Jadi saya tidak akan menceritakan kepada anda betapa tahun baharu ini membawa sedikit kemurungan setelah dinasihatkan doktor untuk berehat sebulan kerana masalah kaki. Ini diterjemahkan tiada aktiviti berbasikal dan futsal. Tidak, hal ini saya simpan sendiri.
Juga saya tidak akan ceritakan bagaimana tercuit hati bila mengetahui beberapa sahabat dalam industri, sudah dan akan meninggalkan kerjaya tidak lama lagi. Pergilah kerana kerjaya wartawan ini hanya tawarkan intangible wealthness iaitu kemewahan tidak ketara pada pandangan mata. Tidak mengapa, hanya yang kental berupaya kekal.
Berikut, adalah harapan dan sasaran yang jika tidak sukar sangat dicapai, memadai sekadar angan-angan sahaja:
1 Harga barang tidak melangit
Minggu lepas, berbeli peralatan sekolah anak. Makin terasa peritnya. Belum lagi dikira barangan makanan yang dibeli secara mingguan. Habis semua pasar raya yang isytihar tawar harga rendah dikunjungi. Sama saja. Kalau tak murah pada makanan basah, ia mahal pada makanan tin. Kos kehidupan makin meresahkan. Siapa lagi boleh kita salahkan?
2 Rakan setugas bermasalah
Kadar kesilapan yang dicatat tahun lalu, mendorong markah prestasi menurun. Seharusnya ada kesedaran pada individu berkenaan menginsafi kesilapan dan berusaha memperbaiki prestasi untuk tahun 2017. Tetapi ayat ini pun ulangan dari 2015 dan 2016. Statik. Pasif. Letih kita menanggung tsunami jiwa.
3 Ego
Ego adalah aksesori yang wujud standard dalam setiap individu. Sama macam hazard light dalam kereta, jangan pasang semasa memandu dalam hujan lebat. Ini peraturan sebenar. Hazard light hanya dipasang bila kereta tidak bergerak. Tetapi masih ramai terus memandu dengan memasang lampu hazard. Samalah ramai yang tebal dengan ego. Orang nampak ego anda. Orang nampak bahaya anda walhal ego sepatutnya tidak dinyalakan.
4 Aktif dalam kerja kebajikan
Dalam situasi ekonomi semasa, golongan kurang bernasib baik akan merasa impak paling teruk. Kita iaitu golongan yang sibuk beratur berjam-jam menukar kad ATM baharu minggu lepas, berperanan besar untuk membantu dalam apa cara sekali pun. Antara ciri-ciri manusia bertamadun dan berakhlak ialah kesudian membantu mereka yang memerlukan.
5 Berterima kasih dan memaafkan
Dua perkataan yang paling sukar dan jarang dituturkan ialah 'terima kasih’ dan 'saya minta maaf’. Ketahuilah, kedua-dua perkataan ini penuh barakah dan magis. 'Terima kasih’ pantas mencetuskan senyuman. 'Saya minta maaf’ akan lahirkan kelegaan dalam hati penutur dan orang yang dituturkan. Cubalah.
6 Berkayuh basikal
Sehingga minggu lepas, saya berjaya 'menghasut’ seorang lagi sahabat untuk turut serta dalam aktiviti berbasikal. Dalam sehari, tiga kedai basikal kami kunjungi sebelum dia membuat keputusan muktamad. Tidak perlu basikal mahal. Mulakan dengan yang sederhana. Kenali basikal dan gaya kayuhan peribadi anda. Esok-esok upgrade, bila sudah konsisten dan basikal tidak jadi tempat jemuran baju.