Sabtu, 12 Ogos 2017

Wanita bekerjaya berhenti kerja, teruskan perniagaan atas talian


 Wanita bekerjaya berhenti kerja, teruskan perniagaan atas talian
Norfadillah M. Nasir sanggup melepaskan jawatan tetap kerana merasakan tidak berbaloi dengan kos tambahan lain dan meneruskan perniagaan secara dalam talian. 
KETIKA ekonomi merosot pada 2015, ditambah pula dengan banyak syarikat yang mengambil langkah mengurangkan pekerja bagi menampung kos operasi, Norfadillah M. Nasir terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja ekoran gaji yang diterimanya tidak berbaloi.
Katanya, dia juga mendapati keadaan syarikat penerbitan yang dia bekerja itu dalam keadaan tidak stabil dan akan memberhentikan beberapa pekerja.
Berpendidikan ijazah dalam bidang teknologi percetakan dengan empat tahun pengalaman bekerja, Norfadillah berkata dengan gaji RM1,800 sebulan (sebelum ditolak KWSP) tidak berbaloi, lantas dia memberanikan diri mengambil risiko melakukan perniagaan atas talian sambal hitam dengan bermodalkan RM500.
Pada masa sama dia turut melakukan kerja bebas sebagai pereka grafik.
“Selepas lahirkan anak kedua saya pada 2015, saya berhenti kerja sebab tak rasa berbaloi dengan ekonomi dan gaji.
“Pernah cuba mohon kerja tempat lain tapi pereka grafik sekarang permintaan semakin berkurang,” kata pengusaha Sambal Tun Teja itu kepada The Malaysian Insight.
Menurut Payscale.com, kadar purata kenaikan gaji Malaysia hanya sekitar 3.5% berbanding Indonesia 9.8%, Singapura 12% dan Thailand 5.8% dalam tempoh sama.
Katanya, kos yang dibelanjakan sewaktunya bekerja untuk sebulan; tol – RM160, petrol – RM440, taska anak – RM350, makan tengah hari – RM300.
“Bekerja sendiri pendapatan kita kira bonus. Tak ada tolak apa-apa. Cuma kos internet sahaja. Itu pun baru 64 ringgit,” jelasnya.
Norfadillah berkata, kiraan kasar pendapatan atas taliannya hanya memerlukan kos petrol, bahan basah dan tenaga dan kini menjana untung bersih sekurang-kurangnya RM1,500 daripada penjualan sambalnya itu.
“Tiada kos anak. Minyak kereta pun baru berapa sahaja yang diperlukan - 200 ringgit. Kalau belanja barangan basah semua suami yang uruskan,” katanya.
Tiada gaji bulanan, hampir putus asa
Namun berhenti kerja dan memulakan perniagaan atas talian bukan perkara mudah. Ia bukan seindah membaca kejayaan orang lain di luar sana dan berjaya dengan sekelip mata.
“Pelbagai komen negatif dan positif kita boleh baca dalam komen (media sosial). Ada pelanggan yang bandingkan harga produk saya dan harga produk lain.
“Mereka kata mahal 10 ringgit sebotol. Tapi saya tak boleh nak turunkan harga sebab saya guna produk yang berkualiti,” katanya.
Kini dia mengembangkan produknya ke tiga lagi jenis sambal iaitu sambal tumis ikan bilis, sambal hijau dan pes sambal dan mendapat kepercayaan dari pelanggannya.
“Bila macam-macam dugaan saya pun sampai was-was dengan keputusan saya ‘betul ke apa yang aku buat ni?’ Sebab nak yakinkan orang ramai dengan produk kita memang susah,” katanya.
Ia turut dirasai pengusaha perniagaan atas talian Normadihah Ibrahim yang berkata tahun pertama berniaga merupakan tahun yang mencabar dan penuh tekanan.

“Masa tu dalam fasa permulaan, memang kita tak tahu apa-apa (berkenaan perniagaan). Nak dapat jualan sehari pun susah,” katanya.
Madihah berhenti kerja sebagai seorang pegawai pentadbiran di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2014 dan memulakan perniagaan jualan pakaian wanita atas talian atas jenama lain sebelum mempunyai jenamanya sendiri, Bymadeeha.
Dia mengambil keputusan tersebut setelah mendapati tidak mampu membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya selepas melahirkan anak keduanya.
“Saya rasa tak boleh teruskan lagi bekerja sebab masa tu saya dah mula sibuk dengan kursus besar – berjauhan dengan anak dan kerja sampai malam kadang-kadang.
“Tapi cabaran tu betul-betul terasa bila kita tak lagi dapat gaji setiap bulan. Apa yang kita akan dapat untuk sebulan bergantung pada jualan kita bulan itu,” katanya.
Katanya, gaji bulanannya sebelum ini adalah sebanyak RM3,400.
Keluarkan produk seminggu sebelum gaji pekerja awam
Madihah berkata pada tiga tahun lalu perniagaan atas talian tidak sebanyak seperti hari ini, di mana kelas perniagaan atas talian boleh didapati di mana-mana.
“Tapi atas sokongan dan bantuan suami, saya kuatkan diri walaupun dalam tahun pertama dan kedua berniaga memang hampir putus asa.
“Perniagaan atas talian senang bila kita ada ilmu pemasaran. Kena tahu satu bulan nak dapat berapa jualan, jadi dalam sehari kena perlu buat apa dan macam mana nak capai sasaran dan macam mana kita perlu gerakkan agen,” jelasnya.
Ibu yang berusia 32 tahun itu berkata memandangkan sasaran pelanggannya adalah pekerja kerajaan terutamanya dalam kalangan para guru, dia akan memastikan produk terbaharunya dikeluarkan seminggu sebelum tarikh gaji penjawat awam.
“Saya sasar orang kerajaan. 80% sahaja guru sebab cikgu ni sentiasa setiap bulan beli baju baru dan koleksi pula mesti bersesuaian untuk mereka mengajar,” katanya.
Di samping itu, dia rajin menghadiri pelbagai kelas untuk mempelajari strategi perniagaan atas talian.
Tepis pandangan negatif keluarga
Berbekalkan modal RM3,500 dan tidak menjana sebarang pulangan, Madihah kini berjaya meraih pendapatan sebanyak enam angka hari ini.
Pada mulanya keputusan anak bongsu daripada tujuh adik beradik ini dibangkang keluarga kerana merasakan tindakan drastiknya itu berisiko dan tidak dapat menjamin masa depan.
“Abang-abang saya semua kerja (sektor) kerajaan, jadi mereka bantah habis-habisan dan berkata berniaga online tak terjamin. Keluarga kata sayang tinggalkan kerja lama sebab lebih stabil.
“Tapi bila ibu bapa tengok pendapatan kita sekarang dan nampak hasil, mereka mula beri sokongan,” katanya.
Dia kini berjaya mengembangkan produknya ke Brunei dan Singapura.
Sama seperti Norfadillah, meskipun mendapat tentangan daripada keluarganya namun selepas berjaya membuktikan perniagaannya mendatangkan hasil dan semakin berkembang, mereka bersikap lebih terbuka dengan pilihannya dan memuji atas kejayaan itu.
“Mula-mula keluarga menentang. Mereka kata hutang belajar masih belum dilunaskan, tapi buat jeoutusan untuk kerja dari umah hinggakan saya pun fikir dua, tiga kali sama ada mahu terusan atau tidak.
“Memang masa setahun pertama perit sikit. Keluarga pula selalu kongsikan iklan kerja kosong pada saya. Memang stress sebab saya dah ada rancangan. Tapi sekarang ini alhamdulillah. Bila keluarga dah nampak apa kita buat – jaga anak tapi jana pendapatan pada masa sama, mereka mula puji,” katanya.
Selain mempunyai agen di beberapa buah negeri, dia juga kini dirisik untuk menghantar tempahan ke luar negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Chew Mei Fun mengumumkan di Dewan Negara, seramai 19,073 wanita berdaftar sebagai pemilik perniagaan atas talian setakat 31 Mac 2016.
Chew berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 17,969 berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan 1,104 orang lagi sebagai pemegang saham syarikat di bawah Akta Syarikat 2016.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA