Jumaat, 4 Ogos 2017

Umno: Muhyiddin hanya pandai kritik, tidak jiwai isu Felda

Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata Muhyiddin tidak mendalami dan menjiwai isu Felda semasa menjadi timbalan perdana menteri.
Puad-Zarkashi-muhyidenPETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Puad Zarkashi mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya pandai mengkritik usaha Datuk Seri Najib Razak terhadap Felda, sedangkan beliau sendiri tidak berminat dengan isu itu.
Puad berkata Muhyiddin semasa menjadi timbalan perdana menteri tidak mendalami dan menjiwai isu Felda.
“Sebab itu itu dalam catatan tersebut, Muhyiddin banyak menggunakan perkataan ‘berkemungkinan’. Dia terlalu banyak membuat andaian bukan fakta. Itu mendedahkan dalam kerajaan dan berjawatan TPM dia tidak berminat dengan Felda.
“Samalah juga semasa dia menjadi menteri pendidikan. Dia tidak pernah masuk melawat sekolah pedalaman. Dia hanya pernah sekali singgah di Sekolah Kebangsaaan Ulu Lubai itu pun menggunakan helikopter. Justeru dia tidak menguasai isu sekolah pedalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Puad merupakan timbalan kepada Muhyiddin ketika beliau memegang portfolio pendidikan dari April 2009 hingga Ogos 2013.
“Dia terkejut bila saya tunjukkan gambar saya berjalan kaki 8 jam meredah hutan dan gunung untuk melawat Sekolah Kebangsaan Saliliran di Nabawan Sabah,” tambah Puad.
“Sebab itu Muhyiddin tidak mengetahui sama sekali dasar KPM iaitu semua genset bekalan elektrik di sekolah pedalaman mesti dimatikan sebelum jam 9.00 malam untuk tujuan penjimatan. Sebab itu murid yang tinggal di asrama desa tidak boleh mengulang kaji pelajaran atau mengikuti kelas tuisyen kerana bekalan elektrik sudah dimatikan.
“Dia hanya tahu setelah saya memaklumkan perkara ini kepada beliau sebelum dasar itu diubah.”
Sebelum ini, Muhyiddin dalam catatan di Facebook mempersoalkan 6 insentif yang diumumkan Najib pada 23 Julai lalu untuk peneroka dan berkata Felda memerlukan pelan pemulihan secara menyeluruh.
“Pemberian insentif yang bersifat ‘one-off’ sebelum menjelang pilihan raya umum bukanlah penyelesaian yang sebenar. Insentif yang diterima boleh meringankan beban mereka buat sementara waktu,” kata presiden PPBM itu.
Bagi Puad, Muhyiddin sebenarnya tidak senang dengan insentif tersebut.
“Persoalannya apakah Felda memerlukan pelan pemulihan?” soal Puad, “Ternyata Muhyiddin semasa menjadi TPM tidak begitu berminat dengan Felda.”

“Felda tidak dekat dihatinya kerana Felda adalah ‘Legasi Tun Razak’ iaitu ayahanda kepada Datuk Seri Najib,” katanya, merujuk kepada perdana menteri ke-2, Tun Razak Hussein.
“Begitu juga Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad). Dia juga kurang memberikan perhatian kepada Felda semasa 22 tahun menjadi diktator…Bahkan Tun Mahathir hampir menswastakan Felda jika tidak dibantah oleh Tan Seri Alias,” kata Puad, merujuk kepada Muhammad Alias Raja Muhammad Ali, bekas pengerusi kumpulan Felda.
Puad berkata Muhyiddin dan Dr Mahathir tidak berjiwa Felda seperti Najib dan Razak.
“Najib dan Tun Razak mahu mengeluarkan orang Melayu daripada garis kemiskinan hidup. Felda satu daripada strateginya.
“Berbeza dengan Tun Mahathir dan Muhyiddin…Yang mereka tahu ialah mengkritik Felda walaupun tahu 6 intensif Felda itu memberikan manfaat besar kepada peneroka.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA