Sabtu, 28 Januari 2017

AMANAH tunggu hasil rundingan PAS-PPBM

Kit Siang mahu saman Abdul Hadi

Donald Trump sekat pelarian, warga 7 negara Islam masuk AS

Donald Trump memberi alasan pentadbirannya memerlukan masa mewujudkan proses penapisan lebih ketat bagi pelarian, imigran dan pelancong.
trump-usAmerika Syarikat (AS) semalam menggantung kebenaran masuk warga dari 7 negara majoriti Muslim dan pelarian ke negara itu.
Menurut laporan Reuters hari ini, Presiden Donald Trump mengeluarkan arahan membekukan kemasukan pelarian selama 4 bulan dan warga Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman selama sekurang-kurangnya 90 hari.
Trump berkata, pentadbirannya memerlukan masa mewujudkan proses penapisan lebih ketat bagi pelarian, imigran dan pelancong.
“Saya sedang merangka kaedah pemeriksaan baru untuk menyekat pengganas Islam radikal daripada (masuk ke) AS. Saya tidak mahu mereka di sini.
“Kami hanya ingin memberi kebenaran kepada mereka yang menyokong negara dan mengasihi warga kita,” katanya.
Parti Demokrat mengecam langkah itu sebagai bertentangan dengan nilai AS dan akan menjejaskan reputasi negara yang sebelum ini mengalu-alukan imigran.
“Arahan eksekutif daripada president adalah lebih kepada xenofobia (takut atau benci kepada orang asing) ekstrem berbanding pemeriksaan ekstrem,” kata senator daripada parti itu Edward Markey.
Speaker Dewan Perwakilan Parti Republikan, Paul Ryan pula menyokongnya, walaupun pernah mengkritik kenyataan Trump yang ingin melarang kemasukan orang Islam ketika kempen pilihan raya tahun lalu.
“Langkah Presiden Trump adalah betul bagi memastikan kita melakukan apa yang termampu untuk mengenal pasti siapa sebenarnya yang memasuki negara kita,” katanya.
Sepanjang kempennya, Trump membawa slogan “America First” dan membangkitkan isu seperti pengganas “Islamic State” dan kebanjiran pelarian dari Timur Tengah ke Eropah.
Menurut laporan itu lagi, arahan berkenaan bertujuan mengutamakan pelarian yang melarikan diri daripada penindasan agama, dan Trump pernah berkata ia untuk membantu warga Syria beragama Kristian.
Ia berkuatkuasa serta-merta dan mencetuskan kekeliruan kepada warga 7 negara yang merancang ke AS, kata laporan itu lagi.

Skandal BMF: SPRM gesa BNM jalankan siasatan sendiri

SPRM menggesa BNM melancarkan siasatan dalaman dan melaporkannya jika menemui elemen rasuah.
sprm-bnmPETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menasihatkan Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan siasatan dalamannya sendiri berhubung kerugian yang dikatakan bernilai AS$10 bilion (kini bernilai RM44.3 bilion) dalam skandal tukaran wang asing pada 1990-an.
SPRM berkata ia hanya akan melancarkan siasatan terhadap dakwaan itu jika BNM mendapati sebarang unsur rasuah, dan melaporkan kepada SPRM, lapor New Straits Times Online hari ini.
“Jika mereka mendapati sebarang elemen rasuah, laporan itu hendaklah dikemukakan kepada SPRM dan kami akan membuka kertas siasatan,” kata Timbalan Ketua SPRM Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Azam Baki memberitahu portal berita itu.
Dakwaan dibuat bekas penolong gabenor BNM Datuk Abdul Murad Khalid datang berikutan pendedahan laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengenai skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF).
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata Kabinet akan menyiasat dakwaan itu dan menunggu penjelasan daripada bank pusat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil.

Dituduh anti-Islam, Kit Siang mahu saman Hadi

Ahli Parlimen Gelang Patah menafikan beliau anti-Islam dan sudah meminta peguamnya meneliti perkara itu.
limkitsiang-awanghadiGEORGE TOWN: Penasihat DAP Lim Kit Siang bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana didakwa memfitnahnya sebagai seorang yang anti-Islam.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata beliau meminta peguamnya meneliti perkara itu.
Lim berkata beliau bukanlah seorang yang anti-Islam.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang di Spice Arena, dekat sini, hari ini.
Mengulas mengenai pendirian teguh PAS yang tetap menolak untuk bekerjasama dengan DAP, Lim berkata ia adalah hak Hadi untuk menolak apa-apa kemungkinan bekerjasama dengan DAP.
Semalam Hadi dilaporkan berkata PAS mengulangi pendirian untuk tidak menerima pelawaan Lim untuk bekerjasama dengan DAP bagi memastikan kemenangan pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

'Merusuh dengan menyerang banyak bezanya'


Pemandu lori, Nasrul Faiz Zul Fahmi diserang empat lelaki selepas terlanggar sebuah kereta Mercedes-BenzPemandu lori, Nasrul Faiz Zul Fahmi diserang empat lelaki selepas terlanggar sebuah kereta Mercedes-Benz
Keputusan Mahkamah Majistret Ampang mensabitkan empat lelaki yang menyerang seorang pemandu lori, 14 Januari lalu atas tuduhan merusuh atau terlibat dalam rusuhan yang menyebabkan kecederaan dilihat mencetuskan pertikaian orang ramai.
Melalui media sosial, rata-rata netizen menganggap pertuduhan itu sebagai 'tidak kena' dengan nasib Nasrul Faiz Zul Fahmi, 25, yang cedera parah dibelasah di pos pengawal Kondominium Puncak Anthenaeum, Bukit Antarabangsa, Hulu Klang selepas lori dipandunya terlanggar Mercedes-Benz yang diparkir di situ.
Antaranya, pengguna Facebook Raja Zahar yang berkata, tidak timbul soal provokasi daripada pihak mangsa sebaliknya tindakan penyerang terbabit sudah jelas seperti dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum kemudiannya tular di media sosial.
"CCTV dah ada. Dah mula nampak macam ada yang tak kena. Peguam Negara, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tolong campur tangan," ujarnya.
Sementara itu, Low Kok Hua berpendapat sebarang pertuduhan perlu bersifat adil bukannya dipengaruhi status sosial individu.
"Mengapa bila hendak menuduh seseorang tu kena tengok pangkat dia? Mengapa tertuduh tidak didakwa menyerang? Kalau lori langgar kereta, sila buat laporan polis. Lepas tu 'claim' insurans, tidak payah pukul orang," katanya.
Nada simpati netizen terhadap mangsa yang mula memandu lori pada Mac tahun lalu bagi membantu ibu bapanya yang masih bekerja itu juga dikongsi bersama Borhan Din.
"Inilah nasib pemandu lori. Jika orang berada mungkin didakwa pelbagai, namun yang miskin pendakwaannya sekadar melepas batok di tangga sahaja. Inilah nasib rakyat Malaysia yang terus dihimpit," keluhnya.
Turut menarik perhatian netizen apabila salah seorang penyerang itu dilapor merupakan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) manakala tertuduh yang lain adalah ahli perniagaan dan individu bergelar Tengku.

Jangan habis madu sepah dibuang, pesan Zahid


Ahmad Zahid HamidiAhmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan pemimpin politik khususnya dari Umno supaya tidak mengamalkan sikap 'habis madu sepah dibuang'.
Beliau menegaskan seorang pemimpin perlu sentiasa menghargai jasa dan sumbangan anggota yang pernah menyokongnya dalam sesebuah organisasi walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan.
"Demi cinta dan sayang kepada parti, perlulah ada dasar kepedulian jangan sudah habis madu sepah dibuang. Siapa yang pernah berada di kemuncak kena ingat kembali kehebatan pada dirinya.
"Jangan lupa kembali kepada akar umbi, kenang jasa mereka yang sokong kita dan yang penting junjung agama kita," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Veteran Umno Bahagian Bagan Datuk hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO menarik perhatian dengan berkata bahawa seorang pemimpin yang berjiwa besar tidak akan sesekali mengaibkan orang lain atau organisasi yang pernah diwakilinya.
Beliau memberikan contoh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak memberi sebarang kenyataan buruk berhubung dakwaan kerugian tukaran asing sebanyak US$10 bilion pada awal 1990-an dalam satu sidang media di ibu negara semalam.
"Saya duduk sebelah beliau...beliau tidak sebut nak burukkan sesiapa. Beliau (Najib) cuma kata kita memandang serius mengenai kenyataan itu dan minta Bank Negara Malaysia (BNM) buat laporan," katanya.
Bekas Penolong Gabenor BNM Datuk Abdul Murad Khalid dilaporkan berkata bank pusat itu mengalami kerugian tukaran asing US$10 bilion pada awal 1990-an.

Bersatu jawab Pas isu skandal babit Tun M


nurulislam-mahathir
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan tiada bukti jelas pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad terlibat dalam skandal BMF seperti mana didedahkan oleh agensi risikan Amerika Syarikat (AS).
Ketua Armadanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sekiranya diteliti pendedahan Agensi Perisikan Pusat (CIA) menerusi laporan bertajuk 'The Bank Bumiputra Scandal: More Trouble Ahead for Malaysia's Mahathir? secara sahih tidak menyabitkan mahupun menyatakan Mahathir terlibat dalam skandal tersebut.
"Frasa "circumstancial evidence suggests that the scandal extends to Mahathir's administration" (bukti yang mencukupi menunjukkan skandal meliputi pemerintahan Mahathir) di halaman tiga laporan tersebut dan "thus far no direct links have been established between Mahathir and the corruption at BMF" (sehingga kini masih belum ada kaitan antara Mahathir dengan korupsi di BMF) di halaman empat.
"Ini membuktikan bahawa tiada bukti jelas penglibatan Tun Mahathir Mohamad dan korupsi di BMF," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
"Tambahan pula, skandal tersebut berlaku di zaman Tun Hussein Onn, 1979.
Pada zaman Tun (Mahathir), Tun terpaksa menangani skandal BMF ini bersama sama dengan Tun Daim dengan menjualnya kepada Petronas bagi menyelesaikan masalah ini. Pada masa ini juga, segala siasatan dan dakwaan tidak di masuk campur oleh pihak pihak yang tertentu. Sisatan diselesaikan malah tidak dihalang mahupun diberhentikan seperti skandal 1MDB," jelas Syed Saddiq lagi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan agar satu kertas siasatan ke atas Mahathir dibuka berikutan pendedahan terbaharu oleh CIA melibatkan pelbagai skandal di bawah pentadbiran Mahathir.
Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, info badan antarabangsa itu tidak boleh dipandang ringan kerana ianya bukan sahaja cantuman daripada begitu banyak kerugian pada masa lalu semata-mata.
Oleh itu ujar, Nurul Islam,  Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti segera bertindak atas maklumat tersebut.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, isu BMF mempunyai jurang yang begitu banyak dengan skandal 1MDB.
"Skandal ini bermula pada tahun 1979-1983 di mana RM 2.3 billion diselewengkan pada masa Tengku Razeleigh Hamzah menjadi Menteri Kewangan (kini: MP Gua Musang), Tun Hussein Onn merupakan Perdana Menteri dan Tun Dr Mahathir sebagai Timbalan dan merangkap sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri," katanya.
"Mereka termasuklah bekas Pengarah Eksekutif BBMB, Datuk Hashim Samsudin, bekas Pengerusi BBMB Lorraine Esme Osman dan bekas pengarah gantian BBMB, Dr Rais Saniman," katanya.
Namun katanya, "skandal 1MDB baru-baru ini di mana lebih RM2.6 billion diselewengkan di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB di mana beliau mempunyai kuasa sepenuhnya terhadap 1MDB tidak didakwa malah siasatan dalam negara dihentikan. Kes ditutup."

DEMO RUU 355: NAK DIHALUSI APA LAGI?

Menepati seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa sebelum ini, mesyuarat MT UMNO semalam memang membincangkan mengenai penyertaan parti itu dalam perhimpunan Akta 355 anjuran Pas pada 18 Februari depan.

Namun, apa yang peliknya UMNO masih tidak dapat membuat keputusan sama ada akan menghadiri perhimpunan tersebut atau sebaliknya.

Kata Najib Razak, UMNO hanya akan membuat keputusan tentang perhimpunan Akta 355 anjuran Pas itu selepas memperhalusi aspek undang-undang berkaitan dengannya.
Sehubungan itu, tambah beliau, UMNO belum boleh lagi memutuskan sama ada akan menyertai atau tidak perhimpunan tersebut.

Saya akan buat ulasan nanti. Kita sedang halusi segala aspek Akta 355 itu, bagi masa sikitlah, ujar Najib lagi.

Apa yang Najib dan UMNO mahu kaji lagi Akta 355 itu dari segi undang-undang?

Kenapa pula baru sekarang mahu mengkajinya?

Mengapa kajian dari aspek undang-undang tidak dilakukan sebelum ini?

Bukankah UMNO dan kerajaan sudah memberi kebenaran atau laluan kepada Pas membawa usul itu dan turut bersetuju kemudiannya bahawa pembentangan seterusnya di Parlimen akan dilakukan oleh wakil kerajaan?

Malah Ahmad Maslan pernah menyebut, oleh kerana usul itu akan diambil alih oleh kerajaan, maka wajib semua Ahli Parlimen BN menyokongnya?

Jadi, mahu dikaji apa lagi?

Kalau usul sudah dipersetujui sehingga ke peringkat itu, kenapa mahu melihat aspek undang-undang terlebih dahulu sebelum memutuskan hadir atau tidak dalam perhimpunan berkaitan usul itu?

Rafizi: Kaji selidik sokongan Melayu terhadap Umno-BN jatuh mendadak

Ghairah dapat duit mudah punca belia terlibat rasuah, kata NGO

C4 berkata integriti perlu dijadikan aspek paling dalam budaya dan sosial bagi mencegah perbuatan rasuah.
cythiaPETALING JAYA: Memperoleh wang secara mudah dan keinginan mendaki tangga kerjaya dengan segera antara punca sesetengah belia terlibat rasuah, kata NGO anti-rasuah.
Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel berkata ini adalah satu trend membimbangkan yang perlu ditangani segera.
Ini kerana belia adalah pemimpin masa depan negara, katanya.
“Anak-anak muda perlu tahu tiada jalan pintas dalam kehidupan, dan integriti perlu dijadikan aspek penting dalam ruang budaya dan sosial kita.”
Kenyataan Gabriel kepada FMT ini susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lebih separuh daripada yang ditangkap kerana rasuah dalam tempoh 3 tahun lepas terdiri di kalangan mereka berumur bawah 40 tahun.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil kepada pemberita pada Khamis, belia hari ini mudah terbabit rasuah kerana “sentiasa mahu jalan mudah” untuk mencapai matlamat peribadi mereka.
Gabriel bersetuju tetapi berkata terdapat faktor lain yang perlu diberi perhatian juga.
Antaranya, tekanan daripada pihak atasan dan keinginan menyesuaikan diri dengan rakan yang juga terbabit rasuah.
“Ya, ia adalah budaya. Dan saya meletakkan tanggungjawab (untuk menangani masalah ini) kepada kepimpinan pada syarikat (terbabit),” katanya.
“Lebih penting, kekurangan kepimpinan politik yang baik membawa kepada ini. Ini mesti berubah serta merta.”
Gabriel kemudian mengesyorkan agar masalah itu ditangani di peringkat sekolah lagi, dengan memperkenalkan sukatan pelajaran anti-rasuah di peringkat pendidikan menengah dan pengajian tinggi.
Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan, bagaimanapun memberi pandangan berbeza.

DAP tiada peluang, Pas tutup pintu rundingan


MARANG - Pas menutup pintu rundingan dengan DAP terutama membabitkan perbincangan untuk bekerjasama dalam membentuk pakatan pembangkang baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat tidak berganjak dengan prinsip perjuangan parti itu iaitu berjuang dalam menegakkan sebuah negara sejahtera dan selamat berasaskan perlaksanaan syariat Islam.
“Pas tidak akan terima (DAP) kerana dia tidak menunjukkan bukti menerima (Pas)…masing-masing menentang negara Islam. Rang Undang-undang 355 pun dia tidak setuju, benda yang berkait dengan prinsip,” katanya di Rusila di sini, semalam.
Ahli Parlimen Marang itu turut menyifatkan DAP juga tidak menunjukkan warna sebenar kepada umat Islam di Pulau Pinang dan mendakwa DAP gagal menunjukkan sikap dan pendiriannya dalam menjaga kepentingan rakyat negeri itu.
Menurutnya, agenda Pas dan DAP juga berbeza kerana penubuhan parti Pas bukan semata-mata hanya mahu menang dalam pilihan raya tetapi juga ingin membawa perubahan kepada rakyat selaras dengan prinsip parti berkenaan.
“Pas tidak akan terima (DAP)… dia (DAP) tidak menunjukkan tanda yang positif, hanya kerana hendak menang pilihan raya. Kita bukan (sahaja) hendak menang pilihan raya tetapi kita (juga) mahu buat perubahan.
“Memang dia ada agenda dia, kita ada agenda kita… Kalau agenda itu (sudah) bercanggah macam mana,” katanya.

Skandal projek ikan: SPRM jangka lebih ramai disiasat

Lebih ramai individu berprofil tinggi mungkin dipanggil SPRM untuk diambil keterangan.
Simi-Abdul-ghani_sprm_600
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil 24 individu untuk disoal siasat berhubung projek penternakan ikan, dan berkata ia tidak akan berhenti di situ.
Ini susulan tangkapan seorang individu bergelar “Datuk” dan bekas timbalan pengarah Felda berhubung projek penternakan ikan sturgeon bernilai RM47.6 juta di Pahang.
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Simi Abdul Ghani, dalam satu laporan oleh Sinar Harian berkata, 24 individu dipanggil bagi direkodkan kenyataan, dan kemungkinan ramai lagi yang akan dipanggil kelak.
Dalam laporan sebelum ini oleh akhbar harian Melayu, SPRM berkata beberapa individu berprofil tinggi lain juga mungkin disiasat.
Antara yang ditahan ialah seorang bergelar “Datuk” berusia 57 tahun, bekas timbalan ketua pengarah berusia 53 tahun di Felda, bekas pegawai operasi projek itu, pegawai tadbir dan seorang pegawai Felda dari pejabat di luar negara.
Mereka didakwa menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi dengan meluluskan perjanjian tanpa kelulusan lembaga pengarah Felda.
Bernama awal minggu ini memetik sumber SPRM sebagai berkata lembaga Felda, pada mesyuarat Januari 2013, meminta salah seorang suspek mengemukakan laporan terperinci mengenai pelaburan dalam projek itu.

Gabungan lawan BN makin kukuh dengan rundingan


Setiap kawasan menerima bendera Amanah sebagai simbloik kepada pelancaran jentera Amanah negeri Setiap kawasan menerima bendera Amanah sebagai simbloik kepada pelancaran jentera Amanah negeri
Gabungan parti-parti yang akan menentang BN pada pilihan umum ke-14 (PRU14) akan memperkemas mekanisme bagi memastikan semua keputusan mendapat persetujuan semua pihak, kata ketua pengarah pilihan raya Amanah Nasional, Dr Hatta Ramli.
"Kita tidak mahu mengulangi kesilapan yang telah berlaku dalam pilihan raya lalu di mana ada pihak tertentu membuat keputusan sendiri di luar perundingan, " katanya ketika berucap di majlis pelancaran jentera pilihan raya Amanah Kelantan di Wisma Tok Guru malam tadi.
Pelik tapi benar katanya apabila ada yang meminta Tengku Razaleigh menjadi calon perdana menteri sedangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah diputuskan melalui persetujuan bersama.
"Pada hari penamaan calon pula ada parti yang meletakkan calon di kawasan yang telah diputuskan untuk parti lain," katanya.
Justeru menurut beliau rahsia kejayaan gabungan parti-parti pembangkang menghadapi BN dalam PRU yang lalu benar-benar atas kehendak rakyat.
"Ertinya tiada satu parti pembangkang pun yang boleh mendakwa bahawa partinya sahaja yang kuat.
"Platform yang menjadi jambatan kepada kekuatan rakyat ini jelas terjadi melalui gabungan ngo seperti Bersih," katanya.
Mengambil pengajaran dari peristiwa lalu, gabungan yang bakal menghadapi BN perlu merangka mekanisme baharu yang lebih sistematik supaya hasrat rakyat benar-benar tercapai.
"Sebelum satu kata putus mengenai sesuatu perkara kita sebagai pengamal demokrasi membenarkan semua pihak untuk memberi pendapat masing-masing.
"Ada yang mahu cadang nama perdana menteri atau mengaku kawasan tertentu milik mereka, namun setelah keputusan diambil semua pihak perlu mendokong pendirian bersama," katanya.
Dr Hatta pada majlis itu menyerahkan bendera kepada ketua jentera pilihanraya di 14 kawasan seluruh Kelantan dan sayap-sayap wanita dan pemuda.
Turut berucap di majlis itu ialah pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah dan timbalannya Muhammad Hussin.

Rakyat ingin perasuah dihukum, bukan sekadar ditahan, kata penganalisis

SPRM perlu memberi keyakinan kepada rakyat yang setiap penahanan akan dibawa ke muka pengadilan.
awangpawiKUALA LUMPUR: Walaupun menyambut baik siri tangkapan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rakyat tetap ingin melihat mereka didakwa ke mahkamah dan dihukum, kata penganalisis.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, SPRM perlu memberi keyakinan kepada rakyat yang setiap penahanan tidak akan terhenti di situ.
“SPRM perlu elak persepsi penahanan ini disebabkan pilihan raya umum (PRU) yang semakin dekat.
“Yang ingin dilihat rakyat ialah sejauh mana tangkapan ini berjaya didakwa dan disabitkan oleh mahkamah,” kata pensyarah Universiti Malaya (UM) itu seperti dipetik Bernama hari ini.
Beliau mengulas amaran dibuat Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad kepada ahli politik terlibat rasuah agar menunggu tindakan badan itu.
Dalam warkah terbuka sempena 100 hari memimpin SPRM pada 8 November lalu, beliau juga meningatkan “ahli politik dan pemimpin masyarakat” yang badan itu akan “menentang kebejatan rasuah dan salah guna kuasa”.
Sejak siri tangkapan SPRM tahun lalu, masih belum ada ahli politik ditahan dan didakwa atas tuduhan rasuah.
Awang Azman berkata SPRM perlu bukti kukuh bagi mengelakkan ahli politik dan “jerung besar” terlepas daripada tindakan.
Katanya lagi, undang-undang berasaskan fakta dan bukan persepsi semata-mata.

Hadi angkuh, putar belit fakta: Kit Siang

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai angkuh selepas menolak pelawaan DAP untuk berbaik semula dan bekerjasama bagi menyelamatkan negara.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, Abdul Hadi juga tidak berhak untuk memutar belit fakta dengan menuduh DAP anti Islam apabila menolak Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang dibentangkan Pas.
Kit Siang berkata, beliau akan berbincang dengan peguamnya berhubung kenyataan Abdul Hadi itu untuk diambil tindakan undang-undang.
"Pendirian saya jelas, pelawaan saya adalah untuk menyelamatkan negara dari terus menjadi kleptokrasi dunia. Jika beliau (Abdul Hadi) seorang yang patriotik dan sayangkan negara, dia akan terima pelawaan saya untuk sama-sama berusaha menyelamatkan negara.
"Mengapa perlu memutar belit fakta dengan menuduh DAP anti Islam? Apa yang penting sekarang adalah selamatkan negara. Mengapa beliau cakap isu anti Islam pula? Beliau patut cermin diri sendiri sebelum berkata-kata," katanya kepada media tadi.
Kit Siang ditemui ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ketua Menteri di sini tadi.

Dokumen CIA: Pas mahu Mahathir disiasat

 Pas mendesak agar satu kertas siasatan dibuka ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan pendedahan terbaharu oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) melibatkan pelbagai skandal di bawah pentadbiran perdana menteri paling lama itu.
Tun Dr Mahathir Mohamad Menurut Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusoff, info badan antarabangsa itu tidak boleh dipandang ringan kerana ianya bukan sahaja cantuman daripada begitu banyak kerugian pada masa lalu semata-mata.
"Tetapi lebih utama, perlunya siasatan dari pihak berkuasa negara berikutan dakwaan bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid sendiri bahawa pada ketika itu tiada siasatan dilakukan walaupun saiz kerugian dialami negara amat besar iaitu AS$ 10 billion," katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu ujar, Nurul Islam,  Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti segera bertindak atas maklumat tersebut.
Malah katanya lagi, ianya juga demi menyelamatkan kreadibiliti dan integriti Malaysia yang terjejas dengan pelbagai dakwaan skandal sebelum ini berkaitan 1MDB juga melibatkan banyak pihak serta jumlah yang sangat besar kewangan.
"Ianya juga bagi membolehkan prosedur perundangan dapat dilakukan ke atas mereka yang terlibat sekiranya didapati bersalah," katanya lagi.'
Mengulas lanjut, Nurul Islam berkata, inilah masanya untuk kita membuktikan ketelusan dan kecekapan badan-badan penguatkuasaan berkaitan serta membuang keluar segala dilema selama ini akibat dari birokrasi dan kediktatoran yang mencengkam.
"Palitan kekotoran lalu mesti dibersihkan, sekali gus hak pihak-pihak pernah teraniaya dapat dikembalikan, selain memulihkan semula sistem negara yang ternoda kembali ke landasannya," katanya.

Tun M akan lancar kempen bantah Felda beli saham syarikat Indonesia


Siri pertama Semarak Kasih Felda pada 3 Februari depanSiri pertama Semarak Kasih Felda pada 3 Februari depan
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan membuat pengumuman penting berkaitan langkah menangani krisis dalaman Felda dalam kempen membantah pembelian Ladang PT Eagle High Plantation (EHP) di Indonesia.
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, Mahathir akan melancarkan kempen tersebut pada 3 Februari di Felda Jengka 8, Jerantut Pahang.
"Selaku bekas Perdana Menteri yang sarat dengan pengalaman, Tun Dr Mahathir dijangka membuat pengumuman sangat penting demi menangani situasi kritikal yang dihadapi 112,635 orang peneroka.
"Ia adalah berita gembira yang ditunggu-tunggu oleh para peneroka yang sedang bergelut dengan hutang dan pelbagai perjanjian yang berat sebelah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mazlan, kutipan tandatangan dengan sasaran 100,000 akan digerakkan dan akan diserahkan bersama memorandum bantahan dalam Himpunan di Menara Felda.
Mazlan berkata, kempen ini merupakan antara agenda dalam jawatankuasa bertindak yang ditubuhkan oleh Anak dengan kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Jawatankuasa bertindak ini bagi meningkatkan usaha memberi kefahaman kepada masyarakat Felda yang sedang berdepan krisis dan cabaran semasa.
Jelajah Semarak Kasih Felda yang dirancang dalam jawatankuasa bertindak ini dilancarkan pada 21 Januari lalu di Felda Taib Andak, Kulai oleh Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Moga-moga Jelajah Semarak Kasih Felda ini berupaya merangsang kesedaran dan gelombang perubahan di 54 kawasan Parlimen dan 92 Dun di seluruh 317 Tanah Rancangan Felda," katanya.
Felda menerusi anak syarikatnya, FIC Properties Sdn Bhd akan membeli 37 peratus kepentingan dalam EHP yang merupakan antara syarikat minyak sawit terbesar di Indonesia pada harga US$505.4 juta (RM2.26 bilion).

P Pinang jawab Hadi: Peruntukan agama terbesar dalam sejarah negeri

Sokongan kerajaan negeri DAP-PKR kepada orang Islam di Pulau Pinang lebih besar berbanding zaman BN, kata exco
Abdul-Malik-Abul-Kassim_hadi-awang_600
GEORGE TOWN: Pulau Pinang menjaga kepentingan orang Islam sejak pakatan pembangkang nasional mengambil alih pentadbiran pada 2008, kata seorang exco menjawab dakwaan PAS baru-baru ini kononnya kerajaan negeri mengabaikan rakyat.
Exco Hal Ehwal Islam Abdul Malik Abul Kassim berkata PAS membutakan mata kepada pencapaian Pulau Pinang sejak itu, jika dibandingkan kepada pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini dilaporkan berkata “sikap DAP terhadap rakyat Pulau Pinang juga terbukti” apabila “masalah rakyat (Pulau Pinang) tak boleh selesai dengan baik”.
Menjawab laporan itu, Malik berkata peruntukan Pulau Pinang untuk hal ehwal keagamaan dan sekolah Islam melonjak 300% berbanding zaman Gerakan memerintah negeri itu.
Tambahnya kerajaan Pulau Pinang hari ini turut menyerahkan tanah bernilai RM80 juta untuk pembinaan Mahkamah Syariah baharu di Jalan Scotland.
Katanya kerajaan negeri juga akan membina hospital patuh syariah pertama di Bayan Baru, yang akan mula dibina pada Mac.
“Hakikatnya, syiar Islam di Pulau Pinang subur di bawah pentadbiran DAP dan PKR.
“Sejak 2008, kerajaan pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz (Umayyah), dengan meletakkan dasar ‘amar maaruf nahi mungkar’ dan program pembasmian kemiskinan,” katanya.
Malik menambah: “Orang Melayu dan Islam akan terjaga di Pulau Pinang walau apapun pengkritik katakan.”
Presiden PAS baru-baru ini dilaporkan berkata partinya tidak akan bergabung dengan DAP, kerana DAP menentang pelaksanaan undang-undang Islam khususnya berkaitan rang undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah yang dibentangkan oleh PAS.
PAS dan DAP memutuskan hubungan pada 2015 akibat perbalahan mengenai pelaksanaan hudud.
Sementara itu, Malik meminta PAS mengambil maklum bantahan Gerakan terhadap peruntukan hal ehwal Islam yang besar dalam belanjawan negeri.
Malik berkata Pulau Pinang memperuntukkan RM14 juta untuk pendidikan Islam tahun ini.
“Jumlah itu tidak termasuk pembinaan masjid, surau dan sekolah agama yang dibiayai kerajaan negeri, lebih besar berbanding peruntukan daripada kerajaan terdahulu.
“Pulau Pinang menjaga pembangunan pendidikan Islam, terutamanya melalui Sekolah Agama Rakyat, sekolah Kafa (Kelas agama fardhu ain), Maahad Tahfiz, pondok dan tadika agama. Semuanya dibiaya wang kerajaan negeri,” katanya.

SPRM perlu bukti kukuh agar "jerung besar" tidak terlepas - penganalisis

"Tunggu", itulah kata-kata tegas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad kepada mana-mana ahli anggota politik yang terbabit dengan rasuah di negara ini.
Mengulas amaran daripada ketua SPRM itu, Profesor Madya di Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya (UM) Dr Awang Azman Awang Pawi berkata ia mencerminkan ketegasan SPRM untuk bertindak tanpa mengira ideologi parti, pangkat dan kedudukan.
Dr Awang Azman Awang Pawi
Namun beliau berkata untuk memastikan anggota politik terbabit atau "jerung besar" itu tidak terlepas, SPRM memerlukan bukti kukuh kerana undang-undang adalah berteraskan fakta dan bukan sekadar persepsi semata-mata.
"Proses pendakwarayaan sesuatu yang kompleks. Hanya disebabkan kesilapan teknikal boleh jejaskan sesuatu kes tersebut. Isu ikan bilis dan ikan jerung besar sering berkumandang setiap kali ada tangkapan dan sabitan.
"Namun pandangan seumpama tersebut perlu ada contoh dan bukti-bukti konkrit kerana ada kalanya ia bersifat persepsi atau prasangka semata-mata. Hal ini kerana hakikatnya undang-undang berteraskan fakta dan bukti yang cukup kuat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Awang Azman berkata dalam meneruskan kesinambungan komitmen tinggi membanteras rasuah yang kini dianggap musuh nombor satu negara selepas dadah, SPRM juga perlu memberi keyakinan kepada rakyat setiap kali tangkapan dibuat tertuduh berjaya didakwa dan disabitkan kesalahan di mahkamah.
"SPRM perlu elak persepsi bahawa penahanan ini disebabkan tempoh PRU (pilihan raya umum) semakin dekat.
"Yang ingin dilihat oleh golongan rakyat ialah sejauh mana tangkapan ini berjaya didakwa dan disabitkan oleh mahkamah," katanya.
Tegas beliau dalam membasmi rasuah fokus tidak seharusnya kepada penjawat awam malah juga pihak usahawan yang memberi suapan agar tidak terlepas daripada sebarang tindakan dan kekal bebas di luar.
"Pihak SPRM perlu fokuskan pemberi suapan dan perlu kenakan hukuman yang lebih keras untuk pengajaran kepada yang lain agar tidak berani memberikan sogokan rasuah.
"Tanpa pemberi rasuah, rasuah tak akan berlaku. Jadi, untuk menuding penerima rasuah adalah tidak memadai," katanya.
Dalam tangkapan terbaru Op Caviar pada 24 Januari lalu, lima orang termasuk dua bekas pegawai kanan Felda ditahan di sekitar Lembah Klang kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan projek ternakan ikan Sturgeon bernilai RM47.6 juta.
Awal bulan ini SPRM merampas dan menyita wang tunai serta jongkong emas bernilai kira-kira RM3 juta susulan penahanan seorang ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian disyaki terlibat dalam rasuah.
Selain penahanan itu, seorang lagi suspek lelaki berusia 29 tahun turut ditahan kerana disyaki berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor bagi pihak KSU yang berumur 59 tahun dan bergelar 'Datuk' itu.

'Ayam simbol kebangkitan, fajar menyinsing' - Kak Wan

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengajak rakyat negara ini menguatkan semangat dan terus gigih membina "Malaysia baru" yang lebih adil, makmur dan sejahtera sempena kedatangan Tahun Baru Cina.
Ketua pembangkang itu membayangkan, orang ramai boleh belajar daripada sifat sabar, disiplin dan teratur pada ayam jantan untuk mencipta kejayaan.
"Ayam adalah lambang kebangkitan, fajar yang menyinsing.
"Kejayaan pada tahun ini hanya akan diperolehi melalui kegigihan dan kesungguhan.
"Oleh kerana unsur api mengusai tahun ini, ayam yang dilihat penuh kesabaran, disiplin dan teratur ini juga mempunyai semangat yang membara pada tahun ini," katanya dalam kenyataan sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini.
Mengikut kalendar Cina, tahun ini adalah tahun ayam.
Dr Wan Azizah juga menjangkakan 2017 ini "amat getir".
Justeru, kata anggota parlimen Permatang Pauh itu, orang ramai perlu berusaha dengan lebih gigih bagi mengharunginya.
"Namun demikian, jangan sesekali kita terlupa (isu) salah guna kuasa dan penyelewengan para kleptokrat yang mengakibatkan kita terpaksa menempuh cabaran-cabaran ini.
"Kesan kleptokrasi menyebabkan matawang kita menjadi lemah dan mengakibatkan kelesuan ekonomi. Lalu, yang menanggung beban adalah rakyat yang hilang pekerjaan dan dihimpit kos sara hidup yang makin meninggi," katanya.
Namun kata beliau, walau apa pun rintangan mendatang, masyarakat jangan sesekali patah semangat.
"Bulatkan tekad dan kuatkan semangat dalam menempuh segala cabaran.
"Kegigihan dan kesungguhan ditagih dalam perjuangan panjang kita memperbaiki keadaan sedia ada serta membina Malaysia baru yang lebih adil, makmur dan sejahtera," katanya.

‘KERUGIAN ATAU PENCURIAN’ RM 44 BILLION FOREX


Berbagai-bagai kelemahan,penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan  kesilapan dalam pengurusan ekonomi negara oleh Tun Mahathir  telah dibongkar dan didedahkan oleh media  pro BN untuk melindungi “Dosa” PM Najib.
Terkini ialah pendedahan Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid tentang Bank Negara kerugian AS10 billion (RM 44 billion) kerana terlibat dengan kegiatan Perdagangan mata wang di era Mahathir. Bunyinya mesti billion untuk menutup RM 2.6 Billion.
Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Tan Sri Mohd Nor Yaacob yang juga bekas Menteri Kewangan boleh memberikan pencerahan dalam perkara ini kerana beliau sendiri terlibat dengan perdagangan mata wang itu sehingga  tersingkir dari Bank Negara bersama gabenornya.
Selain dari itu beliau pernah menjadi Penasihat Khas  kepada Tun Mahathir semasa Tun menjadi Perdana  Menteri dan beliaulah dicari oleh Tun Mahathir ketika negara menghadapi serangan luar yang mahu melumpuhkan mata wang dan ekonomi negara.
Mengapa Mahathir mencarinya walaupun mengetahui “kesilapan” besarnya dan beliau telah memberikan sumbangan besar dalam membantu Mahathir menjadikan negara kebal dalam menghadapi serangan.
Hanya dengan pencerahan oleh Tan Sri Nor Yaacob akan dapat mendedahkan kepada rakyat samaada Datuk Abdul Murad Khalid membuat kenyataan yang menjejaskan nama Bank Negara dan memburukkan Mahathir adalah untuk membalas dendam atau untuk membersihkan namanya yang telah pernah tercalar teruk.
Sungguh malang bagi Najib, orang-orang yang tampil kehadapan untuk membelanya terdiri dari mereka yang diragui reliability dan credibilitymereka.

RUNDINGAN YANG MEMBUANG MASA

Rundingan bagi mewujudkan kerjasama politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia  atau Bersatu dengan Pas yang sepatutnya sudah tamat, akhirnya diberi lanjutan masa lagi sehingga 2 Februari depan untuk dimuktamadkan.

Diberitakan masih ada segelintir pemimpin Bersatu yang percaya hubungan dengan Pas masih boleh diwujudkan, meskipun dalam masa yang sama mereka juga sedar ada pemimpin Pas yang masih melakukan serangan berterusan kepada Tun Mahathir Mohamad.

Tarikh 2 Februari bakal menjadi perbincangan terakhir antara Bersatu dengan Pas. Selepas tarikh itu, tiada lagi perbincangan lain dan masa serta tempat pertemuan sehingga ini belum lagi diputuskan.

Tetapi, sementara Presiden Pas, Hadi Awang kelihatan seperti mempunyai banyak masa untuk menghadiri beberapa majlis dengan Presiden UMNO, Najib Razak, beliau sebaliknya hanya menghantar Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man untuk berunding dengan delegasi Bersatu yang diketuai Presidennya, Muhyiddin Yassin dalam pertemuan sebelum ini.
Untuk itu, dalam pertemuan pada 2 Februari nanti, Bersatu memutuskan hanya Mukhriz Mahathir selaku Timbalan Presiden Bersatu yang akan mengetuai delegasi perundingan, sesuai dengan Pas yang masih mengekalkan Tuan Ibrahim sebagai ketua delegasi.

Muhyiddin hanya akan dikembalikan untuk mengetuai delegasi rundingan sekiranya Pas juga menukar Tuan Ibrahim kepada Hadi Awang.

Bagaimanapun,  sehingga ini rundingan pada 2 Februari kekal diketuai akan oleh timbalan presiden kedua-dua parti tersebut.

Apa harapan kepada rundingan itu nanti?

Terima sumbangan banjir Amanah, guru besar dikenakan tindakan

Hazmi HassanHazmi Hassan
Pemuda Amanah Kelantan mendedahkan kerajaan negeri telah mengambil tindakan keterlaluan terhadap seorang guru besar gara-gara menerima sumbangan Misi Bantuan Pasca Banjir inisiatif parti itu.
Ketuanya, Hazmi Hassan berkata, tindakan kerajaan diterajui Pas menurunkan pangkat guru besar itu sama seperti sikap kerajaan Umno selama ini terhadap golongan guru yang dianggap memihak kepada parti lawan.
"Hanya kerana menerima sumbangan banjir daripada Pemuda Amanah, seorang mudir (Guru Besar) ditukarkan kepada guru biasa. Dulu kata Umno zalim.
"Nah, sekarang kerajaan Pas Kelantan pula menzalimi seorang mudir hanya sebab menerima kedatangan Pemuda Amanah untuk menyerahkan sumbangan banjir kepada pelajar," ujarnya seperti dipetik di akaun status Facebook beliau.
Mengulas lanjut, beliau turut membidas gejala politik kepartian melampau itu sekaligus menyeru supaya pengundi 'mengajar' Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
"Politik apakah ini? Parti ini perlu diajar pada PRU 14," tegas Hazmi lagi.
Malaysia Dateline difahamkan Amanah menyampaikan sumbangan bantuan kepada pelajar di sebuah sekolah menengah agama di Rantau Panjang di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada 15 Januari lalu selepas kawasan itu terputus hubungan ketika banjir.
Hazmi Hassan kiri sekali bersama Naib Presiden Amanah Hasanuddin Yunus tengah ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Rantau Panjang baru baru iniHazmi Hassan kiri sekali bersama Naib Presiden Amanah Hasanuddin Yunus tengah ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Rantau Panjang baru baru ini

'Dr M orang terakhir paling layak minta Najib letak jawatan atas alasan 1MDB' sembang Menteri Umno

Tun Dr Mahathir Mohamad bukan orang yang cukup berwibawa untuk meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan dengan menggunakan alasan 1MDB, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Dr Seri Salleh Said Keruak
"Skandal BMF dan Forex membuatkan Mahathir sebagai orang terakhir yang paling layak dan cukup berwibawa untuk meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi meletak jawatan dengan menggunakan alasan 1MDB," kata Salleh dalam blognya malam tadi.
Beliau merujuk kepada kemunculan semula isu skandal kewangan itu semasa zaman Mahathir sebagai perdana menteri.
Pada hari Selasa, laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) menyarankan kerajaan Mahathir sedar urusan meragukan BMF pada 1980-an yang mengakibatkan kerugian AS$1 bilion.
Sementara itu, bekas Penolong Gabenor Bank Negara Abdul Murad Khalid semalam mendakwa bahawa bank pusat kerugian AS$10 bilion dalam pasaran pertukaran asing pada era Mahathir.
Murad berkata walaupun mengakibatkan kerugian besar, tetapi tidak ada siasatan berhubung perkara itu.
Mahathir dalam responsnya berhubung dakwaan berkaitan BMF itu dengan menuduh CIA berkonspirasi terhadapnya.