya sehingga Perdana Menteri menjadi penunjuk perasaan (sebenarnya tidak disokong oleh Negara-negara Asean lain dengan sepenuh hati malah menimbulkan kemarahan Indonesia kerana Malaysia cuba memperkecilkannya) tetapi apabila kawan baiknya Trump menggunakan kuasa besarnya untuk melakukan tindakan tidak berperi kemanusiaan terhadap orang Islam maka terkelu lidah Datuk Seri Najib.

Walau dihina, PPBM tetap bertemu PAS Khamis ini

Ahli Majlis Tertinggi PPBM berkata parti itu cukup matang untuk beri peluang perdamaian dalam kalangan pembangkang.
tariq-ismail-pas
PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan tetap bertemu PAS pada Khamis ini walaupun akar umbi parti itu marah kerana PAS menghina Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Tariq Ismail.
Ahli Majlis Tertinggi PPBM itu berkata jika rundingan itu gagal, ia angkara PAS dan bukan PPBM atau Pakatan Harapan (PH).
“Kami meluat dan marah tetapi berdiam diri dan memberi peluang kepada rundingan yang sedang berjalan dengan PAS, tetapi ia tidak bermakna kita tidak menghormati pengerusi parti kita.
“Ia hanya bermakna kita cukup matang untuk memberi peluang perdamaian dalam pakatan pembangkang.
“Kita tidak memburuk-burukkan mereka atau melepaskan tembakan,” katanya kepada FMT.
Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim sebelum ini mengkritik PPBM atas kesediaan mereka bekerjasama dengan PAS meskipun parti Islam itu menghina Dr Mahathir.
Zaid berkata PAS membayangkan bekas perdana menteri itu sebagai seorang yang tidak berguna malah memberitahu beliau supaya bertaubat dan tinggalkan DAP.
PAS dan DAP memutuskan hubungan akibat perbalahan mengenai hudud. PAS berikrar tidak akan bekerjasama dengan DAP dan parti serpihan, Amanah.
PPBM dan PAS akan bertemu pada Khamis ini untuk membincangkan kerjasama antara kedua-dua parti pada pilihan raya umum akan datang.
Tariq berkata partinya mahu berlaku adil dengan mendengar syarat PAS kerana PPBM tidak mahu membuli parti lain dengan menerima syarat mereka.
Menjawab kenyataan Zaid mengenai PPBM mahu pertandingan 1 lawan 1 menentang BN di kerusi mereka, Tariq berkata situasi seperti itu sesuatu yang ideal.
Ini kerana katanya, BN pasti menang dalam pertandingan 3 penjuru.
“Walaupun BN hanya menang 40% undi di satu-satu kawasan, mereka tetap menang jika PAS raih 30% dan PH atau PPBM dapat 30%.
“BN tahu mereka memiliki sekurang-kurangnya 40% undi selamat di setiap kawasan kerana jumlah ahli mereka,” katanya.
Zaid dalam catatan blognya meramalkan PPBM tidak akan dapat memberi jaminan PAS tidak akan meletakkan calon melawan Amanah, DAP dan PKR pada PRU nanti.
“Zaid betul jika merasakan begitu, tetapi kita berusaha membentuk Barisan Rakyat yang memerlukan disiplin dalam kalangan parti komponen,” kata Tariq.

PBB bidas Saudi, dakwa pegawai Malaysia turut bantu operasi di Yaman

PBB mendapati hampir 300 orang awam termasuk 100 wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam operasi ketenteraan Arab Saudi di Yaman pada 2016.
united-nation-yemen-attack
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pegawai Malaysia turut terlibat membantu operasi ketenteraan Arab Saudi di Yaman, selepas laporan terkini badan dunia itu mengutuk serangan ke atas Yaman sambil menyifatkannya jenayah perang.
Ia memberi amaran kepada negara lain yang membantu Riyadh, selepas penyiasatannya mendapati kebanyakan sasaran serangan di Yaman antara Mac dan Oktober tahun lalu adalah kawasan awam, melibatkan kematian 292 orang awam termasuk 100 wanita dan kanak-kanak.
“Semua negara dalam gabungan itu dan sekutunya mempunyai tanggungjawab mengambil langkah perlu memastikan undang-undang kemanusian antarabangsa dihormati gabungan itu,” kata laporan 63 muka surat itu dipetik AFP hari ini.
Sejak 2 tahun lalu, Arab Saudi mengetuai gabungan 9 negara Arab melancarkan serangan udara bagi membantu kerajaan Yaman melawan pemberontak puak Houthi dan pihak yang setia kepada bekas presiden Ali Abdullah Saleh.
Menurut laporan PBB itu, selain 9 negara Arab iaitu Mesir, Maghribi, Jordan, Sudan, UAE, Kuwait, Qatar dan Bahrain, operasi ketentaraan Arab Saudi itu turut dibantu perisikan Amerika Syarikat, dan disokong pegawai dari Britan, Perancis dan Malaysia.
Puak Houthi merupakan penganut Islam Syiah Zaidi, aliran yang dianuti hampir separuh penduduk Yaman. Kerjasama puak itu dengan Ali dikatakan menambahkan sokongan menggulingkan presiden yang disokong Arab Saudi, Abdrabbuh Mansour Hadi.

DAP, PKR bersalah pecah belah PAKATAN sembang PAS

Lim Kit Siang menimbulkan lagi fitnah terhadap presiden PAS kononnya beliau tidak mengikut prinsip konsensus kerana tidak bersetuju dengan pendirian DAP serta PKR.
Bagi Lim - dan orang yang sama waktu dengannya - tidak bersetuju dengan majoriti, maka ia bererti tidak konsesus.
Dia keliru antara prinsip majoriti dan prinsip konsensus.
Konsensus ialah persetujuan sebulat suara. Semua pihak perlu bersetuju, tidak ada satu pun yang tidak bersetuju, barulah dinamakan keputusan secara konsensus.
Majoriti ialah kaedah melibatkan keputusan yang dipersetujui majoriti ahli diterima pakai. Minoriti pula mesti patuh sebagai keputusan kolektif. Tidak timbul soal ia bukan keputusan mereka (minoriti). Semua kena menerima.
Pakatan Rakyat (PAKATAN) memilih kaedah konsensus, bukan kaedah majoriti.
Maksudnya, hanya agenda yang dipersetujui secara konsensus boleh dilaksanakan sebagai agenda PAKATAN.
Jika ada mana-mana ahli tiga parti dalam PAKATAN tidak bersetuju - walaupun yang lain bersetuju - maka ia tidak konsensus. Justeru, tidak boleh menjadi agenda bersama PAKATAN.
Konsensus tidak menghalang mana-mana pihak untuk berlainan pandangan. Konsensus juga tidak memaksa mana-mana pihak mesti bersetuju dengan pandangan majoriti.
Apabila presiden PAS menentang usaha menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor melalui tuduhan tanpa bukti, bukan bermakna beliau menentang prinsip PAKATAN. (Menariknya, akhirnya mahkamah membuktikan tuduhan tersebut semuanya palsu dan fitnah).
Apabila PAS tidak bersetuju dengan satu nama saja sebagai calon menteri besar Selangor oleh PKR dan DAP, itu juga bukan menentang konsensus.
Sudah terang lagi bersuluh
Itu adalah hak ahli dalam prinsip konsensus. Tidak ada paksaan untuk mengikuti keputusan majoriti. Akhirnya DAP dan PKR terpaksa memohon ampun kepada Sultan Selangor kerana mengingkari arahan baginda untuk menghantar sekurang-kurangnya dua nama, bukan hanya satu nama.
Kedua-dua kes tersebut akhirnya membuktikan sikap Tuan Guru Presiden PAS adalah tepat. Akhirnya terbukti DAP dan PKR gopoh dan cuai mengambil tindakan mereka sehingga terpaksa mengakui kesilapan dan memohon maaf.
Lim tidak memahami perbezaan antara konsensus dengan majoriti, atau sengaja cuba menegakkan benang basah? Mencipta alasan karut kerana marah beliau kepada presiden PAS?
Lim juga sengaja memejam mata terhadap satu lagi prinsip PAKATAN iaitu "setuju untuk tidak bersetuju" yang dicanang beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke hulu ke hilir suatu waktu dahulu.
Jelas, sudah terang lagi bersuluh, dalam PAKATAN, mana-mana parti daripada tiga parti tersebut boleh berbeza pandangan. Apabila ada perbezaan pandangan, maka konsensus tidak dicapai dan tidak boleh dijadikan agenda bersama PAKATAN.

Skandal MARA: Annuar digantung tugas

Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini menggantung tugas pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa, berkuat kuasa serta-merta.
Turut digantung, jawatan Annuar sebagai pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB).
Dengan itu, semua tugas Annuar di agensi berkenaan kini dipangku Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob, lapor BH Online.
Difahamkan keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat tergempar yang bermula sejak jam 9 pagi tadi di Ibu Pejabat MARA, di Kuala Lumpur.
Menurut laporan sama, mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Yusof dan Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin.
Yusof berkata, Annuar sudah dimaklumkan mengenai penggantungan tugasnya dan beliau akur dengan keputusan itu.

ELOK BENAR SURUHANJAYA DIRAJA DITUBUH MENYIASAT KERUGIAN AS$10 BILION FOREX, TAPI....

Kecoh benar laskar maya 6.6 peratus dalam sehari dua ini menjaja cerita mengenai kerugian dalam urusniaga forex sebagaimana yang ditimbulkan kembali oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid.

Tanpa menilai bahawa Abdul Murad sendiri sebenarnya tiada kredibiliti kerana pernah didenda RM500 ribu atau penjara enam bulan atas kesalahan gagal mengisytiharkan pemilikan saham dan 51 hartanah, laskar maya atau cybertrooper 6.6 peratus, senada dengan Abdul Murad yang mengatakan penyiasatan tidak pernah dijalankan terhadap kerugian AS$10 bilion itu, turut sama mendesak perlunya siasatan dijalankan dengan segera.

Dalam banyak-banyak desakan itu terpacul pula cadangan agar sebuah suruhanjaya diraja ditubuhakan untuk menyiasatnya.

Kata mereka, hanya dengan penubuhan suruhanjaya diraja dapat menentukan siapa yang bertanggungjawab terhadap kerugian tersebut. 

Kerugian sebanyak AS$10 bilion itu, tambah mereka, mesti diketahui punca dan siapa yang bersalah kerana dengan wang sebanyak itu berapa banyak rumah, sekolah, masjid, tajaan pelajaran dan sebagainya mampu mendapat manfaat daripadanya.

Walaupun difahami bahawa sasaran sebenarnya yang mahu ditembak oleh laskar maya 6.6 peratus dalam isu kerugian forex itu ialah Tun Mahathir Mohamad, namun ia sebenarnya belum tentu akan mengena. 

Ini kerana ketika itu Menteri Kewangan ialah Anwar Ibrahim, manakala orang yang bertanggungjawab menjalankan urusniaga forex itu difahamkan ialah Nor Mohamed Yakcob, yang kemudian dilantik menjadi Menteri Kewangan Kedua di era Tun Abdullah Badawi. Sekarang pula Nor Mohamed Yakcob ialah Timbalan Pengerusi Khazanah, badan pelaburan utama kerajaan, manakala Pengerusi Khazanah adalah Najib sendiri.

Tun Mahathir cuba dipersalahkan hanya kerana ketika itu beliau adalah Perdana Menteri. Jika Tun Mahathir sekarang ini tidak berbalah dengan Najib, pasti kes kerugian itu tidak diungkit dan Abdul Murad pula tidak akan dipedulikan sama-sekali untuk ditemubual oleh mana-mana media.

Penarikan Saudi Aramco tak jejas projek Rapid kata Menteri Umno

Tidak ada kesan daripada penarikan syarikat Saudi Arabian Oil Co (Saudi Aramco) daripada projek kerjasama dengan Petronas bernilai AS$27 bilion di Pengerang, Johor.
Menteri Penerangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata hal itu kerana Petronas memang membiayai sendiri projek Penapisan dan Pembangunan Petrokimia Bersepadu (Rapid) sejak awal.
"Aliran tunai untuk dana projek ini sehingga siap sentiasa berdasarkan hanya kepada kemampuan Petronas sendiri," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Minggu lalu dilaporkan syarikat Saudi Aramco menangguhkan rancangannya menjalin kerjasama dengan Petronas.
Khamis lalu akhbar The Wall Street Journal yang memetik sumber berkata, Saudi Aramco berpendapan projek berkenaan tidak akan menjana pulangan mencukupi untuk syarikat terbabit.
Bagaimanapun sehari kemudian Reuters melaporkan Petronas akan meneruskan projek Rapid itu dengan sasaran memulakan operasi pada 2019.
Menurut Johari, rancangan pembabitan Saudi Aramco untuk projek Rapid itu hanyalah suatu pililhan.
"Disebabkan Petronas tidak mencapai persetujuan pada sebahagian terma, justeru kedua-dua pihak memutuskan menamatkan rundingan," katanya.

PECAT PEGUAM NEGARA, TRUMP BELAJAR DENGAN SIAPA?

Antara yang dilaksanakan oleh Presiden baru AS, Donald Trump di awal kemasukannya ke Rumah Putih ialah mengeluarkan perintah sekatan kepada pendatang muslim daripada tujuh negara untuk memasuki negara itu.

Negara yang terbabit ialah Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.
Bagaimanapun perintah larangan itu dibantah serta enggan didukung oleh Pemangku Peguam Negara, Sally Yates atas alasan peranannya ialah memastikan pendirian AS di mahkamah selari dengan tanggungjawab untuk "menegakkan keadilan dan mempertahankan apa yang benar".

Sebagai tindak balas, Donald Trump dilaporkan telah memecat Sally Yates kerana tidak mempertahankan perintah eksekutifnya itu.

Sally Yates telah mengkhianati Jabatan Kehakiman dengan keengganan menguatkuasakan arahan perundangan yang bertujuan melindungi rakyat AS, demikian kata kenyataan yang dikeluarkan Rumah Putih.

Peguam Negara AS dipecat, sama macam Peguam Negara Malaysia sebelum ini.
Adakah Trump mempelajarinya daripada apa yang pernah berlaku di negara kita?

Bila agaknya Presiden AS nak main golf dengan Perdana Menteri Malaysia?

Pas-PPBM: Umno benarkan musuh kerjasama dengan rakan 'ta'awun?


Mahfuz Omar
Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedang mencari ruang membentuk kerjasama tetapi dalam masa yang sama parti Islam itu dan Umno sudah pun mesra menjalin hubungan 'kerjasama' dalam istilah 'ta'awun', kata Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.
Beliau berkata, walaupun hubungan kerjasama Pas dan Umno tidak dinamakan 'kerjasama politik' secara terang-terangan tetapi Umno dan Pas begitu selesa dengan pendekatan 'ta'awun'.
Menurut beliau yang masih ahli Pas, sudah tentu kedua-dua parti mahukan pulangan keuntungan politik (political mileage) daripada pendekatan ta'awun tersebut.
"Umno sudah pasti berpuas hati apabila Pas bertegas dan istiqamah untuk tidak menerima DAP dan Amanah serta tidak menyertai Pakatan Harapan.
"Persoalannya adakah Umno akan membiarkan rakan ta'awunnya iaitu Pas menjalinkan kerjasama politik dengan PPBM yang menjadi amcaman pada Umno untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi tujuan mengalahkan Umno-BN?" soalnya dalam kenyataan hari ini.
Pas dan PPBM dilaporkan akan mengadakan pertemuan pada 2 Februari ini bagi memutuskan sama ada Pas akan menjadi sebahagian daripada blok pembangkang atau sebaliknya.
Bagaimanapun menurut Mahfuz pertemuan itu diawalkan kepada 1 Februari ini.
Mahfuz juga berkata, rakyat sedang memerhati sama ada Umno akan menghalang kerjasama rakan ta'awunnya ataupun Umno akan menjadikan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai beban yang akan dipikul Pas dari kerjasama ini untuk memaksa Pas menolak kerjasama ini.
"Apakah 1 Februari 2017 nanti akan menyaksikan tandatangan persefahaman dokumen kerjasama Pas dan PPBM beserta dengan persetujuan pengagihan kerusi yang bakal ditandingi pada PRU14 nanti?" soalnya.

Masalah negara bukan kerana DAP tetapi angkara Umno-BN


Pemuda Amanah Negeri Johor menyifatkan sikap konfrontasi Pas tidak menggambarkan keindahan Islam apabila memainkan sentimen DAP memerangi Islam yang sebelum ini menjadi alat Umno-BN.
Ketuanya, Taqiuddin Che Man berkata, seluruh rakyat tidak harus hilang tumpuan memandangkan kepincangan urus tadbir negara berpunca daripada pemimpin Umno bukan disebabkan DAP.
Taqiuddin Cheman"Hari ini yang menjadi masalah negara bukan DAP tetapi kebejatan pimpinan Umno dalam menguruskan harta negara. Fokus kita dan rakyat sewajarnya diberikan kepada menurunkan Umno dan mengembalikan kemuliaan negara melalui kepimpinan yang amanah, adil dan kompeten," tegasnya.
Mengulas sikap semasa politik Pas, beliau berkata, parti yang diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu gagal mempraktikkan akhlak Islam seperti apabila mengutuk DAP kononnya memusuhiIslam dan pada masa sama memperlekeh Amanah.
"Saban hari, kita lihat Pas menghentam DAP dengan melaungkan DAP anti-Islam walaupun tiada bukti yang kukuh. Bahkan ada beberapa pimpinan tidak malu untuk melempar fitnah menuduh DAP menghalang azan di Pulau Pinang yang akhirnya terbukti fitnah.
"Fiil Pas yang memberi label-label jahat terhadap Amanah juga memberi gambaran bahawa parti ini gagal mengamalkan akhlak Islam yang dilaung-laungkan," bidas Taqiuddin dalam satu kenyataan.
Sepatutnya, tegas beliau, Pas sebagai parti yang membawa agenda Islam menghulur tangan damai dan membina permuafakatan dengan semua pihak yang mempunyai aspirasi sama iaitu menolak rasuah dan kleptokrasi serta membina perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Sikap Pas yang mencipta musuh ini akhirnya memberi tanggapan negatif dan busuk tentang Islam kepada masyarakat awam terutamanya bukan Islam," tambahnya lagi.

Najib mesti jelaskan mengapa Saudi Aramco tarik diri dari projek Pengerang


Salahuddin AyubSalahuddin Ayub
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan punca pembatalan perjanjian kerjasama antara Saudi Arabian Oil Co (Saudi Aramco) dan Petronas bernilai AS$27 bilion di Pengerang, Johor.
“Kita lihat seperti satu keputusan yang dilakukan secara tiba-tiba (oleh Saudi Aramco).
“Isu utamanya adalah kenapa?” katanya, memetik laporan Malaysiakini.
Minggu lalu, media melaporkan syarikat minyak dan gas gergasi Arab Saudi itu merancang untuk menangguhkan kerjasama dengan Petronas, sekali gus menimbulkan tanda tanya tentang masa depan projek berkenaan.
Perancangan Saudi Aramco itu diketahui ketika Petronas sedang bergelut dengan kejatuhan harga minyak dunia.
Bagaimanapun Reuters pada Jumaat lalu melaporkan, Petronas akan meneruskan projek itu demi memastikan operasi Rapid bermula pada 2019, walaupun tanpa penyertaan Saudi Aramco.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata Najib yang juga menteri kewangan bertanggungjawab untuk menjelaskan kenapa pelaburan di projek projek kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) itu ditarik balik.
“Kita mungkin boleh mengaitkan dengan kehilangan keyakinan oleh syarikat asing untuk melabur di Malaysia, sebagai kesan daripada skandal 1MDB yang menjadi tumpuan media-media asing,” katanya.

DAPSY anjur protes di kedutaan Amerika, Perdana Menteri masih belum bersuara?

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Sudah lebih dua hari berlalu setelah Donald Trump mengeluarkan arahan eksekutif menghalang kemasukan pelarian ke Amerika, selain mengenakan larangan ketat ke atas warga tujuh negara Islam untuk tempoh tiga bulan mendatang.
Namun apa yang mengecewakan ialah sikap membisu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke atas arahan yang begitu kejam oleh pentadbiran presiden Amerika yang baru itu.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tindakan Najib untuk menjauhkan diri daripada gelombang kemarahan global terhadap dasar baru Trump itu sebagai sangat membimbangkan.
Menurut Kit Siang, Najib begitu bersemangat mengkritik pentadbiran Aung San Suu Kyi dalam isu Rohingnya, namun kelihatan begitu ‘jinak’ di saat dunia Islam begitu berang dengan penindasan Trump ke atas para pelarian dan warga Iran, Iraq, Syria, Sudan, Somalia, Libya dan Yaman.
“PAS juga nampaknya langsung membisu terhadap arahan Trump yang begitu kejam.
“Ini langsung berlainan dengan sikap pimpinan PAS yang selalunya paling awal menyanggah dasar Trump itu,” ujar Kit Siang, menyifatkan sikap membisu PAS sebagai isyarat kerjasama antara Perdana Menteri dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Kedua-dua Najib Razak dan Hadi Awang sebelum ini telah berganding bahu duduk sepentas di acara Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya, Disember tahun lalu.
Kedua-duanya turut dijangka muncul bersama sekali lagi Jumaat nanti bagi melancarkan flotila bantuan kemanusiaan Rohingya.
“Alangkah baiknya jika program hari Jumaat nanti turut disertai protes terhadap arahan eksekutif Trump,” tambah Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.

Nasrudin Tantawi mahu Haji Hadi kalah saman seperti dia juga?

PETALING JAYA, 30 JAN: Pertimbangan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ekoran gambaran anti-Islam terhadapnya mendapat respon segera Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan.
Nasrudin seperti dilapor media berkata, jutaan umat Islam dan masyarakat bukan Islam negara ini akan bangkit membela presidennya jika disaman DAP.
Kenyataan Nasrudin itu bagaimanapun mendapat sindiran Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua.
“Dulu Nasrudin cabar Lim Guan Eng saman beliau. Nasrudin kena saman dan terpaksa tarik balik fitnah yang diakui tak berasas, dan bayar kos kepada Lim Guan Eng.
“Kini, Nasrudin macam tak dapat pengajaran. Minta pula Lim Kit Siang saman presiden PAS.
“Sendiri kalah tak cukup, nak sangat presiden beliau bayar gantirugi juga?” soalnya dalam satu kemaskini Facebook malam tadi.
Dalam perkara berkaitan, serangan Hadi terhadap DAP dan kerajaan Pulau Pinang turut dibidas ramai pihak antaranya Exco Hal Ehwal Islam Pulau Pinang Datuk Abdul Malik Kassim.
Menurut Abdul Malik, sejak kerajaan Pakatan mengambil alih pentadbiran negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) pada Mac 2008, syiar Islam terus berkembang subur jauh melebihi kerajaan terdahulu.
“Sehinggakan pimpinan Gerakan pernah mengecam secara terbuka pentadbiran kerajaan negeri, khususnya DAP kerana menyalurkan bajet agama yang besar berbanding zaman BN,” katanya.

Penjaja Melayu, bukan Melayu terima layanan berbeza, dakwa PAS Pulau Pinang

Ketua PAS negeri berkata sementara peniaga bukan Melayu di kawasan bandar dibenarkan, penjaja Melayu di luar bandar diambil tindakan.
fauzi-penang-1
BUTTERWORTH: PAS mempertahankan kenyataan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempertikaikan dasar Pulau Pinang mengenai Islam dan Melayu, dan berkata kerajaan pimpinan DAP itu juga mengamalkan 2 undang-undang berbeza ke atas peniaga Melayu dan bukan Melayu.
“Didapati wujud tindakan yang berbeza terhadap penjaja yang melanggar peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daripada kalangan Melayu dan bukan Melayu,” kata Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof di Markaz Tarbiah PAS di Pongsu Seribu, Kepala Batas semalam.
“Terdapat sebilangan penjaja Melayu yang dirobohkan gerai mereka berbanding penjaja bukan Melayu yang tidak dikenakan tindakan perobohan,” tambahnya.
Beliau memberi contoh penjaja Melayu di kawasan luar bandar seperti Teluk Bahang dan Sungai Tiram yang dirobohkan gerai mereka, tetapi penjaja bukan Melayu di kawasan bandar seperti di sekitar bangunan pentadbiran kerajaan Komtar tidak diambil tindakan sama.
“Bahkan, difahamkan terdapat di kalangan penjaja Melayu yang dirobohkan gerai tersebut adalah merupakan warga orang kelainan upaya (OKU) yang juga penerima pinjaman Tekun,” katanya merujuk skim bantuan perniagaan Bumiputera tajaan kerajaan pusat.
Hadi pada Jumaat dilaporkan berkata DAP menunjukkan “belang sebenar” kepada umat Islam di Pulau Pinang. Ia disangkal Exco Hal Ehwal Islam negeri, Abdul Malik Kassim.
PAS dan DAP memutuskan kerjasama mereka selepas berselisih faham mengenai langkah PAS meneruskan usaha melaksanakan undang-undang jenayah syariah. Ia membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat, yang digantikan dengan Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah, parti diterajui beberapa bekas pimpinan tertinggi PAS.
Susulan itu, kerajaan Pulau Pinang mengarahkan semua ahli majlis PAS dalam pihak berkuasa tempatan meletak jawatan.
Pada Jun 2015, 2 ahli majlis mewakili PAS dipecat daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Majis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), manakala 2 lain meletakkan jawatan.

Azmin puji kerajaan DAP Pulau Pinang


Datuk Seri Azmin Ali berbual mesra dengan Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin (tengah) dan Lim Guan Eng sambil menikmati limau mandarin di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Pakatan Harapan Perak di Bandar Taiping, semalamDatuk Seri Azmin Ali berbual mesra dengan Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin (tengah) dan Lim Guan Eng sambil menikmati limau mandarin di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Pakatan Harapan Perak di Bandar Taiping, semalam
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memuji kerajaan DAP Pulau Pinang yang disifatkan sebagai sebuah kerajaan yang sangat menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri Lim Guan Eng yang menguruskan ekonomi dan kewangan dengan cekap wajar dijadikan contoh di peringkat Putrajaya.
"Kita harus berasa gembira kerana negeri Pulau Pinang yang dipimpin Lim Guan Eng telah menjadi negeri contoh yang akan kita laksanakan di peringkat Putrajaya.
"Beliau telah meletakkan asas yang cukup kuat, sebuah negeri yang cukup demokratik dengan menguruskan kewangan dan ekonomi dengan telus dan bertanggungjawab.
"Rakyat Pulau Pinang bukan sahaja orang Cina tetapi orang Melayu, India dan kaum-kaum lain berasa amat selesa di bawah pimpinan Lim Guan Eng," katanya.
Azmin berkata demikian ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Pakatan Harapan Perak di Dewan Persatuan Kwang Tung, Taiping semalam.
Majlis anjuran Pakatan Harapan Taiping itu turut dihadiri Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty dan Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi.
Menteri Besar Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali menjadi tetamu khas di Sambutan Tahun Baru Cina Pakatan Harapan PerakMenteri Besar Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali menjadi tetamu khas di Sambutan Tahun Baru Cina Pakatan Harapan Perak
Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, negeri itu di bawah Pakatan Harapan turut menjadikan Pulau Pinang sebagai contoh dengan mengembalikan kekayaan negeri kepada rakyat.
"Kita juga mengambil contoh yang sama. Selangor juga sebuah negeri yang maju tetapi kemajuan ini tidak ada gunanya kalau rakyat tdiak mendapat manfaat.
"Ekonomi di Selangor sekarang berkembang maju. Selangor merupakan negeri yang terbesar menyumbang kepada KDNK negara. Kita menyumbang 25 peratus kepada ekonomi negara.
"Selangor dan Pulau Pinang kita boleh gunakan kekayaan ini untuk serah balik kepada rakyat. Hanya beberapa hari yang lepas Selangor melancarkan skim perlindungan perubatan dan kesihatan atau skim peduli sihat untuk rakyat Selangor.
"1,000 klinik swasta yang berdaftar di Selangor menyediakan khidmat kesihatan kepada rakyat Selangor yang mendaftar untuk skim ini," katanya yang juga Ahli parlimen Gombak.

DAP, PKR tak peduli pembangunan insan, kata PAS

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang juga mendakwa kerajaan negeri mempromosikan 'Islam liberal'.
fauzi-zairil-1
BUTTERWORTH: PAS berkata DAP dan PKR tidak memberi tumpuan terhadap keperluan pembangunan rohani umat Islam dan hanya menekankan aspek kebendaan bagi memancing undi.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof berkata dasar kedua-dua parti di negeri itu tidak akan dapat melahirkan rakyat bertamadun.
“Usaha yang dilakukan oleh DAP dan PKR untuk membela Melayu dan Islam di Pulau Pinang didapati masih berada di dalam kerangka pembangunan konvensional yang hanya memfokuskan aspek material semata-mata dan mengabaikan aspek pembinaan insan, spiritual dan ruhiyah.
“Pembelaan Melayu dan Islam yang hanya difokuskan kepada aspek material ini sama seperti kaedah yang digunakan oleh BN, bersifat jangka pendek untuk menang pilihan raya dan kekal berkuasa, namun tidak akan dapat melahirkan rakyat dan negeri yang bertamadun,” katanya di Markaz Tarbiah PAS di Pongsu Seribu, Kepala Batas semalam.
Fauzi turut mendakwa badan pemikir milik kerajaan negeri, Institut Pulau Pinang mempromosikan “Islam liberal” yang bercanggah dengan Sunnah Wal Jamaah, dan ini dapat dilihat menerusi penulisan Pengarah Eksekutifnya Zairil Khir Johari.
“Beliau didapati memperkecilkan institusi mufti dan jawatankuasa fatwa negeri apabila tidak hadir memberi penjelasan berhubung kenyataan beliau, walaupun dipanggil beberapa kali oleh mufti,” katanya.
Dalam reaksinya, Zairil, yang juga ahli Parlimen Bukit Bendera, mempertahankan pandangannya, dan berkata ia sebahagian daripada perbicangan dan perdebaatan.
“Saya memetik hujah cendekiawan Islam dan terpulang pada pembaca untuk percaya atau tidak. Bahkan, mereka boleh menulis dan menyangkal hujah saya,” katanya yang sebelum ini dipanggil jawatankuasa fatwa negeri atas artikelnya dalam penerbitan kerajaan negeri, Buletin Mutiara.

Indonesia bantah AS, Najib masih diam?

Tujuh negara dihuni majoriti penganut Islam disenarai hitam oleh TrumpTujuh negara dihuni majoriti penganut Islam disenarai hitam oleh Trump
Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengharamkan kemasukan rakyat dari tujuh negara majoriti Muslim dan pelarian ke negara itu telah mengundang bantahan Indonesia.
Negara yang memiliki penduduk Islam terbesar di dunia itu menyifatkan keputusan Presiden AS ke-45 itu sebagai “pemeriksaan ekstrem”.
Walaupun tidak termasuk daripada senarai terbabit, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi berkata, negaranya kesal dengan arahan Trump pada 27 Januari lalu iaitu seminggu selepas beliau mengambil alih jawatan Presiden.
Trump pada Jumaat lalu, menggantung program kemasukan pelarian ke AS selama empat bulan serta menyekat kemasukan pelawat dari Syria dan enam negara majoriti Islam lain buat sementara iaitu Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.
Menurut Trump, perintah yang berkuatkuasa serta-merta itu bagi memastikan pengganas tidak berada di negaranya sekaligus melindungi rakyat AS daripada serangan pengganas.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Zeid Ra’ad al Hussein melalui laman sosial Twitternya menganggap langkah Trump tersebut sebagai 'haram' serta membawa kemudaratan dan kesakitan kepada mereka terbabit.
Beliau dilapor berkata, sekatan 90 hari yang dikeluarkan Trump tidak menggunakan sumber yang betul dalam langkah memerangi jenayah keganasan bahkan diskriminasi atas kewarganegaraan semata-mata adalah dilarang sama sekali di bawah undang-undang hak asasi manusia.
Ekoran kemarahan larangan perjalanannya ke atas tujuh negara Islam itu juga hampir sejuta rakyat Britain menandatangani petisyen mendesak kerajaan supaya membatalkan kunjungan rasmi Trump ke negara itu termasuk mengadakan pertemuan dengan Ratu Elizabeth pada tahun ini.
Walau bagaimanapun, semakan Malaysia Dateline setakat pagi ini mendapati kerajaan Malaysia sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahupun Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan bantahan rasmi berhubung arahan Trump itu.
Dalam perkembangan berkaitan, DAP melalui kempen #NoMuslimBan akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan AS di Jalan Tun Razak di ibu negara pada Jumaat (3 Februari) ini selepas solat Jumaat.