Selasa, 19 September 2017

Cerita Bank Negara Malaysia rugi mungkin kekal misteri

SIASATAN terhadap kerugian forex Bank Negara Malaysia (BNM) yang berakhir hari ini mungkin tidak akan menemui jawapan punca sebenar kerugian itu kerana percanggahan keterangan tentang apa yang diketahui oleh Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim mengenainya.
Pendengaran yang bermula pada 21 Ogos dan berakhir pagi tadi, menyaksikan keterangan bercanggah dalam kalangan semua 25 saksi yang dipanggil.
Bekas menteri kewangan kedua Nor Mohamed Yakcop, yang juga penasihat BNM ketika kerugian berlaku, berkata sehingga 1993, beliau tidak pernah memaklumkan kepada Dr Mahathir yang juga perdana menteri pada masa itu dan Anwar, menteri kewangan, mengenai kerugian berkenaan.
APA YANG KITA TAHU TENTANG RCI
Bekas timbalan ketua setiausaha (II) kementerian kewangan, Clifford Francis Herbert berkata beliau ada maklumkan, dalam satu mesyuarat pada penghujung 1993 di mana Anwar, turut hadir.
Herbert berkata kerugian itu mencecah RM30 bilion dan ketika dimaklumkan mengenainya, katanya Dr Mahathir memberi respons dengan berkata “kadangkala kita dapat untung dan kadangkala kita rugi”.
Dr Mahathir menafikan keterangan Herbert semalam.
Kedua-duanya, bekas perdana menteri itu dan Anwar berkata mereka hanya tahu kerugian itu berjumlah RM5.7 bilion seperti dilaporkan dalam laporan audit tahunan BNM yang dibawa ke Kabinet, dan jumlah sama diulang dalam pembentangan di Parlimen.
Dalam cubaan RCI itu untuk membongkar sama ada Dr Mahathir dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin sudah pun tahu mengenai urus niaga forex BNM yang dijalankan secara agresif dan membenarkannya, kedua-dua individu itu berkata bank pusat itu beroperasi secara autonomi dan tidak perlu melaporkannya kepada mereka.
Terdapat juga percanggahan antara keterangan bekas juruaudit kanan kerajaan P Kanason Pothinker dengan ketua khidmat nasihat di bahagian undang-undang Ainum Mohamed Saaid.
Kanason berkata susulan siasatannya terhadap pendedahan forex yang tinggi, Ainum mengarahkannya supaya tidak berbuat begitu kerana “orang atasan” mengarahkan jangan campur tangan dalam perkara itu.
Ainum menafikannya.
RCI itu turut menyaksikan keterangan yang berkualiti rendah, susulan umur sesetengah saksi, ada yang berusia antara 70-an hingga 80-an. Mereka sudah ingat-ingat lupa tentang tarikh, nama dan angka.
Bekas ketua audit negara Ishak Tadin, 85, yang turut disenaraikan sebagai saksi, tidak hadir hari ini seperti dijadualkan kerana masalah kesihatan dan mudah lupa ingatan, kata anak lelakinya yang memaklumkan RCI hari ini.
Akses kepada dokumen disekat
Semua 42 dokumen di mana RCI, yang diketuai bekas pengerusi Petronas, Sidek Hassan akan menyediakan dapatan suruhanjaya, tidak akan didedahkan kepada umum dan dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi, menyebabkan mustahil untuk mendapatkan pengesahan yang bebas.
Ini termasuk laporan audit yang merekodkan kerugian bank pusat itu sebagai RM31.5 bilion dari 1991 hingga 1994, menurut saksi pertama RCI, bekas pengurus akaun BNM Abdul Aziz Abdul Manaf.
Dan juga, angka kerugian AS$10 bilion, seperti didakwa bekas penasihat BNM dan kemudian penolong gabenor Abdul Murad Khalid, tidak pernah dibuktikan.
Murad tidak pernah menjelaskan bagaimana beliau mendapatkan angka itu dan permintaan peguam Dr Mahathir, Haniff Kathri Abdulla untuk Murad dipanggil semula, ditolak hari ini.
Akses kepada bahan lain yang tidak diklasifikasikan di bawah OSA juga ditolak, kata peguam yang mewakili Dr Mahathir dan Anwar.

Anak muda tidak percaya ahli politik, dedah kaji selidik

Anak muda tidak percaya ahli politik, dedah kaji selidik
Pengarah Merdeka Centre Ibrahim Sufian berkata ramai belia di Malaysia memandang rendah ahli politik dan tidak berminat mendaftar sebagai pengundi. 
RAMAI anak muda di Malaysia memandang rendah ahli politik dan kerana itu mereka bersikap acuh tidak acuh untuk mendaftar sebagai pengundi, dedah satu kaji selidik terbaru Merdeka Centre dan Watan.
Kaji selidik yang dibentangkan di Petaling Jaya malam ini menunjukkan tujuh daripada 10 anak muda tidak mempercayai ahli politik manakala lebih separuh menganggap pemimpin politik tidak pedulikan rakyat.
Lebih tiga perempat daripada responden kaji selidik itu turut menyatakan mereka tidak peduli langsung hal politik dan manakala seorang dalam setiap empat orang percaya kalau terlibat dalam proses politik pun, mereka tidak dapat mempengaruhi dasar kerajaan.
"Kami yakin kaji selidik ini mewakili keadaan demografi anak muda di Malaysia," kata Pengarah Merdeka Centre Ibrahim Sufian ketika membentangkan Kaji Selidik Persepsi Anak Muda terhadap Ekonomi, Kepimpinan dan Isu Semasa Kebangsaan.
Watan ialah sebuah badan masyarakat sivil yang menggerakkan kempen kesedaran dalam kalangan anak muda untuk jadi pengundi.
Kaji selidik ini melibatkan 604 responden di seluruh negara merangkumi 68% anak muda Melayu, 23% Cina dan 9% India, dari 165 kawasan Parlimen di seluruh Semenanjung Malaysia, termasuk kira-kira 40% yang belum mendaftar mengundi. Mereka berumur antara 21 hingga 30 tahun.
Ibrahim berkata kaji selidik itu mendapati 53% daripada anak muda yang berdaftar itu mengatakan mereka terlalu sibuk untuk mengundi.
Dapatan kaji selidik ini juga menepati gambaran yang diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Mac lepas apabila ia mendedahkan 4.1 juta orang yang layak mendaftar belum lagi berdaftar sebagai pengundi setakat Februari tahun ini.
“Berdasarkan statistik terkini itu, kira-kira 45% daripada rakyat Malaysia adalah golongan muda dan lebih 4 juta daripadanya tidak berdaftar sebagai pengundi dan ini adalah satu kebimbangan," katanya, seperti dipetik oleh agensi berita Bernama.
Kaji selidik itu juga mendapati 75% golongan muda etnik India lebih menunjukkan rasa tidak peduli dengan politik, diikuti Melayu (71%) dan Cina (62%). Sejumlah 64% daripada yang tidak peduli politik itu juga telah berdaftar sebagai pengundi.
Bagaimanapun anak muda India ini lebih mempercayai ahli politik (40%) berbanding Melayu (29%) dan Cina (20%).
Kaji selidik yang dijalankan antara 3 hingga 18 Ogos lalu ini melibatkan 60% mereka yang bekerja di sektor swasta manakala 15% bekerja sendiri, 11% pelajar atau tidak bekerja dan 8% berkhidmat di sektor awam atau syarikat berkaitan kerajaan. Baki 6% pula suri rumah sepenuh masa.

Anwar masuk hospital

Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur hari ini kerana tekanan darah tidak stabil, semasa menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh.
Menurut anaknya, Anwar dimasukkan ke hospital 2 petang tadi. “Tekanan darah tinggi tidak menentu,” kata Nurul Izzah.
Menurut Izzah, Anwar juga perlukan rawatan fisioterapi untuk kecederaan lama di bahu.
Perkembangan ini merupakan kali kedua beliau dimasukkan ke HKL untuk rawatan tekanan darah tinggi pada 9 Mei tahun lepas, dan otot bahu terkoyak pada 8 Julai 2015.
“Anwar masih bersemangat untuk selamatkan Malaysia,” kata Izzah, yang juga naib presiden PKR.

Sukar lawan BN yang tawar ganjaran, kata Nurul Izzah


Sukar lawan BN yang tawar ganjaran, kata Nurul Izzah
PKR mempunyai 'sistem saringan politik yang jelas' bagi memastikan calonnya setia kepada parti, kata Nurul Izzah. 
SUKAR bagi pembangkang untuk bersaing dengan ahli dalam parti pemerintah yang menawarkan pelbagai ganjaran, kata Naib Presiden Nurul Izzah dalam responnya terhadap berita mengatakan Umno akan cuba membuat beberapa wakil parti pakatan melompat parti.
"Saya fikir akan ada banyak cabaran dalam negara seperti Malaysia, di mana anda mempunyai kerajaan kleptokratik yang sentiasa menawarkan ganjaran dengan cara rasuah, katanya yang ditemui selepas majlis 'Social City 2 Conference' di Kuala Lumpur.
Dengan kembalinya Muhammad Muhammad Taib ke pangkuan Umno, sumber The Malaysian Insight memberitahu yang Muhammad sepatutnya turut membawa lapan wakil rakyat Pakatan bersamanya.
Bagaimanapun, menurut sumber itu lagi usaha itu tidak berhasil kerana tersekat pada peringkat tertinggi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor juga menafikan hal ini ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Tambah Nurul Izzah lagi, PKR mempunyai 'sistem saringan politik yang jelas' bagi memastikan calonnya setia kepada parti.
"Sudah tentu, anda akan lakukan yang terbaik untuk pastikan calon yang tepat diberikan kedudukan, tetapi akhirnya, calon itu sendiri bertanggungjawab untuk mengikut hati nuraninya.
"Kita ada sistem yang kuat. Pada pilihan raya yang lepas, kita tubuhkan jawatankuasa yang dipanggil Jawatankuasa Saringan Calon untuk melihat kredibiliti setiap calon.
"Saya pastikan ada pemerhatian tertentu kepada calon (masuk parti), kedudukan kewangan mereka dan lain-lain," katanya.
Dewan Selangor mempunyai 56 kerusi dengan DAP memegang 14 kerusi, PKR dan PAS masing-masing 13 dan Amanah sebanyak dua kerusi. Sementara Barisan Nasional 12 manakala dua kerusi lagi dipegang parti bebas.

Cadangan pinda Akta GST ke Parlimen bulan depan untuk mengutip berbilion ringgit cukai daripada syarikat asing

Kerajaan mahu mengutip berbilion ringgit cukai daripada syarikat asing yang beroperasi di Malaysia di bawah ekonomi digital.
T-Subromaniam-gst1KUALA LUMPUR: Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 akan dipinda bagi membolehkan kerajaan mengutip berbilion ringgit cukai daripada syarikat asing yang beroperasi di Malaysia di bawah ekonomi digitial.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata cadangan pindaan itu akan dibentangkan pada sesi persidangan Parlimen bulan depan.
“Kerugian terbesar dalam ekonomi digital ialah transaksi perniagaan kepada pengguna. Syarikat yang menyediakan perniagaan itu berada di luar negara dan menghantar terus kepada pengguna di sini, Mereka mungkin dapat pembayaran serta-merta sedangkan perkhidmatan itu tidak dikenakan cukai.
“Ini merupakan diskriminasi ke atas penggiat tempatan yang dikenakan cukai,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan GST 2017 di sini hari ini.
Subromaniam berkata antara perniagaan dalam ekonomi digital di Malaysia yang kini tidak dikenakan cukai melibatkan pemaju perisian dan platform media sosial terkemuka.
Beliau berkata cadangan pindaan ke atas Akta GST masih di peringkat perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan pihak berkuasa yang berkaitan.
Sementara itu beliau berkata kastam dalam kedudukan yang baik untuk mencapai sasaran kutipan cukai sebanyak RM42 bilion tahun ini, termasuk sumbangan daripada GST.
Jabatan itu mengumpul RM41 bilion cukai pada 2016.

Peguam: Ketiadaan saksi penting penghalang siasatan forex

Bekas gabenor BNM Jaafar Hussein dan bekas ketua audit negara Ishak Tadin sepatutnya dapat memberi bukti jika siasatan dijalankan pada waktu sebetulnya, kata Gurdial Singh Nijar.
Gurdial-Singh-bnmPUTRAJAYA: Kegagalan mendapatkan 2 saksi utama untuk memberi bukti menjadi halangan besar kepada usaha Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat kerugian tukaran mata wang asing yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) kira-kira 25 tahun lalu, kata seorang peguam.
Gurdial Singh Nijar berkata perkara ini menjadi peringatan yang pihak berkuasa patut jalankan siasatan sejurus selepas sesuatu kegagalan berlaku supaya fakta kejadian segar dalam ingatan saksi.
Gurdial, yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pendengaran RCI, berkata, bekas gabenor BNM Tan Sri Jaafar Hussein dan bekas ketua audit negara Tan Sri Ishak Tadin 2 saksi penting yang boleh memberikan fakta kejadian.
“Bagaimanapun, Jaafar sudah meninggal dunia dan Ishak pulak tidak kompeten untuk memberi bukti kerana masalah kesihatan”, katanya kepada pemberita.
Pengerusi RCI Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebelum ini mengumumkan prosiding ditamatkan tanpa mendengar testimoni Ishak yang sepatutnya menjadi saksi terakhir.
Anak kepada Ishak, Rizal, berkata, ayahnya yang memegang jawatan ketua audit negara antara 1986 dan 1994 tidak dapat memberi keterangan kerana hilang ingatan.
Beliau berkata memori dan kemahiran berfikir bapanya lemah dan beliau tidak dapat mengingati fakta penting yang relevan kepada siasatan.
“Bapa saya mula mempunyai kelemahan kognitif pada 2007. Akibatnya, beliau tidak mampu ingat,” katanya.
Jaffar yang menjadi gabenor pada 1986 sehingga 1994 letak jawatan selepas bertanggungjawab ke atas kerugian itu dan meninggal dunia pada 1998.
Gurdial berkata hasil RCI akan menjadi cacat kerana banyak fakta kes tidak dapat disahkan menerusi 2 personaliti itu.
“Terdapat jurang besar pada rantaian bukti. Contohnya, kita tidak tahu tentang komunikasi antara Jaafar dan Anwar yang ketika itu menteri kewangan,” kata Gurdian yang hadir pada perbicaraan itu bersama peguam, Sivarasa Rasiah.
Gurdial berkata beliau hairan mengapa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed kini bersetuju mengadakan RCI atas kerugian forex, sedangkan beliau menolak perkara itu pada 1993 ketika beliau timbalan menteri kewangan.
Sementara itu, Sivarasa berkata prosiding RCI itu tidak adil kerana peguam yang mewakili pihak terlibat tidak diberikan dokumen penting.
“Bagaimana harus kita sediakan penyerahan terperinci untuk pertimbangan RCI apabila kita dinafikan fakta material dalam dokumen?” soalnya.
Sivarasa meramal Anwar akan menjadi salah seorang yang dipertanggungjawabkan dalam laporan itu.

Nor Mohamed Yakcop letak jawatan di Khazanah


Nor Mohamed Yakcop letak jawatan di Khazanah
Nor Mohamed Yakcop meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi di syarikat pelaburan strategik negara, Khazanah Nasional Berhad. 
NOR Mohamed Yakcop meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi di syarikat pelaburan strategik negara, Khazanah Nasional Berhad berkuat kuasa 30 September ini.
Beliau juga melepaskan kedudukannya sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).
"Peletakan jawatan itu dikemukakan pada Mesyuarat ke-84 Lembaga Pengarah Khazanah, hari ini," kata Khazanah melalui satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini.
Perdana Menteri Najib Razak selaku Pengerusi Khazanah merakamkan terima kasih kepada Nor Mohamed atas sumbangannya kepada syarikat itu terutamanya dalam menjayakan Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
"Lembaga Pengarah menerima keputusan beliau dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya," kata Najib, dalam kenyataan yang sama.

Dr M kecewa, terkejut jaguh anti-rasuah Barat sanggup jemput Najib

Bekas perdana menteri itu berkata rakyat Malaysia percaya kerajaan Barat yang amat menentang perasuah sekurang-kurangnya akan memulaukan Najib.
mahathir_najibtrump_600
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini terkejut dan kecewa jaguh anti-rasuah negara Barat sanggup menjemput Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melawat negara mereka dan mengadakan perbincangan dengannya.
Bekas perdana menteri itu berkata rakyat Malaysia percaya kerajaan Barat yang amat menentang perasuah sekurang-kurangnya akan memulaukan Najib.
Sebaliknya, kerajaan Barat menjemput Najib kerana beliau menawarkan untuk membeli pesawat dan senjata. Kerajaan Barat, kata Dr Mahathir, dikaburi duit berbilion “yang dikipas depan mata mereka”.
“Segala rasuah dan jenayah Najib diketepikan kerana wang tunai lebih utama dari kemuliaan maruah dan prinsip,” katanya di blog hari ini.
Najib baru-baru ini berkunjung ke Rumah Putih untuk bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, sebelum ke 10 Downing Street untuk bertemu Perdana Menteri Britain Theresa May.
Selepas pertemuan dengan Theresa, Najiib mengumumkan Malaysia sedia mempertimbangkan cadangan untuk mengukuhkan ikatan ekonomi kedua-dua negara pasca-Brexit.
“Kita tak tahu apakah yang ditawar oleh Najib untuk dibeli dari Britain. Boleh jadi pesawat-pesawat pejuang Typhoon. Mungkin 1 atau 2 squadron,” katanya.
Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia menanam harapan kosong apabila mengharapkan kerajaan Barat dengan “hidung tingginya” akan bertindak terhadap jenayah yang sebenarnya dlakukan di negara mereka.

NAMPAK TAK !!!

WOWW !!!.. 760,000,000,000 tu... Kalau setakat 'derma' 2.6 bilion tu apa nak heran...

Najib tak rambang mata ker...

Sejarah Tak Pernah Menipu...

Pada tanggal 24 Mac 2010, berita Bernama melaporkan slps beberapa bulan Najib jadi PM, Najib telah meminta KWSP supaya henti pelaburan KWSP pada syarikat-syarikat GLC dalam negara..

Sama-sama kita nantikan kebenarannya kelak..


Di ambang ribut politik, Azmin gesa Najib hormati demokrasi

Kalau Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali tergugat sekalipun dengan rampasan kuasa yang hampir berlaku di Selangor sehingga menyebabkan pembangkang kehilangan negeri berharga itu, beliau tentunya bijak menyembunyikan kegusarannya, malah ada mesej kepada Perdana Menteri Najib Razak yang dipercayai mendalangi cubaan rampasan kuasa itu.
"Bagitahu Najib, dia kena bertanggungjawab menghormati prinsip demokrasi dalam negara,” kata Azmin dengan tenang kepada The Malaysian Insight hari ini.
Apabila ditanya sekiranya berita tentang lompat parti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor meletakkan PKR dan kepimpinan negeri dalam risiko, Azmin hanya menepis dan berkata Najib sebenarnya yang perlu menjaga kedudukannya yang semakin goyah.
"Yang berisiko itu Najib sebab dia seorang pemimpin yang tidak menghormati prinsip demokrasi dan keputusan yang dibuat rakyat."
Sidang media khas Najib pada Ahad lalu dilaporkan bertujuan menyambut bekas menteri besar Selangor, Muhammad Taib dan lapan ADUN PKR yang dikatakan akan berpaling tadah menyokong Umno seterusnya menyebabkan kepimpinan kerajaan negeri bertukar tangan kembali kepada Barisan Nasional.
Bagaimanapun, hanya Muhammad, 72, yang hadir mengumumkan kepulangannya ke pangkuan parti orang Melayu itu.
Di Selangor, DAP mempunyai kerusi paling banyak iaitu sebanyak 14, diikuti PAS dan PKR dengan 13 kerusi, sementara Amanah mempunyai dua kerusi. Manakala, BN menang 12 kerusi negeri pada pilihan raya lalu.
Baki dua kerusi lagi dipegang ADUN bebas, Loh Chee Heng (Teluk Datuk) yang dipecat daripada DAP pada 2016 dan kerusi Pelabuhan Klang pula dipegang bekas Menteri Besar, Khalid Ibrahim yang juga dipecat oleh partinya, PKR.
Dengan 34 ADUN, BN mampu merampas kembali kerajaan negeri, mengulangi tindakan BN merampas Perak daripada Pakatan Rakyat pada 2009 selepas tiga ADUN daripada DAP dan PKR menjadi wakil rakyat mesra BN.
Berikrar setia
Menteri besar Selangor itu juga enggan mengulas apakah beliau masih percaya dan yakin pada ADUN dalam kerajaannya.
ADUN Selangor dari PKR yang dihubungi oleh The Malaysian Insight semalam menafikan dakwaan ada dalam kalangan mereka yang akan lompat parti dan menegaskan kerajaan pimpinan Azmin masih teguh.

"BELUM DAPAT KUASA, DAH LUPA RABU, KHAMIS, JUMAAT"

Walaupun tulisan Tun Mahathir Mohamad bertajuk "Kafirkah Saya?" ditujukan kepada Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dan sehingga ini beliau belum tampil memberikan reaksinya, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad nampaknya lebih pantas membalasnya.

Selain mengatakan Tun Mahathirlah punca perpecahan, bukan saja kepada orang Melayu, tetapi juga UMNO, Idris berkata, "sekarang apabila tidak ada kuasa,  baru sedar Rabu, Khamis, Jumaat."

"Biar Tun Mahathir tengok hasil kerja tangannya selama 22 tahun," ujar Idris yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Perak.

Sesungguhnya kita tidak menafikan ada kelemahan-kelemahan tertentu sepanjang Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, tetapi tentulah sukar untuk menafikan bahawa  9 tahun Najib berkuasa jauh lebih buruk berbanding 22 tahun pemerintahannya.

Hari ini, dengan Tun Mahathir berjuang bersama Pakatan Harapan dan terus diberikan kesihatan dan pemikiran yang baik, ia mungkin suatu rahmat daripada Tuhan untuk beliau tampil menyelamatkan negara, sebagaimana kemampuannya menyerlahkan banyak kecemerlangan untuk Malaysia sebelum ini.

Rakyat yang sedar akan kerosakan tersebut serta beban sengsara yang ditanggung dalam meneruskan kehidupan, tentulah dengan sendirinya sukar menolak perjuangan Tun Mahathir sekarang.

Lebih-lebih lagi bila membayangkan kemungkinan era makin gelap dan jauh lebih menakutkan sekiranya Najib terus dikekalkan kuasanya selepas PRU 14 akan datang.

Sementara Idris mendakwa Tun Mahathir, setelah tiada kuasa, baru sedar Rabu, Khamis, Jumaat, sebaliknya apa jadi kepada Pas ketika ini?

Barat talam dua muka terima lawatan Najib

Amerika Syarikat dan United Kingdom yang sebelum ini sering mengkritik negara membangun berhubung rasuah, ternyata bersikap hipokrit apabila menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu mendakwa, skandal yang mengaitkan Najib diketahui seluruh dunia dan media barat sendiri lantang membuat laporan terhadap "salah laku dan jenayah oleh Najib".
"Amatlah mengecewakan dan mengejutkan apabila dilihat jaguh-jaguh antirasuah Barat sanggup menjemput Najib untuk melawat negara mereka dan mengadakan perbincangan dengannya.
"Sebabnya kerana Najib menawar untuk membeli pesawat komersial mereka. Yang mengaburi mata mereka ialah duit berbilion yang dikipas di depan mata," katanya dalam blog hari ini.
Ketika pertemuannya dengan Presiden AS Donald Trump minggu lalu, Najib antara lain berkata Malaysia akan membeli 33 hingga 58 buah kapal terbang Boeing dengan nilai AS$10-20 bilion, selain Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menggandakan pelaburan di sana.
Selepas lawatan itu, beliau terbang ke United Kingdom untuk bertemu Perdana Menteri Theresa May. Namun lawatan itu tidak diwar-warkan media dan tidak diketahui jika ada perbincangan tentang sebarang usaha sama atau pelaburan.
"Kita tak tahu apakah yang ditawar Najib untuk dibeli dari Britain. Boleh jadi pesawat pejuang Typhoon, mungkin satu atau dua squadron. Itu boleh jadi harga untuk peluang bergambar di depan (pejabat dan kediaman rasmi perdana menteri UK) No 10 Downing Street di London," katanya.
image: https://i.malaysiakini.com/1155/20ffca9a9f913a15efbd1dc581446d1d.jpeg
Ketika menjadi perdana menteri, Mahathir memang terkenal kritis terhadap negara maju, antaranya kerana dilihat cuba "memaksakan nilai" terhadap negara membangun.
Malah selepas beberapa bulan memegang jawatan itu, beliau memulakan 'buy British last', iaitu dasar memboikot barangan negara itu selepas timbulnya beberapa pertikaian.
Mahathir berkata lagi, dua lawatan itu membuktikan rakyat tidak boleh mengharapkan negara barat untuk bertindak ke atas dakwaan salah laku walaupun dilakukan di negara mereka.

Politik Umno cukup tidak bijak sembang pemimpin PAS

PAS tempelak Mahathir

'Raja Katak' kini milik Mat Taib, umum Tok Him

Sandiwara sebuah RCI sudah berakhir


Sandiwara sebuah RCI sudah berakhir
Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia hampir 30 tahun lalu menamatkan prosidingnya hari ini selepas menyoal siasat 25 saksi dan meneliti 42 dokumen berhubung kerugian tersebut.
SANDIWARA sudah tamat. Selesailah sudah siasatan paling amatur dalam sejarah Malaysia yang diadakan semata-mata untuk tujuan politik.
Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia hampir 30 tahun lalu menamatkan prosidingnya hari ini selepas menyoal siasat 25 saksi dan meneliti 42 dokumen berhubung kerugian tersebut.
Moga-moga kita tidak akan melihat kepura-puraan seperti ini lagi. Ia dipengerusikan oleh seorang yang tentunya akan dikenang rendah. Mohd Sidek Hassan mengakhiri kariernya dalam perkhidmatan awam sebagai Ketua Setiausaha Negara dan kemudian dilantik sebagai Pengerusi Petronas namun tingkah lakunya tidak sama sekali menggambarkan kedudukannya.
Beliau awal-awal lagi sudah membuat rumusannya, enggan menarik balik kenyataannya serta menyoal saksi seperti bermusuh sehingga menyebabkan mereka yang hadir rasa bingung dan kesal.
Orang bertanya apakah ini satu siasatan atau perbicaraan.
Dr Mahathir Mohamad menunjukkannya dengan jelas apabila menyatakan dengan terbuka tujuan RCI ini bukanlah satu siasatan terhadap kerugian urus niaga mata wang asing tetapi semata-mata untuk memburukkannya.
“Ia hanya untuk mencari cara menunjukkan saya buruk di mata rakyat. Bahawa pada masa saya dulu, ada juga wang dicuri,” katanya kepada pemberita di Putrajaya.
Ia satu siasatan yang tidak memberikan perhatian kepada bukti-bukti dokumen. Hanya bersandarkan pada apa yang dikatakan oleh saksi dan tiada pula minat untuk memanggil mereka semula apabila keterangan-keterangan itu bercanggah.
Sejak hari pertama, RCI ini tampak seperti satu siasatan yang ditujukan kepada Dr Mahathir, Daim Zainuddin dan lain-lain yang kini jadi musuh kepada Perdana Menteri Najib Razak.
Keterangan dengar cakap dan sesuatu yang kononnya bukti tetapi mempunyai lompong besar diberikan keutamaan yang luar biasa. Rumusan sudah dibuat awal-awal lagi, dan tidak pula ditarik kembali.
Tidak hairanlah apabila rakyat Malaysia yang waras akal fikirannya berhenti mengikuti persidangan RCI ini. Sandiwaranya sangat jelas dan ketara. Ia bukannya sangat satu siasatan tetapi soal siasat dan pendakwaan, semata-mata untuk mencemari pengkritik kerajaan.
Ia tidak begitu menjadi seperti yang diharapkan. Ia hanya menambah selapis lagi topeng pura-pura Putrajaya.

Pengerusi RCI enggan tarik balik kenyataan berkaitan kerugian forex


Pengerusi RCI enggan tarik balik kenyataan berkaitan kerugian forex
Pengerusi RCI Mohd Sidek Hassan juga mengumumkan hari ini adalah hari terakhir prosiding siasatan.
KETUA panel siasatan yang menyiasat kerugian forex Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini enggan menarik semula kenyataan yang dibuat pada awal sesi pendengaran, yang dianggap menjejaskan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Mohd Sidek Hassan berkata beliau tidak akan menarik semula kenyataannya yang dibuat pada hari pertama pendengaran pada 21 Ogos. Kenyataan itu berbunyi, kesimpulan dapat diambil bahawa BNM telah rugi sebanyak RM31.5 bilion.
Peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri Abdulla meminta Sidek menarik semula kenyataannya kerana prosiding siasatan itu masih belum selesai.
"RCI akan membuat kesimpulan muktamadnya. Semasa siasatan, beberapa angka telah muncul. Sama ada ianya berbeza daripada kesimpulan awal, isu ia dikeluarkan tidak timbul.
"Kami akan membuat kesimpulan muktamad apabila menyerahkan laporan (kepada Agong)," kata Sidek hari ini.
Beliau turut mengumumkan hari ini adalah hari terakhir prosiding siasatan. Sepanjang prosiding, panel telah mendengar keterangan daripada 25 saksi dan mengkaji 42 dokumen.
Sidek juga mengumumkan yang panel telah memutuskan untuk menolak permintaan peguam Dr Mahathir.
Selain enggan untuk menarik balik keyataan beliau tentang kerugian itu, Sidek berkata panel juga memutuskan untuk tidak memanggil semula bekas penolong gabenor, Abdul Murad Khalid memberi keterangan.
"RCI dapati yang ia telah melakukan segala yang berkaitan dengannya (Murad). RCI tidak bercadang untuk memanggil Murad," kata Sidek.
RCI juga tidak akan membuat laporan polis terhadap Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Puad Zarkashi kerana kenyataannya terhadap Dr Mahathir.
Puad menuduh bekas penasihat BNM, Nor Mohamed Yakcop berbohong kepada panel kerana melindungi Dr Mahathir.

Selepas 25 saksi, 42 dokumen, siasatan RCI forex tamat

Pengerusi RCI memberi masa sehingga 21 September hujahan bertulis mengenai RCI.
tan-sri-Mohd-Sidek-Hassan
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) berakhir hari ini selepas mendengar keterangan 25 saksi.
Bekas ketua audit negara, Tan Sri Ishak Tadin merupakan saksi terakhir hari ini, tetapi atas masalah kesihatan, beliau diwakili anaknya yang memaklumkan kepada RCI bapanya menghadapi masalah mengingat semula apa yang terjadi lebih 2 dekad lalu.
Pengerusi RCI, Tan Sri Sidek Hassan hari ini memberi masa sehingga 5.00 petang pada 21 September kepada peguam dan pegawai pengendali untuk menyerahkan hujahan bertulis mengenai RCI.
Sebanyak 42 dokumen diteliti dan 25 keterangan saksi didengarkan dalam 9 sesi RCI.
Laporan penuh RCI itu akan diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong pada 13 Oktober.
Sementara itu, Sidek menolak permintaan permintaan peguam Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memanggil semula bekas penolong gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid, ke kandang saksi.
Murad selaku saksi ketiga sebelum ini memberi keterangan dalam siasatan kerugian BNM sebanyak RM31.516 bilion pada 1991 hingga 1994.
Permintaan peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri Abdulla untuk membuat laporan polis terhadap Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Mohd Puad Zarkashi dianggap tidak perlu, selepas Puad berkata bekas penasihat gabenor BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, cuba melindungi Dr Mahathir.
Sidek pada masa sama mempertahankan kenyataannya di awal siasatan RCI yang membuat kesimpulan BNM telah rugi sebanyak RM31.5 bilion.
“RCI akan membuat kesimpulan muktamadnya. Semasa siasatan, beberapa angka muncul.
“Sama ada ia berbeza daripada kesimpulan pertama, isu ia dikeluarkan tidak timbul. Kami akan membuat kesimpulan muktamad apabila kami menyerahkan laporan dan cadangan kepada Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad ke-V,” katanya.
Sebelum ini, Anwar menyelar Sidek yang menurutnya sudah membuat kesimpulan awal mengenai jumlah sebenar kerugian.
RCI ditugaskan menyiasat kerugian forex sebanyak AS$10 bilion (kira-kira RM25 bilion berdasarkan kadar tukaran mata wang pada masa itu) disebabkan oleh Bank Negara antara 1991 dan 1993.
Dakwaan skandal itu berlaku semasa Dr Mahathir berkhidmat sebagai perdana menteri, ketika Daim dan Anwar memegang jawatan menteri kewangan (1991-1998).

Hanya Umno/BN mampu selamatkan rakyat sembang Salleh

Tindakan beberapa pemimpin pembangkang keluar parti menunjukkan parti itu umpama dahan yang rapuh dan tidak mampu menjadi penyelamat kepada rakyat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Merujuk perkembangan semasa, beliau berkata parti pembangkang gagal menyatukan anggotanya untuk terus kekal bersama parti.
Katanya, dua hari lepas bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib yang sebelum ini bersama PKR telah kembali ke pangkuan Umno.
Sebelum itu, bekas Penolong Setiausaha Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Hasnita Hishamudin, bekas Setiausaha PPBM Kamarul Azman Habibur Rahman, Naib Presidennya Datuk Hamidah Osman dan Ketua Srikandi yang juga antara pengasas PPBM, Ainina Saidin turut bertindak keluar parti.

"Alasan mereka keluar parti kerana merasakan perjuangan pembangkang adalah sia-sia, bimbang melihat perpecahan orang Melayu, parti itu tidak pernah berjuang untuk kepentingan anggota dan rakyat kerana lebih mengutamakan kepentingan peribadi serta kroni, dan parti itu telah menjadi alat DAP. "Pertanyaannya, bolehkah kita percaya kepada parti sebegini untuk memerintah negara kita?,” soal beliau dalam catatan terkini di blog sskeruak.blogspot.com, hari ini.
Mengulas catatannya yang bertajuk "Pentingnya memilih parti yang kukuh", Salleh memetik pandangan pakar pemasaran politik dari New Zealand, Lees-Marshment dalam bukunya The Political Marketing Game (2011) yang menyatakan untuk menang dalam pilihan raya, sesebuah parti mesti mempunyai strategi pemasaran politik yang baik.
Menurut penulis itu, satu daripada strategi tersebut ialah berasaskan kepada pasaran, iaitu parti hendaklah mempunyai satu produk besar yang boleh dipasarkan kepada rakyat.
"Jika dalam konteks Malaysia, apakah produk tersebut? Tentunya produk itu ialah imej parti, sumbangan parti dan perpaduan parti.
"Dalam hal ini, hanya Umno dan BN (Barisan Nasional) mempunyai rekod ini,” katanya.
Salleh juga memetik catatan bekas Presiden Amerika Syarikat Bill Clinton dalam bukunya Back to Work : Why We Need Smart Government for a Strong Economy (2011) yang menyatakan rakyat memerlukan kerajaan bijak untuk ekonomi yang kuat, selain kerajaan yang bijak adalah kerajaan yang kukuh, bersatu, menjaga kebajikan rakyat dan tidak berpecah belah.

'Peluru Najib belum habis, Selangor akan ditawan' sembang Annuar

Annuar sahkan lebih ramai pemimpin pembangkang akan masuk Umno

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa hari ini mengesahkan ramai lagi anggota politik Pakatan Harapan (PH) akan menyertai Umno susulan kembalinya bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib ke pangkuan parti itu.
Beliau berkata pengumuman perkara berkenaan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.
“Saya sahkan memang ada anggota daripada PH yang akan menyertai Umno dan kembali kepada Umno, pengumuman itu kami akan dilakukan secara berperingkat, kita tunggu sahajalah,” katanya kepada pemberita selepas Program Bicara Minda dan Sesi Dialog Bersama Rakyat di Kolej Mara Banting, semalam.
Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media bahawa terdapat lapan anggota politik lain dari Selangor sepatutnya menyertai Muhammad Taib ketika beliau diumumkan menyertai kembali Umno Ahad lalu.
Muhammad Taib keluar daripada Umno pada 2013 untuk menyertai Pas dan kemudian meninggalkan Pas untuk menganggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2015.
Mengulas lanjut, Annuar berkata pergeseran dalaman antara parti-parti komponen PH, tiada agenda untuk membangunkan ekonomi rakyat dan negara dilihat menjadi punca anggota politik yang berkenaan berminat dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).
“PH ini bukan sebenarnya mahu membantu rakyat dan membangunkan negara, mereka hanya berebut kuasa dan membuat tohmahan dan fitnah semata-mata.
“…dan sekarang banyak tohmahan dan fitnah mereka ini telah terjawab dengan sendiri, isu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan ditangkap jika ke Amerika Syarikat ternyata tipu, isu 1MBD, wang derma daripada keluarga diraja Arab Saudi, semua itu sudah terjawab dan rakyat sendiri dapat melihat permainan kotor politik pembangkang ini,” katanya.

APA MOTIF SEBENAR NAJIB KE AMERIKA SYARIKAT?

Meskipun strategi dan taktik politik telah menjadi lumrah dalam budaya politik di Malaysia tetapi politik yang keterlaluan sarat propagandanya mengundang kebencian dan kemuakkan. Ia tambah buruk jika rakyat diperdayakan dan terus dibebankan.

Jika semuanya dilakukan berlebih-lebihan atau untuk tujuan sempit selain daripada yang digambarkan, maka bukan sahaja ia disindir atau dipermainkan bahkan tak kurang yang menyampah.

Itulah beberapa pandangan terhadap sidang media khas atau tergempar oleh Datuk Seri Najib pada 17 September lalu. Satu anti-klimaks atau anti-kemuncak dan mungkin langkah terdesak.

Itulah juga yang berlaku dalam lawatan kerja Datuk Seri Najib Tun Razak ke Rumah Putih bertemu Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini. Lawatan ini penuh kontroversi sejak dari mula ia dimaklumkan kerana status lawatan yang kurang jelas dan motif lawatan dalam kedudukan Datuk Seri Najib dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disiasat di bawah Jabatan Keadilan AS.

Walaupun dikatakan lawatan untuk mengeratkan hubungan dua hala serta kerjasama dalam isu serantau dan antarabangsa termasuk berkaitan ekonomi, keselamatan, pertahanan dan anti-keganasan, namun ia merupakan satu penghinaan kepada rakyat Malaysia apabila seorang Perdana Menteri yang telah digelar sebagai kleptokrat (perompak wang rakyat) dan “MO1” bertemu dengan Presiden AS tanpa membuat percubaan selama bertahun-tahun untuk membersihkan dirinya dan negara daripada tuduhan sebagai perompak global.

Ini boleh dikatakan muka tebal tahap tertinggi! Tiada sesiapa yang boleh mencabar tahap ketebalan muka Datuk Seri Najib dalam hal ini. Barangkali kerana itulah beliau berbangga dengan pencapaian itu dan menyebutnya dalam ucapan sebaik kembali ke tanah air.

Menurutnya, walaupun pembangkang mengatakan beliau tidak berani ke AS kerana takut ditangkap tetapi Presiden AS, negara kuasa besar ekonomi dan ketenteraan itu, telah menerimanya dengan sambutan dan pengiktirafan yang di luar dugaannya sama sekali.

Malah beliau mengatakan sambutan ke atasnya jauh lebih baik daripada sambutan yang diterima ketika Tun Dr Mahathir bertemu Presiden Bush dahulu. Beliau juga menganggap lawatannya itu bukan untuk melutut kepada AS tetapi untuk menyatakan negara sudah sampai ke peringkat global.

Cakap-cakap begini mungkin hebat bunyinya namun ia membenarkan telahan ramai sebelum ini bahawa lawatan berkenaan ialah sebahagian daripada rancangan untuk menangkis imej buruk yang terpalit ke atas Datuk Seri Najib oleh skandal 1MDB. Beliau perlu merangsang popularitinya yang merudum untuk meningkatkan peluang kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ini kerana skandal 1MDB dengan wang yang lesap berpuluh ribu juta ringgit sudah tersohor seantero dunia hinggakan sebahagian besar media antarabangsa dengan jelas memetik pertemuan Presiden Trump dengan Perdana Menteri sebagai pertemuan dengan seorang yang terbabit dengan skandal berbilion dolar.

The New York Times umpamanya mengeluar berita bertajuk “Malaysian Leader in Billion-Dollar Scandal Is Invited to White House” (Pemimpin Malaysia Yang Terlibat Skandal Berbilion Dolar di Jemput ke Rumah Putih) manakala berita The Washington Post menyebutkan “Trump’s hosting of Malaysia’s prime minister marks another setback for the rule of law” (Trump sebagai tuan rumah kepada Perdana Menteri Malaysia menandakan satu kemunduran kepada kedaulatan undang-undang).

Di sebalik laporan dan persepsi negatif begini, apakah mahar yang terpaksa dibayar untuk rancangan hebat Datuk Seri Najib ini tetap menjadi kenyataan?

Pertama, Datuk Seri Najib telah berkemungkinan besar membayar pelobi berjuta ringgit untuk memastikan boleh bertemu dengan Presiden Trump. Beliau bandingkan dirinya dengan Tun Dr Mahathir yang juga membayar pelobi untuk bertemu Presiden Bush tetapi tidak menafikan yang beliau juga melakukan perkara yang sama. Dari mana datangnya duit untuk bayar pelobi?

Kedua, sebagai timbal balik untuk berlakunya pertemuan tersebut dan tidak membangkitkan isu skandal 1MDB, sudah tentu AS juga ingin menuntut atau mendengar manfaat kepadanya. Bahasa badan Presiden Trump dengan gaya berpeluk tubuh seolah-olah mahu memecat orang sudah cukup untuk menggambarkannya.

TUAN IBRAHIM DAN PAS KENA JAWAB 8 SOALAN DR MAHATHIR

Kerana geram dengan kritikan dan sindiran Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyuruhnya mencerminkan diri, Dr Mahathir Mohamad telah mengemukakan lapan soalan “cepumas” untuk dijawab oleh timbalan presiden Pas itu. Lapan soalan itu ialah;
1. Apakah Tuan Ibrahim percaya bahawa sesiapa yang tidak menyertai PAS tidak Islam?
2. Apakah orang Melayu kafir sebelum adanya PAS?
3. Apakah ibu bapa orang PAS kafir kerana dilahir sebelum adanya PAS?
4. Apakah PAS tidak kafir apabila bekerjasama politik dengan DAP?
5. Mengikut PAS, Umno kafir. Jika PAS bekerjasama dengan Umno apakah PAS menjadi kafir?
6. Amanat Hadi dakwa pemerintah Malaysia kafir dan melawan dengannya adalah jihad, dan kematian dalam perlawanan ini menjadikan si mati syahid. Apakah Tuan Ibrahim terima dakwaan dalam amanat Hadi?
7. Jika pemerintahan yang didirikan oleh Umno dahulu kafir, apakah pegawai-pegawainya, termasuk mufti dan orang-orang yang dipimpin dan dinasihat oleh mereka kafir?
8. Apakah Tuan Ibrahim percaya 14 pengikut Ibrahim Libya mati syahid dah empat orang polis mati sebagai orang kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir?
Soalan itu diajukan Dr Mahathir dalam blognya yang sudah dipetik oleh banyak portal berita.
Untuk menjawab kelapan-lapan persoalan dibangkitkan Dr Mahathir ini ia bukan sahaja menjadi tanggungjawab Tuan Ibrahim tetapi keseluruhan pemimpin Pas terutamanya mereka yang menerima dakwaan berkenaan khususnya yang menjadikan Amanah Abdul Hadi Awang sebagai fatwa politik yang meninggalkan kesan buruk sehingga boleh merosakkan akidah ummah Islam negara ini.
Majlis Syura Ulama (MSU) merupakan dewan tertinggi parti agama itu sepatutnya mengadakan ijmak mereka untuk merumuskan jawaban kepada soalan Dr Mahathir itu. Kita percaya jawaban Tuan Ibrahim nanti bukan sahaja menjelaskan persoalan Dr Mahathir, tetapi ia juga ditunggu-tunggu oleh orang lain yan juga keliru dengan dakwaan dan persoalan seperti dibangkitkan itu.
Tidak dinafikan disebabkan ada yang menerima dakwaan berkenaan telah berlaku “takfir” (kafir mengkafir) sesama Islam di negara ini, kalau dahulu di kalangan ahli Pas dengan Umno sahaja tetapi kini ahli Pas dengan ahli Parti Amanah Negara (Amanah). Ahli Pas kini semakin rancak mengkafirkan rakannya yang telah menyertai Amanah.
Kejadian pulau memulau oleh ahli Pas di kampung-kampung terhadap ahli Amanah berlaku sekarang ini seperti mana suatu masa dahulu ahli Pas memulau ahli Umno dalam beberapa aktiviti kehidupan, majlis kenduri, solat dan sebagainya.
Tuan Ibrahim tidak perlu bertamsil ibarat dalam menjawab persoalan Dr Mahathir yang mungkin dianggap jahil oleh orang Pas itu. Beliau seharusnya menyertai dalil-dalil dan nas yang kemas. Dan sekiranya persoalan didakwa Dr Mahathir itu tidak benar, Tuan Ibrahim dan Pas perlu menjelaskan dan memohon maaf ke atas keterlanjuran sesetengah ahlinya beranggapan benar apa yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir itu.
Kegagalan Tuan Ibrahim dan Pas menjawab dan menjelaskan persoalan dibangkitkan bekas PM itu ia boleh menjejaskan wibawa parti agama itu.
Dalam pada itu molek juga kalau Majlis Fatwa Kebangsaan atau Majlis Ulama Malaysia serta Majlis Raja-Raja juga turut meminta penjelasan daripada Tuan Ibrahim dan Pas berhubung apa dibangkitkan oleh Dr Mahathir itu kerana ia sudah menjadi satu fenomen dalam politik amalan Pas hari ini yang boleh merusakkan akidah ummah.
Tidak seharusnya Majlis Fatwa Kebangsaan atau badan-badan bertanggungjawab termasuk juga Majlis Raja-Raja sendiri bersikap mendiamkan diri mengenai perkara itu. Ia tidak boleh dilihat apa yang dimainkan oleh Pas itu sebagai perkara terasing dan terpisah daripada tanggungjawab mereka. Kajian juga mungkin perlu dibuat berapa ramai umah Islam berpecah, bergaduh ekoran perkara-perkara dibangkitkan oleh Dr Mahathir itu.
Saya bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir perpecahan di kalangan orang Melayu antara lain ialah kerana wujudnya politik yang menggunakan agama sebagai modal atau bahan kempen dan dakyah agar orang menyokong partinya dan menolak parti lain. Politik yang menggunakan agama sebagai alat ini sangat merbahaya kepada agama bangsa dan negara dan perbuatan itu bagi saya suatu penderhakaan (burah) kepada agama.

Selepas Mydin keluar, belum ada syarikat ambil alih KR1M....

Projek barangan runcit murah yang diilhamkan perdana menteri 6 tahun lalu itu kini menunggu syarikat baharu.
Henry-Sum-AgongPETALING JAYA: Sudah hampir 2 bulan Putrajaya mengumumkan penamatan kontrak Mydin Mohamed Holdings , yang mengendalikan pasar raya Mydin di seluruh negara, sebagai pengendali Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), projek kerajaan yang menawarkan barangan asas pada harga runcit yang lebih rendah.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberitahu FMT ia masih dalam rundingan dengan pihak yang bersedia mengambil alih KR1M.
“Setakat ini belum (dilantik pengendali KR1M), masih dalam rundingan,” kata timbalan menterinya Datuk Henry Sum Agong. “Apabila sudah selesai nanti akan dimaklumkan.”.
Pada 29 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan KPDNKK menamatkan kontrak pengendali KR1M yang didapati menjual barang lebih mahal daripada harga pasaran.
Zahid berkata, kerajaan tidak mahu syarikat berkenaan membekalkan barang dan mengendalikan operasi KR1M lagi kerana pembungkusan serta pengedaran barangnya berkualiti rendah, tetapi dijual pada harga lebih mahal.
Susulan itu, Mydin mendakwa ia mengalami kerugian besar mengendalikan KR1M yang merupakan projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin bagaimanapun berkata, projek berkenaan diteruskan juga demi manfaat rakyat, walaupun banyak yang diperkatakan mengenai kegagalan operasi KR1M.
Henry berkata, sehingga kini KPDNKK telah menerima banyak permohonan daripada syarikat lain untuk mengendalikan KR1M.

Adun PKR lompat parti sekadar cerita rekaan


Dakwaan kononnya terdapat lapan Adun PKR akan melompat parti menyertai Umno bersama bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, tidak benar.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, berita itu hanya rekaan semata-mata yang dibuat pihak tertentu.
“Berita itu tidak betul. Saya pun tidak pernah dengar. Tidak ada langsung desas-desus. Kita sekarang sedang sibuk membuat persediaan menghadapi PRU14.
Rafizi Ramli “Saya rasa, cerita itu sengaja direka untuk mengurangkan rasa malu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (atas pengumuman Muhammad yang menyertai Umno),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kelmarin, sidang media khas diadakan untuk mengumumkan penyertaan Muhammad kembali kepada Umno.
Terdapat laporan portal berita mengatakan, Muhammad sepatutnya membawa lapan Adun PKR dan 13 Adun Pas bersama menyertai Umno, namun hanya beliau yang muncul pada sidang media, berkenaan.
Muhammad sebelum ini keluar daripada Umno untuk menyertai Pas pada 2013, sebelum meninggalkan parti tersebut dan bersama PKR pada tahun 2015.
Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin turut menafikan laporan berkenaan dan menyatakan ia hanya cerita dongeng yang sengaja direka-reka untuk menutup malu sidang media yang dibuat Najib, kelmarin.
Dalam pada itu, Rafizi menghormati keputusan Muhammad meninggalkan PKR. Ketiadaan beliau untuk bersama Umno bagaimanapun, tidak menjejaskan PKR.
“Cuma saya terkilan kerana kami banyak meluangkan masa turun ke kampung-kampung bersama (berkempen) . Saya tahu jiwa beliau rapat dengan orang kampung.
“Beliau rasa, Umno adalah platform terbaik untuk membela orang Melayu dan penduduk kampung. Saya hormati pandangan beliau. Pendekatan PKR dalam membela orang Melayu berbeza dengan yang dibawa Umno,” katanya.

Mat Taib kembali, Umno untung?

Penyertaan semula bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke pangkuan Umno dikatakan akan memberikan impak positif terhadap parti keramat Melayu itu.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, pengalaman luas Muhammad yang lebih dikenali sebagai Mat Taib ke dalam gelanggang politik selama ini dilihat mampu membawa kebaikan kepad Umno.
"Saya rasa beliau bakal memberi nilai tambah kepada Umno, kerana beliau  pernah bersama Tim Wawasan 1993 bersama Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim .
"Beliau pernah menjadi MB dan Adun Selangor serta Naib Presiden Umno dan mempunyai pengalaman di luar parti ketika sertai Pas 2013 dan PKR 2015," katanya kepada Sinar Online.
Mat Taib diumumkan secara rasminya menyertai semula Umno oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Umno, Menara Dato' Onn, semalam.

Sivamurugan berkata, pengalaman Mat Taib boleh digunakan untuk memahami psikik pengundi Melayu yang terpecah sekarang kerana kehilangan beliau pada 2013 dengan menyertai Pas, memberikan kesan kepada Umno yang hilang sokongan orang Melayu ketika itu.
Mat Taib sebelum ini bertindak keluar Umno untuk menyertai Pas pada April 2013, dan kemudian menyertai PKR, dua tahun kemudian.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 2008, namun hanya berkhidmat dalam tempoh singkat, iaitu hampir dua tahun sahaja.
Sivamurugan berkata, imej negatif yang terpalit dengan personaliti Mat Taib dilihat sedikit sebanyak memberi gambaran 'tidak enak' mengenai beliau.
"Imej membawa duit sehingga kemudian hilang jawatan MB dan hubungan dengan Istana memalitkan sedikit impak negatif," katanya.

PAS: Kejutan Najib cuma perbodohkan rakyat

Teori bahawa sidang media khas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Ahad lalu yang kononnya turut menyaksikan wakil rakyat PKR Selangor melompat parti adalah sesuatu permainan politik Umno yang cukup tidak bijak, kata seorang pemimpin PAS.
"Ramai yang yakin bahawa Najib memang ada sesuatu berita penting yang hendak diumumkan cuma perancangan tersebut tidak menjadi dan terpaksa digugur di saat akhir," kata ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Zainal Abidin Kidam, yang dipetik oleh Harakahdaily.
Najib pada Ahad lalu mengarahkan seluruh pemimpin kanan Umno untuk menyertai beliau dalam satu sidang akhbar khas, di mana beliau mengumumkan bahawa bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib kembali ke pangkuan Umno.

Walau bagaimanapun, ramai menganggap ia menjadi semacam anti-klimaks sedangkan disebut-sebut sebagai pengumuman sesuatu yang penting.
Zainal berkata bahawa antara teori yang diutarakan ialah Muhammad bukan saja keluar dari PKR tetapi bekas MB Selangor itu dikatakan mampu untuk membawa bersamanya beberapa ADUN Selangor dari parti PKR memasuki Umno.
"Dengan kemasukan ADUN tersebut, Umno dikatakan mampu membentuk kerajaan di Selangor dengan kerjasama PAS," katanya.
Namun, katanya, teori itu terbukti gagal apabila cuba dikaitkan dengan PAS dalam perancangan rahsia tersebut.
"Ini kerana PAS telah berpuluh kali menegaskan bahawa PAS tidak akan bersama dengan Umno dalam apa jua bentuk kerjasama politik dengan Umno.
"Berhentilah usaha yang sia-sia dan membuang masa untuk terus mengutuk PAS hendak bersama dengan Umno sama ada dari parti pembangkang atau dari parti Umno sendiri,” katanya.
Zainal menambah bahawa tidak ada sesiapa yang boleh mempengaruhi PAS yang komited terhadap perjuangan mereka dan keputusan yang dibuat oleh parti dan majlis syura pada muktamar mereka.
Sebaliknya, beliau berkata pengumuman ‘kejutan’ Najib tentang Muhammad hanyalah satu tindakan untuk mengalih perhatian masyarakat.
Menyifatkannya sebagai "gagal", beliau berkata ia hanya satu perkhabaran yang boleh sahaja diumumkan dalam media sosial.

Kudeta hanya propaganda, kata BBC Selangor

Wakil rakyat kerajaan Selangor hari ini mengisytiharkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, susulan dakwaan terdapat sejumlah anggota dewan undangan negeri (ADUN) yang akan melompat parti.
Mereka menyifatkan dakwaan itu hanyalah "propaganda pro-BN".
"BBC Selangor sepakat untuk terus memberi sokongan penuh terhadap kepimpinan menteri besar.
"BBC komited untuk terus bekerja keras membantu rakyat dan meringankan bebanan angkara kepimpinan kerajaan BN termasuk GST," kata pengerusinya Ng Suee Lim dalam satu kenyataan.
Sidang media penyertaan semula Tan Sri Muhammad Muhammad Taib semalam dikatakan sepatutnya akan turut disertai lapan lagi ADUN Selangor dan seterusnya menyebabkan kerajaan negeri baru dibentuk, namun tidak terlaksana.
Ia dikatakan bakal mengulang episod tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat Perak, selepas wakil rakyatnya keluar parti dan menyokong BN.
Ng yang juga ADUN Sekinchan memberi amaran kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar tidak menimbulkan keresahan terhadap kestabilan kerajaan Selangor "dengan taktik kotor".
"Beliau seharusnya menghormati pilihan rakyat melalui prinsip demokrasi," katanya.

Mat Tyson patah balik untuk ulangi episod Perak....


Mat Tyson patah balik untuk ulangi episod Perak, kata sumber
Penyertaan semula Muhammad Muhammad Taib ke dalam Umno seharusnya melibatkan lapan Adun PKR bergabung bersama 12 Adun Umno dan 13 Adun PAS serta bekas Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim untuk membentuk barisan 34 Adun bagi membentuk sebuah kerajaan di Selangor. 
IA sepatutnya lebih daripada sekadar Muhammad Muhammad Taib masuk Umno semula semalam. Beliau sepatutnya membawa bersamanya lapan ahli dewan undangan negeri (Adun) dan menyebabkan pentadbiran Mohamed Azmin Ali tumbang.
Namun kerana ada campur tangan daripada pihak berkepentingan yang berkuasa di Selangor, akhirnya, Presiden Umno Najib Razak hanya ada Muhammad seorang untuk muncul pada sidang media yang digembar-geburkan pada pukul 5 petang di Kuala Lumpur.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight rundingan untuk membawa Muhammad, 72, pulang ke pangkuan Umno dan menarik masuk lapan yang yang lain itu diuruskan oleh orang tengah dan bukannya perdana menteri sendiri.
"Najib dimaklumkan semuanya lancar tetapi apabila beliau tiba, hanya Mat Tyson ada di situ," kata seorang sumber parti kepada The Malaysian Insight, dengan menggunakan nama gelaran popular bekas Menteri Besar Selangor itu.
"Rundingan terbantut kerana ia tersekat di peringkat tertinggi apabila didapati Mat Tyson termasuk dalam rundingan itu," kata seorang sumber lain kepada The Malaysian Insight.
Perkembangan itu membawa kepada pengumuman yang pendek dan hambar semalam Muhammad kembali ke pangkuan Umno, biarpun kehadiran hampir semua anggota Majlis Tertinggi Umno hadir sama mencetuskan desas-desus serta spekulasi peralihan sebuah kerajaan negeri atau rombakan dalam parti menjelang pilihan raya umum yang harus diadakan sebelum Ogos 2018.
Difahamkan percaturan politik penyertaan semula Muhammad ke dalam Umno melibatkan lapan Adun PKR bergabung bersama 12 Adun Umno dan 13 Adun PAS serta bekas Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim untuk membentuk barisan 34 Adun yang sudah cukup untuk membentuk sebuah kerajaan di Selangor. DUN Selangor mempunyai 56 kerusi.
Kenapa lapan Adun PKR itu mahu meninggalkan parti mereka tidak didedahkan, kata sumber Umno yang mengetahui percaturan tersebut.
Pemerhati politik berkata langkah membawa Muhammad dan lapan Adun mengulangi episod yang berlaku di Perak pada 2009 ketika mana tiga Adun Pakatan Rakyat (PR) melompat keluar daripada kerajaan yang memerintah dan menyokong Barisan Nasional di DUN Perak yang mempunyai 59 kerusi.
Ia menyebabkan kerajaan PR yang mempunyai 28 wakil rakyat tumbang. Sultan Perak kemudian mempelawa BN yang mempunyai 28 Adun untuk membentuk kerajaan negeri setelah ia mempunyai majoriti tipis susulan tindakan tiga Adun yang lompat parti itu.
Pemerhati juga berkata langkah Muhammad semalam membayangkan hasrat Najib dan Umno untuk mengguna pakai jalan yang sama seperti di Perak untuk mengalahkan seteru politiknya di Selangor.
Muhammad empat penggal menjadi wakil rakyat Batang Kali (1982-1999) dan Menteri Besar Selangor antara 1986 hingga 1997 apabila beliau letak jawatan berhubung kes mata wang di Australia.
Beliau keluar Umno untuk menyertai PAS pada 2013, empat tahun selepas tidak tersenarai dalam Kabinet Najib pada 2009. Beliau meninggalkan PAS selepas dua tahun dan menyertai PKR pada 2015.

NAJIB LEBIH WAJIB DIPANGGIL BERI KETERANGAN KEPADA RCI FOREX

Jika kejujuran menjadi tunjang kehidupan, kebenaran dan siapa yang bertanggungjawab dalam kerugian urusniaga forex sudah pun jelas sebenarnya.

Pengakuan Nor Mohamed Yakcop, bekas Penolong Gabenor Bank Negara kepada RCI forex dua minggu lalu yang menyatakan beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas urusniaga matawang dan kerugian yang dialami oleh Bank Negara serta telah menerima "bahagiannya"  iaitu dengan perletakan jawatannya secara serta-merta, ia seharusnya merupakan jawapan yang dicari-cari selama ini.

Beliau seterusnya  menyatakan tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan, baik dengan Perdana Menteri mahupun Menteri Kewangan, ketika mengendalikan urusniaga matawang itu.
Keterangan Nor Mohamed Yakcop itu tidak ubah seperti pengakuan seseorang yang mengakui semua pertuduhan di mahkamah.

Lalu, apa mahu lagi? Bukankah itu jawapannya?

Namun, Tun Mahathir Mohamad yang dipanggil memberi keterangan kepada RCI forex semalam menyatakan, banyak soalan yang ditanyakan kepadanya tidak releven sama-sekali dan tidak berkaitan dalam mengenal pasti kerugian yang dialami Bank Negara.

"Ia hanya bertujuan mahu memberi imej buruk kepada saya dan Anwar Ibrahim kononnya banyak wang juga dicuri di zaman saya menjadi Perdana Menteri.

"Tapi saya takut mereka tidak  mencapai objektif untuk menunjukkan saya sama seperti kleptokrat yang mentadbir negara hari ini," ujar beliau seperti menyindir selepas memberi keterangannya.

Sehubungan itu, Tun Mahathir menggesa RCI forex agar memanggil sama Najib Razak untuk memberi keterangannya.

Najib, kata Tun Mahathir, mesti dipanggil untuk menjelaskan mengapa baru sekarang beliau membangkitkan soal kerugian forex, sedangkan semasa berada di dalam kabinetnya dahulu dia hanya senyum dan setuju dengan semua perkara.

"Najib mesti jelaskan mengapa sejak dulu lagi beliau tidak pernah bangkitkan tentang kerugian forex, tetapi hanya sekarang bercakap mengenainya," tambah beliau.

Lebih dari itu, tegas Tun Mahathir lagi, isu penubuhan RCI bagi menyiasat urusniaga forex telah pun dibangkitkan oleh Lim Kit Siang sejak lebih dua dekad lalu dan Najib tidak pernah diketahui bersetuju dengan desakan tersebut.

"Dulu dia senyum dan tepuk tangan saja," kata Pengerusi Pakatan Harapan itu lagi.

Jika kita imbas, berdasarkan pengakuan Nor Mohamed Yakcop yang sukarela mengakui beliau bertanggungjawab sepenuhnya dalam urusniaga forex dan pemakluman kepada kerajaan hanya dilakukan setelah Bank Negara mengalami kerugian, kedudukan Tun Mahathir dan Najib tidak banyak bezanya.
Hanya bezanya ketika itu, Tun Mahathir adalah Perdana Menteri dan Najib menteri biasa, tetapi tiada sesiapa dihalang daripada bersuara.

Apa berlaku di Australia perjuangan Melayu, soal Azmin

Azmin enggan ulas dakwaan Muhammad Taib, sebaliknya mempertikaikan kewibawaan bekas menteri besar itu untuk bercakap mengenai agenda Melayu.
azmin-mat-taibPETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali enggan ulas dakwaan Tan Sri Muhammad Muhd Taib semalam yang beliau menyertai Umno semula disebabkan pembangkang tidak memperjuangkan agenda Melayu.
Sebaliknya, beliau mempertikaikan kewibawaan bekas menteri besar Selangor itu untuk bercakap mengenai agenda Melayu.
“Saya ingat Tun Dr Mahathir Mohamad jawab semalam, apa yang berlaku di Australia itu perjuangan Melayu?” soal Azmin, dalam rakaman yang diterima FMT.
Beliau merujuk kepada kontroversi membabitkan Muhammad, yang melepaskan jawatan menteri besar pada April 1997 selepas didakwa di Australia atas pertuduhan membuat pengisytiharaan palsu, membabitkan wang berjumlah RM3.8 juta.
Muhammad dibebaskan mahkamah selepas memberi alasan tidak tahu berbahasa Inggeris dan tidak memahami peraturan mengenai mata wang.
Muhammad, 72 meninggalkan Umno untuk menyertai PAS pada 2013 dan PKR pada 2015. Muhammad di sidang media mengumumkan kepulangannya ke pangkuan Umno semalam berkata beliau meninggalkan pembangkang kerana mereka tidak peduli kepada agenda Melayu.

Masih tajamkah gigitan Mat Tyson?

Bayangkan bekas juara tinju dunia, Mike Tyson sedang bersantai-santai di rumah ketika dia kemudian mendapati namanya kembali disebut-sebut, terutama di media sosial.
Bekas juara heavyweight itu seperti diketahui umum pernah menggemparkan dunia selepas menggigit telinga lawannya, Evander Holyfield dalam perlawanan tinju paling diiingati dalam sejarah.
Ketika pusingan ketiga masih berbaki 40 saat, Tyson menggigit telinga kanan Holyfield dan cebisan daging itu jatuh betul-betul di hadapan juri.
Aksi itu mengundang padah buat Tyson apabila dia diisytihar kalah dalam perlawanan penuh emosi itu. Hanya pada tahun 2013, barulah Mike Tyson memulangkan semula cebisan telinga yang disimpan di dalam kotak kepada Holyfield.
Selain kejadian yang berlaku 20 tahun lalu, nama Mike Tyson sudah semakin tenggelam dalam ingatan peminat-peminat tinju seluruh dunia.
Sehingalah kelmarin, nama Mike Tyson kembali dikenang. Bukan di New York atau di London, tetapi bergema di PWTC, Kuala Lumpur. Cuma ejaan sahaja sedikit berbeza - Mat Tyson.
Semuanya gara-gara tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kepulangan semula Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ke pangkuan Umno.

Pengumuman penting
Sebelum kira-kira jam 5.00 petang kelmarin, rakyat Malaysia diselubungi teka-teki selepas mendapat tahu ada pengumuman besar ingin disampaikan perdana menteri.
Sangat penting pengumuman itu bagi Najib sehinggakan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terpaksa menyingkatkan lawatan kerjanya ke Perlis.
Begitulah ghairah perdana menteri mahu membuat pengumuman itu. Dan keghairahann itu dikhabarkan sebab bukan Mat Taib seorang sahaja akan diumum menyertai Umno.
Kononnya, ada sekurang-kurangnya lapan lagi ADUN PKR di Selangor sepatutnya berada di samping Mat Taib di PWTC. Kononnya juga, pengumuman itu akan mengulangi episod drama politik yang berlaku di Perak pada 2009.
Walaupun khabar angin itu tidak menjadi kenyataan, Umno sebenarnya tidak rugi apa-apa dengan kemasukan Mat Taib seorang diri ke parti itu kelmarin.
Pembangkang juga tidak berasa ralat dengan kehilangan tokoh seperti Mat Taib apabila Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengibaratkan Umno sekadar mengutip 'surat khabar lama'.

Melompat ke Putrajaya
Ramai masih percaya Mat Taib ‘tidak fasih’ berbahasa Inggeris. Pengakuan itu dibuat Mat Taib sendiri ketika ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Brisbane akibat membawa sejumlah wang yang amat besar tanpa isytihar suatu masa dahulu.
Namun ketidakfasihannya berbahasa Inggeris bukan sebab utama mengapa dia meletakkan jawatan sebagai menteri besar Selangor.
Selepas itu nama Mat Taib terus tenggelam dalam arus politik negara. Sehingga dia keluar Umno dan menyertai PAS pada 2013, sinar politiknya tidak lagi begitu menyerlah. Dua tahun selepas itu, Mat Taib memutuskan untuk menyertai PKR pula.
Dalam satu temubual dengan Malaysiakini, Mat Taib berkata, dia menyertai PKR kerana tidak dapat menerima PAS yang dilihatnya tidak lagi berminat ke Putrajaya.
Sekarang, Mat Taib sekali lagi mengubah fikirannya buat kali ketiga dalam tempoh lima tahun. Sama ada Mat Taib tidak dapat menahan sabar ke Putrajaya, atau dia sendiri sememangnya tidak percaya PKR dan Pakatan Harapan mampu membawanya ke Putrajaya.
Oleh itu Mat Taib membuat keputusan nekad melompat semula ke parti asalnya yang sudah sedia berada di Putrajaya. Bagi Mat Taib, bukan satu masalah besar kalau selepas ini dia digelar sebagai Raja Katak pula akibat kerap bertukar parti.

Bunga mas Najib kepada Amerika rugikan Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cuba berhujah bahawa lawatannya ke Rumah Putih adalah satu kejayaan dan ekonomi Malaysia berada dalam keadaan yang baik. Bagaimanapun, hujah beliau tidak dipersetujui oleh kebanyakan rakyat Malaysia.
Di sebalik semua ini adalah mentaliti Najib bahawa Cash is King atau “wang adalah segala-galanya” serta kegagalan Najib untuk memahami realiti ekonomi rakyat Malaysia hari ini.
Najib tidak tahu cara lain mentadbir dan memimpin negara selain menawarkan wang dan ganjaran untuk mendapatkan apa yang dia mahu. Masalahnya, ia bukan wang beliau tapi wang rakyat Malaysia yang membayar cukai.
Hal ini dilanjutkan oleh Najib sehingga ke peringkat antarabangsa dengan menawarkan “bantuan untuk mengukuhkan ekonomi AS” kepada Presiden Donald Trump - tindakan yang membuat ramai rakyat biasa Malaysia bengang.
Najib enggan memahami bahawa rakyat Malaysia terjejas akibat kesan keseluruhan daripada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mula dilaksanakan sejak April 2015, kejatuhan 30 peratus nilai ringgit sejak Oktober 2014, dan pemansuhan subsidi perkhidmatan asas seperti kesihatan sejak pilihanraya umum 2013.
Bagi kebanyakan rakyat biasa, apa yang digelar ‘Najibnomics’ hanya bererti kesusahan. Namun, segala keluhan yang dikemukakan sejak 2015 diabaikan oleh Najib dan kabinet beliau.
Kita sudah merdeka
Keluhan masyarakat umum terhadap tawaran bunga mas Najib di Rumah Putih dapat didengar daripada pelbagai lapisan dan kaum. Keluhan itu perlu difahami dari konteks kebimbangan dan kepayahan ekonomi yang dihadapi golongan biasa di Malaysia.
Jangan kita lupa bahawa bunga mas adalah ufti sebagai tanda tunduk dan patuh, yang selalunya diberikan oleh negara kecil kepada kuasa besar untuk mendapatkan perlindungan.
Harga yang perlu dibayar oleh negara kecil termasuklah bersetuju dengan dasar-dasar kuasa besar selain menghantar bantuan kenteraan dalam peperangan yang melibatkan kuasa besar itu.
Bunga mas adalah sebahagian daripada sejarah negara kita. Hari ini kita sudah merdeka.
Malangnya, tiga tawaran Najib ketika menemui Presiden Trump – AS$10 bilion untuk pembelian kapal terbang Boeing, pelaburan AS$4 bilion dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam infratsruktur AS (selain pelaburan AS$7 bilion sedia ada) dan peningkatan pelaburan Khazanah Nasional di Silicon Valley, California – lebih banyak membantu AS berbanding memberi manfaat kepada Malaysia.
PERTAMA, industri penerbangan di seluruh dunia berhadapan dengan situasi perniagaan yang mencabar dengan saingan sengit. Tidak banyak syarikat penerbangan yang melabur dalam pembelian kapal terbang baru kerana mereka mahu mengelak terbeban dalam memastikan hasil pendapatan lebih tinggi di masa depan dan hutang yang berlebihan.
Selain itu, Malaysia Airlines (MAS) tidak membuat keuntungan besar untuk bersedia terlibat dalam pelaburan semula yang tinggi seperti itu.
MAS hari ini tidak sama dengan MAS yang dulu. MAS yang wujud hari ini adalah hasil penstrukturan semula pada 2015 oleh Khazanah dengan suntikan modal RM6 bilion. Salah satu tujuan penstrukturan semula itu adalah untuk memberhentikan kerja 6,000 kakitangan warga Malaysia.
Kini Najib membantu Boeing, sebuah syarikat Amerika, untuk membayar gaji kakitangan mereka melalui urus niaga yang melibatkan dana yang besar. MAS semestinya tidak mampu membayar urus niaga dengan Boeing itu.
Jadi siapa yang akan bayar? Adakah duit cukai rakyat Malaysia yang disalurkan melalui kerajaan atau Khazanah Nasional Berhad?
KEDUA, Najib berhujah bahawa pelaburan KWSP dan Khazanah dalam pasaran asing adalah untuk menjana pendapatan dari luar kerana pendapatan dalam negara terlalu rendah.
Kita mungkin tidak boleh menyalahkan pengurus-pengurus GLC dan GLIC kerana memilih melabur di luar negara untuk mencapai KPI mereka dalam menjana pulangan modal.
Namun, adalah menjadi tanggungjawab Kementerian Kewangan untuk mengukuhkan ekonomi domestik.
Jika pakar strategi pelaburan kerajaan sendiri mendapati bahawa melabur di Malaysia tidak memberi pulangan, apa alasan pelabur asing mahu melabur di negara kita? Inilah masalah ekonomi Malaysia; pertumbuhan yang perlahan dan prospek yang suram, perspektif yang turut dipersetujui entiti pelaburan kerajaan sendiri.

Isnin, 18 September 2017

KWSP MINTA DATO’ SERI NAJIB RUNDING PELEPASAN CUKAI DARI PRESIDEN TRUMP, PELABURAN LUAR NEGARA KWSP SUDAH TAHAP MAKSIMA IKUT PERATURAN KEMENTERIAN KEWANGAN


Akhirnya Timbalan Menteri Luar, Datuk Reezal Merican Neena Merican tidak ada pilihan kecuali cuba menjawab segala kontroversi berhubung lawatan Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk bertemu Presiden Trump yang saya timbulkan sejak awal minggu ini.
Dalam satu kenyataan semalam, beliau akhirnya terpaksa mengaku perkara-perkara berikut:
(Rujuk kenyataan penuh di https://www.malaysiakini.com/news/395211 )
1. Perenggan 4: mengakui bahawa memang benar ada 5 kategori jenis lawatan mengikut protokol diplomatik yang diguna pakai Amerika Syarikat dan Malaysia
2. Perenggan 5: mengakui bahawa lawatan Dato’ Seri Najib ke Amerika Syarikat adalah lawatan kerja atas jemputan Presiden Trump
3. Perenggan 15: mengakui bahawa ketibaan Dato’ Seri Najib di Pengkalan Udara Andrews tidak disambut dengan sambutan protokol yang diberikan kepada lawatan-lawatan rasmi
4. Perenggan 17 dan 18: menyatakan bahawa pertemuan Dato’ Seri Najib dengan Presiden Trump di Oval Office adalah 20 minit dan pertemuan delegasi bersama adalah 40 minit
5. Perenggan 24 dan 25: mengakui bahawa jika jemputan dari Presiden Trump adalah untuk lawatan rasmi (sama ada “State Visit” atau “Official Visit” atau “Official Working Visit”), maka Presiden Trump akan menawarkan rumah tetamu rasmi iaitu Blair House

Saya berterima kasih kepada Dato’ Reezal Merican Neena Merican kerana berjaya mengimbangi keperluan beliau menjalankan tugas kepada partinya dan tanggungjawab beliau sebagai menteri yang perlu menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat.
Kenyataan beliau mengesahkan kesemua perkara yang saya timbulkan sejak beberapa hari iaitu lawatan Dato’ Seri Najib bukanlah satu lawatan rasmi atas jemputan kehormat seperti yang diwar-warkan. Sebaliknya ia lebih bersifat lawatan atas inisiatif beliau sendiri dan berkemungkinan besar melalui lobi berbayar yang dijalankan oleh Healy Baumgardner, bekas pembantu Presiden Trump seperti yang saya telah nyatakan sebelum ini.
Perbezaan lain adalah kecil: Beliau menyatakan lawatan itu adalah lawatan kerja dan bukannya lawatan peribadi. Beliau juga cuba menjelaskan bahawa tempoh pertemuan adalah 60 minit dan bukannya 30 minit.
Saya tahu beliau cuba untuk bermain dengan perbezaan maklumat yang sangat kecil tetapi itu tidak menyanggah kesemua yang saya nyatakan sebelum ini. Sama ada lawatan itu satu lawatan kerja atau lawatan peribadi, Datuk Reezal Merican Neena Merican mengakui ia bukan lawatan rasmi dan sebab itulah Dato’ Seri Najib tidak disambut dengan upacara perbarisan dan lain-lain mengikut protokol.
Begitu juga mengenai tempoh masa. Pada pandangan saya, masa 60 minit Dato’ Seri Najib berada di dalam White House mungkin benar jika dikira setiap minit termasuk masa yang diambil untuk berjalan dari satu bilik ke satu bilik, tetapi orang ramai boleh faham jika keseluruhan masanya adalah 60 minit, itu bermakna benarlah Dato’ Seri Najib hanya berjumpa dengan Presiden Trump selama 10 minit sahaja.
Kenyataan Timbalan Menteri Luar itu sebenarnya pengakuan kerajaan sendiri bahawa isu-isu yang saya timbulkan sejak beberapa hari ini adalah benar.
Oleh itu, saya akan menumpukan kepada isu yang lebih penting iaitu komitmen yang diberikan kepada Presiden Trump untuk membawa masuk wang rakyat Malaysia melalui pelaburan KWSP di dalam projek-projek infrastruktur seperti yang dirakamkan di dalam video mesyuarat bilateral kedua-dua delegasi.
Saya telah menyemak dengan sumber-sumber saya di dalam kerajaan dan saya dimaklumkan perkara-perkara berikut telah berlaku semasa Pejabat Perdana Menteri (PMO) merancang lawatan Dato’ Seri Najib itu:
i. Pejabat Perdana Menteri meminta KWSP untuk menyediakan senarai perkara-perkara yang perlu dibawa ke perhatian Presiden Trump untuk dibincangkan di dalam pertemuan tersebut
ii. KWSP telah memaklumkan secara rasmi kepada Pejabat Perdana Menteri bahawa KWSP memohon supaya Dato’ Seri Najib membincangkan untuk mendapatkan persetujuan Presiden Trump agar KWSP diberi status “Tabung Pencen Luar Negara Berkelayakan” atau QFPF (“Qualified Foreign Pension Fund”)
iii. KWSP telah bekerjasama dengan Pejabat Perdana Menteri untuk menyediakan draf kenyataan media Dato’ Seri Najib mengenai perkara ini

HENTIKAN CAMPUR TANGAN DATO’ SERI NAJIB DALAM PENGURUSAN MAS PADA KALA MAS DALAM PROSES MEMBELI PESAWAT-PESAWAT BARU


Semasa mesyuarat bilateral di antara delegasi Malaysia dan Amerika Syarikat di White House baru-baru ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengejutkan rakyat Malaysia apabila menawarkan untuk membantu mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat dengan menggunakan wang rakyat Malaysia. Beliau menyebut tiga pelaburan khusus yang boleh membantu Amerika Syarikat – salah satunya ialah pembelian pesawat-pesawat baru dari Boeing yang dianggarkan berjumlah USD10 bilion (atau RM42 bilion) dalam tempoh 5 tahun akan datang.
Sementara rakyat Malaysia sudah pun terkejut dengan jumlah wang yang sebegitu besar, ramai yang tidak nampak risiko yang lebih besar yang saya ingin bentangkan pada hari ini. Saya telah mengikuti perkembangan di MAS dan yang berkaitan dengan lawatan Dato’ Seri Najib bertemu Presiden Trump sejak beberapa bulan yang lepas.
Ada beberapa perkara yang perlu diketahui oleh rakyat Malaysia, terutamanya pekerja-pekerja MAS dan bekas kakitangan MAS yang dibuang kerja untuk memahami risiko yang dihadapi MAS sekarang jika ada campur tangan dari pihak Dato’ Seri Najib dalam keputusan-keputusan kewangan penting yang akan berlaku dalam masa setahun dua ini.
Pertamanya, pengurusan baru MAS menjalankan rasionalisasi destinasi penerbangan sejak beberapa tahun lalu untuk mengurangkan kerugian. Selain itu, proses rasionalisasi turut melibatkan pemecatan 6,000 orang kakitangan MAS.
Hasil dari pelbagai potongan dan pemecatan kakitangan dan disertai dengan beberapa perkembangan positif lain (termasuk harga minyak yang kekal rendah), MAS dijangka akan mula mencatatkan keuntungan dalam masa setahun.
Ini membawa kepada perkara kedua, iaitu penggantian pesawat-pesawat MAS yang lama dengan yang baru dan pembelian pesawat-pesawat baru untuk memenuhi keperluan operasi MAS yang dilaporkan akan mula menambah destinasi baru setelah dijangka akan mencatatkan keuntungan selepas ini.
Saya telah rujuk laporan-laporan industri penerbangan dan dapat merumuskan bahawa rancangan untuk menggantikan pesawat-pesawat lama dengan pembelian (atau sewaan) pesawat baru ini sedang pesat berjalan, seperti yang dilaporkan:
https://centreforaviation.com/…/malaysia-airlines-again-adj…
http://onemileatatime.boardingarea.com/…/malaysia-airlines…/
https://www.ausbt.com.au/malaysia-airlines-pegs-airbus-a330…
http://www.ainonline.com/…/malaysia-airlines-order-25-wideb…

Daripada laporan-laporan di atas, saya boleh rumuskan untuk makluman pembaca dan penonton bahawa:
i. MAS berhasrat untuk membeli 25 pesawat “widebody” (iaitu pesawat yang lebih besar dengan kapasiti lebih tinggi) dan tempahan akan dibuat dalam tahun 2017 ini. Daripada 25 pesawat baru itu, 15 adalah untuk menggantikan pesawat Airbus A330-300s yang disewa dan 10 adalah untuk pesawat baru bagi tujuan destinasi baru
ii. MAS sudah pun menempah 25 pesawat Boeing 737-Max 8/10 seperti yang diumumkan oleh Dato’ Seri Najib dalam pertemuannya dengan Presiden Trump tempoh hari. Anggaran harga 25 pesawat Boeing 737-Max 8/10 seperti yang dilaporkan Bloomberg adalah USD2.75 bilion (rujuk https://www.bloomberg.com/…/malaysia-airlines-mulling-purch…)
iii. Bagi 25 pesawat baru “widebody” yang akan dibeli oleh MAS, Dato’ Seri Najib telah mengumumkan di dalam pertemuan dengan Presiden Trump pembelian 8 pesawat Boeing 787 Dreamliner. Ini bermakna ada tujuh belas lagi pesawat yang perlu ditempah dan dibeli oleh MAS.
iv. Pembelian pesawat-pesawat dan pilihan jenis pesawat sepatutnya menjadi persaingan di antara dua pengeluar pesawat iaitu Airbus dan Boeing, seperti yang disebut oleh CEO MAS Peter Bellew di dalam temuramah http://www.ainonline.com/…/malaysia-airlines-order-25-wideb…
Berita-berita ini mengesahkan bahawa MAS akan berbelanja sehingga USD12.5 bilion (50 Boeing 737 iaitu USD5.5 bilion dan 25 “widebody” sama ada Boeing 787 atau Airbus A330neo sekitar USD280 juta setiap satu atau USD7 bilion kesemuanya) iaitu sekitar RM53 bilion dalam tempoh 5 tahun akan datang untuk membeli 50 pesawat kelas Boeing 737-Max 8/10 dan 25 pesawat besar “widebody” iaitu kelas Boeing 787 atau Airbus A330neo. Ini adalah perbelanjaan paling besar oleh mana-mana syarikat milik kerajaan dalam tempoh 5 tahun akan datang (kecuali PETRONAS yang perbelanjaan carigali minyaknya lebih besar).
Oleh sebab itulah saya sangat-sangat bimbang apabila Lembaga Pengarah MAS menerima pelantikan orang kanan Dato’ Seri Najib iaitu Dato’ Habibul Rahman Kadir Shah sebagai ahli lembaga pengarah MAS pada 18 Mei 2017 (rujuk petikan skrin dari laman rasmi MAS yang mengesahkan pelantikan tersebut di bawah):