Jumaat, 15 Disember 2017

Blogger pro-Pakatan buat laporan polis atas kerugian rizab BNM


Blogger pro-Pakatan buat laporan polis atas kerugian rizab BNM
Mohd Hanizam Yunus, atau lebih dikenal sebagai 'Blue Ocean' berkata, lebih banyak laporan polis akan dibuat oleh blogger-blogger Pakatan Harapan lain di seluruh negara hari ini. 
SEORANG blogger pro-Pakatan Harapan (PH) telah membuat laporan polis, mendesak pihak berkuasa menyiasat kerugian rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) yang didakwa bernilai RM160 bilion.
Mohd Hanizam Yunus, atau lebih dikenal sebagai "Blue Ocean" berkata, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menekan kerajaan, lebih banyak laporan polis akan dibuat oleh blogger-blogger PH lain di seluruh negara hari ini.
"Kami mahu polis siasat perkara ini supaya kami tahu apa yang terjadi kepada RM160 bilion yang Bank Negara rugi beberapa tahun lepas.
"Jumlahnya tujuh kali lebih tinggi daripada kerugian forex 30 tahun lepas," katanya selepas membuat laporan polis di ibu pejabat polis Dang Wangi di Kuala Lumpur.
Hanizam merujuk kerugian dagangan tukaran asing BNM yang berlaku pada awal 1990-an, semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri.
Dr Mahathir pula menekankan kerugian rizab antarabangsa BNM yang berlaku antara 2013 dan 2015 bagi membalas kritikan terhadap kerugian forex semasa beliau mentadbir negara.
Beliau menuduh Putrajaya bersikap "diskriminasi" kerana menjalankan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) forex yang melibatkan dirinya dan beberapa tokoh lain ketika itu.
Bekas perdana menteri itu yang kini pengerusi Bersatu juga mempersoalkan mengapa pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak lebih mementingkan kerugian forex bernilai RM31.5 bilion yang berlaku 30 tahun dulu, sedangkan jumlah kerugian rizab antarabangsa dalam tempoh tiga tahun itu lebih besar iaitu AS$39.6 bilion atau Rm160 bilion.
Dr Mahathir turut menyebut kehilangan wang melalui dagangan forex itu bukan "dicuri".
BNM dalam laporan tahunannya merekodkan rizab antarabangsanya untuk 2013 pada RM441.9 bilion (AS$134.97 bilion). Pada 2015, rizab itu menurun kepada RM409.1 bilion (AS$95.3 bilion). Pada tahun lepas, BNM melaporkan RM423.9 bilion (AS$94.5 bilion).
Pada 2013, kadar pertukaran adalah RM3.27 bagi setiap dolar AS. November lalu, ia jatuh pada RM4.44, iaitu paras terendah sejak krisis kewangan Asia. Semenjak itu, ringgit ditutup pada RM4.09 pada Jumaat.
RCI telah mengesyorkan Dr Mahathir, bekas kewangan Anwar Ibrahim dan bekas penasihat BNM Nor Mohamed Yakcop disiasat kerana pecah amanah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA