Selasa, 17 Oktober 2017

Saya tak akan tunduk dengan ‘taktik kotor’, kata ketua SPRM

Saya tak akan tunduk dengan ‘taktik kotor’, kata ketua SPRM
Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkefli Ahmad berkata “taktik kotor” itu tidak akan mengganggunya daripada perjuangannya menentang rasuah. 
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkefli Ahmad akhirnya bersuara susulan dakwaan mengatakan beliau menjalinkan hubungan sulit, berkata tidak akan membenarkan “taktik kotor” seperti itu mengganggunya daripada perjuangannya menentang rasuah.
Dzulkefli memberitahu TV3 yang serangan itu dibuat susulan pendekatan agresif SPRM sejak awal tahun ini terhadap mereka yang terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa.
“Taktik kotor ini bertujuan untuk mencemarkan imej saya dan reputasi sebagai pesuruhjaya SPRM dan menjatuhkan kredibiliti SPRM dalam menjalankan tugas kami memastikan negara kita bebas rasuah dan salah guna kuasa,” katanya tanpa memperincikan “taktik kotor” itu.
Dzulkifli berkata beliau tidak akan tunduk dengan serangan seperti itu dan akan terus membanteras rasuah.
“Kami akan terus menjalankan tugas sebaik mungkin. Tuduhan seperti itu tidak akan menjejaskan kami,” katanya kepada TV3.
Katanya, beliau juga menghubungi Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mengenai perkara itu.
“Saya akan serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya,” kata Dzulkefli.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan isi kandungan video itu dan tidak menyebut sama ada video itu benar atau tidak.
Kempen bertujuan untuk mencemarkan imej itu dikatakan dilancarkan terhadap Dzulkifli susulan tindakan kerasnya terhadap rasuah.
Beberapa siri video mendakwanya menjalinkan hubungan sulit menjadi viral di media sosial.
Beliau selama tempoh itu hanya mendiamkan diri dan enggan bertemu media sehinggalah malam ini.
Sementara itu, Fuzi berkata polis membuka siasatan terhadap kes itu dan sedang menyiasatnya di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan menggoda wanita yang sudah berkahwin dengan niat untuk mengadakan hubungan haram.
Jika didapati bersalah, seseorang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
"Beri kami masa untuk siasat perkara ini. Bukan mudah bagi kami untuk mengesan tetapi kami sedang berusaha keras untuk mencari siapa yang bertanggungjawab," katanya.
Wanita yang dikaitkan dengan Dzulkifli itu kemudian tampil dan berkata dia akan menanggung kesalahan namun tidak akan mendedahkan punca sebenar perceraiannya.
Dia memohon maaf kepada Dzulkifli dan keluarganya secara terbuka di Facebook.
Tuduhan itu berlaku ketika SPRM giat menahan beberapa ahli politik dan penjawat awam berpangkat tinggi yang terlibat dengan rasuah.

3 ulasan:

  1. Klu xda angin masakkan pokok bergoyang
    Lu fikir la sendiri...integriti

    BalasPadam
  2. Apa nak risau kalau tak bersalah, biar sahaja polis buat siasatan. Tak perlu tunjukkan kegelisahan...

    BalasPadam
  3. Kalu SPRM bertindak keras dan agresif....najib da kuncu2 penyamunnyer dah lama bermastautin kat sg buloh....tolong jgn berdramalah....skrip drama najib sempena PRU 14.....nampak sgt terdesak najib....brp juta najib bg utk watak kambing hitam.....hihihi

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA