Isnin, 14 Ogos 2017

Waspada keganasan jadi alasan halang PRU14

Naib presiden PKR itu berkata, parti politik dan rakyat sepatutnya boleh menangani perbezaan mereka dengan cara sivil menjelang PRU14.
tain-chu-2
 Naib Presiden PKR, Tian Chua berharap tiada keganasan akan berlaku ketika negara bersiap sedia untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang perlu diadakan dalam tempoh 10 bulan ini.
Mengulas keganasan dan kekecohan pada forum Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam, petang tadi, ahli Parlimen Batu itu berkata, ia “mengejutkan dan membimbangkan” serta perlu dikecam semua pihak dalam spektrum politik.
“Malaysia tidak boleh mengamalkan budaya samseng.
“Polis perlu bertindak tegas terhadap ejen provokasi,” katanya kepada FMT.
Kekecohan tercetus di Dewan Raja Muda Musa di Shah Alam, dengan suar berbau kimia dibaling ke arah pentas di mana bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berdiri ketika beliau menjawab soalan hadirin mengenai tragedi Memali di Baling, Kedah pada September 1985 semasa beliau menjadi perdana menteri.
Dewan itu dipenuhi asap dan insiden tumbuk-menumbuk dikatakan berlaku ketika ahli PPBM meluru ke atas pentas untuk melindungi bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu. Dr Mahathir tidak cedera.
Tian Chua berkata, ia bukan budaya rakyat Malaysia menggunakan keganasan, tidak kira apa fahaman politik mereka.
Beliau turut menggesa semua parti politik dan penyokong mereka menangani perbezaan masing-masing dengan cara sivil kerana “perbezaan dalam politik boleh bertukar menjadi keganasan”.

“Ia adalah hak rakyat untuk mempertahankan sesiapa sahaja yang mereka mahu, tetapi mereka yang tidak bersetuju tidak patut menggunakan keganasan,” katanya sambil menambah Malaysia memberi hak kepada semua orang untuk mengkritik pemimpin dan mengadakan perhimpunan bagi menyuarakan pendapat mereka.
“Sekarang nampaknya ada orang yang tidak boleh bertolak ansur dengannya. Mereka menggunakan keganasan untuk menakut-nakutkan orang lain.”
Beliau juga berharap kejadian itu tidak akan dijadikan alasan untuk menghalang PRU14.
“Halangan itu mungkin bermakna tiada pilihan raya diadakan atau mewujudkan ketegangan politik dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA