Jumaat, 4 Ogos 2017

Tidak disukai Dr M, saya pernah dilamar sertai PAS, kata Zahid

Timbalan perdana menteri mendakwa PAS melamarnya selepas beliau ditahan dibawah ISA 1998 kerana menyokong kegiatan reformasi Anwar Ibrahim.
zahid-hamidi_mahathir_new_600PETALING JAYA: Datuk Seri Zahid Hamidi mengakui Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menyukainya dan mendedahkan beliau pernah dilamar pemimpin PAS untuk melompat parti.
Beliau mendakwa PAS melamarnya selepas beliau ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1998 kerana menyokong kegiatan reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya didekati pemimpin PAS minta saya tinggalkan Umno dan tawarkan diri kepada PAS. Rakan-rakan dari PAS katakan cukuplah waktu saya bersama Umno,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Jerlun, Kedah hari ini.
Berkongsi pengalamannya, Zahid memberitahu presiden Umno ketika itu, Dr Mahathir, tidak menyukainya dan mencari jalan untuk menyingkir beliau dari jawatan ketua pemuda parti.
“Pada 1998, saya ditangkap bawah ISA. Saya diminta menulis surat perletakan jawatan. Kemudian, ada satu lagi surat yang diminta untuk saya tulis, iaitu tidak dipaksa meletakkan jawatan setelah saya berada dalam tekanan. Saya letakkan jawatan ketika saya dalam tahanan.”
Zahid ditangkap polis di Kota Kinabalu, Sabah, pada 21 September 1998, pada hari yang sama Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangkap di kediamannya di Bukit Damansara. Beliau ditahan mengikut Seksyen 73(1)(a) ISA kerana mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan negara, dan dibebaskan 10 hari kemudian.
Menurut Zahid, beliau berkata kepimpinan PAS ketika itu sedia membuka pintu kepadanya. PAS di bawah Presiden Datuk Fadzil Muhammad Noor antara penyumbang utama kepada gerakan reformasi di era Dr Mahathir Mohamad.
Zahid, yang menceburi politik pada 1986 sebagai setiausaha politik kepada Datuk Seri Najib Razak dari 1986 hingga 1995, berkata meninggalkan Umno tidak mudah baginya, mendorongnya untuk ke Mekah dan Madinah, Arab Saudi.
“Saya rujuk kepada Allah, saya terus solat istikharah. Lima malam saya solat istikharah di Madinah, 5 malam lagi di Masjidil Haram. Namun setelah pulang ke tanah air, iblis meniupkan rasa was-was dalam diri saya agar terus meninggalkan Umno.”
Orang seperti saya ramai dalam PAS
Bagi menghilangkan rasa was-was itu, Zahid mendapatkan pandangan dari guru agamanya, Datuk Dr Haron Din, yang pada ketika itu ketua penerangan PAS.
“Umno tekan saya, terutamanya dari presiden pada waktu itu. Saya rujuk Haron Din, saya beritahu Haron Din hati saya bersama Umno tetapi rakan-rakan ajak masuk PAS. Adakah istikharah saya ini salah?

“Haron Din kata manusia seperti saya ramai dalam PAS, tetapi tidak ramai dalam Umno. Haron Din sahkan istikharah saya betul dan minta saya kekal, berikan sumbangan kepada Umno,” katanya.
Lebih sedekad kemudian, Zahid yang ketika itu sudah menjawat jawatan naib presiden Umno berkata Haron Din berharap PAS dan Umno dapat bekerjasama demi kepentingan agama.
“Seminggu sebelum dia berubat ke California, Haron Din ulang balik kepada saya iaitu Umno bekerjasama dengan PAS bagi menterjemahkan agenda Islam dan Melayu,” katanya.
Zahid sebelum ini membidas bekas presiden Umno dan kini pengerusi gabungan pembangkang, Dr Mahathir sebagai orang yang “memperjuangkan agenda Melayu untuk menggunakan Melayu”.
“Bila habis madu, sepah dibuang. Umno ini sebagai madu dan kita adalah sepah yang dibuang,” katanya pada 30 Julai semasa berucap menutup Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kelana Jaya.

3 ulasan:

  1. Lepas ni apa pun Wak Hid creta, org xnk dgor...byk bohong dr betul. Kuat kencing...

    BalasPadam
  2. Baru kena tahan 10 hari terus turnover. Hebat sungguh pejuang reformis ni. Klu dia join pas skrg mmg ngam sgt dgn pemimpin muda pas yg sgt materialistik tp pura2 berjuang agama

    BalasPadam
  3. Ada dakwaan mengatakan zahid sanggup mati utk mempertahankan anwar. Skrg anwar banduan politik, aku harap zahid bagilah keselesaan atau perol atau jadikan tahanan rumah kpd bekas bos awak itu sebagai mengenang jasa² anwar kpd zahid dulu dulu.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA