Khamis, 10 Ogos 2017

TIADAKAH DIBUAT RAKAMAN "SIDANG MEJA LEPER" ANTARA PAS DENGAN ARUL KANDA?

Pertemuan antara Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dengan Presiden dan CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy baru-baru ini yang disusuli dengan parti Islam itu berasa puas hati terhadap pelan rasionalisasi syarikat pelaburan sarat masalah tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi yang kurang menyenangkan.

Ramai yang kehairanan bagaimana Pas boleh berpuas hati terhadap penjelasan Arul Kanda serta menyoal apakah Pas sebenarnya betul-betul faham mengenai kemelut berliku-liku dan berbelit-belit yang membuatkan skandal 1MDB itu membusuk ke seluruh dunia?

Selain itu, ramai juga yang ingin tahu apakah bentuk penjelasan yang  telah diberikan oleh Arul Kanda dalam pertemuan selama 2 jam itu?

Tidak kurang yang bertanya, apakah Pas yang diwakili oleh 30 Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan diketuai oleh Tuan Ibrahim Tuan Man itu juga benar-benar faham dengan penjelasan yang diberikan oleh Arul Kanda?

Yang lain pula ingin tahu, apakah 30 orang Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu hanya mendengar saja penjelasan Arul Kanda serta adakah mereka bertanya sebarang soalan kepadanya?

Tidak kurang yang bertanya, jika ada pertanyaan dibangkitkan, apakah bentuk soalan yang telah ditanyakan kepada Arul Kanda?

Dalam hal ini, Pas mungkin boleh menepis pelbagai tanggapan negatif itu jika mereka dapat mendedahkan bukti rakaman pertemuan tersebut kepada umum.

Jika diikut logik, tentulah Pas sepatutnya membuat rakaman video berhubung pertemuan dengan Arul Kanda itu kerana ia merupakan sebahagian daripada program parti yang penting untuk dijadikan rujukan.

Tambahan lagi, hanya Pas saja satu-satunya parti yang dilayan oleh 1MDB dan Arul Kanda untuk mereka "bertemu, berterus-terang dan berkongsi cerita" mengenai syarikat tersebut.

Kerana itu, membuat rakaman dan menjadikannya simpanan, hampir mustahil tidak dilakukan oleh Pas.

Apatah pula, dalam zaman digital dan serba pintar ini, membuat rakaman bagi sebarang acara bukanlah perkara yang asing lagi, malah boleh dikata sudah menjadi keperluan.

Dengan timbulnya banyak pertikaian bagaimana Pas boleh berpuas hati tentang pelan rasionalisasi 1MDB, tetapi akhinya hutang kepada IPIC pun asyik terkehel dan minta tangguh beberapa kali, hanya mendedahkan rakamannya saja merupakan jawapan terbaik kepada segala kesangsian terhadap Pas itu.

Setidak-tidaknya dapatlah diketahui sama ada Nasarudin Tantawi ada bertanya soalan atau tidak, apakah Nik Abduh hanya diam atau turut bangun dengan beberapa pertanyaan, apakah Khalil Hadi juga bertanya soalan dan adakah Mokhtar Senik hanya sekadar diam sepanjang sessi pertemuan?

Jika Zahid Hamidi pun ada membuat rakaman pertemuannya dengan Tun Mahathir Mohamad, nampak tak cerdik sangatlah jika pertemuan tersebut yang dianjurkan  sendiri dan ditempat yang mereka sendiri pilih, tidak dibuat sebarang rakaman oleh Pas, meskipun program yang pada awalnya adalah "sidang meja bulat" dengan menjemput beberapa tokoh lain,  akhirnya bertukar menjadi hanya "sidang meja leper" yang membabitkan 30 AJK Pas Pusat dengan Arul Kanda semata-mata.

Adakah Pas masih perlu belajar dengan Zahid Hamidi dalam  soal rakam-merakam ini?

Atau Pas sebenarnya sama seperti Zahid Hamidi, ada rakaman, namun keberatan untuk memberitahu atau mendedahkannya kepada umum atas sebab-sebab yang mereka saja maklum mengenainya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA