Sabtu, 14 Januari 2017

APABILA ‘RASUAH’ JADI PENGUBAHAN WANG HARAM, RAKYAT YANG ‘BERPUTIH MATA’?

"Jangan memperkecilkan rakyat sekiranya mereka melihat dan menganggap proses keadilan melalui pendakwaan rasuah ketika ini sebagai suatu yang tidak adil dan tidak berpihak kepada mereka. Namun, inilah sistem yang terpaksa ditelan oleh mereka."

Sama ada benar atau palsu hanya Pejabat Peguam Negara sahaja yang boleh mengesahkannya.
Membiarkan surat itu berlegar di media sosial ia akan menjejaskan imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seolah-oleh mereka membuat siasatan tidak lengkap dan salah sasaran.
Atau mereka memang tidak mampu menyiasat dalam keadaan tertentu kerana di luar bidang kuasa mereka?
SPRM bertindak dalam beberapa kes berprofil tinggi  pada 2016 melibatkan penyelewengan wang berpuluh-puluh juta ringgit tetapi banyak pertanyaan ialah, apa pengakhiran pendedahan dan siasatan itu?
Ramai mahu mengetahui di sebalik mereka yang ditahan dan didkawa, apakah ada pihak lain termasuk orang politik, penjawat awam atau sesiapa sahaja boleh diheret ke pendakwaan ini?
Namun kini wujud kerisauan bahawa harapan itu tidak akan ke mana-mana.
Kenapa?

Ia semacam membenarkan  kerisauan itu menjadi kenyataan apabila berlegarnya sepucuk surat SPRM kepada seseorang dengan tanggapan kononnya Jabatan Peguam Negara menolak atau menganggap siasatan itu tidak boleh kepada pendakwaan rasuah di mahkamah biarpun tiada nama Jabatan Peguam Negara disebut secara langsung.
Kita masih ingat dengan jelas isu yang didedahkan oleh SPRM mengenai Skandal Jabatan Air Sabah melibatkan rampasan wang tunai berpuluh juta ringgit yang sebahagiannya disimpan dalam kabinet.
Dilaporkan, pada 5 Oktober 2016, SPRM merampas RM112 juta wang tunai dan wang yang disimpan di dalam bank merangkumi RM52 juta wang tunai dan RM60 juta lagi dalam akaun bank yang telah dibekukan- menjadikan rampasan terbesar SPRM setakat ini.
Selain wang tunai, turut disita sembilan kenderaan mewah, 94 beg tangan mewah, barang kemas dan jam mewah.
Kini tersebar surat jawapan kepada sesorang kononnya SPRM mengesahkan bahawa tiada unsur rasuah dalam kes tersebut dan di luar bidang kuasanya untuk didakwa mereka yang disyaki itu melalui tuduha rasuah.
Berikutan itu  SPRM terpaksa menerimanya sebagai ‘tiada tindakan lanjut akan diambil (NFA — No Further Action)’.

Ucapan oleh YABhg Tun Dr Mahathir bin Mohamad sempena Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)

1. Kita berhimpun di sini untuk melancarkan sebuah parti politik baru.

2. Kita lancarkannya untuk mengganti sebuah parti politik yang sudah usang, yang sudah lari daripada landasan yang ditentukan oleh pengasasnya.

3. Parti UMNO bukan sahaja usang tetapi sudah menjadi parti kleptokrat, parti yang dipimpin oleh penjenayah, penyamun dan pengamal rasuah yang tidak terhingga skalanya.

4. Parti ini juga menjadi penindas keatas rakyat, mendera mereka tanpa sebab, menangkap, memasuk dalam tahanan dan menghadap mereka ke mahkamah dengan tuduhan palsu yang tidak munasabah. Peguam yang menasihat anak guam juga ditangkap.

5. Parti ini juga telah dan sedang menjual wilayah-wilayah negara sehingga wilayah-wilayah ini menjadi kawasan yang terasing dari negara, dengan penduduk asing yang berideologi bertentangan dengan kepercayaan dan pegangan bangsa kita.

6. Itulah sebahagian daripada sebab parti baru ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia ditubuh. Ianya ditubuh sebagai menyahut teriakan rakyat yang mahu supaya diselamatkan dari kleptokrasi pemerintah penyangak dan penyamun, yang bernama Barisan Nasional dengan UMNO sebagai tunggaknya.

7. Tiada ada satu usaha yang lebih mulia daripada usaha yang kita Parti Pribumi Bersatu Malaysia bersama rakan-rakan kita usahakan untuk mengamal ma’aruf dan membasmi kemungkaran UMNO dan Barisan Nasional.

Saudara dan Saudari.

8. Saya akui saya sudah tua, sudah berusia lebih dari 90 tahun. Mungkin bagi sesetengah orang yang berasa terancam, saya kononnya sudah menjadi lemah, lemah tubuh badan, lemah akal fikiran, lemah ingatan, seorang pelupa yang nyanyuk yang sepatutnya diam sahaja.

9. Tetapi sedarlah bahawa usia yang panjang ini juga memberi kepada saya peluang melihat dengan mata sendiri akan pergolakan dan nasib bangsa saya selama lebih 80 tahun di waktu dijajah oleh tiga kuasa asing, keadaan sebelum merdeka dan setelah merdeka.

10. Saya pernah bertuan penjajah di negara sendiri. Perasaan terhina menyelubungi diri, apabila terpaksa bertuankan orang asing, yang menjajah negara.

11. Demikianlah perasan terhina menekan diri sehingga timbul kepercayaan bahawa memang pun bangsa saya bangsa yang kerdil, yang tidak berkebolehan. Kedudukan dijajah memang nasib yang tidak boleh dielak oleh bangsa yang serba kurang ini.

12. Tetapi Alhamdulillah, bangsa yang lemah dan kerdil ini, bangsa yang tidak berkebolehan ini, bangsa yang serba miskin, miskin dengan duit ringgit, miskin dengan ilmu, miskin dari kekuatan semangat juang, miskin senjata - bangsa ini apabila disedari akan dipisah dari tanah air dan menjadi orang asing di negara sendiri, bangsa ini tiba-tiba terjaga, bangun, bersatu dan melancarkan serangan balas bertalu-talu untuk menebus balik maruah dan tanahair.

13. Ya. Melayu memang lemah dan mudah lupa. Tetapi kesedaran mendatangkan kekuatan yang tidak pun dimimpi berada kepada mereka.

14. Rakyat dan Raja negeri masing-masing tiba-tiba sedar bahawa mereka adalah dari satu bangsa, yang berbahasa, berbudaya dan beragama yang sama. Mereka sedar bahawa Semenanjung Tanah Melayu adalah hak mereka, warisan nenek moyang yang perlu mereka pertahan.

15. Kesedaran ini membawa kepada perpaduan dan perpaduan membuahkan kekuatan. Biar betapa kuat sekali musuh yang menjajah, namun Tanah Melayu adalah milik bangsa Melayu dan tidak akan diserah menjadi tanah jajahan selama-lamanya oleh bangsa lain.

16. Demikianlah kesedaran terhadap kehilangannya tanahair, kesedaran akan menjadi pendatang di negara sendiri, sehingga segala keperitan lain diketepikan oleh semua dan perjuangan membebaskan negara diutamakan.

17. Semua berkumpul dalam satu badan, pegawai tinggi dan rendah yang berpelajaran Melayu atau Inggeris, yang berpelajaran agama dan berbahasa Arab; semuanya bersatu dan berbaris rapat menentang penjajah.

18. Dan Raja yang telah serah segala-galanya kepada penjajah British, tiba-tiba mereka berasa kuat dan berani. Rakyat bangsa Melayu bersama mereka, dan mereka pun menolak segala perjanjian yang telah ditandatangani mereka.

19. Penjajah berasa takut kerana yang tertidur sudah pun jaga dan bangun, sanggup melakukan apa yang kononnya mereka tidak mungkin lakukan.

20. Meringkaskan cerita, negara yang selama 400 tahun dijajah, di belenggu oleh siapa sahaja, oleh Portugis, oleh Belanda, oleh British, oleh Jepun dan oleh Siam, tiba-tiba merdeka.

21. Dan merdeka memberi kuasa, kuasa untuk memperbaiki nasib bangsa, untuk menebus maruah, untuk selamatkan warisan nenek moyang.

22. Tanggungjawab dipikul dan keadilan serta timbang rasa ditunjuk kepada bangsa-bangsa lain yang setia kepada negara. Tidak ada perasaan tamak untuk merampas harta dan hak mereka yang sudah setia kepada negara. Mereka diberi hak sebagai warga negara.

23. Sesungguhnya bangsa Melayu ini berbudi bahasa, bermurah hati dan sanggup berkongsi yang sedikit yang ada pada mereka. Maka tertawanlah hati dan akal fikiran seluruh permastautin dari pelbagai kaum atau agama. Pada masa itu budi bahasa bukan slogan pilihanraya tetapi memang pun budaya asli kita.

24. Dan amanlah negara dan terbangunlah tanahair. Penanam padi, penangkap ikan, penoreh getah tiba-tiba memiliki anak yang profesional, doktor, lawyer, engineer, arkitek, professor, pentadbir dan diplomat. Pesawat terbang yang canggih diterbang dan diselenggara oleh anak penoreh dan pesawah.

25. Di seluruh dunia terdapat penuntut Melayu yang mengejar ilmu sains, matematik, nuklear sains, elektronik, IT dan bermacam ilmu lagi.

26. Lulus, mereka mengepalai kementerian, syarikat gergasi, industri pembuatan, nakhoda kapal, bahkan menjadi angkasawan. Mereka boleh. Bangsa Melayu dan Pribumi lain boleh. Bangsa Malaysia boleh.

27. Ya. Malaysia boleh. Melayu boleh. Negara pesat dibangun dan menjelma menjadi negara maju, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia.

28. Inilah kepercayaan kita pada masa itu, terutama kita yang sudah mengalami pedih perit dijajah orang. Orang Melayu akan dapat bahagian mereka tanpa merampas hak orang lain, Kita bukan penyamun. Kita bukan perompak. Kita adalah bangsa bertamadun, bermaruah tinggi, adil yang tidak merampas harta orang. Apa yang kita dapat, kita dapat dengan usaha kita sendiri, dengan titik peluh kita sendiri.

29. Tetapi kemewahan mempunyai racun yang boleh racuni fikiran dan menghapuskan nilai hidup yang mulia. Dari semangat yang membakar api kebangsaan, yang menyatupadu bangsa, yang memberi kekuatan kepada kita; dari semua ini kemewahan kebendaan merasuk sehingga segala yang mulia dalam nilai hidup kita diganti dengan sifat tamak yang tidak terhingga.

30. Bangsa dan negara dilupakan dan diganti dengan ketamakan untuk diri sendiri, ketamakan kuasa, duit Ringgit, harta dan pangkat.

31. Maka bertanyalah mereka ini "Apa aku dapat". Begitu lama aku berjuang apa aku dapat. Mereka yang lain menjadi Yang Berhormat, bergaji tinggi, berkenderaan mewah. Ada yang jadi Menteri pun, Menteri Besar, Perdana Menteri. Tapi "apa aku dapat".

32. Bukankah aku yang berjuang, yang bermati-matian untuk menaikkan mereka. Mereka dapat. Apa aku dapat?

33. Dan kecewalah mereka ini. Dan terpadamlah semangat yang dahulu begitu suci. Dan digantikan dengan iri hati dan hasad dengki.

34. Tetapi apakah pula sikap mereka yang sudah "dapat", dapat menjadi wakil rakyat, gaji dan elaun, pangkat darjat, kuasa dan sebagainya.

35. Apakah mereka berpuas hati kerana mereka "dapat". Tidak juga. Mereka masih berpendapat mereka sepatutnya mendapat lebih lagi dengan lebih mudah. Yang dapat ke puncak juga demikian. Demikianlah apabila perasan tamak menguasai mereka.

36. Maka berhempas pulaslah mereka, mengejar secara halal atau haram apa yang dianggap sepatutnya dimiliki oleh mereka.

37. Maka berlakulah pencurian dan rasuah kerana tamak tak terhingga. Biarlah negara hancur asalkan yang dituntut didapati. Biarlah bangsa merana asalkan aku dapat.

38. Lupakanlah semua yang telah dicapai - ketepikan nikmat kesejahteraan hidup, pangkat darjat, kemewahan yang dikecapi.

39. Lupa juga akan pemulihan maruah bangsa, bangsa yang dahulu dihina yang kemudian dihormati dan disanjung tinggi. Apabila dihormati, apa sahaja boleh dilakukan, termasuk mencuri dan menyamun. Benarkah setelah dihormati, akan terus dihormati.

40. Lupa akan penjajahan 400 tahun dahulu, lupakan hantaran bunga emas dan bunga perak, untuk selamat dari diserang, dibunuh sesuka hati jiran dan kuasa luar, dijajah.

41. Tak usah cakap pasal lama, kata yang tamak ini. Itu dahulu. Ini sekarang. Sekali merdeka tetap merdeka. Tak akan Melayu hilang di dunia.

42. Ya Melayu tidak akan hilang. Tetapi Melayu jenis apa yang tak akan hilang? Melayu kuli orang selama 400 tahun. Inilah Melayu yang tak hilang selama itu. Apakah Melayu yang tak akan hilang di masa hadapan juga Melayu hamba yang tinggal sebagai setinggan menumpang di belakang rumah orang lain, dijadikan bahan pameran untuk pelancong asing.

43. Tetapi ini bukanlah yang disedari oleh ramai dari kita. Sekali makmur selama-lamanya makmur. Sekali merdeka, selama-lamanya merdeka. Benarkah? Kamu merdeka dahulu. Tetapi apabila datangnya Portugis, maka berlarilah kamu ke Selatan. Kamu dijajah selama 400 tahun.

44. Kemudian kamu merdeka sekali lagi. Kamu dapat nikmat, dapat rezeki, makmur. Apakah Portugis baru tidak akan datang untuk menjajah kamu lagi? Fikir. Allah memberi akal fikiran kepada kamu untuk fikir. Fikirlah.

45. Ya. Kamu mungkin dapat apa yang kamu tuntut. Tetapi kamu akan hilang apa yang masih ada pada kamu.

46. Rata-rata kamu lihat bangsa Melayu kerana daif menjual tanah. Bukan sahaja yang sekangkang kera – tetapi juga yang seluas wilayah. Beribu-ribu hektar dijual, bukan sahaja kepada orang tempatan tetapi juga kepada orang asing.

47. Maka teringatlah mereka yang melihat dan sedar akan pantun lama:
Pulau Pinang Negerinya Baru,
Kapten Light menjadi Raja,
Bila dikenang zaman dahulu,
Duduk mengalir air mata.
Tetapi ini pantun lama. Tak ada kena mengena dengan sekarang. Demikian respon mereka yang lain, yang tamak.

48. Tetapi inilah budaya kita. Tanah dijual untuk wang tunai. Kecil atau besar, tanah dijual. Tanah yang sudah dijual bukan milik kita lagi. Duit yang didapati tidak kekal. Dibelanja sehingga merosot dan hilang akhirnya. Kalau masih ada pun tidak boleh di bawa mati. Akan dihabis oleh zuriat dalam sekelip mata. Itulah rasmi duit.

49. Maka berundurlah penjual tanah ke kawasan yang terpencil dan mendirilah mereka pondok bertiang kayu, berdinding papan atau pelupuh, dengan bumbung atap nipah atau zink karat.

50. Bandar berkembang lagi sehingga sampai ke pondok yang didirikan. Nilai tanah pun naik. Sekali lagi datang pembeli menawar harga yang tidak dapat ditolak. Dan sekali lagi tanah dijual dan penjual berpindah ke desa. Akhirnya kediaman terletak dipinggir hutan, menunggu masa menjadi penginap hutan.

51. Besar atau kecil, sedarlah tanah yang dijual bukan milik kita lagi. Jika dimiliki oleh warganegara Malaysia yang lain, Alhamdulillah. Tetapi jika dimiliki, dibangun dan diduduki oleh pendatang baru dari luar negara, maka terasinglah kita dari mereka di negara kita, terdirilah kawasan asing di dalam negara, di mana kita akan jadi pendatang yang daif, terasing dan berlainan.

52. Kawasan milik orang asing ini akan dibangun dengan pesat, dengan indah, dipenuhi dengan pencakar langit dan mahligai di mana tinggal hartawan mereka yang kaya tidak terhingga. Bolehkah kita berbangga dengan kemewahan orang lain ini, berbangga dengan keindahan harta yang tidak dimiliki kita. Berbanggakah kita dengan kekayaan dan keindahan Singapura umpamanya, wilayah kita dahulu tetapi tidak lagi sekarang.

Mukhriz optimis pembangkang menang PRU14

Bagaimanapun, impian itu tidak akan menjadi nyata jika rakyat tidak melakukan sesuatu dan bertindak, kata timbalan presiden PPBM.
mukhriz-mahathir_undi_malaysia_600
SHAH ALAM: Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini optimis parti pembangkang dapat menawan hati rakyat, memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk menubuhkan kerajaan persekutuan baru walaupun berhadapan sekatan dan ugutan silih berganti.
Timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bagaimanapun berkata, angan-angan itu hanya akan menjadi kenyataan jika rakyat bertindak dan sanggup mengorbankan kepentingan jangka pendek serta tidak mengharapkan orang lain menyelamatkan keadaan.
“Melakukan perkara yang sama berulang kali sambil mengharapkan hasil yang berbeza atau lebih teruk lagi kalau kita tewas kepada dedak, maka itu semua hanya mimpi Mat Jenin semata-mata.
“Angan-angan yang tak akan menjadi nyata. Hidup kita semakin sengsara, masa depan anak cucu kita gelap gelita. Malaysia terus menuju binasa,” katanya dalam ucapan di hadapan kira-kira 3,000 ahli semasa majlis pelancaran parti itu di Stadium Melawati di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Itam turut menyeru orang ramai yang sayangkan negara dan menyedari kemungkaran dilakukan oleh parti yang memegang kuasa untuk bangkit melakukan perubahan.
“Kami sedar walaupun tidak mudah, ranjau dan duri melintang laluan, sekatan dan ugutan bersilih ganti, namun demi membela rakyat yang dianiayai dan mengharumkan semula nama Malaysia di persada dunia, kami galas amanah dan kepercayaan ini dengan tawaduk, taat, sabar dan qanaah.”
Turut hadir beberapa pemimpin parti pembangkang seperti Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Naib Presiden DAP Teresa Kok dan Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad.

Tun Mahathir ajak semua bersatu singkirkan Najib, mansuh GST

Mahathir ajak semua bersatu untuk jatuhkan Najib, selepas itu GST dimansuhkan.Mahathir ajak semua bersatu untuk jatuhkan Najib, selepas itu GST dimansuhkan.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru rakyat selamatkan negara ini dengan menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan kemudiannya mansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Beliau berkata, walaupun untuk menyingkirkan Najib yang juga Presiden Umno bukan mudah kerana masih terdapat penyokong membuta tuli di kalangan wakil rakyat BN, ia perlu diusahakan dari sekarang.
"Jika kita sayang kepada negara, jika ingin selamatkan negara usaha mesti dibuat dari sekarang untuk singkirkan Najib sebagai perdana menteri.
"Kita akui penyingkirannya tidak mudah kerana sokongan buta tulis yang diberi oleh wakil rakyat Umno dan BN, pegawai penguatkuasaan kerajaan, polis, pendakwaraya dan penghapusan pemerintahan mengikut undang-undang," ujarnya ketika ucaptama pada pada Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diadakan di Stadium Melawati Shah Alam malam ini.
Beliau menegaskan Najib telah merosakan politik, kewangan, ekonomi dan masyarakat Malaysia.
Para perwakilan Bersatu dari seluruh negara berikrar.Para perwakilan Bersatu dari seluruh negara berikrar."Kerosakan ini amatlah teruk. Tetapi Najib akan memburukkan lagi keadaan ini.
"Tidka syak lagi, jika Najib terus menjadi perdana menteri kerosalan negara akan menjadi lebih teruk sehingga tidak dapat dirungkai dengan mudah," ujarnya.
Justeru beliau menegaskan antara sebab Bersatu ditubuhkan pada September tahun lalu.
"Kita tubuh parti untuk mengembelingkan tenaga rakyat dan bekerjasama erat antara parti pembangkang untuk menukar kerajaan pimpinan Najib pada PRU-14," ujarnya.

Pemimpin Pakatan Harapan, Warisan sertai pelancaran Bersatu


Para pemimpin Pakatan Harapan sertai majlis pelancaran Bersatu.Para pemimpin Pakatan Harapan sertai majlis pelancaran Bersatu.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilancarkan secara rasmi malam ini di Stadium Melawati, Shah Alam dengan kehadiran penuh dari pemimpin Pakatan Harapan di samping Parti Warisan dari Sabah.
Walaupun Naib Presiden Pas, DKerusi yang disediakan untuk Iskandar, namun beliau tidak hadir.Kerusi yang disediakan untuk Iskandar, namun beliau tidak hadir.atuk Iskandar Samad dijadualkan hadir dengan adanya kerusi yang disediakan untuk beliau, namun beliau tidak muncul. Hanya ahli parlimen Pas Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar hadir dengan baju hijaunya.
Keputusan untuk tidak menyertai majlis pelancaran Bersatu dipercayai dibuat di saat akhir iaitu dalam mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat petang tadi.
Kehadiran Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya Datuk Seri Mukhriz Mahathir tepat jam 8.30 malam ini.
Lagu 'Negara ku' dan lagu parti berjudul 'Perjuangan Kita' dinyanyikan bersama lebih kurang 6,000 hadirin terdiri 165 bahagian seluruh negara.
Turut hadir di kalangan pimpinan Pakatan Harapan di Stadium Melawati, Shah Alam malam ini.
Antara pemimpin Pakatan Harapan yang turut kelihatan antaranya Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir, Naib Presiden Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, timbalannya yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali, Ahli Parlimen Seputih Teresa Kok dan wakil parti Warisan dari Sabah.
Bersatu, parti serpihan Umno ini ditubuhkan pada 9 September 2016 lalu yang diasakan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Acara akan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Majlis Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Ia disusuli dengan ucapan Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melancarkan parti Bersatu pada malam ini.
Selepas pelancaran ucaptama akan disampaikan oleh Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

MARA: KALAU MENTERI TAK TAHU, HABIS....SIAPA YANG TAHU?

Ketika mengeluarkan arahan agar Mara dan UniKL menangguhkan sebarang tajaan untuk tahun ini, melainkan berkaitan pendidikan, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Ismail Sabri Yaakob jelas tidak tahu menahu mengenai penajaan kepada pasukan bolasepak Kelantan yang menjadi isu hangat sekarang ini.

"Saya akan dapatkan laporan terperinci daripada Mara dan UniKL. Seperti saya kata saya tidak dimaklumkan mengenai perkara ini.

"Apa-apa pun saya akan dapatkan laporan.

"Cuma untuk sementara waktu ini, sebarang penajaan mesti tunggu dulu. Biar saya tengok," katanya lagi.
Dalam hal ini, mujurlah ada Tengku Mahkota Johor yang berani mendedahkan bukti-bukti tentang penajaan yang diterima Kelantan daripada dua anak syarikat Mara iaitu Pelaburan Mara Bhd dan UniKL, jika tidak, sampai bila-bila pun Ismail Sabri tidak tahu apa-apa mengenainya.

Yang menjadi persoalan, mengapa Ismail Sabri selaku menteri tidak tahu?

Tidak diberitahu, tidak perlu diberitahu atau sengaja tidak diberitahu?

Bukankah beliau menteri yang bertangungjawab terhadap Mara dan Mara itu sendiri terletak di bawah kementeriannya?

Mengapa hal-hal seperti penajaan kepada sebuah pasukan bola yang boleh mengundang kontroversi kerana terdapat individu yang ada kepentingan di kedua-dua belah pihak, tidak dimaklum atau diberitahu kepada menteri?

Habis, kepada siapa Mara dan UniKL beritahu atau maklumkan mengenai penajaan kepada pasukan bolasepak Kelantan itu?

Atau kelulusannya dilakukan tanpa makluman dan pemberitahuan kepada pihak atasan iaitu kementerian?

Apa lagi perkara-perkara lain di Mara, UniKL dan lain-lain anak syarikat Mara yang sepatutnya menteri tahu, tetapi beliau tidak tahu dan tidak diberitahu?

Mara akur arahan menteri sembang Annuar

Majlis Amanah Rakyat (Mara) akur dengan arahan supaya agensi itu dan anak syarikatnya menangguhkan sebarang bentuk penajaan melainkan yang berkaitan pendidikan tahun ini.
Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa berkata beliau akan memberi kerjasama terhadap arahan yang dikeluarkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu.
"Saya juga akan memberikan maklum balas serta laporan kepada menteri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian bantuan awal persekolahan 2017 di Yayasan Kemiskinan Kelantan Padang Kala, Melor, di Kelantan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas arahan Ismail Sabri yang dilapor mahukan dua agensi di bawah kementeriannya, Universiti Kuala Lumpur dan Mara, menangguhkan sebarang bentuk penajaan tidak berkaitan pendidikan tahun ini.
Arahan itu dikeluarkan susulan laporan yang mendakwa dua agensi itu menaja pasukan bola sepak Kelantan.
Sementara itu Annuar yang juga Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan mengesahkan tiga pemain import bakal beraksi dengan pasukan The Red Warriors musim ini.
Mereka ialah Mohammed Ghaddar dari Lubnan, Okiki Afolabi (Nigeria) dan Cedric Djeugoue (Cameroon), katanya.

TPPA sudah berkubur, kata penasihat Trump

Presiden dipilih Donald Trump tidak akan menghidupkan semula perjanjian perdagangan terhenti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) oleh pendulunya dalam apa jua bentuk, tetapi akan segera meneruskan perjanjian perdagangan dua hala, kata seorang penasihat dasar peralihan Trump.
"TPPA telah berkubur, Saya tak boleh tegasnya lebih kuat lagi daripada itu," kata penasihat itu, yang tidak mahu namanya disiarkan kerana dia tidak diberi kuasa untuk bercakap secara terbuka bagi pihak pentadbiran baru yang akan mengambil alih kuasa mulai 20 Januari ini.
"TPPA, atau perjanjian pelbagai hala yang kelihatan seperti TPPA tetapi dipanggil dengan nama lain, sesungguhnya telah berkubur."
Pada hari Rabu, penama Trump sebagai setiausaha negara, Rex Tillerson, berkata beliau tidak menentang perjanjian perdagangan 12 negara Rim Pacifik Presiden Barack Obama, tetapi berkongsi beberapa pandangan Trump "tentang sama ada perjanjian yang telah dirundingkan itu terbaik untuk semua kepentingan Amerika".
Bercakap melalui telefon lewat hari Khamis, penasihat Trump itu berkata Tillerson menyuarakan beberapa pandangan peribadi tentang teori perdagangan bebas.

‘Kredibiliti kewangan Malaysia jadi pertaruhan akibat hutang besar’

Azrul Mohd Khalib berkata, negara mana yang membiayai projek mega di Malaysia tidak penting, selagi kerajaan mampu membayar hutangnya.
Azrul-Mohd-Khalib-1
PETALING JAYA: Malaysia mempertaruhkan kredibiliti kewangan antarabangsanya dengan hutang besar yang ditanggung kerajaan ketika nilai ringgit merosot dan ekonomi negara lembap, kata sebuah badan pemikir.
Pengurus hubungan luar Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Azrul Mohd Khalib berkata, negara mana yang membiayai projek mega di Malaysia tidak penting, selagi kerajaan mampu membayar hutangnya.
Beliau berkata, adalah penting untuk menangani isu hutang dengan cara “rasional dan terancang”.
Beliau mengakui Putrajaya mencari sumber kewangan untuk pembangunan infrastruktur dengan niat memperbaiki keadaan ekonomi negara dan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang dibiayai China adalah satu daripada inisiatif itu.
“Hutang tetap hutang, tidak kira berhutang dengan negara atau institusi apa.
“Apa yang perlu dibimbangkan ialah sama ada kita mampu membayar faedah dan pinjaman yang jumlahnya amat besar. Dengan masalah kemerosotan ringgit, ekonomi tidak berkembang dan pinjaman besar, kredibiliti kewangan antarabangsa kerajaan dipertaruhkan,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, aktivis sosio-ekonomi, Azlan Awang memberi amaran kepada Putrajaya terhadap risiko Malaysia menghadapi masalah sama seperti Sri Lanka kerana berhutang terlalu banyak dengan China.
Azlan merujuk perjanjian Sri Lanka memajak Pelabuhan Hambantota kepada sebuah syarikat, di mana China akan mempunyai 80% pegangan selama 99 tahun yang menyebabkan rusuhan tercetus.
Perusuh bimbang tanah di sekitar pelabuhan itu akhirnya menjadi jajahan China. Azlan berkata, perjanjian pelabuhan itu adalah akibat kegagalan Sri Lanka membayar pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa yang dibiayai China.

Pendedahan nama lain Jho Low perkembangan terkini skandal 1MDB

Satu perkembangan terkini berhubung saga 1MDB di mana ia didedahkan dalam sebuah mahkamah Singapura bahawa jutawan Jho Low juga menggunakan nama lain dalam urusan kewangannya yang melibatkan dana pelaburan itu.
Walaupun siasatan terhadap transaksi 1MDB sedang dijalankan di pelbagai negara, Singapura merupakan yang terpantas bertindak, dengan menutup BSI Bank dan Falcon Private Bank berhubung pengubahan wang yang berkaitan dengan 1MDB dan mendakwa di mahkamah bekas kakitangan bank-bank tersebut.
Awal minggu ini, mahkamah Singapura diberitahu bahawa "Eric Tan Kim Loong" sebenarnya adalah nama lain (alias) bagi Low.
Menurut kes di Singapura itu, pengurus cawangan Falcon Private Bank Singapura, Jens Sturzeneggar telah berkomunikasi dengan emel, erickimloong.tan@gmail.com, tetapi kemudian mendapati dia sebenarnya berkomunikai dengan Low.
Apabila kedua-dua mereka bertemu, jutawan kelahiran Malaysia mendedahkan bahawa dia menggunakan nama Eric Tan dalam beberapa urusan atas sebab-sebab "keselamatan".
Tan, yang namanya sering timbul i sebagai pemilik beberapa syarikat yang dana 1MDB didakwa dilencongkan, telah menjadi suatu misteri dari peringkat awal lagi.
Tidak seperti Low, yang dikenali sebagai seorang yang rapat dengan keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Tan tidak sepadan dalam teka-teki 1MDB kecuali digambarkan sebagai "sekutu perniagaan" jutawan itu.

1MDB hanya boleh digulung selepas semua hutang lebih RM50 bilion dibayar

Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani berkata 1MDB masih belum memasuki peringkat penggulungan.
"Ia tidak digulung tapi adalah dalam 'run-off operation'. Kita tidak menjalankan sebarang perniagaan baru.
"Kita tidak boleh menggulung syarikat itu sehingga semua hutang diselesaikan dan jumlah terhutang daripada pelupusan aset dikumpulkan," kata Johari kepada Malaysiakini melalui satu mesej teks.
Sabtu lepas, Straits Times Singapura memetik seorang pegawai kanan kerajaan sebagai berkata bahawa Putrajaya telah meletakkan asas untuk menutup firma milik kerajaan itu.
Jawatankuasa Budiman, unit kerajaan peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh Johari, merancang untuk memindahkan aset 1MDB kepada dua syarikat - Piramid Pertama dan Aroma Teraju - yang dimiliki Kementerian Kewangan, pada bulan-bulan akan datang, demikian menurut laporan itu.
Aset yang tinggal adalah Tun Razak Exchange (TRX), Bandar Malaysia di Kuala Lumpur dan plot tanah 94.7 hektar di Ayer Itam, Pulau Pinang.
Sejak dua tahun yang lalu, 1MDB telah melupuskan aset utamanya.
Pada bulan November 2015, ia mengumumkan penjualan Edra Tenaga Global Bhd kepada China General Nuclear Power Corporation pada harga RM9.83 bilion.
Sebulan kemudian, 1MDB mengumumkan penjualan 60 peratus ekuiti dalam Bandar Malaysia kepada sebuah konsortium yang terdiri daripada Johor Iskandar Waterfront Holdings Bhd dan China Railway Engineering Corporation untuk RM7.41 bilion.
1MDB juga telah menjual plot tanah dalam kawasan TRX kepada Mulia Group Indonesia, Lend Lease Australia serta institusi kerajaan seperti Tabung Haji.
Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha 1MDB untuk mengurangkan hutangnya, yang pada kemuncaknya berjumlah sekitar RM50 bilion. Beban hutang semasa 1MDB dianggarkan berjumlah AS$4.78 bilion (RM21.3 bilion).
Pada bulan November 2016, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan dipetik sebagai berkata hutang 1MDB berjumlah RM31 bilion.
Ditanya sama ada baki hutang 1MDB itu akan dipindahkan kepada kerajaan, Johari berkata, "Pada masa ini, kami belum menerima sebarang permintaan dari 1MDB untuk sebarang bantuan."
Johari yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, tidak mendedahkan berapa lama lagi 1MDB akan digulung.
"Saya akan jawab bila kita sampai ke peringkat itu," katanya.

Kenyataan 1MDB tak jawab persoalan penajaan ibadah Haji....

Kenyataan Yayasan 1MDB (1Malaysia Development Berhad)  berhubung isu penajaan ibadah haji dilihat tidak menjawab persoalan yang ditimbulkan.
Pengerusi Hisbah Centre for Reform (Hisbah), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor dalam kenyataannya berkata, penajaan untuk melakukan ibadah haji tidak boleh disamakan dengan penajaan untuk program lain.
Menurutnya, perkara pokok adalah sama ada 1MDB mahupun Yayasan 1MDB sebuah badan yang menepati syariah atau di dalam semua urusannya untuk membolehkan penajaan dibuat.
“Ini persoalan yang perlu dijawab dan juga sepatutnya dipastikan oleh jabatan agama termasuk mufti dalam menangani isu ini,” katanya.
Beliau berkata, penajaan ini juga harus dilihat dari sudut maqasid syariah.
“Malangnya ia langsung tidak disentuh walhal kerajaan dilihat serius membawa konsep ini di dalam pentadbiran negara.
“Sudah banyak seminar yang dibuat. belanja pun berjuta- juta tapi mengapa dalam soal ibadah haji sebagai rukun Islam tidak dilihat dari sudut maqasid syariahnya?” katanya.
Mohamad Ezam berkata, dalam melaksanakan ibadah haji, sumber kewangan adalah antara faktor utama.
“Atas asas yang sama, hasil idea yang dicetuskan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan Tabung Haji sebagai satu institusi khusus menguruskan ibadah haji,” katanya.

Orang Asli Johor dihalang masuk ladang, tanah kubur diganggu

Sekumpulan Orang Asli dari Johor menghantar satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi membantah pencerobohan di kawasan kubur dan tanah adat mereka.
Mereka mendakwa kontraktor telah menggali parit di tapak kubur, demikian menurut kenyataan akhbar dikeluarkan Jawatankuasa Bertindak Kampung Orang Asli Ledang.
Jawatankuasa itu mendakwa kontraktor di projek Taman Negara Johor telah menjalankan pembinaan di atas tanah yang menjadi hak milik Orang Asli, sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 134 Akta Orang Asli 1954, sejak 27 Disember tahun lalu.
Bukan sahaja tanah adat mereka telah dicabuli, masyarakat Orang Asli di kawasan itu juga dihalang daripada menuai hasil di ladang-ladang mereka.
Orang asli berkenaan mendakwa mereka dilarang membawa alat pertanian seperti cangkul dan parang di tanah ladang mereka sendiri.
Pagar juga dibina di sekitar kawasan hutan bagi menghalang mereka masuk dan memperoleh sumber alam semula jadi.
"Kebebasan kami juga telah ditekan. Kami telah dihalang daripada memasuki hutan.
"Tolong jangan sekat kami, masyarakat Orang Asli. Jika anda menyekat kami (dari hutan), di mana lagi kami akan pergi? Tiada tempat lain untuk kami pergi," kata wakil Kampung Tanah Gembur Tok Batin Jengkeng Jani.
Laporan polis telah dibuat
Kampung Tanah Gembur merupakan salah satu daripada tiga buah kampung diwakili Jawatankuasa Bertindak berkenaan.
Satu laporan polis dibuat pada hari pertama pembinaan bermula dan polis datang ke tapak itu untuk menyiasat pada 3 Januari, tetapi tiada tindakan lanjut diambil.

Exco BN@Umno: Tanah adat Orang Asli di Ledang sebenarnya hutan simpan

Hutan semula jadi yang sepatutnya dilindungi musnah akibat penerokaan yang dipercayai dilakukan penduduk Orang Asli, kata exco
ayub-rahmat_Orang-Asli_Ledang_600
JOHOR BAHRU: Kawasan yang didakwa sebagai tanah adat Orang Asli di Ledang, dekat sini baru-baru ini, merupakan tanah rizab yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Gunung Ledang.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata pewartaan tanah seluas 9,052.8 hektar itu dilakukan pada 6 Mac 1940 mengikut Warta Kerajaan Negeri Johor Bil. 298.
“Kawasan ini juga dirizabkan sebagai Taman Negara Johor di bawah Seksyen 3(1) Enakmen Perbadanan Taman Negara (Johor) 1989 dan diterbitkan dalam Warta Kerajaan Negeri Johor Bil. 2622 bertarikh 27 Oktober 2005, yang diletakkan di bawah jagaan Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor dan penggantinya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu susulan writ saman difailkan oleh Tok Batin Kampung Tanah Gembur, Jengkeng Jani dan Kampung Sungai Air Tawas, Meghek Acai, mewakili penduduk Orang Asli daerah Tangkak pada 10 Januari lalu yang menuntut hak milik tanah adat dalam kawasan rizab berkenaan.
Saman yang dilakukan melalui Tetuan Kamal Hisham & Associates di Mahkamah Tinggi (Sivil) Johor Bahru itu menamakan Zila Maju Enterprise selaku defenden pertama dan diikuti oleh 3 defenden lain iaitu Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Kerajaan Johor dan Kerajaan Malaysia.
Tuntutan plaintif berhubung dakwaan mereka mempunyai hak milik tanah adat dan tuan punya tanah di rizab Taman Negara Johor, Gunung Ledang yang didiami ketika ini.
Selain itu, plaintif turut memohon perintah menghalang mana-mana puak daripada memasuki atau melaksanakan sebarang kerja di tanah tuntutan tersebut.
Ayub berkata pewartaan itu dijalankan berdasarkan laporan dan teguran daripada Jabatan Audit Negara cawangan Johor terhadap Kajian Pengurusan di Taman Negara Johor pada 2014, yang mengesyorkan pengukuran halus dilaksanakan di kawasan rizab berkenaan bagi melihat pertindihan kawasan yang berlaku pencerobohan.

LETAK JAWATAN PENGERUSI MARA, KETUA PENERANGAN UMNO!!

Apa pilihan untuk Annuar Musa?

Sebaik didedahkan tentang tajaan oleh Pelaburan Mara Bhd dan UniKL kepada pasukan bolasepak Kelantan, dengan bangga beliau mengatakan tidak perlu perlu melayan "hujah-hujah bodoh" seperti itu.

Tetapi, tidak lama kemudian segera berubah fikiran  apabila dengan bangga mengatakan pasukan bolasepak Kelantan tidak pernah menerima tajaan walau satu sen pun daripada Mara.

Tetapi hari ini, berlainan lagi nadanya.

Semalam rupa-rupanya Annuar tidak sedar bahawa bersama pendedahan Tengku Mahkota Johor itu turut sama disertakan salinan surat permohonan tajaan, cek dan slip bank sebagai bukti apa yang didedahkannya.
Alasannya, beliau sedang berada di kawasan Taman Negara yang tidak mempunyai kemudahan internet, lalu tidak mendapat gambaran sebenar mengenainya, sebaliknya hanya berdasarkan mesej dan panggilan daripada kawan-kawannya saja.

Makna kata, jika tidak ditunjukkan bukti, walaupun mengetahui perkara yang sebenarnya, Annuar masih lagi cenderung untuk menafikan perkara itu.

Hanya setelah tidak mampu menafikan dan berdalih, barulah beliau mengaku akhirnya.

Sebab itu, hari ini nada Annuar berubah lagi. 

Katanya, pendedahan bukti-bukti itu menunjukkan tajaan kepada pasukan bolasepak Kelantan telah dijalankan dengan telus serta teratur.

"Bagi saya, kita ucapkan terima kasih atas edaran itu kerana ia menunjukkan kedua-dua pihak lakukan dengan begitu teratur. Ada tawaran, ada rundingan dan tawar menawar, ada kontrak, ada baucer, ada resit dan lain-lain lagi.

"Saya percaya bukan dengan UniKL saja, tetapi dengan semua penaja lain. Semuanya dibuat secara tertib dan berperaturan," ujarnya lagi.

Mengapa tidak awal-awal lagi Annuar mengakui perkara sebenar berkenaan tajaan itu sedangkan beliau tahu duduk perkara yang sebenarnya?

KENAPA DAH KANTOI baru nak ditangguhnya !!!

Bayangkan jika #TMJ tak kantoikannya. Makin seronoklah 'mereka' itu perbodohkan rakyat.

Dahulu rata2 pelajar dapat pinjaman mahupun biasiswa MARA..

Kini apa dah jadi pada MARA ?.. ke mana perginya segala peruntukan dana pinjaman/ biasiswa ??!!

Ameno tetap akan kata,
Ini semua salah cina-DAP...

Sampai skrg SPRM tak berani sentuh syarikat TRW & TSAM.

Malah hingga ke harini pihak polis masih bisu wpon repot polis sudah dibuat ke atas TSAM.

SEBAB itu #TSAM mati2an pertahan TRW wpon dh letak jawatan Presiden KAFA.

Program 1MDB ‘cuci otak’ pelajar UM: DAPSY kecam tindakan heret empat pelajar ke jawatankuasa disiplin

Sosialis Muda DAP (DAPSY) mengecam tindakan Universiti Malaya (UM) mengheret empat pelajar ke jawatankuasa disiplin ekoran memprotes kenyataan putar belit pihak 1MDB dalam satu program anjuran institusi pendidikan awam itu pada tahun lalu.
Empat pelajar itu merupakan ahli UMANY (Persatuan Anak Muda Baru Universiti Malaya);  Timbalan Presiden, Tan Jia You, Ketua Biro Publisiti, Chua Hun Ti dan Setiausaha Agung, Lau Li Yang, dituduh menganggu ketenteraman awam, tidak berdisiplin dan menghasut atau kononnya terlibat dalam boikot program rasmi universiti.
Manakala, bekas Presiden UMANY, Ho Chi Yang pula berdepan tuduhan yang sama kecuali tuduhan mengganggu ketenteraman awam.
“DAPSY menggesa pihak universiti supaya berhenti mengugut pelajar melalui tindakan disiplin dan menghormati hak kebebasan menyuarakan pandangan seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Mereka hanya menyampaikan pandangan rakyat mengenai skandal 1MDB.
“Oleh itu, adalah tidak adil, dan tidak bijak dan tidak berperlembagaan untuk menghukum pelajar kerana mereka mempunyai hak untuk memprotes dan menyuarakan keresahan rakyat,” ujar Pengarah Biro Hal-Ehwal Universiti dan Kolej Universiti DAPSY, Leong Yu Sheng.
Atas alasan itu, katanya, DAPSY menuntut supaya pihak UM menggugurkan kesemua tuduhan terhadap mereka.
Empat pelajar berkenaan mengangkat plakad ‘anti-1MDB’ sebagai tindakan memprotes pada 11 Oktober tahun lalu, dalam satu sesi perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang dianjurkan UM.
Mereka mendakwa sesi perbincangan antara pihak 1MDB dan pelajar itu bertujuan untuk ‘membasuh otak’ dan memperdaya penuntut berhubung isu skandal syarikat pelaburan bermasalah milik negara berkenaan.