Selasa, 1 Ogos 2017

Tak keruan dengan amanat Khaled

Tidak sampai satu hari Konvensyen BN Johor 2017 melabuhkan tirainya Sabtu lepas, seakan huru-hara kem Pakatan Harapan melihat aura dan semangat seluruh perwakilan BN Johor, hasil publisiti semua media termasuk yang mesra pembangkang.
Saya kira semboyan “kekal dan rampas” yang dilaungkan oleh BN Johor benar-benar membangkitkan semangat jentera BN Johor untuk berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi PRU14.

Paling penting, amanat penuh keyakinan Pengerusi BN Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin untuk tidak boleh membiarkan pembangkang tidur nyenyak setiap malam benar-benar berhasil.
Tidak sampai sehari Konvensyen BN Johor tamat, Akmal Nasir muncul memberikan komen dengan mengalihkan isu secara langsung.
Mana tidaknya, mentor beliau, Rafizi Ramli, yang baru sahaja kalah saman dan perlu membayar RM300 ribu akibat memfitnah, telah disebut dan diusik oleh MB Johor.

Akmal yang tergesa-gesa dan tertekan untuk membela Rafizi, terus mengulas ucapan Khaled dengan membangkitkan tiga soalan yang antara lain menyentuh isu perumahan di Johor.
Yang kelakarnya, pada punca dan asas soalan tersebut dibangkitkan.

Khaled, dalam mendedahkan kelompangan strategi HARAPAN, khususnya trak Bina Semula Negara, mentertawakan hipokrasi pembangkang yang ingin ‘membina semula negara’ ini dengan menggunakan sentuhan para pemimpin dahulu, yang kebetulannya adalah ‘mastermind’ dalam pentabiran kerajaan sebelum ini.
Dalam menjelaskan perkara ini, Khaled memberikan analogi rumah, bahawa membina semula rumah menggunakan khidmat tukang rumah lama yang telah bertanggungjawab merosakkannya adalah tidak masuk akal.
Apa jawapan Akmal? Tanpa menjawab analogi Khaled, beliau sebaliknya mengemukakan tiga soalan berkaitan isu rumah perumahan di Johor, termasuklah pendakwaan terhadap bekas exco perumahan negeri Johor.
Perkara ini bukan sahaja tidak menjawab isu, tetapi jelas Akmal gagal memahami isu. Atau barangkali beliau tidak faham apa itu maksud ‘analogi’.
Ketika kita masih terkesima dengan cara Akmal melatah ke atas amanat Khaled, hari ini, pengerusi DAP Johor pula tertampar dengan kejujuran pengerusi BN Johor tersebut.
Keberanian Khaled
Keberanian Khaled berkata benar dengan menggariskan senario PRU-14 yang dijangkakan sengit itu telah ditafsirkan Liew Chin Tong sebagai pengakuan yang Johor akan tewas.

Malah, Chin Tong menuduh Khaled kembali mengulang skrip lapuk Najib yang katanya bersifat perkauman.
Sekali lagi sifir dan perkiraan politik pembangkang Johor mengundang hiba dan tawa.
Sekalipun kita harus akui bahawa setidak-tidaknya Chin Tong menyentuh isi kandungan ucapan Khaled tentang hala tuju dan semangat parti berbanding Akmal yang hanya mendengar perkataan rumah dan terus melarikan isu.

Namun, kedua-dua ulasan mereka masih menyerlahkan beberapa kedangkalan.
Pertama, hanya kerana menunjukkan bahawa Harapan didominasi oleh DAP, maka DAP melompat dan menyimpulkan bahawa itu adalah kenyataan rasis.


Maknanya, beliau sendiri mengakui dan tidak mampu menafikan bahawa DAP adalah ‘kepala’ dalam HARAPAN.
Malah, ulasan tersebut bermakna beliau sendiri mengakui bahawa DAP adalah Cina dan Cina adalah DAP.

Beliau sendiri yang melihat DAP sebagai sebuah pergerakan kaum. Sebab, setiap kali adalah pihak yang mengkritik DAP, beliau dengan segera melihat kritikan tersebut sebagai ditujukan kepada Cina.

Jadi siapa yang rasis sebenarnya?
Jika ini tidak benar, buktikanlah bahawa DAP tidak berhasrat untuk menjadi teraju utama di Johor. Tunjukkanlah siapakah calon Melayu dan India yang DAP Johor bakal ketengahkan?

Barangkali kenyataan tersebut direka oleh beliau setelah melihat kelesuan DAP Johor yang tidak sudah-sudah dikritik kerana gagal untuk turun padang dan memperjuangkan isu tempatan.
Malah, di Kluang sendiri, Chin Tong dikenali sebagai wakil rakyat yang tidak memberikan khidmat. Beliau hanya hadir bermusim, ibarat kulat sisir selepas hujan.
Atau mungkin sebenarnya Chin Tong ini lupa, ucapan Khaled tersebut disampaikan semasa Konvensyen BN.

Maksudnya, ia disampaikan sebagai amanat kepada semua pemimpin parti-parti komponen BN termasuklah MCA yang memperjuangkan nasib orang Cina.
Kedua, menurut Chin Tong, BN Johor risau akan kebangkitan pengundi Melayu dalam PRU-14 yang Khaled sifatkan sebagai sengit.
Sekali lagi beliau membuat kesimpulan dangkal. Tidak ada yang peliknya dengan pengakuan bahawa PRU-14 akan menjadi sengit.
Kerana ia bukan lagi pertembungan antara hanya BN-DAP-PAS. Kini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR juga akan saling bertikam untuk berebut kerusi.
Warna-warni PRU14
Kita jangan sentuh dan ulas terlebih dahulu tentang ketidakmampuan parti-parti serpihan dalam Harapan ini untuk mencapai konsensus dan membahagikan kerusi (atau mereka akan memutuskannya selepas pulang dari bersuka ria di Turki kini?).
Cukuplah sekadar kita menerima hakikat bahawa PRU14 akan lebih ‘berwarna-warni’.
Atau barangkali Chin Tong tidak bersetuju bahawa PRU14 nanti sengit kerana beliau sedar yang BN akan menang mudah kerana DAP bakal ditolak mentah-mentah oleh rakyat susulan prestasi buruk mereka di Johor selama ini.
Keyakinan DAP untuk merebut banyak kerusi yang dikatakan menang tipis sebelum ini seperti Johor Bahru turut menunjukkan bahawa, Ching Tong yang bukan sahaja tidak berasal dari Johor, lupa keadaan sebenar politik di Johor.
Saya kira, soalan Akmal dan ulasan klise Chin Tong inilah sebenarnya skrip lapuk. Chin Tong yang harus mengajar dan menyelaraskan dengan Akmal apakah yang perlu ditanya dan bukannya mencampuradukkan segala perkara.
Skrip lama pembangkang Johor lebih mudah.
Tolak segala kejayaan BN di Johor. Mainkan kembali isu pertembungan Melayu-Cina. Tuntut dan kutip segala kelebihan konsep Muafakat Johor yang Khaled perkenalkan kepada Bangsa Johor. Dan ulas segala benda secara membuta tuli.
Jika begini keadaannya. Benarlah BN Johor harus cemas. Kerana selepas PRU-14 nanti, sudah tidak ada pembangkang di Dewan Undangan Negeri Johor. Semuanya dari parti kerajaan negeri.

1 ulasan:

  1. Bodoh punya khaled. Adakah dia benar2 yakin yg shahreezat tidak guna duit songlap 250juta kes nfc utk beli belah?

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA